Shopping Buku Karangkraf Online Selamat Sampai

Alhamdulillah masa tarikh keramat 12.12 yang lepas Karangkraf Online ada buat promosi jualan buku RM1 untuk satu buku dengan syarat kena beli 12 buah buku. 

Kalau kurang dari 12 buah harga setiap buah buku akan jatuh RM5 setiap buku. Masa tu tak fikir apa panjang sebab memang terasa berbaloi sangat untuk dibeli. 

Lagipun resit nanti boleh claim masa suami buat e-filling. Lepas empat hari sabar menunggu, buku-buku pun selamat sampai ke rumah. Memang teruja habis. 

Shopping Buku Karangkraf Online Selamat Sampai 

Bila unboxing je buku-buku tu dah mula tersenyum lebar. Seram juga bila susun buku-buku tu dah lebih tinggi daripada laptop pula. 

Minat terhadap novel dah berkurang semenjak usia mencecah 30an ni, jadi beli pun buku campur-campur termasuk buku kesihatan, motivasi dan juga hasil kraf tangan. Mana tahu timbul minat seni pula. 

Karangkraf Online Sale 12.12



Apa yang Diah beli sempena Sale Karangkraf Online 12.12?


Buku-buku yang telah selamat Diah rembat sempena Sale 12.12 ialah:

1. Aduhai Isteri Oleh Muhamad Mat Yakim
2. 55 Soal Jawab Penyakit Bersama Dr. Ezairy Oleh Dr. Mohd Azreen Ezairy Mohamad Sallih
3. Jom Kreatif
4. Koleksi Kraf Mudah & Comel
5. Bayangan Rindu Oleh Anis Ayuni
6. Ingin Berkasih Lagi oleh Damya Hana
7. 3 Hati oleh Liza Nur, Nurul Syahida & Zara Amani
8. Akidah Kita Nyawa Kita oleh Yussamir Yusof
9. Aku Duda Kau Janda oleh Airis Dania
10. Awak Sudi Tak? Oleh Liza Nur
11. Awekku Kembar Oleh Siti Rozilah
12. Chocolate Mousse Vs Cheese Cake Oleh Syahirah Ibrahim

In sha Allah ada kesempatan akan Diah kongsikan benda-benda best tentang buku-buku yang Diah beli ni. Apa pun kalau beli buku untuk tambah ilmu memang tiada ruginya. 

Akan jadi rugi bila beli tapi tak baca dan amalkan. Mana tahu kot Tahun Baru nanti akan ada Sale macam ni juga. Boleh borong lagi tapi kali ni nak borong buku Motivasi pula. Atau cari buku perniagaan. Best juga. 

Lokasi Menarik Di Ipoh Patut Anda Kunjungi

Assalamualaikum, hi korang. Diah mula jatuh hati pada Ipoh lepas percutian singkat kami sekeluarga bulan September yang lepas. 

Oleh sebab Diah rasa Ipoh ni best sebab syurga makanan atau lebih tepat syurga bagi penggemar Kopi maka Diah buat entri khas untuk korang yang nak datang Ipoh tapi tak tahu lokasi yang menarik dekat sana.  

Percutian yang lepas Diah menetap di Hotel M Boutiqe Ipoh yang popular tu. Sempat juga ke beberapa lokasi tarikan pelancong. In sha Allah ada kesempatan di tahun depan nak repeat lagi dan cuba makanan lain dekat sana.

Lokasi Menarik Di Ipoh Patut Anda Kunjungi  

Diah sempat jejakkan kaki Ke Movie Animation Park Studio (MAPS), tapi sayang sekarang dah tutup, Gerbang Malam (Pasar Malam), Dataran Ipoh, makan di Halal Dim Sum Greenwood dan juga Gunung Lang. 

Dua hari memang tak cukup nak pergi semua lokasi yang dicadangkan di internet. Jadi rancang perjalanan anda sebaik mungkin. 



Bercuti Di Ipoh


Ipoh Trip Itinerary


Diah kongsikan Ipoh Trip Itinerary supaya mudah nak rujuk pada masa hadapan. Setiap kali berjalan juga memang tak sah kalau tak cuba makanan yang terkenal di tempat yang kita lawati tu. 

Macam dekat Ipoh ni dia memang terkenal dengan makanan yang banyak mendapat pengaruh dari kaum Cina seperti Nasi Ayam, Dim Sum, Mee Daud Mat Jasak, Nasi wanggey, Nasi ganja dan juga aneka pilihan kopi. 

Sebenarnya banyak lagi tapi makanan-makanan ni la yang paling banyak Diah jumpa sepanjang kami bercuti di Ipoh. Untuk yang beragama Islam mohon alert dengan status Halal kedai yang ingin anda kunjungi ya. 


7 lokasi Terkenal Sarapan Pagi di Ipoh

2. Dim Sum (Foh San/ Ming Court/ Yoke Fook Moon)
3. Ipoh Kong Heng Oldtown
4. Xin Quan Fang Curry Noodles 
5. Nam Heong (Ipoh White Coffee), Kong Heng, Tian Chun
6. Ipoh Hollywood 


6 lokasi Terkenal Makan Tengahari di Ipoh

1. Yong Tau Foo (Dai Shu Kok @ Pasir Pinji
2. Hawker Fare (Lake Wooi Kooi Kopitiam, Central/ Wah Pan / Cowan Street
3. Indian Curry Rice (Yong Suan Nasi Ganja, Wanggey  @ Jalan Yang Kalsom
4. Daichau (Wong Koh Kee @ Oldtown
5. Hainan Chicken Rice (Halal) – dekat dengan Klinik Kesihatan Greentown
6. Tasek Raban Restaurant berdekatan dengan stadium


8 lokasi Terkenal Makan Malam di Ipoh

1. Mun Choong Seafood Restaurant
2. Dataran Ipoh Food Truck
3. Rawang Famous Steam Fish (Chinese)
4. Thumbs Café & Karat Café 
5. Konda Kondi Café 
6. Koppeme Café 
7. Miker @ Padang Ipoh 
8. Satay Endut – taman kanak-kanak di belakang Kamdar


Lagi Lokasi Menarik Di Ipoh 

2. Lost World Of Tambun 
3. Gua Tempurung 
4. Ipoh Heritage Walk (Starting Point Dari Tourism Centre)
6. Kellie Castle 
7. Han Chin Pet Soo Museum 
8. Kek Long Tong and Sam Poh Tong
9. Perak Tong
10. Shopping Centre (Ipoh Parade, AEON Kinta City, Aeon Klebang, AEON Station 18)
11. Round Ipoh Tour (Old Town / New Town)
12. Mesti beli (Pomelo, Heong Peng, Biscuits, Aunkhenglim Salt Baked Chicken)


5 Lokasi Menarik Waktu Malam di Ipoh 


1. Gerbang Malam (Pasar Malam Near Lou Wong)
2. Hot Spring Di Lost World of Tambun
3. Bukit Kledang Untuk Melihat Pemadangan Cantik Bandaraya Ipoh Pada Waktu Malam
4. Kinta Riverfront Walk (LED Tree & Light)
5. Night Market Di Taman Pertama setiap hari Jumaat


In sha Allah tahun depan akan ke Ipoh lagi untuk khatamkan lokasi menarik yang kami tak sempat nak pergi hari tu. Yang penting satu family memang enjoy trip ke Ipoh. 

Oleh sebab Diah akan travel dengan anak-anak kecil rasanya next destination Lost World of Tambun kot. Nak kumpul duit nak beli kopi banyak-banyak dan repeat makan Dim Sum. 
Selamat bercuti!


Panduan Beli Barang Keperluan Sekolah Kali Pertama

Tinggal seminggu lebih je lagi sekolah akan dibuka semula. Pejam celik memang terasa sekejap sangat masa berlalu. Barang keperluan sekolah anak-anak dah siap dibeli? 

Dah selesai ke semuanya? Tahun 2019 adalah tahun kedua kami berbelanja barang keperluan sekolah. Berbeza sangat keadaan dengan tahun lepas. 

Almaklumlah, anak sulong masuk darjah satu. Semuanya serba baru dan rasa macam semua benda nak beli. 

Tahun kedua kami lebih tenang. Dah tahu mana patut dibeli di awal tahun dan mana yang tak perlu. Cikgu pun dah kongsikan senarai buku perlu beli. 


Panduan Beli Barang Keperluan Sekolah Kali Pertama 

Kedai alat tulis sekolah dibuka sepanjang cuti persekolahan jadi tunggu masa yang sesuai kami nak shopping buku pula. 

Diah kongsikan pengalaman kami beli barang keperluan sekolah anak dan semoga dapat jadi panduan untuk ibu bapa dekat luar sana. 

Apa pun setiap sekolah pastinya ada keperluan tersendiri dan digalakkan untuk rujuk pihak sekolah untuk maklumat lanjut. 



Panduan-beli-barang-sekolah




Sesi Orentasi Sekolah Rendah


Masa sesi orentasi darjah satu Ikhwan tahun lepas dibuat pada awal cuti persekolahan. Waktu tu ibu bapa dan juga murid diberi taklimat mengenai peraturan sekolah, penetapan kelas.

Cikgu akan bawa murid-murid melawat tempat asas seperti kantin, tandas terdekat dengan bilik darjah, pusat sumber, padang, dewan, tapak perhimpunan dan lain-lain. 

Untuk memudahkan ibu bapa memberi barang keperluan sekolah, cikgu telah mengedarkan senarai buku perlu beli dan barang kelengkapan lain yang murid perlu ada. 

Masa hari orentasi juga cikgu ingatkan dan beri kelonggaran untuk ibu bapa temani murid-murid darjah satu ke sekolah (minggu pertama persekolahan).  

Kami teman Ikhwan empat hari pertama persekolahan sahaja. Itu pun monitor dia dari jauh untuk pantau dia bila berada di kantin untuk beli makanan dan supaya dia ikut arahan bila balik ke rumah pengasuh. Alhamdulillah semua mudah. 



Panduan Pertama Kali Beli Barang Keperluan Sekolah


#1 Baju Dan Kasut Sekolah

Mengikut jadual pembelajaran persekolahan, murid darjah satu akan ada dua hari untuk subjek Pendidikan Jasmani & kesihatan. 

Murid-murid dikehendaki untuk pakai baju sukan pada hari tersebut. Jadi tiga hari murid akan pakai baju uniform sekolah dan selebihnya pakai baju sukan. 

Baju sukan kebiasaan boleh dibeli di Kedai Buku di Sekolah dan jika tiada stok murid dibenarkan untuk pakai baju T-shirt putih. Kasut Diah beli dua pasang untuk tempoh setahun. 

Stokin pula perlu tukar dua hari sekali dan Hari Jumaat kena pakai pakaian yang baru dibasuh. Kejar Pahala. 



beli-barang-sekolah-kali-pertama





#2 Buku Tulis (Perlu Beli) dan Keperluan Sekolah (Pilihan)

Masa pertama kali lihat senarai buku tulis perlu beli (darjah satu) memang agak menyeramkan dan terlalu banyak untuk dihadam. Culture shock sangat kahkahkah. 

Ada buku tulis garis satu, buku tulis petak sederhana, buku tulis garis dua biru merah, buku tulis ½ kosong ½ garis besar, buku tulis enam petak besar, buku GAPEN, dan Buku Nota Sains. 

Sebagai mak yang pertama kali nak beli memang serabut je rasa. Confuse kena beli ikut kuantiti yang dicadangkan dalam senarai perlu beli atau tidak. 

Tips dia beli semua buku tulis tapi jangan beli dalam kuantiti yang banyak. Tunggu arahan dari guru kelas bila buku kena beli. Macam buku GAPEN, mula digunakan pada pertengahan tahun.  




#3 Beg Sekolah 

Masa memilih beg sekolah kami dalam dilema juga, perlu beli beg yang ada roda supaya senang Ikhwan nak tarik bila berjalan ke kelas atau tak perlu beli yang ada roda. 

Harga beg sekolah MAHAL ya, boleh mencapai ratusan ringgit untuk yang berjenama dan ada roda. Penentuan beg beroda atau tidak bergantung kepada banyak faktor macam sesi persekolahan, lokasi kelas dan banyak lagi. 

Untuk Ikhwan sekolah dia ada satu sesi sahaja iaitu sesi pagi. Jadi buku latihan memang cikgu benarkan murid untuk tinggalkan di sekolah. 

Setiap hari, dalam beg akan bawa buku teks ikut jadual waktu, bekal makanan, dan botol minuman (wajib). Itu pun masih berat. 

Kalau sekolah yang ada dua sesi, kena bawa balik semua buku jadi beg beroda agak membantu supaya anak-anak boleh tarik. 

Kelas Ikhwan terletak di tingkat satu, jadi dia kena angkat beg menaiki tangga dan dengan saiz badan yang kecil molek agak menyeksakan untuk dia angkat beg sekolah beroda. (beg beroda juga agak berat). 

Jadi bagi kami, beg sandang lebih praktikal. 

Beberapa bulan selepas itu kami gantikan dengan beg sandang orang dewasa. Lebih puas hati. Alhamdulillah Ikhwan ikut sahaja. 

Tips untuk pilih beg sekolah kena tengok sesi persekolahan, lokasi kelas murid, dan juga bentuk muka 




#4 Alat Tulis 

Perkara yang selalu menjerat emosi bila berkaitan alat tulis adalah alat tulis akan hilang di ambil kawan-kawan, pensel warna menjadi pendek akibat kerap diasah, dan kebarangkalian alat tulis bertambah bila anak-anak ambil kawan punya. 

Jadi, ibu bapa kena bijak untuk labelkan alat tulis dan WAJIB ajar anak untuk jaga barang sendiri. Jangan ambil orang lain punya. Jangan stress kalau alat tulis mahal diambil kawan sekelas. 

Tips untuk alat tulis ialah beli yang tak terlalu mahal dan ajar anak “kedekut”, sentiasa ingatkan jaga barang-barang sendiri. Labelkan dan sediakan stok alat tulis sebab pemergian alat tulis memang mengejut kahkahkah. 




#5 Bekal ke Sekolah

Masa dua minggu persekolahan memang elok jika bekalkan anak dengan makanan dan air minuman. Botol air belilah yang mudah dibuka dan tidak mudah tumpah. 

Awal-awal persekolahan anak-anak masih belum mahir nak beli makanan di kantin dan kadang-kadang tak sempat nak makan semasa waktu rehat. Pastikan anak makan supaya dia kekal bertenaga sepanjang persekolahan. 

Itu sahaja perkongsian untuk panduan beli barang keperluan sekolah. Ini semua pengalaman berharga dan manis buat diri. Jadi kena la coretkan dekat blog. 

Ibu bapa yang pertama kali nak melalui pengalaman anak melangkah ke darjah satu, jangan risau dan enjoy sebaik mungkin. Pengalaman adalah guru terbaik dalam kehidupan. 

Selamat maju jaya dan selamat kembali ke sekolah untuk adik-adik. 

Tsunami Di Selat Sunda Banten Anyer

Tsunami Di Selat Sunda Banten Anyer 

Assalamualaikum, hari ni diselubungi berita sedih dengan bencana alam Tsunami yang melanda negara Jiran Malaysia, iaitu Indonesia.  

Kejadian berlaku di Pantai barat wilayah Banten, Anyer, yang terletak di pesisir Selat Sunda. Tsunami yang melanda tanpa amaran telah mengakibatkan banyak korban nyawa, kecederaan dan banyak harta benda turut musnah. 

Macam mimpi ngeri berulang kembali sebab Tsunami di Acheh yang berlaku pada 26 Disember 2004 masih belum hilang rasa traumanya. 

Lepas kejadian tu memang akan risau bila masuk je bulan Disember setiap tahun. 


Kumpulan Seventeen Antara Korban Dalam Bencana Tsunami Di Tanjung Lesung, Banten


Paling terkesan bila tengok di berita tentang video Kumpulan Seventeen yang tengah buat persembahan bersempena Hari Keluarga sebuah syarikat korporat Indonesia di Pantai Tanjung beach Resort.

Tiba-tiba ombak telah menerjah pentas tempat mereka melakukan persembahan dan telah meragut nyawa pemain Bass Kumpulan Seventeen, M Awal Purbani (Bani) dan juga pengurus mereka, Oki Wijaya. 

Menurut Ifan, vokalis yang terselamat dalam kejadian tersebut, isterinya dan dua lagi ahli kumpulan masih belum berjaya ditemui tetapi dipercayai selamat. Allahuakbar.
 




Lepas dilanda Tsunami, Ifan berkata dia telah dibawa arus dan terlempar ke tengah laut. Dia menceritakan detik cemas dia dikelilingi 20 – 30 mayat dan mangsa yang masih hidup pula menjerit meminta pertolongan. 

Ifan berkongsi pengalamannya dalam perbualan di telefon bersama TVOne, mangsa-mangsa yang dibawa arus ke laut sebahagian besarnya meninggal dunia. 
 
Dia menyaksikan dengan matanya sendiri, mangsa-mangsa yang cuba menyelamatkan diri di tengah lautan, semua orang saling menenggelamkan satu sama lain dan keadaan amat kelam kabut. 

Tidak lama selepas itu keadaan menjadi sunyi sepi kerana mangsa-mangsa sudah tidak bernyawa. 

Dia terapung-apung di permukaan selama dua jam dan hampir menyerah. Perkara pertama yang dibuat selepas dia selamat menjejakkan kaki di pantai ialah Ifan mencari keluarganya dan ahli Kumpulan Seventeen yang lain. 

Sedih apabila dia menjumpai jenazah Oki dan Bani tepi pantai. 

Kejadian berlaku ketika mereka mahu menyanyikan lagu kedua dan tiba-tiba sahaja ombak menerjah dari arah belakang. Besi dan kayu dimana-mana, air penuh lumpur dan mereka bergulung-gulung di dalam air. Tak dapat nak bayangkan betapa cemasnya melalui saat-saat getir macam tu. 

Pada hari kejadian Ifan memberitahu yang semuanya dalam keadaan baik sahaja. Ombak kecil, cuaca tenang dan tidak menyangka tsunami akan berlaku. Selalunya sebelum berlaku Tsunami akan berlaku gempa-gempa kecil sebagai amaran kecil. Berbeza dengan Tsunami yang berlaku di Banten Anyer. 

Salam takziah buat Indonesia dan buat seluruh ahli keluarga mangsa yang terlibat dengan bencana Tsunami di Selat Sunda, semoga kalian diberi ketabahan dan kekuatan untuk menghadapi kehilangan ini. Allah Maha Mengetahui segala yang terjadi di langit dan dibumi.