Memaparkan catatan dengan label Pertandingan Ikon kerjaya. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Pertandingan Ikon kerjaya. Papar semua catatan

Pertandingan Ikon Kerjaya Impian

Minggu lepas berlangsungnya pertandingan ikon Kerja sempena hari kerjaya di sekolah kakak dan adik. Berbanding tahun lepas, sambutan hari kerjaya tahun ni lebih meriah.  

Aku suka dengan inisiatif pihak sekolah yang sediakan hadiah untuk pemenang pertandingan. Bukan apa, dah masuk hujung tahun ni dan selepas UASA kedatangan murid ke sekolah semakin merosot.

Jadi, ini antara usaha pihak sekolah untuk menarik minat murid supaya terus hadir ke sekolah. Cikgu-cikgu war-warkan pertandingan dalam ‘group’ WhatsApp dan anak-anak juga diberikan taklimat ketika perhimpunan.

Sokong Aktiviti Sekolah

Sudah menjadi kebiasaan, apa saja acara yang dianjurkan oleh pihak sekolah, kami sebolehnya akan sokong anak untuk turut serta. Tak lain tak bukan, nak beri pendedahan dan tambah pengetahuan mereka. Bukan nak menang hadiah je.

Lagi satu aku selalu rasa kurang senang kalau tiada sebab munasabah menghalang kami pasti sokong. Sebab apa tau aku rasa sedih rasa usaha cikgu tak dihargai. Itu pendapat aku lah.

Selagi tak membebankan dari segi kos dan cukup masa mesti akan sertai. Untuk pertandingan Ikon Kerjaya, syaratnya mudah saja.  

Murid harus memperagakan pakaian kerjaya idaman dan menceritakan tentang kerjaya yang diperagakan.

Pertandingan_Ikon_Kerjaya_Impian


Kerjaya Jimat Kos

Lepas berbincang dengan anak-anak, kami pilih cita-cita yang tak memerlukan kos yang banyak kalau nak diperagakan. Pendek kata gunakan apa yang ada dekat rumah.

Sebab utama, bukan pakaian je yang akan dinilai tapi lebih kepada melatih ‘soft skill’ untuk buat pembentangan tu. Anak-anak dapat belajar berkomunikasi dan bina keyakinan. Part tu paling aku teruja.

Si kakak pilih kerjaya sebagai seorang wartawan, manakala si adik memilih untuk jadi ahli sukan, Pesilat Negara.

Kakak pakai jaket abang dia waktu kecil yang masih elok dan kami buat mikrofon daripada kadboard. Adik pula pakai baju silat ditambah dengan hiasan yang dia menang Tunas Terbaik Putri semasa Kejohanan Silat yang lepas.

Untuk pakaian aku tak sediakan banyak prop pun, asal kemas dah cukup. Lebih aku tekankan untuk anak-anak cuba hafal faham kerjaya pilihan dan hafal skrip persembahan.

Pertandingan_Ikon_Kerjaya_Impian_sekolah


Kerjaya Impian

Memang meriah waktu hari pertandingan. Cikgu ada kongsi gambar dalam group whatsapp. Si kakak cerita, ada kawan dia yang bercita-cita nak jadi pelakon.

Kelas si adik pula, kerjaya impian paling jarang aku dengar iaitu juru kimpalan. Siap bawa aksesori dan menang tempat pertama. Si adik rezeki menang tempat kedua. Alhamdulillah, kenangan yang anak-anak akan ingat sampai bila-bila.

Untuk murid tahun dua, format pertandingan agak mudah. Murid datang ke depan dan terangkan kerjaya pilihan masing-masing.

Kelakarnya cikgu ada kongsikan video adik, dalam 10 ayat yang dihafal separuh je berjaya dipersembahkan. Gementar punya pasal. Tapi mama tetap puas hati sebab berani mencuba.

Cara penjurian pula dilakukan secara berperingkat. Murid bertanding di dalam kelas terlebih dahulu. Kemudian, pemenang setiap tahap akan dinilai sekali lagi untuk membuat persembahan di dewan di hadapan seluruh semua murid. Kriteria pemarkahan ditentukan oleh pihak guru.

Cerita si kakak, persaingan dalam kelas dia agak sengit. Maklumlah murid tahap dua. Masing-masing berani menunjukkan kebolehan membuat pembentangan.

Peringkat akhir, pemilihan pemenang berdasarkan keupayaan murid memainkan watak berdasarkan kerjaya pilihan masing-masing. Cikgu memberikan tugasan dan mereka diberi masa untuk mencari idea.

Tugasan kedua kakak ialah melakonkan watak seorang wartawan yang menemuramah guru cemerlang. Alhamdulillah, kakak terpilih sebagai pemenang tempat pertama.

Usaha Dulu Dan Baru Capai

Dari dulu aku tekankan pada anak-anak, supaya terbuka untuk cuba sesuatu yang baharu. Letak target dan cuba capai. Sebelum tu berusaha dan buat yang terbaik.

Menang atau kalah perkara kedua. Paling penting proses yang anak-anak lalui tu mematangkan mereka.

Benda bukan senang nak belajar kawal rasa gementar, nak berkomunikasi dan tampil bercakap depan orang ramai. Bersyukur sangat Allah temukan anak-anak dengan guru-guru yang tak pernah bosan mendidik dan banyak berkorban.

Hanya Allah je yang mampu balas jasa mereka.  Alhamdulillah atas setiap peluang dan pengalaman. Mama doa supaya Allah sentiasa memelihara, melindungi daripada segala keburukan, mengurniakan kesihatan yang baik serta membentuk mereka menjadi insan yang berilmu, berakhlak mulia dan sentiasa merendah diri.

Harapnya kemanisan yang dirasai menjadikan kami lebih bersyukur dan bukan merasa lebih baik daripada orang lain. Semoga setiap kebaikan yang aku kongsi memberi manfaat dan inspirasi buat yang membaca.

Apa pun pencapaian yang diperoleh, semoga Allah sentiasa memelihara anak-anak kami, menjauhkan mereka daripada perkara yang tidak baik dan mengurniakan kesihatan serta akhlak yang baik.

Apa yang baik datang daripada Allah, dan segala kekurangan adalah daripada kelemahan kami sendiri.