Mouse Goojodoq Perlahan? Ini Cara Tukar Kelajuan

Semalam masa buat kerja menggunakan laptop, aku perasan kursor tetikus (mouse) Goojodoq aku perlahan, tak lancar. Dia jadi sangkut-sangkut, memang lag nak buat kerja. Sangat menyampah ya keadaan tu.

Lagi bertambah baran sebab aku baru je beli tetikus ni. Tak kanlah dah rosak? Sedapkan hati, kena caj agaknya. Lepas beberapa jam caj pun prestasi kursor tu sama je. Lembap.

Mouse_Goojodoq_lag_slow


Aku Ingat Mouse Goojodoq Dah Rosak

Banyak benda aku cuba. Tukar mousepad sebab risau permukaan dia kacau sensitiviti mouse tu. Dah tukar tapi tak menyelesaikan masalah.

Cabut pasang dongle USB dan cuba beberapa port USB dekat laptop. Masih tak berjaya. Sehinggalah aku buat carian di Google.

Banyak cadangan diberikan antaranya tukar kelajuan kursor (DPI). Ilmu baru untuk aku yang baru tahu kewujudan butang DPI.

Zaman aku dulu selalu set kelajuan kursor di bahagian setting Windows je. Berubahnya teknologi sekarang dah boleh adjust dekat kursor je. Terasa hidup di zaman Dinosour.

Cara_Tukar_Kelajuan_Kursor_(DPI)_Mouse_Goojodoq


Cara Tukar Kelajuan Kursor (DPI) Mouse Goojodoq

Tetikus Goojodoq yang aku beli ni, butang DPI berada di bahagian atas, di bawah roda yang skrol tu. Butang petak segi empat kecil.

Kena tekan butang DPI satu demi satu kali untuk menukar sensitiviti sensor. Ada 4 tahap kelajuan (sensitiviti) yang berbeza.

DPI ni secara mudahnya menentukan tahap sensitiviti dan kelajuan pergerakan kursor apabila kita gerakkan mouse.

Kursor_(DPI)_Mouse_Goojodoq


Kenapa ada kelajuan berbeza? Biasanya tahap yang "slow" atau perlahan itu digunakan untuk kerja-kerja yang memerlukan ketepatan tinggi, seperti menyunting gambar (editing) atau melukis.

Semestinya aku jenis nak laju je. Kelajuan yang paling lancar dan selesa untuk pergerakan tangan aku ialah tahap 3.

Maka dengan sepantas kilat, masalah kursor tetikus Goojodoq yang perlahan tu dapat diselesaikan. Alhamdulillah.

Rupanya bukan mouse rosak atau perlu tukar bateri, cuma aku sendiri tak tahu tetapan DPI tu boleh mempengaruhi pergerakan kursor.

Moral of the story, betapa banyak ilmu yang masih belum kita pelajari. Maka belajarlah. 

Bingkai Foto Kenangan Terindah JPN

Alhamdulillah, bingkai foto kenangan terindah dari Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) selamat sampai ke tangan aku. Cukup gambar kami sekeluarga, 12 orang dalam satu frame. Gambar waktu kami kanak-kanak. 

Masa unboxing parcel tu memang berdebar lain macam. Sayu pun ada. Punya lama aku tunggu, lagi seminggu nak cukup setahun baru bingkai foto ni sampai.

Ramai yang tanya aku macam mana nak buat Foto Kenangan Terindah dari JPN ni. Jadi aku cerita dekat blog jelah. Senang nanti semua boleh baca dan kalau ada yang tengah berkira-kira nak buat, boleh tahu serba sedikit pengalaman aku.

Apa itu Foto Kenangan Terindah JPN?

Seperti yang dimaklumkan dalam website;

“Foto Kenangan Terindah JPN ialah inisiatif khas oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang membolehkan rakyat Malaysia mendapatkan koleksi bingkai gambar eksklusif mengandungi gambar MyKad pada pelbagai peringkat usia.”

Sebenarnya aku memang teruja nak buat sebab aku tak pernah tengok gambar emak dan arwah abah masa zaman kanak-kanak.

apa_itu_Bingkai_Foto_Kenangan_Terindah_JPN


Tempahan Setahun Sekali

Penting korang kena tahu, tempahan Foto Kenangan Terindah ni dibuka setahun sekali sahaja. Setiap tahun, tempahan akan dibuka sempena Hari Pendaftaran Negara melalui portal rasmi Jabatan Pendaftaran Negara.

Maksudnya kalau terlepas tahun ni, korang kena tunggu tahun depan pula. Tahun 2025, tempahan dibuka pada bulan Oktober.

Jadi kalau korang memang teringin nak buat, kena rajin-rajin tengok laman web JPN atau cari je “Foto Kenangan Terindah”. Bila tempahan dibuka, bolehlah terus buat.

Bingkai_Foto_Kenangan_Terindah_JPN


Siri Pilihan Foto Kenangan Terindah

Ada dua siri foto pilihan disediakan.

Siri Individu (RM75) – memaparkan 3 gambar MyKad pemilik pada usia 12 tahun, 18 tahun dan foto terkini.

Siri Keluarga (RM150) – paparan gambar ahli keluarga berumur 12 tahun ke atas yang sudah memiliki MyKad.

Untuk penghantaran secara pos, kena tambah RM10. Percuma kalau korang sanggup pick up sendiri. Aku pilih Siri Keluarga sebab memang dari awal niat nak kumpulkan gambar kami sekeluarga dalam satu frame.

Bila fikir balik, 12 orang dalam satu bingkai. Memang satu kenangan yang akan aku ingat sampai bila-bila. 

Foto_Kenangan_Terindah_JPN


Kandungan Foto Siri Keluarga

Masa buat tempahan foto siri keluarga, aku niat nak surprisekan emak dan adik beradik lain. Lama betul aku simpan rahsia. Saja nak tengok reaksi masing-masing. 

Lepas buka parcel terus buat video call adik beradik tunjuk muka masing-masing zaman kanak-kanak. Ikutkan gambar pertama berdaftar dengan JPN. Gambar waktu umur 12 tahun. 

Memang pecah gelak juga tengok gambar lama. Paling bermakna bila dapat tengok gambar emak dan arwah abah masa zaman kanak-kanak. Sebab selama ni memang aku tak pernah tengok.

Terima Selepas Hampir Setahun

Aku buat tempahan melalui laman web pada 6 Oktober 2025. Selamat terima pada 23 September 2026. Antara maklumat penting yang diperlukan ialah nama penuh dan nombor kad pengenalan ahli keluarga.

Lepas tu kena sabar menunggu. Walaupun lama tapi amatlah berbaloi. Sedikit sebanyak terubat rasa rindu pada arwah abah.

Masa tengok gambar tu juga aku baru sedar yang muka anak sulong aku ada iras muka arwah abah. Tahun 2010 arwah abah meninggal. Tahun 2011 aku melahirkan Ikhwan. Betul-betul dia jadi penguat semangat aku.

Hadiah bernilai yang Allah bagi untuk aku. 

Bingkai_Foto_Kenangan_Terindah



Pengalaman Pertama Raudah Dalam Silat Olahraga

Assalamualaikum. Alhamdulillah, segala puji bagi Allah yang mengurniakan rezeki dan pengalaman yang baik buat kami sekeluarga. Masing-masing dalam proses recovery sebab baru lepas sertai pertandingan silat.

Rasa macam lama sangat tak menulis dekat sini. Tengah susun atur semula supaya kehidupan on track macam biasa.

Pada 11 hingga 14 September yang lepas, Raudah menyertai Kejohanan Silat Olahraga Pendekar Kalimah 2.0. Ini merupakan pengalaman pertama Raudah masuk pertandingan silat olahraga.

Pengalaman_Pertama_Raudah_Silat_Olahraga


Pertandingan Pertama Raudah

Sejujurnya, keputusan nak izinkan Raudah bertanding bukanlah perkara kecil. Banyak benda kami kena ambil kira termasuk Matriks Pembelajaran Tahun 4 yang bakal dia duduki tak lama lagi.

Sudah dipesan awal-awal yang masuk tak semestinya wajib menang. Kalau rezeki Allah bagi Alhamdulillah. Lebih kepada nak bagi dia rasa sendiri suasana pertandingan, belajar kawal perasaan dan berani melangkah masuk ke gelanggang.

Alhamdulillah, dengan izin Allah, Raudah berjaya membawa pulang pingat emas bagi kategori yang disertainya. Dia bertanding dalam kategori Puteri Kelas B Pra Dini bagi berat 25 hingga 27 kilogram.

Pengalaman_Pertama_Raudah


Sebagai emak yang ikut tengok proses dia dari latihan, persediaan sebelum pertandingan sehinggalah masuk gelanggang, memang aku bangga dengan usaha yang dia tunjukkan.

Teringat masa awal-awal dia masuk silat dulu. Jauh la beza. 

Masalah Berat Badan Tak Cukup

Bukan pingat emas tu jadi ukuran tapi apa yang paling penting ialah banyak yang dia belajar dari pengalaman ni. Cabaran juga untuk aku nak kawal emosi. Lagi drama suami tak turut serta kali ni sebab dia terlibat dengan team building syarikat. 

Masalah Raudah ialah berat badan dia tak cukup 500gram. Nampak kecil kan? Tapi dia sejenis susah nak naik berat. Memang sehari sebelum tarikh timbang berat aku bagi makan semua yang dia nak. Aku tak bagi dia training takut turun lebih banyak.

Jadi kelebihan dekat pihak lawan bila berat dia atas pagar. Bayangkan kena tendang dengan peserta yang lebih berat daripada dia.

Masa post mortem dengan coach, antara perkara yang ditegur ialah dia mudah sangat mengalirkan air mata. Waktu latihan sparring pun dia pernah melalak sebab banyak kali kena front kick.

Tapi masa dalam gelanggang, lain pula jadinya. Dia tak menangis. Dia cuba melawan dan buat apa yang dia belajar semasa latihan.

Boleh angkat kaki nak tendang. Bila lawan buat tangkapan dan nak buat jatuhan, tak menjadi. Pendek kata tak jadi punching bag. Ohoi risaunya mama waktu tu. Risau dia putus asa dan tak melawan.

pertandingan_silat_olahraga_pendekar_kalimah


Tiga Hari Berkampung Di Stadium Titiwangsa

Sepanjang tiga hari berkampung di Stadium Titiwangsa, banyak perkara yang dia belajar. Aku sengaja tanya apa perasaan dia, kata dia “kakak teruja nak berlawan”.

Salah satu impian Raudah sebelum ini adalah nak kibarkan bendera kelab di gelanggang pertandingan. Adik dia buat waktu menang di Pavillion dulu dan dia teringin nak merasa juga.

pertandingan_silat_pendekar_kalimah


Alhamdulillah, Allah izinkan dia merasai pengalaman itu pada kejohanan kali ini. Dengan bangganya dia ulang bercerita dan tengok rakaman video dia banyak kali.

Paling penting, dia pulang tanpa sebarang kecederaan dan dapat menamatkan pertandingan dalam keadaan sihat. Itu dah cukup melegakan hati.

Semoga apa yang Raudah pelajari sepanjang kejohanan ini menjadi bekalan yang baik untuk dirinya pada masa akan datang.

Apa pun pencapaian yang diperoleh, semoga Allah sentiasa memelihara anak-anak kami, menjauhkan mereka daripada perkara yang tidak baik dan mengurniakan kesihatan serta akhlak yang baik.

Apa yang baik datang daripada Allah, dan segala kekurangan adalah daripada kelemahan kami sendiri.

 

Pengalaman_Raudah_Silat_Olahraga

Cabut Gigi Geraham Di Klinik Kesihatan

Assalamualaikum. Cuti sekolah lepas aku ke klinik kesihatan di kampung untuk cabut gigi geraham. Alhamdulillah, dengan izin Allah urusan dipermudahkan walaupun aku datang sebagai pesakit walk-in.

Setahu aku, kebiasaannya rawatan pergigian tertentu perlu melalui temujanji terlebih dahulu. Kena check MySejahtera.

Aku nekad nak cabut gigi sebab gigi geraham bahagian bawah ni pernah sakit teruk dulu. Siapa pernah mengalami sakit gigi mesti faham macam mana seksanya bila sakit tu datang menyerang.

Sebelum ni aku dah mendapatkan rawatan di Klinik Pergigian UKM dan nama aku juga telah dimasukkan dalam senarai menunggu. Tapi, senarai pesakit panjang sangat. Nurse dah cakap paling cepat nak dapatkan rawatan ialah tiga bulan.

Maka kalau korang duduk di kawasan luar bandar dan kurang sibuk maka hargailah peluang yang korang dapat tu ya. Dah la murah tak perlu berebut pula. Nikmat mana lagi yang kau dustakan.

Cabut_Gigi_Geraham_Di_Klinik_Kesihatan


Nekad Walk-In Cabut Gigi

Aku pilih hari Jumaat, di penghujung cuti sekolah untuk buat cabutan gigi. Sengaja tunggu sampai hujung cuti sekolah kerana tak mahu rasa sakit terseksa mengganggu masa bersama keluarga di kampung.

Proses pendaftaran sangat mudah. Aku daftar di kaunter dan dikenakan bayaran RM1 sahaja untuk yuran pendaftaran.

Yang paling seronok, boleh kira dengan jari jumlah pesakit jadi urusan berjalan lancar dan tempoh menunggu pun tidak lama.

Ikutkan ini kali kedua aku ke klinik pergigian bila balik kampung. 

walk_in_Cabut_Gigi_Geraham_Di_Klinik_Kesihatan


Pilihan Antara Rawatan Akar Atau Cabut Gigi

Sebelum buat keputusan, aku pernah berbincang dengan doktor di Kilinik Pergigian UKM mengenai pilihan rawatan yang ada. Keadaan gigi aku, tampalan bocor dan 50-50 untuk diselamatkan.  

Hasil x-ray, doktor simpulkan, aku diberikan dua pilihan sama ada meneruskan rawatan akar atau cabut gigi. Oleh sebab tempoh rawatan  akar yang agak panjang dan keadaan gigi ketika itu, aku pilih untuk cabut je gigi ni.

Bukan keputusan yang mudah sebenarnya, tetapi aku rasa itu pilihan yang paling sesuai untuk situasi aku ketika itu.

Proses Cabutan Gigi Geraham

Sebelum rawatan bermula, doktor terangkan tentang proses cabutan. Oleh sebab gigi geraham jadi doktor pesan awal-awal kalau terasa sakit yang tak boleh ditahan semasa doktor cabut boleh tambah bius.

Aku ambil dos tambahan untuk bius sebab takut sakit. Bila fikir semula rasa ngilu pula. Juga rasa menyesal sebab beri kesan kepada proses penyembuhan.

Alhamdulillah, dengan izin Allah proses cabutan berjalan dengan baik. Secara keseluruhan, dalam sejam je semua siap.


Masih Dalam Proses Penyembuhan

Hari ini dah masuk hari keenam proses penyembuhan. Alhamdulillah tak susah, tak juga mudah. Paling terasa, bila tak dapat makan macam biasa dan ubat tahan sakit jadi best friend aku.

Kena banyak sabar. Apa pun, aku bersyukur kerana semuanya dipermudahkan dan semoga kesihatan yang baik ini berterusan dengan izin Allah.

Insya-Allah dalam entri seterusnya aku kongsikan pula pantang larang serta perkara yang aku buat selepas cabut gigi geraham. Mudah-mudahan ada manfaat untuk sesiapa yang tengah tunggu hari untuk cabut gigi.

Happy Birthday Anak Mama, Ikhwan Hafeez

Alhamdulillah, dapat juga meraikan hari lahir Abang Ikhwan bersama Wan dan sepupu-sepupu di kampung. Rezeki untuk mama, abah dan keluarga kecil kita masih dilanjutkan pinjaman hidup di dunia yang sementara ini.

Sambutannya sederhana sahaja, tetapi cukup lah buat abang gembira. Potong kek di kampung dan kemudian makan-makan bersama abah selepas balik ke rumah. Waktu entri ni di publish, abang sudah pun selamat kembali meneruskan kehidupan di asrama.

Tiada apa yang lebih mama dan abah harapkan selain melihat abang membesar dalam rahmat dan penjagaan Allah. Segala yang baik itu datang daripada-Nya dan segala kekurangan adalah kelemahan kami sebagai manusia.

Happy-birthday-Ikhwan-hafeez


Doa mama untuk Ikhwan, anak pertama penghuni rahim mama. Doa mama dan abah sentiasa mengiringi Ikhwan Hafeez. Semoga Allah sentiasa memimpin langkahmu, menjaga imanmu, melapangkan urusanmu dan membentukmu menjadi anak yang soleh serta memberi manfaat kepada orang di sekelilingmu.

Semoga setiap pengalaman yang dilalui menjadi asbab untuk abang menjadi insan yang lebih matang, lebih berakhlak dan lebih dekat dengan Allah. Mama dan abah mungkin tidak sentiasa berada di sisi, tetapi doa kami sentiasa bersama walau di mana abang berada.

Happy-birthday-Ikhwan


Ya Allah, kurniakanlah ketenangan dalam hati kami terhadap perjalanan hidup anak sulung kami. Lapangkanlah dada kami untuk sentiasa membimbing, memaafkan dan meredhai dirinya. Kurniakanlah juga kepadanya hati yang lembut menerima nasihat, akhlak yang baik serta perlindungan-Mu dalam setiap langkah kehidupannya.

Selamat ulang tahun kelahiran, Abang Ikhwan. Semoga usia yang bertambah membawa lebih banyak keberkatan, kebaikan dan kasih sayang daripada Allah SWT. Mama dan abah sentiasa mendoakan yang terbaik buatmu.

 

Pengalaman Rumah Diserang Anai-Anai

Tak pernah aku sangka yang rumah kami akan diserang anai-anai. Iya itu yang berlaku pada tahun lepas, 2025. Waktu aku menulis ni, masih terbayang perasaan tak seronok tu bila tahu anai-anai bermaharajalela dalam rumah sendiri.

Macam trauma pun ya juga, aku kalau boleh memang tak mahu nak ingat semula apa yang jadi. Tapi sangat penting untuk aku tulis dalam blog ni supaya aku boleh rujuk kembali di masa akan datang.

Tak Sangka Rumah Diserang Anai-Anai

Ikutkan rumah sekarang, kami tinggal di tingkat tujuh. Tingkat paling atas dan kalau fikir logik akal, amat jarang berlaku rumah yang kawasan tinggi diserang anai-anai.

Setelah berbincang dengan pihak JMB (Joint Management Body), kata sepakat berjaya dicapai dan JMB bantu kami selesaikan masalah anai-anai.

Aku tak tahu dari mana anai-anai ni datang tapi sebab rumah kami ni dah berusia puluhan tahun jadi masalah anai-anai adalah perkara biasa. Ada pelbagai kemungkinan dan sebab tu juga agaknya JMB nak bantu.

Dari Mana Datangnya Anai-Anai Dalam Rumah?

Lepas apa yang jadi, hikmah dia aku tahu banyak juga ilmu baru. Kalau tempat tu ada semut buat sarang, maksudnya anai-anai tiada. Kiranya satu binatang satu masa. Itu staff pest control tu yang beritahu.

Aku kongsi ni jangan terima bulat-bulat, minta buat research tambahan. Aku kongsi apa yang aku terima dan rasa pada waktu kejadian. Anai-anai ni berasal dari kelkatu.

Dia datang ke rumah, tanggalkan sayap dan buat sarang dekat lubang-lubang dalam kayu. Macam rumah aku lah, kalau musim kelkatu tu memang meriah masing-masing serang lampu dekat balkoni.

pengalaman-rumah-diserang-anai-anai


Mula Perasan Pintu Bilik Dimakan Anai-Anai

Bermula dari awal tahun aku perasan pintu bilik tengah dimakan anai-anai. Perlahan-lahan mereput dan hancur. Memang setiap kali dia makan akan ada habuk kayu bersepah atas lantai.

Waktu awal-awal dulu aku sembur racun serangga. Anai-anai tu berhenti sekejap je tapi lepas tu dia datang semula.

Oleh sebab racun serangga tak berkesan, aku beli racun anai-anai dalam bentuk cecair. Aku beli dekat kedai jual barang hardware. Punya la busuk racun tu, tapi demi nak hapuskan anai-anai aku spray lah juga.

Ha yang ni memang anai-anai mati dan hilang tapi rupanya dia bukan mati tapi dia lari serang pintu bilik utama dan pintu tandas. Dia bijak bertukar Lokasi.

Sesungguhnya waktu pintu-pintu ni dah nazak baru aku perasan anai-anai tu punya kerja.

Report JMB Masalah Anai-Anai

Oleh sebab tak tahan dan pintu pun memang jahanam kami hubungi JMB. Niat di hati nak dapatkan contact untuk pest control. Malas nak contact pest control lain risau kena scam. Alhamdulillah bila buat report, JMB hantar kakitangan untuk tengok keadaan rumah.

Lepas tengok semua, JMB setuju nak bantu. Rezeki kami memandangkan anai-anai ni bukan berpunca dari rumah kami dan mereka syak berpunca dari anai-anai buat sarang di bahagian atap jadi JMB tanggung kos membasmi anai-anai tu.

Cara Pest Control Hapuskan Anai-Anai Di Rumah Kami

Bermula lah episod menghapuskan anai-anai. Ini apa yang berlaku kepada kami dan mungkin lain bentuk muka bumi lain cara rawatan dia.

Antara cara hapuskan sarang anai-anai yang aku tahu ialah tanam ubat dalam tanah bawah rumah. Cara ni sesuai kalau rumah atas tanah. Sebab aku ni rumah tinggi maka kami tak sesuai.

Orang pest control cadangkan untuk pasang umpan dalam rumah. Sebelum ni aku pernah survey di Shopee tentang umpan ni. Ikutkan agak leceh dan sebab tu aku elak nak buat sendiri.

pest-control-hapus-anai-anai


Proses Membasmi Anai-Anai Ambil Masa Berbulan

Dari awal lagi pest control dah ingatkan yang nak hapuskan anai-anai akan ambil masa tiga ke empat bulan bergantung kepada berapa banyak anai-anai yang masih hidup. Paling cepat pun tiga bulan boleh selesai.

Memang dah tiada pilihan kami redha jelah. Sehari selepas buat report, keesokan harinya orang pest control tengok keadaan rumah. 16 Jun 2025 mereka pasang dua bekas umpan di dua tempat berbeza.

Satu bekas umpan di pasang di atas bahagian pintu dekat belakang dekat dengan mesin basuh. Lagi satu dalam bilik utama betul-betul tepi almari. Penting untuk tentukan tempat nak pasang bekas umpan sebab tujuan utama nak suruh anai-anai yang masih hidup ni makan umpan.

Anai-anai tu dah buat jalan nak serang almari baju. Sedih tak payah cakap lah. Umpan tu warna putih dan dibancuh dengan air. Selagi tak habis anai-anai selagi itulah umpan akan di isi. Ada gap setiap kali nak isi umpan.

Sepanjang proses menghapuskan anai-anai staff pest control larang untuk tidak usik dan tidak spray dengan racun anai-anai. Kalau tidak dia akan lari dan kena pasang lebih banyak bekas umpan.

umpan-anai-anai


Catatan Perkembangan Umpan Anai-Anai

16 Jun 2025 – Kali pertama isi umpan untuk dua-dua bekas

25 Jun 2025 – Kali kedua isi umpan untuk dua-dua bekas

9 Julai 2025 – Bekas umpan dalam bilik utama masih ada menunjukkan anai-anai berkurangan tapi bekas umpan dekat pintu mesin basuh masih perlu di isi. Umpan habis dimakan.

10 Julai 2025 – Anai-anai mengamuk.

17 Julai 2025 – Umpan tinggal suku dalam bekas dekat pintu mesin basuh dan umpan tak bergerak untuk bilik utama.

27 Ogos 2025 – Pest control datang untuk buat final check dan cabut bekas umpan.

10 Julai 2025 – Hari Anai-Anai Mengamuk

anai-anai-serang-rumah


Pada 10 Julai, kejadian mengerikan berlaku yang memang rasanya aku akan ingat sampai bila-bila. Waktu aku tengah vacuum rumah, masa tu dah nak masuk Asar aku perasan muncul banyak gila kelkatu terbang dalam rumah landing dekat sliding door.

Pelik sangat sebab dia tiba-tiba muncul. Sebab tak sedap hati aku text suami update. Masa tu masih belum panik sebab aku tak jumpa punca.

Rupa-rupanya kelaktu keluar dari dalam kayu pintu (pintu pertama yang anai-anai tu serang). Ya ampun bukan setakat kelkatu, tapi anai-anai pon berebut menunjukkan diri. Terbang nak selamatkan diri mencari cahaya, tu sebab dia penuh melekat dekat sliding door.

Memang tak mampu nak buat apa-apa. Aku hanya mampu sapu kelkatu keluar dengan penyapu je. Kemuncak dia waktu malam sekitar pukul 9 malam macam tu.

Suami dan anak-anak tengah tengok televisyen, aku pula tengah cuci pinggan di dapur. Kawanan kelkatu keluar dari pintu.

Banyak gila terbang berlegar. Bayangkan kami memang panik. Aku cepat-cepat tutup lampu ruang tamu dan suruh suami buka sliding door.

Sekelip mata kawanan kelkatu tu terbang keluar. Dah reda baru berani buka lampu. Terbayang cerita dalam movie, orang mati diserang kawanan nyamuk. Sebijik itu la situasi kami hadap. Jadi sesak tak boleh bernafas.

Selepas Anai-Anai Hilang Dari Rumah

Lepas kejadian tu, anai-anai dah tak muncul dalam rumah. Pest control nasihatkan untuk ambil langkah pencegahan selamat untuk spray racun secara berkala lepas ni. Lambat laun anai-anai akan muncul lagi. Memang itu lah lumrah dia.

Kami juga decide untuk gantikan pintu-pintu yang terkesan dengan anai-anai dan buang perabot yang terlibat. Sedih memang sedih tapi itulah rezeki.

Bersyukur juga penderitaan kami tamat di situ dan harap sangat semua tu tak berulang dah. Serik.

 

Dialog Kemenjadian Murid - Raudah & Airis

Assalamualaikum. Cerita minggu lepas, kami ke sekolah anak-anak, hadir untuk program Dialog Kemenjadian Kualiti Murid (DKKM). Ibu bapa di jemput ke sekolah dan fokus perbincangan bersama guru kelas berkaitan prestasi akademik murid dan juga sahsiah murid.

Untuk bagi adil dan tersusun, angka giliran diberikan semasa waktu pagi di kaunter pendaftaran. Siapa awal datang, cepat la habis urusan.

Aku datang awal untuk dua orang anak dan KAFA Airis pon buat pada hari yang sama. Senang sekali jalan je. Sekitar pukul 11 pagi dah selesai.

dialog_kemenjadian_murid


Borak Sesi Akademik Sahsiah Anak-Anak

Kalau zaman aku sekolah dulu, tak wujud lagi sesi macam ni. Paling tidak cikgu bagi report card kena bawa balik, mak abah kena tandatangan.

Sesi jumpa mak ayah ni biasa berlaku hujung tahun je. Berbeza zaman berbeza la cara kan? Sebelum berjumpa guru kelas, sekolah buat ceramah keibubapaan. Lebih kurang sejam setengah, kemudian lepas tu terus ke kelas anak.

Parenting Tips - Sharing Dari Penceramah

Banyak anak-anak bermasalah sekarang berpunca dari masalah mental anak.

Punca utama ialah telefon. Anak consume terlalu banyak bahan, perkara salah mengakibatkan anak matang sebelum waktu.

Umur 5 hingga 15tahun adalah waktu perlukan perhatian ibu ayah (waktu kritikal anak bergelut dengan emosi).

Anak-anak bermula dengan Imiginasi kemudian Fantasi dan mula lah Eksperimen.

Pastikan anak cukup rehat dan cukup makan. Tidur awal dan bangun awal.

Breakfast penting jadikan amalan, makan ikut waktu ditetapkan.

Kena tegas tapi penyayang dengan anak.

Jenayah salah laku pelajar: Buli, vape (meow-meow, mushroom now piu-piu), Cinta, Vandalisme, Bodyshaming, Ponteng sekolah.

Strategi mendisiplinkan anak:

  • Tetapkan peraturan jelas
  • Konsisten setiap hari
  • Hukuman dan ganjaran seimbang
  • Komunikasi terbuka 

Amalan harian berkesan:

  • Bangun awal bersama
  • Semak kerja sekolah
  • Luang masa bersama

Kasih ibu itu lembut, bimbingan ayah itu tegas. Kedua-duanya perlu bersatu padu membentuk generasi hebat.

ceramah_ibu_bapa_kemenjadian_murid


Ambil Result Ujian Pertengahan Sesi Akademik (UPSA)

Agak berdebar nak ambil keputusan UPSA Raudah sebab ini kali pertama dia menduduki ujian bertulis. Maklumlah baru masuk darjah empat (Tahap dua).

Sekolah anak-anak dah tetapkan yang pelaksanaan ujian hanyalah untuk murid Tahap Dua iaitu Tahun 4, Tahun 5, dan Tahun 6 sahaja.

Airis masih boleh relaks di darjah 2. Murid Tahap Satu (Tahun 1, 2, dan 3) hanya ada pentaksiran PBD (Pentaksiran Bilik Darjah) secara berterusan.

Keputusan UPSA Raudah Sakinah

Alhamdulillah keputusan akademik Raudah dan Airis masih on track. Masih mengikut apa yang kami target. Tapi ada juga subjek yang kami kena duduk berbincang.

Setakat ini tiada feedback seram dari cikgu. Sempat juga tanya tentang matriks tahun 4. Jawapan yang aku dah jangka, cikgu pesan jangan risau. Lol.

Tanya juga tentang sahsiah anak-anak, kot terlibat masalah disiplin. Kami bagi green light untuk cikgu didik anak-anak selagi tidak memudaratkan sampai patah riuk cukuplah.

Sempat selit bab perasaan cintan cintun. Ohoi seram bayangkan, murid sekarang cepat betul matang sebelum usia. Perasaan suka / crush semua tu bagi aku normal tapi kena kawal dan disiplin.

Hari-hari pesan dekat anak-anak semua tu. Mana betul mana yang salah. Mana boleh mana yang tidak. Kena fokus apa yang penting di usia sekarang.

Keputusan KAFA Airis Safiya

Walaupun dah masuk darjah dua, ini merupakan tahun pertama Airis belajar di KAFA. Kami bersyukur sangat dengan keputusan yang dia dapat.

Dalam banyak-banyak subjek, nak kena bantu dia dalam subjek Akidah dan juga hafazan Al Quran. Rezeki dia dan kawan-kawan jadi batch pertama KAFA di sekolah sekarang.

Ini semua hasil usaha bersama rakan-rakan PIBG yang lepas, kami berjaya tubuhkan KAFA di sekolah sekarang. Guru besar pun sangat-sangat membantu.

Disebabkan kewujudan Kelas KAFA, ramai ibu bapa yang pilih nak sekolahkan anak mereka dekat sini sebba mudah. Dari pagi sampai petang di tempat yang sama.


Bagi aku, waktu program ini lah aku dapat kenal lebih rapat dengan cikgu yang mendidik dan perangai sebenar anak-anak dekat sekolah. Maklumlah anak-anak ni ada sisi perangai yang berbeza bila berada di rumah dan di sekolah.

Jadi memang wajar lah program ni diteruskan. Lagi seronok kalau masa ceramah tu ada sesi soal jawab dengan ibu bapa.

Penambahan kalau nak dibuat, laporan sesi perbincangan tersimpan dalam portal untuk ibu ayah rujuk untuk tindakan seterusnya. Digitalize kan. Wah cita-cita aku kan? Ahaks. 

Alhamdulillah, selesai satu lagi fasa untuk tahun ini. Semoga Raudah dan Airis terus belajar bersungguh-sungguh, menjaga akhlak, dan membesar menjadi anak-anak yang membanggakan bukan hanya dengan keputusan peperiksaan, tetapi juga dengan adab dan peribadi yang baik. Itu yang paling kami harapkan.

 

Airis Menang Kejohanan Silat, Tunas Terbaik Putri

Alhamdulillah, dengan izin Allah, selesai sudah penyertaan Airis di Kejohanan Silat Terbuka Wilayah Persekutuan bulan Mei yang sudah. Mewakili kelab Nadi bawah kategori Tunas, Putri.

Pengalaman yang amat manis dan lebih bermakna, Airis berjaya menjadi Juara dalam kategori Tunas Putri serta dinobatkan sebagai Tunas Terbaik Putri. MasyaAllah Tabarakallah.

Sebagai ibu bapa, ini adalah satu kenangan yang sangat berharga. Bukan kemenangan sahaja yang kami target tapi tentang perjalanan, proses, dan cabaran yang Airis lalui di usia sekarang.

Kejohanan_Silat_Terbuka_wilayah


Persediaan Sebelum Kejohanan Silat

Sebelum kejohanan, kami dah hadap pelbagai cabaran dari awal. Paling menekan semestinya menjaga berat badan. Dengan kami sekali terpalit kena kawal selera makan. 

Airis kena jaga berat badan supaya kekal dalam kategori yang ditetapkan. Berat maksima untuk kelas dia ialah 17kilogram. Tak boleh kurang tak boleh lebih.

Kejohanan_Silat_Tunas_Terbaik_Putri


Coach dah plan sebaik mungkin kerana kalau berat terlebih, kemungkinan tinggi dia akan berlawan dengan rakan sepasukan. Rugi la dekat situ. sekali gus mengurangkan peluang untuk membawa pulang pingat.

Dalam masa yang sama, jadual perlawanan diumumkan pihak penganjur supaya kelab dapat rancang perjalanan lebih awal. Masa itulah tekanan bertambah 100%. Debaran kian terasa kerana kami dapat gambaran awal siapa lawan yang bakal dihadapi.

Masa inilah perang mental bermula sebab emak-emak ni rajin siasat akaun tiktok kelab silat lain. Ada baik buruk dia. Oh aku ada kongsi dalam entri berdebar pertama kali hantar anak bertanding silat. 


Cabaran Semasa Kejohanan Silat: Tiga Hari Berkampung

Kejohanan ini berlangsung selama tiga hari dan kami berkampung dari pagi sampai malam di lokasi pertandingan iaitu di Pavilion Bukit Jalil. Penganjur buat di bahagian luar kawasan terbuka.

Cuaca panas terik, tiada angin bertiup hanya mengharapkan kipas besar di bahagian atas sahaja. Bayangkan juga suasana bising, padat dengan manusia sebab kami berkongsi tempat dengan program Hari Belia.

Hari ketiga dan terakhir tu aku baru perasan keadaan tu trigger eczema Airis. Mula dengan bitnik-bintik gatal di muka lepas tu merebak di seluruh badan sampai ke kaki. Nak kata ruam pon iya juga.

Bersyukur sangat Airis masih semangat nak habiskan perlawanan. Memang aku paksa dia minum air masak setiap masa. Kami bawa Airis ke klinik beberapa hari selepas tu dan dia dapat antibiotik.

Airis_Menang_Kejohanan_Silat_Tunas_Terbaik_Putri


Cabaran Emosi - Takut Sebelum Perlawanan Akhir

Pertama kali aku tengok Airis takut tak tentu arah. Rupanya dalam diam dia rasa pressure perlawanan akhir. Personally, itu merupakan detik paling mencabar sebab aku kena redakan pressure dia.

Airis tiba-tiba menangis, takut untuk masuk ke gelanggang. Aku dah cuak takut dia minta tarik diri je. Faham sangat sebab dia baru 8 tahun. Tak boleh nak salahkan dia. pengalaman pertama dia pula tu.

Cepat-cepat aku bawa dia jauh dari crowd, picit tangan kaki. Bagi minum air dan bagi dia main game dekat handphone. Nak cuba alih perhatian dia. Sambil baca apa yang patut, aku suruh dia duduk di riba Ikhwan.

Airis_Menang_Kejohanan_silat


Dia memang manja dengan abang dia dan memang menjadi. Airis jadi lebih relaks dan kurang tertekan. Alhamdulillah syukur, Airis berjaya mengawal emosi. Usaha dan keberanian dia membuahkan hasil.

Airis berjaya dinobatkan sebagai Juara Tunas Putri Kelas A dan Tunas Terbaik Putri. Pencapaian membanggakan bagi pengalaman pertama dia dalam kejohanan silat.


Pengajaran & Pengalaman Dari Sudut Pandang Emak

Banyak perkara kami belajar kali ini. Disiplin itu perkara paling utama. Bila dah tetapkan target, kena ada disiplin yang tinggi untuk capai impian. Tak mudah tapi tak mustahil.

Selalu aku ingatkan anak-anak, masa dalam gelanggang tiada siapa boleh bantu kecuali Tuhan dan diri sendiri. Belajar kawal rasa takut dan emosi. Minta banyak-banyak pada Dia.

Untuk aku sendiri sebagai emak, aku belajar beri sokong tanpa tekanan berlebihan. Siapa je tak mahu anak berjaya bawa balik pingat emas. Tapi apa pun alasan, anak mesti jadi keutamaan.

 

Airis_Menang_Silat_Tunas_Terbaik_Putri

Alhamdulillah, pengalaman pertama Airis dalam kejohanan silat ini akan menjadi kenangan yang tidak akan dilupakan.

Semoga Allah memelihara Airis daripada segala keburukan dan menjadikan pengalaman ini asbab dia menjadi anak yang lebih berani dan berakhlak baik.


Apa Niat Kita Sebenarnya Bila Berkongsi Di Media Sosial?

Baru habis menonton podcast Ar Rasyidin Academy yang menampilkan Pak Cik Lan sebagai tetamu jemputan. Walaupun durasinya lebih dua jam, langsung tak terasa panjang sebab setiap topik yang dibincangkan penuh dengan pengajaran dan buat aku banyak berfikir.

Tajuk podcast kali ini ialah "Suami Mesti Jadi Pemimpin Dalam Keluarga, Jadi Kawan Kepada Anak-Anak." Banyak sangat ilmu yang dikongsikan, tapi ada satu perkara yang benar-benar menjentik hati aku. Tentang setiap amalan bergantung kepada niat.

Aku memang galakkan korang luangkan masa menonton podcast ni. Sebab itulah aku terpanggil nak kongsi sedikit dalam blog. Bukan nak ulang semua isi podcast, cuma satu point yang paling dekat dengan diri aku.

niat_berkongsi_di_media_sosial


Setiap Amalan Kita Bergantung Kepada Niat

Cara Pak Cik Lan bercakap sangat tenang. Macam seorang ayah yang sedang menasihati anak-anaknya. Suara dia lembut je, membuktikan emak ayah tak perlu meninggikan suara pun tapi setiap ayat yang keluar ada hikmahnya.

Di awal podcast, beliau ada berkongsi bahawa beliau sangat berhati-hati sebelum bercakap. Katanya, apa sahaja yang dikongsikan hari ini mungkin akan kekal lama di internet. 

Walaupun suatu hari nanti beliau sudah tiada, rakaman itu masih boleh ditonton dan dijadikan rujukan. Bila dengar beliau cakap macam tu yang buat aku diam dan berfikir tentang diri sendiri.


Niat Aku Sebagai Seorang Blogger

Sebagai seorang blogger yang mula menulis sejak tahun 2019, aku pun banyak berkongsi di alam siber. Ada entri berbentuk curahan hati, ada review, ada juga sekadar catatan kehidupan seharian. 

Bila fikir semula, rasa macam perlu audit balik niat setiap kali aku menulis. Aku bukan takut nak berkongsi, tapi takut kalau ada perkara yang tersasar tanpa aku sedar.

apa_niat_berkongsi_di_media_sosial


Masih Belajar Menjaga Niat

Hakikatnya, setiap apa yang kita tulis, kongsi dan tinggalkan di internet akan menjadi sebahagian daripada diri kita. Boleh jadi ia memberi manfaat kepada orang lain, tetapi boleh juga menjadi beban jika niat kita tidak betul.

Pak Cik Lan turut menyentuh tentang pasangan suami isteri yang tanpa segan silu membuka aib rumah tangga di media sosial. Sedangkan apa yang dimuat naik itu akan kekal di internet untuk tempoh yang sangat lama.

Beliau mengingatkan:

"Once you put it in the cyber world, it will remain in the cyber world forever."

Dan satu lagi ayat yang aku rasa sangat kuat ialah:

"You make sure whatever you put in cyber world, it represents you."

Memang betul pun. Hari ini bukan sesuatu yang pelik kalau bakal majikan, bakal pelanggan atau bakal mentua mencari nama kita di media sosial terlebih dahulu. Apa yang mereka nampak itulah gambaran pertama tentang diri kita.

Sebab itu sebelum menekan butang Post / Publish, mungkin kita patut berhenti sekejap dan bertanya pada diri sendiri.


Apa sebenarnya niat aku berkongsi benda ini?

Kalau niatnya untuk memberi manfaat, berkongsi ilmu atau meninggalkan kebaikan, insya-Allah mudah-mudahan ada pahala yang mengalir.

Tetapi kalau sekadar mahu menunjuk-nunjuk, membuka aib atau mengejar perhatian, mungkin kita perlu fikir semula.

Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّمَا الْأَعْمَالُ بِالنِّيَّاتِ
Innamal a'maalu bin-niyyaat.

Maksudnya:

"Sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niatnya."
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Hadis ini memang selalu kita dengar. Tetapi selepas mendengar perkongsian Pak Cik Lan, aku rasa ia memberi makna yang berbeza.

Bukan sekadar mengingatkan kita tentang ibadah, tetapi juga tentang setiap perkongsian yang kita tinggalkan di alam maya.

Semoga setiap tulisan yang aku hasilkan di blog ini menjadi manfaat kepada orang lain, dan semoga Allah sentiasa memperbetulkan niat aku setiap kali menulis. Aamiin.

 

Buat Kuih Onde-Onde Coklat

Sekarang tengah trending kuih onde-onde coklat dekat TikTok. Beza sikit dengan onde-onde yang biasa kita makan. Biasa orang buat warna hijau disaluti kelapa, dalam dia inti gula melaka.

Kuih onde-onde coklat pula berwarna coklat disaluti nestum dan dalam dia inti coklat. Alang-alang semua bahan ada di rumah, aku pun terjebak buat.

Sepanjang aku hidup ini kali pertama aku buat sendiri tanpa bantuan emak. Kelakar ya. Selalu kami buat ramai-ramai waktu bulan puasa.

Bila dah ada keluarga sendiri maka kena berdikari. Anak-anak la yang paling gembira bila ada aktiviti macam ni. Rupanya senang je nak buat kuih ni.

Bila dah siap Airis minta nak jual. Yakin sungguh kau dik. Onde-onde kan seiras dengan mochi lagi la anak-anak teruja.

Kuih_Onde_Onde_Coklat


resepi_Kuih_Onde_Onde_Coklat


Cara Buat Onde-Onde Inti Coklat

Resepi tak lari jauh dari yang asli tu cuma versi aku kongsi ni lebih mudah sebab tak payah guna daun pandan. Tapi kalau nak nampak cantik dimata dan sedap di mulut korang kena guna daun pandan juga.

Aku kongsi resepi simple boleh buat dengan anak-anak. 

  • 1 cawan tepung pulut
  • 1 kotak kecil susu coklat
  • Coklat bar untuk inti
  • Nestum untuk salutan

Cara nak buat: uli tepung pulut dengan susu coklat. Masukkan sikit demi sedikit susu supaya tak terlajak cair dan tak terlalu keras.

cara_buat_Kuih_Onde_Onde_Coklat

buat_Kuih_Onde_Onde_Coklat


Coklat bar potong kecil. Aku jumpa video orang guna coklat Beryl pun menarik juga. Terpulang ikut kreativiti.

Tip: buat saiz kecil molek je sebab kalau tebal besar tak seronok nak kunyah.

Didihkan air, masukkan onde-onde. Nak tahu dia dah masak, onde-onde tu akan timbul. Salutkan dengan nestum. Siap. 

Dekat rumah aku tiada stok nestum jadi guna saja apa yang ada. Paling penting sedap. 

Tarikh Matriks Pembelajaran Tahun 4

Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) secara rasminya dah keluarkan tarikh bagi Matriks Pembelajaran (MP) Tahun 4, 2026 minggu lepas. Anak aku antara anak bertuah yang terpilih menjadi first batch bagi matriks pembelajaran tahun 4.

Jadi secara rasminya juga emak dah mula berdebar. Takut woi. Anak baru naik tahap dua yang sebelum ni di tahap satu memang aman tanpa peperiksaan besar.

Tahun 2026 pula ada kejutan untuk anak-anak. Mengambil jalan selamat supaya anak kekal bertenang, semestinya aku pun kena bertenang walaupun dalam otak dah macam ribut taufan.

Tarikh_Matriks _Pembelajaran_Tahun_4


jadual_Tarikh_Matriks _Pembelajaran_Tahun_4

jadual_Matriks _Pembelajaran_Tahun_4


Masa awal-awal dulu aku memang tak faham apa Matriks Pembelajaran tu? Kenapa tak sebut ujian atau pentaksiran kan lebih mudah nak faham. Canggih betul nak guna perkataan “matrik”.

Merujuk LPM, Matriks Pembelajaran (MP) ialah pentaksiran yang dibangunkan untuk mengukur penguasaan murid secara standard, holistik dan berterusan berkaitan aspek literasi, numerasi serta kompetensi pembelajaran murid. MP dilaksanakan berasaskan pendekatan Pentaksiran untuk Pembelajaran.

Tarikh pelaksaannya dah tak lama ya iaitu pada 6 hingga 8 Oktober 2026. Mata pelajaran yang terlibat: Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Sains serta Bahasa Cina (SJKC) dan Bahasa Tamil (SJKT).

MP akan jadi penanda aras kebangsaan yang setara untuk semua murid di Malaysia yang berdaftar dengan KPM sebab soalan matrik disediakan oleh LPM.

Sebagai emak aku cuba fahamkan juga kepentingan MP sebab cikgu terangkan yang MP bukan peperiksaan yang tentukan kelas depan atau kelas belakang. Tapi nak kenal pasti murid faham tak apa mereka belajar.

Masih lagi guna julat markah dan gred serta tafsiran tahap penguasaan murid bagi memberikan gambaran yang lebih jelas tentang penguasaan murid. Markah 82 dan ke atas, A.

Tujuan utama sistem nak murid dapat aplikasi kan apa mereka belajar ke dalam kehidupan. Kenapa Tahun 4? Sebab tidak terlalu lambat untuk bantu persediaan murid sebelum melangkah ke sekolah menengah.

Emosi aku jadi roller Coster turun naik sebab format untuk mata Pelajaran terlibat tak sama dengan UASA. Format baru. Payah pula tu. Awal aku positif lagi, sekarang aku di fasa separa positif lepas ni aku boleh mengamuk aku rasa. Ahaks.

format_Matriks _Pembelajaran_bahasa_Inggeris

format_Matriks _Pembelajaran_bahasa_Melayu

format_Matriks _Pembelajaran_matematik

format_Matriks _Pembelajaran_sains


Format pula baru diberitahu. Setakat ini sekolah anak aku belum panggil lagi untuk penerangan. Mana maunya nak panggil selagi belum dapat maklumat lengkap.

Aku sempat study sikit format pentaksiran dan contoh soalan. Mak ayah yang ada anak tahun empat pergi lah ke laman sesawang LPM untuk keterangan lanjut.

Tinggal lebih kurang 3 bulan je lagi nak siapkan mental fizikal anak. Nak kena buat banyak latihan untuk Raudah terutama mata Pelajaran Bahasa Inggeris. Mak is takut.


Sober Bites Setiawangsa, Famous Hot Dog

Aku akhirnya berpeluang cuba Sober Bites Setiawangsa, Famous Hot Dog yang selalu sangat lalu-lalang dekat Thread. Sejak bulan puasa hari tu aku teringin nak cuba. Asyik lah lalu dekat timeline aku. Setiap kali teringat setiap kali itulah juga aku ajak suami pergi cari tapi last-last Ramadan baru ada rezeki nak cuba.

Aku memang teringat-ingat sampai sekarang rasa dia. Kena dengan tekak, ikut selera kami anak beranak. Tepatlah dengan tagline diaorang rasa Hot Dog Sebenar.

Ikut apa yang diiklankan, Sober Bites buat sendiri sosej tu. 100% handmade sosej katanya. Memang terasa lain dari yang lain dan tak sama dengan sosej yang dijual dekat supermarket.

Suka dengan konsep Sober Bites. Jual Hot Dog, buka kedai tapi meja kerusi susun dekat jalan. Kiranya konsep lepak makan dekat gerai tapi tanpa bumbung.

Sober_Bites_Setiawangsa_Famous_Hot_Dog


Apa Aku Order?

Memandangkan pertama kali mencuba, aku pilih Streaky Beef berdasarkan description yang ada di papan menu. Dalam roti dia letak sosej, honey mustard, caramelised onion, streaky beef dan sos signature mereka. Kombinasi bahan yang simple tapi ngam lah dekat tekak aku.

Sober_Bites_Setiawangsa


Selain Streaky ada pilihan Original, Eggy, Cheesy dan Padkrapao. Sosej pula boleh pilih ayam, kambing atau lembu. Suami order Streaky lamb, anak-anak pula pilih langkah selamat order cheesy beef.

Review Sober Bites Hot Dog

Benda pertama yang aku suka bila makan memang terasa sosej dia. Penuh isi dan tak lembik. Terasa la beza sosej homemade dengan sosej selalu aku beli tu.

Hot_Dog_setiawangsa


Sos honey mustard beri rasa manis dan masam yang seimbang. Aku pula memang suka caramelised onion. Rasa manis bawang tu padan dengan streaky beef.

Bila makan semua bahan tu bersatu dan paling penting tak rasa pelik. Jadi memang kena dengan tekak aku.

Sober_Bites_Famous_Hot_Dog


Berbaloi Atau Tidak?

Harga bermula RM9 – RM17 ikut topping. Agak mahal berbanding hot dog biasa. Faham kenapa harga mahal dan kenapa orang kata berbaloi. Bagi aku, untuk cuba sesekali dan lepaskan craving okay lah.

Dari segi rasa memang sedap dan seimbang. Selalu aku terkena bila makan yang ada sos ni mesti terlajak masin sebab sos banjir.

Famous_Hot_Dog

 

Adakah aku akan beli lagi? Ya, kalau betul-betul teringin dan berada berdekatan contohnya bila ke Rosyam Mart. Mereka yang berdekatan boleh lah support mereka cuma macam biasa, sedap atautidak tetap bergantung pada selera masing-masing. Untuk tekak aku, memang lulus.

Pergi PBAKL Bersama Anak: 5 Perkara Yang Perlu Tahu

Hujung minggu lepas, aku bawa anak-anak ke Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL). Kami pergi waktu hari bekerja jadi suami tak ikut. Kami pilih naik LRT je. Lebih mudah. Dapat luangkan masa beberapa jam dari satu booth ke booth yang lain sambil belek buku.

Masing-masing balik dengan senyuman yang lebar. Misi berjaya. Ada beberapa perkara yang aku rasa berbaloi dikongsi untuk sesiapa yang bercadang ke PBAKL, terutamanya jika pergi bersama anak-anak.

pergi_PBAKL_2026


1. Naik LRT Lebih Mudah Daripada Memandu

Memandangkan PBAKL berlangsung masa cuti sekolah jalan raya memang penuh dengan kenderaan. Lebih praktikal kalau naik kenderaan awam seperti LRT kalau datang sini. Selain jimat duit untuk bayar parking, hati lebih tenang sebab tak perlu hadap kesesakan jalan raya.

Lokasi masih sama iaitu di World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL). Ada beberapa pilihan bergantung dari mana korang datang. Ada Monorel, LRT, MRT dan KTM Komuter.

Macam kami menggunakan laluan LRT – Kelana Jaya (buat penukaran stesen di Masjid Jamek dan berhenti di stesen PWTC.

2. Bawa Beg Roda Elak Badan Penat

Pengajaran berharga kami dapat masa kami ke PBAKL 2023. Waktu tu pelik ya bila nampak ramai pengunjung tarik beg roda. Bagasi beroda yang orang bawa kalau pergi bercuti tu. Newbie macam kami waktu tu bawa beg galas saja.

Balik tu memang sakit bahu dan lenguh pinggang. Kali ini lebih bersedia, memang pilihan yang tepat untuk bawa beg roda. Masing-masing beli buku boleh tahan berat.

Nak berjalan sambil harung lautan manusia memang tangan akan cepat lenguh. Lagi satu memang jimat tak perlu beg plastik sebab semua sumbat dalam beg roda.

pergi-pbakl-naik-lrt


3. Tetapkan Bajet Elak Rambang Mata

Penting sangat untuk terangkan kepada anak tentang harga dan tetapkan bajet. Sesungguhnya godaan membeli buku itu memang wujud. Dah sampai sana memang rambang mata sebab banyak promo penjual offer.

Anak-anak dah senaraikan buku yang nak dibeli dari rumah. Jadi memang dah tetapkan dalam otak tak boleh berbelanja dari had yang ditetapkan. Sejujurnya aku sendiri terlebih belanja sebab aku beli Set Komik Jejak Muhammad.

Sedapkan hati sebab komik tu memang semua orang dalam rumah boleh baca. Wajib ada dekat setiap rumah supaya lebih kenal Nabi kita.

pergi-pbakl-bersama-anak


4. Kemudahan Tempat Makan, Surau & Tandas

Jangan risau sebab mudah nak cari makanan. Ada café dekat dalam WTC dan dekat luar ada banyak gerai makanan. Kami makan sekadar alas perut saja. Ada surau di aras 3. Cuma satu je aku tak berkenan dekat sini tandas sebab tiada bidet. Memang aku elak ke tandas kecuali kecemasan.

booth_PBAKL_2026


5. Rancang Perjalanan Datang Awal

Pesta buku bermula seawal 10 pagi. Untuk elak berhimpit datang lah pada waktu yang kurang sesak dan awal pagi. Lebih tenang nak belek buku dan mudah buat pilihan. Kecuali kalau datang PABKL nak jumpa penulis kesayangan korang memang kena tahan sajalah beratur dan bersesak.

Rezeki. Alhamdulillah. Masa dekat reruai Nuktah, aku beli set Komik Nabi dan dapat tulisan nama Khat. Gembira dia tu tak dapat nak describe. 

pergi-pbakl


Walaupun penat berjalan hampir seharian, pengalaman ke PBAKL bersama anak memang berbaloi. Pengalaman anak-anak tu yang mahal. Dapat lihat keterujaan anak memilih buku tu seronok sangat. Kalau ada rezeki dan kesempatan, insya-Allah kami akan datang lagi pada tahun hadapan.