Memaparkan catatan dengan label Silat. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Silat. Papar semua catatan

Pengalaman Pertama Raudah Dalam Silat Olahraga

Assalamualaikum. Alhamdulillah, segala puji bagi Allah yang mengurniakan rezeki dan pengalaman yang baik buat kami sekeluarga. Masing-masing dalam proses recovery sebab baru lepas sertai pertandingan silat.

Rasa macam lama sangat tak menulis dekat sini. Tengah susun atur semula supaya kehidupan on track macam biasa.

Pada 11 hingga 14 September yang lepas, Raudah menyertai Kejohanan Silat Olahraga Pendekar Kalimah 2.0. Ini merupakan pengalaman pertama Raudah masuk pertandingan silat olahraga.

Pengalaman_Pertama_Raudah_Silat_Olahraga


Pertandingan Pertama Raudah

Sejujurnya, keputusan nak izinkan Raudah bertanding bukanlah perkara kecil. Banyak benda kami kena ambil kira termasuk Matriks Pembelajaran Tahun 4 yang bakal dia duduki tak lama lagi.

Sudah dipesan awal-awal yang masuk tak semestinya wajib menang. Kalau rezeki Allah bagi Alhamdulillah. Lebih kepada nak bagi dia rasa sendiri suasana pertandingan, belajar kawal perasaan dan berani melangkah masuk ke gelanggang.

Alhamdulillah, dengan izin Allah, Raudah berjaya membawa pulang pingat emas bagi kategori yang disertainya. Dia bertanding dalam kategori Puteri Kelas B Pra Dini bagi berat 25 hingga 27 kilogram.

Pengalaman_Pertama_Raudah


Sebagai emak yang ikut tengok proses dia dari latihan, persediaan sebelum pertandingan sehinggalah masuk gelanggang, memang aku bangga dengan usaha yang dia tunjukkan.

Teringat masa awal-awal dia masuk silat dulu. Jauh la beza. 

Masalah Berat Badan Tak Cukup

Bukan pingat emas tu jadi ukuran tapi apa yang paling penting ialah banyak yang dia belajar dari pengalaman ni. Cabaran juga untuk aku nak kawal emosi. Lagi drama suami tak turut serta kali ni sebab dia terlibat dengan team building syarikat. 

Masalah Raudah ialah berat badan dia tak cukup 500gram. Nampak kecil kan? Tapi dia sejenis susah nak naik berat. Memang sehari sebelum tarikh timbang berat aku bagi makan semua yang dia nak. Aku tak bagi dia training takut turun lebih banyak.

Jadi kelebihan dekat pihak lawan bila berat dia atas pagar. Bayangkan kena tendang dengan peserta yang lebih berat daripada dia.

Masa post mortem dengan coach, antara perkara yang ditegur ialah dia mudah sangat mengalirkan air mata. Waktu latihan sparring pun dia pernah melalak sebab banyak kali kena front kick.

Tapi masa dalam gelanggang, lain pula jadinya. Dia tak menangis. Dia cuba melawan dan buat apa yang dia belajar semasa latihan.

Boleh angkat kaki nak tendang. Bila lawan buat tangkapan dan nak buat jatuhan, tak menjadi. Pendek kata tak jadi punching bag. Ohoi risaunya mama waktu tu. Risau dia putus asa dan tak melawan.

pertandingan_silat_olahraga_pendekar_kalimah


Tiga Hari Berkampung Di Stadium Titiwangsa

Sepanjang tiga hari berkampung di Stadium Titiwangsa, banyak perkara yang dia belajar. Aku sengaja tanya apa perasaan dia, kata dia “kakak teruja nak berlawan”.

Salah satu impian Raudah sebelum ini adalah nak kibarkan bendera kelab di gelanggang pertandingan. Adik dia buat waktu menang di Pavillion dulu dan dia teringin nak merasa juga.

pertandingan_silat_pendekar_kalimah


Alhamdulillah, Allah izinkan dia merasai pengalaman itu pada kejohanan kali ini. Dengan bangganya dia ulang bercerita dan tengok rakaman video dia banyak kali.

Paling penting, dia pulang tanpa sebarang kecederaan dan dapat menamatkan pertandingan dalam keadaan sihat. Itu dah cukup melegakan hati.

Semoga apa yang Raudah pelajari sepanjang kejohanan ini menjadi bekalan yang baik untuk dirinya pada masa akan datang.

Apa pun pencapaian yang diperoleh, semoga Allah sentiasa memelihara anak-anak kami, menjauhkan mereka daripada perkara yang tidak baik dan mengurniakan kesihatan serta akhlak yang baik.

Apa yang baik datang daripada Allah, dan segala kekurangan adalah daripada kelemahan kami sendiri.

 

Pengalaman_Raudah_Silat_Olahraga

Airis Menang Kejohanan Silat, Tunas Terbaik Putri

Alhamdulillah, dengan izin Allah, selesai sudah penyertaan Airis di Kejohanan Silat Terbuka Wilayah Persekutuan bulan Mei yang sudah. Mewakili kelab Nadi bawah kategori Tunas, Putri.

Pengalaman yang amat manis dan lebih bermakna, Airis berjaya menjadi Juara dalam kategori Tunas Putri serta dinobatkan sebagai Tunas Terbaik Putri. MasyaAllah Tabarakallah.

Sebagai ibu bapa, ini adalah satu kenangan yang sangat berharga. Bukan kemenangan sahaja yang kami target tapi tentang perjalanan, proses, dan cabaran yang Airis lalui di usia sekarang.

Kejohanan_Silat_Terbuka_wilayah


Persediaan Sebelum Kejohanan Silat

Sebelum kejohanan, kami dah hadap pelbagai cabaran dari awal. Paling menekan semestinya menjaga berat badan. Dengan kami sekali terpalit kena kawal selera makan. 

Airis kena jaga berat badan supaya kekal dalam kategori yang ditetapkan. Berat maksima untuk kelas dia ialah 17kilogram. Tak boleh kurang tak boleh lebih.

Kejohanan_Silat_Tunas_Terbaik_Putri


Coach dah plan sebaik mungkin kerana kalau berat terlebih, kemungkinan tinggi dia akan berlawan dengan rakan sepasukan. Rugi la dekat situ. sekali gus mengurangkan peluang untuk membawa pulang pingat.

Dalam masa yang sama, jadual perlawanan diumumkan pihak penganjur supaya kelab dapat rancang perjalanan lebih awal. Masa itulah tekanan bertambah 100%. Debaran kian terasa kerana kami dapat gambaran awal siapa lawan yang bakal dihadapi.

Masa inilah perang mental bermula sebab emak-emak ni rajin siasat akaun tiktok kelab silat lain. Ada baik buruk dia. Oh aku ada kongsi dalam entri berdebar pertama kali hantar anak bertanding silat. 


Cabaran Semasa Kejohanan Silat: Tiga Hari Berkampung

Kejohanan ini berlangsung selama tiga hari dan kami berkampung dari pagi sampai malam di lokasi pertandingan iaitu di Pavilion Bukit Jalil. Penganjur buat di bahagian luar kawasan terbuka.

Cuaca panas terik, tiada angin bertiup hanya mengharapkan kipas besar di bahagian atas sahaja. Bayangkan juga suasana bising, padat dengan manusia sebab kami berkongsi tempat dengan program Hari Belia.

Hari ketiga dan terakhir tu aku baru perasan keadaan tu trigger eczema Airis. Mula dengan bitnik-bintik gatal di muka lepas tu merebak di seluruh badan sampai ke kaki. Nak kata ruam pon iya juga.

Bersyukur sangat Airis masih semangat nak habiskan perlawanan. Memang aku paksa dia minum air masak setiap masa. Kami bawa Airis ke klinik beberapa hari selepas tu dan dia dapat antibiotik.

Airis_Menang_Kejohanan_Silat_Tunas_Terbaik_Putri


Cabaran Emosi - Takut Sebelum Perlawanan Akhir

Pertama kali aku tengok Airis takut tak tentu arah. Rupanya dalam diam dia rasa pressure perlawanan akhir. Personally, itu merupakan detik paling mencabar sebab aku kena redakan pressure dia.

Airis tiba-tiba menangis, takut untuk masuk ke gelanggang. Aku dah cuak takut dia minta tarik diri je. Faham sangat sebab dia baru 8 tahun. Tak boleh nak salahkan dia. pengalaman pertama dia pula tu.

Cepat-cepat aku bawa dia jauh dari crowd, picit tangan kaki. Bagi minum air dan bagi dia main game dekat handphone. Nak cuba alih perhatian dia. Sambil baca apa yang patut, aku suruh dia duduk di riba Ikhwan.

Airis_Menang_Kejohanan_silat


Dia memang manja dengan abang dia dan memang menjadi. Airis jadi lebih relaks dan kurang tertekan. Alhamdulillah syukur, Airis berjaya mengawal emosi. Usaha dan keberanian dia membuahkan hasil.

Airis berjaya dinobatkan sebagai Juara Tunas Putri Kelas A dan Tunas Terbaik Putri. Pencapaian membanggakan bagi pengalaman pertama dia dalam kejohanan silat.


Pengajaran & Pengalaman Dari Sudut Pandang Emak

Banyak perkara kami belajar kali ini. Disiplin itu perkara paling utama. Bila dah tetapkan target, kena ada disiplin yang tinggi untuk capai impian. Tak mudah tapi tak mustahil.

Selalu aku ingatkan anak-anak, masa dalam gelanggang tiada siapa boleh bantu kecuali Tuhan dan diri sendiri. Belajar kawal rasa takut dan emosi. Minta banyak-banyak pada Dia.

Untuk aku sendiri sebagai emak, aku belajar beri sokong tanpa tekanan berlebihan. Siapa je tak mahu anak berjaya bawa balik pingat emas. Tapi apa pun alasan, anak mesti jadi keutamaan.

 

Airis_Menang_Silat_Tunas_Terbaik_Putri

Alhamdulillah, pengalaman pertama Airis dalam kejohanan silat ini akan menjadi kenangan yang tidak akan dilupakan.

Semoga Allah memelihara Airis daripada segala keburukan dan menjadikan pengalaman ini asbab dia menjadi anak yang lebih berani dan berakhlak baik.


Pengalaman Pertama Sertai Kejohanan Silat Terbuka Wilayah Persekutuan

Baru perasan aku tak pernah cerita lagi tentang Kejohanan Silat olahraga yang Airis bakal sertai hujung bulan Mei ini. Pertandingan pertama dia. Kami masih lagi sibuk dengan jadual harian dan rasanya selepas cuti sekolah pertengahan tahun baru reda sikit. Agaknya lah.

Sekarang dalam jadual penuh dengan persiapan pertandingan anak-anak. Bermula dengan bantu Raudah buat tugasan video tentang zakat masa bulan ramadan, sambung pula bantu dia buat video book review sebagai wakil sekolah.

Selesai submit dua tugasan, sekarang fokus persiapan untuk pertandingan Bahas. Nak pergi bertanding 18 Mei di TAR, UMT. Nanti cerita panjang in separate entry.

Debar Pertama Kali Hantar Anak Bertanding 

Kelab putuskan untuk sertai kejohanan dan hantar anak-anak untuk beri pendedahan. Secara rasminya Kejohanan Silat Terbuka Wilayah Persekutuan Scca Silat Gladiator 3.0/2026 merupakan pertandingan pertama mereka.

Dulu aku pernah juga terlibat dengan silat olahraga, jadi memang tahu serba sedikit tentang sistem markah dan kategori pertandingan. Tapi bila anak sendiri masuk gelanggang, rasa dia memang lain.

Sebelum ni anak-anak hanya kutip pengalaman dalam gelanggang semasa training dan juga friendly.  Jadi inilah masanya untuk tengok keupayaan anak-anak. Sebagai emak haruslah diri ini berdebar dan cuak ya.

Pengalaman-Pertama-Sertai-Kejohanan-Silat-Terbuka-Wilayah-Persekutuan


Jadual Kejohanan Silat Terbuka Dah Keluar

Malam tadi penganjur buat cabutan secara dalam talian untuk tentukan lawan. Hanya tunggu carta jadual kejohanan yang rasmi je. Airis akan bertanding di bawah kategori tanding Tunas: 7 hingga 8 tahun. Kelas -A, bawah 17kilogram. 

Dari segi persiapan, selain training setiap minggu jurulatih memang pesan untuk anak-anak jaga stamina dan jaga kesihatan. Memang mak ayah kena buat sekali baru anak-anak bersemangat nak buat.

Sebab tu masa kami hujung minggu teramatlah pack. Alhamdulillah walaupun sibuk, kami tetap pastikan perkara-perkara penting tak terlepas. Anak-anak gembira walaupun penat.

Pengalaman-Airis-Sertai-Kejohanan-Silat-Terbuka-Wilayah-Persekutuan

Kejohanan-Silat-Terbuka-Wilayah-Persekutuan




Raudah Tarik Diri Dari Pertandingan Silat

Oh ya untuk kejohanan kali ini, kami putuskan untuk “tarik diri” bagi penyertaan Raudah sebab dia terlibat dengan pertandingan bahas. Memandangkan Bahas pun pertama kali dia nak cuba jadi kami risau dia tak boleh handle the pressure.

Waktu latihan pun padat dan ada beberapa kali clash waktu latihan silat dan bahas. Paling utama, bahas perlukan kekuatan memori untuk faham dan hafal. Silat pula latihan kena pakai otak dan melibatkan fizikal. Syukur kami buat pilihan tepat. Kejohanan seterusnya kakak cuba ya.


Kenapa Kami Pilih Silat Untuk Anak-Anak?

Emak aku pernah tanya soalan random masa aku cerita anak-anak pilih silat olahraga; kenapa pilih sukan yang lasak macam ni? aku mampu gelak je.

Background aku dan suami, memang aku minat silat. Itu je alasan paling kukuh terlintas di otak. Arwah abah guru silat, pakcik dan makcik aku pun. Jadi aku dikelilingi insan berdarah pendekar.

Nampak sedikit pelik, masa arwah abah masih hidup aku takut nak tunjukkan minat tu. Pastinya semangat dan minat abah tu aku warisi.

Akhirnya, fasa hidup kami sekarang memang rasa macam hidup ni bergerak dari satu tugasan ke satu tugasan. Penat tu memang penat, tapi dalam masa sama seronok tengok anak-anak mula jumpa minat dan cuba benda baru. Kami support apa yang mereka minat selagi benda itu baik.

Untuk kejohanan kali ini, kami tak letak harapan terlalu tinggi soal menang atau kalah. Cukuplah anak-anak dapat rasa pengalaman masuk gelanggang sebenar, belajar kawal tekanan dan belajar disiplin sepanjang latihan.

  

Berjaya Buka Kelas Silat Di Sekolah

Setelah lama menanti akhirnya usaha nak buka kelas silat di sekolah rendah tercapai juga. Akhirnya dapat juga aku hantar anak belajar silat, paling penting semua berlaku dekat sekolah anak. Syukur Alhamdulillah, semuanya berlaku dengan izin Allah.

Tak sangka hanya bermula dengan angan-angan dan akhirnya jadi kenyataan. Semestinya aku adalah antara orang paling teruja sebab aku bersama beberapa orang ibu bapa yang terlibat tubuhkan kelas dari awal lagi.

Jadi tujuan aku tulis artikel kali ini adalah untuk berkongsi pengalaman dengan harapan jadi rujukan untuk ibu bapa dekat luar sana yang nak buat dekat sekolah anak-anak korang pula. Oh ya, aku menulis berdasarkan kapasiti sewaktu aku jadi AJK PIBG dan juga syarat Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan tahun semasa.

Paling penting walaupun ada orang kata kejayaan ni kecil je tapi aku anggap ini pencapaian besar dalam hidup aku. 

Berjaya-Buka-Kelas-Silat-Di-Sekolah


 
Berjaya Buka Kelas Silat Di Sekolah

Awal dulu masa aku aktif dalam Kumpulan Sokongan Ibu Bapa (KSIB) & jadi AJK banyak kali juga berborak sesama ibu bapa yang teringin nak hantar anak masuk kelas silat. Tak lain tak bukan supaya anak-anak ni kenal jati diri, berdisiplin, dan ada keyakinan diri.

Di zaman serba mencabar ni aku nak didik anak bukan cemerlang akademik saja tapi juga kuat mental fizikal. Kalau ikutkan aku sendiri kenal silat dari kecil. Arwah abah guru silat tapi peliknya abah tidak pernah paksa aku belajar pun.

Masa belajar di Universiti baru aku belajar silat dan aktif berlatih silat olahraga. Ohoi setiap kali kenang balik kenangan tu aku jadi berkobar-kobar. Haruslah aku nak anak-anak ikut jejak langkah aku.

Niat aku supaya anak kekal cergas, tak lupa asal usul kita dan moga silat dapat corak keperibadian dia.

kelas-silat


Peranan KSIB & Cabaran Nak Buka Kelas Silat

Sebelum kami bawa cadangan kepada pihak sekolah, awal-awal tu risau juga kalau tak dapat sambutan. Tapi berbekalkan sokongan ibu bapa dan semangat anak-anak sendiri yang teruja nak belajar silat maka gigihkan diri cari guru silat yang bertauliah.

Bermula dengan mencari Persatuan Silat yang berdaftar kemudian mengatur pertemuan untuk perbincangan ke peringkat seterusnya. Mencabar sangat pada awalnya sebab ini kali pertama aku terlibat.

Cabaran nak buka kelas silat bermula bila nak mohon kebenaran untuk buat aktiviti di sekolah dan melibatkan murid. Waktu tu aku baru tahu yang peraturan untuk mohon kebenaran sentiasa ada perubahan.

Jadi nasihat aku, double triple semak dengan Jabatan Pendidikan masing-masing. Tak lain tak bukan peraturan lebih tegas demi memastikan tiada isu berbangkit dan keselamatan murid terjamin. Kita patuh saja pada peraturan untuk mudahkan kerja.

Kelas-Silat-Di-Sekolah

Buka-Kelas-Silat-Di-Sekolah


Proses Dan Dokumentasi yang diperlukan

Semuanya bermula dengan sekolah kena keluarkan Surat Tawaran Mengajar kepada jurulatih / Persatuan. Lepas dapat surat Persatuan silat kena isi borang yang diambil dari Jabatan Pendidikan.

Jurulatih yang nak mengajar pula kena dapatkan permit mengajar. Ada dokumen yang perlu diberi seperti sijil pentauliahan dan wajib buat medical check-up. Permit pula kena perbaharui setiap tahun. Ada syarat-syarat lain juga perlu dipatuhi.

Perkongsian aku ni secara umum saja okay. Nak detail elok rujuk Jabatan Pendidikan masing-masing macam aku terangkan awal tadi. Lepas selesai semua, permit diluluskan dalam masa yang sama sekolah kena juga tunggu surat kebenaran rasmi dari Jabatan Pendidikan untuk mulakan kelas.

 

Hebahan di buat kepada murid dan borang penyertaan sekolah edarkan. Aku bersyukur sepanjang proses tu lancar je. Sambutan untuk kelas pertama Alhamdulillah menggalakkan. Bagi aku kejayaan buka kelas silat ni bukan kejayaan aku sorang tapi hasil kerjasama ibu bapa, guru dan sekolah yang nak lihat anak-anak cemerlang. Aku doakan kelas silat ni terus berkembang.