Berkelah di Pantai Remis Jeram Selangor

Kali terakhir aku pergi Pantai Remis adalah masa aku mengidam nak makan telur ikan Mayong beberapa tahun sudah. 

Berjaya beli sebungkus telur tapi telah gagal masak walaupun dah google resepi. Adoi terus kecewa. 

Baru-baru ni aku ajak suami ke Pantai Remis sekali lagi tapi kali ni sekadar datang untuk berkelah dan ambil angin. Sambil berjalan kita cuci mata di Tapak Penjaja Pantai Remis.


Berkelah di Pantai Remis Jeram Selangor

Pantai Remis Kuala Selangor terletak 20km arah selatan Kuala Selangor iaitu di Sg Sembilang, Jeram yang mana ia merupakan salah satu lokasi eko-pelancongan yang semakin di gemari oleh orang awam.

Masa aku sampai sekitar pukul 3 petang, orang dah mula ramai.




Aktiviti Menarik Di Pantai Remis

Alhamdulillah cuaca tidak terlalu panas dan berangin. Selain menghirup udara pantai dan menikmati pemandangan pantai, Pantai remis sesuai untuk korang beriadah bersama keluarga dan kawan-kawan. 

Boleh juga bermain layang-layang atau boleh mencari hidupan laut (sea shell) seperti kerang, mentarang dan lain-lain.

Kebiasaan aktiviti memancing dan aktiviti mencari hidupan laut dilakukan pada waktu pagi. Jadi kalau korang teringin nak makan kerang fresh dan percuma kena datang awal pagi ya. 

Adik aku yang tinggal berdekatan memang suka kutip kerang di Pantai Remis. Berkelah tepi Pantai Bagan Lalang pun best juga - Baca Sini




Anak-anak lah yang paling teruja untuk datang ke sini. Peluang dapat melihat orang bermain layang-layang dan main belon buih di tepi pantai memang seronok. 

Selain tu korang boleh cuba untuk naik kereta yang telah diubah suai dan korang akan dibawa menikmati pemandangan sekitar Pantai Remis. Kalau tak silap bayaran hanya RM5 seorang.


Tapak Penjaja Makanan Laut Pantai Remis

Tujuan utama aku datang ke Pantai Remis adalah nak ke Tapak Penjaja untuk beli kerang. Itu tujuan asal tapi bila dah sampai sana memang jadi rambang mata. 

Hasil laut seperti Mentarang, Lala, siput, telur Ikan Mayong, sotong, tiram, kerang dan banyak lagi dijual dekat sini.

Kalau nak makan Seafood & Ikan Bakar boleh pergi ke Perkampungan ikan Bakar Terapung, Umbai Baru Melaka atau Aroma Ikan Bakar jeram




Pengalaman manis untuk anak-anak aku belajar dan tambah ilmu. Selalu tengok dalam televisyen je, bila tengok depan mata memang masing-masing tak habis bertanya dan bercerita. 

Ilmu baru juga untuk aku. pertama kali tengok Siput Kemudi.

Aku beli dua kilo kerang segar berharga RM18, buah bidara, mempelam, rambutan dan sedikit sayur-sayuran. Itu pun suami dah jeling. Ikut hati aku banyak lagi aku borong. Hoi nafsu.




Gerai Makanan

Kalau ke sini tak risau datang dengan perut lapar sebab banyak gerai yang menjual makanan serta minuman. Ada pelbagai makanan laut goreng, kuih muih, kepak ayam bakar, ais krim, keropok dan banyak lagi. 

Nak makan menu lebih berat boleh singgah kedai makan yang terletak berhadapan Pantai Remis. Pilih je.


Kesimpulan

Puas hati dapat habiskan masa berkualiti dengan keluarga dekat Pantai Remis ni. Paling penting dapat beli dan makan kerang fresh. 

Aku suka Pantai Remis sebab tak jauh sangat dari rumah, kebersihan pantai dan kawasan sekeliling terjaga. 

Banyak aktiviti menarik boleh buat dekat sini, kemudahan tandas bersih, surau yang baik dan banyak tempat makan. 

Bangga juga rakyat Malaysia semakin menghargai alam sekitar dan bagus menjaga kemudahan yang ada. Syabas.

Jalan-Jalan Ke Tugu Milenium Putrajaya, Selepas 17 Tahun

Hari cuti umum tahun baru yang lepas, kami sekeluarga telah melawat Monumen Alaf Baru Putrajaya atau nama lainnya Tugu Milenium (Millennium Monument) yang terletak di Presint 2, Putrajaya, Malaysia. 

Pertama kali sampai dan baru tahu tentang kewujudan Monumen Alaf Baru ni. Terasa sungguh cetek pengetahuan sejarah tentang Malaysia.


Tugu Milenium Putrajaya, Selepas 17 Tahun

Aktiviti kami di sini adalah tanpa dirancang. Rancangan asalnya nak naik belon di Skyrides Festivals Park Putrajaya. 


Tapi malangnya, Skyrides Festivals Park ditutup sementara kerana masalah teknikal dan bakal dibuka semula pada bulan Mac nanti.

Oleh sebab dah sampai maka kami pun explore la apa yang menarik di sini. Walaupun sekejap sahaja tapi rasanya cukup berbaloi sebab dapat kenalkan tempat bersejarah kepada anak-anak. 

Aku anggap memang dah takdir dan rezeki kami pada hari tu.




Pembinaan Dan Sejarah Tugu Milenium

Pembinaan Tugu Milenium merupakan idea Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan telah dirasmikan pada 30 Ogos 2003. 

Untuk pengetahuan, Tugu Milenium dibina setinggi 68 meter dan merupakan pelantar tinjau yang dibahagikan kepada 4 pecahan yang bersambung iaitu bagi menggambarkan era Malaysia. 

Pra kemerdekaan (sebelum tahun 1957), pasca merdeka (1957-1970), Malaysia kini (1971-2020) dan Malaysia akan datang pada tahun 2020 dan ke atas.




Dari atas pelantar kami boleh nampak pemandangan tasik, Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Jambatan Seri Wawasan. 

Apa yang menariknya, ringkasan pencapaian dan juga sejarah penting negara Malaysia telah di catat pada cermin dinding di sepanjang laluan naik ke atas pelantar. Termasuklah catatan tentang wawasan 2020.




Tugu Milenium turut diserikan dengan ukiran 5 prinsip rukun negara iaitu:

1) Kepercayaan Kepada Tuhan
2) Kesetian Pada Raja Dan Negara
3) Keluhuran Perlembagaan
4) Kedaulatan Undang Undang
5) Kesopanan Dan Kesusilaan

Aktiviti Menarik Di Tugu Milenium

Selain menikmati pemandangan indah di atas pelantar dan bergambar untuk kenang-kenangan korang boleh juga berjalan di kawasan sekitar taman dan terdapat Cafeteria berdekatan. 

Jangan lupa untuk mencuba aktiviti yang disediakan untuk seisi keluarga seperti, Skykids Warrior, Sky Buggy, Sky Warrior, Sky Beca dan juga Skyrides Balloon.

Boleh singgah bawa anak-anak ke Farm In The City  tengok haiwan




Semestinya aku akan datang lagi ke sini untuk mencuba aktiviti lain dan nak tunaikan impian nak naik Skyrides Balloon tu. 

Harga tiket setiap aktiviti adalah berbeza dank orang boleh rujuk website di bawah untuk keterangan lanjut.


Laman web: https://www.skyridesputrajaya.com/


Dah alang dekat sana boleh makan tengahari di House of Kambing MAEPS


Kesimpulan

Aku sokong jika Tugu Milenium Putrajaya ini menjadi salah satu lokasi wajib untuk anak-anak datang kesini sambil menimba ilmu.

Aktiviti yang baik juga untuk memupuk perasaan cinta dan sayang kepada negara. Masuk adalah percuma. Jimat duit. 

Kalau korang ke sini jangan lepaskan peluang hirup udara segar sambil menikmati pemandangan Putrajaya di atas pelantar. 

Cara Daftar SSM Secara Online

Ramai orang ambil mudah bila melibatkan urusan pendaftaran perniagaan di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM). 

Masing-masing rasa tak perlu sebab bukan pemilik perniagaan, hanya sekadar jadi ejen dan dropshiper. Lagi pun meniaga hanya secara kecil-kecilan. Perlu ke nak daftar SSM juga?

Sebenarnya banyak manfaat kalau mendaftar dengan SSM dan paling utama adalah untuk elak dari dikenakan tindakan undang-undang. 


Cara Daftar SSM Secara Online

Aku kongsikan pengalaman aku sendiri ke SSM untuk pendaftaran perniagaan yang aku rasa mudah sangat.


Kenapa perlu Daftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM)?


  • Untuk yakin kan pembeli berurusniaga dengan kedai kita.
  • Membolehkan pembeli membuat semakan tentang perniagaan kita.
  • Untuk memudahkan peniaga melangkah ke peringkat seterusnya terutama jika ingin membuat pinjaman dengan pihak bank, memohon geran dan lain-lain lagi.
  • Sesuatu perniagaan yang gagal mendaftar tidak akan dibantu oleh mana-mana agensi penguatkuasaan kerana perjalanan perniagaan itu adalah tidak sah di sisi undang-undang.
  • “Peniaga yang tidak mendaftar boleh dikenakan tindakan undang-undang di bawah Akta Pendaftaran Pendaftaran 1956 yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman dua tahun penjara atau denda Rm50,000 atau kedua-duanya sekali”

Cara Daftar SSM Secara Online


  1. Layari laman web ezbiz.ssm.com.my
  2. Klik butang SIGN UP bagi yang mendaftar pertama kali. Isi ruangan yang diperlukan (No IC dan nama penuh). Isi maklumat peribadi termasuk alamat email, tempat tinggal dan no telefon. 
  3. Create ID dan password
  4. Isi maklumat diperlukan dan tunggu email pengesahan dan arahan seterusnya dari SSM. 
  5. Selepas terima email pengesahan, kena rujuk pejabat SSM terdekat untuk semak nama perniagaan yang mahu didaftarkan samada boleh digunakan atau tidak. Perlu sediakan sekurang-kurangnya tiga nama cadangan perniagaan. Kakitangan bertugas akan buat semakan dan cadangkan nama yang masih boleh diguna. 
  6. Perlu tunjukkan kad pengenalan sebagai pengesahan kita sudah mendaftar melalui atas talian dan pengesahan ID. 
  7. Log in semula laman web SSM dan kemaskini maklumat dan masukkan nama yang telah dipersetujui semasa di kaunter. Isikan maklumat perniagaan dengan lebih terperinci dan buat pembayaran. Yuran pendaftaran untuk SSM adalah sebanyak RM60 untuk tempoh dua tahun. 
  8. Tunggu email pengesahan pembayaran dan juga pemberitahuan perniagaan berjaya di daftarkan. 
  9. Selepas berjaya daftar, kena muat turun Sijil Perniagaan (Certificate of Business Registration) dalam tempoh 14 hari. 
Kesimpulan 

Sesungguhnya proses pendaftaran perniagaan SSM secara online sangatlah mudah dan menjimatkan masa. 

Kalau sebelum ni perlu isi borang yang panjang, tapi sekarang dapat buat dengan selesa dan dapat fikir panjang sebelum isi maklumat diperlukan. Jimat masa, tenaga dan tak perlu susah payah nak ke SSM. 


Buka Sekolah Sesi 2020

Alhamdulillah pembukaan persekolahan bagi sesi 2020 telah pun selamat ditempuh anak bujang, Ikhwan Hafeez. 

Setelah bercuti lama akhirnya jadual persekolahan yang padat kembali semula seperti tahun-tahun sebelumnya. Syukur, semangat, minat dan keinginan dia ke sekolah masih menggunung.

Sama seperti tahun-tahun sudah, hari pertama persekolahan dia akan teruja nak jumpa kawan-kawan. Sejenis excited sampai sarapan pun dia tak sempat makan. 

Buka Sekolah Sesi 2020

Tiada selera, tak sempat dan macam-macam alasan lagi.

Oleh sebab ini tahun ketiga dia bersekolah jadi aku kurang risau nak lepaskan dia ke sekolah. Hari pertama minta suami temankan sebab nak beli T-Shirt Pendidikan Jasmani. 

Terlepas pandang nak beli masa beli barang-barang sekolah hari tu.





Penempatan dan Kedudukan Dalam Kelas

Urusan penempatan kelas cikgu dah beritahu masa akhir tahun lepas. Jadi dah tahu yang Ikhwan masuk ke Kelas 3 Cemerlang. Rasanya tiada perubahan memandangkan tiada perubahan sistem pendidikan dari KPM setakat ni.

Masih berjumpa kawan-kawan yang sama. Guru kelas tahun ni adalah guru lelaki. Pengalaman pertama untuk mama berurusan dengan Guru Lelaki. 

Setakat ini pertanyaan ibu bapa di group Whatsapp dijawab dengan baik dan tiada drama. Syukur.

Dah pesan pada Ikhwan cari tempat duduk di barisan hadapan dalam kelas. Dia pun sedar dengan saiz dia yang comel tu agak bermasalah kalau duduk di barisan belakang. 

Alhamdulillah dia terima arahan dengan baik. Biasanya untuk permulaan murid-murid boleh pilih tempat duduk sendiri, guru kelas akan ubah mengikut keperluan dan kesesuaian masa mengajar.

Macam semalam je dia baru masuk Darjah Satu


Jadual waktu Kelas 3 Cemerlang

Ada penambahan jadual waktu kelas Ikhwan bila dia masuk darjah tiga. Tahun ni dia diperkenalkan dengan subjek Muzik. Tahun ni juga dia kena hadiri aktiviti Kokurikulum. 

Akan ada satu hari dalam seminggu dia akan balik pada pukul 4 petang. Aktiviti Kokurikulum pula akan ditentukan kemudian. Dia bercita-cita nak masuk Kadet Remaja.

Subjek lain seperti Bahasa Inggeris pula dia akan belajar lebih mendalam seperti menulis esei. Tasmik dan subjek lain seperti biasa. 

Risau juga sebenarnya, dengan matapelajaran yang semakin sukar aku harap dia enjoy dan faham apa yang cikgu ajar.

Aku dah terangkan apa yang bakal dia tempuh. Sentiasa ingatkan untuk dia fokus supaya dia tak penat kena buat kerja sekolah di rumah. 

Dulu aku selalu hairan kenapa dia tak pernah ada kerja rumah, rupa-rupanya murid-murid yang ada kerja rumah adalah murid-murid yang tak sempatkan tugasan dalam kelas.

Jadi, kalau dia tak buat dekat rumah bermaksud dia berjaya siapkan dalam masa yang ditentukan dekat sekolah. Lega hati mama. 

Aku selalu je di kritik orang sekeliling sebab terlalu ‘tegas’ dengan anak-anak terutama mengenai pelajaran. Tapi aku tak kisah, selagi aku tahu apa yang aku buat dan anak faham kenapa aku tegas.


Kalendar Cuti Sekolah 2020 Malaysia

Bagi Ibu bapa yang mempunyai anak dan bakal menduduki peperiksaan besar seperti PT3, PSRA, UPSR dan seangkatan memang dah siap maklum tarikh-tarikh penting dalam kalendar cuti sekolah.
 
Tak seperti tahun 2019 banyak cuti bersambung, tapi bersyukur Raya bulan 5. Kena bijak merancang dan berbelanja la nampak gayanya.



Kesimpulan

Semoga sesi persekolahan 2020 untuk Ikhwan Hafeez dipermudahkan oleh Allah. Semakin bertambah usia, semakin bertambah tanggungjawab dan makin banyaklah beban yang perlu dipikul. 

Sebagai ibu bapa aku sehabis baik akan membantu dan in sya Allah akan sentiasa di sisi dia.