Doa Hari Arafah – Amalan Yang Disyorkan

Dalam entri sudah aku ada kongsikan amalan yang disyorkan dilakukan pada Hari Arafah iaitu Puasa Sunat Tarwiyah & Puasa Sunat Arafah. Untuk kali ini aku sambung pulan dengan amalan yang disyorkan iaitu berdoa. Memang kita digalakkan berdoa banyak-banyak kerana ianya antara waktu terbaik untuk berdoa kerana kemakbulan dan kemustajabannya.

Boleh baca tentang amalan puasa sunat & cara berniat boleh baca dekat sini. Aku jumpa doa yang aku rasa dekat di hati dan aku kumpulkan jadi satu senarai panjang. Mudah kalau nak print dan boleh baca bila-bila. 

Credit untuk Puan Hikayatmora (thread) dan Puan Husnaaarashid (Tiktok). Boleh follow mereka di platform tersebut. Oh ya aku pernah buat koleksi doa bulan Ramadan juga sebelum ni. 

doa-hari-arafah


Doa Hari Arafah – Amalan Yang Disyorkan  

Sebaik-baik doa, adalah doa pada hari Arafah. Al-Bukhari meriwayatkan sebuah hadis daripada Ibnu Abbas R.A, Daripada Nabi SAW, Baginda bersabda:

"Tiada hari-hari yang amalan soleh yang paling disukai oleh Allah untuk dilakukan melainkan hari-hari ini-baginda memasukkan: 10 hari terawal Zulhijjah-."Para sahabat bertanya, "Wahai Rasulullah, Walaupun jihad di jalan Allah tidak dapat menandinginya?"Baginda bersabda,"Walaupun jihad di jalan Allah tidak dapat menandinginya, melainkan seorang  lelaki yang keluar berjihad bersama hartanya, kemudian dia langsung tidak kembali."

Riwayat al-Bukhari (969),Abu Daud (2438),Ibn Majah (1727),al-Tirmizi (757)

Tiada doa khusus pada hari Arafah, boleh je doa minta apa yang kita mahu. Tapi untuk yang tiada idea nak doa apa boleh rujuk doa yang aku senaraikan dekat bawah ni. Simple je tapi terkesan di hati. Sebelum ni aku ada kongsi  doa-doa yang masyhur pada Hari Arafah. 

 

Senarai Doa Hari Arafah

1. Doa Tauhid (Doa yang paling utama)

Ini adalah doa terbaik Rasulullah SAW pada hari Arafah:

لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ، وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، لَهُ الْمُلْكُ، وَلَهُ الْحَمْدُ، وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ

“Laa ilaaha illallah, wahdahu laa syariikalah, lahul mulku walahul hamdu wahuwa ‘ala kulli syai’in qadir.”

Tiada Tuhan melainkan Allah, Yang Maha Esa, tiada sekutu bagiNya, bagiNya segala kerajaan dan pujian, dan Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu.

 

2. Doa Untuk Diri Sendiri (Pengampunan dan Taubat)

“Ya Allah, ampunkan dosa-dosaku, zahir dan batin, besar dan kecil, yang lama dan baru, yang aku tahu atau tidak tahu. Bersihkan aku seperti bayi yang baru lahir."

“Ya Allah, kukuhkan imanku, luruskan hatiku, jauhkan aku dari sifat riak, ujub, takbur, hasad dan segala penyakit hati.”

“Ya Allah, jadikan aku insan yang sabar, tenang dan redha dengan segala ketentuan-Mu.”

"Ya Allah, aku penat. Tapi aku tetap datang pada-Mu. Aku serahkan segalanya. Gantikan luka ini dengan ketenangan. Gantikan tangis ini dengan redha Mu."

“Ya Allah, matikan aku dalam husnul khatimah dan bangkitkan aku dalam kalangan orang beriman.”

"Ya Allah, jangan palingkan hatiku setelah Kau beri petunjuk. Tetapkan aku dalam jalan hijrah ini. Walau aku masih banyak cacat celanya jangan tinggalkan aku."

 

3. Doa Untuk Anak

"Ya Allah, jadikan anakku insan yang beruntung di dunia dan akhirat. Lembutkan hatinya, hiasi akhlaknya dengan kemuliaan, teguhkan langkahnya di jalan yang Engkau redhai. Jadikan dia penyejuk hati, kebanggaan keluarga, dan asbab keberkatan buat kami.”

“Ya Allah peliharalah kemaluan anak-anak ku, tinggi sifat malu mereka terhadap ajnabi” – khas untuk anak Perempuan.

“Ya Allah, Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.”

 

4. Doa Untuk Jodoh / Pasangan

“Ya Allah, jika dia baik untuk dunia dan akhiratku, dekatkanlah aku dengannya. Jika tidak, gantikan dengan yang lebih baik.”

“Ya Allah, bahagiakanlah rumahtangga kami. Jadikan pasangan kami penyejuk hati dan peneman ke syurga.”

“Ya Allah, kurniakan zuriat yang soleh dan solehah, yang menjadi penyambung amal setelah aku tiada nanti.”

“Ya Allah, jadikan keluarga kami asbab untuk kami masuk syurga-Mu”

 

5. Doa Untuk Keluarga

“Ya Allah, haramkan wajah ibu dan ayahku dari api neraka. Kurniakan kepada keduanya syurga tanpa hisab”

“Ya Allah, ampunkan dosa ibu bapaku, rahmatilah mereka sebagaimana mereka menyayangiku sejak kecil.”

“Ya Allah, peliharalah keluargaku dari fitnah dunia, kekalkan kami dalam kasih sayang dan dalam jalan-Mu.”

“Ya Allah, berikan kesihatan, umur yang berkat, dan rezeki yang cukup buat ibu bapaku dan seluruh ahli keluargaku.”

'Ya Allah, lindungilah aku dan orang-orang yang aku cintai dari api neraka. Tempatkan kami dalam syurga-Mu yang kekal, walau kami tidak layak."

 

6. Doa Rezeki, Ketenangan & Kesembuhan

"Ya Allah, berikan aku rezeki yang halal, berikanlah kecukupan dalam rezeki ku. Sedikit nya masih tenang. Banyaknya boleh dibagi bagi. Bukan rezeki yang melimpah tapi membuatku jauh dari-Mu."

“Ya Allah, murahkanlah rezekiku, berkatilah setiap hasil usahaku, dan jauhkan aku dari sumber yang haram dan syubhah.”

“Ya Allah, bukakanlah jalan rezeki yang tidak aku sangka-sangka. Rezeki yang menenangkan, bukan yang melalaikan.”

“Ya Allah, berikan aku pekerjaan yang baik, berkah dan membuatkan aku lebih dekat dengan-Mu.”

"Ya Allah, sembuhkanlah orang-orang yang aku sayangi. Angkatlah segala penyakit dari tubuh dan jiwa. Jadikan sakit ini jalan menuju syurga dan keampunan-Mu."

 

7. Doa Untuk Umat Islam & Akhirat

“Ya Allah, lindungilah saudara-saudaraku di Palestin, Syria, Yaman dan seluruh dunia yang ditindas.”

“Ya Allah, masukkan aku dan orang-orang yang aku sayang ke dalam syurgaMu tanpa hisab.”

“Ya Allah, jangan palingkan hati ini selepas Engkau beri hidayah. Tetapkan aku dalam Islam sampai akhir hayat.”

Dan tutup semuanya dengan doa di bawah:

Ya Allah, Kau Maha Mengetahui isi hatiku. Kasihanilah aku, permudahkanlah & kurniakanlah jalan keluar. Berikanlah petunjuk untuk setiap masalahku. Aku berserah kepadamu, aturkan yang terbaik untuk hidupku, dan kurnikan rasa redha atas apa yang Kau tetapkan kepadaku”.

“Ya Allah, andai ada doa yang masih terbuku dalam hatiku, yang tak terluah atau terlupa, maka kabulkanlah jika ia baik untukku. Dan jika tidak baik untukku, jadikanlah ia yang terbaik untukku, dan tambahkanlah keimananku dengannya.”

 

Allah itu Maha Kaya maka mintaklah sebanyak mana yang kita suka. Allah suka kita berdoa, dan bagi aku pula doa ibarat confession dan affirmation. Kita mengaku kita hamba yang lemah, kita mengaku kita banyak buat salah dan hanya kepada Allah kita meminta.  

Amalan Yang Disyorkan Pada Hari Arafah – Puasa

Sebaknya waktu menulis tentang hari Arafah tahun ni. Rezeki masih diberikan nafas untuk hidup dan boleh berdoa. Banyak betul peringatan tentang kelebihan dan amalan-amalan yang disyorkan di bulan Zulhijjah di kongsi di media sosial.

Alang-alang tu aku nak kongsikan juga ilmu berkaitan bulan Zulhijjah yang aku baca. Semoga perkongsian memberi manfaat kepada semua yang membaca. Macam semua tahu, Hari Arafah ni salah satu hari paling istimewa dalam Islam. Ia jatuh pada 9 Zulhijjah, sehari sebelum Hari Raya Aidiladha.

Untuk Jemaah haji, mereka akan berkumpul di Padang Arafah untuk Wukuf. Wukuf bermaksud berhenti serta diam tanpa melakukan pergerakan dan dilakukan dalam suasana tenang. Dilakukan pada 9 Zulhijjah setelah matahari terbenam dan berakhir ketika terbit fajar pada 10 Zulhijjah. Ketika wukuf, seluruh jemaah haji berkumpul di padang Arafah. Waktu inilah waktu mustajab berdoa. 

 

puasa-hari-arafah

Amalan Yang Disyorkan Pada Hari Arafah – Puasa  

Dan untuk kita yang tak berpeluang nak pergi haji, Allah bagi keistimewaan untuk kita berpuasa pada hari tersebut disamping melakukan ibadah yang lain. Jadi jom kita banyakkan doa, puasa sunat dan rebut peluang nak minta ampun kepada Tuhan.

Untuk perkongsian kali ini aku kongsikan tentang amalan puasa sunat Hari Arafah beserta niat. Mudah untuk kita sama-sama rujuk di masa akan datang.

Disyorkan untuk Puasa sunat Hari Tarwiyah (8 Zulhijjah) sehari sebelum Hari Arafah (9 Zulhijjah). Puasa pada hari tersebut menghapuskan dosa setahun sebelum dan selepas. Daripada Abi Qatadah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda apabila ditanya tentang puasa pada hari Arafah:

يُكَفِّرُ السَّنَةَ الْمَاضِيَةَ وَالْبَاقِيَةَ

Maksudnya: “Puasa pada hari tersebut akan menghapuskan dosa setahun yang lalu dan akan datang”. [Riwayat Muslim (1977)]

 

Lafaz Niat Puasa Sunat Tarwiyah & Puasa Sunat Arafah

Hari Tarwiyah ini mempunyai dua maksud menurut Imam Ibn Qudamah iaitu hari di mana para jemaah haji mempersiapkan bekalan air sebelum menuju ke Arafah dan yang kedua adalah hari di mana Nabi Ibrahim AS mendapat wahyu daripada Allah SWT untuk menyembelih anaknya Nabi Ismail AS. Mimpi tersebut telah membuatkan Nabi Ibrahim AS tertanya-tanya pada dirinya.


Niat Puasa Sunat Tarwiyah

 نَوَيْتُ صَوْمَ تَرْوِيَةَ سُنَّةً لِلّٰهِ تَعَالَى

Nawaitu shauma tarwiyatan sunnatan lillahi Ta’ala

Maksud: Sahaja aku niat puasa sunat Tarwiyah kerana Allah Ta’ala.

 

Niat Puasa Sunat Hari Arafah

نَوَيْتُ صَوْمَ عَرَفَةَ سُنَّةً لِّلِه تَعَالَى

Nawaitu shauma ‘Arafata sunnatan lillahi Ta’ala

Maksud: “Sahaja aku berniat puasa sunat ‘Arafah kerana Allah Taala.

 

Kepada semua yang diberikan kesempatan berpuasa, selamat berpuasa dan semoga amalan kita diterima oleh Allah. Jom gunakan peluang hidupkan Hari Arafah, kerana tak semua tahun kita dijanjikan sampai ke Hari Arafah yang seterusnya.

 

Tuna Cucumber Salad Versi Aku – Simple Tapi Padu

Sekarang aku tengah kemaruk makan Tuna Salad. Belum jemu lagi setakat ini. Kalau dulu makan dekat Sushi King mesti aku akan makan chicken salad. Sedap betul kena dengan tekak. Simple je salad tu, ayam goreng dengan daun lettuce lepas tu guna roasted sesame sebagai dressing dia. Ohoi itu pun dah sedap.

Lepas tu aku mula rajin buat sendiri dekat rumah. Asalkan ada bahan dekat rumah walaupun tak lengkap aku mesti akan buat. Roasted sesame dressing tu kiranya bahan wajib kena guna dan favorite brand aku ialah Kewpie. Jenama lain aku dah cuba, tapi sayang tak kick macam Kewpie.

resepi-Tuna-Cucumber-Salad


Tuna Cucumber Salad Versi Aku – Simple Tapi Padu

Bila jadi suri rumah macam ni la dugaan dia. Mesti akan ada hari yang mood hilang, malas nak masak berat-berat. Malas masak tapi perut lapar minta di isi. Lepas scroll Tiktok lalu resepi Tuna Cucumber Salad, terus teringin nak cuba. Nama melayu dia salad tuna dengan timun.

Nak buat sangat lah mudah. Simple dan bahan tak banyak nak guna. Boleh makan macam tu je, atau buat side dish kalau ada lauk lain. Aku pernah kongsi sebelum ni resepi salad timun pedas ala Korea. 

Jom aku share resepi Tuna Cucumber Salad versi aku

Bahan-bahan yang diperlukan:

  • 1 tin tuna (toskan)
  • 1 batang timun Jepun / timun biasa (dihiris nipis)
  • 1 biji bawang merah (dihiris halus)
  • 1 sudu besar mayonis (ikut suka nak creamy macam mana)
  • 1 sudu kecil perahan lemon / limau nipis
  • Bahan optional: serbuk cili, cili padi, sayur favorite korang.

cara-buat-Tuna-Cucumber-Salad

Tuna-Cucumber-Salad


Cara-cara nak buat (tak sampai 10 minit pun!)

  • Toskan tuna dulu dari air dalam tin. Kalau tidak salad korang akan cepat berair. Kalau suka jenis macam tu okay saja.
  • Hiris timun nipis-nipis. Penting untuk dapat rasa rangup yang best tu. Guna jelah piller.
  • Masukkan tuna, timun, dan bawang merah dalam satu mangkuk besar.
  • Tambah mayonis dan perahan lemon. Gaul semua sampai sebati. Akhir sekali tabur serbuk cili.


Dah siap. Kalau nak rasa lebih sejuk dan segar, boleh simpan salad ni dalam peti sekejap sebelum makan. Korang yang nak jaga kesihatan, aku cadangkan gantikan mayonis dengan Greek yogurt.

 

Kenapa aku suka sangat salad ni?

Sebab dia simple, cepat, dan paling penting aku belum bosan makan menu ni. Selalu jadi penyelamat bila aku tengah lapar. Tak kisah siang ke malam selamat nak makan. Kongsi korang minat salad yang jenis macam mana?

Makan Malam Thai di Dshaban Seafood

Masa balik Melaka hari tu puas hati dapat makan makanan Thai yang betul-betul ada rasa Thai, bukan sekadar pedas dan masam semata-mata. Kena dengan selera kami. Kami singgah makan malam di DSHABAN SEAFOOD yang terletak di Jasin, Melaka.

Jumpa kedai ni macam kebetulan tau, cuma itulah Tuhan kata kalau dah rezeki kan, pusing sana sini pun tetap lah menjadi rezeki kami. Ikut pengalaman lepas susah betul nak jumpa kedai Thai Tomyam yang ada rasa real Thai tu.

Kalau dekat KL kami masih struggle mencari kedai Tomyam yang sedap. Kalau ada please suggest kat komen ya. 

Makan-Thai di-Dshaban-Seafood


Makan Malam Thai di Dshaban Seafood

Jadi memang kedai ni masuk list akan repeat di masa hadapan. Secara jujurnya, kami semua puas hati dengan makanan dan servis dekat sini. Oleh sebab kami puas hati jadi aku bermurah hati beri rating yang tinggi untuk google review DSHABAN SEAFOOD.

kedai-makan-Thai-Dshaban-Seafood


Alang-alang tu meh aku cerita sikit pengalaman makan-makan kami malam tu. Waktu baca buku menu aku dah berperang dengan diri sendiri sama ada nak makan Tomyam atau kerabu. Niat asal nak cari tomyam ya. Nak order dua-dua risau membazir. Akhirnya nekad aku pilih kerabu. Menyesal? Mestilah tidak.

Makan-Malam-Thai di-Dshaban-Seafood


Suasana & Servis Kedai

Kedai dia sederhana, selesa dan tak besar tak kecil. Waktu kami makan dah ada pelanggan tapi tak terlalu bising. Pekerja pun ramah dan cepat ambil order. Makanan pun tak perlu tunggu lama. Jadi untuk pengalaman aku makan malam servis mereka bagus. Pinggan, mangkuk, cawan okay. Kebersihan terjaga.

Korang boleh baca aku jalan-jalan cari makan di Melaka dekat bawah: 

 

Makan apa?

Antara yang kami order malam tu:

Sotong celup tepung – rangup di luar, lembut di dalam. Tepung dia tak tebal sangat, just nice. Sotong fresh, tak liat langsung.

Kerabu megi Seafood – portion dia okey, bahan pun banyak. Cuma bagi tekak aku, rasa dia agak manis sikit. Kalau kurang manis sikit, memang ngam dah.

kerabu-megi-seafood


Sup ekor – panas-panas waktu sampai, aroma dia pun dah menggoda. Yang best, langsung tak hanyir. Rasa dia pun balance. Suami yang order tapi kesian terpaksa berebut makan dengan anak-anak.

sup-ekor


Beberapa menu lain pun kami order, semuanya sedap dan berbaloi dengan harga. Kerang rebus segar tapi takde la sampai teringat-ingat.

Yang penting, menu berasakan seafood memang fresh. Tak rasa macam stok lama atau yang dah beku lama dalam peti. Bila makan tu boleh rasa kesegaran ketam, sotong dan udang yang digunakan. Star of the day jatuh kepada sup ekor.

 

Harga & Keseluruhan

Harga dekat sini sangat berpatutan. Portion pun puas hati. Range harga bawah RM20 untuk seorang makan.

Lokasi Kedai

DSHABAN SEAFOOD
Jc 3003, Jalan BJB 3/2, Bandar jasin bestari, 77200 Jasin, Melaka

Waktu Operasi

4.00 petang – 2.00 pagi
(Buka setiap hari -  boleh semak di Google sebelum pergi)


Kesimpulan

Kalau korang tengah cari tempat makan seafood Thai yang sedap di Jasin, memang kami highly recommend DSHABAN SEAFOOD. Rasa makanan dia ada vibe Thai yang sebenar, servis bagus, dan harga mesra poket. Confirm akan repeat lagi lepas ni!