Tercapai juga hasrat aku untuk sertai larian merentas desa sekolah anak. Bertahun-tahun asyik jadi sukarelawan, tengok anak-anak je yang berlari. Tahun ni sekolah buat kelainan bila buka penyertaan larian 4KM merentas desa kategori ibu bapa. Teruja tu tak payah cakap, sebab aku sendiri pernah utarakan idea kategori larian ibu bapa kepada pihak sekolah tahun lepas.
Niat aku satu je. Bila anak-anak
nampak ibu ayah datang ke sekolah dan sertai aktiviti, mereka tahu yang ibu
ayah ambil berat, ambil tahu apa yang mereka buat. Anak akan rasa dihargai. Bagi
aku, bila ibu ayah kenal cikgu, kenal persekitaran sekolah, anak-anak pun
automatik lebih berhati-hati nak buat perangai bukan-bukan.
Tahun ni, alhamdulillah, tercapai juga hasrat tu. Bukan sebab nak lari sangat pun sebenarnya. Tapi aku nak tunjukkan yang aku serius sokong anak-anak dan sanggup libatkan diri dalam aktiviti sekolah. Kalau mak ayah boleh buat, insya-Allah anak-anak pun boleh.
Pengalaman Join Larian 4KM Merentas Desa
Sekolah cari 10 pemenang untuk setiap
kategori. Walaupun aku tak menang, aku tetap bangga dengan diri sendiri. Yang
penting, aku berjaya habiskan larian sejauh 4KM. Alhamdulillah. Tepuk bahu
sendiri.
Simple je pengalaman ni tapi cukup la tinggalkan kesan. Bagi aku, mak ayah yang hadir berlari dan jadi sukarelawan dah berjaya cipta kenangan manis dengan anak-anak.
Awalnya memang ragu-ragu juga dengan kemampuan diri. Maklumlah, ini larian pertama aku selepas hampir berbelas tahun tak sertai mana-mana acara larian. Training pun ala kadar, main-main je.
Bertugas Dulu Baru Lari – Jadi Sukarelawan Lagi
Macam tahun-tahun sudah, tahun ni
masuk tahun ke-tiga aku jadi sukarelawan Kejohanan Merentas Desa Sekolah Rendah.
Sekolah masih guna laluan yang sama macam tahun lepas.
Anak-anak berlari dalam kawasan
perumahan, jadi kerja lebih mudah sebab dah tahu stesen mana yang perlu dijaga.
Cuaca pula elok, cerah je sepanjang program. Aku ditugaskan di kawasan
roundabout.
Cabaran dia bila kereta penduduk keluar masuk. Mental juga nak hadap. Manusia sekarang kurang sense sikit eh. Nampak budak sekolah berlari, tapi masih bawa kereta laju. Yang ni memang buat darah naik.
Alhamdulillah anak-anak berjaya kutip medal dan sumbang markah untuk rumah sukan. Raudah dapat tempat ke-10 bawah kategori U10 (3KM) dan adik dapat tempat ke-3 bawah kategori U8 (1KM).
Acara Larian Merentas Desa Kategori Ibu Bapa
Larian dimulakan dengan larian
anak-anak, kemudian barulah diikuti dengan larian ibu bapa. Untuk kategori ibu
bapa, kami bermula agak lewat, sekitar jam 10 pagi sebab tunggu acara murid
habis dulu. Masa tu matahari dah naik tegak. Panas weh.
Persediaan aku sebelum lari memang
penting dan jadi asbab aku tak cedera. Wajib warm up, pakai kasut yang sesuai
dan selesa. Sebelum keluar rumah aku siap-siap pakai pelindung lutut. Lutut aku
ni tak berapa nak okay sebab dulu agak aktif berlatih silat olahraga. Lutut aku
lari sikit. Eheks.
Target aku cuma satu, nak habiskan larian tanpa cedera. Nak kejar medal memang tak berani sebab ramai ibu ayah yang memang otai. Sepanjang larian tu, ada juga dua tiga kali terlintas, betul ke keputusan aku sertai larian 4KM ni.
Lari Dengan Pacer Tak Rasmi
Ikutkan track, aku kena habiskan empat
pusingan. Setiap pusingan kena ambil gelang getah sebagai bukti lalu
checkpoint. Setiap kali sampai checkpoint, anak-anak menjerit sorak nama aku.
Masa tu dalam hati memang ada rasa nak
berhenti. Tapi bila nampak anak-anak bersorak, rasa malu pula nak mengalah. Jadi
berlari sampai habislah jawab dia.
Sepanjang aku berlari tu juga, ada
seorang murid yang jadi pacer tak rasmi aku. Nama dia Putri Iman. Anak yang
baik, hormat orang tua. Aku memang ngam dengan dia. Selalu juga dia tolong aku
setiap kali ada aktiviti sekolah.
Iman ni atlet sekolah dan tengah
tunggu panggilan ke sekolah sukan di Titiwangsa. Dia teman aku dari awal sampai
hampir ke garisan penamat. Sepanjang larian, asyik menjerit tepi telinga suruh
aku jangan berhenti. Serius membantu. Bila fikir balik, memang kelakar.
Kesimpulan
Kalau korang dapat peluang untuk
sertai aktiviti sekolah macam ni di masa akan datang, aku sangat galakkan untuk
cuba. Aku alami sendiri kesan positifnya, bukan saja pada diri sendiri tapi
juga pada anak-anak dan orang sekeliling. Penat tu memang ada. Tapi rasa
berbaloi tu lagi besar.




0 Ulasan
Kata-kata yang lemah dan beradab dapat melembutkan hati dan manusia yang keras.
Terima kasih sudi comment.