Memaparkan catatan dengan label Pentaksiran Bilik Darjah. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Pentaksiran Bilik Darjah. Papar semua catatan

Hari Pelaporan Pentaksiran Bilik Darjah Pertengahan Tahun

Alhamdulillah selesai sudah perjumpaan ibu bapa dan guru sempena Hari Pelaporan Pentaksiran Bilik Darjah Pertengahan Tahun bagi sesi akademik 2023/2024.

Tahun ini sedikit berbeza sebab Ikhwan darjah Enam jadi laporan pentaksiran diberi seminggu lebih lebih awal. Jadi lebih mudah sebab boleh fokus kepada Raudah sahaja.

Pelaporan pentaksiran atau nama lain, sesi Dialog Kemenjadian Kualiti Murid. Penilaian ini berdasarkan keputusan pertengahan tahun.

Nanti boleh bandingkan result pertengahan tahun dengan akhir tahun. Artikel ini agak panjang tapi sangat-sangat berguna terutama untuk ibu bapa yang ada anak yang bersekolah.

Jom kita sama-sama fahamkan dan baca sampai habis ya.


Dialog-Kemenjadian-Kualiti-Murid


Hari Pelaporan Pentaksiran Bilik Darjah Pertengahan Tahun 2023/2024

Untuk kami yang dah ada anak yang bersekolah, Pelaporan Pentaksiran bukan perkara baru. Tapi, penting untuk kami lebih faham dan aspek mana kami perlu bantu anak untuk berjaya.

Waktu pertama kali hadap perkara ni memang agak sukar nak terima - Tahun 2019 terima laporan pentaksiran Ikhwan darjah 1

Bersyukur sangat pihak sekolah dan guru sentiasa memberikan usaha yang terbaik dan mengalu-alukan penglibatan ibu bapa.

Seperti tahun-tahun sudah ibu bapa dijemput ke sekolah untuk mendengar taklimat dari Guru Besar (GB) menerangkan kaedah terkini tentang Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS).

GB terangkan dengan lebih lanjut aspek yang perlu ibu bapa cakna untuk bantu anak.

 

Apa itu Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS)?

PBS merujuk kepada pentaksiran terhadapap murid yang bersifat holistic iaitu menilai aspek kognitif (intelek), afektif (emosi dan rohani), dan psikomotor (jasmani) murid selaras dengan Falsafah Pendidikan Negara.

Ikut sistem pendidikan terkini, memang berbeza sangat cara sekolah menilai pencapaian anak-anak. Bagi Diah cara sekarang lebih menyeluruh dan beri banyak ruang untuk guru dan ibu bapa faham tentang potensi anak-anak.


Hari Pelaporan-Pentaksiran-Bilik-Darjah-Pertengahan-Tahun


Bila sebut menyeluruh bermaksud banyak kerja perlu dilakukan pada peringkat awal seperti memasukkan data ke dalam sistem, pemantauan setiap hari dan melakukan ujian tertentu.

Ini semua dilakukan oleh guru dan pihak sekolah ya. Walaupun banyak kerja tetapi bagusnya kaedah ini kita boleh faham keperluan anak.

 

Beza Penilaian Formatif dan Penilaian Sumatif

Dibawah PBS pula ada pentaksiran Formatif dan juga Sumatif. Awal-awal dulu rasa payah sangat nak faham. Nak pecah kepala nak telan segala info cikgu bagi.

Tapi sekarang bila dah nampak hasil dan cara kerja, kami sebagai ibu bapa rasa lega dan sokong usaha yang sistem pendidikan buat ni.

Perkembangan anak-anak akan dipantau dari darjah satu sehingga darjah enam. Penglibatan anak-anak bukan setakat dalam akademik sahaja, tapi melalui Badan Beruniform, Sukan dan Persatuan.

Ada graf dan carta perkembangan yang dipantau. Di akhirnya keputusan akan tunjukkan kecenderungan anak-anak termasuk pilihan kerjaya.


sistem-Pentaksiran-Berasaskan-Sekolah


Pentaksiran atau pun penilaian ni dibuat secara berterusan. Dekat bawah ni adalah perbezaan antara pentaksiran Formatif dan juga Sumatif:

Formatif -

  • Semasa PdP
  • Pelaporan dalam bentuk deskriptif
  • Dilaksanakan secara berterusan
  • Maklumat membantu meningkatkan kualiti PdP
  • Tindakan susulan

Sumatif -

  • Berlaku pada akhir suatu tempoh pembelajaran
  • Pelaporan dalam bentuk skor/gred
  • Berkala
  • Maklumat menunjukkan tahap pencapalan murid


Penilaian-Pentaksiran-Berasaskan-Sekolah


Bahasa nak mudah faham ialah formatif ni bila guru mengajar dalam kelas, guru akan nilai kefahaman murid berdasarkan kebolehan murid menjawab soalan berdasarkan apa yang diajar oleh guru.

Jadi pembelajaran tu lebih efektif sebab ada komunikasi dua hala. Pentingnya anak-anak fokus dan aktif semasa sesi pembelajaran berlangsung.

Jadi isu bila ada ibu bapa yang suarakan kebimbangan untuk anak yang extrovert. Anak yang pendiam dan kurang bercakap.

Risau jika tidak dapat markah sebab tak banyak bercakap. Sebab itu wujudnya pentaksiran Sumatif. Peperiksaan bertulis masih ada untuk pertengahan tahun dan akhir tahun.

Guru akan nilai kefahaman murid melalui markah kertas ujian. Jadi penilaian tu seimbang dan berterusan.

Banyak lagi aspek yang diambil kira, lebih elok pergi ke sekolah anak dan berbincang dengan lebih lanjut. 

 

Tahap Penguasaan Pentaksiran Pertengahan Sesi Akademik Ikhwan & Raudah 

Alhamdulillah, result Raudah untuk Darjah Satu on track. Sama juga dengan Ikhwan. Cikgu beri kertas penilaian jadi lebih mudah kami nak faham.

Penilaian diberi ikut gred TP 1 – TP 6. TP 6 paling tinggi bermaksud murid boleh jadi pembantu cikgu untuk bantu ajar murid lain.

Dinyatakan juga senarai Mata Pelajaran Teras, Tahap Penguasaan, Penyataan Tahap Penguasaan, Ulasan Guru Mata Pelajaran dan juga Usaha Murid.

Untuk bantu anak kena ambil kira ulasan Guru Mata Pelajaran dan juga Usaha Murid. Kongsi dekat sini Keputusan result Ikhwan dan Raudah. 

Bukan nak menunjuk-nunjuk tapi sebagai rujukan kenangan di masa hadapan.

Raudah / Tahap 1 (Darjah 1)

Matematik, Pendidikan Islam, Pendidikan Seni Visual – TP5

Bahasa Melayu, Sains, Bahasa Arab, Pendidikan Jasmani dan Pendidikan Kesihatan, Pendidikan Muzik – TP4

Bahasa Inggeris – TP3.


Ambil-report-card-anak


Ikhwan / Tahap 2 (Darjah 6)

Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Sains, Sejarah, Pendidikan Islam, Reka Bentuk Dan Teknologi, Pendidikan Muzik - TP6

Pendidikan Seni Visual, Pendidikan Jasmani dan Pendidikan Kesihatan, Bahasa Arab - TP5

Result Darjah Lima


Kesimpulan

Amatlah penting ibu bapa menghadiri Hari Pelaporan Pentaksiran Bilik Darjah dan faham tentang Pentaksiran Berasaskan Sekolah.

Kecenderungan setiap anak adalah berbeza. Bila kita kenal pasti dari awal, jadi mudah untuk kita bantu anak dari sudut yang mana.

Sebagai contoh, ada anak yang minat dengan nombor dan mengira. Ada pula anak yang cenderung untuk mendengar dan membaca.


impian-ibu-bapa


Jadi method untuk belajar tu berbeza. Bayangkan selama ni kita paksa anak belajar tapi bukan ikut kecenderungan mereka.

Memang payah ilmu nak masuk dalam otak sebab anak rasa susah dan tak minat nak belajar. Bukan sebab anak tak cerdik ya.

Hari Dialog Kemenjadian Kualiti Murid Siri 1/2022

Berkesempatan menghadiri hari Dialog Kemenjadian Kualiti Murid (DKKM) di sekolah anak-anak mingu lepas.

Kalau ikut zaman aku menjadi pelajar, hari DKKM ni merupakan hari Ibu bapa hadir ke sekolah untuk menandatangani ‘report card’.

Hari yang paling ditakuti oleh aku termasuk kawan-kawan. Mana tidaknya, segala perihal dan perkembangan pelajar akan diterangkan oleh guru kelas kepada ibu bapa.

Semua aspek akan cikgu terangkan. Mata pelajaran yang lemah perlu diberi perhatian. Takutnya Tuhan je tahu. Kalau boleh hilangkan diri waktu tu mesti aku akan buat.

Selalunya dekat rumah arwah abah akan ingatkan semula apa cikgu pesan. Tidak la emak abah mengamuk, cuma beri nasihat ‘deep’.


report-card-day


Hari Dialog Kemenjadian Kualiti Murid Siri 1/2022

Pada tahun 2019 aku pernah kongsikan tentang Panduan Pelaksanaan Pentaksiran Bilik Darjah yang merupakan kali pertama sekolah Ikhwan buat.

Waktu tu Ikhwan darjah dua, sekarang Ikhwan dah darjah lima. Kiranya tahun 2022 adalah kali kedua murid dinilai mengikut sistem yang baru ni.

Tahun ni lebih meriah sebab aku datang ke sekolah untuk terima laporan untuk Ikhwan dan adik dia, Raudah. 

Pra Sekolah pun ada ya. Aku dulu pergi tadika sebab nak makan dengan kawan-kawan je. Mewarna lepas tu balik rumah.  

Bila menjadi ibu bapa, tugas tu beralih kepada kami pula. Tapi, apa yang berbeza ialah anak aku langsung tak cemas ya.

Sebaliknya aku yang berdebar nak dengar keputusan pencapaian pembelajaran anak-anak. Dasar anak-anak. Entah yakin dia agaknya.


Dialog-Kemenjadian-Kualiti-Murid

Program DKKM tu sekejap je ambil masa, tapi yang lama tu disebabkan kena beratur ambil giliran. Jadi kalau nak siap awal kena datang tepat pada waktu yang sekolah tetapkan.

Kalau tahun sebelum ni program DKKM di buat di bilik darjah, tapi tahun ni sekolah ubah lokasi di dewan sekolah yang lebih luas kawasan dia.

Lebih teratur dan tidak mengganggu sesi penilaian murid-murid. Ibu bapa datang ke bilik darjah dan kemudian bawa anak-anak mengambil giliran di dewan.




Result Kemenjadian Kualiti Murid

Syukur result Ikhwan tidaklah mengecewakan. Alhamdulillah. Masih ada ruang untuk diperbaiki terutama subjek English dan juga subjek Sejarah.

Cikgu pesan dekat dia supaya menjadi contoh kepada adik-adik memandangkan dia anak sulung. Masalah Ikhwan ialah dia terlajak yakin boleh buat. 

Puas hati sangat dengan cara cikgu menilai. Boleh aku simpulkan cikgu letak usaha dan tenaga demi murid-murid.

Dengan bilangan murid yang ramai, subjek berderet dan sistem penilaian yang agak rumit, semua cikgu wajar diberi tepukan sebab dah buat yang terbaik.

Waktu cikgu terangkan keputusan keseluruhan aku kurang faham awalnya. Ambil masa juga nak faham sistem pemarkahan sekarang.

Tapi kalau dibandingkan penerangan oleh pihak sekolah, waktu Ikhwan darjah dua tahun 2019, tahun ini lebih baik. Hari Pelaporan Pentaksiran Bilik Darjah kali pertama aku hadiri.  

Sistem pemarkahan sekolah untuk ujian Sumatif ada Gred Purata, jumlah markah dan purata markah. Lepas tu setiap murid juga dinilai oleh guru kelas melalui pelaporan pentaksiran bilik darjah.

Semua aspek diambil kira seperti kebolehan murid faham apa yang diajar, memberi maklum balas, memahami dan buat rumusan, menghasilkan idea baru dan macam-macam lagi.

Penilaian diberikan mengikut subjek. Aku sebagai ibu ni rasa nak pecah kepala baca setiap penilaian. Tak terbayang tekanan yang murid-murid sekarang kena lalui.

Pencapaian pula di berikan mengikut gred Tahap Penguasaan (TP). Kalau bagus pencapai murid akan diberi TP6 dan begitulah sebaliknya. Berbeza sungguh dengan sistem pendidikan dahulu.


Penilaian Perkembangan Murid PraSekolah

Untuk Pra Sekolah pula, murid dinilai berdasarkan kemahiran murid-murid menguasai komponen yang ditetapkan Kementerian Pendidikan. 

Antara komponen yang dinilai ialah perkembangan fizikal dan penjagaan fizikal, kreativiti dan estetika, ketrampilan diri, subjek Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Pendidikan Islam, Sains & Matematik awal serta kemanusiaan.

Antara contoh tafsiran: murid boleh respons, mengecam abjad, boleh menghafal surah pendek, boleh lakukakan pergerakan lokomotor, menggunting dan banyak lagi.

Weh macam nak ambil UPSR aku rasa. lol. 

Antara komen yang diterima dari cikgu Raudah ialah dia seorang murid yang matang, bercakap dengan murid tertentu dan bila perlu. 

Mendengar arahan dengan baik dan cuma perlu diberi perhatian sebab Raudah sukakan cabaran dan nak menang. 

Kena fahamkan dia bila gagal dan cara nak deal dengan perasaan kecewa tak dapat apa dia mahu. 


Kesimpulan

Semoga hari Dialog Kemenjadian Kualiti Murid dapat membantu Ibu bapa supaya faham tentang tahap penguasaan anak-anak dan bantu anak-anak terus cemerlang dalam pelajaran.

Sebagai ibu bapa semestinya aku harapkan sistem pendidikan negara tidak menyusahkan anak-anak kita. Faham sangat bila timbul isu murid-murid rasa tak seronok belajar dan tak mahu ke sekolah.

 

Panduan Pelaksanaan Pentaksiran Bilik Darjah 2019

Bermula tahun 2019, pencapaian murid-murid tidak lagi dinilai melalui peperiksaan sebaliknya murid-murid bakal dinilai melalui Pentaksiran Bilik Darjah (PBD). 

Apa dia PBD ni? Kalau rujuk perlaksanaan Pentaksiran Bilik Darjah Tahap 1 yang di war-warkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia, pentaksiran akan dilakukan menerusi lima aktiviti yang dilakukan di sekolah dan dipantau guru yang bertanggungjawab. 

Pelaksanaan Pentaksiran Bilik Darjah 


Sebagi ibu bapa agak pening juga aku nak terima cara penilaian yang baru ni. Yelah kali pertama menghadiri hari Pelaporan Pentaksiran.

Masa dia darjah satu mana wujud lagi sistem ni. Kalau sebelum ni pencapaian murid dinilai dengan peperiksaan kini tiada lagi peperiksaan tapi diganti dengan PBD. 

Lima aktiviti yang bakal dinilai oleh guru termasuk; Kuiz, Permainan, Main Peranan, Bercerita, dan Projek Mudah.





Pentaksiran Bilik Darjah Ibu Bapa Perlu Tahu

Semua aktiviti pembelajaran yang berlaku dalam lingkungan guru dan murid akan dinilai secara berterusan melalui pentaksiran di dalam atau di luar bilik darjah. 

Jadi dengan adanya PBD dapatlah ibu bapa kenal pasti kekuatan dan kelemahan anak-anak yang dinilai melalui Tahap Penguasaan.

Kiranya cikgu dah tak tanda kertas peperiksaan tapi kerja cikgu bertambah untuk pantau murid-murid ketika dalam dan juga luar kelas. 


Aku rasa lebih terperinci dan harapnya cikgu-cikgu mampu dan cukup tenaga pengajar nak laksanakan semua ni. Silap haribulan cikgu tertekan banyak kerja. 



Tahap Penguasaan Pentaksiran Bilik Darjah

Rata-rata aku baca tentang tahap penguasaan pentaksiran bilik darjah ada 6 tahap kesemuanya, tapi di sekolah Ikhwan ada sampai Tahap 5 sahaja. Emak confuse wahai anak. 

Dah balik rumah baru teringat nak google lebih tentang tahap penguasaan ni. 

Nanti nak rujuk cikgu semula tentang Tahap Penguasaan ni. Murid yang score Tahap 6 kira paling bagus la. Tandanya murid tu faham, boleh amalkan dan boleh ajar kawan-kawan pula.


Tahap 1 - Tahu
Tahap 2 - Tahu dan Faham
Tahap 3 - Tahu, Faham dan Boleh Buat
Tahap 4 - Tahu, Faham dan Boleh Buat Dengan Beradap
Tahap 5 - Tahu, Faham dan Boleh Buat Dengan Beradap Terpuji
Tahap 6 - Tahu, Faham dan Boleh Buat Dengan Beradap Mithali




*Imej: Cikgu Share

Oleh sebab PBD ni masih baru jadi aku rasa ia nya akan ambil masa untuk murid-murid terima sistem pemarkahan sebegini. Aku sebagai ibu bapa pun cuak juga. 

Apa jadi kalau tiba-tiba PBD dibatalkan dan diganti dengan sistem lain pula? Lepas ni nak kena duduk dengan anak dan terangkan betul-betul apa yang perlu dia tahu.

Hari Pelaporan Pentaksiran Bilik Darjah

Assalamualaikum. Pagi tadi selesai sudah sesi bertemu Guru Kelas Ikhwan untuk Hari Pelaporan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD). 

Kalau nak tahu kaedah PBD baru je mula tahun ni. Hari tandatangan buku rekod la kiranya. Sebelum ni murid-murid dinilai melalui keputusan peperiksaan semata-mata tapi melalui kaedah PBD murid-murid akan dinilai dari pelbagai aspek.

Hari Pelaporan Pentaksiran Bilik Darjah

Aku bukan faham sangat apa yang dinilai tapi lepas cikgu dia explain tadi baru la dapat tarik nafas lega. 

Berbeza sungguh sistem pendidikan negara. Maklumlah zaman kita dulu lain. Zaman orang tanya berapa banyak A kau dapat. Kahkahkah.




Pelaporan Pentaksiran Bilik Darjah Tahap 1


Tahun ni hari pelaporan disambut sekali dengan jamuan Raya di sekolah. Beberapa hari sebelum tu cikgu dah umumkan dalam group WhatsApp jadi ramai lah ibu bapa bersedekah makanan. 

Aku tak larat nak masak dan aku sedekahkan duit suruh cikgu top up je makanan yang tak cukup. Senang kerja kan? Sesi borak-borak dengan cikgu pun tak lama mana.

Malas nak bersesak jadi memang sengaja aku ajak suami datang awal. Kalau tahun lepas murid dinilai melalui peperiksaan, tahun ni bermulanya PBD dimana murid dinilai secara berterusan melalui aktiviti-aktiviti yang dipantau oleh cikgu.


Alhamdulillah, untuk keputusan pertengahan tahun Ikhwan kami sebagai ibu bapa agak lega. Cikgu cakap Ikhwan dapat jawab jika ditanya soalan dan faham apa yang di ajar cuma dia cepat hilang fokus. 

Mudah sangat terpengaruh dengan rakan sekeliling. Itu perlu dibaiki. Kita tengok sehingga hujung tahun nanti tapi apa cikgu cakap dah cukup jadi modal aku nak ugut dia supaya lebih fokus belajar.

Tahap Penguasaan Pentaksiran Bilik Darjah

Rata-rata aku baca tentang tahap penguasaan pentaksiran bilik darjah ada 6 tahap kesemuanya, tapi di sekolah Ikhwan ada sampai Tahap 5 sahaja. Emak confuse nak. 

Dah balik rumah baru teringat nak google lebih tentang tahap penguasaan ni. Ada 6 tahap kesemuanya, makin tinggi tahap penguasaan makin bagus la penguasaan seorang murid tu.

Apa pun masih jauh perjalanan kehidupan Ikhwan Hafeez. Mama doakan minat terhadap pelajaran tu sentiasa mekar dalam dada. Semoga sentiasa cerah hati nak terima ilmu. 

Bila dah tiada periksa tu tekanan tu hilang sekejap, harapnya PBD akan memberi manfaat kepada murid-murid dan ibu bapa. Doa sangat jangan la asyik berubah sistem pendidikan Malaysia ni. Kasihan anak-anak.

Kali kedua datang untuk Hari Dialog Kemenjadian Kualiti Murid Siri 1/2022 Ikhwan dah darjah Lima.