Doa Hari Arafah – Amalan Yang Disyorkan

Dalam entri sudah aku ada kongsikan amalan yang disyorkan dilakukan pada Hari Arafah iaitu Puasa Sunat Tarwiyah & Puasa Sunat Arafah. Untuk kali ini aku sambung pulan dengan amalan yang disyorkan iaitu berdoa. Memang kita digalakkan berdoa banyak-banyak kerana ianya antara waktu terbaik untuk berdoa kerana kemakbulan dan kemustajabannya.

Boleh baca tentang amalan puasa sunat & cara berniat boleh baca dekat sini. Aku jumpa doa yang aku rasa dekat di hati dan aku kumpulkan jadi satu senarai panjang. Mudah kalau nak print dan boleh baca bila-bila. 

Credit untuk Puan Hikayatmora (thread) dan Puan Husnaaarashid (Tiktok). Boleh follow mereka di platform tersebut. Oh ya aku pernah buat koleksi doa bulan Ramadan juga sebelum ni. 

doa-hari-arafah


Doa Hari Arafah – Amalan Yang Disyorkan  

Sebaik-baik doa, adalah doa pada hari Arafah. Al-Bukhari meriwayatkan sebuah hadis daripada Ibnu Abbas R.A, Daripada Nabi SAW, Baginda bersabda:

"Tiada hari-hari yang amalan soleh yang paling disukai oleh Allah untuk dilakukan melainkan hari-hari ini-baginda memasukkan: 10 hari terawal Zulhijjah-."Para sahabat bertanya, "Wahai Rasulullah, Walaupun jihad di jalan Allah tidak dapat menandinginya?"Baginda bersabda,"Walaupun jihad di jalan Allah tidak dapat menandinginya, melainkan seorang  lelaki yang keluar berjihad bersama hartanya, kemudian dia langsung tidak kembali."

Riwayat al-Bukhari (969),Abu Daud (2438),Ibn Majah (1727),al-Tirmizi (757)

Tiada doa khusus pada hari Arafah, boleh je doa minta apa yang kita mahu. Tapi untuk yang tiada idea nak doa apa boleh rujuk doa yang aku senaraikan dekat bawah ni. Simple je tapi terkesan di hati. Sebelum ni aku ada kongsi  doa-doa yang masyhur pada Hari Arafah. 

 

Senarai Doa Hari Arafah

1. Doa Tauhid (Doa yang paling utama)

Ini adalah doa terbaik Rasulullah SAW pada hari Arafah:

لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ، وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، لَهُ الْمُلْكُ، وَلَهُ الْحَمْدُ، وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ

“Laa ilaaha illallah, wahdahu laa syariikalah, lahul mulku walahul hamdu wahuwa ‘ala kulli syai’in qadir.”

Tiada Tuhan melainkan Allah, Yang Maha Esa, tiada sekutu bagiNya, bagiNya segala kerajaan dan pujian, dan Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu.

 

2. Doa Untuk Diri Sendiri (Pengampunan dan Taubat)

“Ya Allah, ampunkan dosa-dosaku, zahir dan batin, besar dan kecil, yang lama dan baru, yang aku tahu atau tidak tahu. Bersihkan aku seperti bayi yang baru lahir."

“Ya Allah, kukuhkan imanku, luruskan hatiku, jauhkan aku dari sifat riak, ujub, takbur, hasad dan segala penyakit hati.”

“Ya Allah, jadikan aku insan yang sabar, tenang dan redha dengan segala ketentuan-Mu.”

"Ya Allah, aku penat. Tapi aku tetap datang pada-Mu. Aku serahkan segalanya. Gantikan luka ini dengan ketenangan. Gantikan tangis ini dengan redha Mu."

“Ya Allah, matikan aku dalam husnul khatimah dan bangkitkan aku dalam kalangan orang beriman.”

"Ya Allah, jangan palingkan hatiku setelah Kau beri petunjuk. Tetapkan aku dalam jalan hijrah ini. Walau aku masih banyak cacat celanya jangan tinggalkan aku."

 

3. Doa Untuk Anak

"Ya Allah, jadikan anakku insan yang beruntung di dunia dan akhirat. Lembutkan hatinya, hiasi akhlaknya dengan kemuliaan, teguhkan langkahnya di jalan yang Engkau redhai. Jadikan dia penyejuk hati, kebanggaan keluarga, dan asbab keberkatan buat kami.”

“Ya Allah peliharalah kemaluan anak-anak ku, tinggi sifat malu mereka terhadap ajnabi” – khas untuk anak Perempuan.

“Ya Allah, Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.”

 

4. Doa Untuk Jodoh / Pasangan

“Ya Allah, jika dia baik untuk dunia dan akhiratku, dekatkanlah aku dengannya. Jika tidak, gantikan dengan yang lebih baik.”

“Ya Allah, bahagiakanlah rumahtangga kami. Jadikan pasangan kami penyejuk hati dan peneman ke syurga.”

“Ya Allah, kurniakan zuriat yang soleh dan solehah, yang menjadi penyambung amal setelah aku tiada nanti.”

“Ya Allah, jadikan keluarga kami asbab untuk kami masuk syurga-Mu”

 

5. Doa Untuk Keluarga

“Ya Allah, haramkan wajah ibu dan ayahku dari api neraka. Kurniakan kepada keduanya syurga tanpa hisab”

“Ya Allah, ampunkan dosa ibu bapaku, rahmatilah mereka sebagaimana mereka menyayangiku sejak kecil.”

“Ya Allah, peliharalah keluargaku dari fitnah dunia, kekalkan kami dalam kasih sayang dan dalam jalan-Mu.”

“Ya Allah, berikan kesihatan, umur yang berkat, dan rezeki yang cukup buat ibu bapaku dan seluruh ahli keluargaku.”

'Ya Allah, lindungilah aku dan orang-orang yang aku cintai dari api neraka. Tempatkan kami dalam syurga-Mu yang kekal, walau kami tidak layak."

 

6. Doa Rezeki, Ketenangan & Kesembuhan

"Ya Allah, berikan aku rezeki yang halal, berikanlah kecukupan dalam rezeki ku. Sedikit nya masih tenang. Banyaknya boleh dibagi bagi. Bukan rezeki yang melimpah tapi membuatku jauh dari-Mu."

“Ya Allah, murahkanlah rezekiku, berkatilah setiap hasil usahaku, dan jauhkan aku dari sumber yang haram dan syubhah.”

“Ya Allah, bukakanlah jalan rezeki yang tidak aku sangka-sangka. Rezeki yang menenangkan, bukan yang melalaikan.”

“Ya Allah, berikan aku pekerjaan yang baik, berkah dan membuatkan aku lebih dekat dengan-Mu.”

"Ya Allah, sembuhkanlah orang-orang yang aku sayangi. Angkatlah segala penyakit dari tubuh dan jiwa. Jadikan sakit ini jalan menuju syurga dan keampunan-Mu."

 

7. Doa Untuk Umat Islam & Akhirat

“Ya Allah, lindungilah saudara-saudaraku di Palestin, Syria, Yaman dan seluruh dunia yang ditindas.”

“Ya Allah, masukkan aku dan orang-orang yang aku sayang ke dalam syurgaMu tanpa hisab.”

“Ya Allah, jangan palingkan hati ini selepas Engkau beri hidayah. Tetapkan aku dalam Islam sampai akhir hayat.”

Dan tutup semuanya dengan doa di bawah:

Ya Allah, Kau Maha Mengetahui isi hatiku. Kasihanilah aku, permudahkanlah & kurniakanlah jalan keluar. Berikanlah petunjuk untuk setiap masalahku. Aku berserah kepadamu, aturkan yang terbaik untuk hidupku, dan kurnikan rasa redha atas apa yang Kau tetapkan kepadaku”.

“Ya Allah, andai ada doa yang masih terbuku dalam hatiku, yang tak terluah atau terlupa, maka kabulkanlah jika ia baik untukku. Dan jika tidak baik untukku, jadikanlah ia yang terbaik untukku, dan tambahkanlah keimananku dengannya.”

 

Allah itu Maha Kaya maka mintaklah sebanyak mana yang kita suka. Allah suka kita berdoa, dan bagi aku pula doa ibarat confession dan affirmation. Kita mengaku kita hamba yang lemah, kita mengaku kita banyak buat salah dan hanya kepada Allah kita meminta.  

Catat Ulasan

2 Ulasan

Kata-kata yang lemah dan beradab dapat melembutkan hati dan manusia yang keras.

Terima kasih sudi comment.