MENJADI WANITA PALING BAHAGIA MENURUT USTAZAH ASMA' HARUN

Cara Jadi Wanita Paling Bahagia Menurut Ustazah Asma' Harun

Alhamdulillah syukur sangat aku berkesempatan mengikuti Facebook Live Ustazah Asma’ Harun bersama Lisa Surihani semalam tentang menjadi wanita paling bahagia. Kebetulan aku memang nak setelkan pendaftaran webinar solat anjuran team ustazah Asma’ terus sajalah menonton perkongsian Ustazah.

Sesi perkongsian selama lebih dua jam dan lebih 8 ribu tontonan di Facebook dan juga Instagram terasa macam sekejap sangat. Banyak sungguh ilmu yang Ustazah dan Lisa kongsi. Banyak kali juga sesi lap air mata. Bahagia sangat mendengar kata-kata nasihat dari orang yang berilmu.




Jatuh suka dengan Ustazah Asma’ Harun

Bermula beberapa bulan yang lepas aku follow dan jatuh suka dengan perkongsian ustazah. Kata-kata peringatan yag ustazah Asma’ sampaikan tu kena tepat batang hidung. Alhamdulillah Allah dorongkan aku jalan-jalan kebaikkan.

Rupa-rupanya Ustazah Asma’ ni sebaya dengan umur suami aku, lahir tahun 1983. Ustazah dah berumah tangga dan ada tujuh orang cahaya mata. Gaya ustazah sangat lemah lembut dalam memberi nasihat tetapi terselit sifat tegas. Kagum betul dengan semangat dan tenaga ustazah semasa berdakwah. Sentiasa ceria dan bertenaga.



Cara-Cara Menjadi Wanita Paling Bahagia

Aku nak kongsikan beberapa nota yang sempat aku catat sepanjang perkongsian Ustazah bersama Lisa Surihani. Oh ya, Lisa ni tersangat lah merendah diri. Cukup pakej dia bijak, cantik, berbudi bahasa pula tu.

#1 Untuk menjadi orang yang bahagia kena berwajah manis. Nak jadikan wajah manis kena selalu senyum. Rasulullah pernah bersabda, diriwayatkan dalam Hadits Riwayat Muslim, yang Senyum itu satu sedekah.

#2 Bagi wanita yang dah berkahwin, orang yang paling layak terima senyuman manis kita tak lain tak bukan ialah pasangan kita.

#3 Berusaha untuk memahami dan mencapai tahap yang mana kita dapat menikmati ujian dan capai redha Allah. Ustazah pesan setiap kebimbangan, kesedihan, kepenatan dan kesukaran termasuk duri-duri tajam yang terkena orang Mukmin akan menggugurkan dosa-dosanya dengan syarat dia redha dengan ujian yang Allah beri.

#4 Sekiranya kita boleh nampak dosa-dosa kita berguguran satu persatu nescaya kita akan menikmati ujian yang Allah berikan.

#5 Jangan sesekali mempermainkan rahmat Allah. Sengaja melakukan dosa dan yakin Allah akan mengampuni kita.

#6 Memahami maksud Surah Al Fatihah terutama ketika membacanya di dalam solat.  

#7 Kita semua kena kejar redha Allah.

#8 Untuk kekal tenang, Ustazah nasihatkan bukan setakat zikir sahaja tetapi kena letak mindset. “Aku kena lulus ujian yang Allah berikan ini untuk mendapat redha Allah”.

#9 Ujian tanda Allah sayang. Siapa yang redha dengan ujian yang menimpanya nescaya dia akan mendapat redha Allah.

#10 Kena faham bahawa Allah memakbulkan permintaan kita, doa kita dengan cara Allah dan bukannya melalui cara yang kita minta.




Kesimpulan yang dapat aku buat ialah menjadi wanita paling bahagia bukanlah mengejar bahagia di dunia semata-mata. Target utama kita semua sebenarnya ialah akhirat kelak. Wanita yang dah berkahwin syurganya terletak pada suami, bahagiakan pasangan kita in sha Allah Allah mudahkan hidup kita.

Ustazah juga terangkan yang orang beriman ni akan menangis jika tak terima ujian dari Allah, dia risau Allah tak pilih dia, sebab dia tahu yang bila dia berjaya lepasi ujian dia semakin dekat dengan Allah.

Sekadar perkongsian yang aku rasa berbaloi nak cerita dekat sini ialah salah satu misi aku tahun ni adalah untuk cerahkan kubur. Kira projek akhirat aku lah, dan aku perasan Allah dorongkan satu persatu jalan-jalan kebaikkan untuk aku.

Syukur sangat. Tipulah kalau hati tu goyah, terutama bab sedekah. Aku doa sangat, kita semua dapat redha Allah. Setiap penulisan, ilmu yang dikongsi aku harap beri manfaat untuk semua yang membaca. Akhir kata semoga kelak kita semua menjadi jiran di syurga.

 

Cara Buat Cucur Lemak Manis Rangup Diluar Lembut Didalam

Akhirnya berjaya juga aku buat cucur lemak manis yang rangup di bahagian luar dan lembut di dalamnya. Sebelum ni aku pernah cuba buat tapi hasil dia tak seperti yang aku idamkan. 

Banyak je resepi cucur lemak manis orang kongsi tapi resepi yang bakal aku kongsi ni memang ternyata menjadi.

Rasa cucur lemak manis ni seakan-akan cucur lemak manis dalam paket jenama Adabi tu. Tak menyesal lah kalau buat. 

Cucur ni sesuai untuk dijadikan menu sarapan mahupun minum petang. Confirm berebut lah.


Cara Buat Cucur Lemak Manis Rangup Diluar Lembut Didalam

Kebetulan bahan-bahan diperlukan untuk buat cucur lemak manis ada dekat rumah jadi ajak anak buat sama-sama. 

Musim PKP ni mulut non-stop nak mengunyah, terutama ada anak-anak kecil. Alhamdulillah menjadi tapi pastikan jangan derhaka dengan resepi aku kongsi ni.




Resepi Cucur Lemak Manis Rangup Diluar Lembut Didalam

Cara nak buat senang sangat. Bahan-bahan pun tidaklah mahal harganya. Jadi jom tengok bahan-bahan diperlukan untuk buat Cucur Lemak Manis.

1 cawan tepung gandum

2 sudu besar tepung beras

2 sudu besar susu tepung

½ sudu kecil baking soda

½ sudu kecil baking powder

½ sudu garam

5 sudu besar susu pekat manis

2 sudu besar santan / serbuk santan

¾ susu cair / susu segar

 



Seterusnya, campurkan kesemua bahan kecuali susu segar / suus cair. Gaul sehingga sebati. Masukkan susu segar sedikit demi sedikit sehingga adunan sebati.

Jangan biarkan adunan terlalu cair.




Selepas itu rehatkan adunan di dalam peti sejuk selama 20 minit sebelum digoreng.

Panaskan minyak di dalam kuali dengan api perlahan. Bentukkan adunan menjadi bentuk bulat dengan menggunakan jari.

 


Aku tak sangka yang rasa cucur lemak manis ni sedap betul. Tepung Beras tu memainkan peranan penting sebab tekstur cucur jadi lembut di dalam dan rangup di luar. Kena sangat dengan selera kami satu keluarga.

Cara nak buat mudah, bahan-bahan memang ada dekat dapur. Cuma yang tinggal sekarang ialah kerajinan seseorang.

Selamat mencuba. Semoga perkongsian resepi kali ini memberi manfaat kepada anda.

Hukum Ambil Suntikan Vaksin COVID-19

Semenjak pandemik melanda dunia dan vaksin untuk mengawal Covid19 diperkenalkan oleh WHO, ramai yang mempersoal keselamatan dan juga hukum untuk terima suntikan vaksin Covid19. 

Golongan yang menolak dan tak percaya vaksin ada di serata dunia tidak terkecuali Malaysia. Jika anda diberi pilihan untuk diberikan suntikan vaksin COVID-19, apakah pilihan anda? 

Setuju untuk diberi suntikan atau anda menolak sekerasnya? Sehingga hari ini, individu bebas untuk tidak di vaksin. itu pilihan masing-masing. 


Hukum Ambil Suntikan Vaksin COVID-19

Adalah lebih baik jika setiap orang sedar dan faham bagaimana vaksin ini dibuat dan bagaimana ianya berfungsi.  

Sekurang-kurangnya kita lebih bersedia dengan kemungkinan dan faham dengan apa yang bakal berlaku. 

Kementerian Kesihatan Malaysia banyak berkongsi informasi berkaitan melalui laman sesawang dan sentiasa berkongsi maklumat di laman sosial mereka. Jadi haruslah rajin membaca dan menambah ilmu pengetahuan.

Baca Kesan Vaksin Sinovac | Selepas Dicucuk Dos Pertama


Kenali Apa Itu Vaksin COVID-19

Vaksin mengandungi antigen, yang diperolehi dari sebahagian atau keseluruhan struktur virus atau bakteria yang telah dimatikan atau dilemahkan. 

Antigen dalam vaksin berfungsi untuk meransang sistem daya lawan jangkitan (sistem imuniti) tubuh membentuk imuniti terhadap jangkitan penyakit khusus.

Tujuan vaksin diberikan adalah untuk membantu meransang sistem ketahanan semulajadi badan bagi mengurangkan risiko mendapat jangkitan virus. 

Sehingga kini KKM sedang meneliti 10 vaksin Covid19 yang telah memasuki fasa 3 kajian klinikal. 




Hukum Mengambil Suntikan Vaksin Covid19

Berdasarkan keputusan Mesyuarat Khas Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-10 yang bersidang pada 3 Disember 2020 dan sudah disembah maklum kepada Majlis Raja-Raja (MRR). 

Hukum mengambil suntikan vaksin COVID-19 adalah harus dan ia wajib diambil oleh golongan yang ditetapkan oleh kerajaan.




Penggunaan vaksin juga bertujuan untuk melindungi manusia daripada penyakit berjangkit berbahaya dan kaedah pencegahan melalui vaksinasi dapat dilihat dalam enam keputusan yang mengharuskan penggunaannya oleh Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia dari 1988 hingga 2013. 



Pendaftaran Vaksin COVID-19 Bakal Dibuka

Menurut Menteri Kesihatan, YB Dato' Sri Dr Adham Baba, pendaftaran untuk suntikan vaksin bakal dibuka kepada rakyat Malaysia tidak lama lagi. Boleh dapatkan maklumat lanjut dari Facebook KKM 

Kerajaan Malaysia mensasarkan 70% populasi atau 23 juta orang bakal menerima suntikan vaksin secara berperingkat dan percuma. 

Merujuk kepada Pelan Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, pemberian vaksin akan dilaksanakan dalam tiga fasa iaitu: Fasa 1 - barisan hadapan. Fasa 2 - kumpulan berisiko tinggi (penyakit kronik) dan warga emas berumur 60 tahun ke atas dan fasa 3 - orang awam berumur 18 tahun ke atas. 


Doa Mohon Ditunjukkan Kebenaran


اللَّهُمَّ أَرِنَا الْحَقَّ حَقَّا وَارْزُقْنَا اتِّبَاعَهُ وَأَرِنَا الْبَاطِلَ بَاطِلًا وَارْزُقْنَا اجْتِنَابَهُ وَلاَ تَجْعَلْهُ مُلْتَبِسًا عَلَيْنَا فَنَضِلُّ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِيْنَ إِمَامًا

Ya Allah, tunjukkanlah yang kebenaran itu sebagai kebenaran, dan kurniakanlah kami kekuatan untuk mengikutinya (memperjuangkannya), dan tunjukkanlah yang batil itu sebagai batil dan kurniakanlah kami kekuatan untuk menjauhinya serta menghapuskannya. 

Jangan jadikan yang benar dan batil itu samar-samar bagi kami, yang akan menyebabkan kami sesat. Dan jadikanlah kami pemimpin bagi orang-orang yang bertaqwa.

(HR Bukhari & Muslim)

Bagi pendapat aku pula, aku hormati setiap keputusan individu yang menolak untuk di vaksin. Pasti ada sebab dan alasan kenapa mereka menolak. 

GENAP SETAHUN COVID19 MELANDA MALAYSIA

Rupa-rupanya sudah setahun kita hidup dalam norma baru. Genap setahun jugalah negara kita dilanda Covid19 yang kita tak tahu mana pengakhirannya. 

Kalau ikut angka kes jangkitan penularan yang semakin hari semakin mengganas rasanya agak kabur peluang nak sambut puasa dan raya macam biasa.

Sedih tapi itulah hakikatnya.


Genap Setahun Covid19 Melanda Malaysia

Sayu hati masa tonton berita TV3 tentang imbasan penularan Covid19 dekat negara kita. Mengikut data kesihatan sedunia yang dikeluarkan oleh WHO, lebih 96 juta kes Covid19 dicatatkan di seluruh dunia dengan angka kematian mencecah lebih dua juta kes.

Juga dijangka angka akan terus menaik selepas ini. Negara Malaysia sekarang berada di tangga ke 58 daripada 221 negara berdasarkan bilangan kes Covid19 Sumber WHO




Kronologi Setahun Covid19 Di Malaysia

25 Januari 2021 genaplah setahun negara dilanda pandemik dengan kes jangkitan yang masih tinggi. Berikut adalah imbasan penularan virus Covid19 di Malaysia. 

Aku rasa penting untuk aku kongsikan di dengan semua. Mana tahu tarikh-tarikh penting macam hari ini akan menjadi soalan peperiksaan anak-anak di masa hadapan.

Tanggal 25 Januari 2020, kes positif Covid19 pertama dikesan dinegara kita membabitkan tiga warganegara China yang masuk melalui Singapura. 

Detik hitam bermula dengan gelombang pertama apabila kes import dan tidak melibatkan rakyat tempatan.

Aku masih ingat waktu ni semua orang belum panik, masih boleh bercuti dan rasanya semua orang tak sangka yang wabak ini tersangatlah bahaya.

Kita terus di uji apabila berlakunya gelombang kedua. Jangkitan berlaku melibatkan penularan tempatan seorang lelaki dari Selangor yang disahkan positif. 

Rakyat dah mula tak senang duduk, risau dengan kesihatan dan kerajaan pun dah mula sebarkan awareness tentang wabak ni.

Artikel paling banyak dicari sepanjang Covid19


PKP 1.0 di Seluruh Malaysia

Malaysia mulakan PKP pertama pada 18 March 2020 disusuli dengan PKPD pada 27 March PKPB pada 4 Mei 2020 PKPP pada 10 Jun 2020.

Sukanya aku PKP waktu ini ialah rakyat patuh arahan pihak berkuasa. Semua orang duduk di rumah, tak berani nak keluar dan sentiasa patuhi SOP. Terbayang lagi berita tayangkan askar yang bertugas dalam kawasan yang dipasang kawat duri.

Lain betul dengan PKP 2.0 ni. Meriah dengan manusia dekat mana-mana.

Kematian pertama disebabkan Covid19 di Malaysia ialah pada 17 march 2020. Mangsa pertama merupakan seoarng Paderi yang berusia 60 tahun dari Sarawak.  

8 dan 9 Julai 2020 menjadi detik bersejarah dan kegembiraan buat semua apabila kita akhirnya berjaya mencatatkan sifar kes tempatan untuk dua hari berturut-turut.

Mimpi ngeri bermula semula apabila ada sesetengah pihak buta mata, buta hati dan buta perut. Alpa dengan ancaman sedia ada dan akibat mementingkan diri sendiri rakyat menjadi mangsa. Maka terhasillah gelombang ketiga dan kes positif mencanak naik dan terus meningkat sehingga sekarang.

Masih ada sinar untuk kita kembali pulih? Entah.




PKP 2.0

Apa yang berlaku sekarang ialah sekali lagi kita berdepan dengan PKP 2.0 yang dimulai dengan enam negeri sahaja dikenakan sekatan dan kemudian disusuli dengan seluruh negara kecuali Sarawak.

Hari-hari kita disogokkan dengan berita salahlaku rakyat yang melanggar SOP, yang masih berdegil tak jaga penjarakan dan tak pakai penutup muka.

Menurut kenyataan Dato Ismail Sabri kesalahan paling kerap dilakukan yang menyumbang kes penularan Covid19 yang tinggi di Malaysia ialah kegagalan mematuhi penjarakan fizikal.

Walaupun rakyat di ingatkan dengan amaran dan juga dikenakan saman sebanyak RM1,000 tapi masih ramai lagi rakyat yang tak patuhi SOP. Kenapa ya? Rakyat penat? Rakyat stress? Rakyat tak peduli?

Bila fikir tak lama je lagi kita akan bertemu bulan Ramadan dan kemungkinan nak lakukan ibadah seperti biasa tu tersangatlah tipis. Tapi, kuasa Allah siapa nak pertikaikan kan? Jomlah kita semua doa semoga wabak ini terhapus dari dunia.

Rindu nak solat dekat surau macam biasa, rindu nak berjalan tengok dunia, rindu nak menziarah adik beradik dan saudara mara, rindu kampung halaman, rindu nak sambut puasa dan raya, rindu nak ke pasar malam. eh banyaklah aku rindu.

Sempena satu tahun Covid19 di Malaysia, aku harap kau cepat lah pergi. Lenyaplah dari muka bumi  ni, suami aku lama dah tak pergi masjid sembahyang Jumaat. Jaga diri semua, jaga kesihatan.