Tiada Lagi 100GB Video Walla Percuma Dari Celcom

Dah Tak Ada  Lagi 100GB Video Walla Percuma Dari Celcom

Wah semenjak dua menjak ni memang aku asyik bercerita pasal Celcom sahaja kan? Banyak betul isu aku dengan Celcom ni. 

Baru-baru ni aku ada masalah dengan data Video Walla yang ditawarkan oleh Celcom dan by right aku layak guna 100GB secara percuma. Ya, banyak kan? Tapi sedih juga kalau data banyak tapi tak boleh guna.

Aku pernah tebus Internet Percuma Celcom 1GB sebelum ni. 

Oh ya aku subscribe data Pelan Celcom Mobile Gold Supreme, yang mana setiap bulan aku harus bayar sebanyak RM128 dan aku dapat 25GB internet harian dan 25GB Internet mingguan. 

Tambahan aku dapat 100GB video Walla percuma selama 12 bulan serta unlimited data Whatsapp & Wechat. Untuk detail boleh rujuk Celcom.

Masalah yang aku hadapi sekarang ialah, bila aku menonton Youtube, data percuma Video Walla tu tidak ditolak sebaliknya Celcom tolak data harian dan mingguan aku. Memang aku sejenis manusia yang akan semak penggunaan data internet jadi aku perhati je apa yang berlaku selama beberapa hari.

 


Masalahnya isu ni berlaku macam Chipsmore ya. Ada hari elok je Celcom tolak data yang betul, dan ada hari dia buat hal habis data mingguan aku ditolak sebab aku tengok cerita Korea di Youtube. Alahai stress aku tak dapat buat kerja lain, data dah habis.

Aku Pengguna Celcom Yang Setia Tapi Sekarang Tidak Lagi

Oleh sebab aku terlampau marah akhirnya aku hubungi juga perkhidmatan pelanggan Celcom dan juga naik muat status tentang Celcom di Twitter. Setakat ni mereka laju response walaupun ramai sangat pelanggan yang berbahasa kasar sebab marah. Aku faham sebab aku pun nyaris-nyaris nak terkeluar maki hamun.  

Aku dah jadi pengguna Celcom sejak tamat Degree, kalau tak silap tahun 2008/2009 macam tu. Itu pun sebab aku rasa teraniaya lepas guna M***s, dengan harapan Celcom melayan aku dengan adil (tak caj bukan-bukan) dan line internet sekurang-kurangnya lebih laju dari siput.

Lepas kejadian tersilap caj data ni aku jadi tawar hati dengan Celcom, rasa kepercayaan tu hilang. Serius lah kalau benda macam ni dia buat silap tak mustahil benda lain pun dia boleh tersilap. 

Dah lah Celcom dah stop bagi internet 1GB Percuma unlimited browsing lagi bertambah sedih.





Dua perkara aku buat lepas Celcom buat hal (salah tolak data internet) ialah:

#1 Hubungi perkhidmatan pelanggan Celcom di talian 019 6011111 dan pegawai yang incharge dah lodge kes aku dan dia kata dalam masa 3 hari akan terima SMS daripada team teknikal yang akan bantu selesaikan masalah aku. 

Dia juga buat semakan yang aku masih lagi layak untuk terima 100GB percuma untuk video Walla sebab belum cukup setahun guna pakej Gold Supreme.

Update: Selepas beberapa hari aku terima email CDR data usage for Celcom Video Walla daripada scresolution Celcom tentang penggunaan terkini data Video Walla yang aku dah guna.

Oleh sebab aku hilang sabar aku sambung buat report dekat Twitter pula.


#2 Aku muat naik status soalan dan ketidakpuasan hati aku di Twitter dan tag Celcom dengan pakej aku mesej juga. Dia reply dan dia ingat aku tak aware tentang percuma selama 12 bulan walhal aku dah tahu awal. 

Jadi dia bantu dengan reset network aku (which is aku tak faham bab teknikal). Selepas Maghrib baru aku test dan caj data kembali ok.

Untuk korang nak solution lebih effective ialah buat report di Twitter dan jangan lupa sertakan #celcom atau tag mereka terus. Lepas Celcom reset network aku baru data di caj dengan betul.


Pakej Baru Celcom 25GB Video Walla Percuma

Lepas kejadian ni baru aku perasan yang Celcom akhirnya dah tak tawarkan pakej 100GB Video Walla percuma sebaliknya dia gantikan 25GB percuma yang diberikan setiap bulan. Kiranya kalau tak habis guna dia tidak akan dibawa ke bulan berikutnya dan harapnya jangan lah bagi setahun je.
Senarai Celcom Video Walla Partner:

  1. Iflix
  2. DimSum
  3. AstroGo
  4. YouTube
  5. Netflix
  6. Hungama
  7. Eros Now
  8. KlikFilm
  9. Viu
  10. Alt Balaji
  11. MuslimKids TV


Nak lagi tepat korang boleh study dekat laman web Celcom dan sebaiknya bercakap dengan staff, dealer dan dapatkan keterangan lanjut supaya tidak rasa tertipu. Biasanya benda-benda indah percuma ni selalu datang dengan terma dan syarat yang harus dipatuhi. Secara logik mana ada nak beri yang percuma, lama pula tu.

Kesimpulan

Selepas kejadian perit dengan Celcom ni, (sebelum ni pernah juga berlaku gangguan Internet etc tapi aku pejam mata la) aku macam tawar hati dan looking forwards mencari pakej Telco yang mampu aku bayar, line ok, tiada caj tersembunyi dan Internet boleh guna. Masih lagi mencari dan harap lepas bulan September aku dapat tukar yang lain. Kita tunggu dan lihat.



Hukum Lelaki Memakai Sutera Dan Barang Kemas

Terbaca di laman sosial berita mengenai penarikan semula penjualan tali leher bertemakan Marvel di pasaran oleh sebuah jenama yang memang terkenal dengan koleksi tudung binatang. 

Koleksi tali leher Marvel tu dijual sempena Hari Bapa yang bakal tiba. Berlaku ‘kesilapan’ apabila mereka menjual tali leher yang diperbuat daripada Sutera. 

Hukum Lelaki Memakai Sutera Dan Barang Kemas

Tali leher dipakai oleh kaum lelaki dan memang tak kena sangat la sebab guna material daripada sutera. 

Untuk pengetahuan kawan-kawan non-muslim, agama Islam melarang lelaki memakai pakaian yang diperbuat daripada Sutera. Haram hukumnya.


Aku selalu tanam dalam otak, apabila seseorang yang berpangkat besar atau dikenali ramai kerana ilmu pengetahuan, pangkat atau harta dan dia diberi ujian. 

Sesungguhnya aku percaya yang ianya kerana Tuhan mahu menegur umatNya dalam skala yang besar. Bukan kerana Tuhan menjatuhkan hukuman terhadap individu tetapi Tuhan mahu lebih ramai umat mengambil iktibar dan pengajaran.


Larangan Memakai Sutera Dan Barang Kemas Bagi Lelaki

Selain dari sutera, Islam juga melarang lelaki untuk pakai barang kemas. Merujuk Hadis riwayat Imam Ahmad (935) dalam Musnad-nya,

Maksudnya: Sesungguhnya Nabi SAW mengambil sutera dan memegangnya dengan tangan kanannya, dan emas di tangan kirinya, kemudian bersabda: Sesungguhnya dua benda ini haram ke atas umatku yang lelaki.

Nabi Muhammad SAW juga ada menyebut tentang pengharaman pemakaian sutera asli dan emas bagi lelaki. Adapun jika digunakan sebagai pinggan mangkuk, maka diharamkan sama ada bagi lelaki atau wanita.
Rujukan Hadis riwayat Imam al-Bukhari (5426) dalam Sahih-nya:

Maksudnya: Jangan kalian minum daripada bekas yang diperbuat daripada emas and perak, dan jangan pula kalian makan daripada bekas makanan yang perbuat daripadanya, kerana sesungguhnya kedua-duanya bagi orang kafir dan bagi kita di akhirat nanti.


Mengikut kefahaman aku, lelaki tidak dibenarkan untuk pakai emas dan sutera adalah kerana barang-barang tersebut melambangkan kesombongan.



Kesimpulan

Marilah semua kita ambil iktibar atas teguran yang Tuhan berikan. Semua pasti ada hikmahnya. Tak terbayang bebanan dan tekanan termasuklah kecaman yang diterima Duck Group oleh sebab kesilapan mereka. Pesanan aku, kita jangan cepat jatuhkan hukuman pada seseorang. Kita belum tahu jalan cerita.

Review Filem - Komedi Seram Syif Malam Raya

Review Filem Komedi Seram Syif Malam Raya

Masa minggu pertama Syawal lepas, aku terjebak langgan cerita di Astro First. Masa tu rancak sungguh iklan tentang cerita Syif Malam Raya. 

Filem pertama untuk selebriti You Tube iaitu Yoe Pare, Asif Suhaimi dan Syahmi Sazly. Dalam cerita tu ada juga pelakon komedi kesukaan aku Ropie, Saiful Apek, Reen Rahim, kumpulan Zero (Atu, Sharif dan Syaiful), Azlee Senario, Danial Lawak Solo dan beberapa pelakon lain lagi. 

Masa tengok iklan tu ada la terselit sikit unsur-unsur lawak dan seperti yang dijangka tidak la aku ketawa terbahak-bahak.

Tapi tak apa, dengan niat nak sokong industri Filem Malaysia aku langgan juga walaupun cerita tu berharga RM15.90 termasuk 6% service tax agak mahal bagi aku

Dah ingatkan anak aku yang dua hari tayangan kena tengok sampai muak. Baru berbaloi. Lepas subscribe baru perasan cerita ini di arahkan oleh Datuk Profesor Dr A Razak Mohaideen. 

Waktu tu aku dah sedikit hampa, jarang sangat cerita Prof ni kena dengan minat aku, selalu tersasar je. Tapi syukur sangat tak timbul perasaan menyesal langgan sebab lawak-lawak yang ditonjolkan kira ok lah. Tiada carutan sepanjang aku menonton filem ni.





Oh dalam cerita ni ada Azlee dari kumpulan Senario, faham-faham sahajalah lawak zaman Senario kan modal melawak dia adalah dengan memek muka. 

Aku cukup tak berkenan kalau Azlee buat memek muka. Dalam cerita ni ada juga dia buat tapi tidak terlalu kerap. Saiful Apek pun sama, lawak dia pun sedang-sedang je kira okay la.

Kumpulan Zero dah biasa buat lawak dan memang aku suka jadi aku enjoy je. Juga tak mengecewakan selebriti Youtube mampu berlakon dan melontarkan dialog beserta emosi. 

Tak nampak canggung pun berlakon dengan pelakon senior. Good job.

Terpaksa Bertugas di Malam Raya

Movie ni bertema komedi seram yang berkisar tentang dua sahabat yang terpaksa bertugas di malam raya (Atu dan Sharif). 

Masa tengah berbuka pada hari terakhir puasa, mereka dapat panggilan dari bos (Saiful Apek) dan perlu menghantar jenazah ke Ipoh.

Dalam tak redha tu kena la buat juga. Masa malam Raya tu mereka tumpangkan jiran (Reen Rahim dan adik dia yang istimewa, Yoe Pare) yang tak dapat balik beraya ke Kedah sebab tiket Keretapi hilang. 

Jadi bertolak lah mereka berlima termasuk jenazah ke Ipoh. Rancangan awal lepas hantar jenazah kemudian terus hantar jiran ke Kedah.

Sepanjang perjalanan itulah mereka diuji dan ada adegan dan pengajaran yang cuba disampaikan oleh penulis skrip. Pendapat aku, lakonan dan dialog tidak la terlalu kaku dan dibuat-buat. 

Level keseraman tu tahap budak sekolah tadika je, tapi aku tetap terperanjat sebab aku tak suka cerita seram.



Jenazah Hilang Dalam Perjalanan

Untuk tambahkan konflik movie ni, ada adegan van jenazah terlanggar sesuatu dan jenazah tercampak keluar dari van dan hilang. 

Panik lah semua dan kebetulan kampung yang mereka berhenti itu sedang dilanda masalah hantu pocong.

Nak tak nak terpaksa minta bantuan penduduk kampung untuk tolong cari jenazah dan dalam masa yang sama kes hantu pocong juga berjaya dibongkar. Apa kaitan Hantu Pocong tu dengan jenazah yang hilang tu?


Pendapat aku tentang Filem Syif Malam Raya

Aku beri pendapat sebagai peminat filem komedi, dan aku sejenis mudah terhibur dan alergik dengan lawak membodohkan diri. 

Tak lupa juga akan rasa nak muntah kalau dengar lawak pick up line yang gatal tahap maksima. Filem ni filem komedi ringan dan sesuai untuk tontonan satu keluarga. 

Tidaklah membosankan jadi kalau suruh tengok lagi sekali aku ok je. Rare kan balik kampung naik van jenazah, aku terbayang kalau aku yang kena balik naik van jenazah tu confirm aku keras sepanjang perjalanan. 

Pengajaran yang cuba diselitkan ialah jangan hina orang yang berlainan keupayaan dari kita, kerja apa sekalipun paling penting adalah halal dan kasih sayang tak kenal siapa saja.  

Akhir kata jom sokong filem kita.

Balik Kampung Merentas Negeri Semasa PKPP


Balik Kampung Merentas Negeri Semasa PKPP

Alhamdulillah berjaya juga kami satu keluarga merentas negeri untuk pulang ke kampung selepas PM kita umumkan PKPP bermula 10 Jun lepas. Oleh sebab Syawal masih ada jadi kita anggap balik beraya. Walau dah diberi kelonggaran untuk bergerak merentas negeri tapi kita masih lagi dalam tempoh berjaga-jaga.

Setakat ni aku dan suami sepakat yang kami tak akan bawa anak-anak ke tempat terbuka seperti shopping mall dan juga pasar. Masa perjalanan balik kampung dari Kuala Lumpur ke Melaka pun kami tidak singgah di mana-mana. Risau dan kebetulan memang tak banyak kedai dan R&R yang beroperasi, jadi kuranglah sebab untuk kami berhenti.

Syukur perjalanan sangat smooth. Lebuhraya masih lengang sebab kami balik pada hari Khamis, sengaja elak bertembung dengan mereka yang nak keluar bercuti waktu hujung minggu. Aku sangat kagum bila jejak kaki di Melaka. Rata-rata rakyat sangat patuh arahan, tidak berkumpul dan paling penting anak kecil tidak dibawa keluar di tempat awam. Kalau ada hanya seoarng dua.