Pengalaman Pertama Raudah Dalam Silat Olahraga

Assalamualaikum. Alhamdulillah, segala puji bagi Allah yang mengurniakan rezeki dan pengalaman yang baik buat kami sekeluarga. Masing-masing dalam proses recovery sebab baru lepas sertai pertandingan silat.

Rasa macam lama sangat tak menulis dekat sini. Tengah susun atur semula supaya kehidupan on track macam biasa.

Pada 11 hingga 14 September yang lepas, Raudah menyertai Kejohanan Silat Olahraga Pendekar Kalimah 2.0. Ini merupakan pengalaman pertama Raudah masuk pertandingan silat olahraga.

Pengalaman_Pertama_Raudah_Silat_Olahraga


Pertandingan Pertama Raudah

Sejujurnya, keputusan nak izinkan Raudah bertanding bukanlah perkara kecil. Banyak benda kami kena ambil kira termasuk Matriks Pembelajaran Tahun 4 yang bakal dia duduki tak lama lagi.

Sudah dipesan awal-awal yang masuk tak semestinya wajib menang. Kalau rezeki Allah bagi Alhamdulillah. Lebih kepada nak bagi dia rasa sendiri suasana pertandingan, belajar kawal perasaan dan berani melangkah masuk ke gelanggang.

Alhamdulillah, dengan izin Allah, Raudah berjaya membawa pulang pingat emas bagi kategori yang disertainya. Dia bertanding dalam kategori Puteri Kelas B Pra Dini bagi berat 25 hingga 27 kilogram.

Pengalaman_Pertama_Raudah


Sebagai emak yang ikut tengok proses dia dari latihan, persediaan sebelum pertandingan sehinggalah masuk gelanggang, memang aku bangga dengan usaha yang dia tunjukkan.

Teringat masa awal-awal dia masuk silat dulu. Jauh la beza. 

Masalah Berat Badan Tak Cukup

Bukan pingat emas tu jadi ukuran tapi apa yang paling penting ialah banyak yang dia belajar dari pengalaman ni. Cabaran juga untuk aku nak kawal emosi. Lagi drama suami tak turut serta kali ni sebab dia terlibat dengan team building syarikat. 

Masalah Raudah ialah berat badan dia tak cukup 500gram. Nampak kecil kan? Tapi dia sejenis susah nak naik berat. Memang sehari sebelum tarikh timbang berat aku bagi makan semua yang dia nak. Aku tak bagi dia training takut turun lebih banyak.

Jadi kelebihan dekat pihak lawan bila berat dia atas pagar. Bayangkan kena tendang dengan peserta yang lebih berat daripada dia.

Masa post mortem dengan coach, antara perkara yang ditegur ialah dia mudah sangat mengalirkan air mata. Waktu latihan sparring pun dia pernah melalak sebab banyak kali kena front kick.

Tapi masa dalam gelanggang, lain pula jadinya. Dia tak menangis. Dia cuba melawan dan buat apa yang dia belajar semasa latihan.

Boleh angkat kaki nak tendang. Bila lawan buat tangkapan dan nak buat jatuhan, tak menjadi. Pendek kata tak jadi punching bag. Ohoi risaunya mama waktu tu. Risau dia putus asa dan tak melawan.

pertandingan_silat_olahraga_pendekar_kalimah


Tiga Hari Berkampung Di Stadium Titiwangsa

Sepanjang tiga hari berkampung di Stadium Titiwangsa, banyak perkara yang dia belajar. Aku sengaja tanya apa perasaan dia, kata dia “kakak teruja nak berlawan”.

Salah satu impian Raudah sebelum ini adalah nak kibarkan bendera kelab di gelanggang pertandingan. Adik dia buat waktu menang di Pavillion dulu dan dia teringin nak merasa juga.

pertandingan_silat_pendekar_kalimah


Alhamdulillah, Allah izinkan dia merasai pengalaman itu pada kejohanan kali ini. Dengan bangganya dia ulang bercerita dan tengok rakaman video dia banyak kali.

Paling penting, dia pulang tanpa sebarang kecederaan dan dapat menamatkan pertandingan dalam keadaan sihat. Itu dah cukup melegakan hati.

Semoga apa yang Raudah pelajari sepanjang kejohanan ini menjadi bekalan yang baik untuk dirinya pada masa akan datang.

Apa pun pencapaian yang diperoleh, semoga Allah sentiasa memelihara anak-anak kami, menjauhkan mereka daripada perkara yang tidak baik dan mengurniakan kesihatan serta akhlak yang baik.

Apa yang baik datang daripada Allah, dan segala kekurangan adalah daripada kelemahan kami sendiri.

 

Pengalaman_Raudah_Silat_Olahraga

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Kata-kata yang lemah dan beradab dapat melembutkan hati dan manusia yang keras.

Terima kasih sudi comment.