Memaparkan catatan dengan label MPT4. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label MPT4. Papar semua catatan

Pengalaman Menjadi Batch Pertama Matriks Pembelajaran

Alhamdulillah tamat sudah episod penuh debaran Matriks Pembelajaran Tahun 4 (MPT4) untuk calon berusia 40-an di rumah ni. Ahaks. Calon sebenar yang berusia 10 tahun pual kelihatan lebih santai menghadapi ujian sebenar.  

Memandangkan ini kali pertama MPT4 dijalankan, memang agak berdebar bila bayangkan anak sendiri menjadi calon batch pertama yang kena hadap. Perasaan tu bercampur baur. Kami mak ayah pun kena tempiasnya.

Selesai sudah Matriks Pembelajaran Tahun Empat

Doa sudah, usaha pun sudah jadi kita tawakal dengan apa saja keputusan yang anak dapat nanti. Mujurlah hanya empat subjek saja yang terlibat (Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains).

Itupun aku sebagai calon 40-an dah separuh nyawa menghadap karenah anak. Bersyukur anak faham dan patuh saja arahan cikgu dan mak ayah. Jadi proses belajar tu jadi lebih tenang.

Ada kejutan untuk kertas Bahasa Inggeris, format bahagian 6 berubah dari format yang dimaklumkan sebelum ni.

Kena buat penulisan perenggan berpandu menggunakan grafik / gambar tapi yang keluar hanyalah penerangan teks.

Anak-anak kena fahami teks dan tulis berdasarkan situasi. Bila anak-anak balik bercerita mama mampu mendengar saja. Nak marah pun tiada guna. Ahaks.

Batch_Pertama_Matriks_Pembelajaran


Debaran Kali Pertama Calon Peperiksaan

Anak-anak baru terasa debaran peperiksaan hanya pada hari Khamis, minggu sebelum MPT4 bila cikgu susun kedudukan meja dan kerusi untuk peperiksaan dalam kelas.

Lagi nampak serius kena jawab peperiksaan sebab slip peperiksaan ditampal di meja. Terpampang nama masing-masing.

Buat pertama kali anak-anak merasai suasana medan peperiksaan yang lebih formal. Ada ketua guru pengawas dari sekolah lain yang memantau, dibantu guru pengawas peperiksaan dari sekolah sendiri.

Macam peperiksaan besar yang lain, ada peraturan tertentu yang perlu dipatuhi, termasuk berkaitan waktu untuk ke tandas. 30 minit pertama dan 30 minit di akhir peperiksaan anak-anak tidak dibenarkan ke tandas.

Daripada cerita anak-anak, memang ada murid yang berdepan situasi kurang selesa ketika peperiksaan berlangsung. 

pengalaman_pertama_Matriks_Pembelajaran


Persediaan Sebelum MPT4

Imbas kembali persediaan menghadapi MPT4, memang nampak kesungguhan guru subjek terutama subjek Bahasa Melayu dan Matematik untuk bantu anak boleh jawab soalan.

Latihan demi latihan diberikan demi memastikan anak-anak membiasakan diri bila menjawab soalan matriks sebenar.

Untuk kami, mak ayah generasi millennial ni memang tak senang duduk. Aplikasi thread menjadi salah satu sumber rujukan dan juga tempat meluahkan kegusaran.

Ada juga yang kongsi contoh soalan berdasarkan format yang pernah dikongsikan Lembaga Peperiksaan sebelum ni. Alhamdulillah, sedikit sebanyak membantu.

Salah satu perkara yang aku tak menyesal buat ialah membeli nota subjek Sains dan Matematik. Ringkasan nota AI yang padat dan nampak kemas disusun dalam satu muka surat.

Raudah suka dan lebih mudah faham bila baca nota tu. Penting untuk cari cara yang sesuai untuk bantu waktu ulangkaji.

Apa pun bersyukur dan berbangga dengan komitmen anak tunjukkan. Banyak kali aku ulang dengan anak-anak. Syarat aku mudah je, keputusan peperiksaan kalau tak dapat A tiada masalah cuma doa dan usaha tu kena A.  

Aku nak tengok usaha, aku fokus proses yang mereka lalui bukan hasil semata-mata. Kalau dapat keputusan cemerlang tu kita anggap jelah sebagai bonus.

Semoga segala usaha yang dicurahkan oleh anak-anak dan guru-guru mendapat hasil yang baik. Apa pun keputusannya nanti, semoga pengalaman ini menjadi salah satu langkah untuk anak-anak terus belajar, memperbaiki diri dan lebih bersedia menghadapi cabaran akan datang.