Cuti Deepavali yang lepas, kami keluar makan malam. Kalau ikutkan mood, memang rasa nak berehat di rumah sahaja. Tetapi, memikirkan anak-anak, gagahkan diri juga untuk keluar makan bersama.
Cuaca sekarang pula asyik hujan.
Jadi, memang terasa nak mencari comfort food. Terbayang nikmat menghirup
sup panas ketika cuaca sejuk begini. Akhirnya, kami memilih untuk makan di
Restoran Cikgu Lee yang terletak di Taman Melawati.
Alang-alang sampai melawati boleh minum kopi di Nostalgia 9163 ni.
Restoran Cikgu Lee mempunyai
pensijilan halal JAKIM dan menawarkan hidangan masakan Cina Muslim. Jadi,
bolehlah menikmati pelbagai pilihan menu dengan lebih tenang.
Menu Unik Sup Putih Susu Ikan Bihun
Aku tertarik nak mencuba Sup
Putih Susu Ikan Bihun kerana terbaca banyak ulasan yang bagus tentang menu ini.
Selalunya kita makan bihun sup
dengan daging atau ayam, tetapi kali ini bihun sup dihidangkan bersama ikan
goreng. Nampak unik juga gabungan ini. Kena pula dengan keadaan tekak aku yang
kurang sihat ketika itu.
Kuahnya berwarna putih susu,
tidak pedas dan mempunyai rasa umami yang kuat. Ada potongan ikan goreng
yang lembut isinya, tetapi masih terasa sedikit rangup apabila digigit.
Selain itu, terdapat juga
potongan keladi dan ketulan tomato di dalam sup. Hidangan ini kemudian ditabur
dengan daun ketumbar yang menambahkan aroma tersendiri.
Rasanya agak unik dan susah untuk
aku gambarkan dengan kata-kata. Cuma, pada pendapat aku, mungkin bukan semua
orang akan menggemari rasa sup putih susu ini.
Suami aku contohnya. Menu sup
putih seperti ini memang bukan pilihannya kerana dia agak cerewet apabila
melibatkan hidangan ikan.
Menu Pilihan Masing-Masing
Suami dan anak-anak masing-masing
memilih menu yang berbeza. Maklumlah, selera masing-masing tak sama.
Suami memilih Yin Yang Noodle
yang menggabungkan bihun dan kuey teow. Si abang pula memilih Pan Mee Kicap,
adik makan Stim Cheong Fun dengan kuah manis, manakala si kakak memilih Nasi
Ayam Marmite.
Masing-masing nampaknya berpuas
hati dengan pilihan sendiri. Alhamdulillah, semuanya makan dengan berselera dan
kenyang.
Kami turut memesan Coco Panas
serta pencuci mulut Longan & Kelapa Laut sebagai pelengkap makan malam.
Pengalaman Makan di Restoran Cikgu Lee
Bagi yang sedang mencari hidangan
Cina Muslim yang menarik, Restoran Cikgu Lee boleh dimasukkan dalam senarai
tempat makan untuk dicuba.
Daripada hidangan yang kami
pesan, terasa bahan-bahan yang digunakan masih segar. Layanannya juga mesra,
manakala suasana restoran selesa dan bersih. Sesuai untuk makan bersama
keluarga.
Secara keseluruhannya, kami
sekeluarga berpuas hati dengan pengalaman makan di sini. Kalau ada rezeki dan
berkesempatan datang lagi, aku teringin nak mencuba menu lain pula. Banyak lagi
pilihan yang belum sempat kami cuba.


























