Memaparkan catatan dengan label Parenting Journey. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Parenting Journey. Papar semua catatan

Tarikh Matriks Pembelajaran Tahun 4

Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) secara rasminya dah keluarkan tarikh bagi Matriks Pembelajaran (MP) Tahun 4, 2026 minggu lepas. Anak aku antara anak bertuah yang terpilih menjadi first batch bagi matriks pembelajaran tahun 4.

Jadi secara rasminya juga emak dah mula berdebar. Takut woi. Anak baru naik tahap dua yang sebelum ni di tahap satu memang aman tanpa peperiksaan besar.

Tahun 2026 pula ada kejutan untuk anak-anak. Mengambil jalan selamat supaya anak kekal bertenang, semestinya aku pun kena bertenang walaupun dalam otak dah macam ribut taufan.

Tarikh_Matriks _Pembelajaran_Tahun_4


jadual_Tarikh_Matriks _Pembelajaran_Tahun_4

jadual_Matriks _Pembelajaran_Tahun_4


Masa awal-awal dulu aku memang tak faham apa Matriks Pembelajaran tu? Kenapa tak sebut ujian atau pentaksiran kan lebih mudah nak faham. Canggih betul nak guna perkataan “matrik”.

Merujuk LPM, Matriks Pembelajaran (MP) ialah pentaksiran yang dibangunkan untuk mengukur penguasaan murid secara standard, holistik dan berterusan berkaitan aspek literasi, numerasi serta kompetensi pembelajaran murid. MP dilaksanakan berasaskan pendekatan Pentaksiran untuk Pembelajaran.

Tarikh pelaksaannya dah tak lama ya iaitu pada 6 hingga 8 Oktober 2026. Mata pelajaran yang terlibat: Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Sains serta Bahasa Cina (SJKC) dan Bahasa Tamil (SJKT).

MP akan jadi penanda aras kebangsaan yang setara untuk semua murid di Malaysia yang berdaftar dengan KPM sebab soalan matrik disediakan oleh LPM.

Sebagai emak aku cuba fahamkan juga kepentingan MP sebab cikgu terangkan yang MP bukan peperiksaan yang tentukan kelas depan atau kelas belakang. Tapi nak kenal pasti murid faham tak apa mereka belajar.

Masih lagi guna julat markah dan gred serta tafsiran tahap penguasaan murid bagi memberikan gambaran yang lebih jelas tentang penguasaan murid. Markah 82 dan ke atas, A.

Tujuan utama sistem nak murid dapat aplikasi kan apa mereka belajar ke dalam kehidupan. Kenapa Tahun 4? Sebab tidak terlalu lambat untuk bantu persediaan murid sebelum melangkah ke sekolah menengah.

Emosi aku jadi roller Coster turun naik sebab format untuk mata Pelajaran terlibat tak sama dengan UASA. Format baru. Payah pula tu. Awal aku positif lagi, sekarang aku di fasa separa positif lepas ni aku boleh mengamuk aku rasa. Ahaks.

format_Matriks _Pembelajaran_bahasa_Inggeris

format_Matriks _Pembelajaran_bahasa_Melayu

format_Matriks _Pembelajaran_matematik

format_Matriks _Pembelajaran_sains


Format pula baru diberitahu. Setakat ini sekolah anak aku belum panggil lagi untuk penerangan. Mana maunya nak panggil selagi belum dapat maklumat lengkap.

Aku sempat study sikit format pentaksiran dan contoh soalan. Mak ayah yang ada anak tahun empat pergi lah ke laman sesawang LPM untuk keterangan lanjut.

Tinggal lebih kurang 3 bulan je lagi nak siapkan mental fizikal anak. Nak kena buat banyak latihan untuk Raudah terutama mata Pelajaran Bahasa Inggeris. Mak is takut.


Pergi PBAKL Bersama Anak: 5 Perkara Yang Perlu Tahu

Hujung minggu lepas, aku bawa anak-anak ke Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL). Kami pergi waktu hari bekerja jadi suami tak ikut. Kami pilih naik LRT je. Lebih mudah. Dapat luangkan masa beberapa jam dari satu booth ke booth yang lain sambil belek buku.

Masing-masing balik dengan senyuman yang lebar. Misi berjaya. Ada beberapa perkara yang aku rasa berbaloi dikongsi untuk sesiapa yang bercadang ke PBAKL, terutamanya jika pergi bersama anak-anak.

pergi_PBAKL_2026


1. Naik LRT Lebih Mudah Daripada Memandu

Memandangkan PBAKL berlangsung masa cuti sekolah jalan raya memang penuh dengan kenderaan. Lebih praktikal kalau naik kenderaan awam seperti LRT kalau datang sini. Selain jimat duit untuk bayar parking, hati lebih tenang sebab tak perlu hadap kesesakan jalan raya.

Lokasi masih sama iaitu di World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL). Ada beberapa pilihan bergantung dari mana korang datang. Ada Monorel, LRT, MRT dan KTM Komuter.

Macam kami menggunakan laluan LRT – Kelana Jaya (buat penukaran stesen di Masjid Jamek dan berhenti di stesen PWTC.

2. Bawa Beg Roda Elak Badan Penat

Pengajaran berharga kami dapat masa kami ke PBAKL 2023. Waktu tu pelik ya bila nampak ramai pengunjung tarik beg roda. Bagasi beroda yang orang bawa kalau pergi bercuti tu. Newbie macam kami waktu tu bawa beg galas saja.

Balik tu memang sakit bahu dan lenguh pinggang. Kali ini lebih bersedia, memang pilihan yang tepat untuk bawa beg roda. Masing-masing beli buku boleh tahan berat.

Nak berjalan sambil harung lautan manusia memang tangan akan cepat lenguh. Lagi satu memang jimat tak perlu beg plastik sebab semua sumbat dalam beg roda.

pergi-pbakl-naik-lrt


3. Tetapkan Bajet Elak Rambang Mata

Penting sangat untuk terangkan kepada anak tentang harga dan tetapkan bajet. Sesungguhnya godaan membeli buku itu memang wujud. Dah sampai sana memang rambang mata sebab banyak promo penjual offer.

Anak-anak dah senaraikan buku yang nak dibeli dari rumah. Jadi memang dah tetapkan dalam otak tak boleh berbelanja dari had yang ditetapkan. Sejujurnya aku sendiri terlebih belanja sebab aku beli Set Komik Jejak Muhammad.

Sedapkan hati sebab komik tu memang semua orang dalam rumah boleh baca. Wajib ada dekat setiap rumah supaya lebih kenal Nabi kita.

pergi-pbakl-bersama-anak


4. Kemudahan Tempat Makan, Surau & Tandas

Jangan risau sebab mudah nak cari makanan. Ada café dekat dalam WTC dan dekat luar ada banyak gerai makanan. Kami makan sekadar alas perut saja. Ada surau di aras 3. Cuma satu je aku tak berkenan dekat sini tandas sebab tiada bidet. Memang aku elak ke tandas kecuali kecemasan.

booth_PBAKL_2026


5. Rancang Perjalanan Datang Awal

Pesta buku bermula seawal 10 pagi. Untuk elak berhimpit datang lah pada waktu yang kurang sesak dan awal pagi. Lebih tenang nak belek buku dan mudah buat pilihan. Kecuali kalau datang PABKL nak jumpa penulis kesayangan korang memang kena tahan sajalah beratur dan bersesak.

Rezeki. Alhamdulillah. Masa dekat reruai Nuktah, aku beli set Komik Nabi dan dapat tulisan nama Khat. Gembira dia tu tak dapat nak describe. 

pergi-pbakl


Walaupun penat berjalan hampir seharian, pengalaman ke PBAKL bersama anak memang berbaloi. Pengalaman anak-anak tu yang mahal. Dapat lihat keterujaan anak memilih buku tu seronok sangat. Kalau ada rezeki dan kesempatan, insya-Allah kami akan datang lagi pada tahun hadapan. 

Review NN Homestay Jasin – Check In Masa Raya

Ini cerita masa Raya yang lepas, kami ada book NN Homestay Jasin untuk penginapan keluarga. Biasalah musim raya, rumah MIL akan penuh dan jadi tumpuan. Sudah menjadi kebiasaan kami akan check in mana-mana yang berdekatan supaya masing-masing selesa.

Lepas survey beberapa tempat, akhirnya aku dan suami pilih homestay ni. Alhamdulillah, sepanjang menginap memang kami puas hati. Faktor utama, jarak homestay dengan rumah MIL tak sampai 15 minit. Memang dekat.

Jadi aku kongsikan sedikit review dan pengalaman kami, mana tahu membantu sesiapa yang tengah mencari homestay area Jasin. Kalau nak hotel bajet boleh consider Hotel Bestari

Review-NN-Homestay-Jasin-Check-In-Masa-Raya


Lokasi & Tentang NN Homestay Jasin

NN Homestay ni terletak di kawasan Jasin, Melaka. Kawasan perumahan baru. Lokasi dia agak mudah dicari dan sesuai kalau ada urusan keluarga, balik kampung, kenduri ataupun sekadar perlukan tempat bermalam bersama family.

Macam biasa kami akan buat cari dan tempahan melalui Agoda. Oh, masa ni dah masuk raya ke-lima.

  • Harga: RM276 semalam termasuk tax
  • Bilik: 3 Bilik, 2 Bilik mandi, 3 Katil
  • Muat untuk:  Travel dengan Keluarga (maksima 8 orang)
  • Keseluruhan Rumah (Saiz bilik: 1200 m²/12917 kaki)
Review-NN-Homestay-Jasin


Apa Yang Kami Suka Tentang NN Homestay Jasin

1. Rumah bersih dan selesa

Benda pertama yang aku perasan bila masuk ialah rumah rasa kemas, wangi dan selesa. Bila bawa keluarga, faktor kebersihan memang antara benda yang aku tengok dulu. Tak adalah rasa serabut atau tak selesa nak duduk ramai-ramai.

Tandas bersih dan lengkap dengan sabun mandi. Tekanan air Paip dan shower kuat. Tuala mandi disediakan.

Katil dan sofa masih dalam keadaan baik. Selesa bila duduk tengok tv dan rasa katil bersih bila baring. Ada Netflix jadi tak bosan.

NN-Homestay-Jasin


2. Sesuai untuk family

Dapat banyak good review di Agoda dan sangat di syorkan untuk yang travel bersama anak. Ruang rumah pun okay untuk kami berkumpul, borak, makan dan berehat. Anak-anak pun selesa bergerak.

Bahagian dapur lengkap dengan cawan dan pinggan. Boleh bancuh teh dan kopi. Ada mesin air dan juga fridge. Tersedia meja makan. Pendek kata kemudahan dia memang lengkap.

Review-NN-Homestay-melaka


3. Kemudahan lengkap

Yang ni bonus juga sebab memudahkan urusan dan buat kami rasa nak repeat lagi di masa hadapan.

  • Mesin basuh dan ampaian baju
  • Parking selamat
  • Bilik ada penyaman udara
  • Dapur
  • Mesin air
  • Peti ais
  • TV + Netflix
  • Parking
  • Wifi percuma
  • Iron
  • kipas
  • kelengkapan tandas
  • ketuhar gelombang mikro
  • Asas dapur (peralatan memasak, minyak, perasa)
  • Teh percuma
Review-NN-Homestay-Jasin-melaka


4. Owner mudah berurusan

Bab ni aku suka bila urusan booking berjalan lancar. Senang nak tanya, senang nak deal. Kurang rasa pening kepala. Owner tak banyak songeh, kami deal untuk dapatkan kod kunci saja. Daftar masuk dan keluar tak perlu berurusan dengan manusia.

Sesuai Untuk Siapa?

Pada aku, NN Homestay Jasin ni sesuai untuk:

  • Keluarga dengan anak maksima 8 orang
  • balik kampung musim raya
  • majlis kenduri / gathering family
  • urusan kerja atau singgah bermalam di area Jasin
  • keluarga yang travel dengan anak-anak

Ada Apa Dekat Area Homestay?

Dekat dengan bandar Jasin dan banyak kedai makan berhampiran. Ada pasaraya dan dekat dengan Mydin Jasin kalau nak beli barang keperluan. Salah satu tujuan kami check in sebab malam tu nak keluar makan ikan bakar Rosedi.

Sebelum ni pernah buat family day dekat Bukit katil. Waktu tu stay dekat Melaka Private Glamping. Nak makan malam kedai masakan Thailand tolong cuba Restoran Dshaban Seafood ni sedap. 

Berbaloi Tak Menginap?

Secara keseluruhannya, pengalaman kami menginap di NN Homestay Jasin memang memuaskan hati. Homestay ni provide benda-benda kecil yang aku rasa banyak membantu dan menyenangkan kami bila travel.

Rumah selesa, kemudahan memadai dan sesuai untuk family stay. Kadang bila travel dengan anak-anak, kita bukan cari tempat mewah sangat pun. Cukuplah tempat yang bersih, selesa dan memudahkan urusan.

Kalau anda tengah mencari homestay area Jasin untuk family atau balik kampung, bolehlah pertimbangkan tempat ni.

 

Cerita Raya Aidiladha Kami Seisi Keluarga

Salam Aidiladha untuk semua. Sambutan Raya Haji kali ni memang seperti dijangka, sederhana saja. Tarikh raya jatuh tengah minggu, hari Rabu. Cuti pun sehari, jadi kami pilih beraya di rumah saja.

Ambil peluang siapkan aktiviti tertunggak sebab sebelum ni sibuk dengan game silat Airis. Curi-curi masa juga top up lauk dekat rumah memandangkan sekarang rumah penuh anak-anak tengah cuti sekolah.

Sehari sebelum raya aku dah siap buat ketupat palas. Plan asal nak makan dengan rendang, tapi macam biasalah, rancangan berubah saat akhir. Tengok apa yang ada dalam peti ais saja. Ada puyuh, maka terjadilah puyuh masak kari.

sambutan-Raya-Aidiladha-Secara-Sederhana


Raya Aidiladha Kami Secara Sederhana

Lepas suami balik solat Aidiladha, kami makan sama-sama. Ringkas, tapi cukup jadi masa berkualiti untuk kami sekeluarga.

Pagi tu juga baru sempat call emak di kampung. Tahun ni kakak dan adik saja balik teman emak beraya. Rindu pula nak melakukan ibadah Qurban. Adik-beradik lain berkumpul di rumah kakak sulung. Kami pula raya asing-asing. Begitulah bila masing-masing dah ada keluarga, tak semua raya boleh berkumpul lengkap macam dulu.

Lepas kemas rumah, kami keluar beraya ke rumah abang ipar. Singgah beli kek di Pistachio dan beli juga KFC sebagai buah tangan. Mereka masak lodeh dan sambal ayam. Gambar tak sempat ambil sebab terlalu khusyuk makan dan berborak.

Dah masuk 40-an, topik borak pun makin berubah. Banyak cerita pasal kesihatan, kehidupan dan komitmen masing-masing. Anak-anak semakin membesar dan kami semakin menua.

kek-Raya-Aidiladha

potong-kek-birthday-Raya-Aidiladha


Ke Aeon Sambung Beli Barang Rumah

Selesai beraya, petang tu kami sambung beli barang rumah dekat Aeon. Solat Asar di sana. Masa lalu menuju surau, ternampak kedai MINISO tengah kemas barang. Rupanya bukan pengubahsuaian, tapi operasi ditamatkan. Ada notis tampal di pintu kedai.

Reality hits hard ya. Selama ni baca cerita orang di media sosial saja. Bila nampak depan mata, lain rasa dia. Zaman sekarang ramai orang sedang cuba bertahan dengan cara masing-masing. Tak kisah bisnes, kerja, komitmen keluarga. Kos hidup juga semakin mencabar.


Raya kali ni jadi peringatan kecil untuk diri sendiri. hidup tak perlu sentiasa besar-besaran. Kadang-kadang sederhana pun dah cukup, asalkan ada syukur, ada keluarga, dan kita masih belajar berbelanja dengan lebih bijak.

 

Pengalaman Pertama Sertai Kejohanan Silat Terbuka Wilayah Persekutuan

Baru perasan aku tak pernah cerita lagi tentang Kejohanan Silat olahraga yang Airis bakal sertai hujung bulan Mei ini. Pertandingan pertama dia. Kami masih lagi sibuk dengan jadual harian dan rasanya selepas cuti sekolah pertengahan tahun baru reda sikit. Agaknya lah.

Sekarang dalam jadual penuh dengan persiapan pertandingan anak-anak. Bermula dengan bantu Raudah buat tugasan video tentang zakat masa bulan ramadan, sambung pula bantu dia buat video book review sebagai wakil sekolah.

Selesai submit dua tugasan, sekarang fokus persiapan untuk pertandingan Bahas. Nak pergi bertanding 18 Mei di TAR, UMT. Nanti cerita panjang in separate entry.

Debar Pertama Kali Hantar Anak Bertanding 

Kelab putuskan untuk sertai kejohanan dan hantar anak-anak untuk beri pendedahan. Secara rasminya Kejohanan Silat Terbuka Wilayah Persekutuan Scca Silat Gladiator 3.0/2026 merupakan pertandingan pertama mereka.

Dulu aku pernah juga terlibat dengan silat olahraga, jadi memang tahu serba sedikit tentang sistem markah dan kategori pertandingan. Tapi bila anak sendiri masuk gelanggang, rasa dia memang lain.

Sebelum ni anak-anak hanya kutip pengalaman dalam gelanggang semasa training dan juga friendly.  Jadi inilah masanya untuk tengok keupayaan anak-anak. Sebagai emak haruslah diri ini berdebar dan cuak ya.

Pengalaman-Pertama-Sertai-Kejohanan-Silat-Terbuka-Wilayah-Persekutuan


Jadual Kejohanan Silat Terbuka Dah Keluar

Malam tadi penganjur buat cabutan secara dalam talian untuk tentukan lawan. Hanya tunggu carta jadual kejohanan yang rasmi je. Airis akan bertanding di bawah kategori tanding Tunas: 7 hingga 8 tahun. Kelas -A, bawah 17kilogram. 

Dari segi persiapan, selain training setiap minggu jurulatih memang pesan untuk anak-anak jaga stamina dan jaga kesihatan. Memang mak ayah kena buat sekali baru anak-anak bersemangat nak buat.

Sebab tu masa kami hujung minggu teramatlah pack. Alhamdulillah walaupun sibuk, kami tetap pastikan perkara-perkara penting tak terlepas. Anak-anak gembira walaupun penat.

Pengalaman-Airis-Sertai-Kejohanan-Silat-Terbuka-Wilayah-Persekutuan

Kejohanan-Silat-Terbuka-Wilayah-Persekutuan




Raudah Tarik Diri Dari Pertandingan Silat

Oh ya untuk kejohanan kali ini, kami putuskan untuk “tarik diri” bagi penyertaan Raudah sebab dia terlibat dengan pertandingan bahas. Memandangkan Bahas pun pertama kali dia nak cuba jadi kami risau dia tak boleh handle the pressure.

Waktu latihan pun padat dan ada beberapa kali clash waktu latihan silat dan bahas. Paling utama, bahas perlukan kekuatan memori untuk faham dan hafal. Silat pula latihan kena pakai otak dan melibatkan fizikal. Syukur kami buat pilihan tepat. Kejohanan seterusnya kakak cuba ya.


Kenapa Kami Pilih Silat Untuk Anak-Anak?

Emak aku pernah tanya soalan random masa aku cerita anak-anak pilih silat olahraga; kenapa pilih sukan yang lasak macam ni? aku mampu gelak je.

Background aku dan suami, memang aku minat silat. Itu je alasan paling kukuh terlintas di otak. Arwah abah guru silat, pakcik dan makcik aku pun. Jadi aku dikelilingi insan berdarah pendekar.

Nampak sedikit pelik, masa arwah abah masih hidup aku takut nak tunjukkan minat tu. Pastinya semangat dan minat abah tu aku warisi.

Akhirnya, fasa hidup kami sekarang memang rasa macam hidup ni bergerak dari satu tugasan ke satu tugasan. Penat tu memang penat, tapi dalam masa sama seronok tengok anak-anak mula jumpa minat dan cuba benda baru. Kami support apa yang mereka minat selagi benda itu baik.

Untuk kejohanan kali ini, kami tak letak harapan terlalu tinggi soal menang atau kalah. Cukuplah anak-anak dapat rasa pengalaman masuk gelanggang sebenar, belajar kawal tekanan dan belajar disiplin sepanjang latihan.

  

Di Sebalik Hidup Yang Nampak Tenang

Banyak entri aku post tentang yang indah-indah je yang berlaku dalam hidup aku. Kadang-kadang orang salah sangka sebab dia tengok hidup aku smooth macam tiada masalah. Sebab dia tengok pada permukaan je.

Dia tak tahu betapa aku struggle nak handle perasaan, nak atur cara hidup supaya aku dapat mengharungi segala cabaran yang datang. Ewah, mari duduk di kasut aku baru tahu macamana.

Tak kan aku nak tampal kat dahi kertas aku sedang mengalami kesuakaran dalam hidup ye dak? Paling tidak bila aku rasa susah sangat hidup ni aku pergi makan sushi. Lepas tu teruskan kehidupan.

Struggle Membesarkan Anak

Dari dulu aku cuba jadikan blog ni sebagai catatan peribadi, nak kongsi segala baik buruk kejadian yang berlaku dalam hidup. Tapi tak berjaya. Ada hikmahnya sebab aku dapat menahan diri secara tak sengaja buka aib sendiri. Lol.

Entri kali ini santai saja. Sebagai bukti, aku juga sedang berusaha keras untuk hidup. Macam manusia lain. Jadi aku doakan orang yang nampak aku senang dan tenang beroleh ketenangan dan kesenangan yang sama malah lebih dari aku okay.

Now aku tengah struggle dan tak boleh ponteng untuk guide anak aku yang sekolah rendah. Kalau dulu lebih rileks sebab masih di tahap satu. Now dah naik tahap, cabaran dia jadi extra. Anak sulung pon lagi dua tahun nak ambil SPM.

Apa pun buat semua kerana Allah. Ibadah dan jalan aku pilih bila kami decide aku untuk jadi seorang suri rumah. Selain cut cost kehidupan, aku boleh fokus more untuk bantu anak-anak. Now Alhamdulillah dah masuk lapan tahun aku stay at home mom.

Di-Sebalik-Hidup-Yang-Nampak-Tenang


Cabaran Jadi Stay At Home Mom

Sekarang rutin aku pagi-pagi siapkan keperluan anak nak ke sekolah, anak bongsu dah masuk KAFA. Jadi memang jadi tugas nak siapkan bekal lunch dia.

Anak nombor dua pula KAFA online waktu malam. Jadi dua-dua ni waktu balik tak sama. Dalam erti kata lain aktiviti untuk aku tak akan stop selagi belum tutup mata untuk tidur. Mental pun on going dan on standby mode in case anak perlukan apa-apa.

Dalam masa tu juga lah selit-selit buat kerja rumah, sambil urus emosi. Time emosi aku tak okay memang lantak lah rumah jadi apa pon.  Kadang malam baru boleh duduk diam lepas semua anak tidur.

Bila rasa tepu dengan rutin, aku buat video affiliate. Itu pun ada cabaran tersendiri. Buat bukan nak kaya pon. Nak tukar angin sambil cari duit poket. Walaupun penat tak ingat dunia, kena ingat masih tetap kena buat. 

cabaran-stay-at-home-mom


Berperang Dengan Perasaan Sendiri

Bukan aku tak bersyukur ya, minta jauh sangat andai kata jatuh ke dalam golongan orang yang tak reti bersyukur dengan nikmat Allah bagi.

Currently hidup struggle nak mendidik anak-anak supaya on track, faham makna hidup dan boleh berdikari. Weh payah ya jadi ibu bapa. Sebelum kahwin ada kursus, ada guideline boleh kita rujuk bab kahwin.

Bila dah berkeluarga, dah ada anak memang kena pandai-pandai lah cari ilmu parenting tu. Jadi untuk anak-anak hargailah kedua orang tuamu. Payah weh. Nak betulkan diri sendiri dalam masa sama nak didik anak ikut jalan lurus.

Pesanan Untuk Diri Sendiri

Jadi semestinya penulisan kali ini lebih kepada nak ingatkan diri yang jangan panik kalau kau sedang susah payah atas dunia. Memang itu lumrah singgah di tempat bersifat sementara. Juga kau bukanlah berseorangan. Orang lain pun ada susah dia, tinggal dia luahkan atau dia pendam dalam hati je.

Semoga sesiapa saja yang sedang struggle dalam hidup dapat lalui ujian kehidupan yang Tuhan bagi dengan tenang. InshaAllah orang tenang akan menang. 

Semoga kita semua diberi kuat untuk terus jalan walaupun penat dengan hidup masing-masing.

Pengalaman Hari Sukan Sekolah - Kompleks MSN Setiawangsa

Hujung bulan empat hari tu, hari Ahad hari sukan sekolah anak. Macam biasa setiap tahun sedikit sebanyak aku akan turun padang bantu guru rumah sukan. Permintaan dari cikgu-cikgu juga, nak penglibatan ibu bapa.

Bukan buat apa sangat pun, bantu siapkan pakaian perbarisan, lontar idea mana patut dan masa hari sukan bantu kawal murid di khemah dan jaga keselamatan murid.

Tahun Pertama Hari Sukan di Kompleks MSN Setiawangsa

Tahun ni buat julung kalinya, sukan sekolah buat di Kompleks MSN Setiawangsa. Kalau sebelum ni anak-anak lari atas padang rumput, tahun ni istimewa dan buat kali pertama anak-anak lari di track yang betul.

Semenjak ada Guru Besar baru, banyak perkara positif berlaku kepada anak-anak dan ibu bapa nampak. Bagi aku semua tu rezeki.

Hari-Sukan-Kompleks-MSN-Setiawangsa


Format Baru Hari Sukan Sekolah Tahun Ni

Kali ni acara sukan dibuat sedikit berbeza. Sukantara dibuat minggu yang sama hari persekolahan. Hari Jumaat hari sukaneka untuk murid tahap satu, dan hari sukan fokus kepada acara akhir balapan.

Kiranya hari Ahad di Kompleks MSN hanya fokus untuk murid tahap dua dan tahap satu yang masuk acara akhir. Meriah dengan persembahan, acara perbarisan dan pertandingan. Itu pun ambil masa separuh hari.

Tema hari perbarisan tahun ni ialah tema makanan & minuman. Ada tiga rumah sukan dan PPKI. Rumah Nilam (Biru) tema Kopi Zus, Rumah Delima (Merah) tema Mixue, Rumah Topaz (Kuning) tema Nasi Kandar Saddam dan Rumah PPKI (Purple) tema Tealive. 

Hari-Sukan-Sekolah-Kompleks-MSN-Setiawangsa


Cuaca panas, memang ujian betul hari sukan tahun ni. Kan sekarang musim cuaca panas hujan. Rezeki anak-anak hari sukan memang panas tak hujan. Tapi cuaca terik tu tak dapat nak elak seksa dia. Angin bertiup pun kurang.

Sukan-Sekolah-Kompleks-MSN-Setiawangsa

Pengalaman-Hari-Sukan-Sekolah-Kompleks-MSN-Setiawangsa


Pengalaman Anak-anak Wakil Rumah Kuning (Topaz)

Untuk anak-anak, masing-masing masuk acara larian mewakili Rumah Kuning (Topaz). Airis masuk acara 100 meter individu, rezeki dapat nombor dua. Bersaing dengan lima orang kawan sebaya.

Raudah pula masuk tiga acara. Individu dan berkumpulan. Aku memang terperanjat la cikgu pilih dia. Aku syak tak ramai yang kuat lari sebab tu dia terpilih. Lol. Okay bukan rendahkan anak tapi aku tahu kemampuan dia.

Apa pun kami bangga dengan usaha dia. Acara individu tiada rezeki, untuk acara berkumpulan Alhamdulillah dapat medal. Dapat pingat perak.

Kagum sebab dia mampu maintain stamina untuk lari acara 200M individu, 4x100M, dan 4x200M. Lari tengah panas, jarak jauh. Mak pun rasa nak pengsan.

Penat tapi bangga tengok anak berusaha. Alhamdulillah semua berjalan lancar. Dapat parking kereta dekat dalam, anak-anak gembira, mak muka terbakar dan tiada kecederaan berlaku.

Lari di Track vs Padang Rumput

Secara peribadi aku sokong usaha sekolah pilih Kompleks MSN sebab anak-anak boleh rasa sendiri cabaran sebenar bila berlari di track. Berbeza ya kalau berlari di padang rumput.

Untungnya tidaklah anak-anak terperanjat pada hari pertandingan bila terpilih mewakili sekolah. Semoga venue dapat dikekalkan di masa hadapan.

 

Cerita Syawal Tak terduga Raya Pertama

Alhamdulillah raya kali ni seronok sangat. Paling berharga di waktu usia begini masih lagi dapat peluang beraya dengan emak, berkumpul adik beradik dan bergambar ramai-ramai.

Ikut giliran kami beraya di Pahang dan memang penuh lah rumah. Daripada sepuluh adik beradik, seorang je kakak yang beraya dengan keluarga sendiri. Maklumlah bila keluarga semakin berkembang dan kakak dah ada cucu sendiri.

Rumah emak memang meriah dan penuh dengan anak-anak serta cucu-cucu. Masih lagi meneruskan tradisi masak bersama-sama, malam raya bakar mercun dan anak-anak enjoy main bunga api. 

Beginilah tradisi setiap tahun, kalau semua ada memang riuh, lepas tu bila masing-masing kembali ke sarang memang terasa sunyi rumah emak. 

sambut-raya-di-kampung


Kejadian Syawal Raya Pertama

Biasa kami pagi raya lepas selesai solat hari raya Aidilfitri macam biasa makan ramai-ramai. Menu pagi raya rendang daging, rendang ayam pencen, masak lodeh, Kuah kacang dan laksa.

Perut dah kenyang baru lah bermula sesi salam mohon ampun maaf dan pemberian duit raya. Lepas tu ambil peluang juga rekod video kenangan raya dan sesi bergambar.

cerita-syawal-tak-terduga


Bayangkan emak kena layan sembilan keluarga dengan pelbagai ragam. Tahun ni tiada drama air mata yang teruk, masing-masing ceria je. Masing-masing sabar ikut giliran.

Riuh rendah rumah kami ya. Anak-anak saudara la yang paling gembira sebab dapat kutip banyak duit raya dari makcik dan pakcik.

 

Beraya Dan Sesat Dalam Kebun Getah

Selesai semua urusan abang sulung ajak beraya di Bahau. Menziarah nenek saudara yang semakin uzur. Memang itulah destinasi kami setiap kali raya. Alang-alang tu singgah juga rumah Mak Tua di Kampung Bukit Kelulut dan pak Unggal di Kampung Lonek, Batu Kikir.

jalan-jalan-cerita-syawal


Kami okay je bila emak ajak beraya rumah saudara tapi perasaan seram bila bayangkan keadaan jalan raya dan bentuk muka bumi kampung tu aku tak dapat nak elak.

Tahun ni pecah rekod kami sesat dalam kebun getah dan kereta adik bongsu sangkut dan tersagat jalan tar masa dalam perjalanan ke Kampung Lonek.

Dari rumah kami konvoi enam kereta. Selain dari waze kami hanya bergantung dengan kereta siapa yang berada di hadapan. Ada sekali kami terpisah dan terpaksa guna waze. Tapi hauk ya, entah kemana waze bawa. Itu yang sampai tersesat dalam kebun getah.

Ikut hati nak give up patah balik rumah je. Walaupun sampai lambat tetaplah gigih menghormati tuan rumah yang beria-ria menjemput kami.

 

Kejadian Kereta Sangkut Sagat Jalan Tar

Selepas kejadian sesat dalam kebun getah kami teruskan perjalanan ke rumah Pak Unggal. Suka dengan pemandangan sepanjang jalan memang tak pernah mengecewakan.

Memang tenang je cuma kali ni musim kemarau jadi nampak tanah kering jelah. Berlaku kejadian tak di duga. Jalan nak masuk ke rumah Pak Unggal memang sempit.

Kena lalu jalan yang hanya cukup-cukup untuk satu kereta. Dijadikan cerita, kereta adik Perempuan sangkut sebab nak elak kereta dari arah bertentangan.

Waktu tu adik follow rapat kereta abang. Adik pandu Myvi, abang pula pandu X50. Kereta kami pula jauh sedikit dari adik.

kejadian-cerita-syawal-tak-terduga


Masing-masing terlalu yakin ya akan lepas. Sudahnya kereta abang lepas dan kereta adik tersangkut sebab nak bagi ruang kereta dari arah bertentangan.

Waktu nak bagi laluan itulah kereta adik tersasar dan bergesel dengan jalan tar. Jalan tak sama rata. Memang panik ya. Nasib tak masuk ke dalam sawah.

Risau kalau kereta rosak teruk dan lagi teruk kalau terbalik. Keadaan terkawal bila kami ramai-ramai turun beri beri sokongan.

Panik punya pasal suruh adik keluar dan minta adik lelaki yang kawal kereta nak naik ke jalan semula. Menangis bunyi geselan kereta dengan jalan tar.

Tapi memang kenangan seram sejuk untuk kami semua. Lega tiada yang kerosakan serius. Raya diteruskan dan lepas tu kami balik terus ke rumah. Teringat kereta aku breakdown tepi jalan waktu hujan lebat. 

cerita-syawal


Reunion Keluarga Sebelah Arwah Abah

Raya kedua kami berehat di rumah dan hanya sambut tetamu. Raya kali rileks sikit berbanding tahun sudah. Raya ketiga kami balik kampung sebelah arwah abah pula. Menghadiri majlis reunion keturunan Sutan Maakat.

Majlis ringkas je, salam saudara mara, makan-makan sambil bertegur sapa makcik pakcik. Masa inilah jumpa semua sepupu, anak buah, cucu, cicit yang semestinya aku tak kenal.

Meraikan saja sambil mengeratkan ukhwah. Selesai reunion kami bergerak beraya di kampung kelahiran emak di Temerloh.

Singgah beraya di rumah makcik dan sebelum balik menziarah kubur arwah wan dan aki. Raya ke-empat baru kami balik Melaka.

 

Itu sajalah cerita syawal yang tak terduga di hari raya. Semoga ada rezeki lagi beraya bersama-sama di masa hadapan. Kita tak tahu rezeki, ajal dan maut. Tahun ni aku hargai setiap detik, kenangan raya bersama keluarga.

 

 

Post Raya - kembali Ke Sarang

Alhamdulillah selamat kembali ke pangkal jalan setelah seminggu bercuti. Memang raya sakan kami sekeluarga. Rezeki suami dapat cuti. Beria kumpul cuti sebab nak habiskan masa dengan mak dikampung.

Ramadan lepas kami tak dapat balik berpuasa di kampung jadi memang lepas dendam cuti raya lama sikit. Sekarang dah selamat kembali ke sarang.

Dah kena kembali kepada rutin, siap sedia sebelum sibuk hujung minggu nak hantar Ikhwan balik asrama. Ambil masa juga pastikan baju kelengkapan anak sekolah dah ready. Kerja sekolah anak-anak nak kena semak.

Post-Raya-kembali-Ke-Sarang


Selamat Kembali Ke Sarang Selepas Raya

Penat memasak raya belum habis tapi kena tolak tepi semua tu. Tak boleh layan sangat perasaan tu kalau tidak memang aku akan badmood je sepanjang minggu.

Sampai je masing-masing dah faham nak jalankan tugas masing-masing. Selamat tukar cadar katil, vacuum rumah dan sedut habuk atas katil guna vacuum dust mite.

Rezeki juga perjalanan balik dari Melaka tak sesak teruk walaupun kenderaan banyak atas jalan raya. Lebih kurang tiga jam perjalanan kami selamat sampai.

kembali-Ke-Sarang-selepas-raya


Kembali Hadap Realiti Hidup

Seperti yang dijangka, kehidupan selepas raya akan super busy. Bulan April dan Mei macam-macam aktiviti anak-anak. UPSA dijangka berlaku hujung bulan Mei untuk Airis dan Raudah.

Takwim sekolah bulan empat penuh dengan Hari Sukan dan mesyuarat PIBG serta sambutan Hari Raya yang kami sebagai mak ayah turut terlibat.

Sekolah juga minta Kelab Silat untuk buat persembahan masa hari Sukan nanti. Itu pun kena beri komitmen sebab anak-anak juga terlibat.

Game Silat Airis hujung bulan Mei dan semestinya setiap minggu akan penuh dengan latihan. Raudah pula terpilih wakil sekolah untuk pertandingan Bahas Sekolah Rendah. Naik sekolah ni dah mula sesi latihan sebab pertandingan dijangka berlaku awal bulan lima.


Membayangkan je semua ni dah penat tapi kita hadap sajalah ya. Apa pun marilah buat sehabis baik. Allah beri kita peluang maka gunakanlah sebaik mungkin. Cerita raya menyusul selepas ini kalau akau larat.

Bila Usia Dah Tak Terlalu Teruja Beraya

Persiapan raya tahun ni terasa paling perlahan dan tak beria. Entah kenapa, mungkin sebab usia pun dah makin menginjak. Semangat nak membeli tu tak macam dulu-dulu.

Kalau tahun-tahun sebelum ni, tak kira giliran beraya di kampung siapa, sekurang-kurangnya mesti ada dua persalinan baju raya. Satu untuk hari raya pertama, satu lagi untuk pakai bila beraya rumah saudara-mara.

Tapi tahun ni lain pula rasanya. Bila fikir lebih mendalam, kadang-kadang terlintas juga, kejam tak kalau aku cakap yang zaman aku untuk terlalu teruja menyambut raya tu dah berlalu?

Sekarang ni rasanya lebih seronok tengok anak-anak pula yang excited. Anak-anak dah plan nak beraya, nak pusing-pusing rumah dekat kampung kutip duit raya.

persiapan-sambut-raya


Baju Raya Tahun Ni Sekadar Ada

Tahun ni aku beli sepasang sahaja baju raya. Sejujurnya memang ada terfikir nak recycle saja baju-baju lama dalam almari. Baju raya yang dulu-dulu pun masih elok lagi.

Kalau masih bekerja dulu, logik nak beli sebab boleh pakai ke office. Dah jadi suri rumah ni nak pakai pergi mana je?

Paling tidak aku akan ke kenduri kahwin, majlis sekolah anak atau hadiri majlis keluarga terdekat.  Selalunya aku lebih selesa pakai blouse biasa sahaja. Lebih praktikal.

Walaupun baju raya aku tak cari sangat tahun ni, tapi aku sibuk cari tudung raya. Ahaks. Kepala ada satu tapi tudung berhelai-helai. Pelik bukan.

Biskut raya pun aku belum sempat beli. Selalunya kalau dekat-dekat raya nanti baru terasa panik sikit. Masa tu lah baru fikir nak beli biskut raya atau tambah apa yang patut.

Mungkin tahun ni pun akan jadi cerita last minute juga.

beli-baju-raya

 

Raya Tahun Ni di Kampung Pahang

Tahun ni giliran kami beraya di kampung aku di Pahang kemudian baru balik Melaka. Jadi bab persiapan memasak tu, kami adik-beradik dah sepakat buat tabung kutipan. Senang sikit nak beli barang dapur dan sediakan makanan untuk semua orang.

Menu pula macam biasa, ikut selera dan keinginan emak. Kami adik-beradik ikut saja apa yang emak rasa nak makan. Asalkan beliau gembira, kami layankan saja. Kebiasaan kami ketupat dan nasi impit memang jadi meju wajib ada pagi raya. 

Tahun ni emak dah awal-awal tempah daging. Sepuluh kilo katanya nak buat rendang. Lepas tu emak juga tempah perut lembu. Itu yang beliau teringin sangat tahun ni.

Kami anak-anak ni ikut saja. Tengah orang tua ada selera nak makan, kita bagi saja apa yang mereka mahu. Menu selalu ada nasi impit dan kuah kacang.

Lemang memang dah terkeluar carta, penat nak buat ye. Kalau teringin beli jelah.

 

persiapan-balik-raya

Lapan Adik Beradik Berkumpul

Tahun ni juga giliran adik-beradik berkumpul di Pahang. Daripada sepuluh orang adik-beradik, lapan orang dah confirmkan akan balik beraya hari pertama.

Bila fikir balik, dah boleh bayang keadaan rumah nanti. Setiap orang balik dengan pasangan masing-masing, tambah pula anak-anak.

Memang penuh rumah jadinya. Itu barulah raya. Rumah kami akan jadi antara rumah paling meriah, paling bising dengan suara budak-budak.

Dah semakin menginjak usia ni, aku tak minta banyak. Cukup tiada salah faham, pertumpahan air mata mahupun darah. Emak senyum 24 jam tengok anak, menantu dna cucu depan mata.

Doa yang baik-baik saja. Semoga semua berjalan lancar.

 


Stop Valve Tandas Tercabut

Salam Ramadan semua. Selamat berpuasa. Sinonim bulan Ramadan sebagai bulan kesabaran. Bulan yang mengajar kita supaya kekal waras dan beriman. Kali ni kami diuji lagi, yang boleh tahan peritnya nak ditelan.

Bilik air buat hal. Huwaa… terseksa jugalah sebab menjejaskan waktu kami bersahur tadi. Dah lah semalam hari pertama puasa, badan baru nak reset semula. Jadi terasa juga penat dia. 

Cerita dia macam ni. Elok selesai cuci pinggan mangkuk, aku kemas rumah. Lepas tu aku lepak dalam bilik, main game dekat handphone. Tiba-tiba dengar bunyi dari bilik air. Bunyi air keluar laju. Menderu-deru.

Dugaan Di Bulan Puasa

Terperanjat bila buka pintu. Air dah macam air terjun bunyi dia. Terus panggil suami. Dua-dua panik tak tahu nak buat apa. Rupa-rupanya stop valve yang dekat bawah mangkuk tandas tu tercabut.

Panik weh. Nak nangis pun iya. Lagi bertambah syahdu sebab kejadian berlaku dah lewat malam. Di bulan puasa pula tu. Mana nak cari tukang paip? Penat kemas rumah tak habis lagi tau. Tahun lepas aku renovate tandas ni, dah pernah hadap masalah dan sekarang jadi macam ni pula. 

Itulah orang kata ujian kan. Benda tak dijangka berlaku memang kena sentiasa bersedia. Mujur setiap kali ada benda berlaku, aku tidak keseorangan. Kalau tak, mahu aku melalak sebab tak tahan pressure.

Stop-Valve-Tandas-Rosak


Stop Valve Tandas Rosak

Kami cuba pasang semula valve tu tapi tekanan air kuat dan valve tu memang dah rosak. Suami ikhtiar guna stok apa yang ada di rumah tapi tak berjaya.

Dalam dia dah berkarat dan serpihan bahagian dalam patah. Nak cabut dan gantikan, dekat rumah memang tak ada alatan dan barang yang sesuai. Nak panggil plumber pun dah lewat malam.

repair-Stop-Valve-Tandas


Air keluar non stop dan bunyi dia amat mengganggu emosi. Aku capai tuala dan tutup bahagian punca air yang menderu keluar tu. Bunyi dia jadi perlahan sikit.

Dah jadi macam ni, memang kena paksa diri untuk kekal waras dan kawal keadaan. Sebab apa tau, semalam sebelum tidur Airis menangis. Empati dia tinggi. Dia nampak kesusahan kami dia pun sedih sekali.

stop-valve-bilik-air


Masalah Main Meter Paip Pula

Kami decide tutup main meter sementara tunggu siang. Masa tu lah kami detect masalah kedua. Main meter paip dekat luar rumah tu pula rosak. Hari tu dah dibaiki tapi keadaan dia kembali uzur.

Rasa macam double triple dugaan menghempap kepala. Main meter tak boleh tutup sepenuhnya, menyebabkan air masih keluar dari stop valve yang tercabut tu. Risau kalau tutup ganas nanti meter paip pula jahanam. Lagi teruk.

Memang tiada jalan lain selain bersabar dan tunggu kedai hardware buka. Dalam otak dah terbayang bil air yang bakal melonjak naik bulan depan.

 

Dipendekkan cerita, pagi tadi suami buat report ke JMB dan staff dah datang tengok untuk kenal pasti masalah sebenar. Sekarang dalam proses baik pulih. Alhamdulillah siap ganti semua. Suami ulang balik nasihat dia bagi, kita diuji untuk masuk ke syurga. Nak masuk syurga kena lulus ujian dulu.

Entahlah. Kadang-kadang ujian datang waktu kita penat. Waktu kita baru nak kumpul tenaga, nak bernafas dengan betul. Waktu tu lah latihan sabar sebenar bermula.

 

Join Larian 4KM Merentas Desa

Tercapai juga hasrat aku untuk sertai larian merentas desa sekolah anak. Bertahun-tahun asyik jadi sukarelawan, tengok anak-anak je yang berlari. Tahun ni sekolah buat kelainan bila buka penyertaan larian 4KM merentas desa kategori ibu bapa. Teruja tu tak payah cakap, sebab aku sendiri pernah utarakan idea kategori larian ibu bapa kepada pihak sekolah tahun lepas.

Niat aku satu je. Bila anak-anak nampak ibu ayah datang ke sekolah dan sertai aktiviti, mereka tahu yang ibu ayah ambil berat, ambil tahu apa yang mereka buat. Anak akan rasa dihargai. Bagi aku, bila ibu ayah kenal cikgu, kenal persekitaran sekolah, anak-anak pun automatik lebih berhati-hati nak buat perangai bukan-bukan.

Tahun ni, alhamdulillah, tercapai juga hasrat tu. Bukan sebab nak lari sangat pun sebenarnya. Tapi aku nak tunjukkan yang aku serius sokong anak-anak dan sanggup libatkan diri dalam aktiviti sekolah. Kalau mak ayah boleh buat, insya-Allah anak-anak pun boleh.

Pengalaman Join Larian 4KM Merentas Desa

Sekolah cari 10 pemenang untuk setiap kategori. Walaupun aku tak menang, aku tetap bangga dengan diri sendiri. Yang penting, aku berjaya habiskan larian sejauh 4KM. Alhamdulillah. Tepuk bahu sendiri.

Simple je pengalaman ni tapi cukup la tinggalkan kesan. Bagi aku, mak ayah yang hadir berlari dan jadi sukarelawan dah berjaya cipta kenangan manis dengan anak-anak. 

Awalnya memang ragu-ragu juga dengan kemampuan diri. Maklumlah, ini larian pertama aku selepas hampir berbelas tahun tak sertai mana-mana acara larian. Training pun ala kadar, main-main je.

Larian-4KM-Merentas-Desa


Bertugas Dulu Baru Lari – Jadi Sukarelawan Lagi

Macam tahun-tahun sudah, tahun ni masuk tahun ke-tiga aku jadi sukarelawan Kejohanan Merentas Desa Sekolah Rendah. Sekolah masih guna laluan yang sama macam tahun lepas.

Anak-anak berlari dalam kawasan perumahan, jadi kerja lebih mudah sebab dah tahu stesen mana yang perlu dijaga. Cuaca pula elok, cerah je sepanjang program. Aku ditugaskan di kawasan roundabout.

sukarelawan-Larian-4KM-Merentas-Desa


Cabaran dia bila kereta penduduk keluar masuk. Mental juga nak hadap. Manusia sekarang kurang sense sikit eh. Nampak budak sekolah berlari, tapi masih bawa kereta laju. Yang ni memang buat darah naik.

Alhamdulillah anak-anak berjaya kutip medal dan sumbang markah untuk rumah sukan. Raudah dapat tempat ke-10 bawah kategori U10 (3KM) dan adik dapat tempat ke-3 bawah kategori U8 (1KM). 

pemenang-Larian-4KM-Merentas-Desa


Acara Larian Merentas Desa Kategori Ibu Bapa

Larian dimulakan dengan larian anak-anak, kemudian barulah diikuti dengan larian ibu bapa. Untuk kategori ibu bapa, kami bermula agak lewat, sekitar jam 10 pagi sebab tunggu acara murid habis dulu. Masa tu matahari dah naik tegak. Panas weh.

Persediaan aku sebelum lari memang penting dan jadi asbab aku tak cedera. Wajib warm up, pakai kasut yang sesuai dan selesa. Sebelum keluar rumah aku siap-siap pakai pelindung lutut. Lutut aku ni tak berapa nak okay sebab dulu agak aktif berlatih silat olahraga. Lutut aku lari sikit. Eheks.

Target aku cuma satu, nak habiskan larian tanpa cedera. Nak kejar medal memang tak berani sebab ramai ibu ayah yang memang otai. Sepanjang larian tu, ada juga dua tiga kali terlintas, betul ke keputusan aku sertai larian 4KM ni.

Lari Dengan Pacer Tak Rasmi

Ikutkan track, aku kena habiskan empat pusingan. Setiap pusingan kena ambil gelang getah sebagai bukti lalu checkpoint. Setiap kali sampai checkpoint, anak-anak menjerit sorak nama aku.

Masa tu dalam hati memang ada rasa nak berhenti. Tapi bila nampak anak-anak bersorak, rasa malu pula nak mengalah. Jadi berlari sampai habislah jawab dia.

Sepanjang aku berlari tu juga, ada seorang murid yang jadi pacer tak rasmi aku. Nama dia Putri Iman. Anak yang baik, hormat orang tua. Aku memang ngam dengan dia. Selalu juga dia tolong aku setiap kali ada aktiviti sekolah.

pacer-merentas-desa


Iman ni atlet sekolah dan tengah tunggu panggilan ke sekolah sukan di Titiwangsa. Dia teman aku dari awal sampai hampir ke garisan penamat. Sepanjang larian, asyik menjerit tepi telinga suruh aku jangan berhenti. Serius membantu. Bila fikir balik, memang kelakar.


Kesimpulan

Kalau korang dapat peluang untuk sertai aktiviti sekolah macam ni di masa akan datang, aku sangat galakkan untuk cuba. Aku alami sendiri kesan positifnya, bukan saja pada diri sendiri tapi juga pada anak-anak dan orang sekeliling. Penat tu memang ada. Tapi rasa berbaloi tu lagi besar.