Memaparkan catatan dengan label Raya. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Raya. Papar semua catatan

Ikan Bakar Melaka - Medan Ikan Bakar Rosedi

Kali ni aku nak share restoran ikan bakar sedap di Melaka. Balik Raya hari tu suami ajak makan ikan bakar. Kalau teringin nak makan Ikan bakar, seafood dan celup tepung memang Melaka la tempat kami selalu tuju. 

Pernah pergi ke kedai ikan bakar yang viral beberapa tahun lepas di Melaka, berakhir dengan perasaan kecewa. Penuh dengan manusia, parking pula limited. Jadi memang target cari kedai yang lebih aman nak makan, yang penting sedap.

Back in 2019, kami makan di Umbai Baru, Restoran Ikan Bakar Klasik Umbai dekat Perkampungan Ikan Bakar Terapung. Nak pergi Terengganu makan ikan celup tepung, jauh boh. 

 

Ikan-Bakar-Melaka-Medan-Ikan-Bakar-Rosedi

Makan Di Medan Ikan Bakar Rosedi

Lepas tujuh tahun, kami cuba tempat baru, Ikan Bakar di Medan Ikan Bakar Rosedi yang terletak di D’Muara Alai Telok Mas, Melaka.

Tahu tentang restoran Ikan Bakar Rosedi bila search dan google review dia elok. So why not kan? Kedai buka pukul 5.30 petang jadi rancang perjalanan sebaik mungkin.

Satu je yang aku tak suka, kami sewa homestay dekat Jasin. Perjalanan balik tu gelap kena lalu kawasan kelapa sawit. Lampu jalan limited, jalan pula menurun dari bukit. Aku automatik sesak nafas ya.

Alai-melaka


Menu Kami Order & Jumlah Bil

Lepas geram lama tak makan jadi hari tu kami makan agak banyak. Alhamdulillah semua menu kena dengan selera kami.

Jumlah bil RM182 untuk kami sekeluarga (lima orang).  

Sotong goreng tepung

Udang bakar

Siakap stim

Siakap sweet sour

Kerang rebus

Sepahat tumis halia

Nasi Lemak & Nasi Putih

Teh O ais (Jug)

 

Medan-Ikan-Bakar

Review Jujur Mengikut Anak Tekak

Kalau datang lagi nak repeat sotong tu. Salutan dia garing dan sotong tak liat. Ya ampun masa menaip ini pon keluar air liur ya. Udang bakar tu sedap, terasa isi lebih manis bila di bakar macam tu. Nanti nak cuba udang masak butter dengan ketam masak blackpaper pula.

menu-Ikan-Bakar-Melaka

Siakap stim tak hanyir, cukup rasa masam masin, tak pedas sesuai untuk anak kecil. Portion walaupun ikan dibahagi dua, elok je sedang cukup untuk kami. Lagi sebelah kami minta masak sweet sour.

menu-Ikan-Bakar

menu-Medan-Ikan-Bakar-Rosedi


Kerang rebus cukup juicy. Kerang menu wajib baru feeling makan seafood. Hanya Sepahat yang aku rasa spoil macam kurang masak. Nasi lemak dia terasa santan. Sedap.

Ikan-Bakar-Melaka


Overall kami sekeluarga puas hati makan di Rosedi Ikan Bakar. Staff yang layan kami baik dan tak ambil kesempatan suruh order macam-macam. Tempat makan selesa, sesuai nak makan berkumpulan, view cantik waktu matahari nak terbenam. Medan selera ni baru buka, kerusi meja semua elok lagi. Tempat pun bersih. Ada tandas.

 

Medan-Ikan-Bakar-Rosedi

Cerita Syawal Tak terduga Raya Pertama

Alhamdulillah raya kali ni seronok sangat. Paling berharga di waktu usia begini masih lagi dapat peluang beraya dengan emak, berkumpul adik beradik dan bergambar ramai-ramai.

Ikut giliran kami beraya di Pahang dan memang penuh lah rumah. Daripada sepuluh adik beradik, seorang je kakak yang beraya dengan keluarga sendiri. Maklumlah bila keluarga semakin berkembang dan kakak dah ada cucu sendiri.

Rumah emak memang meriah dan penuh dengan anak-anak serta cucu-cucu. Masih lagi meneruskan tradisi masak bersama-sama, malam raya bakar mercun dan anak-anak enjoy main bunga api. 

Beginilah tradisi setiap tahun, kalau semua ada memang riuh, lepas tu bila masing-masing kembali ke sarang memang terasa sunyi rumah emak. 

sambut-raya-di-kampung


Kejadian Syawal Raya Pertama

Biasa kami pagi raya lepas selesai solat hari raya Aidilfitri macam biasa makan ramai-ramai. Menu pagi raya rendang daging, rendang ayam pencen, masak lodeh, Kuah kacang dan laksa.

Perut dah kenyang baru lah bermula sesi salam mohon ampun maaf dan pemberian duit raya. Lepas tu ambil peluang juga rekod video kenangan raya dan sesi bergambar.

cerita-syawal-tak-terduga


Bayangkan emak kena layan sembilan keluarga dengan pelbagai ragam. Tahun ni tiada drama air mata yang teruk, masing-masing ceria je. Masing-masing sabar ikut giliran.

Riuh rendah rumah kami ya. Anak-anak saudara la yang paling gembira sebab dapat kutip banyak duit raya dari makcik dan pakcik.

 

Beraya Dan Sesat Dalam Kebun Getah

Selesai semua urusan abang sulung ajak beraya di Bahau. Menziarah nenek saudara yang semakin uzur. Memang itulah destinasi kami setiap kali raya. Alang-alang tu singgah juga rumah Mak Tua di Kampung Bukit Kelulut dan pak Unggal di Kampung Lonek, Batu Kikir.

jalan-jalan-cerita-syawal


Kami okay je bila emak ajak beraya rumah saudara tapi perasaan seram bila bayangkan keadaan jalan raya dan bentuk muka bumi kampung tu aku tak dapat nak elak.

Tahun ni pecah rekod kami sesat dalam kebun getah dan kereta adik bongsu sangkut dan tersagat jalan tar masa dalam perjalanan ke Kampung Lonek.

Dari rumah kami konvoi enam kereta. Selain dari waze kami hanya bergantung dengan kereta siapa yang berada di hadapan. Ada sekali kami terpisah dan terpaksa guna waze. Tapi hauk ya, entah kemana waze bawa. Itu yang sampai tersesat dalam kebun getah.

Ikut hati nak give up patah balik rumah je. Walaupun sampai lambat tetaplah gigih menghormati tuan rumah yang beria-ria menjemput kami.

 

Kejadian Kereta Sangkut Sagat Jalan Tar

Selepas kejadian sesat dalam kebun getah kami teruskan perjalanan ke rumah Pak Unggal. Suka dengan pemandangan sepanjang jalan memang tak pernah mengecewakan.

Memang tenang je cuma kali ni musim kemarau jadi nampak tanah kering jelah. Berlaku kejadian tak di duga. Jalan nak masuk ke rumah Pak Unggal memang sempit.

Kena lalu jalan yang hanya cukup-cukup untuk satu kereta. Dijadikan cerita, kereta adik Perempuan sangkut sebab nak elak kereta dari arah bertentangan.

Waktu tu adik follow rapat kereta abang. Adik pandu Myvi, abang pula pandu X50. Kereta kami pula jauh sedikit dari adik.

kejadian-cerita-syawal-tak-terduga


Masing-masing terlalu yakin ya akan lepas. Sudahnya kereta abang lepas dan kereta adik tersangkut sebab nak bagi ruang kereta dari arah bertentangan.

Waktu nak bagi laluan itulah kereta adik tersasar dan bergesel dengan jalan tar. Jalan tak sama rata. Memang panik ya. Nasib tak masuk ke dalam sawah.

Risau kalau kereta rosak teruk dan lagi teruk kalau terbalik. Keadaan terkawal bila kami ramai-ramai turun beri beri sokongan.

Panik punya pasal suruh adik keluar dan minta adik lelaki yang kawal kereta nak naik ke jalan semula. Menangis bunyi geselan kereta dengan jalan tar.

Tapi memang kenangan seram sejuk untuk kami semua. Lega tiada yang kerosakan serius. Raya diteruskan dan lepas tu kami balik terus ke rumah. Teringat kereta aku breakdown tepi jalan waktu hujan lebat. 

cerita-syawal


Reunion Keluarga Sebelah Arwah Abah

Raya kedua kami berehat di rumah dan hanya sambut tetamu. Raya kali rileks sikit berbanding tahun sudah. Raya ketiga kami balik kampung sebelah arwah abah pula. Menghadiri majlis reunion keturunan Sutan Maakat.

Majlis ringkas je, salam saudara mara, makan-makan sambil bertegur sapa makcik pakcik. Masa inilah jumpa semua sepupu, anak buah, cucu, cicit yang semestinya aku tak kenal.

Meraikan saja sambil mengeratkan ukhwah. Selesai reunion kami bergerak beraya di kampung kelahiran emak di Temerloh.

Singgah beraya di rumah makcik dan sebelum balik menziarah kubur arwah wan dan aki. Raya ke-empat baru kami balik Melaka.

 

Itu sajalah cerita syawal yang tak terduga di hari raya. Semoga ada rezeki lagi beraya bersama-sama di masa hadapan. Kita tak tahu rezeki, ajal dan maut. Tahun ni aku hargai setiap detik, kenangan raya bersama keluarga.

 

 

Bila Usia Dah Tak Terlalu Teruja Beraya

Persiapan raya tahun ni terasa paling perlahan dan tak beria. Entah kenapa, mungkin sebab usia pun dah makin menginjak. Semangat nak membeli tu tak macam dulu-dulu.

Kalau tahun-tahun sebelum ni, tak kira giliran beraya di kampung siapa, sekurang-kurangnya mesti ada dua persalinan baju raya. Satu untuk hari raya pertama, satu lagi untuk pakai bila beraya rumah saudara-mara.

Tapi tahun ni lain pula rasanya. Bila fikir lebih mendalam, kadang-kadang terlintas juga, kejam tak kalau aku cakap yang zaman aku untuk terlalu teruja menyambut raya tu dah berlalu?

Sekarang ni rasanya lebih seronok tengok anak-anak pula yang excited. Anak-anak dah plan nak beraya, nak pusing-pusing rumah dekat kampung kutip duit raya.

persiapan-sambut-raya


Baju Raya Tahun Ni Sekadar Ada

Tahun ni aku beli sepasang sahaja baju raya. Sejujurnya memang ada terfikir nak recycle saja baju-baju lama dalam almari. Baju raya yang dulu-dulu pun masih elok lagi.

Kalau masih bekerja dulu, logik nak beli sebab boleh pakai ke office. Dah jadi suri rumah ni nak pakai pergi mana je?

Paling tidak aku akan ke kenduri kahwin, majlis sekolah anak atau hadiri majlis keluarga terdekat.  Selalunya aku lebih selesa pakai blouse biasa sahaja. Lebih praktikal.

Walaupun baju raya aku tak cari sangat tahun ni, tapi aku sibuk cari tudung raya. Ahaks. Kepala ada satu tapi tudung berhelai-helai. Pelik bukan.

Biskut raya pun aku belum sempat beli. Selalunya kalau dekat-dekat raya nanti baru terasa panik sikit. Masa tu lah baru fikir nak beli biskut raya atau tambah apa yang patut.

Mungkin tahun ni pun akan jadi cerita last minute juga.

beli-baju-raya

 

Raya Tahun Ni di Kampung Pahang

Tahun ni giliran kami beraya di kampung aku di Pahang kemudian baru balik Melaka. Jadi bab persiapan memasak tu, kami adik-beradik dah sepakat buat tabung kutipan. Senang sikit nak beli barang dapur dan sediakan makanan untuk semua orang.

Menu pula macam biasa, ikut selera dan keinginan emak. Kami adik-beradik ikut saja apa yang emak rasa nak makan. Asalkan beliau gembira, kami layankan saja. Kebiasaan kami ketupat dan nasi impit memang jadi meju wajib ada pagi raya. 

Tahun ni emak dah awal-awal tempah daging. Sepuluh kilo katanya nak buat rendang. Lepas tu emak juga tempah perut lembu. Itu yang beliau teringin sangat tahun ni.

Kami anak-anak ni ikut saja. Tengah orang tua ada selera nak makan, kita bagi saja apa yang mereka mahu. Menu selalu ada nasi impit dan kuah kacang.

Lemang memang dah terkeluar carta, penat nak buat ye. Kalau teringin beli jelah.

 

persiapan-balik-raya

Lapan Adik Beradik Berkumpul

Tahun ni juga giliran adik-beradik berkumpul di Pahang. Daripada sepuluh orang adik-beradik, lapan orang dah confirmkan akan balik beraya hari pertama.

Bila fikir balik, dah boleh bayang keadaan rumah nanti. Setiap orang balik dengan pasangan masing-masing, tambah pula anak-anak.

Memang penuh rumah jadinya. Itu barulah raya. Rumah kami akan jadi antara rumah paling meriah, paling bising dengan suara budak-budak.

Dah semakin menginjak usia ni, aku tak minta banyak. Cukup tiada salah faham, pertumpahan air mata mahupun darah. Emak senyum 24 jam tengok anak, menantu dna cucu depan mata.

Doa yang baik-baik saja. Semoga semua berjalan lancar.

 


Kisah Hari Raya Kami – Melaka & Pahang

Lebih sebulan asyik on off menulis. Bermula sebelum puasa lagi sehinggalah dah masuk seminggu Syawal. Baru hari ini gagahkan diri untuk kembali aktif. Rindu nak menulis tapi apakan daya tenaga dan masa asyik tak mencukupi.

Sebelum terlambat Diah nak ucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri Maaf Zahir Batin untuk semua. Apa khabar Syawal korang? Cerita pagi raya ada tak? harap okay sahaja.


Kisah Hari Raya Kami – Melaka & Pahang

Alhamdulillah cerita raya 2023 Diah berjalan lancar sahaja. Anak-anak semakin membesar dan semakin faham serta semangat nak sambut raya.

Tahun ini giliran beraya di rumah mentua dahulu, di Melaka. Tahun ni tiada kejutan macam tahun sudah, tarikh hari raya sama dengan jangkaan dalam kalendar Georgia.

Jumaat pagi kami bertolak balik ke Melaka dan seronoknya lebuhraya PLUS tak sesak. Rezeki dapat berbuka dengan keluarga mentua.

Persiapan raya kami dah mula awal jadi tahun ni kurang penat dan terkejar-kejar. Fokus hanya puasa dan nak balik raya.

raya-pertama-di-melaka


Hari Raya Pertama 2023 – Raya Di Melaka

Sampai je dekat rumah MIL dah mula sibuk siapkan juadah raya. Tolong kakak ipar siapkan bahan-bahan memasak. Cuci balang dan masukkan biskut raya.

Menu hari raya pertama kami ialah nasi impit, ayam pencen masak rendang, kari daging, ayam kurma untuk anak-anak, dan juga kuah kacang.

Tahun ni seronok sangat sebab berkesempatan solat raya Aidilfitri berjemaah. Berpeluang solat dengan anak-anak sekali.

solat-sunat-aidilfitri

Mudah sangat sebab surau tak jauh dari rumah mentua. Airis dan Raudah paling teruja sebab ini pengalaman pertama mereka.


sembahyang-raya

Selesai solat, siapkan anak-anak dan seperti tahun-tahun sudah rumah mentua selalu jadi persinggahan sanak saudara.

Tema baju Raya pertama tahun ni ialah Navy Blue. Baju lelaki beli dekat Butik Omar Ali, anak perempuan beli di Butik Sireh Pinang dan Diah beli dekat TikTok Shop.

Berkesempatan juga ke rumah pakcik makcik dan selebihnya kami beraya di rumah sahaja. Melaka panas ya, tapi tak mematahkan semangat kami bergambar dekat luar.

Lighting cantik haruslah digunakan sebaiknya. Malam tu kami check in homestay yang berdekatan. Ambil kesempatan untuk tempah homestay demi keselesaan semua dan mentua pun faham.

Sebelum ni pernah - check in di Hotel Bestari, Jasin Melaka - bila ramai-ramai balik kampung. 

Raya kami sederhana saja, ada adik beradik suami yang terpaksa bekerja pada hari raya pertama. Emak dan ayah mentua redha saja.

Baru perasan tiada satu pun gambar juadah Raya. Sibuk bersiap dan makan saja. 


Hari Raya Kedua 2023 – Raya Di Pahang

Siap berkemas di rumah mentua, sambung pula gosok baju untuk raya kedua. Tema baju Raya kedua kami suami isteri pilih warna Olive. Anak-anak pula belikan baju lebih santai (Padini & Brands Outlet).  

Ikut giliran, tahun 2023 tahun adik beradik perempuan beraya di rumah mentua terlebih dahulu.

Jadi memang tak dapat ambil gambar 10 orang adik beradik dan bermaafan di pagi raya. Tunggu kalau ada rezeki tahun depan.

Pagi tu selepas sarapan kami bertolak balik ke Pahang. Risau tersangkut dalam kesesakan kena bertolak awal.

raya-kedua

Tahun ni terpaksa waze dan ikut jalan lain sebab jalan biasa kami lalu sesak tak ingat. Puncanya pemandu takut nak keluar simpang ke jalan utama.

Syukur walaupun ikut laluan berbeza, perjalanan kami dipermudahkan. Selepas empat jam dalam kereta kami selamat sampai ke destinasi.

Bila dah sampai rumah sendiri memang kena terus bertugas. Baru je duduk di meja makan, saudara sebelah arwah abah sampai.

Kebetulan emak dan adik beradik lain balik kampung, ziarah kubur arwah atuk dan yang ada dekat rumah hanya adik bongsu dan kakak ipar.

Kami sajalah yang berperang siapkan juadah dan melayan tetamu. Menu raya kedua ialah laksa Utara disamping juadah utama rendang ayam, lemang dan nasi impit.

Tiga buah kereta kesemuanya. Segan gila nak layan tapi terpaksa la. Adik bongsu awal lagi dan angkat bendera putih.  

Malam tu pula keluarga makcik sebelah emak pula sampai. Memang tradisi keluarga sebelah emak (adik emak), mereka akan menziarah rumah adik beradik sehari suntuk.


raya-di-kampung


Bertolak dari Selangor, bermula dengan berkumpul di rumah pakcik di Temerloh, kemudian singgah di rumah emak kemudian teruskan perjalanan ke Bahau sebelum pulang ke rumah.

Bermusafir dan menggunakan 24 jam di bulan Syawal sebaik mungkin. Peluang setahun sekali digunakan sebaik mungkin.

Keadaan sama pada hari Raya ketiga. Menerima kunjungan saudara mara dan kami jamu bihun sup untuk tetamu.

Nak kongsi berita baik dengan semua, emak ditemani adik bongsu Diah akan menunaikan umrah dan penerbangan dijadualkan pada 29 April ini.

Raya keempat masing-masing dan pulang ke sarang dan emak kami bawa sekali ke rumah abang di Negeri Sembilan.

Decide untuk recycle je baju raya pertama. Nak bawa baju banyak-banyak nanti kena tambah luggage. Pakai saja apa yang ada. 

raya-keempat

Mudah urusan nak menghantar ke lapangan terbang nanti cadangnya. Minta doakan emak dan adik Diah mudah urusan dan selamat pergi dan balik.

Alang-alang tu kami beraya di Bahau, rumah saudara sebelah emak. Tahun lepas tak dapat beraya bersama. Tahun ni tunaikan hajat emak jumpa sanak saudara. 

raya-di-bahau

Apa pun seronok sangat kisah raya kami di tahun 2023. Setiap pengalaman, setiap saat dan kenangan akan dikenang sampai bila-bila.

Beli Langsir Di Nilai 3 – Kedai Langsir Top Collection

Cuti Thaipusam lepas Diah balik kampung bawa emak beli langsir raya di Nilai 3. Gedung beli belah pilihan ramai kerana harga barang yang murah dan pilihan yang banyak.

Tahun ini sedikit teruja sebab emak betul-betul bersemangat nak sambut Raya. Dari awal dah ingatkan anak-anak supaya balik suruh cat rumah dan nak tukar langsir.

Merasa Raya awal tahun lepas - Raya Terperanjat sebab raya awal dari tarikh dalam kalendar.



beli-Langsir-raya



Beli Langsir Di Nilai 3 – Kedai Kain Langsir Top Collection


Setelah beberapa tahun tak dapat beraya macam biasa, dan semenjak itu juga lah langsir rumah emak tidak pernah ditukar. Jadi ini lah tahunnya kita tukar langsir baru.

Kami beli langsir raya di Kedai Kain Langsir Top Collection yang terletak di Nilai 3. Nak mudah waze saja nama kedai. Insha Allah jumpa. 


kedai-langsir-top-collection


Semakin menginjak usia ni, apa saja kemahuan emak mesti kami adik beradik berusaha sebaik mungkin nak tunaikan. Bila emak semangat, anak-anak pasti wajib lebih semangat.

Cepat betul waktu berlalu. Sedar-sedar dah tak lama nak puasa. Memang jadi kebiasaan keluarga Diah mesti akan buat persiapan awal nak sambut Ramadan dan juga Hari Raya.

Bukan apa kalau semua persiapan nak buat waktu bulan puasa alamatnya memang tak sempat siap la. Kalau boleh masa bulan Ramadan nak fokus pada ibadah je.

Risau badan penat, fokus tu lari.



Beli langsir raya Di Nilai 3 Murah & Cantik


Kami pilih untuk shopping langsir di Nilai 3 sebab boleh beli langsir siap jahit dan ikut pengalaman adik yang pernah pergi, ada juga kedai yang tawarkan servis jahit langsir siap dalam masa satu jam.

Memang fikir nak yang mudah je. Pilih corak dan warna langsir pilihan kemudian upah je kedai untuk jahitkan. Hilang satu beban. Kalau dulu memang emak akan jahit langsir sendiri.


pilihan-raya-langsir


Jahit asal boleh nama dia, asalkan boleh gantung. Agaknya kalau emak ada peluang belajar menjahit mesti emak jadi pereka fesyen dah sekarang,  

Dulu, waktu nak raya segala persiapan baik dari buat kuih, jahit baju kurung sehinggalah kain langsir semua emak buat. Rindu betul nak pakai baju kurung emak jahit.



Kedai Kain Langsir Top Collection


Plan asal nak ke Nilai pada hari Sabtu tapi kami batalkan hasrat dan pergi sehari awal. Risau bertembung dengan orang ramai.

Tepat pilihan kami sebab waktu kami sampai sekitar 11 pagi, Nilai tu lengang. Cuaca mendung dan selang seli dengan hujan gerimis.

Dari KL lagi Diah dah rancang nak jalan ke beberapa kedai dan buat perbandingan. Takut menyesal la kononnya. Tapi tak semua kita rancang tercapai kan?


shopping-langsir-raya



Begitu juga dengan kisah kami. Dengan keadaan kesihatan emak yang tak larat berjalan lama jadi kami pilih kedai yang tertentu sahaja untuk singgah.

Kedai pertama (Kedai Kain Langsir Top Collection) tulah yang kami terus beli. Lagipun pilihan langsir yang ada menepati selera emak. Pekerja yang layan kami tu ramah dan tauke langsir sehabis baik buat tawaran yang rasanya rugi kalau tak beli.



Tip Beli Langsir di Nilai 3


Langsir emak dapat lebih dari 50% diskaun memandangkan emak menjadi pelanggan pertama pada hari tu. Rezeki emak.  Dari harga RM78 semeter, kedai tawarkan diskaun menjadi RM35 semeter sahaja.

Jadi kalau nak dapat harga langsir murah memang salah satu tip dia ialah datang awal dan jadi pelanggan pertama.

Selain itu antara faktor lain yang menyumbang kepada harga langsir murah atau pun mahal ialah fabrik dan juga jenis cangkuk.

Untuk yang nak beli langsir, perkara wajib tahu adalah ukuran langsir rumah korang. Pastikan ukuran tepat. Boleh juga tunjukkan gambar tingkap ataupun pintu.

Lebih mudah sebab pekerja kedai akan beri anggaran langsir dan cadangkan yang terbaik untuk korang.

Untuk pilihan cangkuk pula ada dua. Harga juga berbeza setiap satunya. Cangkuk besi dan rod. Sebelum ni emak memang guna langsir cangkuk besi tapi tahun ni tukar selera nak pakai langsir rod pula.

Upah menjahit langsir cangkuk besi lebih murah berbanding dengan rod. Kalau guna rod, langsir akan dijahit dengan ring. Boleh guna rod besi ataupun kayu.



pasang-langsir-raya-rumah-emak



Jahit Langsir Siap Dalam Satu Jam


Lepas hampir dua jam ulang alik dalam kedai akhirnya urusan kami selesai pilih langsir idaman hati emak. Macam tak sangka pun ya sampai dua jam kami buat pilihan dan tawar menawar.

Selesai buat bayaran, kedai akan mula menjahit. Awal-awal lagi kedai dah ingatkan mereka perlukan sekurang-kurangnya tiga jam memandangkan tukang jahit akan berhenti solat Jumaat.

Kalau ikut dalam promosi kedai, sepatutnya langsir siap jahit dalam satu jam sahaja. Tapi kami faham la keadaan mereka.

Sekitar empat petang kami datang semula ke kedai dan waktu tu pekerja tengah pasang ring dan lipat langsir emak.

Alang-alang tu kami beli langsir rumah sendiri juga. Tahun ni kami elak buat persiapan raya last minute. 


langsir-siap-jahit



Lega sangat langsir dijahit elok dan kami puas hati dengan hasil kerja berkualiti. Berbaloi dengan harga yang dibayar.  

Kalau nak cari langsir murah memang Nilai 3 adalah pilihan yang tepat. Banyak kedai, banyak pilihan dan corak pun cantik dan terkini.



Beli-Langsir-Di-Nilai-3


langsir-raya



Apa pun beli ikut bajet masing-masing. Kalau cukup tenaga, buatlah perbandingan antara kedai. Jadi pelanggan yang bijak.

Bagi Diah pula, bukan setiap tahun emak akan beli langsir baru. jadi ada peluang ni saja layankan kehendak emak.

Kesimpulannya, berbaloi sangat beli langsir raya di Nilai 3. Jimat masa, tenaga dan wang ringgit. Kerja jadi mudah sebab boleh terus jahit langsir. Selamat membeli belah.