Memaparkan catatan dengan label PIBG. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label PIBG. Papar semua catatan

Berjaya Buka Kelas Silat Di Sekolah

Setelah lama menanti akhirnya usaha nak buka kelas silat di sekolah rendah tercapai juga. Akhirnya dapat juga aku hantar anak belajar silat, paling penting semua berlaku dekat sekolah anak. Syukur Alhamdulillah, semuanya berlaku dengan izin Allah.

Tak sangka hanya bermula dengan angan-angan dan akhirnya jadi kenyataan. Semestinya aku adalah antara orang paling teruja sebab aku bersama beberapa orang ibu bapa yang terlibat tubuhkan kelas dari awal lagi.

Jadi tujuan aku tulis artikel kali ini adalah untuk berkongsi pengalaman dengan harapan jadi rujukan untuk ibu bapa dekat luar sana yang nak buat dekat sekolah anak-anak korang pula. Oh ya, aku menulis berdasarkan kapasiti sewaktu aku jadi AJK PIBG dan juga syarat Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan tahun semasa.

Paling penting walaupun ada orang kata kejayaan ni kecil je tapi aku anggap ini pencapaian besar dalam hidup aku. 

Berjaya-Buka-Kelas-Silat-Di-Sekolah


 
Berjaya Buka Kelas Silat Di Sekolah

Awal dulu masa aku aktif dalam Kumpulan Sokongan Ibu Bapa (KSIB) & jadi AJK banyak kali juga berborak sesama ibu bapa yang teringin nak hantar anak masuk kelas silat. Tak lain tak bukan supaya anak-anak ni kenal jati diri, berdisiplin, dan ada keyakinan diri.

Di zaman serba mencabar ni aku nak didik anak bukan cemerlang akademik saja tapi juga kuat mental fizikal. Kalau ikutkan aku sendiri kenal silat dari kecil. Arwah abah guru silat tapi peliknya abah tidak pernah paksa aku belajar pun.

Masa belajar di Universiti baru aku belajar silat dan aktif berlatih silat olahraga. Ohoi setiap kali kenang balik kenangan tu aku jadi berkobar-kobar. Haruslah aku nak anak-anak ikut jejak langkah aku.

Niat aku supaya anak kekal cergas, tak lupa asal usul kita dan moga silat dapat corak keperibadian dia.

kelas-silat


Peranan KSIB & Cabaran Nak Buka Kelas Silat

Sebelum kami bawa cadangan kepada pihak sekolah, awal-awal tu risau juga kalau tak dapat sambutan. Tapi berbekalkan sokongan ibu bapa dan semangat anak-anak sendiri yang teruja nak belajar silat maka gigihkan diri cari guru silat yang bertauliah.

Bermula dengan mencari Persatuan Silat yang berdaftar kemudian mengatur pertemuan untuk perbincangan ke peringkat seterusnya. Mencabar sangat pada awalnya sebab ini kali pertama aku terlibat.

Cabaran nak buka kelas silat bermula bila nak mohon kebenaran untuk buat aktiviti di sekolah dan melibatkan murid. Waktu tu aku baru tahu yang peraturan untuk mohon kebenaran sentiasa ada perubahan.

Jadi nasihat aku, double triple semak dengan Jabatan Pendidikan masing-masing. Tak lain tak bukan peraturan lebih tegas demi memastikan tiada isu berbangkit dan keselamatan murid terjamin. Kita patuh saja pada peraturan untuk mudahkan kerja.

Kelas-Silat-Di-Sekolah

Buka-Kelas-Silat-Di-Sekolah


Proses Dan Dokumentasi yang diperlukan

Semuanya bermula dengan sekolah kena keluarkan Surat Tawaran Mengajar kepada jurulatih / Persatuan. Lepas dapat surat Persatuan silat kena isi borang yang diambil dari Jabatan Pendidikan.

Jurulatih yang nak mengajar pula kena dapatkan permit mengajar. Ada dokumen yang perlu diberi seperti sijil pentauliahan dan wajib buat medical check-up. Permit pula kena perbaharui setiap tahun. Ada syarat-syarat lain juga perlu dipatuhi.

Perkongsian aku ni secara umum saja okay. Nak detail elok rujuk Jabatan Pendidikan masing-masing macam aku terangkan awal tadi. Lepas selesai semua, permit diluluskan dalam masa yang sama sekolah kena juga tunggu surat kebenaran rasmi dari Jabatan Pendidikan untuk mulakan kelas.

 

Hebahan di buat kepada murid dan borang penyertaan sekolah edarkan. Aku bersyukur sepanjang proses tu lancar je. Sambutan untuk kelas pertama Alhamdulillah menggalakkan. Bagi aku kejayaan buka kelas silat ni bukan kejayaan aku sorang tapi hasil kerjasama ibu bapa, guru dan sekolah yang nak lihat anak-anak cemerlang. Aku doakan kelas silat ni terus berkembang.

 

Letak Jawatan Sebagai AJK PIBG Sekolah

Secara rasminya aku dah letak jawatan sebagai ahli jawatankuasa persatuan (PIBG) sekolah rendah bagi sesi 2024/2025. Rasa macam satu beban telah diangkat dari bahu. Syukur Alhamdulillah.

Sabtu lepas berlangsungnya Mesyuarat Agung PIBG kali ke-28. Aku tak dapat sertai kali ini sebab balik kampung jenguk mentua tak sihat. Sebelum mesyuarat aku dah beritahu pengurusan sekolah dan AJK lain.

Segala tugas dan isu berkaitan aku dah selesaikan awal lagi. Sedikit sebanyak rasa bersalah dan sedih tu ada tapi aku yakin, takdir ini yang terbaik Tuhan dah tentukan dari awal. Sedih sebab lepas ni, confirm aku akan jarang ke sekolah dah kecuali ada urusan penting.  

Jarang ke sekolah maksudnya jaranglah aku jumpa mereka-mereka yang banyak menolong, melancarkan segala urusan di sekolah. People come and go. Begitulah hidup sementara kat dunia kan?

 

letak-jawatan-AJK-PIBG-Sekolah


Letak Jawatan Sebagai AJK PIBG Sekolah

Sebelum ni aku memegang jawatan sebagai ketua Biro Publisiti. Dipilih untuk menerajui biro tersebut pun disebabkan latar belakang aku sebagai “content creator”. Ishh segan nak gelar diri sendiri pencipta kandungan.

Dalam tempoh setahun tak banyak pun aku boleh tolong. Untuk bahagian penjenamaan, buat konten aku serahkan pada pengurusan sementara aku fokus mengajak ibu bapa masuk Kumpulan Sokongan IbuBapa (KSIB).

Sebelum ni penglibatan ibu bapa amatlah sedikit. Sibuk dengan kehidupan dan tak tahu nak sertai aktiviti sekolah adalah alasan paling kerap aku dengar bila berborak dengan ibu bapa. Usaha tubuhkan KSIB bukanlah usaha aku seorang.

Usaha bersama kerjasama ibu bapa lain yang ada niat yang sama iaitu nak bantu sekolah supaya anak-anak seronok datang sekolah, cintakan ilmu dan seterusnya berjaya jadi manusia.

AJK-PIBG-Sekolah


 

Kutip Pengalaman Berharga

Kalau ikutkan banyak sungguh pengalaman yang menyentuh hati. Lepas jadi AJK dan banyak terlibat dalam urusan sekolah jadikan aku lebih emosional bila melibatkan anak-anak. Put aside anak-anak yang ada keluarga yang sempurna.

Fokuskan pemikiran kepada anak-anak yang nasib kurang baik, datang dari keluarga yang bermasalah, dan keluarga yang ekonomi menjadi cabaran utama. Alhamdulillah itu semua jadi asbab untuk aku didik anak sendiri supaya sentiasa jadi manusia bersyukur.

Cara aku dan kawan-kawan adalah dengan dekat dengan anak-anak. Jadi kawan mereka. Banyak perkara berjaya kami capai bila kenal mereka terutama anak-anak yang ada masalah disiplin. Buat hal sebab kurang perhatian. Mana mampu kami nasihat kami buat.

 

Berkawan Sampai Syurga

Seronok bila anak-anak menjerit panggil nama kami setiap kali jumpa di sekolah. Ramai-ramai datang, salam cium tangan. Muka masing-masing gembira dan mulut non stop bercerita. Ada saja perkara nak mengadu.

ajk-sekolah


Pengalaman melatih anak-anak pra sekolah nak masuk pertandingan bukan perkara kecil sebab melibatkan mental dan fizikal. 

Kalau ditanya apa pengalaman dan perkara paling berharga akan aku kenang sampai bila-bila adalah cikgu yang setiap kali aku berborak dan buat kerja bersama tak pernah lokek dengan senyuman.

Yang setiap kali aku jumpa dan bekerjasama pasti akan terasa ikhlas berkawan. Juga senyuman dan kegembiraan murid yang bangga selepas berjaya bangkit dari kekalahan. Aku seronok jadi sebahagian proses mereka membesar.

 

Apa pun aku bersyukur, Allah bagi peluang dan sekarang masanya untuk aku susun semula hidup fokus kepada diri dan keluarga. Meletak jawatan bukanlah aku senyap terus cuma beri peluang kepada muka-muka baru untuk suntik idea untuk kecemerlangan anak-anak.

 

Mesyuarat & Pemilihan Ahli Jawatankuasa PIBG

Kali terakhir terlibat sebagai Ahli Jawatankuasa adalah sewaktu masih bekerja lima tahun sudah. Tiada angin tiada ribut kali ni terpilih sebagai salah seorang Ahli Jawatankuasa (AJK) Persatuan Ibu Bapa Guru (PIBG) sekolah anak. 

Berbeza betul ya topik yang diketengahkan dalam blog sekarang ni. Mana tidaknya, kalau dulu menulis pengalaman berdasarkan keadaan diri anak-anak masih kecil. 

Bila anak-anak semakin membesar jadi ragam pun bertambah. Topik pun ke arah membesarkan anak-anak dan hal sekolah. 

Sabtu lepas Diah dan suami menghadirkan diri ke Mesyuarat Agung PIBG sesi 2023 / 2024 sekolah anak.  Setiap tahun kami cuba untuk hadir sebagai tanda sokongan & juga nak tahu perkembangan sekolah.

Mesyuarat-Ahli-Jawatankuasa-PIBG


Gementar Terpilih Sebagai Ahli Jawatankuasa PIBG  

Bila datang mesyuarat rasa lebih puas hati dan dapat penerangan dari pihak sekolah. Agak menyedihkan sebab kehadiran ibu bapa ke mesyuarat Agung PIBG tak sampai separuh daripada jumlah murid berdaftar.  

Mungkin ada ibu bapa yang bekerja, ada kekangan masa dan kesihatan tak mengizinkan. Kita sangka baik sajalah. 

Apa pun mesyuarat berjalan lancar dan banyak input dan juga perubahan dilakukan pihak sekolah. Daripada sekecil-kecil usaha sehinggalah perubahan besar yang melibatkan kos dibentang oleh AJK. 

Habis je mesyuarat, Pengerusi sementara meneruskan agenda pemilihan Ahli Jawatankuasa PIBG bagi Tahun 2023 / 2024. 

Mesyuarat-pemilihan-Ahli-Jawatankuasa-PIBG


Terpilih Sebagai AJK PIBG 

Memang tak sangka langsung sebenarnya. Terkejut bila nama Diah dipanggil oleh Pengerusi setelah nama dicalonkan oleh guru kelas Raudah. 

Diakui Diah agak aktif menyuarakan pendapat tapi itu pun hanya dalam group whatsapp kelas. Mungkin atas faktor itu cikgu tu calonkan nama Diah. 

Pengalaman pertama jadi sedikit kekok bila Pengerusi minta kenalkan diri kepada ibu bapa lain. Memang kami suami isteri sebolehnya suka menjadi pemerhati sahaja. 

Jadi bila tercalon rasa kelakar pun ada. Panik dan dan dalam otak tak tahu nak beri tindak balas macamana. Mampu senyum saja.  

Mesyuarat-PIBG


Pemilihan Ahli Jawatankuasa PIBG  

Sebelum diserap menjadi AJK, kena melalui proses kiraan undi. Bab ni yang paling lemah. Memandangkan jumlah calon melebihi jawatan yang ada maka pengiraan undi di buka. 

Teringat dulu waktu zaman persekolahan paling malu bila nama tercalon. Lagi bertambah malu bila diminta perkenalkan diri dan ada kawan-kawan yang bersorak tak kurang juga mengejek. 

Kurang menyenangkan bila waktu pengerusi minta angkat tangan untuk kira undian. Tak ke haru kalau tiada siapa yang angkat tangan. Malu muka okay. 

Secara logik, bukan semua ibu bapa kenal sesama sendiri. Undi berdasarkan first impression lah rasanya. 

Tak lama pun proses kiraan undi. Calon dengan kiraan undian tertinggi seterusnya diserap menjadi AJK termasuk lah Diah. 

Balik tu dalam kereta non-stop gelak dengan suami. Rancangan kami tahun ni nak jadi pemerhati gagal. 

Apa pun semua yang berlaku pasti ada hikmahnya. Semoga kami dapat menggalas tugas dan menjalankan amanah yang diberikan dengan baik. 


Update: 

Mesyuarat pertama PIBG pun dah diadakan. Banyak perkara baru Diah belajar. Konklusinya adalah bukan semua kita nak laksanakan tu semudah yang disangka. 

Sebagai contoh, kita cadangkan pihak sekolah nak upgrade / tambah infrastruktur untuk kesenangan murid-murid dan guru. 

Tapi sebelum nak jadikan cadangan kepada kenyataan kena pertimbangkan banyak faktor. Usia bangunan, penggunaan elektrik, keselamatan, dna kena dapat persetujuan banyak pihak. 

Memang kena duduk, bincang, dengar dan buat keputusan. Untuk ibu bapa di luar sana, jika tak tahu bertanya. Libatkan diri. Jangan mudah menghukum.