Berjaya Buka Kelas Silat Di Sekolah

Setelah lama menanti akhirnya usaha nak buka kelas silat di sekolah rendah tercapai juga. Akhirnya dapat juga aku hantar anak belajar silat, paling penting semua berlaku dekat sekolah anak. Syukur Alhamdulillah, semuanya berlaku dengan izin Allah.

Tak sangka hanya bermula dengan angan-angan dan akhirnya jadi kenyataan. Semestinya aku adalah antara orang paling teruja sebab aku bersama beberapa orang ibu bapa yang terlibat tubuhkan kelas dari awal lagi.

Jadi tujuan aku tulis artikel kali ini adalah untuk berkongsi pengalaman dengan harapan jadi rujukan untuk ibu bapa dekat luar sana yang nak buat dekat sekolah anak-anak korang pula. Oh ya, aku menulis berdasarkan kapasiti sewaktu aku jadi AJK PIBG dan juga syarat Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan tahun semasa.

Paling penting walaupun ada orang kata kejayaan ni kecil je tapi aku anggap ini pencapaian besar dalam hidup aku. 

Berjaya-Buka-Kelas-Silat-Di-Sekolah


 
Berjaya Buka Kelas Silat Di Sekolah

Awal dulu masa aku aktif dalam Kumpulan Sokongan Ibu Bapa (KSIB) & jadi AJK banyak kali juga berborak sesama ibu bapa yang teringin nak hantar anak masuk kelas silat. Tak lain tak bukan supaya anak-anak ni kenal jati diri, berdisiplin, dan ada keyakinan diri.

Di zaman serba mencabar ni aku nak didik anak bukan cemerlang akademik saja tapi juga kuat mental fizikal. Kalau ikutkan aku sendiri kenal silat dari kecil. Arwah abah guru silat tapi peliknya abah tidak pernah paksa aku belajar pun.

Masa belajar di Universiti baru aku belajar silat dan aktif berlatih silat olahraga. Ohoi setiap kali kenang balik kenangan tu aku jadi berkobar-kobar. Haruslah aku nak anak-anak ikut jejak langkah aku.

Niat aku supaya anak kekal cergas, tak lupa asal usul kita dan moga silat dapat corak keperibadian dia.

kelas-silat


Peranan KSIB & Cabaran Nak Buka Kelas Silat

Sebelum kami bawa cadangan kepada pihak sekolah, awal-awal tu risau juga kalau tak dapat sambutan. Tapi berbekalkan sokongan ibu bapa dan semangat anak-anak sendiri yang teruja nak belajar silat maka gigihkan diri cari guru silat yang bertauliah.

Bermula dengan mencari Persatuan Silat yang berdaftar kemudian mengatur pertemuan untuk perbincangan ke peringkat seterusnya. Mencabar sangat pada awalnya sebab ini kali pertama aku terlibat.

Cabaran nak buka kelas silat bermula bila nak mohon kebenaran untuk buat aktiviti di sekolah dan melibatkan murid. Waktu tu aku baru tahu yang peraturan untuk mohon kebenaran sentiasa ada perubahan.

Jadi nasihat aku, double triple semak dengan Jabatan Pendidikan masing-masing. Tak lain tak bukan peraturan lebih tegas demi memastikan tiada isu berbangkit dan keselamatan murid terjamin. Kita patuh saja pada peraturan untuk mudahkan kerja.

Kelas-Silat-Di-Sekolah

Buka-Kelas-Silat-Di-Sekolah


Proses Dan Dokumentasi yang diperlukan

Semuanya bermula dengan sekolah kena keluarkan Surat Tawaran Mengajar kepada jurulatih / Persatuan. Lepas dapat surat Persatuan silat kena isi borang yang diambil dari Jabatan Pendidikan.

Jurulatih yang nak mengajar pula kena dapatkan permit mengajar. Ada dokumen yang perlu diberi seperti sijil pentauliahan dan wajib buat medical check-up. Permit pula kena perbaharui setiap tahun. Ada syarat-syarat lain juga perlu dipatuhi.

Perkongsian aku ni secara umum saja okay. Nak detail elok rujuk Jabatan Pendidikan masing-masing macam aku terangkan awal tadi. Lepas selesai semua, permit diluluskan dalam masa yang sama sekolah kena juga tunggu surat kebenaran rasmi dari Jabatan Pendidikan untuk mulakan kelas.

 

Hebahan di buat kepada murid dan borang penyertaan sekolah edarkan. Aku bersyukur sepanjang proses tu lancar je. Sambutan untuk kelas pertama Alhamdulillah menggalakkan. Bagi aku kejayaan buka kelas silat ni bukan kejayaan aku sorang tapi hasil kerjasama ibu bapa, guru dan sekolah yang nak lihat anak-anak cemerlang. Aku doakan kelas silat ni terus berkembang.

 

Catat Ulasan

0 Ulasan