Genap 10 Tahun Abah Menghadap Ilahi

Hari ini genap 1 dekad (10 Tahun) arwah abah menghadap Ilahi. 1 dekad yang rasanya begitu sekejap berlalu. Rasa macam baru malam tadi terima panggilan telefon dari kakak, abah sesak nafas dan tiba-tiba rebah.

Masa abah hembuskan nafas terakhir, emak, adik dan kakak ada teman abah. Ingatkan abah supaya mengucap. Mudah sungguh urusan abah pergi. 


Genap 10 Tahun Abah Menghadap Ilahi

Mak kata malam tu abah berkelakuan macam biasa. Selera makan yang baik, berborak macam biasa dan seperti hari kebiasaan abah akan semput bila musim hujan.


29 Disember 2010

Jam baru melepasi angka 12. Arwah abah mundar mandir dan keluar duduk di beranda rumah. Selalu arwah akan berjalan ambil angin ke luar rumah bila terasa dada sempit nak bernafas. 

Dah lega baru masuk semula. Malam tu, kakak cerita abah semput seperti biasa. Kami tak sangka, itu malam terakhir kami ada abah.

Sampai hari ini aku masih rasa terkilan aku tak dapat bercakap buat kali terakhir dengan abah. Aku tak sempat minta maaf. Aku rasa berdosa. 

Tapi, siapa aku nak lawan takdir Allah. perancangan Allah itu yang terbaik.


Hati Aku Pecah

Waktu aku terima panggilan kedua dari kakak, kami dalam kereta nak balik kampung. Betul-betul depan simpang menuju Tol Gombak. 

Adik dan kakak yang bawa abah ke klinik. Bawa untuk sahkan tiada lagi nadi untuk dikesan. Berat hati nak terima. Meraung aku dalam kereta.

Aku cakap dekat suami. Aku dah tiada abah. 

Kisah adik abah yang bongsu meninggal sehari sebelum anak dia bernikah. 



Emak Rindukan Abah

Paling terkesan semestinya mak. Dua tahun emak ambil masa pulihkan hati. Sepanjang dua tahun mak tak duduk di kampung sendirian. Berpindah randah tinggal dengan anak. 

Nak teman mak dikampung masing-masing ada komitmen kerja. Tapi memang kerap balik kampung sebab rindu. Emak nampak kuat dan tabah secara luaran tapi setiap kali bercerita tentang arwah mak pasti menangis. 

Perkahwinan mak dengan abah adalah perkahwinan yang dirancang oleh Wan dan Aki. Bahagia Alhamdulillah. Aturan dan juga pilihan orang tua. Bercinta selepas kahwin. 10 orang hasil dia. Jenuh nak besarkan.

Arwah abah memang terkenal dengan sikap yang garang. Tegas. Romantik? Memang tidak lah. Tak reti agaknya sebab didikan keluarga berdarah pendekar.  

Cara abah tunjukkan kasih sayang kepada anak-anak adalah dengan beli makanan kesukaan, beli barang-barang keperluan dan abah suka tunjuk skill memasak. Kelakar bila ingat. Abah suka masak makanan barat.



Makanan kegemaran abah ialah burger. Ingat lagi setiap kali ke Pasar Malam bila tanya nak belikan abah apa, mesti minta burger. Tanpa jemu. Lepas tu suka minum Teh Tarik manis. 

Perkara lain abah suka buat ialah telefon anak-anak untuk maklumankan berita di kampung. Pernah kami adik beradik dapat panggilan dari arwah. Kucing peliharaan kami mati, sakit tua rasanya. 

Abah pesan jangan menangis sebab nak sampaikan berita sedih. Setiap kali terima panggilan dari arwah mesti berdebar. Risau apa-apa jadi dekat abah.  


Doa Untuk Abah

“Ya Allah kau tempatkanlah ayah ku di dalam golongan orang beriman. Ya Allah haramkan lah api neraka ke atas jasad kami, jasab ibu bapa kami, keluarga kami & orang-orang yang beriman.”

 

رَبَّنَا اغْفِرْ لِي وَلِوَالِدَيَّ وَلِلْمُؤْمِنِينَ يَوْمَ يَقُومُ الْحِسَابُ

Ibrahim:41

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Berilah ampun bagiku dan bagi kedua ibu bapaku serta bagi orang-orang yang beriman ketika berlakunya penghitungan amal serta pembalasan.”


Semoga nanti kita satu keluarga dapat berkumpul di sana negeri yang kekal abadi ye abah. Rindu yang teramat rindu dan tak terluah dengan hanya kata-kata.

Resepi Paling Popular Dan Dicari Sepanjang Tahun 2020

Sumber dari Google mendedahkan resepi merupakan kata carian paling popular di Malaysia sepanjang tahun 2020. 

Malaysia memang terkenal dengan kepelbagaian makanan dan budaya serta rakyatnya yang cintakan makanan.

Sepanjang tempoh PKP dari awal tahun lagi banyak sungguh resepi yang trending dan viral di media sosial. Untuk menyesuaikan diri dengan norma baru, dan adanya sekatan pergerakkan jadi rakyat Malaysia mengambil peluang mencuba hobi baru iaitu memasak.


Resepi Paling Popular Dan Dicari Sepanjang Tahun 2020

Di awal tempoh PKP, banyak syarikat mengambil keputusan membenarkan pekerja untuk bekerja dari rumah untuk mengelak risiko dijangkiti penyakit. Masa terluang dirumah digunakan sebaik mungkin dan kejayaan mencuba resepi bertukar menjadi punca pendapatan bagi sesetengah golongan.




10 Resepi Paling Banyak Dicari Di Malaysia

#1 Dalgona Coffee

Dalgona Coffee muncul di tangga teratas carian tertinggi dan sempat menjadi fenomena di media sosial. 

Peminat kopi berlumba-lumba untuk cuba dan tak ketinggalan yang tak minum kopi pun teruja untuk buat. Tak terkecuali, aku pun join the vibe tapi sekali je sebab aku kurang rajin nak buat.  



#2 Dalgona Milo

Selepas Dalgona Coffee jadi sebutan, muncul lah pula Dalgona Milo, resepi kedua paling popular menurut carian di Google. 

Resepi lebih kurang je cuma gantikan serbuk Milo bagi memenuhi mereka yang tak minum kopi.


#3 Biscoff Cheesecake

Biscoff Cheesecake ni diberi jolokan ‘Kek Kayangan’ kerana bahan-bahannya yang agak mahal membuatkan orang teragak-agak nak beli. 

Kek ini tak perlu dikukus mahupun dibakar dan cukup hanya disejukkan di dalam peti ais.




#4 Kek Tornado

Tak pastilah sebab apa kek ni dipanggil Kek Tornado. Kalau ikut bentuk dia tak lari jauh dari cheese cake yang biasa orang buat tu.



#5 Kek Marble Jelita

Penggemar kek Marble ni sukakan rasa kek ni kerana tekstur dia yang gebu dan juga kurang manis. Aku memang tak pernah bosan kalau makan kek Marble Gebu Resepi Azlina Ina

Beza kek Marble Jelita dengan kek Marble biasa adalah corak (quilt) yang dilukis di atas kek Marble Jelita yang menambahkan seri kek marble.


#6 Youtiao

Youtiao merupakan makanan diperbuat daripada doh lonjong panjang yang digoreng sehingga perang keemasan apabila siap dimasak. 

Ia merupakan salah satu masakan masyarakat China dan turut popular di beberapa negara di Asia Timur dan Asia Tenggara. Kebiasaannya, ia dimakan ketika sarapan bersama bubur nasi, kanji atau air kacang soya.


#7 CekMek Molek

Kuih tradisional CekMek Molek ni memang resepi yang sentiasa dicari setiap tahun. Aku pernah kongsikan tips bagaimana nak dapatkan kuih CekMek Molek yang lembut. 

Itu pun sebab aku selalu uli dan doh menjadi keras. Lepas aku guna resepi CekMek Molek ni memang elok je kejadian kuih aku.


#8 Apam Balik

Aku antara orang Malaysia yang buat carian tentang cara nak buat apam balik yang sedap. Oleh sebab teringin sangat nak makan jadi kena la belajar buat sendiri. 

Kalau sebelum ni beli dekat Pasar Malam je. Berjaya buat waktu bulan Ramadan lepas untuk berbuka. Senang je rupanya, boleh tengok resepi Apam Balik Senang Nak Buat


#9 Taufufa

Ramai terjebak mencuba resepi Taufufa sebab sangat mudah cara nak membuatnya. Hanya perlukan tiga bahan sahaja dah boleh makan Taufufa buatan sendiri.


#10 Burnt Cheesecake

Kek ini adalah antara kek yang dijual pada harga yang agak mahal disebabkan bahan-bahan yang digunakan. 

Selain menggunakan oven, Burnt Cheesecake boleh dimasak menggunakan Air Fryer. Jadi masing-masing nak tunjuk bakat dan pastikan Air Fryer berguna. 


Credit: Google

Cara Mudah Mohon I-SINAR RM10,000 KWSP

Ada lagi yang belum mohon i-Sinar? Kalau belum boleh rujuk cara mudah untuk mohon tapi kena baca sehingga habis. Pencarum KWSP Kategori 1 akhirnya boleh memohon i-Sinar secara dalam talian mulai 21 Disember 2020.

Seperti sedia maklum, i-Sinar merupakan kemudahan untuk Ahli KWSP yang terjejas dalam tempoh krisis COVID-19 bagi membantu mereka meneruskan kelangsungan hidup.

Jika anda tergolongan dalam Kategori 1 dan memerlukan duit untuk demi kelansungan hidup, inilah masanya untuk mengeluarkan simpanan KWSP. Permohonan hanya secara online dan sangat lah mudah.


Cara Mudah Mohon I-SINAR RM10,000 



PERKARA PENTING PERLU BUAT SEBELUM MOHON I-SINAR

Sebelum membuat permohonan, anda digalakkkan untuk mendaftar nombor telefon bimbit anda di cawangan atau kios KWSP. 

Wajib mengemas kini maklumat melalui aplikasi atau portal i-Akaun bagi melancarkan urusan permohonan. Pastikan juga akaun bank masih aktif, milik anda dan Bukan Akaun Bersama (Joint Account).

KRITERIA PEMOHON KATEGORI 1 I-SINAR

  • Ahli yang belum mencapai umur 55 tahun, dan:
  • Anda sudah lama tidak mencarum
  • Anda seorang suri rumah
  • Anda bekerja sendiri dan bekerja di sektor ekonomi gig
  • Anda hilang pekerjaan
  • Anda diberi cuti tanpa gaji
  • Anda hilang sumber pendapatan
  • Tiada dokumen perlu disertakan bersama permohonan. Kelulusan secara automatik berdasarkan data dalaman KWSP:
  • Tiada caruman dengan KWSP sekurang-kurangnya dua (2) bulan berturut-turut semasa permohonan; ATAU
  • Mengalami pengurangan gaji pokok sebanyak 30% dan ke atas sejak 1 Mac 2020.


CARA MUDAH MOHON I-SINAR RM10,000

  1. Layari laman web https://isinar.kwsp.gov.my/ 
  2. Isikan nombor MyKad / MyPR dan nombor telefon bimbit
  3. Tekan TERUSKAN
  4. Isikan nombor One Time Password (OTP) yang diterima melalui SMS dan tekan SAHKAN OTP /  Atau Jawab Soalan Keselamatan untuk Pengesahan.
  5. Tetapkan AMAUN pilihan.
  6. Tetapkan Bayaran BULAN PERTAMA dan tekan TERUSKAN.
  7. Lengkapkan maklumat pemohon yang wajib diisi.
  8. Lengkapkan maklumat pembayaran dan tekan TERUSKAN.
  9. Semak maklumat pemohon dan maklumat pembayaran sebelum tekan HANTAR.
  10. Permohonan anda diterima dan akan di proses.

* Ramai yang suarakan tidak menerima OTP tetapi berjaya menghantar permohonan. Jangan risau kerana, mereka yang tidak menerima OTP dikehendaki Jawab Soalan Keselamatan untuk Pengesahan.

Permohonan jadi lebih mudah jika sebelum ini anda pernah memohon i-Lestari.



Setelah membuat pilihan jumlah pengeluaran, penasihat online KWSP bernama Elya akan beri nasihat & peringatan mengenai jumlah simpanan yang akan anda dapat sekiranya tidak membuat pengeluaran. 

Terpulang kepada individu untuk terima nasihat dan kurangkan jumlah pengeluaran atau sebaliknya. Semak balik tujuan utama kenapa kita mahu keluarkan simpanan KWSP. 



TARIKH PEMBAYARAN I-SINAR KWSP

Bagi kategori 1, pembayaran pertama i-Sinar akan dibuat bermula pertengahan Januari 2021.

Bagi kategori 2, status permohonan akan dimaklumkan kepada ahli dalam masa dua hingga tiga minggu selepas permohonan dibuat. Pembayaran akan dilaksanakan sebelum akhir bulan berikutnya, selepas kelulusan diberi.

Pembayaran selebihnya akan dibuat secara bulanan mengikut jumlah dan tempoh permohonan anda. Pembayaran akan dilakukan melalui kaedah pengkreditan terus (direct credit) ke dalam akaun bank milik anda.


KRITERIA PEMOHON KATEGORI 2 I-SINAR

Bagi permohonan Kategori 2 pula, permohonan akan dibuka pada tahun hadapan iaitu pada 11 Januari 2021.

  • Ahli yang belum mencapai umur 55 tahun, yang mengalami pengurangan pendapatan keseluruhan sebanyak 30% dan ke atas (jumlah gaji, elaun dan elaun kerja lebih masa) sejak 1 Mac 2020.
  • Jangan lupa untuk sediakan dokumen yang perlu disertakan seperti:
  • Slip gaji sebelum dan selepas pengurangan pendapatan; DAN
  • Notis pemberhentian atau pemotongan elaun dan/atau tuntutan kerja lebih masa; DAN/ATAU
  • Jika dokumen di atas tidak boleh dikemukakan, sebarang dokumen sokongan lain seperti penyata bank atau surat pengesahan majikan akan diberi pertimbangan.
Apa jua pilihan anda, pastikan anda merancang kewangan dengan bijak dan tidak menjadi mangsa scammer. Keadaan ekonomi dan situasi Pandemik ni berubah-ubah setiap masa, jadi elok berjaga-jaga. 

Punca Dan Jenis Rawatan Bell’s Palsy Perlu Tahu

Kalau sebelum ni terbaca tentang pelakon Faye Kusairi yang diserang penyakit Bell’s Palsy masa dia sarat mengandung, kali ni Adibah Noor pula diserang penyakit yang sama. 

Adibah Noor tak sedar pun yang dia terkena serangan Bell’s Palsy sehinggalah dia berjumpa dengan doktor. Dia ke hospital selepas tiga hari apabila dia tak dapat bertutur dan seyum seperti biasa.

“Saya terkena serangan bell’s palsy ketika sedang berkumur dan menggosok gigi di rumah.

“Saya pelik kenapa air meleleh daripada mulut selain sebutan juga tidak berapa jelas ketika bercakap.

“Tetapi, saya tidak terus pergi membuat pemeriksaan di hospital kerana ada penggambaran pada hari tersebut,”

-Adibah Noor-


Perkara Perlu Tahu Tentang Bell’s Palsy

Selain Faye Kusairi dan Adibah Noor, pelakon, penyanyi dan juga anak kepada Dato' Sri Ismail Sabri bin Yaakob iaitu Dafi juga pernah terkena penyakit yang sama. Kalau tak silap berlaku pada tahun 2016.




Apa itu Bell Palsy?

Aku kongsikan penerangan dari seorang doktor yang buat bebenang (thread) di Twitter. Ramai minta doktor terangkan apa itu Bell Palsy supaya lebih ramai yang faham.

Bell's palsy adalah kelumpuhan sebelah muka akibat saraf kranium VII (CNVII) terjejas. Saraf ini melibatkan otot mimik muka, sebahagian deria lidah, kelenjar air mata dan air liur.

Sesiapa sahaja boleh terkena Bell’s Palsy tak kira lelaki mahupun perempuan. Paling biasa berlaku di antara umur 10 dan 40 tahun.  Boleh berlaku secara tiba-tiba dan biasanya di sebelah muka. Ketahuilah kita semua berisiko ya.





Tanda-Tanda Bell’s Palsy adalah seperti berikut:

  • Muka senget / tak simetri
  • Kebas pada muka
  • Air liur meleleh tak terkawal
  • Mata sukar ditutup dan berair
  • Pertuturan tak jelas
  • Kurang deria rasa pada lidah
  • Sakit telinga

Apa Punca Berlaku?

Menurut Dafi, doktor memaklumkan ia berpunca akibat tekanan kerja dan kurang rehat. Sama juga situasi yang berlaku kepada Adibah Noor yang sibuk dengan aktiviti pengambaran.

Terdapat beberapa kemungkinan berlakunya Bell’s Palsy iaitu:

Terdapat jangkitan virus pada CNVII lalu ia mengalami alami keradangan dan membengkak menyebabkan ia tersepit.

Pengaktifan semula virus herpes zoster pada saraf di bahagian geniculate ganglion.


Siapa Golongan Berisiko Terkena Bell’s Palsy?

  • Kehamilan
  • Pre-eklampsia
  • Obesiti
  • Darah tinggi
  • Kencing manis
  • Stress

 


Jenis-Jenis Rawatan Bell’s Palsy

Berita baik bagi mereka yang terkena Bell's palsy ianya boleh dirawat dengan beberapa cara dan ia mempunyai prognosis (jangkaan pemulihan) yang baik. Lazimnya boleh pulih dalam masa 2-4 minggu. Namun ada juga yang pulih lebih lambat, dan ada juga yang tidak pulih sepenuhnya.

Berbalik kepada kisah Adibah Noor, disebabkan kandungan gula dalam darahnya tinggi, doktor memberitahu bahawa dia memerlukan tempoh antara tiga sehingga enam bulan untuk pulih sepenuhnya. Tolong pergi ke hospital dan dapatkan nasihat doktor untuk dapatkan rawatan segera.

Antara kaedah rawatannya adalah seperti berikut:

Oral steroid

Ia digunakan untuk mengurangkan keradangan dan bengkak pada saraf CNVII. Ini dapat mengurangkan CNVII daripada tersepit.

Ubat antiviral

Memandangkan ada kemungkinan jangkitan virus yang menjadi punca berlakunya Bell’s Palsy, maka ubat antiviral digunakan.

Fisioterapi

Fisioterapi akan ajar senaman muka dan gunakan modaliti elektrik pada saraf muka untuk merangsang pemulihan.

Akupunktur

Ini adalah rawatan komplementari(tambahan) yang boleh dicuba. Keberkesanannya dalam proses kajian lanjut.

 

Untuk keterangan lebih lanjut tentang Rawatan Fisioterapi untuk Bell’s Palsy boleh baca di myhealth Portal