Seminggu bercuti di kampung memang seronok sangat. Awal-awal cuti sekolah hari tu dah rancang nak luangkan masa balik kampung. Alhamdulillah big boss beri keizinan bawa anak-anak pulang ke kampung.
Lebih kurang seminggu juga kami habiskan masa di kampung. Kali ni balik dengan anak-anak je sebab suami tak dapat cuti lama.
Balik Kampung Cuti Sekolah - Musim Rambutan
Kebetulan cuti sekolah kali ni dekat kampung tengah musim buah. Buah Rambutan dan manggis. Rezeki ya tahun ni. Cukup untuk kami adik beradik. Beza sungguh tahun lepas terpaksa berebut makan dengan monyet dan kalong. Aku baru tahu kalong tu kelawar yang makan buah.
Cuti sekolah hujung tahun kali ni relax sikit. Seminggu
sebelum tu asyik la hujan, air Sungai Pahang naik tapi tidak sampai banjir. Cuaca
pun elok panas je. Dapatlah anak-anak main dengan senang hati.
Kalau balik kampung aktiviti memang tak dijangka
sebab mak suka request macam-macam. Ada je benda mak nak ajak buat sama-sama. Jadinya
kalau balik kampung tak akan sempat nak rasa bosan.
Percaya atau tak kami langsung tak tonton
televisyen bila berada di kampung. TV tu jadi perhiasan je. Siang hari sibuk
mengemas, berkebun, memasak dan bila malam masing-masing sibuk mengaji dan
berborak.
Aktiviti Dekat Kampung – Main Masak-masak
Dulu masa kecik-kecik, kami adik beradik suka
sangat main masak-masak guna kayu api. Lebih tepat masak mi segera. Perasaan
seronok tu hanya Tuhan je yang tahu. Dapat masak dan makan sama-sama.
Bagus ya aktiviti tu sebab mengajar kami kemahiran
hidup. Nak hidupkan api guna kayu api dan mancis tu perlukan kesabaran dan ilmu.
Dulu-dulu emak akan gelakkan kami sebab berejam ya nak hidupkan api.
Kali ni aku pula yang ajak anak main
masak-masak. Aku faham sangat keterujaan tu. Bila giliran anak, aku duduk tepi
nak tengok kreatif ke tidak mereka. Bantu mana yang patut je. Kalau dekat rumah
sendiri mana ada jumpa benda-benda macam ni.
Pergi Pekan Sehari Chenor
Seminggu juga kami duduk di kampung. Sempat pergi
Pekan Sehari Temerloh dan Pekan Sehari Chenor. Mak ajak pergi Chenor sebab
terpengaruh nampak video di TikTok. Tujuan utama nak cari ulam yang rare. Ikan Patin aku dah beli masa pergi Pekan Sehari Temerloh.
Kami ikut jalan dalam jadi ambil masa 45 minit
untuk sampai. Sampai sekitar pukul lapan pagi itu pun dah penuh orang tapi kurang
sesak berbanding Pekan Sehari Temerloh. Dari segi barang jualan, kepadatan,
pilihan barangan, dan keselesaan memang Pekan Sehari Temerloh menang.
Tak beli banyak barang pun, datang nak cuci
mata dan tunaikan hajat emak. Aku beli kuih Tepung Bungkus dan Sate Padang tapi
sayangnya kuih terlebih manis. Dua-dua kurang kena dengan tekak.
Sekurang-kurangnya lepas ni kalau ada yang
borak tentang Pekan Sehari Chenor aku dah tahu nak borak apa. Ada rezeki aku share dalam entri lain pasal Pekan Sehari Chenor.
Kesimpulan balik kampung kali ini terasa amat
pendek dan sangat-sangat seronok. Bersyukur sangat dapat tunaikan permintaan emak,
dapat kemas rumah, dapat panjat pokok rambutan dan manggis. Dapat berkumpul dengan
adik beradik walaupun tak semua dapat balik.





0 Ulasan
Kata-kata yang lemah dan beradab dapat melembutkan hati dan manusia yang keras.
Terima kasih sudi comment.