Kempen Skim Potongan Gaji Zakat (Skim Thohir)

Kempen Skim Potongan Gaji Zakat (Skim Thohir) 

Sesungguhnya Zakat dapat menyucikan jiwa dan harta. Terasa ala-ala ustazah bila menyampaikan info berbentuk ke agamaan ni, tapi bagus la kan ingat akhirat. 

Ok berbalik kepada tajuk entri kali ni Diah nak kongsi dengan anda semua macamana hanya dengan bayar zakat anda berpeluang untuk menunaikan umrah dan juga hadiah lain. Menarik kan? Dapat pahala lepas tu dapat hadiah lagi.  Nak tahu kena baca sampai habis ya.

Diah tertarik nak kongsi maklumat dengan anda semua tentang satu kempen yang tengah berlangsung yang di anjurkan oleh Pusat Pungutan Zakat-MAIWP (PPZ-MAIWP). 

Nama kempen itu ialah tak lain tak bukan kempen pembayaran zakat melalui Skim Potongan Gaji Zakat (Skim Thohir 2018) yang berlangsung selama 4 bulan mulai 1 Julai hingga 31 Oktober 2018. Masih ada masa kalau nak sertai. 


Menangi Pakej Umrah Kempen Skim Potongan Gaji Zakat (Skim Thohir)
Kempen Skim Potongan Gaji Zakat Skim Thohir


Siapa Yang Boleh Sertai Kempen Thohir 2018?


Kempen ni terbuka kepada kakitangan kerajaan dan juga swasta dengan syarat anda membuat pembayaran zakat, melalui potongan gaji. Lebih berkat pendapatan kita kalau bayar zakat tau. Salah satu cara bersihkan diri dan jiwa juga. 

Kempen ni di adakan khas untuk menggalakkan orang awam untuk ber zakat. Sambil kita ber zakat dapat membantu golongan asnaf di Malaysia. 

  • Mereka yang BARU MENUNAIKAN ZAKAT SECARA POTONGAN GAJI (kali pertama mengisi Borang permohonan bayaran zakat secara potongan gaji) anda lah orang yang layak kalau nak sertai kempen ni. 
  • Dan kalau yang memang dah buat potongan zakat, hanya perlu buat tambahan nilai potongan zakat sedia ada je. Boleh la semak berapa nilai potongan zakat terakhir anda. 

Hadiah Utama Kempen Thohir 2018

Ada 10 hadiah percutian menarik termasuk hadiah utama menunaikan umrah tajaan Five Estec Travel Services Sdn Bhd bernilai RM28,000 ditawarkan bagi mereka yang menyertai kempen ini dengan membuat potongan gaji zakat (Skim Thohir).
  • Pemenang utama: Pakej Umrah bagi 2 orang 
  • Pemenang kedua: Percutian ke Beijing 6H5M
  • Pemenang ketiga: Percutian ke Bangkok 5H4M
  • Pemenang keempat  dan kelima: Percutian ke Jakarta 3H2M
  • Pemenang keenam dan ketujuh: Percutian ke Pekan Baru 3H2M
  • Pemenang kelapan sehingga kesepuluh : Percutian ke Medan 3H2M
hadiah bulanan Kempen Skim Potongan Gaji Zakat (Skim Thohir)

Cara sertai Kempen Thohir 2018


Cara sertai kempen ni memang mudah, hanya buat penambahan potongan gaji untuk yang dah sedia buat potongan zakat dan yang baru nak buat potongan gaji zakat sila isi borang Potongan Gaji Zakat (Skim Thohir) melalui beberapa pilihan saluran iaitu: 
Skim Potongan Gaji Zakat


  • Boleh walk in ke 11 kaunter PPZ-MAIWP
  • Layari Portal PPZ-MAIWP, www.zakat.com.my
  • Rujuk kepada Kaunter Zakat Bergerak PPZ-MAIWP.
  • Boleh bertanya dan dapatkan keterangan lanjut denagn majikan di syarikat atau organisasi
  • Atau paling mudah hubungi je TALIAN ZAKAT - 1-300-88-5757 dan pasti mereka akan bantu anda. 

Saluran mudah untuk Kempen Skim Potongan Gaji Zakat (Skim Thohir)


PPZ-MAIWP menyeru agar semua umat Islam yang mempunyai pendapatan untuk menunaikan zakat melalui potongan gaji agar dapat dengan mengembalikan hak asnaf sebanyak 2.5% yang terdapat dalam harta kita agar memperolehi berkat di sisi Allah S.W.T. 

Pesan Diah yang bekerja dan membuat potongan zakat di bawah Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan memang perlu rebut peluang ni ya. Selain dapat beramal dan memperoleh pahala dapat juga menang hadiah yang best. 

McDonald’s Malaysia - Hari McD Turun Padang

McDonald’s Malaysia - Hari McD Turun Padang 

Seramai lebih 200 kakitangan pejabat, para francaisi, dan rakan niaga McDonald’s Malaysia ‘turun padang’ hari ini dan bekerja bersama warga kerja restoran untuk melayani pelanggan dalam usaha mereka melibatkan diri dan memahami usaha yang dilaksanakan untuk memberi pengalaman terbaik atau “feel-good-moments” kepada pelanggan yang dijanjikan McDonald’s.

Antara rakan niaga utama yang turut serta termasuklah Datuk Kamal bin Khalid, Pengarah Urusan Kumpulan Media Prima Berhad dan Datuk Ahmad Izham Omar, Ketua Pegawai Eksekutif Primeworks Studio. 


Hari McD Turun Padang



“Saya sangat teruja dapat bersama famili McDonald’s pada hari ini dan membantu menyediakan hidangan McDonald’s untuk pelanggannya. 

McDonald’s merupakan jenama yang sangat konsisten demi memberikan yang terbaik dalam penyediaan makanan yang lazat dan berkualiti tinggi kepada pelanggan-pelanggannya, dan ia sentiasa dihidangkan dengan senyuman,” kata Datuk Kamal. 




“Peluang bekerja bersama warga kerja restoran pada hari ini merupakan satu pengalaman yang tidak ternilai kerana saya dapat memahami apa yang berlaku di sebalik tabir restoran McDonald’s.

McDonald’s sentiasa menitikberatkan kepentingan kakitangannya sama seperti pelanggan mereka. Syarikat ini sentiasa mengutamakan warga kerjanya, dan tidak dinafikan ia merupakan tempat yang cukup baik untuk membina kerjaya,” kata Datuk Izham.

McDonald’s Malaysia Turun Padang


Baru-baru ini, McDonald’s telah menerima anugerah Majikan Terbaik di Malaysia 2018 daripada AON, Syarikat Terbaik untuk Bekerja di Asia 2018 (Edisi Malaysia) daripada HR Asia, dan Majikan Francais Terbaik 2018 daripada Anugerah Francais Malaysia. 

Pengiktirafan yang diterima ini berkait rapat dengan Usul Nilai Pekerja (EVP) McDonald’s – Keluarga & Rakan-rakan (Family & Friends), dimana syarikat menganggap kakitangannya bukan sekadar rakan sekerja, tetapi sebagai ahli keluarga dan kawan. 

McDonald’s juga memberi Fleksibiliti (Flexibility) kerana mereka percaya bahawa setiap individu mempunyai keperluan yang berbeza-beza dan akhir sekali, McDonald’s menjanjikan Masa Hadapan (Future) yang cerah untuk warga kerjanya dengan melengkapkan mereka dengan kemahiran diri dan menyediakan peluang pembangunan kerjaya.

“Hari McD Turun Padang merupakan acara tahunan untuk meraikan dan memberi pengiktirafan kepada 12,000 warga kerja restoran kami di Malaysia. Komitmen tidak berbelah bahagi mereka telah banyak menyumbang kepada kejayaan berterusan jenama McDonald’s sehingga kini,” kata Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald’s Malaysia, Azmir Jaafar.




Menurut Azmir, McDonald’s Malaysia telah melabur lebih RM8 juta setahun untuk melaksanakan pelbagai inisiatif pembangunan modal insan, selaras dengan matlamat syarikat untuk menyediakan laluan kerjaya yang mampan untuk warga kerjanya.

Inisiatif-inisiatif utama yang dilaksanakan oleh McDonald’s kearah memperkasakan warga kerjanya membantu syarikat untuk menarik, mengekalkan dan membangunkan bakat – yang merupakan elemen penting kearah mencapai sasaran pertumbuhan syarikat membuka 500 restoran di Malaysia menjelang tahun 2020.

Mengenai McDonald’s

McDonald’s adalah rangkaian global perkhidmatan makanan melibatkan kira-kira 36,000 cawangan restoran di seluruh dunia dengan pelanggan lebih 70 juta sehari di lebih 100 buah negara. Sepanjang 35 tahun McDonald’s di Malaysia, McDonald’s memberi perkhidmatan kepada lebih 13.5 juta pelanggan sebulan di 270 restoran di seluruh negara. 

McDonald’s menawarkan lebih 12,000 peluang pekerjaan di semua rangkaian restorannya termasuklah latihan dan perkembangan karier. Untuk maklumat lanjut, sila layari www.mcdonalds.com.my.

KIsah Tragedi 6 Anggota Bomba Lemas

Kisah Tragedi 6 Anggota Bomba Lemas 

Sayu hati tengok gambar dan berita tentang tragedi 6 anggota penyelam bomba yang mati lemas dalam operasi mencari dan menyelamat seorang remaja lelaki yang berusia 17 tahun di Tasik Putra Perdana Puchong Selangor.

Remaja tu katanya tergelincir semasa nak pergi memancing. Dalam banyak-banyak perkongsian, video wawancara isteri salah seorang anggota Bomba yang menetap di Kelantan betul-betul buat Diah kagum. 

Masa wartawan tanyakan hal peribadi arwah suami nya dengan muka bangga dia bercerita arwah seorang yang berani. 



Kalau ada kebakaran arwah la yang sanggup masuk dalam api nak selamatkan orang. Tabah betul isteri dia. Tak menangis pun, mata tak bengkak sikit pun.  yelah itu luaran kan, dalam hati siapa yang tahu. 

Semoga arwah ditempatkan di kalangan orang beriman dan ditempatkan di syurga. Ramai yang doa kan mereka. Allah pilih khas untuk mereka. 


Tragedi 6 Bomba Lemas Puchong

credit picture to Berita Harian Online


Kisah Sebenar Tragedi Bomba Lemas


Kisah sebenar yang berlaku dipercayai enam anggota bomba yang bertugas lemas ketika operasi mencari dan menyelamat mangsa di Tasik Putra Perdana Puchong Selangor. Ajal menjemput mereka, walaupun pada masa tu mangsa masih gagal di jumpai. Mangsa akhirnya berjaya ditemui berhampiran dengan tempat dia terjatuh. 

Khabarnya semasa operasi menyelamat dipercayai ke enam-enam anggota bomba terbelit tali yang dipakai antara satu sama akibat arus deras, yang datang secara tiba-tiba dan peralatan menyelam yang dipakai tertanggal. 

Anggota bomba yang berada di atas tebing cuba menarik tali dan membantu namun tak berjaya. bayangkan selepas 30 minit baru mereka berjaya menarik mangsa pertama tapi kesemua anggota penyelam dah tak sedarkan diri. Sedihnya memikirkan 30 minit bergelut menyelamatkan diri dan nyawa di tarik. 

Kalau dulu jarang orang faham dan hargai jasa dan pengorbanan ahli bomba. Sekarang syukur masyarakat semakin prihatin dan bijak. Adik ipar Diah pun bekerja sebagai Bomba.

Faham sangat bila dia korbankan masa yang sepatutnya untuk keluarga tapi kena keluar bertugas di waktu yang tak di sangka. Kalau Hari Raya lagi la sedih, orang dah sibuk anyam ketupat dan pasang langsir di malam raya dia baru nak bertolak balik ke kampung. Pernah juga dah lepas solat raya baru dapat bercuti. 

Mentaliliti Dan Pandangan Masyarakat Malaysia


Dan faham sangat mentaliti sesetengah rakyat Malaysia yang akan cuba mempertikai, yang menghina, yang mencari salah dan juga cari kelemahan bila jadi bencana macam ni. come on people. 

Tukar lah pemikiran tu. Make sense, bila orang di timpa musibah bukan di tambah lagi penderitaan orang tu, tapi hulurkan bantuan dan bagi sokongan.

Diah emosi bila ada yang terlalu celupar mempertikai kemahiran ahli penyelam dalam operasi menyelamat. Kita tidak berada di tempat mereka dan Diah percaya masyarakat bukan arif tentang standard operating procedure (SOP) ahli penyelamat. Jadi simpan la segala pendapat jika tak mendatangkan faedah. 


Salam Takziah 

Semoga kesemua arwah ditempatkan di kalangan golongan yang beriman dan dikurniakan syurga buat mereka. Salam takziah untuk keluarga yang terlibat ini adalah salah satu ujian Allah untuk yang terpilih. Semoga pihak berwajib tampil membantu waris memandangkan mereka dah kehilangan ketua keluarga tempat bergantung harap. Alahai sedihnya.


Food Review – Restoran Taman Apple Steamboat & Grill Cameron Highlands

Restoran Taman Apple Steamboat & Grill Cameron Highlands 

Alhamdulillah minggu lepas Diah dan keluarga telah selamat bercuti ke Cameron Highlands Pahang. Percutian yang singkat tapi berkualiti sebab dapat habiskan masa sekeluarga. 

Nama je anak kelahiran Pahang tapi ini merupakan kali pertama Diah jejak kan kaki ke Cameron Highlands. Dah masuk umur 33 tahun baru tahu Cameron Highlands best. Kesian betul. 

Memandangkan kali pertama nak bercuti ke Cameron Highlands ni, jadi Diah buat la pembacaan serba sedikit mana tempat yang best nak pergi, tempat nak makan dan lain-lain. 

Paling banyak cari mestilah tempat makan yang best sebab ke cintaan terhadap makanan tak dapat di pisahkan. 


Restoren Taman Apple Steamboat & Grill Cameron


Sebenarnya tak plan pun nak ke Cameron Highlands tapi dah nama nya rezeki sampai juga akhirnya. Anak-anak la yang paling excited, nak merasa feeling sejuk macam kat luar negara katanya. 

Banyak yang setuju Cameron Highlands adalah destinasi pilihan keluarga untuk bercuti sebab baby friendly, lokasi yang sejuk, makanan yang sedap dan lokasi yang cantik nak bergambar. 

Diah book penginapan dekat Tanah Rata dan jumpa apartment yang bersesuaian pada harga RM180 untuk satu malam. Serik dengan percutian lepas, jadi Diah memang cari penginapan yang sediakan parking dan yang penting selamat. 

Restoren Taman Apple Steamboat & Grill Tempat Makan Pilihan di Cameron Highlands 


Untuk edisi food hunting kali ni Diah nak kongsi restoren pilihan kami semasa bercuti di Tanah Rata Cameron Highlands, tak lain tak bukan Restoren Taman Apple Steamboat & Grill. 

Restoren Taman Apple ni pernah viral dulu dan terkenal dengan hidangan steamboat & grill dia. 

Rupa-rupanya nama Restoren Taman Abang ni dah ditukar oleh pemiliknya di sebabkan tak nak pelanggan keliru dengan restoren lain yang guna nama abang untuk nama restoren mereka. 

Jadi, Restoren Taman Abang dan diberi nama baru iaitu Restoren Taman Apple Steamboat & Grill. 


Restoren Taman Abang Cameron


Lokasi Restoren Taman Apple ni sangat la dekat dengan tempat penginapan kami sekeluarga. Ianya terletak di tengah-tengah Pekan Tanah Rata dan bersebelahan dengan Hotel Cool Point serta dekat sangat dengan Agro-Technology Park Mardi Cameron Highlands. 

Restoren Taman Apple adalah pilihan yang tepat untuk di kunjungi terutama untuk mereka yang menginap di sekitar Tanah Rata. 

Kenapa perlu Datang ke Restoren Taman Apple Steamboat & Grill?


Untuk yang pertama kali datang dan tak tahu nak order apa boleh la tengok menu bergambar yang disediakan. In sha Allah apa yang korang tengok itu la yang korang dapat. 

Restoren Taman Apple menyediakan hidangan untuk sarapan pagi, makan tengah hari dan Steamboat & Grill pada waktu malam. Oleh sebab cuaca yang sejuk memang nasi la jadi menu pilihan kami sekeluarga.

Untuk sarapan pagi Diah cadangkan korang untuk cuba Nasi Lemak Serunding Strawberi mereka. Nasi memang cukup lemak santan dan serunding Strawberi yang membuka selera. Ini pertama kali Diah cuba serunding Strawberi. 

Kalau nak tahu, Restoren Taman Apple la merupakan restoren pertama yang menawarkan menu serunding Starwberi ni. Rasa serunding Strawberi ni masam, manis dan pedas. Tak sangka Strawberi pun boleh dijadikan serunding. 

Sedap pula tu. Kalau tak nak nasi korang boleh cuba menu lain seperti bihun sup, soto, atau nasi impit dengan rendang daging. Harga menu sarapan bermula serendah RM6.90. 


set sarapan pagi Restoren Taman Apple Steamboat & Grill


Sesuai dengan cuaca sejuk, untuk menu pilihan waktu tengahari korang boleh cuba menu set bakar. Diah sempat cuba nasi kambing bakar, nasi ayam bakar dan juga nasi sotong bakar. Setiap set dah ada air Strawberi Lemonade yang menyegarkan. 

Walaupun peminat kambing tegar, tapi nasi sotong bakar berjaya menambat hati Diah. Sotong bakar yang lembut isi dia dan di cicah dengan sambal kicap memang sedap. Saiz sotong juga besar. Puas makan. 

Set Bakar menu lunch Restoren Taman Apple Steamboat & Grill


Hidangan Steamboat & Grill pula mula di buka pada pukul 5.00 petang sehingga pukul 12.00 malam. Jadi ada masa yang cukup untuk korang makan sampai kenyang. 

Walaupun konsep steamboat ni layan diri tapi jangan risau sebab akan ada crew restoren yang bertugas untuk bantu korang kalau perlu kan apa-apa bantuan. Mereka memang mesra membantu. 

suasana malam Restoren Taman Apple Steamboat & Grill


Terdapat dua pilihan sup iaitu tom yam dan ayam. Dalam cuaca yang sejuk memang meriah kami makan malam tu.  

Pelanggan boleh makan berulang kali dan terdapat banyak pilihan seperti nasi lemak pandan, bihun dan nasi goreng, pelbagai jenis sayur-sayuran, pelbagai pilihan bahan steamboat, pilihan air panas dan air sejuk serta dessert seperti ice cream dan ABC. 

Pelanggan juga di jamu dengan pilihan daging perapan pelbagai perisa (BBQ, Blackpaper & Kunyit) seperti ayam, ikan Dori dan juga kambing. Pilihan seafood pula seperti udang, dan sotong. Walaupun pilihan seafood agak terhad tapi kami berpuas hati. 


Self Service di Restoren Taman Apple Steamboat & Grill

 
Aneka pilhan steamboat Restoren Taman Apple Steamboat & Grill


Seperti yang Diah bagitahu, restoren ni memang popular dengan hidangan steamboat. Masa kami sampai restoren baru dibuka dan dalam 15 minit meja-meja mula dipenuhi dengan pelanggan. Senarai harga steamboat & grill boleh rujuk di bawah ni. 

  • Harga untuk dewasa ialah RM39
  • Harga untuk kanak-kanak (5 sehingga 12 tahun) ialah RM29
  • Harga warga emas (50 tahun ke atas) ialah RM 33
  • Kanak-kanak 5 tahun ke bawah adalah percuma 

Serunding Strawberi Cik Merah 

Kalau dah datang ke Restoren Taman Apple ni memang tak sah la kalau tak beli Serunding Strawberi Cik Merah. Serunding ni diperbuat daripada buah Strawberi sebenar dan kemudian dicampur dengan cili, daging dan juga bahan-bahan lain. 

Ada dua jenis serunding iaitu daging dan ayam. Dekat depan restoren ni ada booth yang jual Serunding Strawberi Cik Merah dan juga produk yang berasaskan strawberi yang lain seperti jem dan cordial minuman. 

Boleh la korang beli Serunding Strawberi Cik Merah sebagai buah tangan. Makan serunding dengan nasi panas memang terbaik. Satu paket berharga hanya RM17.90 (140gram)

Boleh dapatkan maklumat lanjut tentang Serunding Strawberi Cik Merah melalui media sosial mereka seperti di bawah:


Restoren Taman Apple Steamboat & Grill Cameron
Pastikan Cik Merah Baru Beli - Serunding Strawberi
Tips penting

Diah sempat berborak dengan salah seorang crew dekat sini, katanya hari minggu dan cuti umum restoran memang akan dibanjiri dengan pelanggan dan ada yang sanggup ambil no giliran untuk makan. Diah kongsikan tips penting perlu anda tahu sebelum datang ke sini. 
  1. Restoren di buka pada pukul 8.00 pagi sehingga 4.00 petang untuk sarapan dan tengahari manakala hidangan steamboat & Grill bermula jam 5.00 petang sehingga 12.00 malam. 
  2. Untuk menikmati Steamboat & Grill, pelanggan tidak dibenarkan untuk booking (kena walk-in) pada hari cuti umum dan weekend tapi dibenarkan untuk booking pada hari biasa. 
  3. Perlu cuba dessert terutama pavlova dan Kek Strawberi Lapis. 
  4. Restoren di tutup pada hari Rabu. 


Boleh waze alamat seperti di bawah untuk datang ke sini:

Restoran Taman Apple Cameron Steamboat & Grill
891-A, Persiaran Dayang Indah, Tanah Rata, 39000 Tanah Rata, Pahang
 016-225 0315

Boleh dapatkan maklumat lanjut tentang Restoran Taman Apple Cameron Steamboat & Grill melalui media sosial mereka seperti di bawah:


Apa yang dapat Diah simpulkan Taman Apple Steamboat & Grill adalah restoren pilihan yang tepat untuk anda yang sedang atau yang plan nak bercuti ke Cameron Highlands. 

Selain makanan yang sedap, lokasi yang banyak kawasan parking, dekorasi yang cantik (makan dalam taman), crew restoren peramah dan sedia melayan pelanggan. Yang suka bergambar mesti suka sebab tempat ni cantik, banyak sudut boleh ambil gambar. 

Harap perkongsian tak seberapa ni dapat bantu korang yang bercuti ke Cameron Highlands. 

Selamat bercuti.