EID Authentic Korean Restaurant Damansara Perdana

Kalau korang mencari makanan Korea yang authentic dan halal di sekitar Selangor dan KL korang patut ke EID restoran yang terletak di Damansara. 

EID Authentic Korean Restaurant juga ada cawangan di Bangi dan juga Seremban. 

Antara makanan yang selalu masuk dalam ‘food hunting’ aku adalah makanan Korea. Aku syak sebab aku suka tengok drama Korea dan juga Runningman telah mempengaruhi otak aku untuk cuba. 

Bila tengok scene makan je mula la aku telan air liur. Hati meronta-ronta suruh cari. 
Kecintaan aku terhadap makanan memang tak pernah pudar. Memang sejak kecil lagi aku sejenis manusia yang suka cuba semua jenis makanan.


Makan Di EID Authentic Korean Restaurant Halal Di Damansara Perdana

Dulu masa aku bekerja, memang banyak duit gaji aku dibelanjakan untuk makan. Tapi masih terkawal. Berkawan pula dengan orang yang suka cuba makanan baru memang meriah lah.

Geram punya pasal, untuk mengubati kerinduan pada makanan Korea aku ajak kawan-kawan aku balas dendam cuba makan makanan Korea yang terletak di Damansara Perdana. 

Ambil peluang untuk ‘me-time’ bila suami beri keizinan untuk jumpa kawan sambil makan. 




Menu Makanan di EID Authentic Korean Cuisine

Aku dapat tahu tentang Restoran EID ni melalui hebahan kawan-kawan dekat Instagram. Rata-rata bercakap tentang kesedapan makanan dekat sini yang menggunakan original resepi Korea dan semestinya terasa autentik (asli) Korea walau berada di Malaysia. 

Tak perlu terbang jauh ke Korea untuk merasa makanan Korea. Jom aku cerita sikit tentang Restoran EID. 

Kalau nak tahu, pemilik restoran EID di Malaysia ni merupakan rakyat Korea beragama Islam yang datang ke Malaysia dan membuka restoran Korea yang menggunakan resepi keluarga mereka. 

Yu Hyunwoo atau nama Islam beliau Saad, dan Han Narae atau nama Islam dia ialah Nadia merupakan pasangan suami isteri.

Yu Hyunwoo mengembangkan lagi perniagaan keluarga mereka dengan membuka outlet di Malaysia manakala ibu bapanya bertanggungjawab ke atas Restoran EID di Korea.  

Setakat ni ada empat outlet termasuk di Seoul, Korea. Kalau di Malaysia, korang boleh pergi ke outlet Restoran EID di Damansara Perdana, Bangi Sentral ataupun di Seremban Gateway.




Outlet Damansara Perdana yang aku pergi ni merupakan outlet ketiga Restoran EID di Malaysia. Telah dibuka sejak 5 September 2019 dan mendapat sambutan menggalakkan daripada peminat makanan Korea. 

Hanya di outlet Damansara Perdana sahaja yang menyediakan minuman kopi kepada pelanggan. Jadi peminat kopi macam aku mesti datang ke sini.

Korang juga tak perlu risau sebab kesemua bahan masakan di restoran dibekalkan oleh EID Central Kitchen yang telah mendapat pengiktirafan sijil HALAL JAKIM. Penggemar makanan Korea yang beragama Islam macam aku dapat menikmati juadah hidangan asli Korea tanpa rasa ragu-ragu.




Restoran EID di Seoul, Korea yang popular di kalangan pelancong Malaysia dan merupakan restoran pertama yang diiktiraf Halal oleh Persekutuan Muslim Korea (KMF). KMF ialah satu-satunya badan pensijilan halal Korea yang diiktiraf Jakim tau.

Restoran ini bukan sahaja popular dalam kalangan Muslim, malah menjadi pilihan bukan muslim dan mendapat sambutan orang Korea sendiri kerana keenakan juadah rasa asli Korea. 

Dah beberapa kali aku cuba makanan Korea, rasa makanan di Restoran EID memang lain dan sedap. Memenuhi kehendak selera aku. 

Menu Perlu Cuba Restoran EID

Antara menu yang aku sempat cuba pada hari tersebut ialah; dumpling ramyeon, cheesy corndog, soteok (sweet & spicy), chicken kimchi stew, jimdak (braised chicken), nasi dan Seaweed sup. Selain tu korang boleh cuba Beef Bimbimbap, Yangnyeom (sweet & spicy), Honey Dakganjung (Boneless Chicken), original or cheese topokki, spicy bulgogi, samgyetang, dumpling pancake dan banyak lagi.

Masak sendiri Corn Dog Resepi Ambil sini 

Tak susah pun sebab korang boleh rujuk menu bergambar dan boleh tanya crew restoran yang ramah menerangkan tentang menu-menu yang ada. 

Kalau tanya aku, korang kena cuba cheesy corndog dia memang terbaik. Saiz dia besar dan boleh dikongsi berdua. Doh yang lembut dan disaluti oleh sos keju yang lemak berkrim.



Kalau suka makan ramyeon, boleh cuba dumpling ramyeon. Kuah dia agak pedas tapi orang Malaysia In sha Allah boleh tahan pedas. 

Aku masih teringat-ingat chicken kimchi stew dekat EID restoran, rasa macam fresh sangat lepas makan. Rasa sup dia yang simple dan menenangkan. Macam tak puas makan bila hirup sup dia.


Untuk peminat kopi korang kena cuba Affogato. Hanya di outlet Damansara Perdana yang ada jual kopi tau sebab dekat sana ada machine kopi tu. 

Affaogato ni adalah gabungan kopi dan juga aiskrim. Aiskrim diletakkan dalam mangkuk dan kemudian dicurahkan kopi ke atasnya. Padu weh rasa dia. 




Salah satu kopi yang terdapat di Restoran EID Damansara Perdana.



Kesimpulan

Overall aku berpuas hati makan dekat sini. Restoran bersih dan selesa, makanan dia sedap dan crew restoran pun ramah. 

Untuk korang yang nak cuba sesuatu yang baru dan terutama kepada peminat makanan Korea, boleh lah cuba sendiri makan di salah satu outlet Restoran EID. Waze je alamat di bawah:

📍EID Authentic Korean Cuisine, Damansara
17, Jalan Pju 8/5d, Damansara Perdana, 47820 Petaling Jaya, Selangor

📍EID Authentic Korean Cuisine , Seremban
3-Level 1 , Seremban Gateway

📍EID Authentic Korean Cuisine , Bangi
8-19-01 , Jalan Medan Pusat Bandar,7a Bangi Sentral

📍EID Authentic Korean Cuisine , Seoul
756-10, Hannam Dong, Yongsan-Gu, Seoul, South Korea



Influencer Kena Bayar Cukai? Apa Perkara Perlu Tahu?

Sabtu lepas aku sempat menghadiri bengkel kesedaran cukai anjuran SushiVid Sdn Bhd hasil kolaborasi bersama Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang bertempat di Menara Hasil Damansara. 

Lebih 70 orang influencer menghadirkan diri mendengar taklimat berkaitan tanggungjawab dan juga hak-hak sivil influencer sebagai pembayar cukai.

Bengkel dirasmikan bersama oleh En. Hishamudin Mohamed, Pengarah Perkhidmatan Korporat, LHDNM dan juga Cik Foong Yuh Wen, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif SushiVid. 


Influencer Kena Bayar Cukai? Apa Perkara Perlu Tahu?

Tujuan utama bengkel ini diadakan adalah untuk memberi kesedaran tentang cukai di kalangan influencer dan juga merupakan salah satu tanda bahawa ‘influencer marketing’ sudah mula mendapat perhatian dari badan kerajaan. 

Moga lepas ni lebih banyak kerjasama berlangsung dan bantuan sewajarnya diberikan kepada Influencer.




Aku tertarik dengan ucapan aluan oleh En Hishamudin Mohamed semasa sesi penerangan kenapa orang awam perlu membayar cukai? Dan apa yang berlaku pada duit yang dibayar? 

Beliau menegaskan bahawa pembayar cukai patut berbangga kerana mereka menjadi sebahagian ‘shareholder’ untuk pembangunan negara.

Jelasnya lagi, keselesaan, keselamatan dan hasil pembangunan yang dinikmati orang awam selama ini adalah hasil dari pungutan cukai bagi mereka yang layak dikenakan cukai. 

Kalau tak layak maka tak perlu lah bayar cukai. Jangan risau.



Influencer Dari Perspektif Cukai

Jom kenali siapa sebenarnya yang bergelar Influencer. Menurut Persatuan Digital Malaysia (MDA), pemasaran influencer kini menjadi salah satu saluran utama dalam pemasaran digital. 

Kalau kita perasan dari hari ke hari semakin ramai jenama yang memperuntukkan sejumlah besar bajet untuk bekerjasama dengan Influencer dalam membantu memasarkan produk dan perkhidmatan mereka melalui saluran media sosial. 

Kalau ikut pasaran marketing Influencer di Malaysia, Mikro influencer adalah mereka yang mempunyai lebih 10,000 pengikut di laman sosial dan dianggarkan influencer memperoleh purata lima kempen dalam sebulan. 

Manakala Makro influencer dengan lebih 100,000 pengikut dapat menjadikannya kerjaya sepenuh masa dengan membantu jenama dalam mempromosikan produk atau perkhidmatan mereka di media sosial.

Menurut LHDN, cukai pendapatan semasa menunjukkan bahawa individu yang berpendapatan lebih daripada RM34,000 setahun (kira-kira RM2,8333.33 sebulan) selepas potongan KWSP perlu mendaftar fail cukai. 

Oleh itu, jika seorang influencer memperoleh lebih daripada RM3,000 sebulan daripada produk atau perkhidmatan yang ditaja, ulasan berbayar atau apa-apa bentuk perniagaan dalam talian melalui media sosial mungkin dikenakan cukai pendapatan.

Pendapatan Perniagaan Individu Influencer Perlu Tahu

Dalam erti kata lain, Pemasaran Influencer adalah sejenis model ekonomi seperti Grab dan Airbnb yang memberikan perkhidmatan profesional mereka seperti penerbitan video kreatif, penulisan blog, penyiaran media sosial dan banyak lagi.

Jadi, Influencer dikategorikan sebagai individu yang memperoleh pendapatan perniagaan melalui perkhidmatan mempromosi produk atau perkhidmatan melalui Instagram, Facebook, blog dan lain-lain media sosial.

Pendapatan Perniagaan Individu merujuk kepada keuntungan yang diperolehi daripada menjalankan perniagaan, perdagangan, pencarian atau profesion adalah merupakan pendapatan yang layak dikenakan cukai (termasuk sebarang bentuk perniagaan yang tidak berdaftar dengan mana-mana pihak berkuasa – Ekonomi Bayangan) dan perniagaan terdiri daripada Milikan Tunggal / Bekerja Sendiri mahupun Perkongsian.


Langkah-Langkah Pengisytiharan & Pelepasan Cukai

Dalam bengkel tersebut juga, kami diberi panduan langkah demi langkah pengisytiharan cukai dan proses pemfailan yang telah disampaikan oleh En. Hishamudin Mohamed, dan rakan-rakannya. 

Beliau menjelaskan langkah-langkah untuk mengisytiharkan sumber pendapatan dan petua untuk mengisi Borang Pungutan Cukai Pendapatan (ITRF), tarikh akhir penyerahan borang, serta garis panduan untuk mengkaji dan mengira potongan cukai bulanan untuk setiap individu.

Selain pengisytiharan cukai dan potongan cukai, Influencer juga diberi pelepasan cukai sehingga sejumlah tertentu berdasarkan jumlah pendapatan seperti tuntutan jarak perjalanan, tuntutan peralatan, tuntutan kembara, tuntutan sewa untuk tujuan kerja dan banyak lagi.

Harus diingat, korang kena simpan segala dokumen, rekod, dan akaun selama 7 tahun bagi tujuan semakan / audit LHDNM seperti invois, resit, bukti payment gateway, pengesahan melalui email dan lain-lain. Kegagalan menyimpan rekod akan dikenakan penalti.


Cara- Cara Mengisi E-Filing

Kalau dah faham kepentingan dan sebab perlu bayar cukai jadi korang boleh la laksanakan peranan korang sebagai rakyat Malaysia yang bertanggungjawab dengan mengisi E-Filing. 

Untuk yang pertama kali ingin daftar sebagai pembayar cukai, korang perlu mohon Nombor Pin di cawangan LHDNM / UTC / Pusat khidmat Hasil yang berdekatan.




Nanti kakitangan LHDNM akan terangkan langkah-langkah untuk ‘login’ kali pertama dan isi maklumat diperlukan. Cuma ikut langkah-langkah yang aku kongsikan dekat bawah. 

Mudah sahaja.

Ingat, kena pilih borang yang betul. Isi maklumat dengan lengkap dan semak maklumat sebelum tandatangan dan hantar.

#1 Masukkan pengenalan diri.


#2 Isi Frasa Keselamatan dan masukkan kata laluan & klik teruskan 

#3 Pilih e-Borang

#4 Pilih e-Borang mengikut sumber pendapatan; e-B (punca pendapatan perniagaan) & pilih tahun taksiran



#5 Isilah segala maklumat yang diperlukan

Kena buat nota dekat kalendar masing-masing, tarikh akhir penghantaran borang nyata cukai pendapatan bagi individu yang memperolehi pendapatan perniagaan adalah pada 30 Jun setiap tahun. 

Jangan lupa ya. Kegagalan mengisytiharan cukai boleh mengakibatkan korang dikenakan sekatan perjalanan ke luar negara.

Contoh-contoh Perbelanjaan Perniagaan yang dibenarkan: Perbelanjaan yang dilakukan dalam menghasilkan pendapatan perniagaan.
  • Upah / Gaji
  • KWSP / PERKESO pekerja
  • Insuran Perniagaan (kecurian / kebakaran)
  • Sewa premis perniagaan
  • Faedah atas pinjaman

Contoh-contoh Perbelanjaan Perniagaan yang TIDAK dibenarkan: Perbelanjaan domestic dan persendirian.

  • Bil elektik dan bil air rumah kediaman, yuran pendidikan anak dan susutnilai
  • Perbelanjaan beli aset peribadi seperti kereta, rumah dan perabot.
  • Kalau korang nak penjelasan lebih lanjut tentang pengisytiharan dan perkara-perkara yang termasuk dalam pelepasan cukai, pihak LHDNM mengalu-alukan orang ramai untuk merujuk ke cawangan LHDN terdekat dan berjumpa dengan kakitangan terbabit.

Kesimpulan

Terima kasih kepada SushiVid Sdn Bhd yang sudi menjemput aku menghadiri bengkel ilmiah seperti ini. Aku setuju bengkel yang sebegini merupakan salah satu inisiatif yang baik dalam memberi kesedaran kepada influencer supaya celik cukai dan tahu tanggungjawab serta hak-hak asasi mereka. 

Ayuh kita jadi rakyat yang bertanggungjawab. Kita tak tahu kita tanya dan penuhkan ilmu di dada. Baru sedap nak sembang kan? Terima kasih sebab sudi membaca dan jumpa lagi di lain entri dengan perkongsian untuk topik yang lain pula.

Nak tahu lebih lanjut boleh layari laman web dibawah atau boleh hubungi Hasil Careline: 


Hasil Careline: 03-8911 1000

Buffet Ramadan 2020 Di Kuala Lumpur Convention Centre

Tinggal kurang dari dua bulan sahaja lagi, bulan Ramadan bakal tiba. Sana sini semua dah sibuk mempromosikan pakej berbuka puasa termasuk hotel dan juga restoren. 

Menyantuni jemputan dari Kuala Lumpur Convention Centre Selasa lepas, aku antara media yang hadir untuk merasa dan menikmati juadah berbuka puasa yang bakal disajikan oleh Kuala Lumpur Convention Centre sepanjang bulan Ramadan nanti.

Buffet Ramadan 2020 Di Kuala Lumpur Convention Centre


Kalau tahun lepas mereka mengetengahkan konsep “gerai”, tahun ini pula Kuala Lumpur Convention Centre mengembalikan kenangan indah bulan Ramadan dengan ‘Resepi Asli Turun-Temurun’. 

Dengan semangat balik beraya di kampung dan kegembiraan berkumpul satu keluarga, Kuala Lumpur Convention Centre ingin menghidupkan semula kemesraan ini dengan ‘Memoir Ramadan’ yang akan membawa pengunjung yang datang ‘menggamit kenangan zaman silam’.



20 Sajian Kegemaran Resepi Asli Turun Temurun

Khas sempena sepanjang bulan Ramadan tahun ini, pelanggan dapat menikmati resepi asli turun temurun yang disediakan oleh pasukan cef yang telah memenangi berbilang anugerah. 

Kebanyakkan diilhamkan oleh resepi tradisional yang diwarisi turun-temurun dalam keluarga masing-masing.




Menurut Chef Eksekutif Kuala Lumpur Convention Centre, Hisham Jaafar, “kami akan mengekalkan menu yang sama sepanjang bulan Ramadan pada tahun kerana tidak mahu pengunjung terlepas merasai sajian yang kami tawarkan”. 

Beliau juga turut teruja untuk berkongsi masakan istimewa para Chef bersama pengunjung pada tahun ini.

Menu berbuka puasa meliputi campuran sajian tradisional dan moden serta tak lupa juadah kegemaran bulan puasa dan antara sajian yang perlu di cuba ialah Sup Tulang Rawan Kicap Bersama Sambal Cili Padi hasil sentuhan Chef Bahar. 

Gulai Pedas Cili Padi Udang bersama Nangka Muda masakan istimewa Chef Asri, daging gulai kawah oleh Chef Rezal dan daging masak hitam daripada Chef Imran.

Uniknya sempena Ramadan kali ini, setiap menu yang dihidangkan mempunyai kenangan dan kisah tersendiri. 

Sebagai contoh menu Gulai Pedas Cili Padi Udang bersama Nangka Muda oleh Chef Asri berasal dari neneknya yang menjadi tradisi untuk menghidangkan sajian istimewa ini pada hari pertama Ramadan.

Sejak berumur 10 tahun, beliau akan membantu nenek dan ibunya menyediakan sajian ini dan bertambah manisnya resepi ini menggunakan udang yang ditangkap sendiri oleh bapanya. 

Kenangan indah di dapur inilah yang membakar semangat Chef Asri untuk memperkenalkan sajian masakan Melayu kepada orang ramai.


Menu Buka Puasa Perlu Korang Cuba

Mengikut selera anak tekak aku, semua menu memang patut korang cuba tetapi ada beberapa menu yang tak boleh korang lepaskan kalau berbuka puasa di Kuala Lumpur Convention Centre ini. 

Almaklumlah, jika banyak makanan di depan mata kadang-kadang keliru nak pilih yang mana. Jom baca lebih lanjut menu yang aku cadangkan.

Air Teh Susu Pisang

Untuk hilangkan dahaga korang boleh mula dengan air sejuk mahupun panas. Air yang aku nak cadangkan ialah air sejuk, campuran Lemon, Lada, daun limau purut. 

Walaupun ada lada namun tidaklah pedas macam sambal belacan ya, rasa ‘kick’ itu ada cukup untuk menyegarkan tekak. 

Manakala untuk minuman panas ada pelbagai pilihan Teh dan kopi dan aku sukakan air Teh Tarik Pisang. Kena minum masa panas-panas baru terasa aroma pisang yang lemak tu. Banyak lagi ‘air homemade’ yang disediakan untuk korang cuba.




Sup Tulang Rawan Kicap Bersama Sambal Cili Padi

Kesedapan sup yang disediakan oleh Chef Bahar masih lagi terasa. Sup yang direneh lama dengan rempah ratus serta kepelbagaian cara makan sup Tulang Rawan ni menambat tekak aku. 

Hirup sup begitu sahaja pun dah sedap. Sesuai makan dengan roti, mee mahupun nasi.




Nasi Dagang Tulang Rusuk Kerutup Bakar

Kalau korang fikir Nasi Dagang dekat sini ialah nasi Dagang ber Lauk Ikan Tongkol korang salah okeh, apa yang menarik selera aku nak cuba adalah padanan lauk nasi dagang tu adalah dengan tulang rusuk. 

Ye nama dia ialah Nasi Dagang Tulang Rusuk Kerutup Bakar. Daging super embuk dan sangat sedap. Cukup rasa dan semestinya nasi serta condiments yang menyerlahkan lagi kesedapan Nasi Dagang tu sendiri.




Sate Perut

Orang Malaysia kalau masa buffet Ramadan memang tak sah kalau tiada sate, dia rasa tak lengkap. Jadi untuk tahun ni Kuala Lumpur Convention Centre sediakan tiga jenis sate iaitu sate perut, sate daging dan ayam. Sate ayam dan daging lembut gilos.



Kambing Golek

Ada kambing golek baru la meriah buka puasa macam orang ada-ada. ok gurau. Masih mengekalkan menu Kambing Golek Harissa yang memang masyhur di sini dihidangkan dengan sos pudina, rosemerry, serta aneka sos lain.



Sajian Kontemporari & Antarabangsa

Sesekali buka puasa dengan menu antarabangsa apa salahnya kan. Boleh cuba makanan laut panggang daun pisang ala Portugese, Teriyaki Jepun dan aneka Pilihan Sushi. 
Memang tak mengecewakan sebab semua makanan laut tu fresh dan dimasak di depan mata.

Pisang Panggang Bermadu Nenas Bersama Badam

Walaupun pisang tu dipanggang dengan madu tetapi manis dia tidak lah terlampau manis. Rasa karamel tak pahit langsung dan ada rasa panggang. Rangup sangat bila kunyah badan dan pisang bersama. Layan habis. orang sebelah aku repeat dua kali makan pisang ni.



Ice Shave Avocado

Antara pencuci mulut yang dicadangkan oleh Chef: legakan tekak dengan Ice Shave Avocado yang lemak berkrim. Ais Avocado dikisar halus dan kemudian ditambah dengan aneka buah-buahan seperti nangka, honey dew, isi buah kelapa dan bermacam lagi condiment menambah kesegaran. 

Chef cadangkan untuk makan bersama isi kelapa muda dan buah nangka. Masa menulis ni terasa lagi kesedapan dia. Tolong jangan lupa cuba.


Kesimpulan

Sebenarnya banyak lagi menu-menu sedap yang ada di Kuala Lumpur Convention Centre sempena bulan Ramadan yang bakal menjelma ni. Pengunjung yang hadir dijanjikan dengan sajian makanan lazat, layanan bertaraf 5 bintang dan kena tempah awal untuk dapatkan harga promosi dengan potongan 10% (harga asal RM155 seorang). 

Untuk harga korporat pula berpeluang mendapat promosi pada harga RM132.

Lima dapur di Kuala Lumpur Convention Centre disahkan Halal oleh JAKIM dan untuk yang risau terlepas Tarawih, Pusat Konvensyen menyediakan bilik solat khusus, sejadah, selipar, tempat mengambil wuduk dan Imam untuk mengimamkan Solat Maghrib, Isyak dan juga Tarawih. Semuanya berdekatan.

Disebabkan tempat duduk untuk orang ramai adalah terhad dan tempahan diperlukan untuk acara korporat, korang boleh hubungi +603 2333 2866 untuk pertanyaan buka puasa orang ramai dan +603 2333 2877 untuk tempahan korporat. Boleh layari laman web Kuala Lumpur Convention Centre, www.klccconventioncentre.com untuk mengetahui tawaran lanjut mengenai tawaran bulan puasa.



Pengalaman Menginap di First World Hotel Genting

Percutian singkat ke Genting Highlands merupakan percutian yang aku rancang di saat akhir. Aku ke Genting highlands atas urusan kerja dan dijemput menghadiri majlis Asmak Grand Awards yang berlangsung di Hotel Awana Genting Hinglands pada hari Sabtu. 

Kalau ikut tentatif program, majlis dianggarkan tamat sekitar pukul 6 petang. Risau majlis habis lambat aku buat back up plan untuk stay semalam dekat Genting Highlands.

Lepas bincang dengan suami, akhirnya kami sepakat menginap satu malam di salah satu hotel di Genting Highlands. 

Pengalaman Menginap di First World Hotel Genting Highlands

Ha masa nak pilih hotel pun macam-macam benda bermain dekat otak. Risau terpilih hotel berhantu lah, takut hotel jauh lah, harga mahal dan banyak lagi lah.

Masa ni tinggal lagi seminggu je sebelum tarikh majlis. Ikutkan ini bukanlah kali pertama kami jejak kaki ke Genting Highlands. Dah pernah ke Taman Strawberry tapi tak pernah bermalam. 

Yelah KL dan Genting Highlands hanyalah sekangkang kera. Malas nak angkut beg sebenarnya. Jadi kali ni kiranya first time lah kami tidur di Genting Highlands.





Menginap Di First World Hotel - 2 Hari 1 Malam

Sebelum book First World Hotel, aku sempat buat carian di Google dan baca beberapa review tentang hotel yang ada di Genting Highlands. Lepas puas hati kami teruskan tempahan satu malam di First World Hotel. 

Berdasarkan harga, lokasi, tujuan dan juga waktu kami ke Genting yang agak singkat maka sesuai sangat menginap di First World Hotel ni.

Ada banyak sebab yang akhirnya kami pilih menginap di First World Hotel. Hotel ni Hotel tiga bintang. Boleh teruskan membaca.


Harga Hotel Murah

Lepas buat perbandingan di Agoda, Traveloka dan lain-lain aku dapat harga bilik RM100 tanpa sarapan, Twinbeds muat untuk 2 dewasa dan dua kanak-kanak. 

Bilik standard tak besar mana pun. Urusan Check In Dan Check Out sangat-sangat mudah.

Waktu Check in adalah selepas pukul 3 petang dan kena check out sebelum pukul 11 pagi. Kalau check in di kaunter korang akan kena caj RM14. Jadi buat sendiri je di kiosk yang disediakan sangat mudah.

Syukur sangat dapat bilik di level 11 (Non-smoking room di level 9), semuanya masih baru dan tiada aircond ya. Hanya kipas syiling tapi itu pun memang sejuk. 

Dalam bilik ada hair dryer, air panas dan sejuk ada di luar bilik dekat dengan lift. Bilik iron pun ada semuanya di sediakan di bilik khas. Boleh cari berdekatan lift.

Tandas bersih dan ada air panas bila nak mandi. Kira ok lah kan. Cuma kalau nak ke sini, standby lah bawa pewangi bilik, bawa air botol dan makanan untuk alas perut. 

Faham-faham sajalah makanan atas bukit memang double triple harganya.



Lokasi Strategik Semua Di Bawah Satu Bumbung

Aku pilih Hotel First World sebab nak jalan-jalan dalam First World Complex dan SkyAvenue Complex. 

Nak bawa anak-anak ke Skytropolis Indoor Theme Park. Walaupun sekadar pusing-pusing tapi cukup menghiburkan anak-anak. Luas sangat tempat ni, sila bawa stroller kalau bawa anak kecil.

Dalam bangunan complex yang sebelah menyebelah jadi sempat la pusing-pusing tengok SnowWorld, SkyVR, Games Park dan Adventureland.  Sehari tak cukup nak main dekat semua tempat ni. 

Lagi satu, suami aku ni rabun dan ada silau yang teruk. Aku memang elak sangat suruh suami memandu waktu malam. 

Tak dapat bayangkan kalau kena drive waktu malam. Jadi stay dekat First World Hotel memang semuanya di bawah satu bumbung.


Parking Kereta Selamat

Salah satu perkara penting kalau aku check in hotel aku akan tengok tempat parking kereta. Pernah ada pengalaman menginap di hotel yang limited parking sudahnya kami kena saman sebab parking di tempat tak sepatutnya. Kalau jadi apa-apa lagi seram nak fikir.

Senang parking je dalam bangunan First World Hotel. Alhamdulillah selamat. Caj parking RM18 satu hari. 

Lebih dari tu aku tak pasti. Bila dah buat bayaran sila keluar 30 minit selepas bayar tiket dekat autopay machine.


Percutian Singkat

Oleh sebab fikir hanya pergi ke Genting dan banyak masa habis di luar jadi kami pilih hotel yang sekadar jadi tempat berehat dan tidur sahaja. 

Jadi kena tahu apa tujuan korang ke Genting? Kalau ada bajet lebih book la tempat lebih selesa.


Senang Cari Tempat Makan

Seperti sedia maklum, harga makanan dekat atas ni memang harga orang kaya. Jadi bersiap sedia dan ikut bajet korang. 

Agak mencabar bawa tiga orang anak yang sentiasa lapar jadi berbelanja dengan bijak ya. Dah jadi amalan, untuk anak-anak akan bawa botol air sebab diaorang haus tak kira masa. 

Memang standby jelah. Oleh sebab siang dah kenyang makan di Hotel Awana Genting Highlands jadi malam tu lepas tukar baju kami cari makan di Medan Selera dalam First World Complex. Ada halal status ya. Jangan risau.




Makan pun sekadar alas perut dan anak-anak masih excited nak berjalan instead of makan. Kami beli Char kway teow (RM19.90) dan nasi Ayam Mandy (RM21.90). 

Masa terpandang harga air mineral RM6 satu botol kecil terus batalkan niat sebab air mineral aku bawa masih banyak dekat bilik hotel. Soft drink RM9 satu cup biasa tu. Hoi harga cekik darah.

Pengalaman aku stay hotel yang tersenarai sebagai 10 best hotel dekat Ipoh oleh Tripadvisor di SINI

Aku kedekut? Entah aku sayang duit.

The next day kami cari sarapan dekat SkyAvenue Complex. Satu level dengan Adventureland Indoor games. 

Kami makan ni dekat restoran  JR Curry House. Kalau tak nak makan dekat situ, boleh makan di Marrybrown atau beberapa restaurant lain yang ada dekat situ.

Dekat JR Curry House kami ambil set sarapan RM11, dapat lah Roti Canai, dua biji telur rebus dan segelas teh tarik. 

Suami ambil set Mee goreng. Oleh sebab nasi lemak habis kami ambil nasi goreng Cina sepinggan RM6.60. Dekat sini harga roti canai RM6.90 sekeping kau.

Sebelum tu konon nak cuba makan di The Food Factory di level 4 First World Complex, tapi malangnya kedai tu hanya dibuka sehingga pukul 11 pagi untuk sarapan. Masa aku sampai tu dah pukul 10.30 pagi. terus cancel cari kedai lain.

Kami check out pukul 10 pagi, simpan luggage dalam kereta lepas tu merayap dalam tu. Puaskan hati anak-anak lepas tu balik sambung aktiviti singgah ke Lemang Tok Ki. Dapat juga merasa akhirnya. 

Alhamdulillah selamat sampai sebelum Maghrib. Syukur jalan semua ok tiada kesesakan. Itu sahaja percutian singkat aku selama dua hari satu malam di Genting Highlands. Walau sekejap pun terasa penat badan. 

Dah alang-alang sampai ke Genting Highlands, jangan lupa singgah ke Genting Strawberry Leisure Farms Genting Highland.