Bubur Nasi Berlauk Sedap Di KL, Jim’s Porridge

Buka puasa hari ke 16 tekak dah mula demand tak mahu makan nasi. Malas memasak pun ye juga sebenarnya. 

Jadi minta izin suami untuk cuti memasak. Lepas dapat green light untuk beli juadah berbuka, maka laju je otak berfikir apa nak makan. 

Kalau dasarnya tekak Melayu mestilah mencari menu berkait dengan nasi juga. Terbayang bubur nasi berlauk, perghh sedapnya.

Sebenarnya teringin nak makan bubur nasi berlauk gara-gara nampak kawan-kawan bercerita tentang bubur berlauk dari Jim’s Porridge. Katanya bubur nasi berlauk sedap di KL. 
Dia punya bubur memang meriah. Meleleh air liur aku, tu baru tengok gambar weh.

Meriahnya Bubur Nasi Berlauk Jim’s Porridge


Menu bubur memang dah sinonim sangat dengan masyarakat kita terutama di bulan puasa. Sekarang pula dengan PKP dan pergerakan yang agak terhad, bazar Ramadan pun tiada, jadi terpaksa lepaskan rindu kita beli bubur berlauk Jim’s Porridge. Order di hujung jari jelah, tak payah nak keluar.




Jim’s Porridge Ramadhan Combo Promo!

Sekarang pula tengah ada Ramadhan Combo Promo lagilah aku gembira nak beli, dengan setiap pembelian minima 3-unit mana-mana Bubur Berlauk Set, boleh dapat 15% diskaun. 

Menarik tu. Tempahan dibuka setiap hari mulai jam 11 pagi sehingga 4 petang ok. Korang nak order tekan je link ni https://jimsporridge.oddle.me/en_MY nanti bubur akan sampai di depan pintu. 

Antara kawasan penghantaran Jim’s Porridge ialah seperti Selayang, Gombak, Setapak, Wangsa Maju, Setiawangsa, dan Keramat.

Selain belian secara online korang juga boleh terus beli bubur berlauk di Kiosk Jim's Porridge dan tapau / take away menu-menu pilihan korang. 

Ada dua Kiosk setakat ni iaitu di Ground Floor Busana@Menara MARA dan satu lagi terletak di walkway Jakel (sebaris dengan kiosk ChaTime). Kiosk dibuka setiap hari bermula jam 11 pagi sehingga 8 malam.



Set Bubur Berlauk Mix n Match Jim’s Porridge

Tersedia dua pilihan bubur iaitu ayam atau daging berharga RM6. Apa yang best korang boleh mix n match lauk pilihan yang berharga RM1/ scoop. 

Ada lima set cadangan dari Jim’s Porridge macam gambar di bawah. Antara pilihan lauk yang ada ialah:

>> Ikan Masin Lobak Manis
>> Sotong Lobak Manis
>> Lala lobak Manis
>> Sambal Paru
>> Kerepek Peria
>> Udang Goreng Rangup
>> Tempe goreng
>> Halia goreng
>> Telur Masin
>> Kacang
>> Ikan Bilis
>> Kentang Goreng




Pendapat Aku Tentang Jim’s Porridge

Daripada senarai panjang di atas, sambal paru dan halia goreng adalah lauk korang kena cuba sebab itu lauk kegemaran aku anak beranak. Kira macam aku paksa cuba la. lol.  

Gabungan bubur yang cukup rasa dengan lauk-pauk memang kena lah. Kalau ikut tekak Melayu aku ni memang sedap je jawapan aku.

Aku puas hati sebab lauk pauk aku yang digoreng tu selamat dan masih garing masa aku makan waktu berbuka. Memang Jim’s Porridge dah siap asingkan lauk-lauk dalam plastic lain. Bijak kan?  

Sebenarnya masa aku dapat bubur aku agak terkejut, tak sangka weh Jim’s Porridge memang murah hati, seram tengok kuantiti semangkuk bubur dia.  Banyak dan boleh dikongsi dua orang. 

Mengah juga aku sorang-sorang nak habiskan. Set yang berkenan dekat tekak aku wuuuuuu...




Cuma kalau untuk improvement lagi power dia bagi sup kosong, sebab aku sejenis suka makan bubur yang ada kuah. Tambah lagi ada sambal. perghhh. Lagi syahdu. 

Jadi untuk korang yang mencari Bubur Nasi Berlauk yang sedap di KL dan kawasan sekitar boleh hubungi Jim’s Porridge. Maklumat lanjut korang boleh check out Facebook dan Instagram mereka.

Senarai Menu Berbuka Minggu Kedua Puasa Ramadan


Menu Berbuka Minggu Kedua Puasa Ramadan



Pejam celik pejam celik dah masuk setengah bulan kita berpuasa. Cepat je dah berlalu Ramadan ke 16. Rasa baru sekejap kena kurung. Eh. Seperti jangkaan, semangat nak masak tu sedikit menurun. Penat hoih. Aku slow down sedikit buat kuih sebab kuih yang aku buat untuk berbuka semua ambil masa nak habis.

Tapi aku kagum dengan semangat jiran aku, hampir setiap hari akan beri kuih, bukan calang-calang kuih dibuatnya. Almaklumlah duduk ramai-ramai seronok la nak memasak. Kebetulan mak ayah dia datang ziarah, sekali sangkut dekat rumah dia jadi tak lepas balik sebab PKP.



Senarai Menu Berbuka Minggu Kedua

Ada hari memang aku surrender je nak memasak. Kebetulan ada hari suami keluar bekerja, jadi alang-alang dia balik suruh bungkus makanan dekat luar je. Malas nak guna Grab atau FoodPanda sebab sekarang hampir setiap petang akan hujan. 

Malas nak turun dan rasa kasihan nak suruh rider anta dalam hujan.

Ikut rekod, setakat aku taip entri kali ni aku terlepas sahur satu hari sahaja. Malam tu anak aku yang bongsu lambat masuk tidur sebab dia dah tidur lepas waktu berbuka. 

Pukul 3.15 pagi baru dia nak lelap, maka dengan aku sekali hanyut. Ajaibnya alarm suami pun tak bunyi. Maka ber hu hu la puasa pada hari tersebut.


Menu Berbuka Hari Ke Lapan 


Roti Jala

Kari Ayam
Mee Goreng 
Cucur Udang (Jiran Bagi)



Menu Berbuka Hari Ke Sembilan 


Nasi Putih
Kobis Goreng

Ikan Siakap Goreng
Sardin 
Popia Crab
Lemang & Rendang Daging (Jiran Bagi)
Buah Tembikai



Menu Berbuka Hari Ke Sepuluh 


Nasi Putih
Telur Bistik Seafood 

Ayam Masak Lemak
Kek Pisang

Menu Berbuka Hari Ke Sebelas


Mushroom Soup
Tauhu Sumbat
Bubur Lambuk (Jiran Bagi)
Ayam Bakar

Nasi Mentega 
Kuih Ketayap  (Jiran Bagi)


Menu Berbuka Hari Ke Dua Belas 


Nasi Putih
Bihun Goreng
Bubur Lambuk Meatball
Singgang Ikan
Daging Goreng Sos

Puding Roti & Sos Kastard
KuihTako  (Jiran Bagi)

Menu Berbuka Hari Ke Tiga Belas 


Ayam Goreng ala KFC
Sambal Kering Tempe
Ikan Pari Kari

Popia
Kuih (Jiran Bagi)


Menu Berbuka Hari Ke Empat Belas 


Sup Kambing
Kuew Teaw Goreng
Kuih Koci
Corndog Cheese Tarik

Popia Banana Choc (Jiran Bagi)
Bihun Soto (Jiran Bagi)


Setakat itu sahaja perkongsian Senarai Menu Berbuka Minggu Kedua Puasa Ramadan untuk keluarga kecil kami untuk tahun ini. Moga perkongsian ini dapat memberi ilham untuk korang juga. 

Music Video Reaction Lagu Damba CintaMu

Wah kemain nak buat music video (MV) reaction dekat blog, macam bagus je kan nak react. Ececeh. Selalu orang buat reaction dekat Youtube kan? 

Ha sebab aku malas nak bercakap, aku taip letak dalam blog la eh. Kasik peluang la kan.
Ini kira Video Reaction pertama aku kongsi dekat blog. 

Music Video Reaction Lagu Damba CintaMu

Untuk music video pertama aku pilih MV lagu terbaru kumpulan Raihan berkolaborasi dengan Alif Satar, lagu yang bertajuk Damba CintaMu. 

Lagu ni lagu lama kumpulan Raihan, penyanyi asal ialah Nazrey Johani dan untuk tahun 2020, kumpulan Raihan ajak Alif Satar menyanyikan semula lagu Damba CintaMu.

Alif Satar memang jadi penyanyi favourite aku selain Anuaz Zain sebab suara di tu perghh sangat. Maaflah aku aku tiada pengetahuan dalam bidang muzik jadi ampunkan aku kalau salah guna terma muzik okeh. 

By the way, reaction to this MV pun sekadar suka-suka, so jangan serius sangat kalau aku komen yang agak kasar. Tak pasti lepas ni aku nak teruskan reaction untuk MV lain atau tak.




Vokalis Asal lagu Damba Cintamu


Masa dengar MV ni memang rasa familiar sangat, rupa-rupanya ini merupakan lagu lama kumpulan Raihan. Kira macam throwback sajalah. 

Vokalis asal yang menyanyikan lagu Damba CintaMu pada tahun 2017 ialah saudara Nazrey Johani yang sekarang dia tak lagi bersama kumpulan Raihan.

Suara dia memang tak dinafikan memang sedap. Suara dia agak ‘keras’ bagi aku tapi masih merdu. Lirik lagu ni deep, jadi bila penyanyi bersuara ‘tegas dan keras’ yang nyanyi rasa macam sentap dihati. 

Kalau Hang Tuah kekuatan dia terletak pada huruf T, maka Kekuatan lagu ni aku terletak pada liriknya. Begitu perumpamaan.

Untuk beri kelainan, tahun 2020 Alif Satar pula yang bawa lagu ni. Semestinya suara Alif lain sangat jika dibandingkan dengan saudara Nazrey Johani. 

Suara saudara Nazrey Johani dan Alif sama-sama sedap tapi mempunyai peminat yang berbeza. Ada yang suka versi asal, dan ada yang lebih suka versi terbaru. Gitu.


Neelofa dalam MV Damba Cintamu

Aku rasa bagus sangat babak dalam MV Damba Cintamu ni yang hanya berkisarkan seorang perempuan yang tengah solat dan memohon ampun kepada Tuhan, serta muhasabah diri atas segala dosa yang dilakukan sehingga menitis air mata.

Simple je jalan cerita. Kalau nak tahu kisah sebenar kenapa Neelofa ada dalam MV ni dan kenapa babak dia sahaja sepanjang MV ni kena tengok IG live dia borak dengan Alif Satar. Ada orang kongsi di Youtube.

In short, sepatutnya babak yang libatkan Neelofa hanya 5 minit yang terakhir tapi oleh sebab kekangan PKP dan faktor lain maka memang babak Neelofa duduk di tikar sejadah sahaja. Korang tengok sendiri la baru faham apa aku maksud okeh.

Lirik Lagu Damba Cintamu Oleh Raihan Dan Alif Satar 


Tuhanku ampunkanlah segala dosaku
Tuhanku maafkanlah kejahilan hambaMu

Ku sering melanggar laranganMu
Dalam sedar ataupun tidak
Ku sering meninggalkan suruhanMu
Walau sedar aku milikMu

Tuhanku ampunkanlah segala dosaku
Tuhanku maafkanlah kejahilan hambaMu

Bilakah diri ini ‘kan kembali
Kepada fitrah sebenar
Pagi kuingat petang kualpa
Begitulah silih berganti

Oh Tuhanku,
Kau pimpinlah diri ini
Yang mendamba CintaMu
Aku lemah aku jahil
Tanpa pimpinan dariMu

Ku sering berjanji depanMu
Sering jua ku memungkiri
Ku pernah menangis keranaMu
Kemudian ketawa semula

Bilakah diri ini ‘kan kembali
Kepada fitrah sebenar
Pagi kuingat petang kualpa
Begitulah silih berganti

Oh Tuhanku,
Kau pimpinlah diri ini
Yang mendamba CintaMu
Aku lemah aku jahil
Tanpa pimpinan dariMu

Kau pengasih Kau penyayang
Kau pengampun
Kepada hamba-hambaMu

Selangkah ku kepadaMu
Seribu langkah Kau padaku

Tuhan,
Diri ini tidak layak ke syurgaMu
Tapi tidak pula aku sanggup ke nerakaMu

Kutakut kepadaMu
Ku harap jua padaMu
Mogaku ‘kan selamat dunia akhirat
Seperti rasul dan sahabat
Seperti rasul dan sahabat



Pendapat aku Tentang MV Damba Cintamu

Meremang bulu roma masa aku dengar lagu ni, aku pakai head phone, duduk dalam bilik, waktu malam dan bersendirian. Tak sedar mata berkaca dan hati jadi sebak. 

Sesuai sangat lagu ni keluar masa bulan suci bulan Ramadan yang mana rata-rata semua manusia cuba nak jadi baik. 

Seperti aku kongsi dekat atas, lirik dia memang menyentuh hati. Sangat kena dengan diri sendiri yang selalu lupa dekat Pencipta.

Lirik “Bilakah diri ini ‘kan kembali, Kepada fitrah sebenar, Pagi kuingat petang kualpa, Begitulah silih berganti” ini berlegar-legar dan tengiang-ngiang di telinga. 

Weh kalau bercakap tentang diri sendiri, tak payah tunggu petang, aku dah alpa selepas setengah jam. Punya la hina diri ini.

Jadi pendapat aku tentang MV dan juga lirik lagu ni memang terbaik ah. Susunan muzik, suara penyanyi, MV yang simple tapi memberi mesej yang baik kepada pendengar. 

Jadi aku sokong. Kalau korang belum berkesempatan untuk dengar aku cadangkan untuk dengar. Moga sedikit sebanyak dapat manfaatnya.

Okeh, setakat ini sahaja MV reaction untuk kali ini. Kalau aku rajin dan membawa kebaikan kepada korang aku buat lagi. Selamat mendengar, menangis dan menjiwai. Babai.

Resepi Kek Pisang Moist Yang Sedap Dan Mudah

Selama ni kalau tekak teringin nak makan kek pisang mesti aku akan beli Kek Pisang jenama Samudera setiap kali pergi Giant. 

Boleh la tahan rasa dia, memandangkan aku tak pernah cuba buat kek pisang jadi telan sajalah. Dalam otak aku fikir kek pisang susah sebab aku tak reti nak masukan berapa banyak pisang dalam resepi.

Kang kalau terlebih pisang tak rosak ke kek. Gitu alasan. Kebetulan ada pisang yang memang dah masak ranum dekat rumah. Suami beli masa tu pisang tu masak macam terpaksa. 

Kulit dia dah bertukar warna kuning tapi rasa dia keras dan pahit, payau macam pisang mentah tu. Memang terbiar layu la siapa tiada siapa nak makan.

Resepi Kek Pisang Moist Yang Sedap Dan Mudah

Oleh sebab separuh aku dah buat cekodok pisang maka yang lebihnya aku beranikan diri cuba buat kek pisang. Kira kek pisang homemade yang pertama aku buat pada umur 34 tahun. Boleh catat dalam diari okeh. Lol. 

Aku ingat buat kek pisang ni susah sangat, rupa-rupanya sama je macam kek butter, kek marble semua tu. Aku buat kek pisang bakar ya. 

Untuk beginner macam aku kira ok la boleh buat. Moralnya jangan takut nak mencuba okeh!


Resepi Kek Pisang Moist

Setakat yang aku google, aku tak jumpa lagi pantang larang untuk buat kek pisang. Tiada pula orang persoalkan kena guna pisang jenis apa.

Aku tibai je pisang makan, sorry aku tak tahu nama. Pastinya pisang untuk digoreng tu tak sesuai la agaknya dijadikan kek. Kalau ikut resepi dari Sue Kitchen dia guna Pisang Berangan ya.


Cuba buat Kek Pandan Gula Melaka Mudah & Sedap pun mudah juga

Bahan-Bahan

250g pisang berangan
180g minyak masak
150g gula perang
3 biji telur
150g tepung naik sendiri
1 sk soda bikarbonat
1 sk garam



Cara-cara untuk membuat kek pisang ialah:

  • Potong pisang menjadi ketulan kecil. Kisar pisang, gula, minyak, garam dan telur di dalam blender sehingga sebati.
  • Campurkan tepung dan soda bikarbonat di dalam satu bekas.
  • Kemudian, tuang adunan pisang ke dalam tepung dan kacau menggunakan senduk sehingga adunan sebati.
  • Dalam masa yang sama panaskan oven guna api atas bawah sekurang-kurangnya 10 minit. Aku dapat petua dari Chef Florence Tan masa event Baking Demo session guna mentega Anchor, WAJIB panaskan oven sebelum mula bakar kek. Kalau kek bantat korang tanggung sendiri.
  • Oleskan Loyang dengan mentega supaya kek tak melekat atau guna la baking paper kalau ada. aku nak kek tu bulat cantik jadi malas guna baking paper.
  • Tuang adunan ke dalam loyan dan pastikan adunan sekata. 
  • Hiris pisang dan susun di atas kek untuk bagi kek kelihatan berseri. 
  • Boleh guna Loyang 10 inci tapi aku guna Loyang kecil jadi aku buat dua bekas. Bakar pada suhu 170c selama 40 minit atau sehingga masak ikut oven masing-masing.



Kesimpulan

Semestinya aku akan repeat lagi buat kek pisang selepas ini. Kek pisang pertama aku berjaya dapat pujian dari suami, dia kata macam orang jual dekat kedai dan semestinya lagi sedap. 

Ok tu nak ambil hati aku la. lol. Hasil kek Pisang aku memang dia jadi lembut dan sangat moist. Tak terlalu manis dan sesuai dijadikan sajian untuk minum petang. 

Resepi dan tip Kek Pisang Moist Yang Sedap Dan Mudah aku dah kongsi jadi tinggal kerajinan korang sahaja.

Selamat mencuba.