Menu Berbuka - Resepi Ayam Kukus Sambal Embe

Kepada Khairul Aming (KA), terima kasih kongsi resepi ayam kukus ni. Saya dah buat dan memang jadi. Sedap dia ya ampun. Nikmat mana lagi aku nak dustakan.

Macam biasa setiap kali jumpa bulan Ramadan, KA mesti akan kongsi resepi viral berbuka puasa. Selaku chef dekat rumah sendiri harus ya tengok video dia untuk ambil inspirasi.

Kadang-kadang banyak je simpan video dari cuba buat. Biasalah kan, nak masak perlukan kerajinan. Lagipun aku target nak cuba menu berbuka yang ringkas tapi sedap je.

KA ni terkenal dengan sambal yang dia jual tu - aku pernah review Sambal Nyet  korang nak cuba boleh beli dekat sini


Resepi-Ayam-Kukus-Sambal-Embe


Menu Berbuka Khairul Aming - Resepi Ayam Kukus Sambal Embe

Hari tu KA kongsi resepi Ayam Kukus Sambal Embe. Katanya resepi dari negara jiran. Memandangkan kita serantau, yakin sangat akan kena dengan tekak. Selera tak lari jauh la maknanya.

Ikut carian di internet, sambal Embe berasal dari Bali dan unik kerana menggunakan bawang merah goreng sebagai bahan utama.

Digabungkan dengan cili pedas, serai, dan daun limau purut, ia memberikan rasa segar, pedas, dan sedikit rangup.

Berbeza dengan resepi yang KA kongsi ni ada bahan lain juga digunakan. Tak kisahlah yang pasti sedap rasa dia.

Ikut resepi KA, ayam tu dia carik-carik isi dia kemudian gaul dengan sambal tu. Lagi power. Tapi dekat rumah ada budak kecil tak tahan pedas, maka kita buat asing-asing. 


Ayam-Kukus-Sambal-Embe


Bahan-Bahan Resepi Sambal Embe Yang Mudah

Cara nak masak Sambal Embe ni mudah je. Bahan-bahan pun kebanyakkan ada di dapur. Untuk yang dah habis idea nak masak apa untuk berbuka boleh cuba.

Ayam Kukus

          2 ketul ayam bahagian peha

          1 sudu sos tiram

          ½  sudu besar minyak bijan

          ½  sudu tepung ubi kayu

          White paper

          Garam

          Daun bawang


Sambal-Embe


Sambal Embe

          5 biji bawang merah (hiris nipis)

          5 biji bawang putih (hiris nipis)

          8 biji cili merah/cili padi (hiris)

          Belacan bakar

          Minyak untuk menggoreng

 

Resepi-Ayam-Kukus


Cara Kukus Ayam Supaya Kekal Juicy & Sedap

1.         Gaulkan ayam dengan garam, sos tiram, minyak bijan, white paper dan tepung ubi.

2.         Garam letak secukupnya. Letak dalam bekas dan masukkan daun bawang.

3.         Kukus ayam selama 25-30 minit sehingga masak sepenuhnya. Guna bekas Stainless steel serbaguna ni best korang. Aku memang buat stok dekat rumah. Boleh guna untuk kukus, sebagai bekas simpan lauk dan sayur juga. 

4.         Setelah masak, rehatkan ayam seketika sebelum dicarik isinya.

 

Cara Buat Sambal Embe yang Padu

1.         Panaskan minyak dan goreng bawang merah dan bawang putih sehingga keemasan.

2.         Masukkan cili merah dan belacan. Kacau sebati.

3.         Tumis seketika. Dah siap. Tuang sambal ke atas isi ayam yang dicarik tadi. Gaul sebati.

 

Tips Masak Ayam Kukus Sambal Embe Confirm Jadi

  • Air lebihan kukusan ayam jangan di buang, campurkan sekali bersama isi ayam dan sambal.
  • Kalau ada resdung tak digalakkan mencuba resepi ini tapi kalau teringin sangat boleh kurangkan kauntiti belacan dan lebihkan bawang merah.
  • Untuk naikkan rasa sambal tu, perahkan 2 biji limau kasturi waktu nak makan.
  • Aku masukkan mushroom seasoning waktu nak perap ayam tu. Sejak guna mushroom seasoning aku dah tak guna serbuk perasa lain. 

 

mushroom-seasoning-love-earth

Sedap dimakan bersama nasi putih panas. Waktu menulis ni pun aku masih terliur membayangkan kesedapan ayam tu. Dekat rumah tiada ayam bahagian peha jadi aku gunakan bahagian kepak. Selamat mencuba korang.  

 

Ramadan & Sahur Pertama Di Kampung

Selamat Menyambut Ramadan. Alhamdulillah masih diizinkan Tuhan dapat berpuasa bersama keluarga. Masih lagi berkesempatan balik kampung jumpa emak.  

Nikmat mana lagi aku nak dustakan ye tak? Seperti tahun sudah selagi ada kesempatan mesti akan cuba balik kampung.

Gerun bila kenangkan yang kita semua ni semakin hari semakin bertambah usia. Semakin suntuk masa Allah beri dekat dunia ni.

Syukur emak baik-baik sahaja. Masih mampu berjalan, bangun sahur dan paling penting masih aktif buat kerja harian.

Bila imbas kembali, balik kampung dan berbuka puasa dengan emak dah jadi tradisi ramadan yang aku terapkan dari dulu lagi. 

 

balik-kampung-ramadan

Sambut Ramadan & Sahur Pertama Di Kampung

Tahun ini, kami sambut Ramadan dan sahur pertama di kampung. Walaupun tak dapat berbuka puasa dengan emak tapi tetaplah bersyukur sebab dapat buat banyak perkara.

Tolong emak kemas rumah, makan makanan air tangan emak, sahur di kampung, ziarah kubur abah dan lepaskan rindu setelah lama tak balik.  

persiapan-Ramadan-Di-Kampung


Lauk sahur emak masak rendang ayam pencen, gulai asam rong ayam dan nugget untuk anak-anak.  

Tahun ni persiapan Ramadan lebih kepada anak-anak. Masing-masing baru nak cuba puasa penuh. Si kakak paling teruja nak puasa sebulan.

Sebagai emak of cos aku gembira sebab tak perlu explain panjang kenapa kena puasa. Dari dulu lagi aku tak tekankan wajib puasa memandangkan faktor usia.

Rasanya anak Perempuan memang cepat matang dari usia ya. Semalam agak padat jadual kami. Tapi Raudah tetap bertenaga puasa.

Bayangkan pukul 11 pagi bertolak dari kampung, singgah ke beberapa mall nak cari baju Melayu Ikhwan. Kemudian terus hantar ke asrama.

Cuaca panas memang menduga. Sebab tu juga si adik kecundang semalam. Pukul 2.00 petang mata dah berair. Minta belas Ehsan nak buka puasa.

Ramadan-Sahur-Pertama-Di-Kampung


 

Berbuka Di Rumah Sendiri – Menu Berbuka

Semalam selesai beli lauk dan barang basah terus balik rumah. Kami decide nak berbuka di rumah dan masa menu berbuka ala kadar saja.

Menakutkan bila tengok jalan raya yang begitu sesak terutama di kawasan bazar ramadan. Memang jadi tumpuan bazar ramadan kali ini.

Badan letih jadi nafsu nak meredah lautan manusia di bazar tu senipis kulit bawang. Dari aku mengamuk dan beli makanan yang tah apa-apa elok masak nasi dekat rumah je.

Lauk berbuka pun simple je jadi tiada gambar. Goreng telur mata dengan bawang dan ikan bilis. Masak juga sayur sawi tumis dengan udang kecil. Udang kertas kot nama dia.

Bancuh Teh gula panas untuk berbuka. Niat tahun ni nak sederhana semua perkara. Moga makbul la hendaknya. Nak ulang kembali semangat masak untuk berbuka puasa tahun 2020.

 

Ramadan Dulu dan Ramadan Sekarang

Tetaplah terasa perbezaan waktu nak sambut ramadan dulu dan sekarang. Dulu fikirkan diri sendiri je tapi sekarang anak-anak lah yang jadi keutamaan.

Baik dari segi persiapan, menu dan rutin puasa. Kalau dulu teruja nak berbuka dengan air manis. Kali ni Alhamdulillah selera dekat air manis dah berkurang.

Ramadan-Pertama-Di-Kampung


Tapi masih terlalu awal ni. Harap bertahan lah hendaknya berbuka dengan menu yang tidak keterlaluan.

Aku harap ramadan kali ni aku dapat fokus tingkatkan ibadah dan solat di awal waktu. Aku doakan apa jua azam puasa korang juga termakbul ya.

Jangan lupa banyakkan doa yang tidak ditolak sepanjang ramadan ni.  

kenangan-Ramadan-Sahur-Pertama-Di-Kampung


Akhir kata, moga Ramadan kali ini membawa keberkatan dan membuka pintu-pintu Rahmat buat kita semua. Semoga kita dapat merasai malam Lailatul Qadr. Selamat berpuasa semua. Jaga diri.