Alhamdulillah, dapat juga meraikan hari lahir Abang Ikhwan bersama Wan dan sepupu-sepupu di kampung. Rezeki untuk mama, abah dan keluarga kecil kita masih dilanjutkan pinjaman hidup di dunia yang sementara ini.
Sambutannya sederhana sahaja,
tetapi cukup lah buat abang gembira. Potong kek di kampung dan kemudian
makan-makan bersama abah selepas balik ke rumah. Waktu entri ni di publish,
abang sudah pun selamat kembali meneruskan kehidupan di asrama.
Tiada apa yang lebih mama dan
abah harapkan selain melihat abang membesar dalam rahmat dan penjagaan Allah.
Segala yang baik itu datang daripada-Nya dan segala kekurangan adalah kelemahan
kami sebagai manusia.
Doa mama untuk Ikhwan, anak pertama penghuni rahim mama. Doa mama dan abah sentiasa mengiringi Ikhwan
Hafeez. Semoga Allah sentiasa memimpin langkahmu, menjaga imanmu, melapangkan
urusanmu dan membentukmu menjadi anak yang soleh serta memberi manfaat kepada
orang di sekelilingmu.
Semoga setiap pengalaman yang
dilalui menjadi asbab untuk abang menjadi insan yang lebih matang, lebih
berakhlak dan lebih dekat dengan Allah. Mama dan abah mungkin tidak sentiasa
berada di sisi, tetapi doa kami sentiasa bersama walau di mana abang berada.
Ya Allah, kurniakanlah ketenangan
dalam hati kami terhadap perjalanan hidup anak sulung kami. Lapangkanlah dada
kami untuk sentiasa membimbing, memaafkan dan meredhai dirinya. Kurniakanlah
juga kepadanya hati yang lembut menerima nasihat, akhlak yang baik serta
perlindungan-Mu dalam setiap langkah kehidupannya.
Selamat ulang tahun kelahiran,
Abang Ikhwan. Semoga usia yang bertambah membawa lebih banyak keberkatan,
kebaikan dan kasih sayang daripada Allah SWT. Mama dan abah sentiasa mendoakan
yang terbaik buatmu.

