Amalan Yang Disyorkan Pada Hari Arafah – Puasa

Sebaknya waktu menulis tentang hari Arafah tahun ni. Rezeki masih diberikan nafas untuk hidup dan boleh berdoa. Banyak betul peringatan tentang kelebihan dan amalan-amalan yang disyorkan di bulan Zulhijjah di kongsi di media sosial.

Alang-alang tu aku nak kongsikan juga ilmu berkaitan bulan Zulhijjah yang aku baca. Semoga perkongsian memberi manfaat kepada semua yang membaca. Macam semua tahu, Hari Arafah ni salah satu hari paling istimewa dalam Islam. Ia jatuh pada 9 Zulhijjah, sehari sebelum Hari Raya Aidiladha.

Untuk Jemaah haji, mereka akan berkumpul di Padang Arafah untuk Wukuf. Wukuf bermaksud berhenti serta diam tanpa melakukan pergerakan dan dilakukan dalam suasana tenang. Dilakukan pada 9 Zulhijjah setelah matahari terbenam dan berakhir ketika terbit fajar pada 10 Zulhijjah. Ketika wukuf, seluruh jemaah haji berkumpul di padang Arafah. Waktu inilah waktu mustajab berdoa. 

 

puasa-hari-arafah

Amalan Yang Disyorkan Pada Hari Arafah – Puasa  

Dan untuk kita yang tak berpeluang nak pergi haji, Allah bagi keistimewaan untuk kita berpuasa pada hari tersebut disamping melakukan ibadah yang lain. Jadi jom kita banyakkan doa, puasa sunat dan rebut peluang nak minta ampun kepada Tuhan.

Untuk perkongsian kali ini aku kongsikan tentang amalan puasa sunat Hari Arafah beserta niat. Mudah untuk kita sama-sama rujuk di masa akan datang.

Disyorkan untuk Puasa sunat Hari Tarwiyah (8 Zulhijjah) sehari sebelum Hari Arafah (9 Zulhijjah). Puasa pada hari tersebut menghapuskan dosa setahun sebelum dan selepas. Daripada Abi Qatadah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda apabila ditanya tentang puasa pada hari Arafah:

يُكَفِّرُ السَّنَةَ الْمَاضِيَةَ وَالْبَاقِيَةَ

Maksudnya: “Puasa pada hari tersebut akan menghapuskan dosa setahun yang lalu dan akan datang”. [Riwayat Muslim (1977)]

 

Lafaz Niat Puasa Sunat Tarwiyah & Puasa Sunat Arafah

Hari Tarwiyah ini mempunyai dua maksud menurut Imam Ibn Qudamah iaitu hari di mana para jemaah haji mempersiapkan bekalan air sebelum menuju ke Arafah dan yang kedua adalah hari di mana Nabi Ibrahim AS mendapat wahyu daripada Allah SWT untuk menyembelih anaknya Nabi Ismail AS. Mimpi tersebut telah membuatkan Nabi Ibrahim AS tertanya-tanya pada dirinya.


Niat Puasa Sunat Tarwiyah

 نَوَيْتُ صَوْمَ تَرْوِيَةَ سُنَّةً لِلّٰهِ تَعَالَى

Nawaitu shauma tarwiyatan sunnatan lillahi Ta’ala

Maksud: Sahaja aku niat puasa sunat Tarwiyah kerana Allah Ta’ala.

 

Niat Puasa Sunat Hari Arafah

نَوَيْتُ صَوْمَ عَرَفَةَ سُنَّةً لِّلِه تَعَالَى

Nawaitu shauma ‘Arafata sunnatan lillahi Ta’ala

Maksud: “Sahaja aku berniat puasa sunat ‘Arafah kerana Allah Taala.

 

Kepada semua yang diberikan kesempatan berpuasa, selamat berpuasa dan semoga amalan kita diterima oleh Allah. Jom gunakan peluang hidupkan Hari Arafah, kerana tak semua tahun kita dijanjikan sampai ke Hari Arafah yang seterusnya.

 

Catat Ulasan

0 Ulasan