Hari Karnival Koperasi & Keusahawanan SM Sains Selangor

Minggu ni kami habiskan masa ke sekolah Ikhwan sebab ada Karnival Koperasi & Keusahawanan. Berlangsung selama dua hari. Ikutkan karnival dah mula hari Jumaat, tapi abah dia kerja jadi kami pergi hari Sabtu pagi.

Sebelum tu dia dah bagitahu yang dia mungkin sibuk terlibat dengan majlis sekolah yang juga berlangsung pada hari yang sama. Bertugas untuk MPM. Jadi kami redha saja tunggu dia habis bertugas.

Entah datang dari mana kegigihan setiap kali ada aktiviti mesti kami akan terpacak di sekolah dia. Sementara tunggu dia selesai bertugas kami jalan-jalan dan isi perut. Pukul 12 tenghari baru dia dapat join kami.

Alhamdulillah walaupun cuaca panas terik tapi karnival boleh tahan meriah. Kalau bandingkan karnival tahun lepas lebih meriah sebab sambutan jubli 50 tahun, melibatkan gerai peniaga luar. Tahun ni lebih kepada gerai pelajar sahaja.

karnival-Koperasi-Keusahawanan-SMSainsSelangor


Hari Karnival Koperasi & Keusahawanan SM Sains Selangor

Masih lagi sama, tahun ni karnival guna sistem kupon untuk pembelian sepanjang karnival. Ada kaunter jualan kupon dan buku kupon dijual serendah RM5. Kira okay la harga makanan dalam range bajet poket. 

Ikut brosur sekolah apa yang ada sepanjang karnival: ada gerai makanan dan minuman, mini petting zoo, e-game, sand painting dan cabutan bertuah. Faham je kecil-kecilan mungkin objektif nak beri pendedahan kepada pelajar untuk berniaga.

Pujian perlu diberikan kepada pelajar sebab usaha nak berikan yang terbaik tu boleh nampak lah. Bukan mudah dengan modal yang terhad dan salute cikgu pembimbing yang tak lokek nak guide dan menyumbang termasuk wang ringgit.

Nampak sisi lain anak-anak bila turun padang meniaga. Rasanya cabaran utama ialah cuaca panas. Nak hadap dapur panas, memasak bawah parking walaupun berbumbung memang menduga iman.

Banyak-banyak gerai makanan: kami beli sosej Thai, mi goreng sedap dan banyak kali ulang beli air. Ya ampun haus. Menu lain banyak tapi tak berjaya mengumpan selera. Kira okay lah alas perut.

Sebelum balik sempat catch up aktiviti anak bujang. Cepat betul masa berlalu. Life asrama kan itu sajalah cerita dia. Sentiasa ingatkan dia jaga diri, jaga kesihatan, jaga barang-barang. Fokus utama adalah study walaupun hakikat dia sekarang sibuk sangat dengan tugas dia jadi pengawas.

Nak halang itu minat dan tanggungjawab dia. Ishh mak geram. Kami gerak balik lepas siap teman Ikhwan makan. Pukul 2 petang dia kena bertugas jaga gerai pula. Petang pula bawa anak-anak ke kelas silat. 

Setiap minggu begitulah rutin kami. 

Manfaat Beramal Dengan Doa Nabi Musa

Baca doa Nabi Musa ni kalau korang tengah serabut, emosi tak tentu hala, penat mental fikir macam-macam dan tak tahu nak luah dekat siapa. Doa ni pendek je tapi power manfaat dia kalau di amalkan.

Just sharing here sebagai reminder untuk semua yang membaca tapi lebih diutamakan untuk diri sendiri sebab rasa tak seronok dengan apa yang aku sedang rasa sekarang. Setiap bulan mesti akan tersangkut dengan perasaan serabut, penat, menahan sakit badan. Terseksa sungguh bila Sindrom Pramenstruasi (PMS) datang.

Waktu tu mula la semua benda tak kena. Rasa macam payah sangat nak terima keadaan diri. Itu apa aku rasa la. Walau perasaan tak best tu datang jarang-jarang dan bukan selalu tapi tetaplah terkesan sebab aku ni manusia lemah. Dan ada sebab kenapa Islam galakkan umatnya supaya berdoa. 

doa-nabi-musa


 

Manfaat Beramal Dengan Doa Nabi Musa

Perasan juga bila semakin berusia ni, segala zat semakin berkurang, makan pon tak jaga jadi hormon mudah sangat terganggu. Terlebih makan atau terlebih gula pun akan ganggu jadi tak stabil. Dalam kes aku mungkin banyak sangat caffeine aku telan. Sesungguhnya PMS ni memang sangat-sangat mengganggu aktiviti harian aku.

Ada satu doa pendek yang boleh memberikan ketenangan untuk orang yang mengamalkannya. Syarat dia kena yakin lah. Doa Nabi Musa A.S ketika membelah lautan (Dari hadis Rasulullah SAW Abdullah bin Mas’ud)

 

اللَّهُمَّ لَكَ الْحَمْدُ وَإِلَيْكَ الْمُشْتَكَى وَأَنْتَ الْمُسْتَعَانُ وَلَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِاللَّهِ الْعَلِيِّ الْعَظِيمِ  

Allahumma lakalhamdu, wa ilaika musytaka, wa antal musta’aan, wa la hawla wala quwwata illa billahil ‘Aliyyil ‘Azim

 “Ya Allah, untuk-Mu segala pujian. Kepada-Mu tempat aku mengadu. Engkau tempat aku minta tolong.Tiada daya & kekuatan melainkan dengan-Mu”

 

Amalkan sebanyak yang mungkin. Hati kita Allah yang pegang. Kita minta sebaik yang baik-baik saja. Aku doakan untuk yang sedang diuji, tidak aman dalam fikiran, berhajat sesuatu semuanya dimakbulkan Tuhan. Semoga Allah beri kita jalan keluar untuk semua masalah. 

Amalkan juga Doa keluar rumah 


Sambut Raya AidilAdha Di bandar

Salam AidilAdha untuk semua pembaca. Walaupun dah hampir seminggu Aidiladha meninggalkan kita, tetap kena ada satu entri raya haji untuk tahun 2025. Raya dekat mana tu? Kat kampung ke bandar? Meriah tak sambutan raya korang? Raya Haji atau Raya Qurban selalu sambutan kurang meriah berbanding Raya Aidilfitri.

Sambutan dari segi sediakan juadah raya, menziarah atau pun shopping baju raya. Lain lah kalau terlibat buat ibadah Qurban atau dijemput jadi tetamu Allah menunaikan haji di Mekah. Rasanya golongan ini lebih bersemangat beraya.

Apa pun aku seronok sangat raya tahun ni walaupun beraya dia bandar. Tahun 2025 kami tak buat Qurban dan tarikh hari raya berada di hujung cuti sekolah. Jadi tak dapat nak balik kampung. Selain risau menempuh kesesakan Lebuhraya, ada hal-hal yang kami tak dapat elakkan.

Sambut-Raya-Di-bandar


 

Sambut Raya AidilAdha Di bandar

Untuk keluarga sendiri, malam sebelum raya aku dah rebut nasi impit segera, pagi tu panaskan kuah kacang frozen aku dah beli sebelum tu. Kemudian aku masak mi kari udang. Dah makan mi kari, makanan lain dah tak larat nak makan. Nasib baik masak tak beria. Begitulah keluarga kecil kami.

Selesai solat raya baru kami makan ramai-ramai. Pesan awal-awal dekat anak-anak supaya pakai, pakaian baru biar terasa mood raya tu. Sekadar menghidupkan suasana raya tu. Selesai semua baru call emak di kampung. Tahun ni ada lima orang adik beradik bersama keluarga masing-masing teman emak beraya di kampung.

Ikutkan meriah dah tu. Mak masak macam-macam melayan selera anak cucu yang jarang balik. Ketupat palas memang tak tinggal. Itulah menu raya favorite arwah abah. Rindu abah.

Sambut-Raya-AidilAdha-Di-bandar


Maka tahun ni kami redha sambut raya Aildiladhadi bandar je. Tahun ni aku tak buat rendang. Jumpa rendang daging rusa waktu menziarah kakak di Puncak Alam. Itu pun kakak yang sulung masak. Kakak lagi satu masak nasi ayam sebagai main dish. Dijamu dengan biskut raya yang pelbagai. Itu pun dah seronok sangat.

Tahun ni juga kami meriah dapat daging Qurban. Otak dah mula sibuk mencari resepi daging. Begitulah tugas hakiki emak-emak kan.


Ditimpa Musibah Tanpa Henti

Pagi ni berdebar baca mesej suami bagitahu di whatsapp, Sekolah Menengah Sains Alam Shah (ASiS) terbakar. Terperanjat sangat dan automatik teringat anak di asrama. Jiran sekolah anak je tu. Belakang tu je Sekolah Menengah Sains Selangor (SMSS). Tapi ikutkan Sekolah Menengah Teknik KL lagi dekat dengan ASiS. Masih menunggu update dari group sekolah anak.

Belum reda lagi kesedihan kes kemalangan bas pelajar UPSI, jadi pula kebakaran macam ni memang sayu sangat hati. Ikut maklumat hebahan tak rasmi, bangunan sekolah ASiS yang terbakar bukan asrama. Sekurang-kurangnya kebakaran tidak melibatkan murid. Moga tiada kemalangan jiwa berlaku.

smss-ikhwan


Musibah berlaku pada hari pertama sekolah selepas balik bercuti panjang. Mesti masing-masing dalam keadaan terperanjat lagi. Mak ayah belum habis penat hantar anak balik asrama. Setiap kali hantar Ikhwan balik asrama kami akan lalu depan ASiS. Ikutkan memang bangunan nampak dah lama. Kita tunggu saja siasatan pihak polis.

Salam takziah di ucapkan. Semoga baik-baik saja untuk semua yang terlibat. Fasa selepas musibah tu bila bayangkan terasa penatnya. Banyak kerja nak buat tu.


Rayuan Derma Kilat

Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera.Seperti kita semua sedia maklum satu kebakaran yang melibatkan bangunan utama pejabat sekolah termasuk bilik guru baru saja berlaku lebih kurang jam 4.30 pagi tadi.

Hasil dari pemerhatian awal mendapati hampir keseluruhan ruang tingkat 1 blok hangus terbakar dan jumlah kerugian masih disiasat. Sehubungan dengan itu, kita melancarkan tabung derma kilat yang akan terus disumbangkan kepada pihak sekolah bagi sedikit sebanyak membantu menampung keperluan segera sekolah terutamanya untuk guru-guru yang kehilangan kesemua barangan peribadi yang diletakkan dibikik guru. Sumbangan boleh disalurkan kepada :

 

derma-kilat-asis

AKAUN 1 PIBG

No akaun : 8000960571

Nama akaun : PIBG SM SAINS ALAM SHAH

Bank : CIMB Bank

Rujukan : derma kilat

Link herepay: https://app.herepay.org/asis-pibg/dermakilatasis

JK PIBG SM Sains Alam Shah

10 Jun 2025

asis-terbakar

 

Ditimpa Musibah Tanpa Henti

Rasanya minggu ni minggu ujian buat aku dan orang sekeliling. Bila terima berita musibah yang bertimpa-timpa ni buat aku rasa betul-betul hidup ni rapuh sangat. Aku juga masih dalam mode terperanjat sebab sekolah anak aku juga dilanda bencana ribut. Cuaca sekarang memang tak menentu. Baru hari tu cuaca panas melampau, sekarang diselangi dengan hujan lebat ribut pula. 

Kami, ibu bapa dapat tahu tentang ribut ni pun bila cikgu kongsi tentang langkah-langkah keselamatan yang perlu murid-murid patuhi bila kembali ke sekolah dalam group whatsapp.

Kejadian berlaku minggu lepas waktu petang, hujan angin kuat dan pokok pinang tumbang. Habis papan tanda sekolah kena hempap. Memang ranap dan tak dapat diselamatkan. Selain papan tanda, atap bangunan juga ada juga yang terjejas. Syukur tidak melibatkan kemalangan jiwa. Berlaku waktu cuti sekolah jadi bersyukur sangat.



Semoga apa yang berlaku Allah ganti dengan perkara yang lebih baik. inshaAllah.

 

Doa Apabila Ditimpa Musibah

Baginda ﷺ bersabda: “Sesiapa yang mengucapkan doa ini ketika ditimpa musibah, Allah pasti akan menggantikan buatnya sesuatu yang lebih baik.”

Doa yang diajarkan oleh Rasulullah ﷺ ini:

إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ، اللَّهُمَّ أْجُرْنِي فِي مُصِيبَتِي وَأَخْلِفْ لِي خَيْرًا مِنْهَا

“Sesungguhnya kami adalah milik Allah dan kepada-Nya kami akan kembali. Ya Allah, berikanlah ganjaran kepadaku di atas musibah yang menimpaku dan gantikanlah untukku sesuatu yang lebih baik darinya”.

Hadis Riwayat Muslim, 918


Semoga anak-anak sentiasa di sentiasa dilindungi Allah daripada perkara yang tidak baik. Semoga diberi kesihatan, kemudahan dalam menuntut ilmu serta kekuatan untuk berjaya dunia dan akhirat. Semoga menjadi anak yang soleh dan solehah, cemerlang dalam pelajaran, dan menjadi seorang yang berjaya.

Aamin.

 

Amalkan juga doa perlindungan

أَعُوذُ بكَلِمَاتِ اللَّهِ التَّامَّةِ، مِن كُلِّ شيطَانٍ وهَامَّةٍ، ومِنْ كُلِّ عَيْنٍ لَامَّةٍ

Maksudnya: "Aku berlindung dengan kalimah-kalimah Allah yang sempurna dari setiap gangguan syaitan, binatang berbisa dan setiap pandangan mata yang jahat.”