Makan Steamboat & Grill di Restoran Hot Pot King KL

Hi Korang. Untuk edisi food hunting kali ni Diah nak kongsikan tempat makan steamboat dan grill untuk korang yang berada di sekitar Kuala Lumpur. 

Kebetulan adik bongsu nak open table sempena dapat gaji pertama. Terima kasih dik, semoga awak dimurahkan rezeki.

Makan Steamboat & Grill di Restoran Hot Pot King KL 

Tempat yang dituju kali ni ialah Restoran Hot Pot King Steamboat & Grill yang terletak di Taman Prima Sri Gombak.

Restoran Hot Pot King Steamboat & Grill ada tiga lagi cawangan yang terletak di Alam Avenue 2 Shah Alam, Jalan Kuching, dan juga Dataran Sunway Kota Damansara.

Boleh juga ke D'Kayangan Steamboat kalau berada di Shah Alam

Steamboat-Grill



Waktu operasi Restoran Hot Pot King Steamboat & Grill adalah bermula pada jam 1 petang sehingga 12 tengah malam. 

Harga yang dikenakan kepada pelanggan adalah berbeza mengikut hari (hari biasa, hujung minggu dan cuti umum) dan sesi (1-5petang, 5petang-12 tengah malam). 

Kanak-kanak berusia 4 tahun ke bawah adalah percuma dan warga emas dan OKU layak mendapat diskaun 10% dari harga dewasa. 

Isnin hingga Jumaat = Dewasa (1-5petang) RM29.80, (5-12 tengah malam) RM31.90
Isnin hingga Jumaat = Kanak-kanak (1-5petang) RM14.90, (5-12 tengah malam) RM15.95
Hujung Minggu Dan cuti Umum = Dewasa (1 petang -12 tengah malam) RM33.80
Hujung Minggu Dan cuti Umum = Kanak-kanak (1 petang -12 tengah malam) RM16.90


Pilihan Makanan Steamboat & Grill Yang Ada 

Pilihan makanan bergoreng yang disediakan agak terhad. Ada sosej goreng, potato wedges, nugget, mee dan nasi goreng. 

Ada tiga jenis air sejuk dan koktail buah-buahan. Air panas tak disediakan. Pilihan untuk steamboat dan grill agak memuaskan hati. 



Kambing perap dan ayam dia terbaik memang patut cuba. Ikan dori dia tidak berbau dan antara yang kami asyik duk ulang makan.



Pilihan makanan laut tak banyak sangat tapi cukup la dan makanan frozen macam bebola tu ada pelbagai jenis. 

Selain tu ada mee segera, sayur-sayuran, dua jenis buah, dan untuk pencuci mulut hanya ada dua perisa ais krim (coklat dan strawberi) serta ais pop. Bagus kalau dia tambahkan lagi pencuci mulut ni.




Sos adalah antara kompenan penting kalau makan di restoren steamboat sebab dia jadi bahan pencicah yang menyedapkan makanan. 

Diah berpuas hati dengan pilihan sos yang banyak. Paling suka sos masam manis kalau tak silap nama dia. 

Pendapat Diah tentang Restoran Hot Pot King Steamboat & Grill

Secara keseluruhan, restoran ni bersih, ada tempat solat, tandas dan sinki pun bersih, selesa kalau makan satu keluarga dan sesuai kalau buat sambutan birthday atau reunion tapi deal la dengan restoran dulu. 



Harga pula terpulang pada poket masing-masing. Overall kalau ikut tekak Diah yang suka kan makanan akan datang lagi.






Hot Pot King Sri Gombak
Address: 59, Jalan Prima SG 3/1, Prima Seri Gombak, 68100 Batu Caves, Selangor
Phone: 012-558 3440

Petua Sambal Udang Sedap Menjilat Jari

Hai semua. Selalu kalau beli udang tak lain tak bukan mesti masak sambal udang. Jarang sangat masak menu lain kecuali kalau beli udang galah, ha baru la masak udang galah masak lemak. 

Diah bercerita pasal udang ni sebab teringat sambal udang yang mak Diah masak memang power. Kalau balik bercuti mesti minta mak buatkan nasi lemak sebab nak makan sambal mak masak. 

Sambal mak memang terkenal dan diakui sedap oleh geng-geng rewang kalau ada kenduri kat kampung. 

Bila time kenduri, orang-orang kampung akan minta mak buat sambal untuk makan pagi masa sesi merewang. Tahu kan merewang tu apa? Tak tahu sila google. Hahahha. 

Petua Sambal Udang Sedap Menjilat Jari 

Cuci udang kena betul-betul. Kena buang usus di bahagian belakang badan udang then tahu tak yang kepala udang mempunyai kolestrol yang tinggi. 

Sila berpada-pada kalau makan makanan laut ya. Baru belajar cara kupas kulit udang kena buang bahagian ekor tajam ni baru senang nak kupas bila dah siap masak. 



Oleh sebab suka sangat maka Diah pun gigih belajar dan minta petua dari mak. Setiap kali sebut nak minta petua mak akan gelak besar. 

Mak kata mana ada petua apa-apa tapi mak pesan untuk dapatkan sambal yang sedap, sambal tu kena tumis lama. 

Oh ye sambal yang mak selalu buat ni rasa dia agak manis dan pedas. Tapi tak la over manis, tapi cukup buat Diah tambah nasi tiga pinggan. 

Mak ajar selain berzikir masa memasak, hati kena ikhlas dan enjoy time memasak. Lepas tu kalau masa memasak kena tumis bawang sampai garing dan kena tumis cili kisar tu sampai pecah minyak.

Mak akan masukkan beberapa sudu besar air ke dalam sambal dan bila air dah mula kering dan sambal akan jadi pekat seterusnya pecah minyak. 

Rasanya ada dalam 15 ke 20 minit. Tapi kena jaga-jaga supaya tak hangit. Lepas tu boleh perasakan macam biasa. 

Resepi Sambal Udang Sedap Menjilat jari


Warna sambal juga bergantung pada cili kisar. Mak pesan kalau masak makanan apa pun tak boleh nak cepat je. Kena sabar dan cukup bahan dia. 

Patut la masa sertai acara pertandingan memasak di Universiti Berjaya dulu Chef Athira pesan suruh tumis bahan masakan sampai pecah minyak juga. 

Tu lah petua Chef masak sedap kat hotel rupanya.  Alhamdulillah berkat tunjuk ajar mak, sekarang dah agak pandai nak masak sambal macam mak buat. 

Rasa seakan-akan mak buat tu memang dah ada tapi tak akan pernah sama rasanya. Mak masak dengan perasaan kecintaan untuk anak-anak. Sayang mak. 

Resepi Sambal Udang Sedap 

Bahan bahan:

Bahan Kisar:
3 biji bawang besar
5 ulas bawang putih
Satu inci halia

1/2 kg udang
3 sudu besar cili kisar
1/2 biji bawang besar Holland - hiris
1 keping asam keping
6 sudu besar air masak
1 sudu besar gula atau secukup rasa
Garam

Cara-cara:

Tumis bahan kisar hingga garing atau naik bau. Kemudian masukkan cili kisar dan air masak. Masak sehingga pecah minyak.

Masukkan udang dan kacau rata. Kemudian masukkan asam keping, garam dan gula. Perasakan sehingga anda puas hati. Biarkan seketika. Setelah itu baru masukkan hirisan bawang Holland. Tutup lepas seminit.

Siap untuk dihidang. 

Restoran Makanan Arab Sedap Di KL

Assalamualaikum. Memang dah jadi aktiviti wajib setiap bulan mencari tempat makan sedap di KL. Saja reward diri lepas berpenat lelah harung kehidupan dari hari ke hari. 

Kira small celebration dan tanda bersyukur masih hidup dan dikurniakan kesihatan yang baik. 

Jadi, untuk kali ni sekali lagi kami ke Restoran Qasar Balkis untuk makan makanan Arab yang terletak di Taman Melati Kuala Lumpur. Restoran ni sebaris dengan Restoran Sate Haji Samuri cawangan Taman Melati. 


Restoran Makanan Arab Sedap Di KL  

Kali kedua kami makan di sini dan Diah sangat-sangat sukakan makanan dekat sini. Restoran ni pakar dalam menyediakan makanan Arab / Timur Tengah. 

Memang dapat rasa rempah ratus yang mereka gunakan dalam setiap menu. 

Daging yang lembut dan berjus, Shawarma dan BBQ yang sedap, dan banyak lagi menu menarik dan berbaloi untuk dicuba.


Qasar Balkis Taman Melati



Restoran Makanan Arab Sedap Di KL


Menu Restoran Arab Qasar Balkis 

Paling Diah suka nak cadangkan adalah air teh dekat sini. Diah memang penggemar coffee dan juga sangat enjoy kalau minum Teh susu. 

Kalau datang sini memang akan pesan air Teh dalam teko kecil dan rasa Teh dia memang power.

Apa yang lain dekat sini, air Teh mereka akan letak sBunga Cengkih. Rasanya Cengkih tu menambah aroma dan rasa lemak teh. Minum teh panas memang layan habis.


Restoran Qasar Balkis


KL Qasar Balkis

Dari segi harga Diah rasa masih affordable dan berbaloi dengan apa yang kita makan. Lagipun saiz setiap hidangan agak besar. 

Kalau pesan hidangan nasi boleh kongsi untuk dua orang kecuali memang anda seorang yang kuat makan. 

Kalau pertama kali nak cuba boleh pesan menu yang berbeza. Baru dapat rasa semua menu yang ada. 


Restoran Qasar Balkis Taman Melati

 

Restoran Makanan Arab Sedap Di KL Qasar Balkis Taman Melati


Apa yang Diah perasan Restoran Qasar Balkis memang ada pelanggan setia mereka. Ada je pelanggan walk in terutama waktu malam. 

Restoran ni sesuai kalau nak makan-makan satu keluarga dan dekat sini ada bilik khas (VIP) kalau nak buat private dinner. 

Boleh muat dalam 10-12 orang kalau tak silap. Kalau datang secara berkumpulan baik call dan buat tempahan. 





Restoran Makanan Arab Sedap Di KL Qasar Balkis Taman Melati


Review Restoran| Qasar Balkis Taman Melati

Overall puas hati makan dekat Restoran Qasar Balkis sebab makanan yang sedap, tempat makan yang luas, bersih dan selesa, harga berpatutan dan krew restoran yang mesra pelanggan walau ada halangan Bahasa. 

Semestinya kalau nak cari tempat makan makanan Arab yang sedap di KL, Restoran Qasar Balkis adalah restoran yang patut anda cuba. Diah tak dibayar untuk review ni ya! Jadi patut cuba. 


QASAR BALQIS RESTAURANT (Taman Melati)
Lot No, 1 G, Jalan Melati Utama 4, Taman Melati, 53100 Kuala Lumpur
Phone: 03-4161 8962


Satu lagi Restoran Nasi Arab yang aku boleh cadangkan ialah Nasi Arab Taj Hadramawt Taman Melati ,  Nasi Arab di Paradise Reyan pun sedap, dekat dalam pasaraya Aeon Big Wangsa Maju. 



Rancangan Mikrofon Impian Bantu Ringankan Bebanan Kewangan

Pernah tengok rancangan Mikrofon Impian di Astro? Diah tertengok satu episod ulangan, minggu kedua yang mana penyanyi Elyana jadi juri jemputan. 

Mikrofon Impian bersiaran setiap Ahad, jam 9.00 malam di saluran Astro Ria dan Astro Ria HD. Basically rancangan tu adalah program CSR Chatime dengan kerjasama Maybank Heart membantu orang yang kurang berkemampuan dan membantu ringankan bebanan kewangan mereka.

Terdapat tiga Juri tetap yang dilantik iaitu Azmi Saat dari kumpulan Caliph Buskers, Fauziah Latif, dan Pengarah Urusan Kumpulan Chatime Malaysia, Aliza Ali. 

Rancangan Mikrofon Impian Bantu Ringankan Bebanan Kewangan 

Hos rancangan pula ialah Datuk Aznil Haji Nawawi. Sesuai sangat Paknil galas tugas mengacara. Memang mengalir air mata. 

Rancangan Astro Mikrofon Impian

Setiap minggu akan ada dua peserta yang bertanding. Setiap peserta akan berkongsi kisah kesusahan mereka, dan mereka kena terangkan berapa jumlah hutang yang mereka mahu diselesaikan dan kenapa mereka harus dipilih oleh juri. Lepas tu mereka akan meluahkan perasaan melalui lagu yang dinyanyikan. 

Apa yang Diah suka tentang rancangan Mikrofon Impian dia sangat lah memberi inspirasi kepada orang dekat luar sana bahawa setiap masalah ada jalan penyelesaiannya. 

Bagus juga untuk kita yang rasa dah teruk diuji dan rasa sangat down, rupa-rupanya masih ada lagi insan yang bernasib lebih buruk dari kita. Hebatnya mereka masih mampu meneruskan kehidupan dengan positif. 


Pemilihan Pemenang Mikrofon Impian

Sesuai sangat dengan tajuk rancangan Mikrofon Impian dan dengan tema “Mungkin nyanyian solusinya”. Menurut kenyataan Azmi di Facebooknya “sebagai juri, kami hanya diberi tanggung jawab untuk menilai nyanyian para peserta. 

Dalam borang penjurian cuma ada ruangan Vocal dan persembahan sahaja. Jadi, kesusahan hidup dari cerita para peserta tidak dinilai sama sekali. Kemenangan mereka hanya bergantung kepada nyanyian.”

Mikrofon Impian di Astro Ria


Selepas tamat pusingan nyanyian, di pusingan kedua ni peserta pilihan juri akan ditanya satu soalan tentang industri muzik Malaysia. Macam hari tu, soalan yang ditanya adalah “dimana penyanyi Diva Ziana Zain dilahirkan”. 

Ada sepuluh jawapan diberikan dan memang agak tricky, kecuali kau peminat Ziana Zain senang la nak jawab. Jadi tak panik sebab peserta boleh berbincang dengan ahli keluarga dekat atas pentas. 

Cara nak jawab pun unik. Kena pergi ke arah Mikrofon yang ditanda pilihan jawapan dan kena nyanyi. Kalau suara kedengaran maksudnya jawapan yang dipilih adalah betul. 


Peserta Mikrofon Impian Minggu Kedua

Alisa berumur 22 tahun dari Penang. Lisa memerlukan 20 ribu untuk selesaikan semua hutang keluarga dia. Ada tiga adik beradik dan salah seorang telah meninggal dunia. 

Dia tidak bekerja kerana terpaksa menjaga emak dia yang sakit sejak sepuluh tahun yang lepas. Memerlukan wang sebab nak bayar hutang keluarga. 

Mak dia lumpuh separuh badan dan paling terbaru doktor sahkan mak dia menghidap penyakit Parkinson. 

Pada asalnya mak dia berniaga untuk bantu keluarga dan mak dia jatuh sakit selepas salah seorang anak meninggal dunia. 

Terkesan dengan kehilangan anak, mak dia jatuh sakit. Memburukkan lagi keadaan, abang Lisa menjadi mangsa penipuan Skim Cepat Kaya kerana terpengaruh dengan kawan dia di Facebook. 

Oleh sebab nak bayar hutang abang Lisa dan hutang sedia ada kerana nak tampung kos perbelanjaan mereka ayah Lisa buat pinjaman di kilang tempat dia bekerja. 

Setiap bulan gaji ayah Lisa akan dipotong dan mereka terpaksa ikat perut. Dengan kelulusan yang ada abang dia bekerja secara sambilan di Gym. 

Rancangan Mikrofon Impian di Astro Ria


Peserta kedua ialah Lili berasal dari Kota Tinggi Johor. Ada enam orang adik beradik dan sudah berumahtangga. 

Menyewa kedai dengan adik beradik untuk berniaga secara online. Suami Lili disahkan ada sakit sawan. Tak boleh penat dan kena dapat tidur yang cukup. 

Lili merupakan seorang pesakit kanser servik tahap satu. Setahun lepas Rahim dia terpaksa dibuang Rahim untuk mengelakkan kanser merebak. 

Sepanjang perkongsian Lili dia tekankan yang dia tak mampu nak bagi zuriat kepada suami dia. Sedih sangat, Diah tengok sambil air mata berjujuran. 

Impian dia ialah nak tengok ibu bapa dia bebas hutang sebelum dia mati. Mak ayah dia ada buat pinjaman perumahan. Lili perlukan 20 ribu ringgit untuk langsaikan hutang mak ayah dia. 

Dia kuat demi keluarga dan adik-adik. Dia tak beritahu ibu bapa pun yang dia sakit. Lepas sakit dia semakin teruk baru dia berterus terang. 

Semua ahli keluarga amat sayangkan dan sokong apa Lili buat. Sempat dia berkongsi saat paling getir bila dia menjalani rawtaan kimoterapi dan radiography yang amat menyakitkan. 

Sepanjang perkongsian dari Lili dia kerap ulang ayat “bila saya dah tak ada”, ayat seakan-akan dia sudah berputus asa. 

Paknil nasihatkan supaya dia tidak lagi sebut kerana ianya sangat negatif dan semestinya memberi kesan kepada diri dia dan orang sekeliling. 

Elyana juga berkongsi pengalaman yang dia terpaksa menjaga anak kecil selepas menjalani rawatan kimoterapi dan minta Lili bandingkan kesakitan dan kesusahan yang Elyana alami.  

Betul kata Paknil, nikmat paling besar yang kita selalu lupa adalah kita masih boleh bernafas. Kita masih bangun pada setiap pagi dan lihat wajah orang tersayang. 

Untuk minggu kedua, kisah Lili menjadi pilihan juri dan dia juga berjaya menjawab soalan pada pusingan kedua. Rezeki dia dapat selesaikan hutang mak ayah dia. 

Untuk Lisa pula, dia tidak pulang dengan tangan kosong dan dapat bawa pulang dua ribu ringgit sebagai hadiah penghargaan. 

Personally, Diah rasa rancangan Mikrofon Impian ni amat wajar dicontohi dan diteruskan di masa akan datang. 

Daripada usahawan-usahawan kaya Malaysia taja rancangan yang bukan-bukan lebih elok dia bantu orang yang betul-betul dalam kesusahan. 

Semoga mereka yang diuji dengan masalah kewangan, masalah kesihatan dan lain-lain akan bangkit dan terus berjuang. 

*gambar credit Google Image