Kesan Vaksin Sinovac | Selepas Dicucuk Dos Pertama 

Alhamdulillah, aku selamat dicucuk vaksin Sinovac dos pertama pada 14 Julai 2021 yang lepas bertempat di KL Convention Centre, Kuala Lumpur. Tahniah diucapkan kepada mereka yang telah pun mendapat suntikan vaksin lengkap.

Tak kisah apa jenis vaksin yang korang dapat, sekurang-kurangnya kita sudah berusaha menjaga diri dan masyarakat serta menyekat penularan wabak yang merbahaya. So good job guys.

Bila sebut tentang vaksin aku agak emosi sebab sekarang tengah panas isu menolak vaksin, memilih vaksin dan isu tak dapat lagi tarikh vaksin.

Benci betul tengok orang bergaduh ni.

Sebelum aku teruskan perkongsian tentang kesan vaksin Sinovac ke atas diri aku, let me share proses yang aku lalui sepanjang mendapatkan temujanji vaksin. Ikut temujanji seterusnya yang diberikan oleh doktor, dos kedua bakal aku terima ialah pada 4 Ogos depan.

Doakan eh.

Kesan Vaksin Sinovac Dos Pertama


Kronologi Temujanji Suntikan Vaksin Covid-19 Sinovac

Aku mendaftar vaksinasi di aplikasi MySejahtera adalah pada 7 Mac 2021 dan kemudian dinyatakan layak untuk terima vaksin pada 14 Julai 2021.

Sepanjang tempoh bulan Mac ke Julai tu beberapa kali juga aku update info di MySejahtera termasuk lah pastikan alamat aku keluar poskod & pengakuan jika mengandung.

Aku pernah baca, kalau tak keluar poskod tu maksudnya masih tak lengkap maklumat untuk diproses sebab tu lambat dapat tarikh temujanji. Wallahualam.

Cara vaksin berfungsi - baca sini

Langkah seterusnya hanya perlu terima tarikh temujanji yang diberikan dan hadir ke PPV yang dinyatakan. Benda wajib bawa ialah kad pengenalan dan telefon untuk akses MySejahtera.

Benda lain perlu di ambil kira ialah pakai baju yang longgar, sanitizer, bawa pen sendiri, pakai double mask dan pastikan diri tak demam.


Kesan Vaksin Sinovac Dos Pertama


Senarai Vaksin Covid-19 Ditawarkan Di Malaysia

Ramai sedia maklum, rakyat menerima pelbagai jenis vaksin yang ditawarkan oleh kerajaan Malaysia. Setakat yang aku faham, rakyat tidak dibenarkan memilih jenis vaksin COVID-19 sebaliknya bergantung kepada bekalan stok sedia ada di pusat vaksin.

Di Malaysia, terdapat lima jenis vaksin yang tersedia iaitu;

• Vaksin Covid-19 mRNA keluaran Pfizer-BioNtech

• Vaksin Covid-19 viral vector keluaran Astra Zeneka

• Vaksin Covid-19 inactivated keluaran Sinovac

• Vaksin Covid-19 recombinant viral vector keluaran Cansino

• Vaksin Covid-19 viral vector keluaran Gamaleya


Kesan Vaksin Sinovac Dos Pertama


Vaksin Sinovac atau Coronavac?

Rezeki aku ditakdirkan dicucuk dengan Vaksin Sinovac / Coronac. Sehingga ke hari ini, penerima Vaksin Sinovac harus melengkapkan dua dos suntikan iaitu di otot bahu. Dos kedua diberikan dalam masa 14 – 28 hari daripada suntikan dos pertama.

Baca lebih di sini Penerangan Tentang Vaksin Sinovac

Nama vaksin: COVID-19 CoronaVac

Negara asal: China

Kandungan: Terdiri daripada virus SARS-CoV-2 yang telah mati dan tidak aktif. Bahan-bahan lain adalah aluminium hydroxide, disodium hydrogen phosphate, monosodium dihydrogen phosphate, sodium chloride, sodium hydroxide, and water for injection.

Vaksin COVID-19 CoronaVac tidak mengandungi alkohol dan bahan pengawet serta tidak diberikan kepada mereka yang:

• Mempunyai sejarah alahan yang teruk

• Sedang menjalani rawatan yang melemahkan sistem imun badan

• Mempunyai penyakit saraf teruk seperti Tranverse Myelitis, Guillian-Barre Syndrome, Demyelinating Disease

• Mempunyai penyakit kronik teruk yang tidak terkawal

• Sedang mengandung atau merancang untuk hamil

• Sedang menyusukan bayi

• Telah menerima vaksin COVID-19 daripada jenama yang lain

 

Kesan Vaksin Sinovac Dos Pertama


Kesan-Kesan Vaksin Sinovac Dos Pertama

Seperti yang kerajaan war-warkan setiapa orang bakal mengalami kesan dan symptom yang berbeza-beza. Ada yang bertuah langsung tak rasa apa-apa.

Untuk diri aku pula pada hari pertama selepas disuntik: diri jadi letih dan tak bermaya. Tempat dicucuk memang sakit dan otot jadi lenguh. Malam tu aku rasa mengantuk, lapar tapi tiada selera  nak makan.

Esok pagi aku bangun, badan semakin segar dan aku jadi rajin nak masak. Teringin nak makan tapi tak berselera.

Hari kedua aku diselubungi perasan loya tapi tak muntah pun. Perasaan nak tidur dan melepek je. Tangan memang terasa agak sakit untuk diangkat. Alhamdulillah, kesan vaksin tidaklah begitu serius.

Sekarang aku masih pantau dan paling penting kena jaga supaya tak demam. Harapnya keadaan baik-baik sahaja sehingga complete dos kedua.


Kesan Vaksin Sinovac Dos Pertama


Pengalaman Terima Suntikan Vaksin di PPV Kuala Lumpur Convention Centre

Bersyukur sangat urusan terima suntikan di PPV Kuala Lumpur Convention Centre sangat smooth. Tak susah sebab boleh terus parking di sana / KLCC dengan flat rate parking RM9. Jangan lah parking merata di tengah bandaraya, kang kena towing naya je.

Nak ke hall sangat mudah sebab ramai petugas termasuk RELA untuk tunjuk arah selain daripada signboard yang ditampal besar. Sukarelawan pun mesra alam, kawasan luas, tak bersesak sebab aku sampai pukul 5 lebih.

Sebelum disuntik, kena lalui beberapa kaunter isi borang, penerangan dan juga pengakuan. Proses dia cepat sangat, tak sempat nak panas bontot. Cuma last sebelum dapat kad vaksin je kena tunggu sekurang-kurangnya 15 minit sebab nak monitor kesan selepas cucuk.  

Doktor akan soal siasat tanya tentang sejarah kesihatan dan terangkan kesan selepas dicucuk. Dinasihatkan untuk makan Panadol jika demam. Kalau berlarutan melebihi tiga hari kena pergi ke Klinik untuk dapat rawatan lanjut.

Sehingga ke hari ni aku masih okay. Alhamdulillah. 

Post a Comment

Kata-kata yang lemah dan beradab dapat melembutkan hati dan manusia yang keras.

Terima kasih sudi comment.

Terbaru Lebih lama