Kedai Asam Pedas Melaka, Restoran Berkat Salam

Kalau korang bercuti di Melaka, memang rugi kalau tak makan asam pedas. Kebanyakkan kedai makan di Melaka, asam pedas pasti ada dalam menu masakan mereka. 

Sekarang dah banyak restoran yang bijak tarik perhatian pelanggan dengan menjual pelbagai jenis masakan asam pedas. 

Selalu orang cari asam pedas ikan pari, ikan asam pedas ikan kembung, asam pedas tetel dan sebenarnya kedatangan aku ke Melaka kali ini adalah sebab nak cuba asam pedas telur ikan mayong.



Kedai Asam Pedas Melaka, Restoran Berkat Salam


Sebelum ni aku pernah cuba asam pedas claypot dekat area Menara Taming Sari. Tapi sayangnya asam pedas tu tak memenuhi selera aku. Kuah dia rasa terlebih kunyit. Lama juga aku merajuk tak makan asam pedas. 

Aku pernah juga share resepi Asam Pedas Ikan Siakap

Aku tahu tentang Restoran Berkat Salam sebab kedai ni termasuk di dalam senarai kedai asam pedas terbaik di Melaka. Itu apa yang aku jumpa di Google. Jadi haruslah jejakkan kaki bila sampai ke Melaka. 


Restoran Berat Salam Asam pedas


Lokasi Restoran Berkat Salam


Restoran Berkat Salam terletak di Bukit Katil, iaitu di Jalan Tun Hamzah, Ayer Keroh Melaka. Lokasi kedai betul-betul di tepi jalan memudahkan pelanggan untuk jumpa kedai ni dan restoran dia luas, bersih serta selesa untuk keluarga. 


menu masakan Restoran Berat Salam Asam pedas



Konsep kedai ini adalah layan diri. Korang perlu ke kaunter untuk ambil nasi dan pilih lauk yang telah pun siap di isi dalam mangkuk. 

Aku prefer macam ni sebab kedai dah decide berapa harga semangkuk lauk dia akan charge. 

Manakala asam pedas dan gulai lemak cili padi pula dia letak di dalam kuali kecil. Tujuan dia supaya mudah untuk dia panaskan semula bila pelanggan request nak makan asam pedas panas. 

Eh bijak lah idea tu. 


Air asam tetel


Makan Asam Pedas di Restoran Berkat Salam


Tujuan utama nak cari asam pedas telur mayong tapi tak kesampaian, jadi aku pilih asam pedas telur Ikan Tenggiri. 

Aku dapat makan Asam Pedas Telur Ikan Mayong dekat RUMAH ASAM PEDAS MELAKA 

Untuk mengubat kekecewaan, aku cuba juga daging tetel air asam (pertama kali cuba), udang sweet sour dan ayam goreng untuk anak-anak. 

Kalau nak tahu daging tetel ialah daging lembut yang bercampur dengan urat, tulang dan juga lemak. Sedap dimakan tapi bahaya kalau makan dalam kuantiti banyak sebab ianya tinggi kolestrol. 


udang masak sweet sour


Menu dekat sini sama je dengan kedai lain yang menjual makanan tengahari. Rasa makanan dia tidaklah mengecewakan, servis pun laju. 

Anak-anak enjoy sebab dapat rasa vibe kampung. Tapi cuaca di Melaka panas ya. 


Asam pedas telur ikan tenggiri


Sedang elok dalam pukul 2 petang, kami selesai makan. Teruskan perjalanan dan ikut perancangan nak berehat dan check in hotel. Elok je melangkah keluar, ramai pelanggan baru tiba. 

Kali ni kami  check in di The Straits Hotel And Suites Melaka.



Kesimpulan 

Walaupun impian nak makan Asam pedas telur ikan mayong di Melaka tak tercapai tapi aku bersyukur sangat sebab dapat luangkan masa berkualiti dengan keluarga. 

Pencapaian membanggakan apabila bercuti dengan anak-anak yang masih kecil dan tiada berlaku perkara yang tak seronok.  

Perjalanan smooth sangat, anak-anak tak meragam dan suami beri kerjasama sepenuhnya. Knowing me yang selalu berperangai di luar jangkaan memang mencabar nak handle. Ahaks. 

Next food hunting, nak makan malam tepi sungai Melaka, Waronk Avenue. Ayuh. 

7 Tips Jadi Social Media Influencer Untuk Pemula

Dah jadi trend sekarang, ramai orang berlumba-lumba nak jadi social media influencer. Bunyi macam seronok je kan? Realitinya menjadi social media influencer bukanlah satu tugas yang mudah. 

Dah namanya pun “influencer”, dalam bahasa senang nak faham ialah mereka yang mempengaruhi orang lain membuat keputusan.  

Kalau di media sosial seorang influencer pastinya mempunyai pengaruh yang kuat dan pengikut yang ramai. Semakin besar pengaruh semakin besar tanggungjawab yang digalas. 


Cara Nak Jadi Social Media Influencer Untuk Pemula

Menurut Influencer Marketing Hub, Influencer ialah seseorang yang mempunyai kuasa untuk mempengaruhi keputusan pembelian orang lain kerana kuasa, pengetahuan, kedudukan atau hubungan mereka dengan pengikut mereka. 

Tambah pendapatan dengan jadi Affiliate di Tiktok. 


Cara Jadi Social Media Influencer


Jenis-jenis Influencer Mengikut Jumlah Follower

Secara amnya Influencer dikategorikan kepada beberapa jenis yang ditentukan melalui jumlah bilangan pengikut ataupun follower di media sosial. 

Selain itu, Influencer juga dikelaskan mengikut niche dan kepakaran serta platform yang dipilih. 4 Jenis Influencer mengikut jumlah pengikut adalah seperti berikut: 

Nano influencers – 1,000 hingga 10,000 pengikut

Micro influencers – 10, 000 hingga 100,000 pengikut

Macro influencers – 100,000 hingga 1,000,000 pengikut

Mega / Selebriti influencers – lebih dari 1,000,000 pengikut


7 Tips Nak jadi Social Media Influencer 


#1 Pilih Niche

Sebagai permulaan kena tentukan apa niche anda. Niche merujuk kepada kepakaran, bidang atau minat korang yang dirasakan baik untuk dikongsi dengan orang lain. 

Dalam erti kata lain, niche adalah bayangan apa yang anda cuba zahirkan supaya bila orang bercakap tentang sesuatu dan orang boleh ingat tentang anda. 

Sebagai contoh: Khairulaming dikenali kerana suka berkongsi resepi masakan, Iman Abdul Rahim suka berkongsi tentang review barang-barang Shopee. 


#2 Mula Dengan Apa Yang Ada

Mula dengan peralatan yang ada di tangan. Tidak timbul isu rekod video menggunakan DSLR lebih baik berbanding guna telefon bimbit. Jangan jadikan alasan alatan tidak mencukupi sebagai batu penghalang anda menghasilkan konten. 


Servis review di blog


#3 Buat Konten Berkualiti & Bermanfaat

Antara cabaran utama adalah menjadi Influencer yang menghasilkan konten berkualiti dan ada mesej dalam setiap karya yang dihasilkan. Kena faham tujuan kita buat konten: educate, entertain, convince & inspire. 

“Sebaik-baik manusia adalah manusia yang memberi manfaat kepada orang lain”. Jangan kejar hasilkan konten viral semata-mata kerana ianya tidak akan kekal lama.  


#4 Pandai Edit Video & Gambar

Sudah menjadi satu kemestian untuk tahu sekurang-kurangnya asas editing gambar mahupun video. Banyak aplikasi percuma dan berbayar terdapat di pasaran yang mudah dipelajari. Mudah sangat nak edit video guna telefon bimbit.


Buat duit jadi Youtuber


#5 Konsisten Buat Konten

Jangan malas. Jangan leka dan jalan terus. Nak mula memang mudah tapi nak konsisten itu yang payah. Untuk elak kita tergelincir dari landasan, wujudkan sistem kerja dan rancang lebih awal supaya anda konsisten buat konten. 

Boleh ikut tips buat content waktu busy ini kalau rasa tak pernah cukup masa. 


#6 Pilih Platform Terbaik

Tiada istilah platform mana lebih baik kerana setiap platform mempunyai kelebihan dan fungsi masing-masing. Cari kekuatan anda dan mulakan langkah. 

Jika anda suka bercakap dan tiada masalah buat video anda boleh cuba platform Youtube atau pun Tiktok. Anda introvert dan tak suka bercakap; boleh kongsi penulisan di Facebook dan Twitter. 

Jika anda pandai ambil gambar boleh gunakan platform Instagram. Suka buat review dan tulis panjang berjela boleh pilih blog. 


#7 Bina Komuniti

Fokus dalam menjaga hubungan dengan pengikut dan bina komuniti anda. Jangan lupa berinteraksi dan jawab soalan dari pengikut anda. Cuba penuhi permintaan pengikut anda. Amalkan konsep give & take. 


Kesimpulan 

Dalam artikel ini diterangkan siapa yang digelar Influencer dan jenis-jenis Influencer mengikut jumlah pengikut di media sosial. Diterangkan juga tentang 5 tips nak jadi social media influencer sesuai untuk mereka yang baru bermula. 

Pilih niche yang sesuai, mulakan dengan apa yang ada di tangan, hasilkan konten berkualiti dan bermanfaat, kuasai kemahiran editing, konsisten, pilih platform yang anda yakin dan mula bina komuniti anda. 


Pengalaman Banjir Teruk: Terkandas Dalam Kereta

Peristiwa banjir tahun 2021 aku rasakan adalah antara peristiwa banjir paling teruk berlaku di Malaysia. Terasa sangat kali ini sebab adik aku yang tinggal di Shah Alam dan ramai kawan-kawan turut menjadi mangsa banjir. 

Secara peribadi aku pernah merasai sekali sahaja pengalaman dilanda banjir, itupun air tidak naik ke rumah cuma jambatan yang menjadi penghubung kampung dengan pusat bandar ditenggelami air. Kami terputus hubungan termasuklah bekalan air dan juga elektrik. 


Pengalaman Banjir Teruk: Terkandas Dalam Kereta 

Selama beberapa hari kami tidur bergelap ditemani pelita minyak tanah. Bila bangun pagi esok, mesti lubang hidung hitam. Tapi syukur kami terputus bekalan tak sampai seminggu. Tapi seksanya Allah je yang tahu. 


Banjir teruk di selangor kl


Banjir Teruk Terkandas 2 hari 1 Malam Dalam Kereta 

Kisahnya adik bongsu update yang dia terkandas dalam kawasan banjir apabila highway dinaiki air. Memang air naik tinggi dengan cepat dan tiada jaminan selamat kalau redah waktu banjir. 

Waktu kejadian pada hari Sabtu, dia terpaksa ke pejabat atas urusan kerja. Waktu tengahari air dah mula naik dengan cepat jadi dia dan kawan cepat-cepat beredar dari kawasan pejabat. 

Risau terperangkap di pejabat dia cuba juga waze jalan alternatif balik ke Puncak Alam tapi gagalnya. Akhirnya dia dan seorang lagi kawan ambil keputusan untuk tunggu di atas jambatan menanti air surut.

Lega, ada kawan yang senasib atleast tidak lah takut sangat. Adik kata, banyak juga kereta yang senasib dengan dia. Rezeki dia kawasan dia berhenti tu berdekatan dengan stesen minyak. Jadi mudahlah untuk dapatkan bekalan makanan. 


highway tenggelam air banjir


Petang sekitar jam 5 petang pihak bomba datang selamatkan mereka yang terkandas dan dibawa ke Masjid Bukit Jelutong. Selesai tunaikan apa yang patut, adik kembali kereta. Bahaya juga tinggalkan kereta begitu sahaja. 

Malam tu dia tidur dalam kereta ditemani lampu jalan sambil tahan nak buang air kecil. Tak dapat bayangkan kalau sakit perut malam-malam. 

Pagi Ahad dia update dia tidur di Masjid Bukit Jelutong. Oh ya perjalanan ke Masjid hanya boleh dilalui oleh trak Bomba. Kereta biasa confirm tak lepas. Syukur dekat Masjid banyak barang bantuan seperti baju dan selimut orang sedekah. 


terkandas semasa banjir


Selepas waktu Zohor macam tu baru air surut sikit dan ada jalan yang adik boleh lalu untuk balik ke rumah. Sampai di Puncak Alam, line telefon terjejas dan muncul di sesetengah kawasan sahaja. 

Apa pun bersyukur, adik selamat dan dipermudahkan segala urusan. 


Rumah Banjir Dinaiki Air Sehingga Paras Peha

Seorang lagi adik aku yang menetap di Shah Alam menjadi mangsa banjir pada tahun 2021. Rumah dia dua tingkat dan semasa kejadian dia bersama tiga orang anak kecil berada di rumah. Hari Sabtu air mula naik sehingga di depan rumah dan akhirnya air naik lebih tinggi. 

Berbeza dengan tahun sebelumnya, air naik dengan cepat. Jadi dia tak sempat nak kemas dan alihkan perabot dan perkakas besar seperti peti ais serta mesin basuh. Suami dia pula bomba dan dah sibuk dengan tugas menolong mangsa banjir di tempat lain. 


kesan selepas banjir


Memang mencabar mengalihkan barang bersama tiga anak kecil yang asyik menjerit sebab takut banjir. Akhirnya mereka sekeluarga ditempatkan di kawasan penempatan banjir sementara. Selepas tiga hari baru dibenarkan pulang. 

Air naik sehingga paras peha. Tergamam bila adik buat video call tunjuk keadaan rumah dia. Peti ais terbalik, barang-barang berselerak, mesin basuh terjejas, barang-barang lain memang tak dapat diselamatkan. 


rumah musnah selepas banjir



Rakyat Jaga Rakyat

Banyak perkara kita belakar dari banjir kali ini. Banyak sangat kekurangan terutama dalam aktiviti selamatkan mangsa banjir. Syukur banyak bantuan dihulurkan oleh rakyat. 

Banyak kerjasama dan update terkini tentang banjir rakyat dapat di laman sosial Twitter. Ramai-ramai berganding bahu, turun padang, hulur bantuan dan tenaga bantu selamatkan mereka yang terjejas. 


Nenek & Bayi 3 Bulan Hanyut Dalam Arus Deras Banjir

Banjir kali ini amat menyayat hati bila terima banyak berita kematian, kehilangan ahli keluarga terutama warga emas dan kanak-kanak. Warga emas yang menghidap sakit kronik seperti jantung dan strok serta kanak-kanak adalah golongan berisiko tinggi. 

Sayu bila menonton video TikTok, kejadian berlaku di Hulu Langat. Cubaan ahli keluarga untuk selamatkan nenek mereka yang uzur berusia 68 tahun, tak mampu berjalan dan pernah kena stroke. 

Dengan keadaan banjir yang semakin teruk mereka cuba pindahkan nenak ke tempat lebih tinggi menggunakan tilam tebal yang dijadikan pelampung dan ditemani seorang ahli keluarga. 

Dalam keadaan tertekan dan terdesak mereka tawakal kepada Allah. Malangnya arus deras telah menenggelamkan tilam dan nenak hanyut dibawa arus deras banjir. 

Ada ahli keluarga yang terus terjun untuk selamatkan nenek. Sayu hati, gelap rasa bila dengar suara orang menjerit, menangis, panggil nenek. 

Dengan izin Allah usia nenek tu masih panjang, khabarnya nenek tu berpaut pada tiang elektrik lebih dua jam sebelum diselamatkan. 

Sumber: Tiktok @laskartenang


Kesimpulan 

Memang benar banjir adalah bencana alam dan banyak sebab boleh akibatkan banjir. Berharap kerajaan, rakyat Malaysia terutamanya dapat ambil iktibar atas apa yang terjadi. Selepas ini boleh naiktaraf sistem perparitan, tingkatkan lagi kerja sukarelawan bantu mereka yang terlibat, dan kerajaan semestinya memainkan peranan penting untuk bela nasib rakyat. 

Coolblog Lancarkan Minuman Kempen Pesta Buah-Buahan

Sempena dengan musim cuti dan perayaan penghujung tahun ini, jenama pencuci mulut dan minuman halal tempatan terkemuka, Coolblog, mengambil kesempatan untuk menambahkan lagi kemeriahan hujung tahun ini dengan menganjurkan Kempen Pesta Buah-Buahan. 

Kempen ini berlangsung dari 16 Disember 2021 hingga 10 Februari 2022, orang ramai boleh memilih dan menikmati aneka minuman berasaskan buah yang enak dan berkualiti daripada pemilihan perisa buah kempen tersebut – Fruitti Series.

Coolblog Fruitti Fiesta Campaign

Coolblog Lancarkan Minuman Kempen Pesta Buah-Buahan 

Bagi mereka yang sudah mencuba pasti akan kembali dengan keinginan untuk merasai minuman yang lain kerana terdapat beberapa tema yang berbeza dan akan diperkenalkan setiap dua minggu sepanjang tempoh kempen. 

Berdasarkan empat tema – Happy Honeydew, Magic Mango, Breezy Blue Coral dan Sassy Strawberry. 

Para pelanggan boleh membuat pesanan dengan mudah dan memilih salah satu daripada tiga resepi terpilih, atau mencipta sendiri minuman buah mengikut citarasa dan kreativiti masing-masing dengan pilihan 14 jenis perisa yang terdapat dalam menu.


Coolblog Melancarkan Kempen Pesta Buah-Buahan Bagi Meraikan Musim Cuti Penghujung Tahun

Kesemua minuman tersebut ditetapkan pada harga berpatutan RM8 setiap satu bagi saiz 700ml. Para pelanggan juga berkesempatan menikmati tawaran istimewa percuma satu minuman siri Fruitti dengan pembelian Party Pack yang mengandungi tiga minuman daripada pilihan Happy Honey Dew dari 23 hingga 26 Disember 2021. 

Minuman untuk kempen kali ini serta produk yang ada di dalam menu boleh didapati di kesemua kedai Coolblog atau boleh membuat pesanan melalui aplikasi GrabFood dan FoodPanda.

Ketua Perhubungan Korporat dan Komunikasi Coolblog, Win Zaidi Zakaria, berkata, “Musim cuti dan perayaan ini tentunya memberi kesempatan terbaik buat diri anda dan orang tersayang.  

Bersama-sama menikmati sesuatu yang enak, terutamanya sekarang semakin banyak sektor telah dibenarkan beroperasi semula berikutan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan. 

Di Coolblog, kami komited untuk menyajikan pencuci mulut dan minuman yang enak, berkualiti dan harga berpatutan. 

Untuk tahun 2022 pula Coolblog lancarkan kempen minuman siri Red Velvet Cheese. 


Tawaran Percuma Minuman Fruitti Dengan Pembelian Party Pack

Singgahlah di kedai Coolblog untuk hilangkan dahaga dengan pilihan minuman perisa buah yang sedap dan menyegarkan melalui Siri Fruitti. 

Para pelanggan dapat menikmati pilihan kegemaran mereka bersempena dengan kempen Pesta Buah-Buahan dan mencuba sesuatu yang baharu kerana tema berbeza akan dilancarkan setiap dua minggu. 

Ini adalah cara terbaik untuk menarik pelanggan baharu ke Coolblog sama ada untuk mencuba menu sedia ada ataupun mencipta minuman mengikut cita rasa sendiri berdasarkan gandingan perisa yang disediakan.”

Sejak kedai pertamanya dibuka pada 2008, Coolblog telah pun menawarkan kepada rakyat Malaysia pelbagai pilihan pencuci mulut dan minuman tempatan dan antarabangsa yang dihasilkan daripada bahan-bahan bermutu tinggi. 

Dengan aneka pilihan yang tertera pada menu, para pelanggan Coolblog pasti akan dapat menemui minuman kegemaran mereka dan pada masa sama tidak keberatan untuk mencuba sesuatu yang baharu.

Coolblog kini memiliki sebanyak 270 cawangan di seluruh negara. Angka itu dijangka bertambah dengan pembukaan beberapa lagi cawangan di kawasan kejiranan baharu menjelang akhir tahun. 

Untuk perkembangan terkini, sila layari platform media sosial Coolblog @CoolblogMalaysia di Facebook dan Instagram.