Memaparkan catatan dengan label Review Hotel. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Review Hotel. Papar semua catatan

Wyndham Grand Bangsar Kini Di Malaysia

Semalam Diah berkesempatan menghadiri majlis prapelancaran Hotel Wyndham Grand Bangsar Kuala Lumpur. 

Kalau nak tahu, Wyndham dahulunya dikenali sebagai Pullman Kuala Lumpur Bangsar dan transformasi ini menandakan ketibaan jenama Wyndham Grand yang pertama di Malaysia.

Lebih istimewa, tarikh penjenamaan ini dipilih seiring dengan sambutan Hari Malaysia yang jatuh pada 16 September. 


Wyndham-Grand-Bangsar-Kuala-Lumpur


Wyndham Grand Bangsar Kuala Lumpur Kini Di Malaysia

Memetik kata-kata Encik TK Lee, Pengurus Besar Wyndham Grand Bangsar Kuala Lumpur, 

"Ketika kami menjenamakan semula dari Pullman ke Wyndham Grand Bangsar Kuala Lumpur, kami teruja untuk membawa tahap baharu kemewahan dan layanan bertaraf dunia ke Malaysia,"

Menjadi pilihan pengunjung kerana terletak di Kawasan strategik Bangsar, salah satu daerah yang paling dikunjungi di Kuala Lumpur. 

Wyndham Grand Bangsar Kuala Lumpur menjanjikan pengalaman menakjubkan yang menggabungkan kemewahan, kemudahan dan kecanggihan. 


Prapelancaran-Wyndham-Grand-Bangsar-Kuala-Lumpur



Wyndham Grand Bangsar Kuala Lumpur Jadi Pilihan

Wyndham Hotels & Resorts adalah penyedia perkhidmatan pengurusan hotel terkemuka dan merupakan pemberi francaise hotel terbesar di dunia dengan lebih daripada 9,200 cawangan di lebih daripada 80 buah negara.

Dengan jumlah 513 bilik mewah, dan pelbagai kemudahan bertaraf dunia, ia menawarkan pengalaman yang tiada tandingan untuk tetamu yang hadir bagi tujuan perniagaan ataupun percutian.

Komitmen yang optimum terhadap kecemerlangan dan lokasi strategik menjadikannya pilihan utama bagi mereka yang mencari gabungan sempurna antara kemewahan dan kemudahan.



Fasiliti & Kemudahan Wyndham Grand Bangsar

Setiap bilik dilengkapi dengan kemudahan moden yang teliti menjanjikan keselesaan dan ketenangan di tengah-tengah bandar yang sibuk. 

Hotel ini juga mempunyai bilik mesyuarat yang canggih dan dewan utama yang besar, menjadikannya pilihan ideal untuk acara korporat, persidangan dan perhimpunan sosial. 

Sama ada anda merancang perkahwinan, mesyuarat perniagaan atau perayaan istimewa, Wyndham Grand Bangsar Kuala Lumpur menawarkan suasana yang sempurna untuk memeriahkan majlis anda.

Wyndham Grand Bangsar Kuala Lumpur menempatkan pelbagai kemudahan untuk memenuhi keinginan setiap tetamu. 


Wyndham-Grand-Bangsar


Nikmati detik-detik ketenangan dan peremajaan di spa, nikmati ciptaan masakan yang lazat di restoran santapan mewah, kekal aktif dan cergas di gimnasium yang serba lengkap, dan nikmati kemewahan servis di lounge eksekutif.


Wyndham-Grand-Bangsar-Kuala-Lumpur


Kesimpulan 

"Lokasi strategik kami di Bangsar, ditambah dengan komitmen kami untuk menawarkan perkhidmatan dan kemudahan yang luar biasa, meletakkan kami sebagai destinasi utama untuk pelancong yang mencari gabungan kecanggihan dan keselesaan yang sempurna." - Mr TK Lee (Pengurus Besar Wyndham Grand Bangsar Kuala Lumpur)

Review Hotel Grand Alora Kedah

Sebelum menulis lebih lanjut tentang pengalaman menginap di hotel Grand Alora, Diah mulakan dengan review kenapa kami berpuas hati stay dekat sini.

Untuk informasi, Hotel Grand Alora terletak di Alor Setar, Kedah Darul Aman. Hotel empat bintang, tak jauh dari bandar Alor Setar.


Review-Hotel-Grand-Alora

 

Review Hotel Grand Alora

Kami menginap selama tiga hari dua malam disini. Kali terakhir Diah jejak kaki ke negeri Kedah adalah waktu zaman Diploma dulu, tahun 2015 kalau tak silap.

Teruja sungguh bila dapat datang semula. Seperti dijangka Kedah sungguh panas. Sepanjang perjalanan dapat lihat pemandangan sawah padi tapi warna coklat bukan hijau dan ada sebahagian sawah terbakar.

Sempat la menyaksikan aksi abang Bomba memadam kebakaran. Tak pasti terbakar sebab panas atau apa. Macam Diah ada cerita sebelum ni, kami ke Kedah menghadiri kenduri kahwin. 

 

Kenapa Hotel Grand Alora Jadi Pilihan?

Awalnya nak stay dekat hotel lain tapi akhirnya kami pilih disebabkan cadangan kawan-kawan. Waktu bercuti ni juga lah jumpa TikToker Dr. Malar Santhi Santherasegapan.

Dia ada program dekat situ, jadi pilihan yang bijak sebab hotel Grand Alora memang hotel tumpuan. Petanda hotel ni memang bagus. Pengalaman kami stay dekat sini aman saja.

Puas hati dengan servis yang diterima. Mula dari kami mendaftar masuk sehingga mendaftar keluar. Urusan semua lancar. Kakitangan pun mesra alam menjawab pertanyaan.

Tidak perlu risau keselamatan kereta sebab kawasan parking luas dalam bangunan dan berbumbung. Tidak juga perlu berebut.

Penting sebab berdasarkan pengalaman kami dulu, waktu bercuti di Terengganu kami kena saman sebab parking kereta tepi jalan.

Parking hotel tak cukup, akhirnya kena saman. Naya weh. 

Dari segi kepuasan tentang bilik pula, bilik yang kami dapat luas ya. Katil saiz Queen. Sesuai sangat untuk keluarga dengan anak kecil. Boleh bentang toto tidur dekat lantai. 



Bilir air bersih dan luas. Toiletries diberikan untuk dua hari. Lengkap. Air Condition berfungsi dengan baik. 


Toilet-Hotel-Grand-Alora


bathroom-Review-Hotel-Grand-Alora

Dalam bilik disediakan mini fridge, TV, iron berserta iron board yang cukup besar. Puas hati nak iron tudung. 



Ada hair dryer, pyjama. Diberikan juga Teh Uncang, Nescaffe sekali dengan gula. Kira ok la kan? 


room-Hotel-Grand-Alora


Restoran Kechik, Tempat Makan Depan Hotel Grand Alora

Bersyukur sangat bab makan. Betul-betul dekat depan hotel, dekat luar ada gerai yang menjual pelbagai makanan. Seronok tak payah nak drive jauh-jauh.

Ada satu restoran nama dia Kechik, meja dan kerusi disediakan. Korang boleh duduk dan makan dekat situ. Nak beli makanan dari gerai tepi jalan pun boleh.


restoran-Kechik-Nasi-Berlauk


Korang perlu sebut nombor meja waktu pesan nanti mereka akan hantar makanan dan waktu itulah korang baru bayar.

Makanan pula ada pelbagai jenis jadi banyaklah pilihan. Ada gerai menjual masakan panas Thailand, gerai ayam bakar, nasi lemak, gerai air, burger, segala jenis mi dan sup.


menu-makan-malam-kedai-kechik


set-nasi-tomyam


Ada satu gerai jual makanan bakar ala Thai yang memang Diah repeat dua hari berturut-turut. Malam pertama makan kepak ayam bakar. Sos perapan dia terbaik. Teringat sampai sekarang.  

Malam akhir tu Diah tapau kerabu kaki ayam. Makan dalam bilik. Rasa macam nak mengalir air mata bila dapat makan makanan sedap kena dengan tekak.


kerabu-kaki-ayam


Cukup rasa masam, manis dan pedas. Kaki ayam tu lembut. Dah lah memang favourite segala jenis kerabu.

Untuk korang yang stay sini dan tak ambil pakej sarapan dengan hotel, tak perlu risau. Kedai tu dibuka untuk sarapan pagi juga cuma dia tukar menu je.

Peniaga pun berlainan. Macam Diah memang ambil pakej sarapan tapi untuk dua orang sahaja. untuk anak-anak kami tapau nasi lemak dan juga roti jala.

Jangn lupa pergi makan dekat Lunch Di Ayam Gepuk Pak Raden HQ - Sedap Bak Hang


Lokasi Strategik

Suka juga dengan hotel ni sebab kedudukan dia amat strategik. Dekat dengan kemudahan (pasaraya dan kedai makan) dan tempat menarik di Alor Setar.

Oh ya, hotel ni betul-betul berhadapan dengan pasaraya Lotus. Boleh jalan kaki je, seberang jalan. Mana barang keperluan tak cukup boleh la cari dekat situ.


lotus-depan-Hotel-Grand-Alora


Malam pula, dekat kawasan parking Lotus mini funfair dibuka. Sempat jenguk sekejap, boleh la nak hilangkan bosan tengok gelagat orang dekat situ.

Ikut peta, Menara Alor Setar terletak empat kilometer dari hotel. Dah janji dengan anak-anak nak singgah sebagai tanda kami dah sampai Negeri Kedah.

 

Perkara Kurang Menarik Di Hotel Grand Alora

Kalau ditanya apa yang kurang menarik tentang Grand Alora, hanyalah perabot yang hotel guna dah agak lama. Bilik air pun luas dan ringkas je.

Walaupun lama, tapi bilik kami dapat masih selesa dan nasib tak ada bau. Bilik juga agak suram dan malap sebab lampu dia macam kurang watt.

Jadi vibe dia bilik masuk bilik tu biasa-biasa saja. Elok lah pihak hotel tambah lampu yang terang.

Lagi satu ialah pakej sarapan. Menu adalah standard, tak banyak pilihan untuk anak kecil dan rasa makanan dia sedang-sedang saja.


breakfast-Review-Hotel-Grand-Alora


pakej-breakfast-Review-Hotel-Grand-Alora


Tak berbaloi kalau bayar untuk kanak-kanak. Jadi beli saja makanan dekat luar hotel.

Waktu kami bercuti dekat sini, kolam renang di tutup untuk renovation. Dari atas boleh nampak guni pasir dan alatan lain. Jadi tak dapat la komen lebih.


Kesimpulan

Secara keseluruhan percutian kami di Hotel Grand Alora memuaskan hati. Lokasi yang strategik, dekat dengan tarikan pelancong, dan banyak tempat makan. Jadi recommended untuk yang nak bercuti di Alor Setar.


Review Hotel - The Straits Hotel And Suites Melaka

Kami memilih untuk menginap di The Straits Hotel And Suites Melaka untuk percutian keluarga kali ini. Itu pun selepas puas hati membaca review di Agoda dan juga ulasan blogger yang pernah check in di situ.

Aku buat tempahan hotel agak lewat jadi pilihan bilik yang ada di Agoda dan Booking.com agak terhad. 

Rezeki kami dapat book direct dengan hotel dengan harga yang berpatutan dan paling penting bilik dia luas, cukup selesa untuk kami berlima.


Bercuti di The Straits Hotel And Suites Melaka

Kalau sebelum ni, okay sahaja untuk berhimpit dalam bilik. Tapi bila dah meningkat usia, keselesaan yang kami pentingkan. 

Alhamdulillah pengalaman menginap di The Straits Hotel And Suites Melaka sangat menyeronokkan. Sebelum ni kami pernah menginap di Estadia Hotel Melaka. 

Hotel boutique di bawah seliaan Hatten Hotel. Best duduk situ sebab dalam Mahkota Parade Mall. Dah dekat kalau nak pergi ke tempat tarikan pelancong. Aku kongsi dekat sini - Reunion Geng Diploma


The Straits Hotel And Suites Melaka


Jalan-Jalan Melaka, Cuti-Cuti Malaysia

Percutian 2 hari 1 malam di Melaka aku susun elok-elok supaya semua tempat yang aku plan nak pergi tercapai. 

Semestinya food hunting menjadi tujuan utama. Nak buat aktiviti luar yang lasak rasanya masih kurang sesuai dengan anak kecil.

Kami bertolak dari KL selepas sarapan pagi dan sampai pada waktu tengahari dan terus cari lunch. Misi hari pertama food hunting adalah nak cari Asam Pedas Telur Ikan Mayong, jadi kami singgah di Restoran Berkat Salam.

Selesai makan kami terus menuju ke hotel untuk check in. Urusan check in hotel mudah dan smooth. Kena bayar deposit RM100 dan akan dipulangkan semasa check out. Staff juga mesra dan beri penerangan yang lengkap.

Tetamu yang menginap boleh parking di dalam bangunan yang sama dengan hotel. Parking percuma tapi kena dapatkan validation di level 1 sebelum keluar.

Antara perkara yang aku titik beratkan sebelum book hotel ialah keluasan bilik, kebersihan tandas, kemudahan parking, dan juga customer servis. Bila travel dengan family, benda-benda kecil macam ni boleh beri impact.


Room Premier Suite With Breakfast The Straits Hotel And Suites Melaka

Kami tempah Room Premier Suite yang berkeluasan 80sqm sesuai untuk 2 adults 2 children. Ruang yang besar termasuk ruang tamu dan sofa, meja makan, kitchen cabinet dan meja kerja dalam bilik tidur, katil queen.

Bilik Premier Suite adalah bilik non- smoking jadi jangan sesekali cuba merokok atau akan didenda sekiranya tertangkap. 

Disediakan fridge yang comel, sejadah, tea & coffee serta kettle. Tak perlu susah payah call room service sebab dalam bilik dah tersedia iron board dan juga iron.

Disediakan juga wifi percuma, TV agak limited channel tapi tak jadi masalah sebab tak tengok TV pun dan banyak aktiviti di luar.


Bercuti di The Straits Hotel And Suites Melaka


Tandas ada dalam bilik tidur dipisahkan dengan cermin kaca. Ada blinder jadi tidak la segan kalau nak mandi dalam masa yang sama ada orang melepak dalam bilik. 

Ada juga bath tub, favourite spot anak-anak. Syukur sangat bilik luas, dan bersih dan paling penting tak berbau dan bilik air tak tersumbat.

Dengan harga RM284 semalam termasuk sarapan pagi untuk dua orang aku rasa harga dia munasabah. Malas nak bersiap dan keluar awal pagi jadi sarapan di hotel adalah pilihan bijak. 

Menu breakfast dia pun tidaklah mengecewakan. Ada roti, bubur, nasi lemak rendang ayam, pilihan mi sup dan side dish western yang biasa ada di hotel lain. Paling aku suka kue teaw goreng dia. Cukuplah untuk alas perut. Tambahan RM17 untuk tiga kanak-kanak.

Kami dapat bilik di tingkat 19-25. Pemandangan dari balkoni memang cantik memandang ke laut dan juga bandar. Semestinya berangin dan view cantik waktu sunset dan sunrise.


Staycation The Straits Hotel And Suites Melaka


Infinity Swimming Pool - Roof Top Swimming Pool

Kalau nak tahu, The Straits Hotel And Suites adalah antara hotel di Melaka yang mempunyai Roof Top Swimming Pool atau nama lain Infinity Swimming Pool. 

Pemandangan memang cantik sebab terletak di tingkat atas sekali. Boleh ke swimming pool ke level 23, Skydeck. 

Pool dia cantik dan tak besar sangat tetapi hanya untuk orang dewasa. Kanak-kanak harus diawasi oleh orang dewasa. Kalau menginap lama boleh lepak ambil angin di café Skydeck.

Dekat pool juga ada machine jual baju renang. Harga sekitar RM40++. Boleh tangkap gambar dan sila datang waktu siang sebab lighting sangat on point. Pool dibuka pada pukul 9 pagi dan ditutup pada pukul 6 petang.

Selepas berehat, bersihkan diri dan solat Asar, kami keluar cari makan tepi sungai Melaka di Waronk Avenue. Memang puas hati sangat. 

Esoknya, selepas breakfast kami check out sebab ikut itinerary nak pergi ke Zoo Melaka - nak tengok Dinosour Encounter


Rooftop Pool The Straits Hotel And Suites Melaka


Kesimpulan

Pengalaman menginap di The Straits Hotel And Suites Melaka adalah memuaskan. Pastinya termasuk dalam senarai hotel Melaka kami akan kunjungi lagi. 

Kalau anda mencari hotel yang baik dari segi lokasi di tengah bandar, selesa, parking yang selamat jadi boleh consider The Straits Hotel And Suites.

 

The Straits Hotel And Suites Melaka

No 1- B, Jalan Melaka Raya 2, Taman Melaka Raya, 75000 Melaka, Malaysia

Phone number +60 6-289 8555

Pengalaman Menginap di First World Hotel Genting

Percutian singkat ke Genting Highlands merupakan percutian yang aku rancang di saat akhir. Aku ke Genting highlands atas urusan kerja dan dijemput menghadiri majlis Asmak Grand Awards yang berlangsung di Hotel Awana Genting Hinglands pada hari Sabtu. 

Kalau ikut tentatif program, majlis dianggarkan tamat sekitar pukul 6 petang. Risau majlis habis lambat aku buat back up plan untuk stay semalam dekat Genting Highlands.

Lepas bincang dengan suami, akhirnya kami sepakat menginap satu malam di salah satu hotel di Genting Highlands. 

Pengalaman Menginap di First World Hotel Genting Highlands

Ha masa nak pilih hotel pun macam-macam benda bermain dekat otak. Risau terpilih hotel berhantu lah, takut hotel jauh lah, harga mahal dan banyak lagi lah.

Masa ni tinggal lagi seminggu je sebelum tarikh majlis. Ikutkan ini bukanlah kali pertama kami jejak kaki ke Genting Highlands. Dah pernah ke Taman Strawberry tapi tak pernah bermalam. 

Yelah KL dan Genting Highlands hanyalah sekangkang kera. Malas nak angkut beg sebenarnya. Jadi kali ni kiranya first time lah kami tidur di Genting Highlands.





Menginap Di First World Hotel - 2 Hari 1 Malam

Sebelum book First World Hotel, aku sempat buat carian di Google dan baca beberapa review tentang hotel yang ada di Genting Highlands. Lepas puas hati kami teruskan tempahan satu malam di First World Hotel. 

Berdasarkan harga, lokasi, tujuan dan juga waktu kami ke Genting yang agak singkat maka sesuai sangat menginap di First World Hotel ni.

Ada banyak sebab yang akhirnya kami pilih menginap di First World Hotel. Hotel ni Hotel tiga bintang. Boleh teruskan membaca.


Harga Hotel Murah

Lepas buat perbandingan di Agoda, Traveloka dan lain-lain aku dapat harga bilik RM100 tanpa sarapan, Twinbeds muat untuk 2 dewasa dan dua kanak-kanak. 

Bilik standard tak besar mana pun. Urusan Check In Dan Check Out sangat-sangat mudah.

Waktu Check in adalah selepas pukul 3 petang dan kena check out sebelum pukul 11 pagi. Kalau check in di kaunter korang akan kena caj RM14. Jadi buat sendiri je di kiosk yang disediakan sangat mudah.

Syukur sangat dapat bilik di level 11 (Non-smoking room di level 9), semuanya masih baru dan tiada aircond ya. Hanya kipas syiling tapi itu pun memang sejuk. 

Dalam bilik ada hair dryer, air panas dan sejuk ada di luar bilik dekat dengan lift. Bilik iron pun ada semuanya di sediakan di bilik khas. Boleh cari berdekatan lift.

Tandas bersih dan ada air panas bila nak mandi. Kira ok lah kan. Cuma kalau nak ke sini, standby lah bawa pewangi bilik, bawa air botol dan makanan untuk alas perut. 

Faham-faham sajalah makanan atas bukit memang double triple harganya.



Lokasi Strategik Semua Di Bawah Satu Bumbung

Aku pilih Hotel First World sebab nak jalan-jalan dalam First World Complex dan SkyAvenue Complex. 

Nak bawa anak-anak ke Skytropolis Indoor Theme Park. Walaupun sekadar pusing-pusing tapi cukup menghiburkan anak-anak. Luas sangat tempat ni, sila bawa stroller kalau bawa anak kecil.

Dalam bangunan complex yang sebelah menyebelah jadi sempat la pusing-pusing tengok SnowWorld, SkyVR, Games Park dan Adventureland.  Sehari tak cukup nak main dekat semua tempat ni. 

Lagi satu, suami aku ni rabun dan ada silau yang teruk. Aku memang elak sangat suruh suami memandu waktu malam. 

Tak dapat bayangkan kalau kena drive waktu malam. Jadi stay dekat First World Hotel memang semuanya di bawah satu bumbung.


Parking Kereta Selamat

Salah satu perkara penting kalau aku check in hotel aku akan tengok tempat parking kereta. Pernah ada pengalaman menginap di hotel yang limited parking sudahnya kami kena saman sebab parking di tempat tak sepatutnya. Kalau jadi apa-apa lagi seram nak fikir.

Senang parking je dalam bangunan First World Hotel. Alhamdulillah selamat. Caj parking RM18 satu hari. 

Lebih dari tu aku tak pasti. Bila dah buat bayaran sila keluar 30 minit selepas bayar tiket dekat autopay machine.


Percutian Singkat

Oleh sebab fikir hanya pergi ke Genting dan banyak masa habis di luar jadi kami pilih hotel yang sekadar jadi tempat berehat dan tidur sahaja. 

Jadi kena tahu apa tujuan korang ke Genting? Kalau ada bajet lebih book la tempat lebih selesa.


Senang Cari Tempat Makan

Seperti sedia maklum, harga makanan dekat atas ni memang harga orang kaya. Jadi bersiap sedia dan ikut bajet korang. 

Agak mencabar bawa tiga orang anak yang sentiasa lapar jadi berbelanja dengan bijak ya. Dah jadi amalan, untuk anak-anak akan bawa botol air sebab diaorang haus tak kira masa. 

Memang standby jelah. Oleh sebab siang dah kenyang makan di Hotel Awana Genting Highlands jadi malam tu lepas tukar baju kami cari makan di Medan Selera dalam First World Complex. Ada halal status ya. Jangan risau.




Makan pun sekadar alas perut dan anak-anak masih excited nak berjalan instead of makan. Kami beli Char kway teow (RM19.90) dan nasi Ayam Mandy (RM21.90). 

Masa terpandang harga air mineral RM6 satu botol kecil terus batalkan niat sebab air mineral aku bawa masih banyak dekat bilik hotel. Soft drink RM9 satu cup biasa tu. Hoi harga cekik darah.

Pengalaman aku stay hotel yang tersenarai sebagai 10 best hotel dekat Ipoh oleh Tripadvisor di SINI

Aku kedekut? Entah aku sayang duit.

The next day kami cari sarapan dekat SkyAvenue Complex. Satu level dengan Adventureland Indoor games. 

Kami makan ni dekat restoran  JR Curry House. Kalau tak nak makan dekat situ, boleh makan di Marrybrown atau beberapa restaurant lain yang ada dekat situ.

Dekat JR Curry House kami ambil set sarapan RM11, dapat lah Roti Canai, dua biji telur rebus dan segelas teh tarik. 

Suami ambil set Mee goreng. Oleh sebab nasi lemak habis kami ambil nasi goreng Cina sepinggan RM6.60. Dekat sini harga roti canai RM6.90 sekeping kau.

Sebelum tu konon nak cuba makan di The Food Factory di level 4 First World Complex, tapi malangnya kedai tu hanya dibuka sehingga pukul 11 pagi untuk sarapan. Masa aku sampai tu dah pukul 10.30 pagi. terus cancel cari kedai lain.

Kami check out pukul 10 pagi, simpan luggage dalam kereta lepas tu merayap dalam tu. Puaskan hati anak-anak lepas tu balik sambung aktiviti singgah ke Lemang Tok Ki. Dapat juga merasa akhirnya. 

Alhamdulillah selamat sampai sebelum Maghrib. Syukur jalan semua ok tiada kesesakan. Itu sahaja percutian singkat aku selama dua hari satu malam di Genting Highlands. Walau sekejap pun terasa penat badan. 

Dah alang-alang sampai ke Genting Highlands, jangan lupa singgah ke Genting Strawberry Leisure Farms Genting Highland.

Restoran Aroma D’AnCasa, AnCasa Hotel & Spa Kuala Lumpur

Assalamualaikum, selagi tak masuk bulan Ramadhan selagi itu lah review bufet Ramadhan akan dikongsikan di blog aku. 

Harap pembaca tak bosan. Kali ni aku nak kongsikan bufet Ramadhan di salah satu hotel yang terletak di tengah bandar Kuala Lumpur. 

Jom sama-sama buka puasa dan merasai gabungan citarasa Malaysia di Restoran Aroma D’AnCasa yang terletak di AnCasa Hotel & Spa Kuala Lumpur. 



Restoran Aroma D’AnCasa, AnCasa Hotel & Spa Kuala Lumpur 

Memang dah jadi tradisi dalam bulan Ramadhan, setiap hotel akan memperkenalkan menu Ramadhan masing-masing. Tahun ni, AnCasa Hotel & Spa Kuala Lumpur telah memilih tema “Aroma D’Ancasa”.


Merujuk kepada gabungan selera citarasa rakyat Malaysia yang mengangkat menu popular dari Utara, Selatan dan juga Pantai Timur dan bakal disajikan kepada pengunjung sepanjang bulan Ramadhan. 





Rasai Pengalaman Buka Puasa Suasan Kampung di Tengah Bandar


Istimewanya menu-menu yang telah dipilih merupakan gabungan idea chef-chef dari AnCasa Hotels & Resorts yang berpengalaman dalam masakan tradisional Melayu serta seni kulinari akan menampilkan kelainan dalam setiap resipi dan menu yang di sajikan pada tahun ini. 


Seperti tahun sebelumnya, konsep gerai masih diteruskan dan ‘live cooking’ di mana 14 gerai dihias bertemakan konsep tradisional Melayu dengan harapan agar pelanggan dapat merasai ‘home dining experience’ semasa berbuka puasa di sini. 


Dengan memperkenalkan sajian masakan istimewa ala kampung hasil air tangan chef hotel hebat yang berpengalaman di tambah pula dengan dekorasi ala kampung, anda akan di bawa menggamit nostalgia di zaman kanak-kanak di kampung halaman serta keenakan berbuka dengan masakan bonda.


Kemudahan surau juga disediakan untuk para pelanggan yang datang berbuka puasa di sini.


AnCasa Hotel & Spa Kuala Lumpur


Tarikan 200 menu Buka Puasa Bufet Ramadhan Termasuk Kambing Golek & Pais Ikan Patin


Restoran Aroma D’AnCasa akan menyajikan lebih dari 200 menu kepada pengunjung sepanjang buffet Ramadhan berlangsung. 

Antara sajian masakan Melayu yang diperkenalkan di antaranya adalah Ayam Golek Berempah, Gulai Kawah Kambing, Sotong Sumbat Tiga Rasa dan Sambal Goreng Jawa.

Semestinya hidangan yang bakal menjadi hidangan tumpuan dan istimewa pada kali ini adalah Kambing Golek yang diperap bersama campuran rempah rahsia dan dipanggang selama 2 jam untuk mendapatkan daging yang lembut dan juicy. 

Selain itu, terdapat juga Pais Ikan Patin dari Pekan, Pahang dan Masak Lemak Cili Api Aneka Laut dari Negeri Sembilan yang disediakan khas oleh Chef AnCasa Hotels.

Antara menu lain yang dijangka mendapat sambutan dari pengunjung termasuklah menu seperti Mee Kari Gear Box, Rendang Itik, Sup Ayam Kampung yang dihidangkan bersama Roti Bengali, Ayam Panggang PD, Daging Opor Pahang dan banyak lagi. 



Bufet Ramadhan AnCasa Hotel & Spa Kuala Lumpur


AnCasa Hotel & Spa Kuala Lumpur


AnCasa Hotel & Spa Kuala Lumpur


Menu Pencuci Mulut

Tidak sah sesuatu bufet jika tidak diakhiri dengan pemanis mulut. Pengunjung boleh merasai keenakan pelbagai kuih muih tradisional seperti Apam Balik, Serawa Durian, Kuih Ketayap, Lempeng Kelapa, Kole Kacang dan pelbagai manisan yang pastinya akan mengubat rindu anda akan masakan bonda di kampung halaman.



Menu Istimewa – Tandoori Chai

Istimewanya pada tahun ini AnCasa Hotels & Resorts turut menampilkan minuman lain dari yang lain iaitu Tandoori Chai. 

Kalau nak tahu Tandoori Chai ialah merupakan sejenis teh campuran herba yang dimasukkan ke dalam tembikar kecil dan dipanaskan sehingga menggelegak. Buat penggemar minuman Teh pasti suka sebab aromanya yang cukup memikat. 








Harga Bufet Ramadhan Restoran Aroma D’AnCasa & Cara Membuat Tempahan 

AnCasa Hotel & Spa menawarkan harga yang amat berpatutan iaitu:

RM70.00 untuk dewasa 

RM40.00 untuk kanak-kanak (5–12 tahun)

*Early Bird Promotion*

Baucar awal boleh didapati pada harga RM60.00 bersih setiap seorang dewasa sebelum 30 April 2019. 

Untuk tempahan, sila hubungi 03- 20266060 sambungan 7703. 





Di bawah adalah harga bagi rangkaian hotel AnCasa:-

AnCasa Royale, Pekan, Pahang
Baucar awal RM58.00 bersih
RM70.00 bersih (Dewasa)
RM40.00 bersih (Kanak-kanak 5–12 tahun)


AnCasa Residences, Port Dickson, Negeri Sembilan
Baucar awal RM45.00 bersih
RM55.00 bersih (Dewasa)
RM30.00 bersih (Kanak-kanak 5–12 tahun)


Bagi tetamu yang memilih untuk mengadakan majlis berbuka puasa secara tertutup, AnCasa Hotel & Spa, Kuala Lumpur turut menawarkan pakej istimewa bermula dari RM90 seorang untuk sekurang-kurangnya 60 orang. 

Untuk sebarang maklumat lanjut dan tempahan sila hubungi Sarimah di talian 03-20266060 sambungan 7700

Bercuti di Ancasa Residences Port Dickson

Kalau korang bercuti dan mencari penginapan yang dekat dengan pantai di sekitar Port Dickson, Ancasa Residences Port Dickson adalah jawapannya. 

Memang dari bilik dah boleh nampak laut tau. Pantai di hadapan Ancasa Residences ni masih lagi terjaga kebersihan dia jadi selesa kalau nak mandi manda.

Ini merupakan kali pertama Diah menginap di Ancasa Residences Port Dickson. Tapi memang seronoklah. Berada di sini sempena program Kulinari Ancasa Junior Chef yang dianjurkan oleh Ancasa Hotels & Resorts sempena cuti persekolahan. 



Bercuti di Ancasa Residences Port Dickson 

Sambil-sambil tu bercuti sekali lah. Esok harinya, selepas check out baru teruskan percutian bawa anak-anak tengok haiwan di Windmill PD Farm. Selalu tengok dari luar je, kali ni tunaikan hajat anak-anak. 


Ancasa Residences Port Dickson – Lokasi Strategik Bercuti Tepi Pantai




Anak-anak yang paling gembira bila kami sampai sini. Kebetulan kami parking kereta betul-betul dihadapan kolam renang. 

Memang masing-masing teruja nak mandi. Diah lebih teruja sebab Ancasa Residences ni sangat dekat dengan pantai.



Ancasa Residences Port Dickson bercuti tepi pantai




Bercuti di Ancasa Residences Port Dickson adalah pilih yang bagus jika korang ada anak kecil dan suka mandi manda. Dah bosan dengan kolam renang boleh terjun pantai pula. 

Pantai dia bersih kalau dibandingkan dengan pantai sekitar Port Dickson ni. Agak meriah dengan kedai dan pelawat. Sempat suami dan anak-anak sarapan pagi tu sambil main pasir. Acah-acah pelancong katanya.



Menginap di Ancasa Residences Port Dickson


Masa cuti sekolah memang penuh dekat sini jadi kena rancang dan buat tempahan awal supaya tak kecewa. 

Diah menginap di Blok C yang betul-betul berhadapan dengan pantai. Kebanyakkan bilik-bilik di blok C baru sahaja di naik taraf. Jadi cantik dan selesa.



Pantai best



Dalam bilik ni ada satu katil dan satu bilik air. Boleh minta extra bed atau bawa toto sendiri dari rumah kalau ada anak lebih dari sorang. Tak menjadi masalah sebab bilik besar dan bersih. 

Tandas, katil, dan perabot lain macam sofa tidak berbau. Kalau bercuti dan menginap dekat mana-mana memang benda-benda macam ni yang Diah utamakan. Baru dapat bercuti dengan selesa.



Apartment Ancasa Residences Port Dickson



Bahagian dapur ada disediakan peti ais dan tempat memasak. Bonus point, Penyapu disediakan (penting kalau balik dari pantai, pasir akan melekat-lekat dekat badan) penyapu adalah hero masa tu. Ahaks!






Seronok dekat sini sebab kawasan yang luas dan dikelilingi dengan pokok hijau dan berhadapan dengan laut. Memang cukup pakej. 

Kemudahan yang Ancasa Port Dickson sediakan memang sesuai untuk buat Hari keluarga mahupun pun Team Building. Kebetulan masa Diah menginap hari tu, ada kumpulan tengah lakukan aktiviti Flying Fox. 

Aktiviti lain yang ditawarkan ialah Gel Gun Target Shooting, Play Station 4, table tennis, arcade untuk anak-anak, multipurpose court untuk games, gimnasium, kolam renang dan Spa.




Spa Ancasa Residences Port Dickson



Ancasa Residences Port Dickson




Kalau menginap di sini bagi Diah satu malam pun dah cukup. Siang boleh mandi pantai, dan malam boleh merayap cari makan dekat sekitar Teluk Kemang. Kami singgah King's CKT Jalan Pantai Port Dickson. 

Kalau susah nak keluar untuk cari makan terutama untuk sarapan pagi, dekat sini pilihan menu makanan yang disediakan juga tidak menghampakan.



Ancasa Residences Port Dickson Training



Sejak jadi suri rumah ni, bila dapat bercuti walaupun singkat dan dekat je dengan rumah tapi rasa berharga sangat. Masa bercuti la masa merehatkan diri dan masa berkualiti kami satu keluarga juga. 

Bagi Diah tak kira dekat mana kita bercuti asalkan anak-anak dan suami gembira dah bersyukur sangat. Alhamdulillah.

Selain Ancasa Residences Port Dickson, Ancasa Hotel & Resorts juga mempunyai hotel dan resort yang terletak di Kuala Lumpur, Pahang, & Kuala Terengganu. Layari laman web dan laman sosial Ancasa Residences Port Dickson.