Sup Putih Susu Ikan, Restoran Cikgu Lee

Cuti Deepavali yang lepas, kami keluar makan malam. Kalau ikutkan mood, memang rasa nak berehat di rumah sahaja. Tetapi, memikirkan anak-anak, gagahkan diri juga untuk keluar makan bersama.

Cuaca sekarang pula asyik hujan. Jadi, memang terasa nak mencari comfort food. Terbayang nikmat menghirup sup panas ketika cuaca sejuk begini. Akhirnya, kami memilih untuk makan di Restoran Cikgu Lee yang terletak di Taman Melawati.

Alang-alang sampai melawati boleh minum kopi di Nostalgia 9163 ni. 

Restoran Cikgu Lee mempunyai pensijilan halal JAKIM dan menawarkan hidangan masakan Cina Muslim. Jadi, bolehlah menikmati pelbagai pilihan menu dengan lebih tenang.

Restoran_Cikgu_Lee_halal_restoran


Menu Unik Sup Putih Susu Ikan Bihun

Aku tertarik nak mencuba Sup Putih Susu Ikan Bihun kerana terbaca banyak ulasan yang bagus tentang menu ini.

Selalunya kita makan bihun sup dengan daging atau ayam, tetapi kali ini bihun sup dihidangkan bersama ikan goreng. Nampak unik juga gabungan ini. Kena pula dengan keadaan tekak aku yang kurang sihat ketika itu.

Kuahnya berwarna putih susu, tidak pedas dan mempunyai rasa umami yang kuat. Ada potongan ikan goreng yang lembut isinya, tetapi masih terasa sedikit rangup apabila digigit.

Selain itu, terdapat juga potongan keladi dan ketulan tomato di dalam sup. Hidangan ini kemudian ditabur dengan daun ketumbar yang menambahkan aroma tersendiri.

Sup_Putih_Susu_Ikan_Restoran_Cikgu_Lee


Rasanya agak unik dan susah untuk aku gambarkan dengan kata-kata. Cuma, pada pendapat aku, mungkin bukan semua orang akan menggemari rasa sup putih susu ini.

Suami aku contohnya. Menu sup putih seperti ini memang bukan pilihannya kerana dia agak cerewet apabila melibatkan hidangan ikan.

Menu Pilihan Masing-Masing

Suami dan anak-anak masing-masing memilih menu yang berbeza. Maklumlah, selera masing-masing tak sama.

Suami memilih Yin Yang Noodle yang menggabungkan bihun dan kuey teow. Si abang pula memilih Pan Mee Kicap, adik makan Stim Cheong Fun dengan kuah manis, manakala si kakak memilih Nasi Ayam Marmite.

noodle_Restoran_Cikgu_Lee

yong_tau_fu_Restoran_Cikgu_Lee


Masing-masing nampaknya berpuas hati dengan pilihan sendiri. Alhamdulillah, semuanya makan dengan berselera dan kenyang.

Kami turut memesan Coco Panas serta pencuci mulut Longan & Kelapa Laut sebagai pelengkap makan malam.

pan_mee_Restoran_Cikgu_Lee


Pengalaman Makan di Restoran Cikgu Lee

Bagi yang sedang mencari hidangan Cina Muslim yang menarik, Restoran Cikgu Lee boleh dimasukkan dalam senarai tempat makan untuk dicuba.

breakfast_Restoran_Cikgu_Lee_halal_restoran


Daripada hidangan yang kami pesan, terasa bahan-bahan yang digunakan masih segar. Layanannya juga mesra, manakala suasana restoran selesa dan bersih. Sesuai untuk makan bersama keluarga.

Secara keseluruhannya, kami sekeluarga berpuas hati dengan pengalaman makan di sini. Kalau ada rezeki dan berkesempatan datang lagi, aku teringin nak mencuba menu lain pula. Banyak lagi pilihan yang belum sempat kami cuba.

 

Semak Arah Kiblat di Rumah dengan Pakar Falak

Alhamdulillah, baru-baru ni kami berkesempatan mendapatkan khidmat semakan arah kiblat di rumah dengan pakar falak.

Tujuan utama tak lain tak bukan, nak semak dan buat pengesahan arah kiblat menggunakan peralatan pengukuran profesional oleh pakar yang bertauliah.

Walaupun dah tahu arah kiblat yang ada sekarang, rasa lebih puas hati apabila dapat buat pengesahan melalui pengukuran sebenar. Rupanya, selepas sesi pengukuran dijalankan, ada sedikit perbezaan pada sudut arah kiblat sedia ada.

Rasa seronok tu susah nak diungkapkan. Bersyukur kami dapat juga buat semakan arah kiblat di rumah sendiri. Dah lama pasang niat, tapi asyik bertangguh. Akhirnya terlaksana juga.

semak-arah-kiblat-di-rumah-dengan-pakar


Urusan Temujanji Sangat Mudah

Kisahnya, aku terjumpa contact Petugas Arah Kiblat Rumah (kiblatbypakar) di aplikasi Threads. Terus tempah slot temujanji. Urusan pun mudah sangat.

petugas-arah-kiblat-kl


Encik petugas DM aku dan beliau terangkan proses. Lepas sesi pertanyaan, terus book tarikh. Malas nak pening kepala. Beliau sibuk dengan tempahan pada hujung minggu.

tempah-semak-arah-kiblat-di-rumah-dengan-pakar


Proses Semakan Arah Kiblat di Rumah

Pada hari kejadian, petugas mulakan proses semakan dan pengukuran. Ada beberapa cara nak ukur arah kiblat yang tepat.

Antaranya guna teodolit, guna Kompas, kaedah lintasan matahari searah kiblat, kaedah pedoman suria dan kedudukan matahari dan kaedah buruj Bintang.

Setiap cara pula terpakai kepada kedudukan dan kesesuai rumah juga. Untuk rumah aku yang berada di awangan, petugas guna kompas dan teodolit.

semak-arah-kiblat-di-rumah


Bila saksikan sendiri proses tu memang rasa teruja. Baru kami tahu yang arah kiblat yang selama ini kami gunakan sebenarnya mempunyai sedikit perbezaan sudut daripada hasil pengukuran pakar.

Walaupun tak banyak beza, bila dah panggil yang pakar ukur rasa lebih yakin dengan arah kiblat yang telah disemak dan disahkan.

Highly recommended untuk korang juga supaya semak arah kiblat dengan pakar falak.

Kenapa Perlu Buat Semakan Arah Kiblat?

Mungkin ada yang tertanya-tanya, kalau dah tahu arah kiblat, kenapa perlu semak lagi? Berdasarkan pengalaman aku sendiri, susah nak dapatkan arah kedudukan yang tepat jika kita bergantung pada aplikasi dalam telefon.

Petugas tu kata terutama kalau rumah yang ada wi-fi pasti akan terganggu. Sebab itulah aku amat mencadangkan korang untuk buat semakan arah kiblat di rumah dengan pakar.

Dapatkan khidmat pakar falak yang bertauliah dan menggunakan peralatan pengukuran profesional.

Caj Bayaran Perkhidmatan

Untuk caj bayaran ialah RM70 untuk 2 tempat tandaan. Antara tempat yang selalu pelanggan letak, 1 tempat tandaan di ruang tamu dan 1 lagi tandaan di bilik tidur utama.

Untuk tandaan yang ketiga dan seterusnya ada tambahan caj RM10 setiap satu.

semak-arah-kiblat


Petugas akan bantu lekatkan sticker kiblat pada syiling dengan syarat dekat rumah ada tangga. Kalau tak, stiker akan dilekatkan di lantai. Untuk Selangor dan kawasan Lembah Kelang tidak dikenakan caj pengangkutan.

 

Alhamdulillah, selesai juga perkara yang dah lama ada dalam wishlist. Rasa lebih tenang dan puas hati apabila arah kiblat di rumah sendiri sudah melalui proses pengukuran dan pengesahan oleh pakar falak.

Untuk korang yang berhajat jangan tangguh lama-lama. Semoga perkongsian pengalaman ini bermanfaat untuk sesiapa yang sedang mencari maklumat tentang semakan arah kiblat dan khidmat pakar falak.