Baru habis menonton podcast Ar Rasyidin Academy yang menampilkan Pak Cik Lan sebagai tetamu jemputan. Walaupun durasinya lebih dua jam, langsung tak terasa panjang sebab setiap topik yang dibincangkan penuh dengan pengajaran dan buat aku banyak berfikir.
Tajuk podcast kali ini ialah "Suami
Mesti Jadi Pemimpin Dalam Keluarga, Jadi Kawan Kepada Anak-Anak."
Banyak sangat ilmu yang dikongsikan, tapi ada satu perkara yang benar-benar
menjentik hati aku. Tentang setiap amalan bergantung kepada niat.
Aku memang galakkan korang
luangkan masa menonton podcast ni. Sebab itulah aku terpanggil nak kongsi
sedikit dalam blog. Bukan nak ulang semua isi podcast, cuma satu point yang
paling dekat dengan diri aku.
Setiap Amalan Kita Bergantung Kepada Niat
Cara Pak Cik Lan bercakap sangat
tenang. Macam seorang ayah yang sedang menasihati anak-anaknya. Suara dia
lembut je, membuktikan emak ayah tak perlu meninggikan suara pun tapi setiap
ayat yang keluar ada hikmahnya.
Di awal podcast, beliau ada berkongsi bahawa beliau sangat berhati-hati sebelum bercakap. Katanya, apa sahaja yang dikongsikan hari ini mungkin akan kekal lama di internet.
Walaupun suatu hari nanti beliau sudah tiada, rakaman itu masih boleh ditonton dan dijadikan rujukan. Bila dengar beliau cakap macam tu yang buat aku diam dan berfikir tentang diri sendiri.
Niat Aku Sebagai Seorang Blogger
Sebagai seorang blogger yang mula menulis sejak tahun 2019, aku pun banyak berkongsi di alam siber. Ada entri berbentuk curahan hati, ada review, ada juga sekadar catatan kehidupan seharian.
Bila fikir semula, rasa macam perlu audit balik niat setiap kali aku menulis. Aku bukan takut nak berkongsi, tapi takut kalau ada perkara yang tersasar tanpa aku sedar.
Masih Belajar Menjaga Niat
Hakikatnya, setiap apa yang kita
tulis, kongsi dan tinggalkan di internet akan menjadi sebahagian daripada diri
kita. Boleh jadi ia memberi manfaat kepada orang lain, tetapi boleh juga
menjadi beban jika niat kita tidak betul.
Pak Cik Lan turut menyentuh
tentang pasangan suami isteri yang tanpa segan silu membuka aib rumah tangga di
media sosial. Sedangkan apa yang dimuat naik itu akan kekal di internet untuk
tempoh yang sangat lama.
Beliau mengingatkan:
"Once you put it in the
cyber world, it will remain in the cyber world forever."
Dan satu lagi ayat yang aku rasa
sangat kuat ialah:
"You make sure whatever you
put in cyber world, it represents you."
Memang betul pun. Hari ini bukan
sesuatu yang pelik kalau bakal majikan, bakal pelanggan atau bakal mentua
mencari nama kita di media sosial terlebih dahulu. Apa yang mereka nampak
itulah gambaran pertama tentang diri kita.
Sebab itu sebelum menekan butang Post / Publish,
mungkin kita patut berhenti sekejap dan bertanya pada diri sendiri.
Apa sebenarnya niat aku berkongsi benda ini?
Kalau niatnya untuk memberi
manfaat, berkongsi ilmu atau meninggalkan kebaikan, insya-Allah mudah-mudahan
ada pahala yang mengalir.
Tetapi kalau sekadar mahu
menunjuk-nunjuk, membuka aib atau mengejar perhatian, mungkin kita perlu fikir
semula.
Rasulullah SAW bersabda:
إِنَّمَا الْأَعْمَالُ بِالنِّيَّاتِ
Innamal a'maalu bin-niyyaat.
Maksudnya:
"Sesungguhnya setiap
amalan itu bergantung kepada niatnya."
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Hadis ini memang selalu kita
dengar. Tetapi selepas mendengar perkongsian Pak Cik Lan, aku rasa ia memberi
makna yang berbeza.
Bukan sekadar mengingatkan kita
tentang ibadah, tetapi juga tentang setiap perkongsian yang kita tinggalkan di
alam maya.
Semoga setiap tulisan yang aku
hasilkan di blog ini menjadi manfaat kepada orang lain, dan semoga Allah
sentiasa memperbetulkan niat aku setiap kali menulis. Aamiin.

