Ad Code

TERIMA SUNTIKAN MATANG PARU-PARU BAYI MENGANDUNG 34 MINGGU

Pengalaman Terima Suntikan Matang Paru-Paru Bayi

Ini adalah pengalaman pertama aku terima suntikan matangkan paru-paru bayi sepanjang tiga kali mengandung. 

Rezeki ditakdirkan mengandung anak ketiga, usia kandungan aku mencecah 34 minggu dan doktor nasihatkan untuk aku dimasukkan ke hospital supaya kandungan aku boleh dipantau. 

Hospital yang kami rujuk ialah Hospital Rampai Putri Medical Centre memandangkan aku dah daftar untuk bersalin di situ. Sekarang Rampai Putri Medical Centre dah tukar pengurusan baru dan nama dah ditukar kepada OHANA Specialist Hospital Sri Rampai. 

Ceritanya bermula bila aku rasa kurang yakin dengan kesihatan kandungan. Gerak hati seorang ibu agaknya. Akhirnya apa yang aku takutkan terjadi jugak. 

Pada usia kandungan mencecah 34 minggu, 3 hari aku telah dimasukkan ke Rampai Putri Medical Centre. Izinkan aku berkongsi sedikit sebanyak keadaan aku yang sebenar supaya lebih clear.

Aku mengandung anak ketiga dengan jarak kehamilan 2 tahun dengan usia anak kedua. Ikut jangkaan tarikh bersalin yang diberikan, anak kedua berusia dua tahun bila adik dia dilahirkan. 

Waktu mula mengandung memang super stress dengan sindiran kelakar nurse di Klinik Kesihatan dan juga cakap-cakap orang sekeliling. Agaknya kalau aku mengandung dengan jarak lagi dekat agaknya lagi berbakul sindiran aku terima. 

Lama kelamaan aku jadi biasa, positifkan diri yang ini adalah rezeki Allah kirimkan. Mulut orang biasalah kan? Mana kita mampu tutup. 





Pengalaman Mengandung Mendebarkan Minggu Ke 34

Sepanjang mengandung, Alhamdulillah semua berjalan lancar. Cuma bila kandungan mencecah usia 7 bulan, berat badan aku mendadak naik. 

Doctor takut aku menghidap diabetes jadi doktor suruh minum air gula buat kali kedua. Tapi, kalau ikut firasat aku, kenaikkan berat badan disebabkan selera makan aku baru timbul. 

Mana tidaknya, morning sickness aku tak pernah surut, bayangkan rasa nak muntah setiap pagi sehingga semester ketiga dan bersilih ganti dengan pedih ulu hati. Aku ada kongsikan tip kurangkan pedih ulu hati. 

Alhamdulillah, dua-dua test air gula aku lulus. 

Dua-dua anak aku bersalin normal dan lahir pada minggu ke 39. Mengandung anak ketiga ni aku cepat sangat penat dan perut aku agak besar. Berat bayi 2.3kilogram waktu usia dia 8 bulan.

Selain faktor stress di pejabat aku jadi bertambah penat sebab anak kedua tengah ligat dapat kaki dan manja asyik nak berkepit. 

Bermula bila heart burn teruk menjengah minggu 33. Lengkap sangat dugaan aku mengandung kali ni. Bila tak selesa aku mula stress dan kurang rehat. 

Sehari sebelum appoinment dengan doktor Zana aku rasa baby floating semacam. Bila aku berjalan dan goyangkan badan perut aku dan kandungan tu seakan terpisah dari badan. Entah susah betul aku nak jelaskan. 

Terus aku whatsapp doktor dan dia suruh buat CTG masa hari appoinment. Rupanya yang aku sangka braxton hicks tu adalah contraction yang real. Buat CTG pukul 10.30am.

Semakin Kerap Alami Contraction

Bila doktor Zana kata aku banyak kali kena contraction memang aku gelak sebab aku tak rasa langsung sakit tu. Apa aku rasa cuma tendangan bayi macam biasa. Tak kuat mana pun. 

Dibuktikan dengan graph CTG yang menunjukkan contraction terlalu kerap. Doktor Zana bimbang terjadi apa-apa dan aku ditahan di wad untuk diperhatikan. 

Memandangkan usia kandungan aku belum matang dan kemungkinan berlaku kelahiran pra-matang tu tinggi jadi doktor sarankan untuk cucuk ubat matangkan paru-paru bayi in case bayi terpaksa dilahirkan. 

Masa ni memang sedih, cuak, gementar dan gelojak emosi berlaku. Perkara paling aku takut ialah andai perlu dibedah. Keduanya ialah rasa bersalah pada bayi sebab tak jaga dia elok-elok. 

Alhamdulillah suami masih tenang dan sentiasa ada support aku. Kami setuju ikut kata doktor. Maka bermula lah treatment untuk selamatkan ibu dan bayi. 

Proses Terima suntikan Dexamethasone


Pada 16 Disember 2017, aku ditempatkan di bilik nombor 205. Selesai urusan pendaftaran pada pukul 3.30 petang dan pada pukul 4.10 petang dotor terangkan proses dan prosedur suntikan Dexamethasone. 

“Suntikan kortikosteroid (I/M dexamethasone) atau nama ringkasnya dexa untuk mematangkan paru-paru bayi di dalam kandungan.

Diberikan kepada ibu-ibu hamil yang berisiko mengalami kelahiran pramatang di antara minggu ke 24 hingga minggu ke 36 kehamilan.
 
Risiko kelahiran pramatang ini boleh dilihat apabila ibu-ibu hamil mengalami kontraksi pramatang, air ketuban pecah atau meleleh atau apabila tanda-tanda kelahiran lain telah bermula. 

Suntikan ini diambil secara pasangan iaitu dos yang yang kedua diberikan selepas 12 jam dos yang pertama. Setiap dos mengandungi 12mg IM Dexamethasone. 

Sebagai contoh dos yang pertama di hospital pada jam 10 pagi, maka dos yang kedua perlu diambil sekitar jam 10.00 malam. 

Suntikan dexa ini akan bermanfaat selepas 24 jam bermula suntikan yang pertama hingga hari yang ke 7. Sumber: Info Ibu hamil

Aku terima suntikan di punggung sebelah kiri, boleh tahan sakit dia sekitar 10 minit masih lagi terasa. Ibarat sakit terima suntikan kancing gigi atau lebih teruk dari itu. 

Selain dari cucuk dexa, aku juga terima antibiotik sebanyak 3 dos setiap 6 jam. Suntikan kali ketiga akan diberikan jika perlu. Jadi aku dicucuk pada pukul 4 petang dan 10 malam pada hari tersebut. 

Doktor juga berikan aku 2 biji ubat untuk kurangkan contraction, makan selang 6 jam jadi aku makan 4 biji kesemuanya. Malamnya pula aku diberikan ubat Ural - effervescent granules. 

Sumpah waktu ni aku hanya ikut apa yang doktor suruh sebab aku terlalu risaukan keadaan bayi. Berapa kali kena cucuk, buat CTG, makan ubat semua aku ikutkan saja. 

Bersyukur sangat suami sangat memahami dan sentiasa ada dengan aku. Doktor pun sangat baik, jadi terharu sangat sebab doktor pandai ambil hati dan yakinkan aku semua akan okay. Jururawat Nur Haidatul pun layan aku dengan baik. 

Seharian dengan pengalaman dicucuk, makan ubat dan ditahan dalam wad memang pengalaman yang mendebarkan. Sehingga malam, contraction dah semakin kurang cuma bayi memang aktif. 

Disebabkan bayi aktif luar biasa aku kena rehat sebanyak mungkin dan kurangkan pergerakkan. Alhamdulillah selepas semalaman di hospital bacaan CTG dan lain-lain menunjukkan perubahan. 

Selesai pemantauan, aku dibenarkan pulang. Bersyukur sangat Tuhan masih beri peluang untuk anak duduk di dalam perut. Aku gembira sebab ikut kata hati untuk buat pemeriksaan. Maklumlah mengandung pada usia begini, memang itulah cabarannya. 

Post Navi

Catat Ulasan

0 Ulasan