Memaparkan catatan dengan label Movie. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Movie. Papar semua catatan

Tengok Ejen Ali: The Movie 2 – Misi Satria

Sabtu lepas kami satu keluarga tengok wayang dan sehingga sekarang masih belum boleh move on lepas tengok Ejen Ali The Movie 2. Entah macamana aku sekali boleh tersangkut suka cerita ni.  

Mesti kena kongsi pengalaman ni dalam blog sebab nanti bila keluar Ejen Ali The Movie nombor 3 aku boleh baca semula sambil senyum-senyum. Aku ada terbaca dekat posting orang katanya, movie nombor 3 akan keluar tahun 2028. Lambat lagi. Selagi belum ada pengumuman rasmi kita baca je jangan percaya.

Oleh sebab dah tengok Ejen Ali The Movie yang pertama semestinya teruja nak tengok sambungan dia – Misi Satria. Weh serius cakap tak puas berapa jam kami dalam tu. Dari awal sampai habis cerita dia on point. Takde babak meleret. Tu aku suka.

Maaf kali ni tak sempat ambil gambar. Simtom usia dah nak masuk senja. Malas ambil gambar. Kami tengok Ejen Ali di GSC Melawati Mall. Tempat sama aku tengok movie Mechamato  waktu tu tahun 2023 woi. 

 

Tengok-Ejen-Ali-The-Movie-2-Misi-Satria


 

Tengok Ejen Ali: The Movie 2 – Misi Satria

Aku tak tengok sangat yang siri episod dekat TV tu kecuali anak-anak memang diaorang die hard fan. Masa aku tengok episod awal-awal dulu, aku jadi sakit hati dengan watak Ali. Lah dengan watak kartun pun aku bleh emo. Lol.

Ali suka buat kesalahan yang bagi aku remeh tapi dia buat. Kategori menjahanamkan majlis la kiranya. Terus aku tak tengok. Tapi bila keluar wayang baru lah aku betul-betul in love dengan cerita dia.

Tapi kalau difikirkan semula, masa filem pertama keluar waktu tu tahun 2019, umur Ali ialah 12 tahun. Darjah enam jadi tak kan nak bayangkan Ali ni matang pula kan? Kena la sikap dengan umur 12 tahun tu.

Aku dah masuk kategori kanak-kanak purba tapi masih boleh layan Ejen Ali tau. Bukan aku sorang je, masih ramai kanak-kanak purba kat luar sana yang sama minat dengan aku. Buktinya, kutipan panggung selepas 11 hari ditayangkan ialah sebanyak RM34.2 juta. Wohoooo.

Ejen-Ali-The-Movie-2-Misi-Satria


 

Antara babak yang meninggalkan kesan dekat aku:

Scene 1:

Babak Ali baru sedar yang dia tumbuk perut Alicia. Ohoi, aku menjerit “noooooo” panjang ya. Walaupun aku dah dapat agak suit Satria kena hack dengan Neonimus dan Cero ambil alih Satria. Jadinya semua droid yang Ali lawan tu semua ejen M.A.T.A.

Akhir sekali baru la si Ali hegeh-hegeh tersedar yang dia lawan macam nak mati tu Alicia. Eh emosi lagi.

Scene 2:

Waktu General Rama yang juga merupakan merupakan Jeneral M.A.T.A.  ajak geng Mamak Maju selamatkan Alicia waktu berlawan dengan Neonimus. Memang legend ya Ejen Rahul, Ejen Razman & Ejen Rajesh. Background musik pula lagu Mamak Maju Servis Laju.

Tengok-Ejen-Ali-The-Movie-2



Scene 3:

Masa babak Ali dengan Alicia lawan Satria yang waktu akhir-akhir tu. Tiba-tiba ada watak Cikgu Munah yang Garang tu dia libas Cero dengan rotan. Weh lawak ya. Cikgu Munah tu pun dah cukup lawak. Memang ramai yang tergelak dalam pawagam.

Scene 4:

Masa Alicia kata “ Terima kasih Ali, dah banyak kali kau selamatkan aku”. Weh masa ni nak keluar air mata aku. Siot betul. Nak nangis malu dengan anak-anak jadi tahan jelah.

 

Secara Kesimpulan, pergilah bawa anak-anak korang tengok cerita Ejen Ali: The Movie 2 – Misi Satria. Banyak nilai murni boleh anak-anak dapat. Kalau suami ajak repeat tengok Ejen Ali aku okay je. Tak sabar nak tunggu movie Mechamato nombor pula. 

Review Mechamato Movie Memang Syok Habis

Hari tu tunaikan permintaan anak-anak nak tengok wayang cerita Mechamato. Diah pun semangat nak tengok memandangkan banyak review bagus tentang movie ni.

Setelah sekian lama tak masuk panggung wayang, akhirnya tertunai juga. Ini pengalaman pertama Airis (si bongsu) tengok wayang.

Dia sangat teruja dan tak henti-henti mengomel cakap seronok. Suka sebab dapat tengok cerita dekat TV besar katanya.

 

Review-Mechamato-Movie


Review Mechamato Movie Memang Syok Habis

Alhamdulillah memang tak menyesal pilihan kami nak tengok Mechamato. Walaupun Diah tak pernah tengok siri Mechamato di Netflix tetap faham jalan cerita dia.

Kami hanya tahu Amato tu ayah BoBoiBoy. Kami satu keluarga peminat BoBoiBoy. Kalau BoBoiBoy hebat, ayah dia mesti lagi handal kan?

Suami dah mohon cuti awal lagi untuk bawa anak-anak berjalan. Memang kami elak nak tengok pada hari minggu, ditambah cuti sekolah lagi penuh panggung.

 

Beli Tiket Wayang GSC Secara Online

Diah beli tiket awal, secara online di aplikasi GSC. Kami pilih GSC Melawati Mall sebab agak dekat dengan rumah.

Kebetulan waktu tayangan pada hari Rabu hanya ada dua sahaja iaitu 10.30 pagi dan 1 petang macam tu. Mungkin di GSC lain banyak agaknya pilihan.

Kami pilih waktu tayangan paling awal sebab sebelah petang tu nak buat aktiviti lain pula. Okay sangat sebab cerita Mechamato ambil masa lebih kurang dua jam.

Alang-alang tu beli juga air dan popcorn (Family e-Combo B) buat kunyah-kunyah masa tengok wayang. 


GSC-time


Jadi sampai je terus ke kaunter untuk redeem. Dapat dua air mineral, dua Ice Lemon Tea, dua popcorn, satu nugget dan satu cocktail sausage.

Kenyang sangat, dah la waktu tu baru je lepas breakfast. Harga combo tu RM30.40. Not bad la. Tiket wayang RM9 (kanak-kanak) & RM12 (dewasa).


Movie-time


Dikenakan member Service dan booking Fees jadi harga keseluruhan perlu dibayar ialah RM85.50 untuk lima orang.

Fuh semua duit sekarang kan? Sekali sekala okay lah kita layankan. Baca review Movie Ejen Ali The Movie 2 - Misi Satria

 

Review Mechamato Movie

Review ini merupakan dari sudut pandangan Diah sahaja ya. Nak komen dari sudut teknikal dan kualiti bukanlah kepakaran Diah. Boleh cari review teknikal di Google/Facebook.

Boleh kami simpulkan cerita Mechamato bukan cerita kosong. Banyak nilai sejarah cuba diketengahkan. Bangga bila nama tempat bersejarah, khazanah negara ditonjolkan dengan baik.

Dalam ni ada silat, tanjak, Beca, Bandar Hilir, teknologi Sains yang canggih serta banyak lagi diperkenalkan dengan baik kepada target audience movie Mechamato iaitu kanak-kanak.

Lebih membanggakan Mechamato menang award dekat Jepun. Animasi pertama bukan keluaran Jepun yang berjaya mendapat #1 - Anime Fan Award di Tokyo. 

mechamato-menang-Anime-Fan-Award-Tokyo


Sebagai ibu bapa, kami sokong agar lebih banyak cerita macam ni ditayangkan. Lagi banyak cerita berkait sejarah lagi mudah nak pupuk semangat sayangkan negara dalam jiwa anak-anak.

Kelakar dan comel perkenalan Amato dengan MechaBot. MechaBot ni ialah Power Sphera dengan kuasa Mechanize. Banyak dialog pendek dan boleh tahan kelakar.

Selain Mechamato (gabungan MechaBot dan Amato) satu lagi watak Hero ialah Maskmana. Tak sangka ada kejutan untuk Maskmana.

Kisah dia berkisar kepada musuh mereka, Grakakus yang nak tangkap MechaBot. Jadi perbalahan dan bahayakan bumi. Jadi Maskmana masuk campur.

Banyak adegan mencuit hati serta menyentuh perasaan. Bila tanya Ikhwan, dia kata babak buat dia terharu adalah ketika MechaBot dan Amato perlu dipisahkan.

Hampir gugur air mata jantan dia. Dua jam tu terisi dengan baik. Anak-anak pun enjoy dan behave jadi boleh lah rancang tengok cerita lain pula.


Mechamato-Movie


Hilangkan Rindu Main Bowling 

Lepas habis tengok wayang suami ajak main Bowling. Bagai orang mengantuk disarungkan bantal semestinya Diah ikutkan saja.

Lama betul tak pegang bola bowling. Skill pon dah berkarat. Baru tahu rupanya sistem bowling dah berubah ya.

Oh kami main bowling di Wangsa Bowl, Wangsa Walk Mall. Sekarang dah tiada sistem bayaran ikut pusingan tapi bayar ikut tempoh (jam) kita bermain.

Ada dua pilihan iaitu main non-stop selama setengah jam atau satu jam. Sewa kasut masih RM3 caj untuk satu jam ialah RM30. Harga ni adalah harga weekday cuti sekolah.

Jadi kalau nak maksimakan setiap minit kena la baling laju-laju supaya boleh main banyak kali pusingan. Kami sempat habiskan dua setengah pusingan.

Jadilah buat rasa-rasa lepas gian nak baling bola. Prestasi masih terkawal tak banyak bola masuk longkang. Target kali ni nak improve cara balingan. Apa pun kami enjoy sebab dapat habiskan masa sama-sama.

Aktiviti kami hari tu tamat bila masing-masing dah habis tenaga. Hari kami dihabiskan dengan bermakna dan berkualiti.

Maka, nikmat Tuhan kami yang manakah yang kami hendak dustakan. Mana yang belum tengok cerita Mechamato pergi lah sokong karya tempatan kita. Selamat menonton.

Review Filem - Penunggang Agama

Tak sengaja tengok filem Penunggang Agama waktu aku melepak rumah Biras aku. Kebetulan dia melanggan cerita Penunggang Agama di Astro First. 

Kalau ikut selera aku memang jarang sangat aku layan cerita seram. Bukan apa cerita seram ni buat aku sakit kepala. 

Aku tak suka adegan terkejut, sudahnya sepanjang cerita confirm aku tutup mata. Tapi cerita Penunggang Agama ni berjaya buat aku tonton sampai habis dengan jayanya.

Review Filem -  Penunggang Agama 

Tahniah kepada Syafiq Yusof kerana menghasilkan filem yang bagi aku berkualiti. Mungkin bagi penggemar cerita seram lain rasa cerita ni seram-seram kuku je. 

Filem ni aku tak puas tengok sebab rasa macam sekejap sangat dan aku syak mungkin ada Penunggang Agama 2.


Movie Penunggang Agama


Katanya jualan dah cecah RM1 juta. Tahniah sekali lagi. Dalam filem ni ada Zul Ariffin sebagai suami kepada Azira Shafinaz, Nasir Bilal Khan sebagai Tok Haji, bomoh jahat keji dan isteri bomoh yang taat Salina Saibi, Jalaluddin Hassan (Dato’ Hafsyam) sebagai ayah Zul Ariffin dan Sabrina Ali (Datin Maria) sebagai ibu tiri dan watak yang diganggu makhluk halus.

Bintang yang aku rasa paling menonjol dalam filem ini ialah Azira Shafinaz yang bawa watak Ustazah Anna, isteri kepada Amir (Zul Ariffin) dalam cerita ni. 

Jalan cerita dia simple je dan jadi best tu sebab Syafiq Yusof menggunakan pengalaman sendiri dan situasi orang sekeliling dan dia realisasikan dalam bentuk filem Islamik.

Jadi penonton boleh relate sebab apa yang berlaku ada kaitan dengan kehidupan sebenar. Kisah dia apabila Tok Haji ni mencari mangsa semestinya orang kaya untuk bolot harta kekayaan dengan cara mengganggu kehidupan mangsa menggunakan bantuan syaitan.

Dato' Hafsyam iaitu bapa Amir telah meminta bantuan Tok Haji yang menggelarkan diri dia sebagai ‘pakar ruqyah’. Ada la adegan berubat dan pagar rumah. Ada satu pesanan Tok Haji selepas merawat Datin Maria, dia minta supaya Datin berehat di dalam bilik dan tidak diganggu.

Teringat perkongsian aku tentang perawat yang menggunakan Jin. 

Boleh baca di sini Kenali & Cara Hindari Sihir 

Tukang sihir / bomoh berpesan kepada pesakit untuk mengasingkan diri di dalam bilik. Pesakit biasanya tak boleh bergaul dengan orang ramai, termasuk ahli keluarga, jiran tetangga kerana desakan daripada Jin yang berada di dalam badan pesakit.

Jadi pertengkaran terjadi apabila bila Amir dan Anna suarakan yang Tok Haji ni tak boleh dipercayai. Ada lah sebab dia cakap macam tu. Korang kena tengok sendiri lah. Adegan lain yang memberi kesan adalah waktu Amir dirasuk.


Pelakon Movie Penunggang Agama Azira Shafinaz


Amir ni merupakan bekas pelajar Universiti Al Azhar tapi tak jadi ustaz. Ada satu scene keluarga dia diganggu, waktu Amir dalam bilik dan baca Ayat AlQuran untuk lawan makhluk halus tu dia boleh lupa hafalan lepas tu terus kena rasuk. Hoi seram.

Keluarga mereka jadi kacau bilau sebab Tok Haji berjaya timbulkan syak wasangka dan pergaduhan. Suka watak Azira sebab lancar je baca Al Quran. Simple je tapi kita tahu kan kalau baca tanpa tahu pengertian tak guna juga.

So salute sebab Syafiq Yusof ambil berat benda-benda macam ni. Siap sediakan ustazah untuk bantu pelakon terutama untuk bantu bacaan AlQuran tu. Pendek kata peminat cerita seram boleh layan kot, hantu dia tidak la menyeramkan macam cerita Harum Sunda Malam. 

Lagi seram dalam cerita ni ialah Tok Haji yang jadi hamba Iblis tu. Kemain lagi keji muka dia.

Overall aku puas hati dengan jalan penceritaan, logik cerita dan kualiti lakonan filem ni. Semua mantap. Kalau ada sambungan dia of course mesti support. Cerita ni tak berlebihan jadi aku suka. Selamat menonton dan yang dah tonton meh kongsi favourite scene kau orang.

*gambar Instagram Azira Shafinaz

Review Filem - Komedi Seram Syif Malam Raya

Review Filem Komedi Seram Syif Malam Raya

Masa minggu pertama Syawal lepas, aku terjebak langgan cerita di Astro First. Masa tu rancak sungguh iklan tentang cerita Syif Malam Raya. 

Filem pertama untuk selebriti You Tube iaitu Yoe Pare, Asif Suhaimi dan Syahmi Sazly. Dalam cerita tu ada juga pelakon komedi kesukaan aku Ropie, Saiful Apek, Reen Rahim, kumpulan Zero (Atu, Sharif dan Syaiful), Azlee Senario, Danial Lawak Solo dan beberapa pelakon lain lagi. 

Masa tengok iklan tu ada la terselit sikit unsur-unsur lawak dan seperti yang dijangka tidak la aku ketawa terbahak-bahak.

Tapi tak apa, dengan niat nak sokong industri Filem Malaysia aku langgan juga walaupun cerita tu berharga RM15.90 termasuk 6% service tax agak mahal bagi aku

Dah ingatkan anak aku yang dua hari tayangan kena tengok sampai muak. Baru berbaloi. Lepas subscribe baru perasan cerita ini di arahkan oleh Datuk Profesor Dr A Razak Mohaideen. 

Waktu tu aku dah sedikit hampa, jarang sangat cerita Prof ni kena dengan minat aku, selalu tersasar je. Tapi syukur sangat tak timbul perasaan menyesal langgan sebab lawak-lawak yang ditonjolkan kira ok lah. Tiada carutan sepanjang aku menonton filem ni.





Oh dalam cerita ni ada Azlee dari kumpulan Senario, faham-faham sahajalah lawak zaman Senario kan modal melawak dia adalah dengan memek muka. 

Aku cukup tak berkenan kalau Azlee buat memek muka. Dalam cerita ni ada juga dia buat tapi tidak terlalu kerap. Saiful Apek pun sama, lawak dia pun sedang-sedang je kira okay la.

Kumpulan Zero dah biasa buat lawak dan memang aku suka jadi aku enjoy je. Juga tak mengecewakan selebriti Youtube mampu berlakon dan melontarkan dialog beserta emosi. 

Tak nampak canggung pun berlakon dengan pelakon senior. Good job.

Terpaksa Bertugas di Malam Raya

Movie ni bertema komedi seram yang berkisar tentang dua sahabat yang terpaksa bertugas di malam raya (Atu dan Sharif). 

Masa tengah berbuka pada hari terakhir puasa, mereka dapat panggilan dari bos (Saiful Apek) dan perlu menghantar jenazah ke Ipoh.

Dalam tak redha tu kena la buat juga. Masa malam Raya tu mereka tumpangkan jiran (Reen Rahim dan adik dia yang istimewa, Yoe Pare) yang tak dapat balik beraya ke Kedah sebab tiket Keretapi hilang. 

Jadi bertolak lah mereka berlima termasuk jenazah ke Ipoh. Rancangan awal lepas hantar jenazah kemudian terus hantar jiran ke Kedah.

Sepanjang perjalanan itulah mereka diuji dan ada adegan dan pengajaran yang cuba disampaikan oleh penulis skrip. Pendapat aku, lakonan dan dialog tidak la terlalu kaku dan dibuat-buat. 

Level keseraman tu tahap budak sekolah tadika je, tapi aku tetap terperanjat sebab aku tak suka cerita seram.



Jenazah Hilang Dalam Perjalanan

Untuk tambahkan konflik movie ni, ada adegan van jenazah terlanggar sesuatu dan jenazah tercampak keluar dari van dan hilang. 

Panik lah semua dan kebetulan kampung yang mereka berhenti itu sedang dilanda masalah hantu pocong.

Nak tak nak terpaksa minta bantuan penduduk kampung untuk tolong cari jenazah dan dalam masa yang sama kes hantu pocong juga berjaya dibongkar. Apa kaitan Hantu Pocong tu dengan jenazah yang hilang tu?


Pendapat aku tentang Filem Syif Malam Raya

Aku beri pendapat sebagai peminat filem komedi, dan aku sejenis mudah terhibur dan alergik dengan lawak membodohkan diri. 

Tak lupa juga akan rasa nak muntah kalau dengar lawak pick up line yang gatal tahap maksima. Filem ni filem komedi ringan dan sesuai untuk tontonan satu keluarga. 

Tidaklah membosankan jadi kalau suruh tengok lagi sekali aku ok je. Rare kan balik kampung naik van jenazah, aku terbayang kalau aku yang kena balik naik van jenazah tu confirm aku keras sepanjang perjalanan. 

Pengajaran yang cuba diselitkan ialah jangan hina orang yang berlainan keupayaan dari kita, kerja apa sekalipun paling penting adalah halal dan kasih sayang tak kenal siapa saja.  

Akhir kata jom sokong filem kita.

Review Filem - Sinopsis Filem Pengembaraan Geng Upin Ipin

Les’ Copaque Production Sdn. Bhd kembali lagi dengan kisah pengembaraan Geng Upin Ipin, kali ni dengan naskah terbaru mereka Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal. 

Trailer filem ni dah pun mendapat lebih dua juta view dekat YouTube. Gila ah, lagi teruja nak tunggu cerita ni keluar. So far filem 3D dari Les’ Copaque Production belum pernah mengecewakan. 

Diah yang dah jadi mak orang pun excited nak tengok apatah lagi anak-anak yang hari-hari asyik ulang tengok Upin Ipin dekat tv. 


Sinopsis Filem Pengembaraan Geng Upin Ipin 

Kali ni filem pengembaraan Geng Upin Ipin mengisahkan kembar comel Upin dan Ipin bersama-sama kawan-kawan mereka Ehsan, Fizi, Mail, Jarjit, Mei Mei, dan Susanti dalam usaha mereka menyelamatkan kerajaan fantasi Inderaloka dari kekejaman Raja Bersiong. 

Semuanya bermula apabila Upin, Ipin dan kawan-kawan terjumpa sebilah keris misteri yang membawa mereka memasuki kerajaan tersebut. 

Ketika mencari jalan pulang, mereka dibebani dengan tanggungjawab untuk mengembalikan kegemilangan kerajaan itu seperti sediakala. 

Dengan bantuan Mat Jenin dan Belalang, Upin, Ipin, dan kawan-kawan perlu melalui pelbagai dugaan dan cabaran dalam filem pengembaraan aksi penuh magis dan lucu yang dihasilkan oleh Les’ Copaque Production Sdn. Bhd.


Sinopsis filem Pengembaraan Geng Upin Ipin Keris Siamang Tunggal


Anda tengok dulu sinopsis trailer dia. Tahniah Les’ Copaque Production.

Sempat Diah menjenguk laman website Golden Screen Cinema tadi, dah bermula pun promosi filem ni. Baru awal bulan dia dah mula hebahkan. 

Tapi memang itu pun strategi yang penting, kena la war-warkan baru la terjual laris filem ni. Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal akan mula ditayangkan di Golden Screen Cinema seluruh Malaysia bermula pada 21 Mac 2019, Khamis. 

Memang kena plan movie date dengan anak-anak soon. Nak suruh suami jaga baby. Hahahahah. 

Dari mana Upin Ipin dapat Duit Sara kehidupan? 


Pengembaraan Geng Upin Ipin Keris Siamang Tunggal


Ada satu twitter viral mempersoalkan macamana Upin Ipin ada duit makan ayam hari-hari, minum susu dua kali sehari dan siapa yang bekerja dalam keluarga mereka. kelakar ok. 

Ramai lah yang respon dengan soalan paling penting ni. nak tergelak pun ada. Katanya Opah dah tua, duduk rumah je. larat ke Opah nak keluar bekerja? 

Upin dan Ipin pula masih tadika dari dulu hingga sekarang tak tamat-tamat lagi. Kak Rose apatah lagi, masih lagi sekolah menengah. 

Jadi ramailah yang bantu selesaikan kekeliruan yang timbul. Orang Malaysia memang kreatif, senak perut baca teori-teori yang keluar. 

1. Opah dapat pencen arwah suami dia.


2. Khabarnya mak ayah Upin Ipin dan Kak Rose ni meninggal lama dah disebabkan kemalangan jalan raya. 


Ayah mereka ialah seorang tentera dan lepas kematian ayah mereka, duit pencen / insuran telah disumbangkan kepada mereka. 


3. Rumah yang dibeli oleh ayah Upin Ipin telah dilindungi insuran jadi secara automatik hutang dilupuskan setelah kematian dia. Jadi mereka sewakan rumah tu untuk menjana pendapatan. 


4. Kak Ros menghantar nasi lemak bungkus untuk dijual di kedai Uncle Muthu, bukan tu je dia pernah suruh Upin Ipin jual biskut semperit dan ambil upah menjahit. 

Opah pula masak ayam golek dan minta Uncle Muthu jualkan dan jualan ayam golek mendapat sambutan yang baik dari orang kampung. 


5. Upin dan Ipin banyak terlibat dengan drama dan juga iklan. Siap jadi duta produk. Memang kaya la kan. 

6. Kak Ros dan Opah rajin berkebun. Jimat duit tak perlu beli sayur. Menjadi pula tanaman mereka. 


Jadi jom sama-sama meriahkan panggung 21 Mac ni. Kita sokong filem tempatan dengan harapan dapat dikenali oleh orang luar. 

Nanti senang nak melancong dekat luar negara sebut je nama Upin Ipin mesti dapat diskaun masa bercuti. Dah kau kenapa melalut sampai ke situ. Apa pun selamat menonton. 


Upin Ipin Keris Siamang Tunggal bermula 21 mac 2019