Perkara Perlu Buat Jika Positif Covid Bergejala

Rodiah Amir

Akhirnya perkara yang kami takut sangat terjadi berlaku juga akhirnya. Ya, aku dan suami disahkan positif Covid pada awal Mac lepas. 

Setelah 2 tahun berjuang menjaga diri akhirnya tewas juga dan menjadi penyumbang kepada angka statistik covid Malaysia. 

Elak punya elak terkena juga. Syukur Alhamdulillah atas segala ujian. Kami percaya ini adalah yang terbaik dan takdir Allah untuk hambaNya yang lemah. 


Perkara Perlu Buat Jika Positif Covid Bergejala

Pengalaman pertama kali positif Covid, kami awalnya sedikit panik, tak tahu apa perlu buat bila dah positif. Virus yang tak nampak di mata ni buat kita jadi tak tentu arah. 

Lebih risaukan keselamatan anak-anak memandangkan mereka belum lagi di vaksin. Waktu beritahu anak-anak yang suami perlu di kuarantin masing-masing mengikut arahan dengan baik. 

Masuk hari ke tiga kuarantin semua macam cacing panas nak peluk abah mereka. Memang kena jelaskan betul-betul baru mereka faham.  


Positif-covid-bergejala


Perkara Perlu Buat Bila Positif Covid

Kalau sebelum ni hanya baca pengalaman orang kuarantin, betapa terseksanya mereka yang ada gejala dan ubat-ubat yang mereka consume untuk sihat. 

Macam orang selalu cakap, lambat laun setiap orang atleast sekali akan dijangkiti Covid. Bagi aku itu adalah perumpamaan yang Covid ni lambat laun akan jadi penyakit biasa ada dalam masyarakat. 

Macam demam denggi dan seangkatannya. Untuk makluman anda, menurut KKM, antara tanda-tanda anda dijangkiti Covid 19 adalah:

  • Demam yang berpanjangan
  • Kelesuan bertambah teruk
  • Kesukaran bernafas
  • Sakit dada
  • Bibir atau jari kebiruan
  • Tidak boleh mengambil makanan atau minuman melalui mulut
  • Batuk, muntah atau cirit yang semakin teruk
  • Sering kencing


Positif Covid Pertama Kali Pertama - Perkara Perlu Buat

Aku kongsikan perkara perlu buat apabila disahkan positif covid pertama kali berdasarkan pengalaman aku dan keluarga. 

Suami merupakan orang pertama yang disahkan positif. Sehari sebelum tu dia ada mengadu pening kepala dan tak sedap badan. 

Sangkaan aku dia tak sihat disebabkan penat memandu akibat terperangkap dalam kesesakan lalu lintas. Kebetulan petang dia balik bekerja, Kuala Lumpur hujan lebat dan sesetengah tempat banjir. 

Kesian tengok dia mengadu pening kepala, aku tawarkan diri untuk picit kepala dan sapukan minyak angin biar selesa. 

Keesokkan harinya dia beritahu badan tak selesa. Selalunya itu tanda dia akan demam, tapi terpaksa juga ke pejabat sebab ada kerja yang perlu diselesaikan. Waktu lunch dia beritahu dia ke klinik nak ambil MC. 

Masa tu dah tak sedap hati dan sebelum dia balik rumah aku dah suruh dia buat ujian air liur. Bagai langit runtuh atas kepala, dapat mesej whatsapp daripada suami. 

Jelas terpampang keputusan ujian air liur naik dua line. Terang pula tu. Tak tunggu lama aku suruh dia ke klinik berhampiran untuk buat saringan RTK. 

Hari esoknya, 9 Mac giliran aku pula disahkan positif selepas buat ujian air liur. Kami berdua positif covid bergejala. 


alat-bantua-covid


Langkah 1 - Sediakan Bilik & Keperluan Kuarantin

Perkara pertama perlu buat adalah sediakan tempat untuk kuarantin. Jadi kami putuskan suami akan guna bilik tidur bahagian hadapan supaya mudah sebab ada tandas. 

Dah siap sediakan keperluan pakaian, ubat-ubatan, selimut, bantal, makanan dan minuman serta tablet untuk dia bekerja sepanjang kuarantin. 

Ambil kesempatan minta adik belikan ubat-ubatan, air kelapa dan buah Lemon. 


Langkah 2 – Lapor di MySejahtera

Sudah menjadi tanggungjawab untuk laporkan jika keputusan positif COVID. Supaya mereka yang menjadi closed contact boleh alert jika ada gejala. 

Alhamdulillah suami dah lengkap 2 dos vaksin termasuklah booster, jadi tempoh hari kuarantin adalah 7 hari kerana bergejala. Sepanjang tempoh kuarantin kena jawab health assessment dua kali sehari. 

Hari pertama dan kedua suami hanya demam dan sakit kepala yang teruk. Selera makan dan deria bau masih lagi normal. 


Langkah 3 – Jaga Kesihatan

Sepanjang tempoh kuarantin, suami hanya tergolongan sebagai Positif covid 19 cat 1 dan cat 2. Gejala pun ringan sahaja. 

Antara soalan dalam KKM health assessment ialah: kadar oksigen, kadar nadi, bacaan tekanan darah, suhu badan, batuk, demam, loya dan muntah serta beberapa soalan kesihatan lain. 

Kalau gejala korang makin teruk jangan tangguh pergi terus ke CAC berdekatan terutama kalau kadar oksigen bawah 95. 


Gejala yang aku hidapi lebih teruk berbanding suami. Hari pertama aku hanya sakit badan, hari kedua aku dah mula demam selesema dan sakit tekak yang ringan sahaja. 

Dua malam berturut aku tidur menggigil sejuk. Hari ke empat aku mula batuk sehingga habis kuarantin. Seksa weh. Batuk teruk sehingga muntah. 

Aku cuba kurangkan batuk  dan cuba juga petua orang lama. Alhamdulillah berkesan. 

Demam Covid bukan demam biasa ya, batuk pun luar biasa. Rasa dekat tekak dan dada ada benda asing. Sebab tu penting ubat dan supplement lain. 


Pengalaman Kuarantin Di Rumah Dengan Anak kecil

Memandangkan kami berdua positif memang tak banyak mampu kami lakukan bila kuarantin di rumah dengan anak-anak. 

Aku masih teruskan aktiviti harian seperti biasa. Sediakan makanan, memasak, kemas rumah dan lain-lain. Cuma apa kami mampu buat, sentiasa ingatkan anak-anak supaya pakai mask setiap masa kecuali waktu tidur. 

Semestinya kena asingkan bila basuh baju dan tempat tidur. Syukur sangat sepanjang tempoh kuarantin hanya anak sulong kami yang demam itu pun sehari sahaja. 

Alhamdulillah anak-anak lain ceria, cergas sihat walafiat. Dari segi pemakanan, memang tak putus bekalan vitamin dan juga buah-buahan. 


ubat-untuk-pesakit-covid



Ubat Perlu Ada Untuk Pesakit Covid

Antara ubat yang aku rasa penting sangat-sangat perlu ada sepanjang tempoh kuarantin adalah seperti berikut: Untuk yang alergi ubat sila dapatkan nasihat doktor terlebih dahulu. 


Paracetamol 

Jangan culas makan ubat dan kena makan on time supaya demam tak melarat. Ubat tahan sakit pun amat berguna bantu hilangkan sakit badan. 


Kordel’s Cold Away 

Untuk batuk & selesema. Membantu ketidakselesaan hidung dan tekak untuk pernafasan. 


Strepsils Max Pro Direct Spray

Penting untuk sakit tekak. Ada orang kongsi yang sakit tekak disebabkan Covid amatlah menakutkan seolah-olah tekak bagai dihiris. 

Jadi aku memang guna dari awal untuk elak sengsara. Tapi tak boleh guna lebih dari tiga hari berturut-turut dan maksima 5 kali semburan dalam masa 24 jam. Power weh spray ni. 


Lemon dan Madu

Sejak hari pertama, aku akan minum air hirisan lemon dicampur madu. Bancuh suam-suam dan telan. Rasa bahagia sangat. Sangat bagus membantu sistem imun. Buah-buahan jangan dilupa. 


Wap Air Cengkih

Aku didihkan air bersama cengkih kemudian aku letak di dalam mangkuk. Campurkan dengan sedikit Vicks VapoRub dan tutup muka (termasuklah mangkuk guna tuala) menghadap mangkuk berisi air panas tadi. 

Biar berpeluh dan rasa dada lapang sangat. Kena buat sekerap mungkin. Cuma hati-hati melecur terkena air panas. 


Air kelapa & Vitamin C

Boleh dikatakan setiap hari aku minum air kelapa. Badan jadi lemah sangat disebabkan Covid jadi air kelapa sedikit sebanyak memberi tenaga dan membuka selera makan. 


Bersyukur sangat, sepanjang kuarantin tiada gejala serius dan kami masih dalam tempoh untuk sihat sepenuhnya. Selera makan, deria rasa dan deria bau juga normal. Sakit tekak pun tak teruk. 

Kena paksa diri untuk minum banyak air juga. 


Kesimpulan 

Aku kongsikan perkara perlu buat bila positif covid bergejala dan laporkan status kesihatan di MySejahtera supaya KKM alert dengan keadaan kesihatan kita. Tak perlu panik, jaga diri dan jalani kuarantin dengan tenang. 

Tags