Memaparkan catatan dengan label Parenting Journey. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Parenting Journey. Papar semua catatan

Catatan Awal Tahun 2026

Assalamualaikum.

Sudah masuk tahun 2026. Rasa macam baru je semalam celebrate birthday aku di bulan November. Entri ni pula elok je aku publishkan masa tengah bulan Januari. Hai baca pun terasa penat.

Setengah bulan berlalu begitu sahaja. Aktiviti memang non-stop especially berkaitan anak-anak. Memang busy nak siapkan barang-barang sekolah. Dari awal pagi sampai ke malam, ada saja benda nak diuruskan. Rutin biasa, tak susah pun tapi benda tu kena hadap sekaligus. Itu yang rasa “hoi banyaknya kerja”.

Awal Tahun Sibuk Dengan Urusan Sekolah

Si abang macam biasa balik awal sehari sebab MPM kena bantu guru sambut kawan-kawan. Dah besar anak sulung ni, dah boleh diharap. Tapi jauh di sudut hati, dia masih lagi anak kecil mama.

Alhamdulillah, balik asrama dengan baju seluar semua siap digosok. Baju untuk prep, t-shirt rumah dan uniform sekolah. Semua suruh dia gosok awal supaya tak kelam-kabut nanti. Aku lebih suka ajar siap awal daripada kelam-kabut di saat akhir. Penat sikit tak apa, asalkan tenang.

Ahad sehari sebelum buka sekolah, datang pula ke sekoah dia untuk urusan daftar tingkatan tiga. Masa uruskan ni, aku sedar masa memang bergerak laju. Rasa macam baru je hantar dia darjah satu dulu. Sekarang dah tingkatan tiga. Diam-diam, aku belajar melepaskan anak supaya dia belajar berdikari.

Bersederhana Dalam Persiapan Sekolah

Adik-adik dia macam biasa. Beli sepasang baju uniform baru je, kasut si adik je tukar. Jimatlah selagi boleh. Nanti nak puasa dan raya. Bersederhana macam tahun-tahun sudah.

Beg tahun lepas masih elok, tak perlu tukar. Anak-anak pun selesa guna apa yang ada. Selalu pesan dekat anak-anak, tak semua benda perlu baru, yang penting boleh guna.

Catatan-awal-tahun-2026


Kakak Jadi Pengawas - Tanggungjawab Baru

Cuma tahun ni ada sedikit kelainan. Kena invest untuk baju pengawas kakak. Alhamdulillah, terpilih jadi pengawas untuk tahun empat. Tahun sudah dia jadi Ketua Kelas.

Awalnya memang kami berat hati nak suruh dia galas tanggungjawab tu. Aku lebih prefer dia jadi Pembimbing Rakan Sebaya, ikut jejak langkah abang dia.

Tapi dia memang teruja nak jadi pengawas. Cara dia bercerita pun lain macam. Mata bercahaya waktu bercerita lepas tu memang penuh semangat siap gaya tangan. Punya lah nak yakinkan kami yang dia boleh buat. Jadi kami izinkan, dengan beberapa syarat. Bukan sebab jawatan tu, tapi sebab tanggungjawab yang baru. Harapnya smooth saja perjalanan hidup anak-anak. InshaAllah.

awal-tahun-sibuk-sekolah


Merentas Desa & Rutin Awal Tahun

Bila masuk minggu kedua sekolah, terus sekolah buat merentas desa. Semua nak buat cepat, kejar tarikh MSSD pula. Elok juga buat sebelum puasa. Harung sajalah anak-anak ya. Kali ni sedikit berbeza, sekolah buka kategori terbuka untuk ibu bapa.

Aku dah register, tapi dari awal memang rancang nak jalan-jalan saja dengan kawan-kawan. Nak brisk walk, keluar peluh sikit, borak-borak, enjoy-enjoy saja. Ajak kawan aku, dia jawab, “banyak lagi cara lain untuk mati.” Over kan. Ahaks. Tapi ayat tu yang buat kami gelak lama.

awal-tahun-masuk-asrama


Refleksi Ringkas Awal 2026

Kadang-kadang benda kecil macam ni yang buat hidup rasa ringan sikit. Tak semua perkara kena serius. Tak semua aktiviti kena kejar target. Ada masa kita buat sekadar untuk rasa hidup.

Awal tahun ni aku perasan satu benda aku tak pasang azam yang tinggi-tinggi. Tak ada senarai panjang. Tak ada janji besar. Cuma nak lalu hari-hari dengan baik, urus keluarga seadanya, dan jaga diri ikut kemampuan. Penat itu ada, tapi syukur pun ada.

Penutup Catatan Awal Tahun

Mungkin inilah versi 2026 untuk aku yang umur dah lebih 4 dekad. Perlahan sedikti berbanding tahun lepas, tapi masih bergerak. Tak kejar siapa-siapa, tak banding hidup sendiri dengan orang lain. Cukup anak-anak sihat, urusan dipermudahkan, hati tenang walaupun kadang-kadang letih. Korang punya cerita tahun baru macam mana?

Harap baik-baik saja semua.

Balik Kampung Cuti Sekolah

Seminggu bercuti di kampung memang seronok sangat. Awal-awal cuti sekolah hari tu dah rancang nak luangkan masa balik kampung. Alhamdulillah big boss beri keizinan bawa anak-anak pulang ke kampung.

Lebih kurang seminggu juga kami habiskan masa di kampung. Kali ni balik dengan anak-anak je sebab suami tak dapat cuti lama.

Balik Kampung Cuti Sekolah - Musim Rambutan

Kebetulan cuti sekolah kali ni dekat kampung tengah musim buah. Buah Rambutan dan manggis. Rezeki ya tahun ni. Cukup untuk kami adik beradik. Beza sungguh tahun lepas terpaksa berebut makan dengan monyet dan kalong. Aku baru tahu kalong tu kelawar yang makan buah.

balik-kampung


Cuti sekolah hujung tahun kali ni relax sikit. Seminggu sebelum tu asyik la hujan, air Sungai Pahang naik tapi tidak sampai banjir. Cuaca pun elok panas je. Dapatlah anak-anak main dengan senang hati.

Kalau balik kampung aktiviti memang tak dijangka sebab mak suka request macam-macam. Ada je benda mak nak ajak buat sama-sama. Jadinya kalau balik kampung tak akan sempat nak rasa bosan.

musim-buah


Percaya atau tak kami langsung tak tonton televisyen bila berada di kampung. TV tu jadi perhiasan je. Siang hari sibuk mengemas, berkebun, memasak dan bila malam masing-masing sibuk mengaji dan berborak.

panjat-pokok-kampung


Aktiviti Dekat Kampung – Main Masak-masak

Dulu masa kecik-kecik, kami adik beradik suka sangat main masak-masak guna kayu api. Lebih tepat masak mi segera. Perasaan seronok tu hanya Tuhan je yang tahu. Dapat masak dan makan sama-sama.

Bagus ya aktiviti tu sebab mengajar kami kemahiran hidup. Nak hidupkan api guna kayu api dan mancis tu perlukan kesabaran dan ilmu. Dulu-dulu emak akan gelakkan kami sebab berejam ya nak hidupkan api.

aktiviti-balik-kampung


Kali ni aku pula yang ajak anak main masak-masak. Aku faham sangat keterujaan tu. Bila giliran anak, aku duduk tepi nak tengok kreatif ke tidak mereka. Bantu mana yang patut je. Kalau dekat rumah sendiri mana ada jumpa benda-benda macam ni.

balik-kampung-cuti-sekolah


Pergi Pekan Sehari Chenor

Seminggu juga kami duduk di kampung. Sempat pergi Pekan Sehari Temerloh dan Pekan Sehari Chenor. Mak ajak pergi Chenor sebab terpengaruh nampak video di TikTok. Tujuan utama nak cari ulam yang rare. Ikan Patin aku dah beli masa pergi Pekan Sehari Temerloh. 

Kami ikut jalan dalam jadi ambil masa 45 minit untuk sampai. Sampai sekitar pukul lapan pagi itu pun dah penuh orang tapi kurang sesak berbanding Pekan Sehari Temerloh. Dari segi barang jualan, kepadatan, pilihan barangan, dan keselesaan memang Pekan Sehari Temerloh menang.

Tak beli banyak barang pun, datang nak cuci mata dan tunaikan hajat emak. Aku beli kuih Tepung Bungkus dan Sate Padang tapi sayangnya kuih terlebih manis. Dua-dua kurang kena dengan tekak.

Sekurang-kurangnya lepas ni kalau ada yang borak tentang Pekan Sehari Chenor aku dah tahu nak borak apa. Ada rezeki aku share dalam entri lain pasal Pekan Sehari Chenor. 


Kesimpulan balik kampung kali ini terasa amat pendek dan sangat-sangat seronok. Bersyukur sangat dapat tunaikan permintaan emak, dapat kemas rumah, dapat panjat pokok rambutan dan manggis. Dapat berkumpul dengan adik beradik walaupun tak semua dapat balik.

 

Quick Update Disember - Sibuk Tanpa Disangka

Ya ampun, dah separuh bulan Disember rupanya. Punya sibuk sampai blog langsung tak ter-update. Hari tu konon bersemangat nak selalu aktif menulis, tapi biasala, janji tinggal janji. Jadi kali ni aku kembali dengan quick update saja. Tulis benda penting, ringkas tapi senang nak rujuk in future.

Banyak kali jadi, bila alami perkara lebih kurang pernah kami hadap kena korek semula dari A sampai Z sebab lupa. Eh penat ya kalau nak recall banyak kali.


Quick Update Disember - Sibuk Tanpa Disangka

Bulan November hari tu aku memang sibuk dengan urusan rumah. Masuk pula Disember, ingatkan boleh tarik nafas sikit rupanya tinggal angan-angan. Ini bulan terakhir persekolahan sebelum masuk takwim baru, jadi aktiviti sekolah memang padat.

Antara yang terlibat: Dialog Kemenjadian Murid, Hari Anugerah Prestasi, Sambutan kanak-kanak, Jamuan kelas. Dan paling hujung, bantu sekolah untuk persediaan pengoperasian sesi 2026

Semua dibuat lebih awal sebab cuti sekolah kali ni pendek sangat. Takwim pun dah berubah, kembali macam dulu-dulu. Sekolah akan mula bulan Januari dan tamat Disember. Kalau ikut perancangan pihak sekolah, lebih baik siapkan awal. Lagipun nanti ibu bapa nak bercuti, jadi buat awal memang lebih senang.

quick-update-december


Plan Sambut 2026

Masuk tahun 2026 nanti, Ikhwan dah Tingkatan Tiga, Raudah pula naik Darjah Empat, dan si adik Airis masuk Darjah Dua. Fasa umur 40 ni buat aku makin sedar, masa memang tak tunggu siapa-siapa.

benda aku belajar untuk perlahankan langkah, pilih yang perlu sahaja, dan belajar jaga tenaga sendiri. Cepat betul masa berlalu. Persediaan sekolah aku dah mula sikit-sikit, beli mana yang penting dulu.

Tahun depan Raudah jadi pengawas. Dah kena sediakan uniform, vest, tali leher, tshirt dan semestinya kos akan bertambah dekat situ. Nanti nak kongsi lebih tentang ni.

update-december


Ikut kalendar 2026 juga, bulan Februari dah masuk Ramadan. Di umur ni, keutamaan aku makin jelas nak hidup lebih berpada-pada, kurang kejar benda luaran, dan lebih fokus pada apa yang beri tenang.

Sedaya upaya menjaga circle. Selagi namanya berurusan dengan manusia, memang tak lari dengan perangai toksik tu. Jadi kita tidak dapat kawal orang, maka kita kawal diri sendiri dari diracun.

Masa puasa nanti pergerakan memang akan lebih terbatas, jadi awal-awal ni aku nak susun supaya boleh fokus ibadah sebaiknya. Bulan Mac pula raya, jadi memang kena rancang perbelanjaan dari awal tahun.

Doakan semoga baki bulan Disember ni kita semua dapat lalui dengan tenang dan lancar. Banyak benda nak kena buat juga, pindahkan gambar dan video, susun semula dokumen penting. Awal cuti nanti, insya-Allah nak balik kampung, bercuti dan luangkan masa dengan emak.

Jaga diri semua.

 


Tak Semua Orang Akan Suka Kita

Validation: Tak Semua Orang Suka Kita

Realiti yang pahit nak ditelan bila mula faham tentang validation. Tak semua orang akan suka kita, dan itu bukanlah satu kegagalan melainkan itu merupakan hakikat hidup yang perlu diterima dengan lapang dada.

Bukan mudah, tapi yakinlah proses untuk terima realiti dengan lapang dada tu memerlukan masa. Jujurnya sampai sekarang aku masih belajar untuk redha dan berlapang dada.

 

Bila Kita Sedar Kita Tak Akan Jadi Watak Baik Dalam Semua Cerita

Bila dah berada pada umur sekarang, satu perkara yang aku sangat yakin, kita memang tak mungkin akan disukai oleh semua orang. Mustahil. Mana mungkin kita akan sentiasa dapat jadi watak baik dalam kehidupan semua orang.

validation-penting


Alasan paling kuat ialah masing-masing punya definisi “suka” dan “baik” yang berbeza. Semestinya berlainan setiap individu. Kita tak lahir dengan acuan sama. Kan kita semua Tuhan ciptakan berbeza-beza. Unik setiap satu. Tuhan jadikan kita satu-satunya di dunia.

 

Terlalu Mencuba Untuk Disukai

Dulu, aku pernah jadi orang yang terlalu sibuk nak pastikan semua orang suka aku. Bunyi macam gila, tapi itu lah yang aku buat. Lama-lama, aku letih dan sedar benda tu tak berbaloi. Terasa kurang cerdik pun ada.

Sakit sebenarnya bila diri terlalu mencuba. Aku terlalu keras dengan diri sendiri. Lama baru aku sedar dan faham. Salah satu perkara yang paling meninggalkan kesan ialah bila kita bukan pilihan pertama. Bila orang letakkan kita bukan dalam keutamaan mereka. Hujung-hujung cerita, sikap terlalu mencuba untuk disukai tu makan diri sendiri.

validation-tak-semua-orang-suka-kita


 

Pilih Untuk Letak Usaha Pada Orang Yang Layak

Dan dari situ aku belajar banyak benda, bukan semua orang akan nampak nilai kita. Bukan semua orang akan menghargai usaha yang kita letak. Penat ya jadi manusia. Slow-slow aku hanya letak usaha pada orang yang berusaha untuk aku. Baru adil.

Akhirnya, kita cuma perlu jadi versi terbaik diri sendiri. Yang tenang, yang jujur, yang tak perlu validation sesiapa. Susah tapi asalkan kita tak putus asa.

 

Kereta Breakdown Tepi Jalan Waktu Hujan Lebat

Kejadian enjin kereta mati secara tiba-tiba berulang kembali. Kereta kami breakdown tepi jalan. Benda yang paling aku takut berlaku lagi. Lagi tragik waktu tu tengah hujan lebat. Memang ngeri kalau ingat semula. Alhamdulillah Allah jaga kami sekeluarga.

Mujur kejadian berlaku di jalan perumahan, bukan jalan utama yang sesak. Nasib baik juga tiada kereta belakang, kalau tak, memang boleh kena langgar.

 

Enjin Mati Tiba-Tiba, Kereta Breakdown

Enjin mati terus bila suami tekan brek sebab beri laluan kereta lain dekat simpang. Sempat juga park ke tepi. Tapi serius, waktu tu hanya mampu istighfar dan bertenang. Terbayang kalau enjin mati di jalan raya besar, memang seram.

Terbayang kalau lah enjin mati atas jalan raya yang sesak dengan kenderaan. Takut nak fikir lebih-lebih. Waktu tu kami dalam perjalanan ke sekolah. Nak hantar anak ke kelas silat. Hari Sabtu, dalam pukul 4 petang macam tu.

Kami sebenarnya dalam perjalanan ke sekolah, nak hantar anak ke kelas silat. Hari Sabtu, dalam pukul 4 petang macam tu. Hujan, anak-anak dalam kereta, enjin tiba-tiba mati, memang mencabar jiwa.

 

kereta-breakdown-enjin-mati

Kejadian Lama Berulang Kembali

Masa tu teringat semula kejadian beberapa tahun lepas. Kami pakai kereta Kenari warna hitam. Aku sayang sangat kereta tu. Kejadian berlaku waktu kami on the way balik kampung, Pahang. Kereta tiba-tiba rosak di highway dan kami terpaksa panggil towing. Memang kena towing sampai bengkel berhampiran dengan tol Temerloh.

Ambil masa berminggu juga baru siap sebab katanya masalah gearbox. Kos waktu tu cecah lebih dua ribu ringgit. Lama juga nak kumpul semula tenaga dan semangat lepas tu. Waktu tu Ikhwan baru umur empat atau lima tahun, sekarang dah remaja.

Jadi, bila kereta sekarang alami perkara yang sama otak terus teringat segala susah payah masa dulu. Otak dah ligat fikir kos, masa, dan urusan harian tanpa kereta. Terduduk juga kami suami isteri sebab Allah bagi ujian bertimpa-timpa. Tapi apa boleh buat, ujian datang tak pernah kita jangka. Doa segala ujian Allah bagi kami dapat kekal bertenang dan tempuh sehingga selesai.

kereta-breakdown-tepi-jalan


Suami terus hubungi syarikat towing. Alhamdulillah urusan mudah. Dia ikut kereta ke bengkel, aku pula teruskan hantar anak-anak ke kelas silat. Rezeki berkawan, balik tu tumpang kawan dan suami ambil Grab dari bengkel.

Oleh sebab kejadian berlaku hari Sabtu petang, workshop ambil masa dua hari juga baru siap. Petang Isnin baru kereta keluar bengkel. Memang rasa “patah kaki” dua hari tanpa kereta. Siap survey kereta sewa tapi tak berbaloi. Akhirnya kami pilih guna Grab je. Lebih mesra poket.


Kos Pembaikan dan Masalah Clutch Bearing

Tokey bengkel bagi sebut harga berdasarkan kerosakan. Bagi juga pilihan dan cuba cara untuk minimakan kos pembaikan. Semua urusan suami yang settlekan. Terduduk juga bila tahu kos sebenar. Lebih dua ribu juga diperlukan termasuk la servis bahagian yang berkaitan. Tapi masih diterima akal sebab kereta pun dah lebih Sembilan tahun. Orang kata memang dah tiba masa dia.

enjin-mati-tiba-tiba


Katanya kereta ada masalah berkaitan clutch kereta. Lebih tepat clutch bearing pecah. Cuba pelbagai cara dan memang clutch dah sampai hayat dia. Kena Ganti juga. Memang dua bulan ni tak boleh makan dekat luar. Kena berjimat, masak kat rumah.  

Bila fikir semula, banyak juga hikmah tersembunyi. Walaupun diuji, Allah tetap permudahkan urusan kami. Dari towing, bengkel, sampai urusan anak ke sekolah, semua dipermudah dengan cara tak disangka.

Sekarang kami lebih peka tentang tanda-tanda awal kereta nak rosak. Kadang bukan sebab cuai, tapi sebab masa dan keadaan. Yang penting belajar dari pengalaman.

Apa pun, kami bersyukur semua berlaku pasti ada hikmah dia. Kita struggle dengan cara masing-masing kan? Dunia memang tempat berpenat. Itu jelah aku selalu fikri nak bagi hati tenang.

 
Perkara Penting Perlu Tahu Bila Kereta Breakdown Tepi Jalan

1. Apa perlu buat bila kereta tiba-tiba breakdown tepi jalan?

Pertama sekali, jangan panik. Bertenang dan pastikan kereta berhenti betul-betul di tepi jalan. Pasang lampu hazard dan letakkan segi tiga kecemasan kalau ada. Kalau rasa tak selamat (macam jalan sunyi atau hujan lebat), lebih baik tunggu di tempat selamat sementara hubungi bantuan towing atau bengkel berhampiran.

2. Kenapa enjin kereta boleh mati secara tiba-tiba?

Banyak sebab boleh jadi. Kadang sebab bateri lemah, pam minyak rosak, alternator bermasalah, atau macam kes aku, clutch bearing pecah. Kalau benda ni jadi berulang, elok terus hantar bengkel. Jangan tunggu sampai betul-betul mati tengah jalan.

3. Berapa anggaran kos towing kereta?

Biasanya dalam RM100 hingga RM250 ikut jarak dan kawasan. Kalau luar bandar atau waktu malam, boleh jadi lebih sikit. Sekarang senang, banyak servis towing boleh WhatsApp terus je. Kami guna panel. Lebih mudah.

4. Macam mana nak elak kereta breakdown?

Buat servis berkala ikut jadual, tukar minyak hitam tepat waktu, dan jangan abaikan tanda-tanda pelik macam bunyi aneh, gear tersangkut, atau lampu enjin menyala. Kadang benda kecil je tapi kalau tangguh, boleh jadi besar.

5. Apa patut buat kalau kereta rosak masa hujan lebat atau waktu malam?

Jangan keluar dari kereta kalau jalan gelap atau banyak lori lalu. Pasang lampu hazard, hidupkan lampu dalam kereta, dan hubungi bantuan. Kalau nampak kawasan selamat (macam stesen minyak atau kawasan perumahan), cuba tolak atau alih perlahan-lahan ke situ. Keselamatan diri nombor satu.


Kewujudan Digital Footprint

Pernah dengar kan tentang digital footprint dan statement ini, “what you post on internet, It’s there forever”. Tak sangka at this age finally benda tu berlaku juga. Ya kenyataan tu membayangi aku sejak dua menjak ni after one accident yang tak sengaja cross my routine.

Lagi sadis perkara yang jadi tu melibatkan anak aku. Dia okay je tapi aku yang rasa kurang selesa. Aku kan banyak buat sharing pasal Ikhwan dan kebanyakan konten aku bersama Ikhwan. Jadi bila rakan sebaya google or chatgpt nama dia keluar lah semua.

Imagine kalau aku buat konten / posting di Facebook, Instagram atau blog dan merentan benda yang bukan-bukan. Oh mai mesti memalukan.

As background, selain menulis dekat blog aku pernah aktif buat posting di media sosial, buat review produk dan attend event untukrand launching yada yada. In short aku masuk dunia marketing. Zoom sikit lagi aku buat brand awareness. Nak gelarkan diri influencer jauh sangat lah. Jadi aku lebih selesa kenalkan diri aku as a content creator.

digital-footprint-apa


 

Kewujudan Digital Footprint

Masa awal-awal aktif dulu, aku memang dah pegang prinsip minimakan segala aib dan dosa. Nak elak sepenuhnya tu memang mencabar sebab bukan semua benda semua orang setuju dengan satu perkara.

Contoh aib: buat sharing tunjuk muka. In situation kena buat sharing produk kena bercakap di depan kamera. Ada pilihan nak buat konten tak tunjuk muka dan sebaliknya. Bagi sesetengah orang, benda tu tiada masalah pun dan begitu juga sebaliknya.

Tapi untuk hukum yang clearly disebut dalam Al-Quran dan diajar sejak kecil yang menyentuh isu adap, sopan dan terkait maruah keluarga memang aku tolak sekeras-kerasnya. inshaAllah masih menjaga sehingga mati.

 
Fikir Dulu Sebelum Kongsi

Masuk je tahun 2025 aku dah stop buat konten brandawareness tapi meninggalkan digital footprint (konten-konten yang masih aktif). Ibaratnya aku berjalan di pantai, pijak pasir dan tinggalkan bekas tapak kaki.

Cuma kalau pantai, bekas tapak kaki tu akan hilang tapi bahayanya teknologi ni jejak tu kita tak boleh nak kawal sepenuhnya. OMG takut.

Aku berhenti terima semua job review dan event sebab rutin sebagai emak menghadkan aku nak aktif. Jadi aku berhenti secara mengejut dan tiba-tiba.  Walaupun aku dah tak buat kerja-kerja tu but posting is still active selagi aku tak archieve / delete.

Digital footprint tu benar-benar wujud ya. Jadi berhati-hati lah jadi pengguna internet yang bijak. Scariest part bila orang salah guna konten kita. Kita dah delete orang sempat buat Salinan. Arghh.

Jadi tonjolkan sisi yang baik-baik, elak aurat terbuka. Kita protect diri dan posting sebelum orang lain buat benda tak senonoh. Ya, aku tahu zaman sekarang orang boleh buat macam-macam edit tapi urusan pertama kita dengan Tuhan. Jaga utama yang itu.

digital-footprint


Kesan Digital Footprint

Sebagai seorang emak semestinya aku cuba jadi emak yang normal, emak yang selalu tunjuk benda betul dan emak paling sempurna di mata anak-anak tanpa gagal. Menjadi emak yang dibanggakan anak-anak tu memang mencabar.

Ah begitu syulit ya, menjadi yang terbaik sedangkan dalam masa yang sama emak juga berdepan dengan pengalaman pertama kali. Mana mungkin terus berjaya. Harapnya apa saja aku buat sebelum ni tidak meninggalkan kesan yang negatif kepada orang sekeliling aku terutamanya.

Secara Kesimpulan, perasaan ini adalah titik mula juga adalah teguran halus Tuhan kepada aku. Bukti juga aku semakin menua. Masa berada di dunia juga semakin suntuk. Pengajaran juga apa kita buat melambangkan siapa kita, ap akita cakap akan berbalik kepada kita.

Entri kali ni agak berkecamuk dengan pergolakkan emosi tapi aku harap apa aku nak terangkan tu sampai. Mana yang baik ambil, yang sia-sia tu abaikan.

Life Update Recap Bulan Ogos

Bulan Ogos berlalu begitu saja. Sibuk betul hidup sampai sebulan aku tak menulis dan tak berkongsi di blog. Selalunya menulis jadi cara aku untuk release segala overthinking dalam otak, tapi kali ni memang otak pun tak sempat nak berfikir. Jadi ikutlah flow dulu. Mana yang sempat.

Lately aku perasan apa saja keputusan yang perlu dibuat terutama berkaitan kehidupan, otak macam dah simpan satu template berdasarkan apa pernah jadi sebelum ni. Tak pasti benda tu baik atau sebaliknya tapi aku seram jugak lah.

 

Life-Update-Recap-Bulan-Ogos

Recap Apa Jadi Di Bulan Ogos

Dua bulan lepas aku memang struggle nak imbangkan kesihatan mental. Nak berehat tapi tak cukup masa. Nak berhenti je tapi tetaplah kena teruskan. Bersyukur mental tak pecah je. Alhamdulillah. Pengajaran terbesar ialah tak semua benda kita boleh kawal, tapi kita boleh pilih cara nak respon.

 

Perkara-perkara penting Di Bulan Ogos


Kejohanan Olahraga Sekolah

Sekolah anak aku baru je selesai Sukan Sekolah. Ikut tarikh asal sepatutnya sukan adalah pada bulan Mei tapi disebabkan hari tu kes HFMD meningkat naik jadi sekolah ambil langkah selamat untuk tangguh. Macam biasa aku sibuk jadi sukarelawan bantu sekolah.

Life-Update-Recap-sukan

Life-Update-Recap-sukan-sekolah


Pest Control & Anai-Anai

Akhir Ogos lepas, aku baru selesai uruskan hal rumah. Nak cerita panjang pasal pest control sebab rumah aku diserang anai-anai. Pengalaman yang berharga dan menakutkan juga. Penat dia, Tuhan saja yang tahu.

Terminate Unifi Selepas 4 Tahun

Lepas tu, sekarang pula dalam proses terminate Unifi. Yes, selepas hampir 5 tahun bersama Unifi, kami decide nak tamatkan kontrak sebab beberapa sebab tertentu. Masih lagi belum selesai sebab ambil masa sebulan juga. Harapnya aku rajin nak tulis posting penuh tentang pengalaman terminate Unifi nanti.

Kelas Silat Sekolah

Perjalanan yang panjang bila menulis tentang kelas silat ni. Kenapa bukan Kelab Silat tapi Kelas Silat? Aku sendiri tak berani memandai-mandai mewujudkan “Kelab” tu. Masih banyak dokumentasi nak kena lalu. Tapi Alhamdulillah bersyukur kami melangkah ke depan satu tapak lagi. Ada yang murah hati nak pinjamkan peralatan untuk training. Alhamdulillah murah rezeki murid-murid.

Life-Update-Recap-silat


 

Doakan aku ya, sebab apa jua perkongsian aku, harapan aku cuma satu. Semoga setiap apa aku kongsi atleast bawa manfaat kepada yang membaca. Life is too short jadi nak guna peluang sebaik mungkin sebarkan benda baik. 

Outing Cousin Di Game On Theme Park

Sebelum ingatan semakin pudar sebab sibuk urus hidup dan anak-anak, eloklah aku tulis pengalaman kami ke Game On Theme Park di Melawati Mall. Kali ni bukan sekadar jalan-jalan, tapi misi melunaskan janji lama dengan anak-anak.

Berapa kali dah lalu depan Game On ni, setiap kali jugaklah mereka minta nak masuk. Last sekali masa tengok Ejen Ali hari tu. Tapi biasalah, mak-mak ni banyak benda nak fikir. Alhamdulillah cuti Awal Muharram hari tu jadi juga akhirnya. Plan sangatlah last minute ya. 

game-on-theme-park


Outing Cousin Di Game On Melawati Mall

Game On ni tak pernah sunyi ya. Penuh manusia dari semua arah. Alang-alang tu ajak adik aku sekali dengan anak-anak dia. Datang ramai-ramai baru meriah. Theme Park macam ni kalau malu nak main, biarlah malu berjemaah. Ahaks!

Aku beli tiket secara online. Sampai sana just redeem je. Tak kuasa nak beratur panjang. Sambil tu sempatlah skrol laman web dan apps Game On untuk tengok apa permainan menarik yang ada. Mak-mak kan, kalau boleh semua nak prepare awal. Outing kali ni semua datang solo tanpa suami. Geng mak dan anak-anak je. 

Suami masing-masing ada urusan penting dengan Paduka Baginda katanya. Tapi tetap seronok sebab sepupu yang kecil-kecil ni berkumpul. Budak-budak ni bila jumpa geng, memang tak ingat dunia. 

game-on-theme-park-game2



Permainan Menarik Di Game On

Game On ni ialah pusat hiburan indoor beraircond, nikmat dunia mak-mak yang tak tahan panas macam aku. Kalau outdoor, aku tak boleh lama-lama. Mood pun terjaga, boleh tunggu dengan aman sementara bermain. Dekat sini luas dan banyak sangat aktiviti. Tempat dia lebih kurang macam SuperPark Malaysia yang dekat Avenue K tu. 

game-on-melawati-mall


Cawangan yang kami pergi ni dalam Melawati Mall. Memang paling dekat dengan rumah. Semua jenis permainan ada untuk pelbagai umur dan tahap tenaga. Serius, mak pun rasa nak masuk main sama. 

Antara permainan yang ada:

  • Ninja Challenge
  • Dodge Dash
  • Bubble Bang
  • Bouncing Basketball
  • Trampolines
  • Karaoke Rooms
  • E-Sports Gaming
  • Little World Playland (untuk anak kecil)

game-on-theme-park-game3


game-on-theme-park-game4

game-on-theme-park-game1


Harga Tiket 

Untuk harga tiket yang lebih tepat korang boleh rujuk laman sesawang Game On tapi waktu kami pergi harga adalah seperti berikut:

  • Kanak-kanak: RM42 (3-12 tahun)
  • Dewasa: RM38.00 (13-59 tahun)
  • Family pass: RM116 (2 Dewasa, 1 Kanak-kanak)
  • Stokin: RM7
  • Glove: RM5

Tiket untuk main seharian. 
Stokin wajib pakai. Boleh bawa stokin sendiri tapi wajib yang anti slip - Grip Sock. 
Glove tak perlu beli kecuali nak masuk ke Ninja Challenge. 
Rugi la tak masuk. Jadi beli je. 
Stokin dan glove boleh beli online atau pun walk in di kaunter. 

game-on-theme-park-game5

game-on-theme-park-melawati-mall


Tips Mak-Mak Yang Nak Bawa Anak

Kalau korang tengah plan nak bawa anak-anak, ini beberapa benda yang mungkin membantu:

  • Bawa air mineral sendiri, jimat. Kami nak mudah beli je dekat MR DIY dalam tu. Standby snacks ringan (untuk anak lapar tiba-tiba). 
  • Powerbank (ambil gambar/video banyak-banyak).
  • Boleh sewa loker untuk simpan barang berharga. 
  • Pakai baju dan seluar yang sesuai sebab aktivti dekat dalam ni memang lasak. Memanjat, melompat, berlari. Pendek kata memang korang akan keluar peluh. 
  • Bawa baju salin (kalau perlu)
  • Tak payah pakai kasut sukan sebab memang kena tanggalkan kasut di semua tempat. Susun kasut / selipar di rak yang disediakan. 
  • Download apps Game On siap-siap untuk booking slot permainan. Contoh aktiviti yang kena book - Karaoke Rooms, E-Sports Gaming, archery, snooker. 
  • Setiap permainan ada waktu slot 30 minit untuk satu kumpulan, jadi elok datang awal pagi untuk dapat banyak masa main.
  • Boleh keluar masuk banyak kali, asalkan tak buka wristband yang diberi. Wristband tu ada QR code. Setiap kali masuk ke kawasan permainan, kena scan.
  • Nak solat boleh cari dalam mall je. 
  • Nak makan ada kedai Game On berhampiran atau banyak pilihan tempat makan dalam Melawati Mall. Kami makan Bumbu Babah dekat foodcourt. 

game-on


Review Ikhlas Mak-Mak

Sangat berbaloi sebab anak-anak puas hati, mak pun enjoy walaupun penat. Suasana selamat, tempat bersih, staff pun helpful. Yang penting ada aircond, dan anak-anak dapat main puas-puas. Balik rumah semua tidur awal termasuk mak dia sekali. Kalau tengah fikir nak bawa anak ke mana hujung minggu, aku memang recommend datang ke sini. 


Jauhi Toxic Positivity & Hidup Untuk Bersyukur

Hujung minggu sudah aku balik kampung. Penat menghadap kesesakan lalu lintas di lebuhraya masih belum hilang dan hari Isnin datang lagi. Alhamdulillah masih diberi nafas meneruskan kehidupan di dunia. Selagi mana Tuhan bagi izin bernafas selagi itu tanggungjawab harus dijalankan.

Entri kali ini nak ingatkan diri supaya terus-terusan bersyukur, memberi motivasi sedikit sebanyak kepada diri supaya tak jadi toxic positivity. Masih kekal waras dalam memberi response kepada orang sekeliling supaya kekal bersangka baik dengan Allah. Bukan mudah tapi mencuba.

Toxic positivity secara ringkasnya berpura-pura positif sepanjang masa, sampai abaikan atau tolak perasaan negatif yang sebenarnya normal dan perlu dirasai. Penat bukan kalau selalu pura-pura, tapi kalau itu sahaja pilihan yang tinggal untuk kita payah juga.

Balik-kampung


Jauhi Toxic Positivity & Hidup Untuk Bersyukur

Aku sendiri pun masih meragui kebolehan diri nak menjawab soalan yang muncul dekat otak. Kadang-kadang minta jawapan dari Allah tapi Allah tak bagi jawapan secara direct tapi bagi ingatan dan teguran melalui ujian orang lain.

Berbalik kepada cerita balik kampung. Pelik betul walaupun takde cuti umum pun masih kena hadap kesesakan setiap kali lalu Lebuhraya Pantai timur. Geram weh. Bila la waktu tak sesak. Perjalanan balik ke sarang ambil masa sedikit lebih lama sebab banyak kenderaan berat turut serta.

Bayangkan di petang Ahad lori angkut kayu balak lalu sebelah kau tetapi dengan kelajuan kura-kura dan kelihatan tak stabil. Mengucap panjang setiap kali melintasi lori macam tu. Waktu tu juga la terlintas adegan final destination. Nauzubillahiminzalik.

Balik kali ni jenguk emak sebab rasa macam lama betul tak balik kampung. Ya Raya Haji lepas kami tak balik. Beraya dengan kakak je di bandar. Disebabkan tak mahu sangkut dalam kesesakan la aku sanggup balik waktu orang lain tak balik kampung.

balik-pantai-timur


Minggu ni sengaja pontengkan anak-anak kelas silat. Kebetulan minggu ni ada friendly game jadi kami skip. Satu nikmat tak terungkap bila dapat tengok muka emak. Ubat paling mujarab untuk segala sakit jiwa aku setakat ini. Emak baru je sihat setelah berminggu-minggu selesema dan batuk.

Ikutkan adik bagitahu masa raya hari tu jantung emak bengkak, batuk tak hilang dan selesema on off. Berapa kali ajak ke klinik tak mahu. Semenjak sakit selera makan emak memang kurang. Agak merisaukan, memang ibu bapa ni takdir dia memang degil eh. Nasihat dan pujuk macamana pun tetaplah nak menang.

Dugaan ohoi. Sikit je lagi nak jadi anak derhaka. Ahaks. Selalu aku menyakat emak, jangan sampai saya suntik awak dengan ubat pelali saya bawa ke klinik. Lepas tu emak mesti akan gelak besar. Begitulah. Bukan mudah.

Cikgu Matematik Online Percuma

Ini adalah entri sambungan tentang anak Lemah Subjek Matematik yang aku pernah tulis sebelum ni. Elok je aku search maka berderet-deret la iklan dan status naik berkenaan Matematik. Dalam banyak-banyak tu memang ada satu sumber yang sangat-sangat membantu berkaitan pencarian aku.

Aku banyak buat carian di aplikasi Thread sebab dekat sana circle aku ialah emak-emak yang ada anak bersekolah. Ramai rupanya emak yang melahirkan rasa risau terutama anak ada masalah nak score subjek Matematik.

Oleh sebab Ikhwan tinggal di asrama jadi target aku nak carikan nota rujukan / latihan Matematik dalam bentuk softcopy. By the way aku dah beli buku latihan dan buku rujukan hardcopy untuk dia rujuk. Kalau ada tusyen online yang bayar ikut sesi nak juga aku cuba, tapi setakat ni aku belum jumpa lagi.

Cikgu-Matematik-Online-Percuma


Cikgu Matematik Online Percuma 

Ramai beri pendapat yang kalau tinggal di asrama, aktiviti anak-anak memang dah sedia padat. Kalau belikan buku latihan pun anak tak sempat nak buat. But aku cuba sahaja, kalau dia mampu buat apa salahnya. Paling utama aku suruh dia tumpukan perhatian waktu dalam kelas masa cikgu mengajar. 

Jadi aku berusaha yang mana mampu. Plan asal nak buat latihan intensif jadi tak berapa intense sebab banyak assignment dia kena selesaikan sepanjang cuti sekolah. Ada assignment berkumpulan yang buat slide Canva, ada kerja individu dan ada juga kena buat rakaman video untuk subjek Sains.

Nasib emak kau pernah buat kerja-kerja merekod konten nak oi. Jadi tak susah sangat la nak bantu nak record dan buat editing. Ala editing simple je. Dekat rumah memang dah ada softlight, mikrofon dan tripod. Senang kerja, rezeki kau nak.

Berbalik kepada cerita Matematik, sebenarnya aku dah jumpa lubuk latihan dan source yang aku rasa sangat membantu dan boleh dipercayai. Hasil cadangan puan di Thread. Aku lupa nama dia. Dia cadangkan untuk follow Cikgu Mohd Zakry Abd Rahim di Facebook. Korang yang ada anak sekolah rendah digalakkan follow sebab dia banyak bagi nota dan latihan Matematik sekolah rendah.

Cikgu-Matematik-Online


Cikgu Mohd Zakry ada juga buat kelas matematik online secara percuma. Aku masih belum berkesempatan nak join live dia. Setakat ni aku dah masuk Telegram Channel dia nampaknya aktif juga. Ada juga promosi kelas tusyen berbayar. Boleh dah standby masuk dalam list kalau memerlukan in future.

Jadinya sepanjang cuti sekolah aku ambil bahan dari page Facebook cikgu Zakry dan aku susun print bagi anak-anak. Memang elok la kejadian bila aku bagi latihan baru faham dekat mana anak-anak kurang faham. Adik-adik dah faham bila abang pegang buku latihan maksudnya yang lain pon kena buat.

Rumah waktu cuti dah macam pusat tuisyen. Sekurang-kurangnya waktu cuti anak-anak terisi dengan perkara berfaedah. Alhamdulillah tak banyak drama air mata tapi aku banyak kali je kejadian aku bertukar jadi singa. Normal lah kan? ahaks. 


Hari Karnival Koperasi & Keusahawanan SM Sains Selangor

Minggu ni kami habiskan masa ke sekolah Ikhwan sebab ada Karnival Koperasi & Keusahawanan. Berlangsung selama dua hari. Ikutkan karnival dah mula hari Jumaat, tapi abah dia kerja jadi kami pergi hari Sabtu pagi.

Sebelum tu dia dah bagitahu yang dia mungkin sibuk terlibat dengan majlis sekolah yang juga berlangsung pada hari yang sama. Bertugas untuk MPM. Jadi kami redha saja tunggu dia habis bertugas.

Entah datang dari mana kegigihan setiap kali ada aktiviti mesti kami akan terpacak di sekolah dia. Sementara tunggu dia selesai bertugas kami jalan-jalan dan isi perut. Pukul 12 tenghari baru dia dapat join kami.

Alhamdulillah walaupun cuaca panas terik tapi karnival boleh tahan meriah. Kalau bandingkan karnival tahun lepas lebih meriah sebab sambutan jubli 50 tahun, melibatkan gerai peniaga luar. Tahun ni lebih kepada gerai pelajar sahaja.

karnival-Koperasi-Keusahawanan-SMSainsSelangor


Hari Karnival Koperasi & Keusahawanan SM Sains Selangor

Masih lagi sama, tahun ni karnival guna sistem kupon untuk pembelian sepanjang karnival. Ada kaunter jualan kupon dan buku kupon dijual serendah RM5. Kira okay la harga makanan dalam range bajet poket. 

Ikut brosur sekolah apa yang ada sepanjang karnival: ada gerai makanan dan minuman, mini petting zoo, e-game, sand painting dan cabutan bertuah. Faham je kecil-kecilan mungkin objektif nak beri pendedahan kepada pelajar untuk berniaga.

Pujian perlu diberikan kepada pelajar sebab usaha nak berikan yang terbaik tu boleh nampak lah. Bukan mudah dengan modal yang terhad dan salute cikgu pembimbing yang tak lokek nak guide dan menyumbang termasuk wang ringgit.

Nampak sisi lain anak-anak bila turun padang meniaga. Rasanya cabaran utama ialah cuaca panas. Nak hadap dapur panas, memasak bawah parking walaupun berbumbung memang menduga iman.

Banyak-banyak gerai makanan: kami beli sosej Thai, mi goreng sedap dan banyak kali ulang beli air. Ya ampun haus. Menu lain banyak tapi tak berjaya mengumpan selera. Kira okay lah alas perut.

Sebelum balik sempat catch up aktiviti anak bujang. Cepat betul masa berlalu. Life asrama kan itu sajalah cerita dia. Sentiasa ingatkan dia jaga diri, jaga kesihatan, jaga barang-barang. Fokus utama adalah study walaupun hakikat dia sekarang sibuk sangat dengan tugas dia jadi pengawas.

Nak halang itu minat dan tanggungjawab dia. Ishh mak geram. Kami gerak balik lepas siap teman Ikhwan makan. Pukul 2 petang dia kena bertugas jaga gerai pula. Petang pula bawa anak-anak ke kelas silat. 

Setiap minggu begitulah rutin kami. 

Sambut Raya AidilAdha Di bandar

Salam AidilAdha untuk semua pembaca. Walaupun dah hampir seminggu Aidiladha meninggalkan kita, tetap kena ada satu entri raya haji untuk tahun 2025. Raya dekat mana tu? Kat kampung ke bandar? Meriah tak sambutan raya korang? Raya Haji atau Raya Qurban selalu sambutan kurang meriah berbanding Raya Aidilfitri.

Sambutan dari segi sediakan juadah raya, menziarah atau pun shopping baju raya. Lain lah kalau terlibat buat ibadah Qurban atau dijemput jadi tetamu Allah menunaikan haji di Mekah. Rasanya golongan ini lebih bersemangat beraya.

Apa pun aku seronok sangat raya tahun ni walaupun beraya dia bandar. Tahun 2025 kami tak buat Qurban dan tarikh hari raya berada di hujung cuti sekolah. Jadi tak dapat nak balik kampung. Selain risau menempuh kesesakan Lebuhraya, ada hal-hal yang kami tak dapat elakkan.

Sambut-Raya-Di-bandar


 

Sambut Raya AidilAdha Di bandar

Untuk keluarga sendiri, malam sebelum raya aku dah rebut nasi impit segera, pagi tu panaskan kuah kacang frozen aku dah beli sebelum tu. Kemudian aku masak mi kari udang. Dah makan mi kari, makanan lain dah tak larat nak makan. Nasib baik masak tak beria. Begitulah keluarga kecil kami.

Selesai solat raya baru kami makan ramai-ramai. Pesan awal-awal dekat anak-anak supaya pakai, pakaian baru biar terasa mood raya tu. Sekadar menghidupkan suasana raya tu. Selesai semua baru call emak di kampung. Tahun ni ada lima orang adik beradik bersama keluarga masing-masing teman emak beraya di kampung.

Ikutkan meriah dah tu. Mak masak macam-macam melayan selera anak cucu yang jarang balik. Ketupat palas memang tak tinggal. Itulah menu raya favorite arwah abah. Rindu abah.

Sambut-Raya-AidilAdha-Di-bandar


Maka tahun ni kami redha sambut raya Aildiladhadi bandar je. Tahun ni aku tak buat rendang. Jumpa rendang daging rusa waktu menziarah kakak di Puncak Alam. Itu pun kakak yang sulung masak. Kakak lagi satu masak nasi ayam sebagai main dish. Dijamu dengan biskut raya yang pelbagai. Itu pun dah seronok sangat.

Tahun ni juga kami meriah dapat daging Qurban. Otak dah mula sibuk mencari resepi daging. Begitulah tugas hakiki emak-emak kan.


Ditimpa Musibah Tanpa Henti

Pagi ni berdebar baca mesej suami bagitahu di whatsapp, Sekolah Menengah Sains Alam Shah (ASiS) terbakar. Terperanjat sangat dan automatik teringat anak di asrama. Jiran sekolah anak je tu. Belakang tu je Sekolah Menengah Sains Selangor (SMSS). Tapi ikutkan Sekolah Menengah Teknik KL lagi dekat dengan ASiS. Masih menunggu update dari group sekolah anak.

Belum reda lagi kesedihan kes kemalangan bas pelajar UPSI, jadi pula kebakaran macam ni memang sayu sangat hati. Ikut maklumat hebahan tak rasmi, bangunan sekolah ASiS yang terbakar bukan asrama. Sekurang-kurangnya kebakaran tidak melibatkan murid. Moga tiada kemalangan jiwa berlaku.

smss-ikhwan


Musibah berlaku pada hari pertama sekolah selepas balik bercuti panjang. Mesti masing-masing dalam keadaan terperanjat lagi. Mak ayah belum habis penat hantar anak balik asrama. Setiap kali hantar Ikhwan balik asrama kami akan lalu depan ASiS. Ikutkan memang bangunan nampak dah lama. Kita tunggu saja siasatan pihak polis.

Salam takziah di ucapkan. Semoga baik-baik saja untuk semua yang terlibat. Fasa selepas musibah tu bila bayangkan terasa penatnya. Banyak kerja nak buat tu.


Rayuan Derma Kilat

Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera.Seperti kita semua sedia maklum satu kebakaran yang melibatkan bangunan utama pejabat sekolah termasuk bilik guru baru saja berlaku lebih kurang jam 4.30 pagi tadi.

Hasil dari pemerhatian awal mendapati hampir keseluruhan ruang tingkat 1 blok hangus terbakar dan jumlah kerugian masih disiasat. Sehubungan dengan itu, kita melancarkan tabung derma kilat yang akan terus disumbangkan kepada pihak sekolah bagi sedikit sebanyak membantu menampung keperluan segera sekolah terutamanya untuk guru-guru yang kehilangan kesemua barangan peribadi yang diletakkan dibikik guru. Sumbangan boleh disalurkan kepada :

 

derma-kilat-asis

AKAUN 1 PIBG

No akaun : 8000960571

Nama akaun : PIBG SM SAINS ALAM SHAH

Bank : CIMB Bank

Rujukan : derma kilat

Link herepay: https://app.herepay.org/asis-pibg/dermakilatasis

JK PIBG SM Sains Alam Shah

10 Jun 2025

asis-terbakar

 

Ditimpa Musibah Tanpa Henti

Rasanya minggu ni minggu ujian buat aku dan orang sekeliling. Bila terima berita musibah yang bertimpa-timpa ni buat aku rasa betul-betul hidup ni rapuh sangat. Aku juga masih dalam mode terperanjat sebab sekolah anak aku juga dilanda bencana ribut. Cuaca sekarang memang tak menentu. Baru hari tu cuaca panas melampau, sekarang diselangi dengan hujan lebat ribut pula. 

Kami, ibu bapa dapat tahu tentang ribut ni pun bila cikgu kongsi tentang langkah-langkah keselamatan yang perlu murid-murid patuhi bila kembali ke sekolah dalam group whatsapp.

Kejadian berlaku minggu lepas waktu petang, hujan angin kuat dan pokok pinang tumbang. Habis papan tanda sekolah kena hempap. Memang ranap dan tak dapat diselamatkan. Selain papan tanda, atap bangunan juga ada juga yang terjejas. Syukur tidak melibatkan kemalangan jiwa. Berlaku waktu cuti sekolah jadi bersyukur sangat.



Semoga apa yang berlaku Allah ganti dengan perkara yang lebih baik. inshaAllah.

 

Doa Apabila Ditimpa Musibah

Baginda ﷺ bersabda: “Sesiapa yang mengucapkan doa ini ketika ditimpa musibah, Allah pasti akan menggantikan buatnya sesuatu yang lebih baik.”

Doa yang diajarkan oleh Rasulullah ﷺ ini:

إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ، اللَّهُمَّ أْجُرْنِي فِي مُصِيبَتِي وَأَخْلِفْ لِي خَيْرًا مِنْهَا

“Sesungguhnya kami adalah milik Allah dan kepada-Nya kami akan kembali. Ya Allah, berikanlah ganjaran kepadaku di atas musibah yang menimpaku dan gantikanlah untukku sesuatu yang lebih baik darinya”.

Hadis Riwayat Muslim, 918


Semoga anak-anak sentiasa di sentiasa dilindungi Allah daripada perkara yang tidak baik. Semoga diberi kesihatan, kemudahan dalam menuntut ilmu serta kekuatan untuk berjaya dunia dan akhirat. Semoga menjadi anak yang soleh dan solehah, cemerlang dalam pelajaran, dan menjadi seorang yang berjaya.

Aamin.

 

Amalkan juga doa perlindungan

أَعُوذُ بكَلِمَاتِ اللَّهِ التَّامَّةِ، مِن كُلِّ شيطَانٍ وهَامَّةٍ، ومِنْ كُلِّ عَيْنٍ لَامَّةٍ

Maksudnya: "Aku berlindung dengan kalimah-kalimah Allah yang sempurna dari setiap gangguan syaitan, binatang berbisa dan setiap pandangan mata yang jahat.”


Tengok Ejen Ali: The Movie 2 – Misi Satria

Sabtu lepas kami satu keluarga tengok wayang dan sehingga sekarang masih belum boleh move on lepas tengok Ejen Ali The Movie 2. Entah macamana aku sekali boleh tersangkut suka cerita ni.  

Mesti kena kongsi pengalaman ni dalam blog sebab nanti bila keluar Ejen Ali The Movie nombor 3 aku boleh baca semula sambil senyum-senyum. Aku ada terbaca dekat posting orang katanya, movie nombor 3 akan keluar tahun 2028. Lambat lagi. Selagi belum ada pengumuman rasmi kita baca je jangan percaya.

Oleh sebab dah tengok Ejen Ali The Movie yang pertama semestinya teruja nak tengok sambungan dia – Misi Satria. Weh serius cakap tak puas berapa jam kami dalam tu. Dari awal sampai habis cerita dia on point. Takde babak meleret. Tu aku suka.

Maaf kali ni tak sempat ambil gambar. Simtom usia dah nak masuk senja. Malas ambil gambar. Kami tengok Ejen Ali di GSC Melawati Mall. Tempat sama aku tengok movie Mechamato  waktu tu tahun 2023 woi. 

 

Tengok-Ejen-Ali-The-Movie-2-Misi-Satria


 

Tengok Ejen Ali: The Movie 2 – Misi Satria

Aku tak tengok sangat yang siri episod dekat TV tu kecuali anak-anak memang diaorang die hard fan. Masa aku tengok episod awal-awal dulu, aku jadi sakit hati dengan watak Ali. Lah dengan watak kartun pun aku bleh emo. Lol.

Ali suka buat kesalahan yang bagi aku remeh tapi dia buat. Kategori menjahanamkan majlis la kiranya. Terus aku tak tengok. Tapi bila keluar wayang baru lah aku betul-betul in love dengan cerita dia.

Tapi kalau difikirkan semula, masa filem pertama keluar waktu tu tahun 2019, umur Ali ialah 12 tahun. Darjah enam jadi tak kan nak bayangkan Ali ni matang pula kan? Kena la sikap dengan umur 12 tahun tu.

Aku dah masuk kategori kanak-kanak purba tapi masih boleh layan Ejen Ali tau. Bukan aku sorang je, masih ramai kanak-kanak purba kat luar sana yang sama minat dengan aku. Buktinya, kutipan panggung selepas 11 hari ditayangkan ialah sebanyak RM34.2 juta. Wohoooo.

Ejen-Ali-The-Movie-2-Misi-Satria


 

Antara babak yang meninggalkan kesan dekat aku:

Scene 1:

Babak Ali baru sedar yang dia tumbuk perut Alicia. Ohoi, aku menjerit “noooooo” panjang ya. Walaupun aku dah dapat agak suit Satria kena hack dengan Neonimus dan Cero ambil alih Satria. Jadinya semua droid yang Ali lawan tu semua ejen M.A.T.A.

Akhir sekali baru la si Ali hegeh-hegeh tersedar yang dia lawan macam nak mati tu Alicia. Eh emosi lagi.

Scene 2:

Waktu General Rama yang juga merupakan merupakan Jeneral M.A.T.A.  ajak geng Mamak Maju selamatkan Alicia waktu berlawan dengan Neonimus. Memang legend ya Ejen Rahul, Ejen Razman & Ejen Rajesh. Background musik pula lagu Mamak Maju Servis Laju.

Tengok-Ejen-Ali-The-Movie-2



Scene 3:

Masa babak Ali dengan Alicia lawan Satria yang waktu akhir-akhir tu. Tiba-tiba ada watak Cikgu Munah yang Garang tu dia libas Cero dengan rotan. Weh lawak ya. Cikgu Munah tu pun dah cukup lawak. Memang ramai yang tergelak dalam pawagam.

Scene 4:

Masa Alicia kata “ Terima kasih Ali, dah banyak kali kau selamatkan aku”. Weh masa ni nak keluar air mata aku. Siot betul. Nak nangis malu dengan anak-anak jadi tahan jelah.

 

Secara Kesimpulan, pergilah bawa anak-anak korang tengok cerita Ejen Ali: The Movie 2 – Misi Satria. Banyak nilai murni boleh anak-anak dapat. Kalau suami ajak repeat tengok Ejen Ali aku okay je. Tak sabar nak tunggu movie Mechamato nombor pula.