Memaparkan catatan dengan label DKKM. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label DKKM. Papar semua catatan

Dialog Kemenjadian Murid - Raudah & Airis

Assalamualaikum. Cerita minggu lepas, kami ke sekolah anak-anak, hadir untuk program Dialog Kemenjadian Kualiti Murid (DKKM). Ibu bapa di jemput ke sekolah dan fokus perbincangan bersama guru kelas berkaitan prestasi akademik murid dan juga sahsiah murid.

Untuk bagi adil dan tersusun, angka giliran diberikan semasa waktu pagi di kaunter pendaftaran. Siapa awal datang, cepat la habis urusan.

Aku datang awal untuk dua orang anak dan KAFA Airis pon buat pada hari yang sama. Senang sekali jalan je. Sekitar pukul 11 pagi dah selesai.

dialog_kemenjadian_murid


Borak Sesi Akademik Sahsiah Anak-Anak

Kalau zaman aku sekolah dulu, tak wujud lagi sesi macam ni. Paling tidak cikgu bagi report card kena bawa balik, mak abah kena tandatangan.

Sesi jumpa mak ayah ni biasa berlaku hujung tahun je. Berbeza zaman berbeza la cara kan? Sebelum berjumpa guru kelas, sekolah buat ceramah keibubapaan. Lebih kurang sejam setengah, kemudian lepas tu terus ke kelas anak.

Parenting Tips - Sharing Dari Penceramah

Banyak anak-anak bermasalah sekarang berpunca dari masalah mental anak.

Punca utama ialah telefon. Anak consume terlalu banyak bahan, perkara salah mengakibatkan anak matang sebelum waktu.

Umur 5 hingga 15tahun adalah waktu perlukan perhatian ibu ayah (waktu kritikal anak bergelut dengan emosi).

Anak-anak bermula dengan Imiginasi kemudian Fantasi dan mula lah Eksperimen.

Pastikan anak cukup rehat dan cukup makan. Tidur awal dan bangun awal.

Breakfast penting jadikan amalan, makan ikut waktu ditetapkan.

Kena tegas tapi penyayang dengan anak.

Jenayah salah laku pelajar: Buli, vape (meow-meow, mushroom now piu-piu), Cinta, Vandalisme, Bodyshaming, Ponteng sekolah.

Strategi mendisiplinkan anak:

  • Tetapkan peraturan jelas
  • Konsisten setiap hari
  • Hukuman dan ganjaran seimbang
  • Komunikasi terbuka 

Amalan harian berkesan:

  • Bangun awal bersama
  • Semak kerja sekolah
  • Luang masa bersama

Kasih ibu itu lembut, bimbingan ayah itu tegas. Kedua-duanya perlu bersatu padu membentuk generasi hebat.

ceramah_ibu_bapa_kemenjadian_murid


Ambil Result Ujian Pertengahan Sesi Akademik (UPSA)

Agak berdebar nak ambil keputusan UPSA Raudah sebab ini kali pertama dia menduduki ujian bertulis. Maklumlah baru masuk darjah empat (Tahap dua).

Sekolah anak-anak dah tetapkan yang pelaksanaan ujian hanyalah untuk murid Tahap Dua iaitu Tahun 4, Tahun 5, dan Tahun 6 sahaja.

Airis masih boleh relaks di darjah 2. Murid Tahap Satu (Tahun 1, 2, dan 3) hanya ada pentaksiran PBD (Pentaksiran Bilik Darjah) secara berterusan.

Keputusan UPSA Raudah Sakinah

Alhamdulillah keputusan akademik Raudah dan Airis masih on track. Masih mengikut apa yang kami target. Tapi ada juga subjek yang kami kena duduk berbincang.

Setakat ini tiada feedback seram dari cikgu. Sempat juga tanya tentang matriks tahun 4. Jawapan yang aku dah jangka, cikgu pesan jangan risau. Lol.

Tanya juga tentang sahsiah anak-anak, kot terlibat masalah disiplin. Kami bagi green light untuk cikgu didik anak-anak selagi tidak memudaratkan sampai patah riuk cukuplah.

Sempat selit bab perasaan cintan cintun. Ohoi seram bayangkan, murid sekarang cepat betul matang sebelum usia. Perasaan suka / crush semua tu bagi aku normal tapi kena kawal dan disiplin.

Hari-hari pesan dekat anak-anak semua tu. Mana betul mana yang salah. Mana boleh mana yang tidak. Kena fokus apa yang penting di usia sekarang.

Keputusan KAFA Airis Safiya

Walaupun dah masuk darjah dua, ini merupakan tahun pertama Airis belajar di KAFA. Kami bersyukur sangat dengan keputusan yang dia dapat.

Dalam banyak-banyak subjek, nak kena bantu dia dalam subjek Akidah dan juga hafazan Al Quran. Rezeki dia dan kawan-kawan jadi batch pertama KAFA di sekolah sekarang.

Ini semua hasil usaha bersama rakan-rakan PIBG yang lepas, kami berjaya tubuhkan KAFA di sekolah sekarang. Guru besar pun sangat-sangat membantu.

Disebabkan kewujudan Kelas KAFA, ramai ibu bapa yang pilih nak sekolahkan anak mereka dekat sini sebba mudah. Dari pagi sampai petang di tempat yang sama.


Bagi aku, waktu program ini lah aku dapat kenal lebih rapat dengan cikgu yang mendidik dan perangai sebenar anak-anak dekat sekolah. Maklumlah anak-anak ni ada sisi perangai yang berbeza bila berada di rumah dan di sekolah.

Jadi memang wajar lah program ni diteruskan. Lagi seronok kalau masa ceramah tu ada sesi soal jawab dengan ibu bapa.

Penambahan kalau nak dibuat, laporan sesi perbincangan tersimpan dalam portal untuk ibu ayah rujuk untuk tindakan seterusnya. Digitalize kan. Wah cita-cita aku kan? Ahaks. 

Alhamdulillah, selesai satu lagi fasa untuk tahun ini. Semoga Raudah dan Airis terus belajar bersungguh-sungguh, menjaga akhlak, dan membesar menjadi anak-anak yang membanggakan bukan hanya dengan keputusan peperiksaan, tetapi juga dengan adab dan peribadi yang baik. Itu yang paling kami harapkan.

 

Hari Pelaporan Pentaksiran Bilik Darjah Pertengahan Tahun

Alhamdulillah selesai sudah perjumpaan ibu bapa dan guru sempena Hari Pelaporan Pentaksiran Bilik Darjah Pertengahan Tahun bagi sesi akademik 2023/2024.

Tahun ini sedikit berbeza sebab Ikhwan darjah Enam jadi laporan pentaksiran diberi seminggu lebih lebih awal. Jadi lebih mudah sebab boleh fokus kepada Raudah sahaja.

Pelaporan pentaksiran atau nama lain, sesi Dialog Kemenjadian Kualiti Murid. Penilaian ini berdasarkan keputusan pertengahan tahun.

Nanti boleh bandingkan result pertengahan tahun dengan akhir tahun. Artikel ini agak panjang tapi sangat-sangat berguna terutama untuk ibu bapa yang ada anak yang bersekolah.

Jom kita sama-sama fahamkan dan baca sampai habis ya.


Dialog-Kemenjadian-Kualiti-Murid


Hari Pelaporan Pentaksiran Bilik Darjah Pertengahan Tahun 2023/2024

Untuk kami yang dah ada anak yang bersekolah, Pelaporan Pentaksiran bukan perkara baru. Tapi, penting untuk kami lebih faham dan aspek mana kami perlu bantu anak untuk berjaya.

Waktu pertama kali hadap perkara ni memang agak sukar nak terima - Tahun 2019 terima laporan pentaksiran Ikhwan darjah 1

Bersyukur sangat pihak sekolah dan guru sentiasa memberikan usaha yang terbaik dan mengalu-alukan penglibatan ibu bapa.

Seperti tahun-tahun sudah ibu bapa dijemput ke sekolah untuk mendengar taklimat dari Guru Besar (GB) menerangkan kaedah terkini tentang Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS).

GB terangkan dengan lebih lanjut aspek yang perlu ibu bapa cakna untuk bantu anak.

 

Apa itu Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS)?

PBS merujuk kepada pentaksiran terhadapap murid yang bersifat holistic iaitu menilai aspek kognitif (intelek), afektif (emosi dan rohani), dan psikomotor (jasmani) murid selaras dengan Falsafah Pendidikan Negara.

Ikut sistem pendidikan terkini, memang berbeza sangat cara sekolah menilai pencapaian anak-anak. Bagi Diah cara sekarang lebih menyeluruh dan beri banyak ruang untuk guru dan ibu bapa faham tentang potensi anak-anak.


Hari Pelaporan-Pentaksiran-Bilik-Darjah-Pertengahan-Tahun


Bila sebut menyeluruh bermaksud banyak kerja perlu dilakukan pada peringkat awal seperti memasukkan data ke dalam sistem, pemantauan setiap hari dan melakukan ujian tertentu.

Ini semua dilakukan oleh guru dan pihak sekolah ya. Walaupun banyak kerja tetapi bagusnya kaedah ini kita boleh faham keperluan anak.

 

Beza Penilaian Formatif dan Penilaian Sumatif

Dibawah PBS pula ada pentaksiran Formatif dan juga Sumatif. Awal-awal dulu rasa payah sangat nak faham. Nak pecah kepala nak telan segala info cikgu bagi.

Tapi sekarang bila dah nampak hasil dan cara kerja, kami sebagai ibu bapa rasa lega dan sokong usaha yang sistem pendidikan buat ni.

Perkembangan anak-anak akan dipantau dari darjah satu sehingga darjah enam. Penglibatan anak-anak bukan setakat dalam akademik sahaja, tapi melalui Badan Beruniform, Sukan dan Persatuan.

Ada graf dan carta perkembangan yang dipantau. Di akhirnya keputusan akan tunjukkan kecenderungan anak-anak termasuk pilihan kerjaya.


sistem-Pentaksiran-Berasaskan-Sekolah


Pentaksiran atau pun penilaian ni dibuat secara berterusan. Dekat bawah ni adalah perbezaan antara pentaksiran Formatif dan juga Sumatif:

Formatif -

  • Semasa PdP
  • Pelaporan dalam bentuk deskriptif
  • Dilaksanakan secara berterusan
  • Maklumat membantu meningkatkan kualiti PdP
  • Tindakan susulan

Sumatif -

  • Berlaku pada akhir suatu tempoh pembelajaran
  • Pelaporan dalam bentuk skor/gred
  • Berkala
  • Maklumat menunjukkan tahap pencapalan murid


Penilaian-Pentaksiran-Berasaskan-Sekolah


Bahasa nak mudah faham ialah formatif ni bila guru mengajar dalam kelas, guru akan nilai kefahaman murid berdasarkan kebolehan murid menjawab soalan berdasarkan apa yang diajar oleh guru.

Jadi pembelajaran tu lebih efektif sebab ada komunikasi dua hala. Pentingnya anak-anak fokus dan aktif semasa sesi pembelajaran berlangsung.

Jadi isu bila ada ibu bapa yang suarakan kebimbangan untuk anak yang extrovert. Anak yang pendiam dan kurang bercakap.

Risau jika tidak dapat markah sebab tak banyak bercakap. Sebab itu wujudnya pentaksiran Sumatif. Peperiksaan bertulis masih ada untuk pertengahan tahun dan akhir tahun.

Guru akan nilai kefahaman murid melalui markah kertas ujian. Jadi penilaian tu seimbang dan berterusan.

Banyak lagi aspek yang diambil kira, lebih elok pergi ke sekolah anak dan berbincang dengan lebih lanjut. 

 

Tahap Penguasaan Pentaksiran Pertengahan Sesi Akademik Ikhwan & Raudah 

Alhamdulillah, result Raudah untuk Darjah Satu on track. Sama juga dengan Ikhwan. Cikgu beri kertas penilaian jadi lebih mudah kami nak faham.

Penilaian diberi ikut gred TP 1 – TP 6. TP 6 paling tinggi bermaksud murid boleh jadi pembantu cikgu untuk bantu ajar murid lain.

Dinyatakan juga senarai Mata Pelajaran Teras, Tahap Penguasaan, Penyataan Tahap Penguasaan, Ulasan Guru Mata Pelajaran dan juga Usaha Murid.

Untuk bantu anak kena ambil kira ulasan Guru Mata Pelajaran dan juga Usaha Murid. Kongsi dekat sini Keputusan result Ikhwan dan Raudah. 

Bukan nak menunjuk-nunjuk tapi sebagai rujukan kenangan di masa hadapan.

Raudah / Tahap 1 (Darjah 1)

Matematik, Pendidikan Islam, Pendidikan Seni Visual – TP5

Bahasa Melayu, Sains, Bahasa Arab, Pendidikan Jasmani dan Pendidikan Kesihatan, Pendidikan Muzik – TP4

Bahasa Inggeris – TP3.


Ambil-report-card-anak


Ikhwan / Tahap 2 (Darjah 6)

Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Sains, Sejarah, Pendidikan Islam, Reka Bentuk Dan Teknologi, Pendidikan Muzik - TP6

Pendidikan Seni Visual, Pendidikan Jasmani dan Pendidikan Kesihatan, Bahasa Arab - TP5

Result Darjah Lima


Kesimpulan

Amatlah penting ibu bapa menghadiri Hari Pelaporan Pentaksiran Bilik Darjah dan faham tentang Pentaksiran Berasaskan Sekolah.

Kecenderungan setiap anak adalah berbeza. Bila kita kenal pasti dari awal, jadi mudah untuk kita bantu anak dari sudut yang mana.

Sebagai contoh, ada anak yang minat dengan nombor dan mengira. Ada pula anak yang cenderung untuk mendengar dan membaca.


impian-ibu-bapa


Jadi method untuk belajar tu berbeza. Bayangkan selama ni kita paksa anak belajar tapi bukan ikut kecenderungan mereka.

Memang payah ilmu nak masuk dalam otak sebab anak rasa susah dan tak minat nak belajar. Bukan sebab anak tak cerdik ya.

Hari Pelaporan Pentaksiran Bilik Darjah

Assalamualaikum. Pagi tadi selesai sudah sesi bertemu Guru Kelas Ikhwan untuk Hari Pelaporan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD). 

Kalau nak tahu kaedah PBD baru je mula tahun ni. Hari tandatangan buku rekod la kiranya. Sebelum ni murid-murid dinilai melalui keputusan peperiksaan semata-mata tapi melalui kaedah PBD murid-murid akan dinilai dari pelbagai aspek.

Hari Pelaporan Pentaksiran Bilik Darjah

Aku bukan faham sangat apa yang dinilai tapi lepas cikgu dia explain tadi baru la dapat tarik nafas lega. 

Berbeza sungguh sistem pendidikan negara. Maklumlah zaman kita dulu lain. Zaman orang tanya berapa banyak A kau dapat. Kahkahkah.




Pelaporan Pentaksiran Bilik Darjah Tahap 1


Tahun ni hari pelaporan disambut sekali dengan jamuan Raya di sekolah. Beberapa hari sebelum tu cikgu dah umumkan dalam group WhatsApp jadi ramai lah ibu bapa bersedekah makanan. 

Aku tak larat nak masak dan aku sedekahkan duit suruh cikgu top up je makanan yang tak cukup. Senang kerja kan? Sesi borak-borak dengan cikgu pun tak lama mana.

Malas nak bersesak jadi memang sengaja aku ajak suami datang awal. Kalau tahun lepas murid dinilai melalui peperiksaan, tahun ni bermulanya PBD dimana murid dinilai secara berterusan melalui aktiviti-aktiviti yang dipantau oleh cikgu.


Alhamdulillah, untuk keputusan pertengahan tahun Ikhwan kami sebagai ibu bapa agak lega. Cikgu cakap Ikhwan dapat jawab jika ditanya soalan dan faham apa yang di ajar cuma dia cepat hilang fokus. 

Mudah sangat terpengaruh dengan rakan sekeliling. Itu perlu dibaiki. Kita tengok sehingga hujung tahun nanti tapi apa cikgu cakap dah cukup jadi modal aku nak ugut dia supaya lebih fokus belajar.

Tahap Penguasaan Pentaksiran Bilik Darjah

Rata-rata aku baca tentang tahap penguasaan pentaksiran bilik darjah ada 6 tahap kesemuanya, tapi di sekolah Ikhwan ada sampai Tahap 5 sahaja. Emak confuse nak. 

Dah balik rumah baru teringat nak google lebih tentang tahap penguasaan ni. Ada 6 tahap kesemuanya, makin tinggi tahap penguasaan makin bagus la penguasaan seorang murid tu.

Apa pun masih jauh perjalanan kehidupan Ikhwan Hafeez. Mama doakan minat terhadap pelajaran tu sentiasa mekar dalam dada. Semoga sentiasa cerah hati nak terima ilmu. 

Bila dah tiada periksa tu tekanan tu hilang sekejap, harapnya PBD akan memberi manfaat kepada murid-murid dan ibu bapa. Doa sangat jangan la asyik berubah sistem pendidikan Malaysia ni. Kasihan anak-anak.

Kali kedua datang untuk Hari Dialog Kemenjadian Kualiti Murid Siri 1/2022 Ikhwan dah darjah Lima.