Baru perasan aku tak pernah
cerita lagi tentang Kejohanan Silat olahraga yang Airis bakal sertai hujung
bulan Mei ini. Pertandingan pertama dia. Kami masih lagi sibuk dengan jadual harian
dan rasanya selepas cuti sekolah pertengahan tahun baru reda sikit. Agaknya lah.
Sekarang dalam jadual penuh
dengan persiapan pertandingan anak-anak. Bermula dengan bantu Raudah buat tugasan
video tentang zakat masa bulan ramadan, sambung pula bantu dia buat video book
review sebagai wakil sekolah.
Selesai submit dua tugasan, sekarang fokus persiapan untuk pertandingan Bahas. Nak pergi bertanding 18 Mei di TAR, UMT. Nanti cerita panjang in separate entry.
Debar Pertama Kali Hantar Anak Bertanding
Kelab putuskan untuk sertai
kejohanan dan hantar anak-anak untuk beri pendedahan.
Secara rasminya Kejohanan Silat Terbuka Wilayah Persekutuan Scca Silat
Gladiator 3.0/2026 merupakan pertandingan pertama mereka.
Dulu aku pernah juga terlibat
dengan silat olahraga, jadi memang tahu serba sedikit tentang sistem markah dan
kategori pertandingan. Tapi bila anak sendiri masuk gelanggang, rasa dia memang
lain.
Sebelum ni anak-anak hanya kutip pengalaman dalam gelanggang semasa training dan juga friendly. Jadi inilah masanya untuk tengok keupayaan anak-anak. Sebagai emak haruslah diri ini berdebar dan cuak ya.
Jadual Kejohanan Silat Terbuka Dah Keluar
Malam tadi penganjur buat cabutan
secara dalam talian untuk tentukan lawan. Hanya tunggu carta jadual kejohanan yang rasmi je. Airis akan bertanding di bawah kategori tanding Tunas: 7 hingga 8 tahun. Kelas -A, bawah 17kilogram.
Dari segi persiapan, selain
training setiap minggu jurulatih memang pesan untuk anak-anak jaga stamina dan
jaga kesihatan. Memang mak ayah kena buat sekali baru anak-anak bersemangat nak
buat.
Sebab tu masa kami hujung minggu teramatlah pack. Alhamdulillah walaupun sibuk, kami tetap pastikan perkara-perkara penting tak terlepas. Anak-anak gembira walaupun penat.
Raudah Tarik Diri Dari Pertandingan Silat
Oh ya untuk kejohanan kali ini,
kami putuskan untuk “tarik diri” bagi penyertaan Raudah sebab dia terlibat
dengan pertandingan bahas. Memandangkan Bahas pun pertama kali dia nak cuba jadi
kami risau dia tak boleh handle the pressure.
Waktu latihan pun padat dan ada beberapa kali clash waktu latihan silat dan bahas. Paling utama, bahas perlukan kekuatan memori untuk faham dan hafal. Silat pula latihan kena pakai otak dan melibatkan fizikal. Syukur kami buat pilihan tepat. Kejohanan seterusnya kakak cuba ya.
Kenapa Kami Pilih Silat Untuk Anak-Anak?
Emak aku pernah tanya soalan
random masa aku cerita anak-anak pilih silat olahraga; kenapa pilih sukan yang lasak
macam ni? aku mampu gelak je.
Background aku dan suami, memang
aku minat silat. Itu je alasan paling kukuh terlintas di otak. Arwah abah guru silat, pakcik dan makcik aku pun. Jadi aku dikelilingi insan berdarah pendekar.
Nampak sedikit pelik, masa arwah
abah masih hidup aku takut nak tunjukkan minat tu. Pastinya semangat dan minat
abah tu aku warisi.
Akhirnya, fasa hidup kami sekarang
memang rasa macam hidup ni bergerak dari satu tugasan ke satu tugasan. Penat tu
memang penat, tapi dalam masa sama seronok tengok anak-anak mula jumpa minat
dan cuba benda baru. Kami support apa yang mereka minat selagi benda itu baik.
Untuk kejohanan kali ini, kami
tak letak harapan terlalu tinggi soal menang atau kalah. Cukuplah anak-anak
dapat rasa pengalaman masuk gelanggang sebenar, belajar kawal tekanan dan
belajar disiplin sepanjang latihan.



0 Ulasan
Kata-kata yang lemah dan beradab dapat melembutkan hati dan manusia yang keras.
Terima kasih sudi comment.