GENAP SETAHUN COVID19 MELANDA MALAYSIA

Rupa-rupanya sudah setahun kita hidup dalam norma baru. Genap setahun jugalah negara kita dilanda Covid19 yang kita tak tahu mana pengakhirannya. 

Kalau ikut angka kes jangkitan penularan yang semakin hari semakin mengganas rasanya agak kabur peluang nak sambut puasa dan raya macam biasa.

Sedih tapi itulah hakikatnya.


Genap Setahun Covid19 Melanda Malaysia

Sayu hati masa tonton berita TV3 tentang imbasan penularan Covid19 dekat negara kita. Mengikut data kesihatan sedunia yang dikeluarkan oleh WHO, lebih 96 juta kes Covid19 dicatatkan di seluruh dunia dengan angka kematian mencecah lebih dua juta kes.

Juga dijangka angka akan terus menaik selepas ini. Negara Malaysia sekarang berada di tangga ke 58 daripada 221 negara berdasarkan bilangan kes Covid19 Sumber WHO




Kronologi Setahun Covid19 Di Malaysia

25 Januari 2021 genaplah setahun negara dilanda pandemik dengan kes jangkitan yang masih tinggi. Berikut adalah imbasan penularan virus Covid19 di Malaysia. 

Aku rasa penting untuk aku kongsikan di dengan semua. Mana tahu tarikh-tarikh penting macam hari ini akan menjadi soalan peperiksaan anak-anak di masa hadapan.

Tanggal 25 Januari 2020, kes positif Covid19 pertama dikesan dinegara kita membabitkan tiga warganegara China yang masuk melalui Singapura. 

Detik hitam bermula dengan gelombang pertama apabila kes import dan tidak melibatkan rakyat tempatan.

Aku masih ingat waktu ni semua orang belum panik, masih boleh bercuti dan rasanya semua orang tak sangka yang wabak ini tersangatlah bahaya.

Kita terus di uji apabila berlakunya gelombang kedua. Jangkitan berlaku melibatkan penularan tempatan seorang lelaki dari Selangor yang disahkan positif. 

Rakyat dah mula tak senang duduk, risau dengan kesihatan dan kerajaan pun dah mula sebarkan awareness tentang wabak ni.

Artikel paling banyak dicari sepanjang Covid19


PKP 1.0 di Seluruh Malaysia

Malaysia mulakan PKP pertama pada 18 March 2020 disusuli dengan PKPD pada 27 March PKPB pada 4 Mei 2020 PKPP pada 10 Jun 2020.

Sukanya aku PKP waktu ini ialah rakyat patuh arahan pihak berkuasa. Semua orang duduk di rumah, tak berani nak keluar dan sentiasa patuhi SOP. Terbayang lagi berita tayangkan askar yang bertugas dalam kawasan yang dipasang kawat duri.

Lain betul dengan PKP 2.0 ni. Meriah dengan manusia dekat mana-mana.

Kematian pertama disebabkan Covid19 di Malaysia ialah pada 17 march 2020. Mangsa pertama merupakan seoarng Paderi yang berusia 60 tahun dari Sarawak.  

8 dan 9 Julai 2020 menjadi detik bersejarah dan kegembiraan buat semua apabila kita akhirnya berjaya mencatatkan sifar kes tempatan untuk dua hari berturut-turut.

Mimpi ngeri bermula semula apabila ada sesetengah pihak buta mata, buta hati dan buta perut. Alpa dengan ancaman sedia ada dan akibat mementingkan diri sendiri rakyat menjadi mangsa. Maka terhasillah gelombang ketiga dan kes positif mencanak naik dan terus meningkat sehingga sekarang.

Masih ada sinar untuk kita kembali pulih? Entah.




PKP 2.0

Apa yang berlaku sekarang ialah sekali lagi kita berdepan dengan PKP 2.0 yang dimulai dengan enam negeri sahaja dikenakan sekatan dan kemudian disusuli dengan seluruh negara kecuali Sarawak.

Hari-hari kita disogokkan dengan berita salahlaku rakyat yang melanggar SOP, yang masih berdegil tak jaga penjarakan dan tak pakai penutup muka.

Menurut kenyataan Dato Ismail Sabri kesalahan paling kerap dilakukan yang menyumbang kes penularan Covid19 yang tinggi di Malaysia ialah kegagalan mematuhi penjarakan fizikal.

Walaupun rakyat di ingatkan dengan amaran dan juga dikenakan saman sebanyak RM1,000 tapi masih ramai lagi rakyat yang tak patuhi SOP. Kenapa ya? Rakyat penat? Rakyat stress? Rakyat tak peduli?

Bila fikir tak lama je lagi kita akan bertemu bulan Ramadan dan kemungkinan nak lakukan ibadah seperti biasa tu tersangatlah tipis. Tapi, kuasa Allah siapa nak pertikaikan kan? Jomlah kita semua doa semoga wabak ini terhapus dari dunia.

Rindu nak solat dekat surau macam biasa, rindu nak berjalan tengok dunia, rindu nak menziarah adik beradik dan saudara mara, rindu kampung halaman, rindu nak sambut puasa dan raya, rindu nak ke pasar malam. eh banyaklah aku rindu.

Sempena satu tahun Covid19 di Malaysia, aku harap kau cepat lah pergi. Lenyaplah dari muka bumi  ni, suami aku lama dah tak pergi masjid sembahyang Jumaat. Jaga diri semua, jaga kesihatan.

10 Bantuan Kerajaan Untuk Rakyat Tahun 2021

10 Bantuan Kerajaan Untuk Rakyat Tahun 2021

Setiap tahun kerajaan akan mengumumkan senarai bantuan kerajaan yang diberikan kepada rakyat bertujuan untuk mengurangkan beban hidup rakyat. Sedar atau pun tidak banyak sebenarnya bantuan yang kerajaan hulurkan.

Jadi jom semak senarai bantuan yang boleh anda mohon bagi tahun 2021.

#1 Bantuan Sara Hidup (BSH)

Bantuan Sara Hidup atau BSH adalah satu bantuan daripada Kerajaan yang ditujukan kepada beberapa kategori penerima yang telah dikenalpasti. 

Bantuan diberikan dalam bentuk tunai kepada penerima yang layak dan ditentukan melalui satu set kriteria yang telah diumumkan oleh kerajaan. 

Selain bantuan tunai, mereka yang menerima BSH juga layak untuk menyertai Skim Khairat Kematian yang diwujudkan di bawah BSH ini.


#2 Skim Perlindungan Masyarakat mySalam

Skim perlindungan masyarakat mySalam adalah inisiatif Kerajaan yang bertujuan menyediakan perlindungan kesihatan takaful percuma kepada 8 juta individu rakyat Malaysia yang juga penerima Bantuan Sara Hidup berumur antara 18 hingga 65 tahun;

  • Individu bujang berumur antara 40 tahun dan 65 tahun dan berpendapatan kurang daripada RM24,000 setahun;
  • Individu OKU berumur antara 18 tahun dan 65 tahun dan berpendapatan kurang daripada RM24,000 setahun.



#3 Program Rebat Bil Elektrik RM40

Program Rebat Bil Elektrik RM40 adalah program bantuan Kerajaan secara bersasar untuk membiayai bil elektrik bulanan sehingga RM40 kepada keluarga miskin tegar dan miskin yang berdaftar dan disahkan dalam Sistem eKasih. 

Pengguna yang layak akan menerima bil elektrik percuma sehingga RM40 setiap bulan. Semak kelayakan Program Rebat BilElektrik RM40 


#4 Pas Tanpa Had MyRapid My100 dan My50

My100 dan My50 adalah pas yang menawarkan perjalanan tanpa had pada rangkaian kereta api dan bas Rapid KL selama 30 hari berturut-turut.

Penumpang boleh melakukan perjalanan beberapa kali dalam sehari di mana-mana rangkaian Rapid KL atau bas. 

Tambang yang dikenakan pada bayaran sebanyak RM100 untuk 30 hari untuk perjalanan tanpa had di LRT, MRT, Monorail, BRT, bas Rapid KL dan perkhidmatan bas pengantara MRT; 

Atau RM50 untuk 30 hari untuk perjalanan tanpa had hanya pada bas Rapid KL dan perkhidmatan bas pengantara MRT, tetapi tidak termasuk BRT.


#5 Bantuan Awal Persekolahan RM 100

Bantuan Awal Persekolahan (BAP) iaitu bantuan One-Off bertujuan untuk meringankan beban perbelanjaan persekolahan anak-anak yang ditanggung oleh ibu bapa atau penjaga terutamanya pada awal tahun. 

Bantuan ini diberikan kepada murid-murid Tahun 1 hingga Tingkatan 5 atau yang setaraf dengannya dari kalangan keluarga yang berpendapatan Isi Rumah Kasar RM3,000.00 dan ke bawah.


#6 Skim i-SURI

i-Suri bertujuan bagi memastikan kesejahteraan golongan suri rumah serta mengiktiraf sumbangan mereka kepada ahli keluarga dan pembangunan negara. 

Antara manfaat yang bakal diterima ialah menikmati dividen tahunan, serta layak untuk bantuan hilang upaya, bantuan kematian, pengeluaran simpanan dan Insentif Kerajaan sebanyak RM480 setahun.

 

#7 Skim Peduli Kesihatan untuk Kumpulan B40 (PeKa B40)

Ditawarkan kepada rakyat Malaysia yang berada dalam lingkungan pendapatan isi rumah 40% terendah, yang dikenali sebagai kumpulan B40. 

Kelayakan menyertai PeKa B40 adalah penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) dan pasangannya yang berdaftar. Berumur 40 tahun dan ke atas. Penyertaan adalah secara automatik dan tiada pendaftaran diperlukan.

 

#8 Bantuan Telefon Pintar Untuk Golongan B40 & 120GB Data Internet

Pemberian telefon percuma dengan data 120GB (10GB / sebulan selama 12 bulan) kepada murid dari keluarga B40 daripada YTL Foundation adalah untuk memudahkan urusan pembelajaran dari rumah.

Permohonan hendaklah dicalonkan oleh cikgu yang berkelayakan dan mendapat kebenaran daripada ibubapa murid yang hendak dicalonkan beserta maklumat murid dan ibubapa.

 

#9 Bantuan RM 100 Kredit E-Wallet

Pemberian e-wallet RM100 adalah kepada golongan belia berumur 18-20 tahun dan juga akan diberikan kepada semua pelajar IPTA dan juga IPTS tanpa mengira umur. 

Muat turun aplikasi TNG E-wallet/Boost/Grab (salah satu aplikasi tersebut), dan isi maklumat diperlukan.

Bantuan e-wallet ini akan diperolehi sekiranya anda layak pada awal Januari 2021 dan boleh ditebus melalui verifikasi kad pengenalan.

 

#10 Bantuan Kanak-Kanak serta Keluarga JKM

Bertujuan untuk membantu keluarga/ penjaga kepada anak/ kanak-kanak atau membantu anak/ kanak-kanak yang tiada/kehilangan penjaga. 

Supaya dapat terus tinggal bersama keluarga dan meneruskan kelangsungan hidup tanpa menjejaskan pertumbuhan dan perkembangan kanak-kanak mengikut peringkatnya.

Kadar bantuan adalah minimum sebanyak RM150 sebulan seorang sehingga maksimum sebanyak RM1000 sebulan mengikut syarat ditetapkan.


CARA DEPOSIT DUIT SYILING KE DALAM AKAUN BANK

Cara Deposit Duit Syiling Ke Dalam Akaun Bank

Sudah bertahun aku pendam niat nak depositkan duit syiling ke akaun bank. Syiling aku dan suami kumpul sejak dari kami anak satu lagi. Tangguh punya tangguh, anak ketiga dah nak masuk tiga tahun baru aku berjaya masukkan duit syiling ke akaun bank.

Lega sangat. Rasa terlepas satu beban di dada. Kalau sebelum ni asyik membebel sebab syiling tu makan ruang tempat simpanan barang-barang. 

Alang-alang berada di awal tahun dan semangat mengemas rumah masih ada, aku minta suami temankan aku ke mesin deposit syiling berhampiran rumah.




Simpan Duit Syiling Guna Mesin Deposit Syiling

Coin Deposit Machine (CoDM) atau mesin deposit syiling banyak disediakan oleh bank seperti Maybank, CIMB, BSN, Bank Muamalat, Bank Islam dan banyak lagi. 

Dulu aku pernah depositkan duit syiling hasil menabung tetapi melalui kaunter di Maybank. Memandangkan musim Covid jadi memang aku elak untuk berurusan di kaunter.

Oh ya, setiap bank ada tetapkan langkah-langkah tertentu untuk guna mesin deposit syiling. Oleh sebab Mesin Deposit Syiling terdekat dengan aku ialah Bank Muamalat jadi kami terus ke sana selepas sarapan pagi. 

Cara Deposit Duit Syiling Guna Mesin Deposit Syiling Bank Muamalat

Apa yang aku suka tentang Mesin Deposit Syiling Bank Muamalat ialah aku tak perlu berurusan di kaunter setelah memasukkan syiling di CoDM. Langkah-langkah untuk mendepositkan syiling ialah seperti berikut:

  • Langkah 1: Pilih bahasa pilihan
  • Langkah 2: Masukkan nombor akaun dan nombor telefon bimbit
  • Langkah 3: Tuangkan syiling ke dalam slot. Hanya syiling matawang Malaysia sahaja yang dibenarkan.
  • Langkah 4: Ambil resit dan simpan sebagai bukti. Wang akan dimasukkan ke dalam akaun dalam masa tiga hari. 



Memandangkan Mesin Deposit Syiling Bank Muamalat adalah mesin lama dan tidak berfungsi dengan baik, aku terpaksa cuba banyak kali baru berjaya. Itupun kakitangan Bank Muamalat sendiri yang beritahu.  

Urusan aku dipermudahkan dan wang dimasukkan ke dalam akaun pada hari yang sama.

Ada seorang pelanggan yang beratur di belakang kami hanya berjaya buat satu transaksi sahaja. Selebihnya mesin tergendala dan terpaksa ke kaunter untuk buat laporan. 

Ini adalah syiling yang di 'reject' oleh mesin deposit. Kena ulang proses dari mula. 


Senarai Mesin Deposit Syiling Bank Muamalat

  1. Rawang - Jalan Rawang 1, Bandar Baru Rawang
  2. Taman Melawati - Taman Melawati, Jalan Bandar 12
  3. Shah Alam - Laman Seri Business Park, No. 7, Jalan Sukan, Seksyen 13
  4. Seremban - Wisma Great Eastern, Jalan Yam Tuan


Cara Deposit Duit Syiling Guna Mesin Deposit Syiling Maybank

Berbeza dengan Maybank, pemegang akaun perlu menyerahkan resit deposit yang lengkap dan berurusan di kaunter selepas memasukkan duit di CoDM Maybank.

Langkah-langkah untuk mendepositkan syiling ialah seperti berikut:

Langkah 1: Pilih bahasa pilihan

Langkah 2: Tuangkan syiling ke dalam slot

Langkah 3: Ambil resit

Langkah 4: Isi slip deposit

Langkah 5: Bawa slip deposit ke kaunter pada hari yang sama.

 

Senarai Mesin Deposit Syiling Maybank

Mesin Deposit Syiling boleh didapati di:

  1. Cawangan Utama KL
  2. Seksyen 5, Wangsa Maju Branch
  3. Cawangan Utama Shah Alam
  4. Cawangan USJ Subang Jaya
  5. Cawangan Seremban
  6. Cawangan Jelapang
  7. Cawangan Utama Melaka
  8. Cawangan Utama Johor Bahru
  9. Cawangan Jelutong
  10. Cawangan Alor Star
  11. Cawangan Taman Tas
  12. Cawangan Kuala Terengganu
  13. Cawangan Kota Bharu
  14. Wisma Satok Branch
  15. Cawangan Kota Kinabalu
  16. Cawangan Rawang
  17. Cawangan Bandar Baru Selayang
  18. Cawangan Bandar Sunway
  19. Cawangan Taman Equine
  20. Stesen 18, Ipoh Branch
  21. Cawangan Skudai
  22. Cawangan Batu Pahat
  23. Cawangan Kawasan Perindustrian Prai
  24. Cawangan Legenda Heights
  25. Cawangan Pulau Langkawi
  26. Cawangan Paka
  27. Cawangan Tanah Merah
  28. Cawangan Mutiara Damansara


Nota: Tak perlu asingkan syiling sebelum masukkan ke dalam slot dan lebih baik untuk hubungi bank sebelum pergi deposit syiling. Risau nanti penat badan nak angkat syiling yang berat.

Jika berlaku masalah ketika deposit syiling sila terus berurusan dengan kaunter.

 

PDPR Untuk Anak Tapi Ibu Bapa Yang Penat

Semenjak Menteri Pendidikan umumkan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) dilaksanakan sebagai alternatif pembelajaran norma baharu aku sebagai ibu bapa yang terlibat memang tak lena tidur. Penat woi.

Tak pernah aku bayangkan akan burn out. Kes aku, anak sorang sahaja yang sekolah pun dah penat macam ni, bayangkan ibu bapa yang ada anak ramai. Nak kena handle dan guna berapa banyak peranti untuk kemudahan pembelajaran secara online.

Perghh menangis.


PDPR Untuk Anak Tapi Ibu Bapa Yang Penat

Memang dah bermula dari tahun lepas pun sesi pembelajaran di Google Meet dan  Google Classroom untuk semak kerja sekolah cikgu bagi. 

Tahun lepas masih relax sebab kita semua bayangkan akan ke sekolah bila masuk tahun 2021. Tapi malangnya tidak ya, jadi cikgu memang fokus pemberian kerja sekolah secara dalam talian. 

Mana yang boleh tulis di kertas, buku tulis, buku latihan dan ada juga yang perlu rakam video kemudian submit kepada cikgu terlibat.

Belum sampai seminggu PDPR dilaksanakan dan cikgu semakin aktif dalam pembelajaran anak-anak. Dari satu sudut aku setuju lah sebab anak aku kembali bersemangat nak belajar dan lebih peka bila melibatkan pelajaran.

Tapi antara perkara belakang tabir sebagai ibu bapa perlu sediakan keperluan dan kesiap sediaan anak nak belajar secara online agak mencabar.  




Cabaran Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah

Cabaran utama ialah untuk anak-anak kekal fokus semasa pembelajaran diadakan. Agak sukar untuk fokus ketika cikgu beri penerangan sebab ada sahaja anak-anak yang menyampuk.

Tak dinafikan sifat anak-anak yang suka bertanya dan bercakap adalah sesuatu yang bagus menandakan mereka faham apa yang di ajar tapi kasihan bagi murid-murid lain yang kurang faham atau lambat tangkap apa cikgu ajar.

Situasi kelas anak aku sendiri, banyak kali cikgu ingatkan supaya ‘off microphone’. Memang besar cabaran cikgu mengajar di alam maya.

Cabaran lain ialah gangguan persekitaran. Untuk pastikan sesi pembelajaran tidak terganggu, aku tempatkan Ikhwan dalam bilik dan pastikan adik-adik dia tak kacau daun. Almaklumlah sepanjang berada di rumah, apa sahaja aktiviti memang buat bersama-sama.  Jadi adik-adik teruja nak join belajar.

Cabaran aku pula sebagai ibu ialah terpaksa ikut sekali sesi pembelajaran anak-anak. Bukanlah setiap masa, cukup sekadar pastikan Ikhwan tahu fungsi Google Classroom yang mana harus ditekan. 

Butang mute / off microphone adalah paling penting perlu tahu. Harapnya untuk seminggu dua ni sahaja aku perlu standby. Moga lepas ni Ikhwan lebih berdikari.




Tukar Jadual Dan Ubah Rutin

Memang sah la rutin aku terjejas. Kena tengok jadual pembelajaran anak dan paling kerap berlaku adalah kena selalu check whatsapp group sekolah. Memang itulah medium komunikasi murid dan cikgu.

Kebiasaan cikgu akan mulakan sesi pembelajaran dengan pemberitahuan di group whatsapp sekolah dan jika perlu menggunakan Google Classroom cikgu akan buat pengumuan terlebih dahulu. 

Tapi aku bersyukur sekurang-kurangnya aku duduk di rumah dan dapat monitor anak-anak. Ibu bapa lain yang terpaksa keluar menjemput rezeki, terpaksa biar anak dekat rumah lagi sedih. Terpaksa berdikari sendiri.

Apalah nasib keluarga kurang berkemampuan, adik beradik ramai, berkongsi gajet dan ibu bapa yang kurang arif tentang teknologi kan. Hai kasihan.

Apa pun kerajaan pun dah umumkan PKP bakal dilanjutkan lagi sehingga awal Febuari. Entah-entah lepas ni sampai Raya Cina pula. Entahlah kan, kita doa sahaja yang baik-baik selepas ini. Nak hambat anak ke sekolah pun hati tak tenang.