Alhamdulillah, bingkai foto kenangan terindah dari Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) selamat sampai ke tangan aku. Cukup gambar kami sekeluarga, 12 orang dalam satu frame. Gambar waktu kami kanak-kanak.
Masa unboxing parcel tu memang berdebar lain macam. Sayu pun ada. Punya lama aku tunggu, lagi seminggu nak cukup setahun baru bingkai foto ni sampai.
Ramai yang tanya aku macam mana nak buat Foto Kenangan Terindah dari JPN ni. Jadi aku cerita dekat blog jelah. Senang nanti semua boleh baca dan kalau ada yang tengah berkira-kira nak buat, boleh tahu serba sedikit pengalaman aku.
Apa itu Foto Kenangan Terindah JPN?
Seperti yang dimaklumkan dalam website;
“Foto Kenangan Terindah JPN ialah inisiatif khas oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang membolehkan rakyat Malaysia mendapatkan koleksi bingkai gambar eksklusif mengandungi gambar MyKad pada pelbagai peringkat usia.”
Sebenarnya aku memang teruja nak buat sebab aku tak pernah tengok gambar emak dan arwah abah masa zaman kanak-kanak.
Tempahan Setahun Sekali
Penting korang kena tahu, tempahan Foto Kenangan Terindah ni dibuka setahun sekali sahaja. Setiap tahun, tempahan akan dibuka sempena Hari Pendaftaran Negara melalui portal rasmi Jabatan Pendaftaran Negara.
Maksudnya kalau terlepas tahun ni, korang kena tunggu tahun depan pula. Tahun 2025, tempahan dibuka pada bulan Oktober.
Jadi kalau korang memang teringin nak buat, kena rajin-rajin tengok laman web JPN atau cari je “Foto Kenangan Terindah”. Bila tempahan dibuka, bolehlah terus buat.
Siri Pilihan Foto Kenangan Terindah
Ada dua siri foto pilihan disediakan.
Siri Individu (RM75) – memaparkan 3 gambar MyKad pemilik pada usia 12 tahun, 18 tahun dan foto terkini.
Siri Keluarga (RM150) – paparan gambar ahli keluarga berumur 12 tahun ke atas yang sudah memiliki MyKad.
Untuk penghantaran secara pos, kena tambah RM10. Percuma kalau korang sanggup pick up sendiri. Aku pilih Siri Keluarga sebab memang dari awal niat nak kumpulkan gambar kami sekeluarga dalam satu frame.
Bila fikir balik, 12 orang dalam satu bingkai. Memang satu kenangan yang akan aku ingat sampai bila-bila.
Kandungan Foto Siri Keluarga
Masa buat tempahan foto siri keluarga, aku niat nak surprisekan emak dan adik beradik lain. Lama betul aku simpan rahsia. Saja nak tengok reaksi masing-masing.
Lepas buka parcel terus buat video call adik beradik tunjuk muka masing-masing zaman kanak-kanak. Ikutkan gambar pertama berdaftar dengan JPN. Gambar waktu umur 12 tahun.
Memang pecah gelak juga tengok gambar lama. Paling bermakna bila dapat tengok gambar emak dan arwah abah masa zaman kanak-kanak. Sebab selama ni memang aku tak pernah tengok.
Terima Selepas Hampir Setahun
Aku buat tempahan melalui laman web pada 6 Oktober 2025. Selamat terima pada 23 September 2026. Antara maklumat penting yang diperlukan ialah nama penuh dan nombor kad pengenalan ahli keluarga.
Lepas tu kena sabar menunggu. Walaupun lama tapi amatlah berbaloi. Sedikit sebanyak terubat rasa rindu pada arwah abah.
Masa tengok gambar tu juga aku baru sedar yang muka anak sulong aku ada iras muka arwah abah. Tahun 2010 arwah abah meninggal. Tahun 2011 aku melahirkan Ikhwan. Betul-betul dia jadi penguat semangat aku.
Hadiah bernilai yang Allah bagi untuk aku.




Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Kata-kata yang lemah dan beradab dapat melembutkan hati dan manusia yang keras.
Terima kasih sudi comment.