Memaparkan catatan dengan label Aktiviti Anak Anak. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Aktiviti Anak Anak. Papar semua catatan

Pengalaman Pertama Raudah Dalam Silat Olahraga

Assalamualaikum. Alhamdulillah, segala puji bagi Allah yang mengurniakan rezeki dan pengalaman yang baik buat kami sekeluarga. Masing-masing dalam proses recovery sebab baru lepas sertai pertandingan silat.

Rasa macam lama sangat tak menulis dekat sini. Tengah susun atur semula supaya kehidupan on track macam biasa.

Pada 11 hingga 14 September yang lepas, Raudah menyertai Kejohanan Silat Olahraga Pendekar Kalimah 2.0. Ini merupakan pengalaman pertama Raudah masuk pertandingan silat olahraga.

Pengalaman_Pertama_Raudah_Silat_Olahraga


Pertandingan Pertama Raudah

Sejujurnya, keputusan nak izinkan Raudah bertanding bukanlah perkara kecil. Banyak benda kami kena ambil kira termasuk Matriks Pembelajaran Tahun 4 yang bakal dia duduki tak lama lagi.

Sudah dipesan awal-awal yang masuk tak semestinya wajib menang. Kalau rezeki Allah bagi Alhamdulillah. Lebih kepada nak bagi dia rasa sendiri suasana pertandingan, belajar kawal perasaan dan berani melangkah masuk ke gelanggang.

Alhamdulillah, dengan izin Allah, Raudah berjaya membawa pulang pingat emas bagi kategori yang disertainya. Dia bertanding dalam kategori Puteri Kelas B Pra Dini bagi berat 25 hingga 27 kilogram.

Pengalaman_Pertama_Raudah


Sebagai emak yang ikut tengok proses dia dari latihan, persediaan sebelum pertandingan sehinggalah masuk gelanggang, memang aku bangga dengan usaha yang dia tunjukkan.

Teringat masa awal-awal dia masuk silat dulu. Jauh la beza. 

Masalah Berat Badan Tak Cukup

Bukan pingat emas tu jadi ukuran tapi apa yang paling penting ialah banyak yang dia belajar dari pengalaman ni. Cabaran juga untuk aku nak kawal emosi. Lagi drama suami tak turut serta kali ni sebab dia terlibat dengan team building syarikat. 

Masalah Raudah ialah berat badan dia tak cukup 500gram. Nampak kecil kan? Tapi dia sejenis susah nak naik berat. Memang sehari sebelum tarikh timbang berat aku bagi makan semua yang dia nak. Aku tak bagi dia training takut turun lebih banyak.

Jadi kelebihan dekat pihak lawan bila berat dia atas pagar. Bayangkan kena tendang dengan peserta yang lebih berat daripada dia.

Masa post mortem dengan coach, antara perkara yang ditegur ialah dia mudah sangat mengalirkan air mata. Waktu latihan sparring pun dia pernah melalak sebab banyak kali kena front kick.

Tapi masa dalam gelanggang, lain pula jadinya. Dia tak menangis. Dia cuba melawan dan buat apa yang dia belajar semasa latihan.

Boleh angkat kaki nak tendang. Bila lawan buat tangkapan dan nak buat jatuhan, tak menjadi. Pendek kata tak jadi punching bag. Ohoi risaunya mama waktu tu. Risau dia putus asa dan tak melawan.

pertandingan_silat_olahraga_pendekar_kalimah


Tiga Hari Berkampung Di Stadium Titiwangsa

Sepanjang tiga hari berkampung di Stadium Titiwangsa, banyak perkara yang dia belajar. Aku sengaja tanya apa perasaan dia, kata dia “kakak teruja nak berlawan”.

Salah satu impian Raudah sebelum ini adalah nak kibarkan bendera kelab di gelanggang pertandingan. Adik dia buat waktu menang di Pavillion dulu dan dia teringin nak merasa juga.

pertandingan_silat_pendekar_kalimah


Alhamdulillah, Allah izinkan dia merasai pengalaman itu pada kejohanan kali ini. Dengan bangganya dia ulang bercerita dan tengok rakaman video dia banyak kali.

Paling penting, dia pulang tanpa sebarang kecederaan dan dapat menamatkan pertandingan dalam keadaan sihat. Itu dah cukup melegakan hati.

Semoga apa yang Raudah pelajari sepanjang kejohanan ini menjadi bekalan yang baik untuk dirinya pada masa akan datang.

Apa pun pencapaian yang diperoleh, semoga Allah sentiasa memelihara anak-anak kami, menjauhkan mereka daripada perkara yang tidak baik dan mengurniakan kesihatan serta akhlak yang baik.

Apa yang baik datang daripada Allah, dan segala kekurangan adalah daripada kelemahan kami sendiri.

 

Pengalaman_Raudah_Silat_Olahraga

Airis Menang Kejohanan Silat, Tunas Terbaik Putri

Alhamdulillah, dengan izin Allah, selesai sudah penyertaan Airis di Kejohanan Silat Terbuka Wilayah Persekutuan bulan Mei yang sudah. Mewakili kelab Nadi bawah kategori Tunas, Putri.

Pengalaman yang amat manis dan lebih bermakna, Airis berjaya menjadi Juara dalam kategori Tunas Putri serta dinobatkan sebagai Tunas Terbaik Putri. MasyaAllah Tabarakallah.

Sebagai ibu bapa, ini adalah satu kenangan yang sangat berharga. Bukan kemenangan sahaja yang kami target tapi tentang perjalanan, proses, dan cabaran yang Airis lalui di usia sekarang.

Kejohanan_Silat_Terbuka_wilayah


Persediaan Sebelum Kejohanan Silat

Sebelum kejohanan, kami dah hadap pelbagai cabaran dari awal. Paling menekan semestinya menjaga berat badan. Dengan kami sekali terpalit kena kawal selera makan. 

Airis kena jaga berat badan supaya kekal dalam kategori yang ditetapkan. Berat maksima untuk kelas dia ialah 17kilogram. Tak boleh kurang tak boleh lebih.

Kejohanan_Silat_Tunas_Terbaik_Putri


Coach dah plan sebaik mungkin kerana kalau berat terlebih, kemungkinan tinggi dia akan berlawan dengan rakan sepasukan. Rugi la dekat situ. sekali gus mengurangkan peluang untuk membawa pulang pingat.

Dalam masa yang sama, jadual perlawanan diumumkan pihak penganjur supaya kelab dapat rancang perjalanan lebih awal. Masa itulah tekanan bertambah 100%. Debaran kian terasa kerana kami dapat gambaran awal siapa lawan yang bakal dihadapi.

Masa inilah perang mental bermula sebab emak-emak ni rajin siasat akaun tiktok kelab silat lain. Ada baik buruk dia. Oh aku ada kongsi dalam entri berdebar pertama kali hantar anak bertanding silat. 


Cabaran Semasa Kejohanan Silat: Tiga Hari Berkampung

Kejohanan ini berlangsung selama tiga hari dan kami berkampung dari pagi sampai malam di lokasi pertandingan iaitu di Pavilion Bukit Jalil. Penganjur buat di bahagian luar kawasan terbuka.

Cuaca panas terik, tiada angin bertiup hanya mengharapkan kipas besar di bahagian atas sahaja. Bayangkan juga suasana bising, padat dengan manusia sebab kami berkongsi tempat dengan program Hari Belia.

Hari ketiga dan terakhir tu aku baru perasan keadaan tu trigger eczema Airis. Mula dengan bitnik-bintik gatal di muka lepas tu merebak di seluruh badan sampai ke kaki. Nak kata ruam pon iya juga.

Bersyukur sangat Airis masih semangat nak habiskan perlawanan. Memang aku paksa dia minum air masak setiap masa. Kami bawa Airis ke klinik beberapa hari selepas tu dan dia dapat antibiotik.

Airis_Menang_Kejohanan_Silat_Tunas_Terbaik_Putri


Cabaran Emosi - Takut Sebelum Perlawanan Akhir

Pertama kali aku tengok Airis takut tak tentu arah. Rupanya dalam diam dia rasa pressure perlawanan akhir. Personally, itu merupakan detik paling mencabar sebab aku kena redakan pressure dia.

Airis tiba-tiba menangis, takut untuk masuk ke gelanggang. Aku dah cuak takut dia minta tarik diri je. Faham sangat sebab dia baru 8 tahun. Tak boleh nak salahkan dia. pengalaman pertama dia pula tu.

Cepat-cepat aku bawa dia jauh dari crowd, picit tangan kaki. Bagi minum air dan bagi dia main game dekat handphone. Nak cuba alih perhatian dia. Sambil baca apa yang patut, aku suruh dia duduk di riba Ikhwan.

Airis_Menang_Kejohanan_silat


Dia memang manja dengan abang dia dan memang menjadi. Airis jadi lebih relaks dan kurang tertekan. Alhamdulillah syukur, Airis berjaya mengawal emosi. Usaha dan keberanian dia membuahkan hasil.

Airis berjaya dinobatkan sebagai Juara Tunas Putri Kelas A dan Tunas Terbaik Putri. Pencapaian membanggakan bagi pengalaman pertama dia dalam kejohanan silat.


Pengajaran & Pengalaman Dari Sudut Pandang Emak

Banyak perkara kami belajar kali ini. Disiplin itu perkara paling utama. Bila dah tetapkan target, kena ada disiplin yang tinggi untuk capai impian. Tak mudah tapi tak mustahil.

Selalu aku ingatkan anak-anak, masa dalam gelanggang tiada siapa boleh bantu kecuali Tuhan dan diri sendiri. Belajar kawal rasa takut dan emosi. Minta banyak-banyak pada Dia.

Untuk aku sendiri sebagai emak, aku belajar beri sokong tanpa tekanan berlebihan. Siapa je tak mahu anak berjaya bawa balik pingat emas. Tapi apa pun alasan, anak mesti jadi keutamaan.

 

Airis_Menang_Silat_Tunas_Terbaik_Putri

Alhamdulillah, pengalaman pertama Airis dalam kejohanan silat ini akan menjadi kenangan yang tidak akan dilupakan.

Semoga Allah memelihara Airis daripada segala keburukan dan menjadikan pengalaman ini asbab dia menjadi anak yang lebih berani dan berakhlak baik.


Pergi PBAKL Bersama Anak: 5 Perkara Yang Perlu Tahu

Hujung minggu lepas, aku bawa anak-anak ke Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL). Kami pergi waktu hari bekerja jadi suami tak ikut. Kami pilih naik LRT je. Lebih mudah. Dapat luangkan masa beberapa jam dari satu booth ke booth yang lain sambil belek buku.

Masing-masing balik dengan senyuman yang lebar. Misi berjaya. Ada beberapa perkara yang aku rasa berbaloi dikongsi untuk sesiapa yang bercadang ke PBAKL, terutamanya jika pergi bersama anak-anak.

pergi_PBAKL_2026


1. Naik LRT Lebih Mudah Daripada Memandu

Memandangkan PBAKL berlangsung masa cuti sekolah jalan raya memang penuh dengan kenderaan. Lebih praktikal kalau naik kenderaan awam seperti LRT kalau datang sini. Selain jimat duit untuk bayar parking, hati lebih tenang sebab tak perlu hadap kesesakan jalan raya.

Lokasi masih sama iaitu di World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL). Ada beberapa pilihan bergantung dari mana korang datang. Ada Monorel, LRT, MRT dan KTM Komuter.

Macam kami menggunakan laluan LRT – Kelana Jaya (buat penukaran stesen di Masjid Jamek dan berhenti di stesen PWTC.

2. Bawa Beg Roda Elak Badan Penat

Pengajaran berharga kami dapat masa kami ke PBAKL 2023. Waktu tu pelik ya bila nampak ramai pengunjung tarik beg roda. Bagasi beroda yang orang bawa kalau pergi bercuti tu. Newbie macam kami waktu tu bawa beg galas saja.

Balik tu memang sakit bahu dan lenguh pinggang. Kali ini lebih bersedia, memang pilihan yang tepat untuk bawa beg roda. Masing-masing beli buku boleh tahan berat.

Nak berjalan sambil harung lautan manusia memang tangan akan cepat lenguh. Lagi satu memang jimat tak perlu beg plastik sebab semua sumbat dalam beg roda.

pergi-pbakl-naik-lrt


3. Tetapkan Bajet Elak Rambang Mata

Penting sangat untuk terangkan kepada anak tentang harga dan tetapkan bajet. Sesungguhnya godaan membeli buku itu memang wujud. Dah sampai sana memang rambang mata sebab banyak promo penjual offer.

Anak-anak dah senaraikan buku yang nak dibeli dari rumah. Jadi memang dah tetapkan dalam otak tak boleh berbelanja dari had yang ditetapkan. Sejujurnya aku sendiri terlebih belanja sebab aku beli Set Komik Jejak Muhammad.

Sedapkan hati sebab komik tu memang semua orang dalam rumah boleh baca. Wajib ada dekat setiap rumah supaya lebih kenal Nabi kita.

pergi-pbakl-bersama-anak


4. Kemudahan Tempat Makan, Surau & Tandas

Jangan risau sebab mudah nak cari makanan. Ada café dekat dalam WTC dan dekat luar ada banyak gerai makanan. Kami makan sekadar alas perut saja. Ada surau di aras 3. Cuma satu je aku tak berkenan dekat sini tandas sebab tiada bidet. Memang aku elak ke tandas kecuali kecemasan.

booth_PBAKL_2026


5. Rancang Perjalanan Datang Awal

Pesta buku bermula seawal 10 pagi. Untuk elak berhimpit datang lah pada waktu yang kurang sesak dan awal pagi. Lebih tenang nak belek buku dan mudah buat pilihan. Kecuali kalau datang PABKL nak jumpa penulis kesayangan korang memang kena tahan sajalah beratur dan bersesak.

Rezeki. Alhamdulillah. Masa dekat reruai Nuktah, aku beli set Komik Nabi dan dapat tulisan nama Khat. Gembira dia tu tak dapat nak describe. 

pergi-pbakl


Walaupun penat berjalan hampir seharian, pengalaman ke PBAKL bersama anak memang berbaloi. Pengalaman anak-anak tu yang mahal. Dapat lihat keterujaan anak memilih buku tu seronok sangat. Kalau ada rezeki dan kesempatan, insya-Allah kami akan datang lagi pada tahun hadapan. 

Pengalaman Pertama Sertai Kejohanan Silat Terbuka Wilayah Persekutuan

Baru perasan aku tak pernah cerita lagi tentang Kejohanan Silat olahraga yang Airis bakal sertai hujung bulan Mei ini. Pertandingan pertama dia. Kami masih lagi sibuk dengan jadual harian dan rasanya selepas cuti sekolah pertengahan tahun baru reda sikit. Agaknya lah.

Sekarang dalam jadual penuh dengan persiapan pertandingan anak-anak. Bermula dengan bantu Raudah buat tugasan video tentang zakat masa bulan ramadan, sambung pula bantu dia buat video book review sebagai wakil sekolah.

Selesai submit dua tugasan, sekarang fokus persiapan untuk pertandingan Bahas. Nak pergi bertanding 18 Mei di TAR, UMT. Nanti cerita panjang in separate entry.

Debar Pertama Kali Hantar Anak Bertanding 

Kelab putuskan untuk sertai kejohanan dan hantar anak-anak untuk beri pendedahan. Secara rasminya Kejohanan Silat Terbuka Wilayah Persekutuan Scca Silat Gladiator 3.0/2026 merupakan pertandingan pertama mereka.

Dulu aku pernah juga terlibat dengan silat olahraga, jadi memang tahu serba sedikit tentang sistem markah dan kategori pertandingan. Tapi bila anak sendiri masuk gelanggang, rasa dia memang lain.

Sebelum ni anak-anak hanya kutip pengalaman dalam gelanggang semasa training dan juga friendly.  Jadi inilah masanya untuk tengok keupayaan anak-anak. Sebagai emak haruslah diri ini berdebar dan cuak ya.

Pengalaman-Pertama-Sertai-Kejohanan-Silat-Terbuka-Wilayah-Persekutuan


Jadual Kejohanan Silat Terbuka Dah Keluar

Malam tadi penganjur buat cabutan secara dalam talian untuk tentukan lawan. Hanya tunggu carta jadual kejohanan yang rasmi je. Airis akan bertanding di bawah kategori tanding Tunas: 7 hingga 8 tahun. Kelas -A, bawah 17kilogram. 

Dari segi persiapan, selain training setiap minggu jurulatih memang pesan untuk anak-anak jaga stamina dan jaga kesihatan. Memang mak ayah kena buat sekali baru anak-anak bersemangat nak buat.

Sebab tu masa kami hujung minggu teramatlah pack. Alhamdulillah walaupun sibuk, kami tetap pastikan perkara-perkara penting tak terlepas. Anak-anak gembira walaupun penat.

Pengalaman-Airis-Sertai-Kejohanan-Silat-Terbuka-Wilayah-Persekutuan

Kejohanan-Silat-Terbuka-Wilayah-Persekutuan




Raudah Tarik Diri Dari Pertandingan Silat

Oh ya untuk kejohanan kali ini, kami putuskan untuk “tarik diri” bagi penyertaan Raudah sebab dia terlibat dengan pertandingan bahas. Memandangkan Bahas pun pertama kali dia nak cuba jadi kami risau dia tak boleh handle the pressure.

Waktu latihan pun padat dan ada beberapa kali clash waktu latihan silat dan bahas. Paling utama, bahas perlukan kekuatan memori untuk faham dan hafal. Silat pula latihan kena pakai otak dan melibatkan fizikal. Syukur kami buat pilihan tepat. Kejohanan seterusnya kakak cuba ya.


Kenapa Kami Pilih Silat Untuk Anak-Anak?

Emak aku pernah tanya soalan random masa aku cerita anak-anak pilih silat olahraga; kenapa pilih sukan yang lasak macam ni? aku mampu gelak je.

Background aku dan suami, memang aku minat silat. Itu je alasan paling kukuh terlintas di otak. Arwah abah guru silat, pakcik dan makcik aku pun. Jadi aku dikelilingi insan berdarah pendekar.

Nampak sedikit pelik, masa arwah abah masih hidup aku takut nak tunjukkan minat tu. Pastinya semangat dan minat abah tu aku warisi.

Akhirnya, fasa hidup kami sekarang memang rasa macam hidup ni bergerak dari satu tugasan ke satu tugasan. Penat tu memang penat, tapi dalam masa sama seronok tengok anak-anak mula jumpa minat dan cuba benda baru. Kami support apa yang mereka minat selagi benda itu baik.

Untuk kejohanan kali ini, kami tak letak harapan terlalu tinggi soal menang atau kalah. Cukuplah anak-anak dapat rasa pengalaman masuk gelanggang sebenar, belajar kawal tekanan dan belajar disiplin sepanjang latihan.

  

Pengalaman Hari Sukan Sekolah - Kompleks MSN Setiawangsa

Hujung bulan empat hari tu, hari Ahad hari sukan sekolah anak. Macam biasa setiap tahun sedikit sebanyak aku akan turun padang bantu guru rumah sukan. Permintaan dari cikgu-cikgu juga, nak penglibatan ibu bapa.

Bukan buat apa sangat pun, bantu siapkan pakaian perbarisan, lontar idea mana patut dan masa hari sukan bantu kawal murid di khemah dan jaga keselamatan murid.

Tahun Pertama Hari Sukan di Kompleks MSN Setiawangsa

Tahun ni buat julung kalinya, sukan sekolah buat di Kompleks MSN Setiawangsa. Kalau sebelum ni anak-anak lari atas padang rumput, tahun ni istimewa dan buat kali pertama anak-anak lari di track yang betul.

Semenjak ada Guru Besar baru, banyak perkara positif berlaku kepada anak-anak dan ibu bapa nampak. Bagi aku semua tu rezeki.

Hari-Sukan-Kompleks-MSN-Setiawangsa


Format Baru Hari Sukan Sekolah Tahun Ni

Kali ni acara sukan dibuat sedikit berbeza. Sukantara dibuat minggu yang sama hari persekolahan. Hari Jumaat hari sukaneka untuk murid tahap satu, dan hari sukan fokus kepada acara akhir balapan.

Kiranya hari Ahad di Kompleks MSN hanya fokus untuk murid tahap dua dan tahap satu yang masuk acara akhir. Meriah dengan persembahan, acara perbarisan dan pertandingan. Itu pun ambil masa separuh hari.

Tema hari perbarisan tahun ni ialah tema makanan & minuman. Ada tiga rumah sukan dan PPKI. Rumah Nilam (Biru) tema Kopi Zus, Rumah Delima (Merah) tema Mixue, Rumah Topaz (Kuning) tema Nasi Kandar Saddam dan Rumah PPKI (Purple) tema Tealive. 

Hari-Sukan-Sekolah-Kompleks-MSN-Setiawangsa


Cuaca panas, memang ujian betul hari sukan tahun ni. Kan sekarang musim cuaca panas hujan. Rezeki anak-anak hari sukan memang panas tak hujan. Tapi cuaca terik tu tak dapat nak elak seksa dia. Angin bertiup pun kurang.

Sukan-Sekolah-Kompleks-MSN-Setiawangsa

Pengalaman-Hari-Sukan-Sekolah-Kompleks-MSN-Setiawangsa


Pengalaman Anak-anak Wakil Rumah Kuning (Topaz)

Untuk anak-anak, masing-masing masuk acara larian mewakili Rumah Kuning (Topaz). Airis masuk acara 100 meter individu, rezeki dapat nombor dua. Bersaing dengan lima orang kawan sebaya.

Raudah pula masuk tiga acara. Individu dan berkumpulan. Aku memang terperanjat la cikgu pilih dia. Aku syak tak ramai yang kuat lari sebab tu dia terpilih. Lol. Okay bukan rendahkan anak tapi aku tahu kemampuan dia.

Apa pun kami bangga dengan usaha dia. Acara individu tiada rezeki, untuk acara berkumpulan Alhamdulillah dapat medal. Dapat pingat perak.

Kagum sebab dia mampu maintain stamina untuk lari acara 200M individu, 4x100M, dan 4x200M. Lari tengah panas, jarak jauh. Mak pun rasa nak pengsan.

Penat tapi bangga tengok anak berusaha. Alhamdulillah semua berjalan lancar. Dapat parking kereta dekat dalam, anak-anak gembira, mak muka terbakar dan tiada kecederaan berlaku.

Lari di Track vs Padang Rumput

Secara peribadi aku sokong usaha sekolah pilih Kompleks MSN sebab anak-anak boleh rasa sendiri cabaran sebenar bila berlari di track. Berbeza ya kalau berlari di padang rumput.

Untungnya tidaklah anak-anak terperanjat pada hari pertandingan bila terpilih mewakili sekolah. Semoga venue dapat dikekalkan di masa hadapan.

 

Post Raya - kembali Ke Sarang

Alhamdulillah selamat kembali ke pangkal jalan setelah seminggu bercuti. Memang raya sakan kami sekeluarga. Rezeki suami dapat cuti. Beria kumpul cuti sebab nak habiskan masa dengan mak dikampung.

Ramadan lepas kami tak dapat balik berpuasa di kampung jadi memang lepas dendam cuti raya lama sikit. Sekarang dah selamat kembali ke sarang.

Dah kena kembali kepada rutin, siap sedia sebelum sibuk hujung minggu nak hantar Ikhwan balik asrama. Ambil masa juga pastikan baju kelengkapan anak sekolah dah ready. Kerja sekolah anak-anak nak kena semak.

Post-Raya-kembali-Ke-Sarang


Selamat Kembali Ke Sarang Selepas Raya

Penat memasak raya belum habis tapi kena tolak tepi semua tu. Tak boleh layan sangat perasaan tu kalau tidak memang aku akan badmood je sepanjang minggu.

Sampai je masing-masing dah faham nak jalankan tugas masing-masing. Selamat tukar cadar katil, vacuum rumah dan sedut habuk atas katil guna vacuum dust mite.

Rezeki juga perjalanan balik dari Melaka tak sesak teruk walaupun kenderaan banyak atas jalan raya. Lebih kurang tiga jam perjalanan kami selamat sampai.

kembali-Ke-Sarang-selepas-raya


Kembali Hadap Realiti Hidup

Seperti yang dijangka, kehidupan selepas raya akan super busy. Bulan April dan Mei macam-macam aktiviti anak-anak. UPSA dijangka berlaku hujung bulan Mei untuk Airis dan Raudah.

Takwim sekolah bulan empat penuh dengan Hari Sukan dan mesyuarat PIBG serta sambutan Hari Raya yang kami sebagai mak ayah turut terlibat.

Sekolah juga minta Kelab Silat untuk buat persembahan masa hari Sukan nanti. Itu pun kena beri komitmen sebab anak-anak juga terlibat.

Game Silat Airis hujung bulan Mei dan semestinya setiap minggu akan penuh dengan latihan. Raudah pula terpilih wakil sekolah untuk pertandingan Bahas Sekolah Rendah. Naik sekolah ni dah mula sesi latihan sebab pertandingan dijangka berlaku awal bulan lima.


Membayangkan je semua ni dah penat tapi kita hadap sajalah ya. Apa pun marilah buat sehabis baik. Allah beri kita peluang maka gunakanlah sebaik mungkin. Cerita raya menyusul selepas ini kalau akau larat.

Pertandingan Sepanjang Bulan Ramadan

Awal Ramadan hari tu, Panitia Agama Islam umumkan sekolah mengadakan beberapa pertandingan sempena bulan mulia ni. Antaranya pertandingan reka poster digital terbuka untuk semua murid, pertandingan hias Gift Box untuk tahap satu dan penulisan khat untuk tahap dua.

Syarat pertandingan cikgu dah “blast” dalam group WhatsApp kelas. Ikutkan, ini tahun kedua anak-anak sertai pertandingan poster digital. Tahun lepas, rezeki mereka terpilih sebagai antara pemenang. Jadi tahun ni, masing-masing memang teruja nak join lagi.

Serius lah, zaman sekarang laju betul cara belajar. Banyak benda murid kena tahu, atau lagi tepat wajib tahu untuk mampu bersaing dengan murid lain.

Serius lah, zaman sekarang memang laju betul cara belajar. Banyak benda murid kena tahu atau lebih tepat, wajib tahu kalau nak mampu bersaing dengan murid lain.

Pertandingan-reka-poster-digital


Pertandingan Reka Poster Digital Sempena Ramadan

Dulu waktu aku sekolah rendah, biasa kalau ada pertandingan melukis poster, cikgu akan pesan bawa pensil warna. Lepas tu buat ramai-ramai dalam kelas je.

Jadi kakak dan adik gigih siapkan poster masing-masing. Guna Canva je. Tahun lepas aku tolong juga sumbang idea tapi tahun ni aku serah sepenuhnya dekat mereka.

Kalah menang tu perkara kedua. Selalu sangat aku tekankan dekat anak-anak, bukan nak tengok hasil dia tapi apa dia belajar sepanjang proses tu. Menang tu bonus. Kalah ambil pengalaman dan buat lebih baik di masa depan.

Pertandingan-reka-poster


Majlis Penutup Program & Pemberian Duit Raya

Hari akhir sekolah sebelum cuti raya, cikgu umumkan pemenang. Tahun ni tiada rezeki untuk pertandingan poster tapi Airis berjaya dapat tempat ketiga Pertandingan Gift Box Ramadan. Dapat buku nota dan juga mechanical pencil. Senyum lebar tunjuk hadiah kemenangan. 

pertandingan-gift-box-ramadan


Walaupun si kakak tak menang, dia tetap gembira. Ustazah bagi hadiah dia bantu masa pemberian hadiah. Murid bertugas tak hadi, jadi Raudah kena back up naik pentas tolong ustazah.

Itu pun anak-anak dah gembira. Balik je dari sekolah masing-masing teruja tunjuk dapat duit raya dari guru besar.


Bersaing Satu Dunia

Realiti murid sekarang, seawal sekolah rendah dah didedahkan dengan dunia digital. Kalau nak dibandingkan dengan zaman aku dulu, masa diploma barulah kenal komputer dan mula faham guna internet.

Aku teringat satu quote dari penceramah motivasi: anak-anak hari ini bukan sekadar bersaing dengan kawan sekelas, tapi dengan satu dunia. Sebab mereka terdedah dengan internet.

Capaian maklumat tu di hujung jari je. Nampak mudah tapi bagi aku sebagai seorang emak, aku rasa ia amatlah kompleks. Banyak pros dan juga cons.

Sekurang-kurangnya dulu aku kenal internet di usia 18 tahun. Tapi anak-anak sekarang punyalah laju. Awal-awal lagi dah didedahkan dengan internet. Seawal umur sekolah rendah.

Memang tak dinafikan banyak manfaat yang mereka dapat. Tapi dalam masa yang sama, ada juga kesan buruk yang kadang-kadang kita sebagai mak ayah terlepas pandang.

Aku kongsi dekat sini bukan sebab menolak kemajuan teknologi. Cuma rasa seram bila fikir tentang kesan teknologi kalau tak diurus dengan betul terutama untuk anak-anak yang baru nak kenal dunia.

Friendly Match Basketball SMSS VS STAR

Ini cerita minggu sebelum Ramadan hari tu. Kami ke SMSS tengok friendly match Basketball. Rezeki dapat tengok Ikhwan main U15 mewakili sekolah. Friendly match dengan Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAR). Decide untuk pergi tengok match pada saat akhir dan memang tak menyesal datang.

Sehari sebelum tu dia ada cerita yang kemungkinan besar dia turun main. Kami pun okay saja doakan yang terbaik. Hari yang sama juga adik dia ada kelas silat. Jadi masa memang suntuk. Tak berani janjikan apa-apa.

Rezeki dia. Habis kelas silat, kemudian terus ke SMSS. Senyum lebar dia bila nampak kami sampai. Waktu tu dia tengah warm up dekat court.

Tengok Friendly Match Basketball SMSS

Anak bertuah tu dia tidak lah suruh kami datang, tidak juga menghalang. Aku syak memang anak sulung begitu agaknya. Risau kalau dia minta kami datang tengok dia main, akan susahkan mak ayah. Hai lah anak.

Kami ni bila jadi mak ayah, apa je anak tu buat memang kalau boleh nak menempel sekali sokong anak. Ramai juga ibu ayah lain turun sokong anak-anak. Sumpah seronok, teruja dan berdebar. Semangat kesukanan tu terserlah. 

Friendly match ni aku anggap sebagai peluang anak-anak untuk tambah pengalaman dan rasai sendiri keseronokkan bersukan. Serius aku teruja walaupun aku bukanlah pelajar yang aktif bersukan waktu zaman sekolah dulu.

Friendly-Match-Basketball-SMSS-STAR


Basketball Bukan Sukan Pilihan

Ikutkan background aku dan suami basketball ni memang sukan yang amat asing bagi kami. Mana tidaknya, suami sekolah di kawasan kampung dan aku pula membesar di suasana Felda. Basketball waktu zaman kami hanya kaum Cina je yang main.

Masa sekolah rendah aku pelik juga bila Ikhwan tiada tunjuk minat main bola sepak. Dia okay je main bola dengan kawan-kawan tapi bukan minat teruk macam budak lelaki lain. Suami aku pernah gelakkan aku sebab aku risau Ikhwan tak normal. Ahaks.

Friendly-Match-Basketball-SMSS


Sekolah rendah dia aktif main catur je. Bila masuk sekolah menengah di SMSS, disitulah semuanya bermula. Kalau ikut fizikal dia lagi la susah nak percaya. Basketball kan kena fizikal yang tinggi dan lincah. Masa umur 12 tahun, Ikhwan comel kemetot weh ikut kami suami isteri.

Betul lah orang kata, anak lelaki ni bila masuk sekolah menengah la pertumbuhan dia bertambah. Dia dah tinggi dari aku okay. Tulang dia punya la keras. Tapak tangan dia kalau lempang pipi mau berdarah mulut.  

Kalah Menang Adat Permainan

Tiada rezeki Ikhwan dan kawan-kawan, STAR menang untuk U15 tapi berjaya mengalahkan pihak lawan untuk Kumpulan U17. Permainan sengit dan agak rushing bagi aku sebab pihak lawan tiba agak lewat.

Apa pun Ikhwan berjaya score gol 3 markah. Kalau aku jadi dia, aku bangga okay. Dapat score untuk team depan mak ayah. Perangai mak-mak mestilah aku bangga macam anak aku menang game peringkat antarabangsa ya.

Friendly-Match-Basketball


Anak-anak SMSS menang di hati auntie sebab abang-abang senior sangat terserlah kepimpinan mereka. Bagi arahan bersihkan court, susun tempat duduk dan banyak bagi tunjuk ajar. Adik-adik senior pun patuh je. 

Lagi satu senior Ikhwan yang pernah sebilik dengan dia tahun lepas tak sombong ya. Tegur dan beri salam. Aku memang cepat cair kalau budak beradap dan bijak. Bagus didikan mak ayah dia.

 

Kesimpulan

Bersyukur anak aku normal minat sukan. Ahaks. On serious note; Ikhwan suka dan tunjukkan komitmen bila dia buat sesuatu yang dia minat. Sukan tu penting tapi jangan sampai terabai Pelajaran.

 

Join Larian 4KM Merentas Desa

Tercapai juga hasrat aku untuk sertai larian merentas desa sekolah anak. Bertahun-tahun asyik jadi sukarelawan, tengok anak-anak je yang berlari. Tahun ni sekolah buat kelainan bila buka penyertaan larian 4KM merentas desa kategori ibu bapa. Teruja tu tak payah cakap, sebab aku sendiri pernah utarakan idea kategori larian ibu bapa kepada pihak sekolah tahun lepas.

Niat aku satu je. Bila anak-anak nampak ibu ayah datang ke sekolah dan sertai aktiviti, mereka tahu yang ibu ayah ambil berat, ambil tahu apa yang mereka buat. Anak akan rasa dihargai. Bagi aku, bila ibu ayah kenal cikgu, kenal persekitaran sekolah, anak-anak pun automatik lebih berhati-hati nak buat perangai bukan-bukan.

Tahun ni, alhamdulillah, tercapai juga hasrat tu. Bukan sebab nak lari sangat pun sebenarnya. Tapi aku nak tunjukkan yang aku serius sokong anak-anak dan sanggup libatkan diri dalam aktiviti sekolah. Kalau mak ayah boleh buat, insya-Allah anak-anak pun boleh.

Pengalaman Join Larian 4KM Merentas Desa

Sekolah cari 10 pemenang untuk setiap kategori. Walaupun aku tak menang, aku tetap bangga dengan diri sendiri. Yang penting, aku berjaya habiskan larian sejauh 4KM. Alhamdulillah. Tepuk bahu sendiri.

Simple je pengalaman ni tapi cukup la tinggalkan kesan. Bagi aku, mak ayah yang hadir berlari dan jadi sukarelawan dah berjaya cipta kenangan manis dengan anak-anak. 

Awalnya memang ragu-ragu juga dengan kemampuan diri. Maklumlah, ini larian pertama aku selepas hampir berbelas tahun tak sertai mana-mana acara larian. Training pun ala kadar, main-main je.

Larian-4KM-Merentas-Desa


Bertugas Dulu Baru Lari – Jadi Sukarelawan Lagi

Macam tahun-tahun sudah, tahun ni masuk tahun ke-tiga aku jadi sukarelawan Kejohanan Merentas Desa Sekolah Rendah. Sekolah masih guna laluan yang sama macam tahun lepas.

Anak-anak berlari dalam kawasan perumahan, jadi kerja lebih mudah sebab dah tahu stesen mana yang perlu dijaga. Cuaca pula elok, cerah je sepanjang program. Aku ditugaskan di kawasan roundabout.

sukarelawan-Larian-4KM-Merentas-Desa


Cabaran dia bila kereta penduduk keluar masuk. Mental juga nak hadap. Manusia sekarang kurang sense sikit eh. Nampak budak sekolah berlari, tapi masih bawa kereta laju. Yang ni memang buat darah naik.

Alhamdulillah anak-anak berjaya kutip medal dan sumbang markah untuk rumah sukan. Raudah dapat tempat ke-10 bawah kategori U10 (3KM) dan adik dapat tempat ke-3 bawah kategori U8 (1KM). 

pemenang-Larian-4KM-Merentas-Desa


Acara Larian Merentas Desa Kategori Ibu Bapa

Larian dimulakan dengan larian anak-anak, kemudian barulah diikuti dengan larian ibu bapa. Untuk kategori ibu bapa, kami bermula agak lewat, sekitar jam 10 pagi sebab tunggu acara murid habis dulu. Masa tu matahari dah naik tegak. Panas weh.

Persediaan aku sebelum lari memang penting dan jadi asbab aku tak cedera. Wajib warm up, pakai kasut yang sesuai dan selesa. Sebelum keluar rumah aku siap-siap pakai pelindung lutut. Lutut aku ni tak berapa nak okay sebab dulu agak aktif berlatih silat olahraga. Lutut aku lari sikit. Eheks.

Target aku cuma satu, nak habiskan larian tanpa cedera. Nak kejar medal memang tak berani sebab ramai ibu ayah yang memang otai. Sepanjang larian tu, ada juga dua tiga kali terlintas, betul ke keputusan aku sertai larian 4KM ni.

Lari Dengan Pacer Tak Rasmi

Ikutkan track, aku kena habiskan empat pusingan. Setiap pusingan kena ambil gelang getah sebagai bukti lalu checkpoint. Setiap kali sampai checkpoint, anak-anak menjerit sorak nama aku.

Masa tu dalam hati memang ada rasa nak berhenti. Tapi bila nampak anak-anak bersorak, rasa malu pula nak mengalah. Jadi berlari sampai habislah jawab dia.

Sepanjang aku berlari tu juga, ada seorang murid yang jadi pacer tak rasmi aku. Nama dia Putri Iman. Anak yang baik, hormat orang tua. Aku memang ngam dengan dia. Selalu juga dia tolong aku setiap kali ada aktiviti sekolah.

pacer-merentas-desa


Iman ni atlet sekolah dan tengah tunggu panggilan ke sekolah sukan di Titiwangsa. Dia teman aku dari awal sampai hampir ke garisan penamat. Sepanjang larian, asyik menjerit tepi telinga suruh aku jangan berhenti. Serius membantu. Bila fikir balik, memang kelakar.


Kesimpulan

Kalau korang dapat peluang untuk sertai aktiviti sekolah macam ni di masa akan datang, aku sangat galakkan untuk cuba. Aku alami sendiri kesan positifnya, bukan saja pada diri sendiri tapi juga pada anak-anak dan orang sekeliling. Penat tu memang ada. Tapi rasa berbaloi tu lagi besar.

Outing Cousin Di Game On Theme Park

Sebelum ingatan semakin pudar sebab sibuk urus hidup dan anak-anak, eloklah aku tulis pengalaman kami ke Game On Theme Park di Melawati Mall. Kali ni bukan sekadar jalan-jalan, tapi misi melunaskan janji lama dengan anak-anak.

Berapa kali dah lalu depan Game On ni, setiap kali jugaklah mereka minta nak masuk. Last sekali masa tengok Ejen Ali hari tu. Tapi biasalah, mak-mak ni banyak benda nak fikir. Alhamdulillah cuti Awal Muharram hari tu jadi juga akhirnya. Plan sangatlah last minute ya. 

game-on-theme-park


Outing Cousin Di Game On Melawati Mall

Game On ni tak pernah sunyi ya. Penuh manusia dari semua arah. Alang-alang tu ajak adik aku sekali dengan anak-anak dia. Datang ramai-ramai baru meriah. Theme Park macam ni kalau malu nak main, biarlah malu berjemaah. Ahaks!

Aku beli tiket secara online. Sampai sana just redeem je. Tak kuasa nak beratur panjang. Sambil tu sempatlah skrol laman web dan apps Game On untuk tengok apa permainan menarik yang ada. Mak-mak kan, kalau boleh semua nak prepare awal. Outing kali ni semua datang solo tanpa suami. Geng mak dan anak-anak je. 

Suami masing-masing ada urusan penting dengan Paduka Baginda katanya. Tapi tetap seronok sebab sepupu yang kecil-kecil ni berkumpul. Budak-budak ni bila jumpa geng, memang tak ingat dunia. 

game-on-theme-park-game2



Permainan Menarik Di Game On

Game On ni ialah pusat hiburan indoor beraircond, nikmat dunia mak-mak yang tak tahan panas macam aku. Kalau outdoor, aku tak boleh lama-lama. Mood pun terjaga, boleh tunggu dengan aman sementara bermain. Dekat sini luas dan banyak sangat aktiviti. Tempat dia lebih kurang macam SuperPark Malaysia yang dekat Avenue K tu. 

game-on-melawati-mall


Cawangan yang kami pergi ni dalam Melawati Mall. Memang paling dekat dengan rumah. Semua jenis permainan ada untuk pelbagai umur dan tahap tenaga. Serius, mak pun rasa nak masuk main sama. 

Antara permainan yang ada:

  • Ninja Challenge
  • Dodge Dash
  • Bubble Bang
  • Bouncing Basketball
  • Trampolines
  • Karaoke Rooms
  • E-Sports Gaming
  • Little World Playland (untuk anak kecil)

game-on-theme-park-game3


game-on-theme-park-game4

game-on-theme-park-game1


Harga Tiket 

Untuk harga tiket yang lebih tepat korang boleh rujuk laman sesawang Game On tapi waktu kami pergi harga adalah seperti berikut:

  • Kanak-kanak: RM42 (3-12 tahun)
  • Dewasa: RM38.00 (13-59 tahun)
  • Family pass: RM116 (2 Dewasa, 1 Kanak-kanak)
  • Stokin: RM7
  • Glove: RM5

Tiket untuk main seharian. 
Stokin wajib pakai. Boleh bawa stokin sendiri tapi wajib yang anti slip - Grip Sock. 
Glove tak perlu beli kecuali nak masuk ke Ninja Challenge. 
Rugi la tak masuk. Jadi beli je. 
Stokin dan glove boleh beli online atau pun walk in di kaunter. 

game-on-theme-park-game5

game-on-theme-park-melawati-mall


Tips Mak-Mak Yang Nak Bawa Anak

Kalau korang tengah plan nak bawa anak-anak, ini beberapa benda yang mungkin membantu:

  • Bawa air mineral sendiri, jimat. Kami nak mudah beli je dekat MR DIY dalam tu. Standby snacks ringan (untuk anak lapar tiba-tiba). 
  • Powerbank (ambil gambar/video banyak-banyak).
  • Boleh sewa loker untuk simpan barang berharga. 
  • Pakai baju dan seluar yang sesuai sebab aktivti dekat dalam ni memang lasak. Memanjat, melompat, berlari. Pendek kata memang korang akan keluar peluh. 
  • Bawa baju salin (kalau perlu)
  • Tak payah pakai kasut sukan sebab memang kena tanggalkan kasut di semua tempat. Susun kasut / selipar di rak yang disediakan. 
  • Download apps Game On siap-siap untuk booking slot permainan. Contoh aktiviti yang kena book - Karaoke Rooms, E-Sports Gaming, archery, snooker. 
  • Setiap permainan ada waktu slot 30 minit untuk satu kumpulan, jadi elok datang awal pagi untuk dapat banyak masa main.
  • Boleh keluar masuk banyak kali, asalkan tak buka wristband yang diberi. Wristband tu ada QR code. Setiap kali masuk ke kawasan permainan, kena scan.
  • Nak solat boleh cari dalam mall je. 
  • Nak makan ada kedai Game On berhampiran atau banyak pilihan tempat makan dalam Melawati Mall. Kami makan Bumbu Babah dekat foodcourt. 

game-on


Review Ikhlas Mak-Mak

Sangat berbaloi sebab anak-anak puas hati, mak pun enjoy walaupun penat. Suasana selamat, tempat bersih, staff pun helpful. Yang penting ada aircond, dan anak-anak dapat main puas-puas. Balik rumah semua tidur awal termasuk mak dia sekali. Kalau tengah fikir nak bawa anak ke mana hujung minggu, aku memang recommend datang ke sini. 


Hari Karnival Koperasi & Keusahawanan SM Sains Selangor

Minggu ni kami habiskan masa ke sekolah Ikhwan sebab ada Karnival Koperasi & Keusahawanan. Berlangsung selama dua hari. Ikutkan karnival dah mula hari Jumaat, tapi abah dia kerja jadi kami pergi hari Sabtu pagi.

Sebelum tu dia dah bagitahu yang dia mungkin sibuk terlibat dengan majlis sekolah yang juga berlangsung pada hari yang sama. Bertugas untuk MPM. Jadi kami redha saja tunggu dia habis bertugas.

Entah datang dari mana kegigihan setiap kali ada aktiviti mesti kami akan terpacak di sekolah dia. Sementara tunggu dia selesai bertugas kami jalan-jalan dan isi perut. Pukul 12 tenghari baru dia dapat join kami.

Alhamdulillah walaupun cuaca panas terik tapi karnival boleh tahan meriah. Kalau bandingkan karnival tahun lepas lebih meriah sebab sambutan jubli 50 tahun, melibatkan gerai peniaga luar. Tahun ni lebih kepada gerai pelajar sahaja.

karnival-Koperasi-Keusahawanan-SMSainsSelangor


Hari Karnival Koperasi & Keusahawanan SM Sains Selangor

Masih lagi sama, tahun ni karnival guna sistem kupon untuk pembelian sepanjang karnival. Ada kaunter jualan kupon dan buku kupon dijual serendah RM5. Kira okay la harga makanan dalam range bajet poket. 

Ikut brosur sekolah apa yang ada sepanjang karnival: ada gerai makanan dan minuman, mini petting zoo, e-game, sand painting dan cabutan bertuah. Faham je kecil-kecilan mungkin objektif nak beri pendedahan kepada pelajar untuk berniaga.

Pujian perlu diberikan kepada pelajar sebab usaha nak berikan yang terbaik tu boleh nampak lah. Bukan mudah dengan modal yang terhad dan salute cikgu pembimbing yang tak lokek nak guide dan menyumbang termasuk wang ringgit.

Nampak sisi lain anak-anak bila turun padang meniaga. Rasanya cabaran utama ialah cuaca panas. Nak hadap dapur panas, memasak bawah parking walaupun berbumbung memang menduga iman.

Banyak-banyak gerai makanan: kami beli sosej Thai, mi goreng sedap dan banyak kali ulang beli air. Ya ampun haus. Menu lain banyak tapi tak berjaya mengumpan selera. Kira okay lah alas perut.

Sebelum balik sempat catch up aktiviti anak bujang. Cepat betul masa berlalu. Life asrama kan itu sajalah cerita dia. Sentiasa ingatkan dia jaga diri, jaga kesihatan, jaga barang-barang. Fokus utama adalah study walaupun hakikat dia sekarang sibuk sangat dengan tugas dia jadi pengawas.

Nak halang itu minat dan tanggungjawab dia. Ishh mak geram. Kami gerak balik lepas siap teman Ikhwan makan. Pukul 2 petang dia kena bertugas jaga gerai pula. Petang pula bawa anak-anak ke kelas silat. 

Setiap minggu begitulah rutin kami. 

Persiapan Kejohanan Merentas Desa

Ya Allah penat betul badan sekarang sebab sekarang tengah terlibat dengan persiapan Kejohanan Merentas Desa sekolah anak-anak.

Kaki sakit terutama di bahagian betis. Nak minta anak-anak urut pun tak sampai hati sebab mesti mereka pun penat juga. Tarikh kejohanan bakal berlangsung adalah pada hari Jumaat ni. Itupun selepas berlaku pertukaran tarikh di saat akhir.

Memang kelam kabut masing-masing dan ada juga ibu bapa yang sedih sebab tak dapat turun padang beri sokongan memandangkan kejohanan dibuat pada waktu bekerja.

Tahun lepas memang meriah dan lokasi sekolah buat dalam taman tapi tahun ni tukar berlari di kawasan perumahan pula. 

Cerita tahun lepas baca dekat sini, kejap je setahun Merentas Desa 


Kejohanan-Merentas-Desa


Persiapan Kejohanan Merentas Desa

Kalau ikut perancangan selain bantu sekolah carikan sukarelawan, aku dan beberapa orang ibu bapa lain bantu latihan panaskan badan rumah sukan - Kuning.

Oleh sebab tak mahu otot anak-anak terkejut, sengaja kami pilih hari Rabu untuk bertemu muka dengan anak-anak. Masing-masing teruja nak tunjuk belang. Semoga masing-masing dapat sumbang pingat dan sumbang mata untuk rumah sukan ya.

Selepas ini dijangka aku akan sibuk dengan hari sukan pula. 

latihan-Persiapan-Kejohanan-Merentas-Desa


Latihan Panaskan Badan – Rumah Sukan Kuning

Jadi untuk latihan panaskan badan, kami cuma buat aktiviti ringan dan kongsi beberapa tips yang anak-anak mampu buat.

Risau kalau heavy training kang muscle terus tak boleh perform. Kalau ikutkan aku bukan lah atlet waktu sekolah dulu. Aku cuma suka aktiviti-aktiviti luar macam ni. Alang-alang nak buat latihan tu, sempat selit pesanan untuk anak-anak.

Bagi aku ini jelah peluang untuk aku dekat dengan anak-anak. Waktu bermain lah waktu paling sesuai nak faham dan tegur mana yang tak betul.

Aku faham je kalau ada suara sumbang yang kata kami ni emak-emak yang over. Bagi aku simple je, selagi tak kacau kain orang maksudnya kena jalan terus saja.


latihan-Kejohanan-Merentas-Desa

Persiapan-Kejohanan-Merentas-Desa


Latihan pun kami buat sejam 15 minit saja. Mula on time dan habis pon on time. Waktu salam nak balik tu masing-masing masih belum puas berlatih. Cukup lah itu jadi tanda aras yang latihan sesingkat itu mampu menaikkan semangat anak-anak. Ada masa boleh repeat lagi program macam ni dengan anak-anak lain pula.