Memaparkan catatan dengan label Hari Raya. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Hari Raya. Papar semua catatan

Review NN Homestay Jasin – Check In Masa Raya

Ini cerita masa Raya yang lepas, kami ada book NN Homestay Jasin untuk penginapan keluarga. Biasalah musim raya, rumah MIL akan penuh dan jadi tumpuan. Sudah menjadi kebiasaan kami akan check in mana-mana yang berdekatan supaya masing-masing selesa.

Lepas survey beberapa tempat, akhirnya aku dan suami pilih homestay ni. Alhamdulillah, sepanjang menginap memang kami puas hati. Faktor utama, jarak homestay dengan rumah MIL tak sampai 15 minit. Memang dekat.

Jadi aku kongsikan sedikit review dan pengalaman kami, mana tahu membantu sesiapa yang tengah mencari homestay area Jasin. Kalau nak hotel bajet boleh consider Hotel Bestari

Review-NN-Homestay-Jasin-Check-In-Masa-Raya


Lokasi & Tentang NN Homestay Jasin

NN Homestay ni terletak di kawasan Jasin, Melaka. Kawasan perumahan baru. Lokasi dia agak mudah dicari dan sesuai kalau ada urusan keluarga, balik kampung, kenduri ataupun sekadar perlukan tempat bermalam bersama family.

Macam biasa kami akan buat cari dan tempahan melalui Agoda. Oh, masa ni dah masuk raya ke-lima.

  • Harga: RM276 semalam termasuk tax
  • Bilik: 3 Bilik, 2 Bilik mandi, 3 Katil
  • Muat untuk:  Travel dengan Keluarga (maksima 8 orang)
  • Keseluruhan Rumah (Saiz bilik: 1200 m²/12917 kaki)
Review-NN-Homestay-Jasin


Apa Yang Kami Suka Tentang NN Homestay Jasin

1. Rumah bersih dan selesa

Benda pertama yang aku perasan bila masuk ialah rumah rasa kemas, wangi dan selesa. Bila bawa keluarga, faktor kebersihan memang antara benda yang aku tengok dulu. Tak adalah rasa serabut atau tak selesa nak duduk ramai-ramai.

Tandas bersih dan lengkap dengan sabun mandi. Tekanan air Paip dan shower kuat. Tuala mandi disediakan.

Katil dan sofa masih dalam keadaan baik. Selesa bila duduk tengok tv dan rasa katil bersih bila baring. Ada Netflix jadi tak bosan.

NN-Homestay-Jasin


2. Sesuai untuk family

Dapat banyak good review di Agoda dan sangat di syorkan untuk yang travel bersama anak. Ruang rumah pun okay untuk kami berkumpul, borak, makan dan berehat. Anak-anak pun selesa bergerak.

Bahagian dapur lengkap dengan cawan dan pinggan. Boleh bancuh teh dan kopi. Ada mesin air dan juga fridge. Tersedia meja makan. Pendek kata kemudahan dia memang lengkap.

Review-NN-Homestay-melaka


3. Kemudahan lengkap

Yang ni bonus juga sebab memudahkan urusan dan buat kami rasa nak repeat lagi di masa hadapan.

  • Mesin basuh dan ampaian baju
  • Parking selamat
  • Bilik ada penyaman udara
  • Dapur
  • Mesin air
  • Peti ais
  • TV + Netflix
  • Parking
  • Wifi percuma
  • Iron
  • kipas
  • kelengkapan tandas
  • ketuhar gelombang mikro
  • Asas dapur (peralatan memasak, minyak, perasa)
  • Teh percuma
Review-NN-Homestay-Jasin-melaka


4. Owner mudah berurusan

Bab ni aku suka bila urusan booking berjalan lancar. Senang nak tanya, senang nak deal. Kurang rasa pening kepala. Owner tak banyak songeh, kami deal untuk dapatkan kod kunci saja. Daftar masuk dan keluar tak perlu berurusan dengan manusia.

Sesuai Untuk Siapa?

Pada aku, NN Homestay Jasin ni sesuai untuk:

  • Keluarga dengan anak maksima 8 orang
  • balik kampung musim raya
  • majlis kenduri / gathering family
  • urusan kerja atau singgah bermalam di area Jasin
  • keluarga yang travel dengan anak-anak

Ada Apa Dekat Area Homestay?

Dekat dengan bandar Jasin dan banyak kedai makan berhampiran. Ada pasaraya dan dekat dengan Mydin Jasin kalau nak beli barang keperluan. Salah satu tujuan kami check in sebab malam tu nak keluar makan ikan bakar Rosedi.

Sebelum ni pernah buat family day dekat Bukit katil. Waktu tu stay dekat Melaka Private Glamping. Nak makan malam kedai masakan Thailand tolong cuba Restoran Dshaban Seafood ni sedap. 

Berbaloi Tak Menginap?

Secara keseluruhannya, pengalaman kami menginap di NN Homestay Jasin memang memuaskan hati. Homestay ni provide benda-benda kecil yang aku rasa banyak membantu dan menyenangkan kami bila travel.

Rumah selesa, kemudahan memadai dan sesuai untuk family stay. Kadang bila travel dengan anak-anak, kita bukan cari tempat mewah sangat pun. Cukuplah tempat yang bersih, selesa dan memudahkan urusan.

Kalau anda tengah mencari homestay area Jasin untuk family atau balik kampung, bolehlah pertimbangkan tempat ni.

 

Cerita Syawal Tak terduga Raya Pertama

Alhamdulillah raya kali ni seronok sangat. Paling berharga di waktu usia begini masih lagi dapat peluang beraya dengan emak, berkumpul adik beradik dan bergambar ramai-ramai.

Ikut giliran kami beraya di Pahang dan memang penuh lah rumah. Daripada sepuluh adik beradik, seorang je kakak yang beraya dengan keluarga sendiri. Maklumlah bila keluarga semakin berkembang dan kakak dah ada cucu sendiri.

Rumah emak memang meriah dan penuh dengan anak-anak serta cucu-cucu. Masih lagi meneruskan tradisi masak bersama-sama, malam raya bakar mercun dan anak-anak enjoy main bunga api. 

Beginilah tradisi setiap tahun, kalau semua ada memang riuh, lepas tu bila masing-masing kembali ke sarang memang terasa sunyi rumah emak. 

sambut-raya-di-kampung


Kejadian Syawal Raya Pertama

Biasa kami pagi raya lepas selesai solat hari raya Aidilfitri macam biasa makan ramai-ramai. Menu pagi raya rendang daging, rendang ayam pencen, masak lodeh, Kuah kacang dan laksa.

Perut dah kenyang baru lah bermula sesi salam mohon ampun maaf dan pemberian duit raya. Lepas tu ambil peluang juga rekod video kenangan raya dan sesi bergambar.

cerita-syawal-tak-terduga


Bayangkan emak kena layan sembilan keluarga dengan pelbagai ragam. Tahun ni tiada drama air mata yang teruk, masing-masing ceria je. Masing-masing sabar ikut giliran.

Riuh rendah rumah kami ya. Anak-anak saudara la yang paling gembira sebab dapat kutip banyak duit raya dari makcik dan pakcik.

 

Beraya Dan Sesat Dalam Kebun Getah

Selesai semua urusan abang sulung ajak beraya di Bahau. Menziarah nenek saudara yang semakin uzur. Memang itulah destinasi kami setiap kali raya. Alang-alang tu singgah juga rumah Mak Tua di Kampung Bukit Kelulut dan pak Unggal di Kampung Lonek, Batu Kikir.

jalan-jalan-cerita-syawal


Kami okay je bila emak ajak beraya rumah saudara tapi perasaan seram bila bayangkan keadaan jalan raya dan bentuk muka bumi kampung tu aku tak dapat nak elak.

Tahun ni pecah rekod kami sesat dalam kebun getah dan kereta adik bongsu sangkut dan tersagat jalan tar masa dalam perjalanan ke Kampung Lonek.

Dari rumah kami konvoi enam kereta. Selain dari waze kami hanya bergantung dengan kereta siapa yang berada di hadapan. Ada sekali kami terpisah dan terpaksa guna waze. Tapi hauk ya, entah kemana waze bawa. Itu yang sampai tersesat dalam kebun getah.

Ikut hati nak give up patah balik rumah je. Walaupun sampai lambat tetaplah gigih menghormati tuan rumah yang beria-ria menjemput kami.

 

Kejadian Kereta Sangkut Sagat Jalan Tar

Selepas kejadian sesat dalam kebun getah kami teruskan perjalanan ke rumah Pak Unggal. Suka dengan pemandangan sepanjang jalan memang tak pernah mengecewakan.

Memang tenang je cuma kali ni musim kemarau jadi nampak tanah kering jelah. Berlaku kejadian tak di duga. Jalan nak masuk ke rumah Pak Unggal memang sempit.

Kena lalu jalan yang hanya cukup-cukup untuk satu kereta. Dijadikan cerita, kereta adik Perempuan sangkut sebab nak elak kereta dari arah bertentangan.

Waktu tu adik follow rapat kereta abang. Adik pandu Myvi, abang pula pandu X50. Kereta kami pula jauh sedikit dari adik.

kejadian-cerita-syawal-tak-terduga


Masing-masing terlalu yakin ya akan lepas. Sudahnya kereta abang lepas dan kereta adik tersangkut sebab nak bagi ruang kereta dari arah bertentangan.

Waktu nak bagi laluan itulah kereta adik tersasar dan bergesel dengan jalan tar. Jalan tak sama rata. Memang panik ya. Nasib tak masuk ke dalam sawah.

Risau kalau kereta rosak teruk dan lagi teruk kalau terbalik. Keadaan terkawal bila kami ramai-ramai turun beri beri sokongan.

Panik punya pasal suruh adik keluar dan minta adik lelaki yang kawal kereta nak naik ke jalan semula. Menangis bunyi geselan kereta dengan jalan tar.

Tapi memang kenangan seram sejuk untuk kami semua. Lega tiada yang kerosakan serius. Raya diteruskan dan lepas tu kami balik terus ke rumah. Teringat kereta aku breakdown tepi jalan waktu hujan lebat. 

cerita-syawal


Reunion Keluarga Sebelah Arwah Abah

Raya kedua kami berehat di rumah dan hanya sambut tetamu. Raya kali rileks sikit berbanding tahun sudah. Raya ketiga kami balik kampung sebelah arwah abah pula. Menghadiri majlis reunion keturunan Sutan Maakat.

Majlis ringkas je, salam saudara mara, makan-makan sambil bertegur sapa makcik pakcik. Masa inilah jumpa semua sepupu, anak buah, cucu, cicit yang semestinya aku tak kenal.

Meraikan saja sambil mengeratkan ukhwah. Selesai reunion kami bergerak beraya di kampung kelahiran emak di Temerloh.

Singgah beraya di rumah makcik dan sebelum balik menziarah kubur arwah wan dan aki. Raya ke-empat baru kami balik Melaka.

 

Itu sajalah cerita syawal yang tak terduga di hari raya. Semoga ada rezeki lagi beraya bersama-sama di masa hadapan. Kita tak tahu rezeki, ajal dan maut. Tahun ni aku hargai setiap detik, kenangan raya bersama keluarga.

 

 

Post Raya - kembali Ke Sarang

Alhamdulillah selamat kembali ke pangkal jalan setelah seminggu bercuti. Memang raya sakan kami sekeluarga. Rezeki suami dapat cuti. Beria kumpul cuti sebab nak habiskan masa dengan mak dikampung.

Ramadan lepas kami tak dapat balik berpuasa di kampung jadi memang lepas dendam cuti raya lama sikit. Sekarang dah selamat kembali ke sarang.

Dah kena kembali kepada rutin, siap sedia sebelum sibuk hujung minggu nak hantar Ikhwan balik asrama. Ambil masa juga pastikan baju kelengkapan anak sekolah dah ready. Kerja sekolah anak-anak nak kena semak.

Post-Raya-kembali-Ke-Sarang


Selamat Kembali Ke Sarang Selepas Raya

Penat memasak raya belum habis tapi kena tolak tepi semua tu. Tak boleh layan sangat perasaan tu kalau tidak memang aku akan badmood je sepanjang minggu.

Sampai je masing-masing dah faham nak jalankan tugas masing-masing. Selamat tukar cadar katil, vacuum rumah dan sedut habuk atas katil guna vacuum dust mite.

Rezeki juga perjalanan balik dari Melaka tak sesak teruk walaupun kenderaan banyak atas jalan raya. Lebih kurang tiga jam perjalanan kami selamat sampai.

kembali-Ke-Sarang-selepas-raya


Kembali Hadap Realiti Hidup

Seperti yang dijangka, kehidupan selepas raya akan super busy. Bulan April dan Mei macam-macam aktiviti anak-anak. UPSA dijangka berlaku hujung bulan Mei untuk Airis dan Raudah.

Takwim sekolah bulan empat penuh dengan Hari Sukan dan mesyuarat PIBG serta sambutan Hari Raya yang kami sebagai mak ayah turut terlibat.

Sekolah juga minta Kelab Silat untuk buat persembahan masa hari Sukan nanti. Itu pun kena beri komitmen sebab anak-anak juga terlibat.

Game Silat Airis hujung bulan Mei dan semestinya setiap minggu akan penuh dengan latihan. Raudah pula terpilih wakil sekolah untuk pertandingan Bahas Sekolah Rendah. Naik sekolah ni dah mula sesi latihan sebab pertandingan dijangka berlaku awal bulan lima.


Membayangkan je semua ni dah penat tapi kita hadap sajalah ya. Apa pun marilah buat sehabis baik. Allah beri kita peluang maka gunakanlah sebaik mungkin. Cerita raya menyusul selepas ini kalau akau larat.

Sambut Raya AidilAdha Di bandar

Salam AidilAdha untuk semua pembaca. Walaupun dah hampir seminggu Aidiladha meninggalkan kita, tetap kena ada satu entri raya haji untuk tahun 2025. Raya dekat mana tu? Kat kampung ke bandar? Meriah tak sambutan raya korang? Raya Haji atau Raya Qurban selalu sambutan kurang meriah berbanding Raya Aidilfitri.

Sambutan dari segi sediakan juadah raya, menziarah atau pun shopping baju raya. Lain lah kalau terlibat buat ibadah Qurban atau dijemput jadi tetamu Allah menunaikan haji di Mekah. Rasanya golongan ini lebih bersemangat beraya.

Apa pun aku seronok sangat raya tahun ni walaupun beraya dia bandar. Tahun 2025 kami tak buat Qurban dan tarikh hari raya berada di hujung cuti sekolah. Jadi tak dapat nak balik kampung. Selain risau menempuh kesesakan Lebuhraya, ada hal-hal yang kami tak dapat elakkan.

Sambut-Raya-Di-bandar


 

Sambut Raya AidilAdha Di bandar

Untuk keluarga sendiri, malam sebelum raya aku dah rebut nasi impit segera, pagi tu panaskan kuah kacang frozen aku dah beli sebelum tu. Kemudian aku masak mi kari udang. Dah makan mi kari, makanan lain dah tak larat nak makan. Nasib baik masak tak beria. Begitulah keluarga kecil kami.

Selesai solat raya baru kami makan ramai-ramai. Pesan awal-awal dekat anak-anak supaya pakai, pakaian baru biar terasa mood raya tu. Sekadar menghidupkan suasana raya tu. Selesai semua baru call emak di kampung. Tahun ni ada lima orang adik beradik bersama keluarga masing-masing teman emak beraya di kampung.

Ikutkan meriah dah tu. Mak masak macam-macam melayan selera anak cucu yang jarang balik. Ketupat palas memang tak tinggal. Itulah menu raya favorite arwah abah. Rindu abah.

Sambut-Raya-AidilAdha-Di-bandar


Maka tahun ni kami redha sambut raya Aildiladhadi bandar je. Tahun ni aku tak buat rendang. Jumpa rendang daging rusa waktu menziarah kakak di Puncak Alam. Itu pun kakak yang sulung masak. Kakak lagi satu masak nasi ayam sebagai main dish. Dijamu dengan biskut raya yang pelbagai. Itu pun dah seronok sangat.

Tahun ni juga kami meriah dapat daging Qurban. Otak dah mula sibuk mencari resepi daging. Begitulah tugas hakiki emak-emak kan.


Cerita Raya Kami 2024

Ikutkan memang dah tawar hati nak menulis dekat blog. Sakit hati punya pasal pageview macam tettt. Tapi disebabkan Raya ni peristiwa penting banyak berlaku dalam hidup jadi gagahkan diri menulis.

Selamat Hari raya korang! Tahun 2024 giliran beraya di kampung halaman tercinta di Pahang. Tahun ni seronok sangat sebab dapat balik awal dan berpuasa dengan emak agak lama.

Kami balik ke Pahang hari Ahad, sengaja sebab nak elak kesesakan lebuh raya. Raya pula jatuh pada hari Rabu.

Pagi raya ketiga kami balik Melaka. Tahun lepas kami Raya di Melaka dulu. 


ucapan-selamat-hari-raya


 

Cerita Raya Kami 2024


Memang nikmat sangat dapat berbuka dengan emak di kampung, walaupun cuaca panas nak kojol ya. Waktu terasa begitu lambat berlalu, jadi dugaan puasa tu berkali-kali ganda.

Balik awal jadi sempat tolong kemas rumah, angkat dan buang perabot lama, mop lantai dan keluar beli barang masak juadah raya.


raya-temerloh


Tahun ni giliran kami adik beradik (kecuali kakak nombor empat) beraya di Pahang. Jadi memang penuh rumah.

Dengan anak saudara yang semuanya dah semakin besar, semua dah nak sama saiz dengan pakcik dan makcik diaorang.

 

 

Masak Menu Raya Sama-Sama


Sepanjang berada di kampung, kami banyak kali ulang alik ke bandar top up bahan-bahan tak cukup. Nak harapkan kedai dekat kawasan rumah tak cukup lengkap.

Alhamdulillah semua berjalan lancar. Menu raya pertama; Nasi Ayam, ketupat, Rendang Daging dan Rendang Ayam Pencen.

Semua ada tugas masing-masing. Awal-awal dah bincang dan setuju tentang pembahagian tugas. Dua orang in charge satu menu.


raya-di-kampung


Rendang Daging dan Rendang Ayam Pencen kami masak malam raya lepas dengar pengumuman raya. Nasi ayam tu kami masak pagi raya.

Kakak Ipar bawa balik Kuah Kacang, rendang itik, dan lontong. Memang meriah dengan makanan. 

Tengah sibuk Bersiap, pagi raya kami dikejutkan dengan berita pemergian pakcik sebelah arwah abah. Meninggal disebabkan serangan jantung.




Selesai Solat Raya, salam raya, alas perut apa yang perlu kami balik kampung untuk melawat. Arwah selamat dikebumikan selepas solat Zohor.


menziarah-kubur


 

Kenangan Raya 2024


Tahun ni sedaya upaya cipta kenangan sebanyak mungkin dengan emak. Entah siapa akan pergi dulu. Sekurang-kurangnya kami semua dah berusaha.


salam-hari-raya


Cipta kenangan sementara masih ada. Kami ambil giliran minta maaf, bergambar dan buat ucapan selamat hari raya.

Anak-anak paling gembira sebab dapat banyak duit raya dan berkumpul jumpa sepupu-sepupu diaorang. Memang jadi drama tak nak balik rumah bila dah seronok dekat kampung.

Raya kedua baru kami beraya balik ke kampung sebelah emak. 


balik-kampung


Raya ketiga tu, elok pagi selepas sarapan kami bertolak ke Melaka. Risau jalan penuh dengan manusia. Alhamdulillah tak sangkut dalam kesesakan.

Sabtu kami balik KL semula sebab hari Ahad dah kena hantar Ikhwan balik asrama. Betul Keputusan kami balik awal sehari sebab hari Ahad dan Isnin ramai sangkut jem.

Oh hari Sabtu tu kami masuk dari Tol Ayer Keroh dan keluar ikut exit Senawang. Itupun anak-anak tak tahan nak ke tandas.

Kemudian sambung perjalanan ambil highway LEKAS. Ikut Cheras, kereta banyak tapi masih bergerak lancar.

Balik tu masing-masing kelaparan, kami tapau nasi ayam

Sedap gila.

 

 

 

Selamat Hari Raya AidilAdha 1444 Hijrah

Salam AidilAdha untuk semua pembaca blog Rodiah Amir. Alhamdulillah syukur ke hadrat Ilahi masih dipanjangkan umur dan diberikan peluang untuk sambut Raya bersama keluarga.

Semoga mereka yang terlibat dengan ibadah Korban diterima oleh Allah dan yang dijemput menunaikan Haji tahun ini menperoleh Haji yang mabrur. Aamin Ya Mujib.

Tahun ini Diah beraya bersama keluarga kecil di rumah sendiri. Raya Haji jatuh pada hari khamis dan suami tak ambil cuti. Jadi beraya bersama anak-anak sahaja.

 

Selamat-Hari-Raya-AidilAdha-1444-Hijrah

Selamat Hari Raya AidilAdha 1444 Hijrah

Sambutan cukup ringkas dan sehabis baik menerangkan pengertian Raya Haji dan konsep Raya Korban kepada anak-anak.

Dua hari sebelum raya dah minta suami belikan barang-barang untuk masak rendang malangnya banyak kedai dah habis stok terutama daun kunyit.

Rendang tanpa daun kunyit memang tak berseri la jawabnya. Jadi masak dengan apa saja yang ada. malam raya Diah dah siapkan bahan-bahan dan siap rebus tulang.




Pagi Raya tu baru bangun siapkan bahan tumiskan dan habiskan masak. Alhamdulillah semua sempat siap. Menu kami ketupat nasi bersama rendang daging dan bihun sup tulang.

Selesai masak siapkan anak-anak untuk menunaikan Solat Sunat AidilAdha. Kami keluar rumah tanpa sempat jamah juadah raya.


Solat-Raya-AidilAdha

Bangga bila anak-anak boleh faham situasi dan tak merengek lapar. Macam tahun-tahun sebelum ini, surau dekat rumah akan buat jamuan Hari Raya.

Waktu inilah kami ambil peluang tunjuk muka dan kenal orang-orang surau. Anak-anak paling teruja. Setiap aktiviti yang dilakukan bersama-sama memang akan jadi kenangan manis untuk mereka yang sedang membesar.


Aktiviti Raya Haji Kami

Harapnya lepas ni anak-anak akan ingat dan simpan kenangan ni sampai bila-bila. Selalu ingatkan anak-anak, apa sahaja yang kita ada adalah milik Allah.

Semua Tuhan punya termasuk lah ibu bapa. Hargai bila ada, sayang dan hormat juga. Esok bila ditarik nikmat tu, kena kuat, kena sabar.

Habis solat raya, dengar khutbah dan makan alas perut di jamuan raya kami terus balik rumah. Tunaikan permintaan anak-anak nak mandi kolam.


jamuan-raya-AidilAdha-1444-Hijrah


Nak rasmikan baju renang yang mereka beli di Decathlon minggu lepas. Abah mereka la yang turun mandi bersama.

Diah cukup sekadar jadi pemerhati dan tolong siapkan anak-anak salin pakaian lepas mandi. Penat woo kalau nak mandi sekali.

Walaupun kolam renang tu dekat bawah rumah tapi macam boleh dikira dengan jari berapa kali kami turun mandi disini.

Biasalah kan benda depan mata. Selalu benda yang tiada tu di carinya. Dah penat berendam baru naik rumah dan makan juadah raya.


mandi-kolam


Selesai makan masing-masing dah penat tapi masih gigih lawan mata. Aktiviti raya kami tamat begitu sahaja. Nak berjalan menziarah adik beradik semua balik kampung.

Nak keluar ke pusat beli belah terasa berat je kaki melangkah. Lagipun tak tahu nak beli apa jadi kita berjimat duduk dekat rumah je.

Petang tu kami keluar cari makan. Pilihan yang ada makan di kedai mamak atau makan di restoran fast food. Banyak kedai tutup, balik cuti raya.

Anak-anak sepakat nak makan Pizza Hut. Abah mereka turutkan saja. Masuk je waktu Maghrib terus solat dan bergegas keluar.

Nak elak pengalaman makan tak menyeronokkan dan lambat dapat makanan. Seperti yang dijangka memang ramai pelanggan malam tu.  

Syukur selesai semua. Anak-anak enjoy dan semua yang kami rancang berjalan lancar. Semoga tahun depan ada rezeki kami sambut raya bersama emak di kampung.


Sambut Hari Raya AidilAdha 2022, Pengalaman Ibadah Korban

Selesai sudah sambutan Hari Raya Aidiladha atau Hari Raya Haji / Korban pada tarikh 10 Julai 2022 Masihi bersamaan 10 Zulhijjah 1443 Hijrah. 

Walaupun dah terlambat aku nak ucapkan Selamat Hari Raya Aidiladha untuk semua pembaca blog terutama yang beragama Islam. 

Teruja nak tahu cerita Raya Haji anda. Berapa lama tersangkut dalam kesesakan jalan raya untuk pulang ke kampung?


Sambut Hari Raya AidilAdha 2022, Pengalaman Ibadah Korban 

Kami sepuluh beradik pulang ke kampung sambut raya bersama. Raya pertama kami sambut ala kadar dan tiada sesi ambil gambar pun. Cuma petang tu sempat ke rumah terbuka rumah jiran sebelah.

Malam raya tu kami buat majlis bacaan Yasin dan juga tahlil ringkas. Tak jemput orang luar pun, anak cucu meramaikan majlis. 


sambut-raya-haji


Pengalaman Ibadah Korban AidilAdha 2022, Dua Ekor Lembu 

Tahun ni cukup bermakna buat keluarga kami sebab emak terlibat dengan ibadah korban. Emak niatkan dua ekor lembu, 14 bahagian untuk kami sepuluh beradik dan anak saudara. 

Urusan ibadah korban berjalan sangat lancar. Bermula dengan pencarian lembu, proses sembelihan dan melapah serta pengagihan daging korban kepada yang berhak. 

Sebelum ni emak berhajat nak buat korban tetapi terhalang disebabkan PKP. Akhirnya rezeki tahun ni sebanyak dua ekor lembu berjaya ditumbangkan. 

Raya Haji PKP |

Awal-awal lagi emak dah pesan supaya semua anak, menantu dan cucu untuk turun bergotong royong. Jadi pada hari lembu disembelih kami ramai-ramai berganding bahu selesaikan segalanya. 


Pengalaman-Ibadah-Korban


Disebabkan ramai yang menunaikan ibadah korban tahun ini di kampung jadi giliran kami jatuh pada hari raya kedua. Tenaga kerja juga amat terhad jadi sebab tu kami kena buat sendiri. 

Apa yang berlaku pada Hari Raya Haji kedua ialah awal pagi tu kami ramai-ramai ke kandang menyaksikan lembu disembelih. 

Setelah selesai urusan sembelihan, lembu yang siap dilapah kulit, dipotong kepada beberapa bahagian kemudian diserahkan kepada tuan rumah untuk proses seterusnya. 

Pengalaman yang amat berharga sepanjang aku hidup ini pertama kali aku turut serta. Dapat lihat sendiri depan mata proses melapah daging, memotong tulang dan paling teruja ialah proses mencuci bahagian organ. 

Waktu arwah abah masih hidup, beliau lah yang bertanggungjawab cuci organ seperti usus dan perut lembu. 

Arwah pernah tunjuk cara-cara bersihkan usus lembu tapi lama sangat dah kejadian tu. kami dah lupa. 

Bagi aku hanya mereka yang kental sahaja mampu buat sebab kena tahan bau semerbak. Aku? menjadi antara yang terpilih, sebab aku teringin nak makan kena la cuci. 

Ajak juga adik dan anak saudara turut serta. Mana boleh sengsara sorang diri. 


Cara Pembahagian Daging Korban Paling Afdhal

Ikut timbangan sebanyak 158kilogram daging berjaya diagihkan. Tidak termasuk organ dalaman dan tulang. 

Selesai urusan melapah dan pengagihan daging, waktu siang tu diteruskan lagi dengan acara memasak. 

Cara pembahagian daging korban paling afdhal menurut pandangan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan ialah: 

Disunatkan untuk orang yang melakukan korban untuk mengambil 1/3 daripada daging korban tersebut untuk diri sendiri dan menyedekahkan 2/3 daripada bakinya kepada golongan fakir miskin.

Atau, orang yang melakukan korban mengambil 1/3 daripada daging korban, dan mengagihkan 1/3 baki daripadanya kepada golongan fakir miskin, serta 1/3 lagi daripadanya diberikan sebagai hadiah kepada golongan kaya (seperti saudara-mara atau jiran-tetangga). 

Dalam hal ini, memberi sedekah kepada 2/3 kepada golongan miskin lebih afdhal daripada memberi hadiah kepada golongan kaya.

Namun cara yang afdhal ialah, seseorang yang melakukan korban tersebut menyedekahkan keseluruhan daripada daging korban dan memakan sedikit sahaja daripadanya sebagai sekadar mengambil berkat.

"Adapun yang afdhal bagi pembahagian sembelihan korban yang sunat ialah dengan memberi sedekah sebahagian besar daripadanya dan meninggalkan sedikit untuk dimakan sebagai mengambil berkat daripadanya. (Rujuk Syarh al-Yaqut al-Nafis: 826)"


Tahlil



Cubaan Makan Otak Lembu

Bukan setakat itu sahaja, pertama kali juga aku mencuba telur lembu dan Otak Lembu Masak Tempoyak. Segala persiapan dilakukan oleh kakak aku nombor dua. Rasa rugi pula kalau tak cuba. 

Rasa otak tu unik, macam rasa tauhu lembut pun ada. Berjaya makan cebisan kecil sahaja. Telur lembu tu pula rasa dan tekstur dia seakan-akan mempedal ayam. 

Bila masuk dalam mulut jangan banyak fikir, kunyah dan telan sahaja. Kalau tak memang akan muntah la jawabnya. Berbeza dengan suami memang tidak akan di sentuhnya makanan eksotik. 

Para ibu sediakan bahan dan masak manakala kaum bapa pula uruskan dapur kayu api dan selesaikan bahagian merebus tulang. Siap semua kami makan ramai-ramai bawah pokok rambutan. 


sup-gearbox


Memang mengimbau kenangan waktu kecil. Walaupun badan penat tapi rasa sangat gembira. Orang paling gembiranya semestinya ialah emak. 

Semoga dimurahkan rezeki supaya kami dapat laksanakan ibadah korban di masa hadapan. 

Bersyukur sambutan Hari Raya AidilAdha 2022 kami meriah walaupun disambut secara sederhana. Peluang merasai pengalaman menjalankan Ibadah Korban adalah antara kenangan yang pasti kami tak akan lupakan. 

Balik Kampung Tapi Check In Hotel, Homestay

Trend check in hotel atau pun homestay bila balik kampung terutama pada musim perayaan dah menjadi sesuatu yang normal di kalangan masyarakat kita. Kalau dulu memang agak mustahil ianya berlaku tetapi selari perubahan zaman dan perkembangan keluarga trend check in hotel mahupun homestay dah jadi perkara biasa. 

Aku antara mereka yang memilih untuk check in di hotel sewaktu balik sambut Raya di rumah mentua baru-baru ini. Lebih tepat suami yang buat keputusan untuk menginap di hotel. 

Balik Kampung Tapi Check In Hotel, Homestay

Sebagai isteri mestilah kena taat ikut perintah. Alhamdulillah tidak timbul isu keluarga mentua terasa hati. Kita pandang dari sudut positif. Apabila kita ambil keputusan untuk tidak tidur di rumah mentua adalah dengan niat untuk menjaga aurat terutama si isteri. 

Boleh jadi timbul perbalahan apabila tidur di hotel dan hanya muncul di rumah mentua menjelang waktu petang atau waktu makan. Memang meminta la jawabnya. 

Trend check in hotel juga dibahaskan di media sosial dan mendapat perhatian Ustazah Asma. Tiada masalah sebenarnya, dengan syarat kita menjaga hati keluarga mentua. 

Check-in-Hotel-Bestari-Jasin-Melaka


Check In Hotel Bestari Pada Hari Raya Ketiga

Kami check in Hotel Bestari, Jasin pada hari raya ketiga. Memandangkan tahun ni giliran raya pertama adalah di kampung Pahang dan pada - hari Raya ketiga baru kami balik beraya di Melaka.

Kebetulan sebelah suami pun amalkan giliran beraya yang sama. Jadi pada hari raya ketiga memang penuh rumah mentua. 

Sebelum ni pernah menginap di - The Straits Hotel And Suites Melaka 

Kami pilih hotel pun di saat akhir dan boleh tahan juga harga dia bagi hotel bertaraf dua bintang. Berdasarkan review diberikan pelanggan, hotel Bestari tidaklah teruk sangat. 

Harga satu bilik yang kami bayar adalah RM150.22 untuk bilik Superior. Dapat tilam bersaiz Queen. Tidak terlalu sempit dan agak selesa bagi kami.  


Hotel-Bestari-Jasin-Melaka


Review Hotel Bestari, Jasin Melaka 

Memandangkan kami hanya tidur satu malam sahaja jadi pejam mata untuk semua kekurangan. Bilik agak luas, bersih, kelengkapan asas seperti sabun mandi dan syampu dalam bilik air disediakan. 

Dari segi privasi memang kuranglah sebab kita boleh dengar budak kecil menjerit dan berlari dekat luar. 

Tuala hanya diberikan satu helai sahaja. Berus dan ubat gigi tidak disediakan ya. Air panas Cuckoo disediakan berhampiran front desk. Papan seterika di sediakan di luar bahagian koridor. 

Jarak hotel dengan rumah mentua tak jauh sangat, dalam 15 minit je perjalanan. Hotel ni berada di tingkat dua dan perlu naik tangga. 


Superior-room--Hotel-Bestari-Jasin-Melaka


Apa Yang Aku Tak Suka Tentang Hotel Bestari

Perkara yang aku rasa paling turn off sebab kena mendaki tangga. Leceh kalau bawa bagasi yang berat dan ada anak kecil. Tapi aku perasan waktu check out ramai je budak kecil berlari keluar. 

Parking pun banyak. Bahagian bawah adalah Bank Islam. Family Mart, 7Eleven, dan Bakers Cottage ada berdekatan jadi senang nak access.

Cuma yang tak seronok waktu kami check in memang tak banyak kedai yang buka disebabkan cuti Raya jadi memang tahan lapar sepanjang malam tu. 

Semua kedai penuh dengan pelanggan dan GRAB mahupun Foodpanda tak ambil tempahan. Melepas nak makan Oden Family Mart 


Review-Hotel-Bestari-Jasin-Melaka


Moral of the story ialah jangan memilih makanan dan kena buat pilihan bijak makan awal dan bukan di saat akhir.

Sedih tau, tidur dalam keadaan lapar. Nak balik makan di rumah mentua rasa malu. Jadi kita tahan sajalah esok pagi terus kemas dan check out. 

Overall, aku puas hati sebab staff yang jaga kaunter layan kami dengan baik. Urusan check in dan check out lancar je. 


Sambutan Hari Raya Aidiladha 2021 1422 Hijrah

Seperti yang dijangkakan sambutan Hari Raya Aidiladha untuk tahun 2021 bersamaan 1422 Hijrah bagi keluarga aku adalah amat-amat sederhana. 

Dah boleh agak sebab kita semua masih lagi tidak dibenarkan rentas daerah mahupun negeri. Kalau tahun lepas kita sempat beraya bersama, tapi tahun ni kena korbankan perasaan sambut Raya dekat rumah je. 


Sambutan Hari Raya Aidiladha 2021 1422 Hijrah

Macam biasa, dari segi persediaan kami tak buat banyak benda. As usual sebagai emak dan ketua dapur kena lah prepare menu untuk pagi Raya. 

Aku dan suami tak sarung baju Raya pun, hanya pakaikan anak-anak baju Raya tahun sudah dan makan sama-sama. 

Rutin hari Raya lepas siap makan semua akan buat Google meet dan video call dengan Wan, Atuk dan Nenek dekat kampung. Sadis betul cara sambut raya PKP eh. 

Tahun 2022 bila dah tiada sekatan perjalanan, dah boleh bebas sebab COVID dah reda mak buat ibadah Qurban kat kampung. Meriah. 



Jadilah buat lepas rindu. 

Menu tahun ni, aku beli dua batang lemang, masak rendang ayam, rebus nasi impit, kuah kacang frozen dan aku masak sedikit laksa. Lepaskan hajat nak makan. 

Masak Nasi Mandy kambing Menu Raya Haji 2018


Sambutan Hari Raya Aidiladha Di Musim Covid19

Sambutan hari raya seperti sudah dijangka. Biskut raya memang tak buat atau pun beli. Baju pun recycle tahun-tahun sudah punya. 

Buat ala kadar je dan semestinya banyak lagi orang di luar sana yang sedang diuji. Ada yang nak beli makanan pun tak mampu. 

Jadi kita yang masih dapat makan, masih ada juadah di atas meja kena bersyukur dan hargai rezeki Allah berikan. 


Seperti Raya Aidilfitri tahun sudah, kami memang duduk rumah sahaja bagi menjaga kesihatan dan keselamatan di musim Covid ni. 

Seram bila baca berita tentang kemunculan Varian Delta yang cepat merebak sekaligus melonjakkan angka kes. UK paling tinggi kes Covid19 dengan Varian Delta ni. 

Kalau nak tahu Varian Delta ni juga dikenali sebagai Super Strain. Varian Delta dilaporkan 60% lebih cepat merebak dan membawa lebih banyak kematian.

Apa pun, sila jaga diri dan keluarga. Masih belum terlambat untuk aku ucapkan Selamat Hari Raya Aidiladha, semoga kita dapat beraya bersama keluarga di masa hadapan. In Sha Allah. 

Please jaga diri.