Selamat Hari Raya AidilAdha 1444 Hijrah

Rodiah Amir
2

Salam AidilAdha untuk semua pembaca blog Rodiah Amir. Alhamdulillah syukur ke hadrat Ilahi masih dipanjangkan umur dan diberikan peluang untuk sambut Raya bersama keluarga.

Semoga mereka yang terlibat dengan ibadah Korban diterima oleh Allah dan yang dijemput menunaikan Haji tahun ini menperoleh Haji yang mabrur. Aamin Ya Mujib.

Tahun ini Diah beraya bersama keluarga kecil di rumah sendiri. Raya Haji jatuh pada hari khamis dan suami tak ambil cuti. Jadi beraya bersama anak-anak sahaja.

 

Selamat-Hari-Raya-AidilAdha-1444-Hijrah

Selamat Hari Raya AidilAdha 1444 Hijrah

Sambutan cukup ringkas dan sehabis baik menerangkan pengertian Raya Haji dan konsep Raya Korban kepada anak-anak.

Dua hari sebelum raya dah minta suami belikan barang-barang untuk masak rendang malangnya banyak kedai dah habis stok terutama daun kunyit.

Rendang tanpa daun kunyit memang tak berseri la jawabnya. Jadi masak dengan apa saja yang ada. malam raya Diah dah siapkan bahan-bahan dan siap rebus tulang.




Pagi Raya tu baru bangun siapkan bahan tumiskan dan habiskan masak. Alhamdulillah semua sempat siap. Menu kami ketupat nasi bersama rendang daging dan bihun sup tulang.

Selesai masak siapkan anak-anak untuk menunaikan Solat Sunat AidilAdha. Kami keluar rumah tanpa sempat jamah juadah raya.


Solat-Raya-AidilAdha

Bangga bila anak-anak boleh faham situasi dan tak merengek lapar. Macam tahun-tahun sebelum ini, surau dekat rumah akan buat jamuan Hari Raya.

Waktu inilah kami ambil peluang tunjuk muka dan kenal orang-orang surau. Anak-anak paling teruja. Setiap aktiviti yang dilakukan bersama-sama memang akan jadi kenangan manis untuk mereka yang sedang membesar.


Aktiviti Raya Haji Kami

Harapnya lepas ni anak-anak akan ingat dan simpan kenangan ni sampai bila-bila. Selalu ingatkan anak-anak, apa sahaja yang kita ada adalah milik Allah.

Semua Tuhan punya termasuk lah ibu bapa. Hargai bila ada, sayang dan hormat juga. Esok bila ditarik nikmat tu, kena kuat, kena sabar.

Habis solat raya, dengar khutbah dan makan alas perut di jamuan raya kami terus balik rumah. Tunaikan permintaan anak-anak nak mandi kolam.


jamuan-raya-AidilAdha-1444-Hijrah


Nak rasmikan baju renang yang mereka beli di Decathlon minggu lepas. Abah mereka la yang turun mandi bersama.

Diah cukup sekadar jadi pemerhati dan tolong siapkan anak-anak salin pakaian lepas mandi. Penat woo kalau nak mandi sekali.

Walaupun kolam renang tu dekat bawah rumah tapi macam boleh dikira dengan jari berapa kali kami turun mandi disini.

Biasalah kan benda depan mata. Selalu benda yang tiada tu di carinya. Dah penat berendam baru naik rumah dan makan juadah raya.


mandi-kolam


Selesai makan masing-masing dah penat tapi masih gigih lawan mata. Aktiviti raya kami tamat begitu sahaja. Nak berjalan menziarah adik beradik semua balik kampung.

Nak keluar ke pusat beli belah terasa berat je kaki melangkah. Lagipun tak tahu nak beli apa jadi kita berjimat duduk dekat rumah je.

Petang tu kami keluar cari makan. Pilihan yang ada makan di kedai mamak atau makan di restoran fast food. Banyak kedai tutup, balik cuti raya.

Anak-anak sepakat nak makan Pizza Hut. Abah mereka turutkan saja. Masuk je waktu Maghrib terus solat dan bergegas keluar.

Nak elak pengalaman makan tak menyeronokkan dan lambat dapat makanan. Seperti yang dijangka memang ramai pelanggan malam tu.  

Syukur selesai semua. Anak-anak enjoy dan semua yang kami rancang berjalan lancar. Semoga tahun depan ada rezeki kami sambut raya bersama emak di kampung.


Catat Ulasan

2Ulasan

Kata-kata yang lemah dan beradab dapat melembutkan hati dan manusia yang keras.

Terima kasih sudi comment.

  1. alhamdulillah..sambutan yg simple but penuh kenangan..
    salam aidil adha di sini.. :-)

    BalasPadam
Catat Ulasan