Memaparkan catatan dengan label Airis Safiya. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Airis Safiya. Papar semua catatan

Terima Tawaran Penempatan Murid Tahun 1

Keputusan penempatan permohonan tahun satu untuk tahun 2025 dah keluar. Untuk korang yang ada anak darjah satu tahun 2025, sekarang dah boleh semak status permohonan penempatan secara dalam talian.

Sesi campak belakang, permohonan sekolah sekarang semua dah melalui laman website. Memang kena alert tarikh yang KPM umumkan.

Aku dah mohon waktu bulan Mei sudah. Ada juga ya kes kelas Airis ibu bapa terlepas pandang tarikh mohon kemasukan darjah satu ni. Kasihan betul.

Entahlah aku tiada idea kalau terlepas mohon. Kena buat secara manual macam dulu-dulu lah agaknya. 


pendaftaran-tahun-satu


Terima Tawaran Penempatan Murid Tahun 1 Sesi Persekolahan Tahun 2025

Memandangkan dari anak pertama memang dah sekolah tempat yang sama jadi sepatutnya tiada masalah dengan permohonan Airis. Kebiasaan penempatan sekolah adalah diwarisi dari adik beradik.

Maksud aku, permohonan jadi lebih mudah jika adik beradik bersekolah di sekolah yang sama. Tapi bila sebut kena mohon masih rasa gementar nak semak jawapan dari KPM. Dasar emak betul.

Ini baru semakan masuk tahun satu. Bukan kemasukkan ke Universiti ya. Drama betul. Bila tahu permohonan lulus rasa lega sangat. 

Selesai satu hal lepas ni boleh fokus untuk dia untuk ke sekolah rendah pula. 

 

 

Cara Semak Penempatan Murid Tahun 1 Sesi Persekolahan Tahun 2025

Untuk menyemak status permohonan, layari laman web Kementerian Pendidikan Malaysia  https://idme.moe.gov.my/login

Masukkan username dan kata laluan. Di bahagian dashboard – pilih Aplikasi. Seterusnya klik Pengurusan Awam. Klik Permohonan Kategori Rendah Tahap 1.

Nampak akan terpampang keputusan penempatan samaada Lulus atau Gagal. Boleh la print surat tawaran penempatan murid ke tahun 1 sebagai rujukan. 

Korang kena membuat pengesahan penempatan anak tuan/puan di sekolah yang telah diluluskan mulai 01/10/2024 hingga 17/01/2025 secara dalam talian. 

Nak elak sebarang masalah jadi patuhilah tarikh yang ditetapkan. Sebarang kelewatan boleh menjejaskan urusan sekolah untuk menyediakan kemudahan bagi persekolahan anak. 

semakan-pendaftaran-tahun-satu



Pengesahan Penempatan Serahan Dokumen Ke Sekolah

Langkah seterusnya bila dah semak penempatan dan lulus, kena membuat pengesahan penempatan anak di sekolah yang telah diluluskan atau menghubungi pihak sekolah yang diluluskan penempatan mulai 01/10/2024 hingga 17/01/2025. 

Macam aku bila datang ke sekolah untuk pengesahan kena bawa surat tawaran dan juga salinan surat beranak. Waktu tu sekadar tunjuk dokumen dan surat tawaran je. 

Tapi bila borak dengan kawan-kawan mereka kata kena serahkan kepada pihak sekolah. Alah pening. Kalau perlu nanti biar la sekolah minta semula. 


Alhamdulillah, semua urusan berjalan lancar. Macam tak sangka anak dah nak masuk sekolah rendah. 

Celebrate Birthday Airis Lima Tahun Kalendar Hijriah

Semalam sepatutnya keluar celebrate birthday Airis yang ke lima tahun. Kami berjaya keluar tapi tak berjaya celebrate seperti yang dirancang. 

Berjaya keluar bermaksud semua orang meninggalkan rumah dengan perasaan gembira dan muka yang ceria tanpa ada tangisan mahu pun suara petir mama yang keluar. 

Semenjak anak-anak meningkat usia banyak betul cabaran perlu diharungi sebelum berjaya keluar dari rumah. 

Merengek tak suka pakai baju mama abah pilih, tak nak ikat rambut nak biar je rambut lepas lurus. Nak bersolek macam mama dan banyak lagi senarai.

Begitu ya cabaran. 


Birthday-treat


Celebrate Birthday Airis Lima Tahun Kalendar Hijriah

Berbalik pada cerita celebrate birthday. Kisahnya minggu lepas naik notifikasi dekat handphone pemberitahuan hari lahir Airis mengikut bulan Islam, kalendar Hijriah. 

Kalau ikut kalendar Gregori tarikh lahir dia jatuh pada bulan Januari. Kebetulan dia terdengar perbualan aku dan suami waktu aku bercakap di telefon. 

Airis melompat kegembiraan bila dapat tahu. Untuk kanak-kanak sebaya Airis, sambutan hari lahir adalah hari dia diberikan hadiah, menjadi tumpuan dan pendek kata hari dia paling gembira.

Seperti dijangka dia tak henti-henti ingatkan abah dia supaya bawa pergi makan dan nak beli kek. Sebelum ni dia dah merajuk dengan abah dia sebab tak belikan kek. 


birthday-celebration


Makan Di Gula Cakery café KL East Mall. 

Kami layankan saja permintaan dia nak keluar makan dan cari kek. Suami ajak makan di Gula Cakery café dalam KL East Mall. 

Dah lama teringin nak makan dekat sini disebabkan dessert yang memukau mata kami sekeluarga. Ada banyak pilihan, cantik dan semua kelihatan sedap. Meriah hiasan, tak kedekut langsung bahan-bahan dia guna. 

Kebetulan waktu kami makan ada keluarga yang sambut hari jadi. Staff café bawa kek dan lagu birthday dimainkan. Semua orang nyanyi bersama-sama sambil tepuk tangan. 

Meriah dan sporting masing-masing termasuk pelanggan. Waktu ni Airis dah tarik muka. Nak mula merajuk la kononnya. 

Tapi yang kelakarnya memang awal-awal plan nak makan dessert tapi berlaku sebaliknya. Oleh sebab nak elak pembaziran, kami tangguhkan nak pesan kek. Risau membazir. 

Ternyata semuanya benar belaka. Lepas masing-masing selesai makan semua tersandar kekenyangan. Jadi memang tak pesan kek dan kami terus keluar lepas selesai makan. 

Barisan orang beratur panjang dekat depan kedai. Orang datang untuk minum petang dan terus dinner agaknya. 

Keputusan bijak datang ke sini sekitar jam tiga petang, waktu orang dah kurang berebut waktu lunch. Pengalaman makan di Gula Cakery café amat menyenangkan kecuali disebabkan beberapa perkara. 

Muzik mereka mainkan aku rasa agak kuat. Lagu yang dipasang pula bukan taste kami jadi agak mengganggu. Pelanggan pula ramai dan masing-masing berborak macam tak ingat dunia. 




Ada pasangan berhampiran kami, selang sebuah meja dengan kami, lelaki tu berborak macam borak dekat pasar. Kuat sangat dia bercerita dan bila gelak memang kuat sangat. 

Tapi kami fahamlah sebab cuti hujung minggu. Semua orang teruja nak keluar bergembira. Suami kata sebab tu orang yang ada duit dia bayar dan pilih tempat makan yang aman, tempat makan yang dia selesa boleh enjoy food dan persekitaran. 

Sedar kami golongan yang sedang-sedang je jadi baiklah kita fokus apa yang kami ada. Anak-anak memang enjoy makan dekat sini. 

Sumpah makanan dekat Café Gula Cakery sedap mengikut tekak aku. Ini berdasarkan menu yang aku pilih dan pastinya aku nak repeat lagi di masa hadapan. 

Menu dekat Café Gula Cakery lengkap sebab ada main, starter, dan juga dessert. Dari segi pilihan memang lengkap. Bijak otak owner dia. Nanti aku ceritakan di entri khas. 


Birthday-cake


Beli Kek Celebrate Birthday Di Rumah

Berbalik pada cerita celebrate birthday Airis, untuk tidak mengecewakan dia sebelum balik kami bawa dia pergi beli kek. 

Sengaja tak beritahu nak buat kejutan tapi dia cam jalan ke kedai kek selalu kami beli. Kedai kek viral di Wangsamaju. Budak kecil tu teruja sangat. 

Airis request supaya kami nyanyikan lagu Happy Birthday dan dia nak potong kek sendiri. Dia rasa dia dah besar agaknya. 

Simple je tapi beri kenangan manis untuk dia. Bila anak-anak gembira automatik ibu ayah pun gembira. Sampai je rumah terus ajak dia potong kek sementara masing-masing pakai baju elok. 

Untuk Airis anak mama abah. Membesar jadi anak solehah, jadi harta keluarga dunia akhirat. Berjaya capai segala impian dan senantiasa berada di bawah rahmat Allah. 

Terima Suntikan Matang Paru-Paru Bayi Mengandung 34 Minggu

Ini adalah pengalaman pertama aku terima suntikan matangkan paru-paru bayi sepanjang tiga kali mengandung. 

Rezeki ditakdirkan mengandung anak ketiga, usia kandungan aku mencecah 34 minggu dan doktor nasihatkan untuk aku dimasukkan ke hospital supaya kandungan aku boleh dipantau. 

Hospital yang kami rujuk ialah Hospital Rampai Putri Medical Centre memandangkan aku dah daftar untuk bersalin di situ. 

Sekarang Rampai Putri Medical Centre dah tukar pengurusan baru dan nama dah ditukar kepada OHANA Specialist Hospital Sri Rampai. 


Pengalaman Terima Suntikan Matang Paru-Paru Bayi


Ceritanya bermula bila aku rasa kurang yakin dengan kesihatan kandungan. Gerak hati seorang ibu agaknya. Akhirnya apa yang aku takutkan terjadi jugak. 

Pada usia kandungan mencecah 34 minggu, 3 hari aku telah dimasukkan ke Rampai Putri Medical Centre. Izinkan aku berkongsi sedikit sebanyak keadaan aku yang sebenar supaya lebih clear.

Aku mengandung anak ketiga dengan jarak kehamilan 2 tahun dengan usia anak kedua. Ikut jangkaan tarikh bersalin yang diberikan, anak kedua berusia dua tahun bila adik dia dilahirkan. 

Waktu mula mengandung memang super stress dengan sindiran kelakar nurse di Klinik Kesihatan dan juga cakap-cakap orang sekeliling. Agaknya kalau aku mengandung dengan jarak lagi dekat agaknya lagi berbakul sindiran aku terima. 

Lama kelamaan aku jadi biasa, positifkan diri yang ini adalah rezeki Allah kirimkan. Mulut orang biasalah kan? Mana kita mampu tutup. 






Pengalaman Mengandung Mendebarkan Minggu Ke 34


Sepanjang mengandung, Alhamdulillah semua berjalan lancar. Cuma bila kandungan mencecah usia 7 bulan, berat badan aku naik mendadak. 

Doctor takut aku menghidap diabetes jadi doktor suruh minum air gula buat kali kedua. Tapi, kalau ikut firasat aku, kenaikkan berat badan disebabkan selera makan aku baru timbul. 

Mana tidaknya, morning sickness aku tak pernah surut, bayangkan rasa nak muntah setiap pagi sehingga semester ketiga dan bersilih ganti dengan pedih ulu hati. Aku ada kongsikan tip kurangkan pedih ulu hati. 

Alhamdulillah, dua-dua test air gula aku lulus. 

Dua-dua anak aku bersalin normal dan lahir pada minggu ke 39. Mengandung anak ketiga ni aku cepat sangat penat dan perut aku agak besar. Berat bayi 2.3kilogram waktu usia dia 8 bulan.

Selain faktor stress di pejabat aku jadi bertambah penat sebab anak kedua tengah ligat dapat kaki dan manja asyik nak berkepit. 

Bermula bila heart burn teruk menjengah minggu 33. Lengkap sangat dugaan aku mengandung kali ni. Bila tak selesa aku mula stress dan kurang rehat. 

Sehari sebelum appoinment dengan doktor Zana aku rasa baby floating semacam. Bila aku berjalan dan goyangkan badan perut aku dan kandungan tu seakan terpisah dari badan. Entah susah betul aku nak jelaskan. 

Terus aku whatsapp doktor dan dia suruh buat CTG masa hari appoinment. Rupanya yang aku sangka braxton hicks tu adalah contraction yang real. Buat CTG pukul 10.30am.


Semakin Kerap Alami Contraction


Bila doktor Zana kata aku banyak kali kena contraction memang aku gelak sebab aku tak rasa langsung sakit tu. Apa aku rasa cuma tendangan bayi macam biasa. Tak kuat mana pun. 

Dibuktikan dengan graph CTG yang menunjukkan contraction terlalu kerap. Doktor Zana bimbang terjadi apa-apa dan aku ditahan di wad untuk diperhatikan. 

Memandangkan usia kandungan aku belum matang dan kemungkinan berlaku kelahiran pra-matang tu tinggi jadi doktor sarankan untuk cucuk ubat matangkan paru-paru bayi in case bayi terpaksa dilahirkan. 

Masa ni memang sedih, cuak, gementar dan gelojak emosi berlaku. Perkara paling aku takut ialah andai perlu dibedah. Keduanya ialah rasa bersalah pada bayi sebab tak jaga dia elok-elok. 

Alhamdulillah suami masih tenang dan sentiasa ada support aku. Kami setuju ikut kata doktor. Maka bermula lah treatment untuk selamatkan ibu dan bayi. 



Proses Terima suntikan Dexamethasone


Pada 16 Disember 2017, aku ditempatkan di bilik nombor 205. Selesai urusan pendaftaran pada pukul 3.30 petang dan pada pukul 4.10 petang dotor terangkan proses dan prosedur suntikan Dexamethasone. 

“Suntikan kortikosteroid (I/M dexamethasone) atau nama ringkasnya dexa untuk mematangkan paru-paru bayi di dalam kandungan.

Diberikan kepada ibu-ibu hamil yang berisiko mengalami kelahiran pramatang di antara minggu ke 24 hingga minggu ke 36 kehamilan.
 
Risiko kelahiran pramatang ini boleh dilihat apabila ibu-ibu hamil mengalami kontraksi pramatang, air ketuban pecah atau meleleh atau apabila tanda-tanda kelahiran lain telah bermula. 

Suntikan ini diambil secara pasangan iaitu dos yang yang kedua diberikan selepas 12 jam dos yang pertama. Setiap dos mengandungi 12mg IM Dexamethasone. 

Sebagai contoh dos yang pertama di hospital pada jam 10 pagi, maka dos yang kedua perlu diambil sekitar jam 10.00 malam. 

Suntikan dexa ini akan bermanfaat selepas 24 jam bermula suntikan yang pertama hingga hari yang ke 7. Sumber: Info Ibu hamil

Aku terima suntikan di punggung sebelah kiri, boleh tahan sakit dia sekitar 10 minit masih lagi terasa. Ibarat sakit terima suntikan kancing gigi atau lebih teruk dari itu. 

Selain dari cucuk dexa, aku juga terima antibiotik sebanyak 3 dos setiap 6 jam. Suntikan kali ketiga akan diberikan jika perlu. Jadi aku dicucuk pada pukul 4 petang dan 10 malam pada hari tersebut. 

Doktor juga berikan aku 2 biji ubat untuk kurangkan contraction, makan selang 6 jam jadi aku makan 4 biji kesemuanya. Malamnya pula aku diberikan ubat Ural - effervescent granules. 

Sumpah waktu ni aku hanya ikut apa yang doktor suruh sebab aku terlalu risaukan keadaan bayi. Berapa kali kena cucuk, buat CTG, makan ubat semua aku ikutkan saja. 

Bersyukur sangat suami sangat memahami dan sentiasa ada dengan aku. Doktor pun sangat baik, jadi terharu sangat sebab doktor pandai ambil hati dan yakinkan aku semua akan okay. Jururawat Nur Haidatul pun layan aku dengan baik. 

Seharian dengan pengalaman dicucuk, makan ubat dan ditahan dalam wad memang pengalaman yang mendebarkan. Sehingga malam, contraction dah semakin kurang cuma bayi memang aktif. 

Disebabkan bayi aktif luar biasa aku kena rehat sebanyak mungkin dan kurangkan pergerakkan. Alhamdulillah selepas semalaman di hospital bacaan CTG dan lain-lain menunjukkan perubahan. 

Selesai pemantauan, aku dibenarkan pulang. Bersyukur sangat Tuhan masih beri peluang untuk anak duduk di dalam perut. Aku gembira sebab ikut kata hati untuk buat pemeriksaan. Maklumlah mengandung pada usia begini, memang itulah cabarannya. 

Alhamdulillah pada 22 Januari 2018 aku selamatkan melahirkan cahaya mata kami yang ketiga dengan selamat.