Alhamdulillah raya kali ni seronok sangat. Paling berharga di waktu usia begini masih lagi dapat peluang beraya dengan emak, berkumpul adik beradik dan bergambar ramai-ramai.
Ikut giliran kami beraya di Pahang dan memang penuh
lah rumah. Daripada sepuluh adik beradik, seorang je kakak yang beraya dengan
keluarga sendiri. Maklumlah bila keluarga semakin berkembang dan kakak dah ada
cucu sendiri.
Rumah emak memang meriah dan penuh dengan anak-anak serta cucu-cucu. Masih lagi meneruskan tradisi masak bersama-sama, malam raya bakar mercun dan anak-anak enjoy main bunga api.
Beginilah tradisi setiap tahun, kalau semua ada memang riuh, lepas tu bila masing-masing kembali ke sarang memang terasa sunyi rumah emak.
Kejadian Syawal Raya Pertama
Biasa kami pagi raya lepas selesai solat hari
raya Aidilfitri macam biasa makan ramai-ramai. Menu pagi raya rendang daging,
rendang ayam pencen, masak lodeh, Kuah kacang dan laksa.
Perut dah kenyang baru lah bermula sesi salam mohon
ampun maaf dan pemberian duit raya. Lepas tu ambil peluang juga rekod video
kenangan raya dan sesi bergambar.
Bayangkan emak kena layan sembilan keluarga
dengan pelbagai ragam. Tahun ni tiada drama air mata yang teruk, masing-masing
ceria je. Masing-masing sabar ikut giliran.
Riuh rendah rumah kami ya. Anak-anak saudara la
yang paling gembira sebab dapat kutip banyak duit raya dari makcik dan pakcik.
Beraya Dan Sesat Dalam Kebun Getah
Selesai semua urusan abang sulung ajak beraya
di Bahau. Menziarah nenek saudara yang semakin uzur. Memang itulah destinasi
kami setiap kali raya. Alang-alang tu singgah juga rumah Mak Tua di Kampung
Bukit Kelulut dan pak Unggal di Kampung Lonek, Batu Kikir.
Kami okay je bila emak ajak beraya rumah
saudara tapi perasaan seram bila bayangkan keadaan jalan raya dan bentuk muka
bumi kampung tu aku tak dapat nak elak.
Tahun ni pecah rekod kami sesat dalam kebun
getah dan kereta adik bongsu sangkut dan tersagat jalan tar masa dalam
perjalanan ke Kampung Lonek.
Dari rumah kami konvoi enam kereta. Selain dari
waze kami hanya bergantung dengan kereta siapa yang berada di hadapan. Ada sekali
kami terpisah dan terpaksa guna waze. Tapi hauk ya, entah kemana waze bawa. Itu
yang sampai tersesat dalam kebun getah.
Ikut hati nak give up patah balik rumah je. Walaupun
sampai lambat tetaplah gigih menghormati tuan rumah yang beria-ria menjemput
kami.
Kejadian Kereta Sangkut Sagat Jalan Tar
Selepas kejadian sesat dalam kebun getah kami
teruskan perjalanan ke rumah Pak Unggal. Suka dengan pemandangan
sepanjang jalan memang tak pernah mengecewakan.
Memang tenang je cuma kali ni musim
kemarau jadi nampak tanah kering jelah. Berlaku kejadian tak di duga. Jalan nak
masuk ke rumah Pak Unggal memang sempit.
Kena lalu jalan yang hanya
cukup-cukup untuk satu kereta. Dijadikan cerita, kereta adik Perempuan sangkut sebab
nak elak kereta dari arah bertentangan.
Waktu tu adik follow rapat kereta
abang. Adik pandu Myvi, abang pula pandu X50. Kereta kami pula jauh sedikit
dari adik.
Masing-masing terlalu yakin ya
akan lepas. Sudahnya kereta abang lepas dan kereta adik tersangkut sebab nak
bagi ruang kereta dari arah bertentangan.
Waktu nak bagi laluan itulah
kereta adik tersasar dan bergesel dengan jalan tar. Jalan tak sama rata. Memang
panik ya. Nasib tak masuk ke dalam sawah.
Risau kalau kereta rosak teruk
dan lagi teruk kalau terbalik. Keadaan terkawal bila kami ramai-ramai turun
beri beri sokongan.
Panik punya pasal suruh adik
keluar dan minta adik lelaki yang kawal kereta nak naik ke jalan semula. Menangis
bunyi geselan kereta dengan jalan tar.
Tapi memang kenangan seram sejuk
untuk kami semua. Lega tiada yang kerosakan serius. Raya diteruskan dan lepas
tu kami balik terus ke rumah. Teringat kereta aku breakdown tepi jalan waktu hujan lebat.
Reunion Keluarga Sebelah Arwah Abah
Raya kedua kami berehat di rumah
dan hanya sambut tetamu. Raya kali rileks sikit berbanding tahun sudah. Raya
ketiga kami balik kampung sebelah arwah abah pula. Menghadiri majlis reunion keturunan
Sutan Maakat.
Majlis ringkas je, salam saudara
mara, makan-makan sambil bertegur sapa makcik pakcik. Masa inilah jumpa semua
sepupu, anak buah, cucu, cicit yang semestinya aku tak kenal.
Meraikan saja sambil mengeratkan
ukhwah. Selesai reunion kami bergerak beraya di kampung kelahiran emak di Temerloh.
Singgah beraya di rumah makcik
dan sebelum balik menziarah kubur arwah wan dan aki. Raya ke-empat baru kami
balik Melaka.
Itu sajalah cerita syawal yang tak terduga di hari raya. Semoga ada rezeki lagi beraya
bersama-sama di masa hadapan. Kita tak tahu rezeki, ajal dan maut. Tahun ni aku
hargai setiap detik, kenangan raya bersama keluarga.





0 Ulasan
Kata-kata yang lemah dan beradab dapat melembutkan hati dan manusia yang keras.
Terima kasih sudi comment.