Cara Nak Masak Spicy Buttermilk Spaghetti Style Aku

Hari pertama PKP 2.0, azam aku nak jaga makan dan kesihatan terbabas. Pagi tadi aku masak spaghetti sebagai sarapan selepas terliur tengok akak ipar aku kongsi resepi Spicy Buttermilk Spaghetti dekat Facebook dia.

Elok sangat dengan warna dia yang kuning, pekat dan kelihatan berkrim, terus tergoda nak masak ya. Oleh sebab anak-anak tak makan pedas jadi aku adjust sedikit resepi mengikut selera isi rumah. So far rasa dia sedap dan tak muak.


Cara Nak Masak Spicy Buttermilk Spaghetti Style Aku

Bahan-bahan pun simple sahaja jadi mari aku tunjukkan cara nak masak Spicy Buttermilk Spaghetti. Oh ya, aku perasan kalau masak pasta gandingan terbaik ialah makanan laut seperti udang, kepah, ketam dan sotong ya.

Untuk resepi kali ini aku guna udang. Sedap hoi.

Cuba juga Resepi Pasta Prego Buddies Ala Carbonara Cheese




Resepi Spicy Buttermilk Spaghetti

Bahan-bahan:

2 sudu besar Butter

Dua tangkai Daun Kari

5 Cili Padi (cincang)

3 Bawang Putih (cincang)

2 keping cheese

1 Sudu besar susu pekat

1 sudu kecil Tepung Jagung, untuk pekatkan kuah

1 sudu kecil Serbuk Kari

Garam secukup rasa

Udang

Dua genggam Spaghetti yang direbus

Sedikit air rebusan Spaghetti




Cara-cara membuatnya ialah:

Cairkan butter. Masukkan daun kari, bawang putih dan cili padi. Tumis sehingga naik bau. Aku tak letak cili padi jadi aku gantikan dengan serbuk kari. 

Kemudian masukkan udang. Kacau sehingga udang masak.

Masukkan air rebusan sedikit demi sedikit. Kalau nak berkuah letak banyak, aku letak sedikit sebab nak kuah tu sekadar membasahi Spaghetti.

Masukkan susu pekat, cheese dan kacau sebati. Perasakan dengan garam.

Kemudian masukkan tepung jagung yang dibancuh dengan air. Kacau sehingga kuah pekat.

Masukkan Spaghetti yang direbus dan gaul sebati.

Siap.

Resepi Meatball Carbonara



Bagi aku yang suka rasa creamy, gabungan cheese dan susu pekat tu memang terbaik lah. Cukup untuk menggantikan susu segar / susu cair. Hidangan ni boleh juga jadi hidangan istimewa jamu kawan-kawan datang ke rumah.

Tapi PKP ni kita jamu perut ahli keluarga sendiri saja lah.

Oleh sebab ada lebihan cheese Mozarella, Pizza Topping dalam fridge maka aku taburkan atas Spaghetti. Lepas makan rasa menyesal sebab aku plan nak kurus. Ahaks.



Serius rasa macam makan dekat restoran. Bagi yang ada anak kecil boleh la cuba.

Tips Dimudahkan Segala Urusan

Masa dengar ceramah dari Ustazah Asma Harun memang rasa tersentuh sangat hati. Manusia selalu fikir setiap apa yang dia lakukan dan apa yang terjadi adalah kerana dia berjaya rancang apa di nak buat dalam hidup dia.

Tetapi yang sebenarnya, setiap perkara yang berlaku adalah aturan dan dengan izin Allah.

Selama ni fikir, diri dapat apa yang diminta adalah kerana usaha dan titik peluh sendiri sehingga terlupa yang sebenarnya Maha Berkuasa ialah Allah S.W.T.



Tips Dimudahkan Segala Urusan


Kita berusaha dan kita letak ikhtiar dalam setiap perbuatan adalah perkara yang betul kita buat, cuma yang kurangnya ialah terlupa nak serahkan kepada Allah. Kun Fayakun!


(Allah) Pencipta langit dan bumi. Apabila Dia hendak menetapkan sesuatu, Dia hanya berkata kepadanya, “Jadilah!” Maka, jadilah sesuatu itu. 

(QS al-Baqarah [2]: 117).





Amalkan Zikir Ya Bariq Setiap Hari Setiap Pagi


Ya Bariq adalah merupakan salah satu dari 99 nama Allah yang membawa maksud “Yang Maha Merancang”, iaitu Allah Yang Maha Mengurus. Allah Yang Maha Mentadbir. Allah Yang Maha Mengatur.

Kata Ustazah Asma Harun dalam ceramahnya, kita kena mulakan hari dengan buat penyerahan kepada Allah. Amalkan 40 kali zikir Ya Bariq selepas subuh atau seawal pagi.

Kemudian akhiri zikir dengan doa memohon dipermudahkan segala urusan.


'Ya Allah. Aku serahkan hidupku, anak-anakku, suamiku dan seluruh kehidupanku untuk diaturkan oleh Mu Ya Allah, untuk diuruskan oleh Mu Ya Allah.'


In Sha Allah, Allah pasti bantu kita dengan penyelesaian setiap perkara dalam hidup setiap hari. Kehidupan jadi mudah sahaja dan Insha Allah hidup akan jadi lebih bahagia. Kalau nak tahu apa kesan dia dalam hidup kena lah mula amalkan dahulu.

Antara doa yang bagus diamalkan setiap hari adalah memohon pengakhiran yang baik (Husnul Khatimah), diselamatkan dari seksa kubur dan terhindar dari fitnah dajjal. 





Amalan zikir adalah amalan paling mudah jika hendak dilakukan tapi bukan semua orang dapat buat. Sebab tu Islam anjurkan Istiqamah, kena konsisten bila buat sesuatu ibadah mahupun perkara.  

Biar pun kecil amalan tersebut tetapi jika terus menerus melakukannya pasti ada ganjarannya.



Zikir Ya Bariq, Zikir Ya Fattah, Ya Razzak

Maksud Al-Fattah adalah Maha Pembuka. Kita mohon supaya dibukakan pintu rezeki, dibukakan fikiran yang tertutup, diberikan penyembuhan jika sakit.

Manakala zikir Ya Razzaq adalah Maha Pemberi rezeki. Boleh diamalkan mengikut kemampuan dan insyaAllah akan di permudahkan rezeki yang halal lagi berkat.

Tapi janganlah hanya berharap dan duduk berzikir sahaja menunggu rezeki jatuh ke riba. Setiap doa harus di iringi dengan usaha. 

Allah itu Maha Bijaksana, Allah juga Maha Melihat. Jadi jangan pernah sesekali putus asa dan yakinlah dengan kuasa Allah.

 

Resepi Kek Butter Paling Mudah Nak Buat Kegemaran Suami

Aku baru perasan setiap kali tahun baru mesti aku akan buat Kek Butter. 

Boleh tengok dekat entri lama, masa bulan Februari 2018 aku kongsikan resepi Kek Butter Simple dan bulan Januari 2019 aku kongsi resepi Kek Butter pandan pula.

Maksudnya awal tahun 2020 sahajalah aku tak buat Kek Butter. Syabas buat diri sendiri sebab sebelum ni aku memang tak pandai dan penakut nak buat kek. Eh bukan kek je, masakan lain pun sama juga.


Resepi Kek Butter Paling Mudah Nak Buat Kegemaran Suami

Kisahnya suami minta aku buat Kek Butter sebab katanya teringin. Nak ditolak rasa kasihan pula, lagipun senang je sebenarnya buat Kek Butter. 

Jadi petang tu ajak suami keluar beli tepung kek. Bahan-bahan lain dah ada dekat rumah. Kek Butter ni memang dah jadi kegemaran suami sejak dulu lagi. 

Kalau aku beli atau buat Cheese cake memang dia tak makan sangat. Tekak tak boleh terima katanya. Beza betul citarasa aku dengan dia. Jadi setiap kali nak makan Cheese Cake aku akan beli je.

Resepi Kek Butter Pandan 

Resepi Kek Pisang Moist




Resepi Kek Butter Paling Mudah Nak Buat Kegemaran Suami

Bahan-bahan yang diperlukan adalah seperti berikut:

 

250 gram Butter

250 gram Gula

6 biji telur

2 cawan tepung kek

2 Sudu Kecil Essence Vanila

 

Cara-cara untuk membuatnya ialah:

Pukul butter gula sehingga kembang. Aku kurangkan jumlah gula sebab aku tak suka manis sangat.

Kemudian masukkan telur sebiji demi sebiji. Pukul lagi sehingga sebati.

Akhir sekali masukkan tepung sedikit demi sedikit dan kacau adunan hingga sebati.

Jangan lupa masukkan Essence Vanilla.

Alas Loyang dengan kertas baking untuk elak kek melekat.

Panaskan ketuhar selama lima minit dan bakar kek pada suhu 160c api atas bawah selama 30 minit atau sehingga masak ikut oven masing-masing.

Aku bahagi kepada adunan untuk dapat kek yang sekata dan tak melimpah.



Pernah cuba Resepi Kek Coklat Kukus Lembap Sukatan Cawan ?

Petua aku belajar untuk elak kek kembung dan naik tak cantik ialah kena buat sedikit lekuk di tengah kek. Ternyata menjadi ya. Kek aku naik sekata.

Peratusan nak kek butter ni tak menjadi adalah sangat sedikit. Jadi jangan lah takut. As I said kek paling mudah nak buat, hanya pastikan pukul butter dan gula dalm dua minit macam tu. Kalau takut mencuba sampai bila tak pandai kan?

Selamat mencuba.  



9 Perkara Penting Tentang PKP 2.0 2021

Tahun 2021 dimulai dengan perintah kawalan pergerakan (PKP) yang dilaksanakan di seluruh Malaysia kerana kes penularan wabak Covid 19 yang meningkat hari demi hari. 

Risau dengan jumlah yang semakin mendadak, akhirnya kerajaan laksanakan PKP. Menurut Majlis Keselamatan Negara, arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikenakan di negeri seperti di Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan), Melaka, Johor dan Sabah bermula 13 hingga 26 Januari 2021.

Manakala, PKP Bersyarat (PKPB) pula dilaksanakan di enam negeri iaitu Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu dan Kelantan juga bermula 13 hingga 26 Januari 2021. Bagi negeri Perlis dan Sarawak pula dikenakan PKP Pemulihan (PKPP).


Fahami Larangan Semasa PKP, PKPB dan PKPP

Walaupun ini bukan kali pertama kita dikenakan perintah PKP, tapi masih ramai lagi yang tertanya-tanya tentang larangan dan perkara boleh buat sepanjang PKP dikuatkuasakan. Jadi jom kita ingatkan semula perkara yang boleh dan tidak boleh dilakukan.

Berikut adalah perkara yang perlu di ambil perhatian sepanjang pelaksanaan PKP bagi negeri terlibat:

#1 Bagi kawasan PKP, Kedai Makan dan Gerai Penjaja dibenarkan beroperasi HANYA untuk perkhidmatan take away dan tiada dine in.

Manakala bagi kawasan PKPB dan PKPP kedua-duanya dibenarkan beroperasi seperti biasa mengikut SOP yang telah ditetapkan. Perkhidmatan penghantaran makanan dibenarkan beroperasi.

Resepi Viral Sepanjang PKP

#2 Aktiviti sosial yang melibatkan perkumpulan beramai-ramai seperti kenduri kahwin, persidangan, perarakan keagamaan termasuk Thaipusam, mesyuarat, seminar, kursus dan sukan berkumpulan adalah TIDAK DIBENARKAN sama sekali bagi kawasan PKP.

Di kawasan PKPB dan PKPP, aktiviti sosial adalah dibenarkan, tertakluk kepada pematuhan SOP yang ketat.

#3 Pergerakan rentas negeri dan rentas daerah adalah TIDAK DIBENARKAN sama sekali sepanjang pelaksanaan PKP dan operasi sekatan jalan raya (SJR) akan dijalankan. Pergerakan anda adalah terhad di dalam 10 kilometer radius sahaja.

Kalau perlu rentas negeri atau daerah, kena ada Surat Pelepasan untuk perjalanan. Contoh Surat Pelepasan PKP dan PKPB

#4 Bagi tujuan membeli barangan keperluan dari pasar raya atau kedai runcit yang berdekatan, HANYA DUA (2) anggota isi rumah yang dibenarkan untuk keluar dan berada di dalam kenderaan yang sama.

Mana-mana individu yang melanggar larangan ini boleh dikenakan kompaun maksimum RM1,000.

#5 Pasar raya, Klinik, hospital dan farmasi serta bank dibenarkan beroperasi di kawasan PKP pada tahap berjaga-jaga.

#6 Jumlah maksimum 5 orang dibenarkan hadir untuk aktiviti keagamaan bagi kawasan PKP manakala kawasan PKPP dan PKPB, aktiviti keagamaan masih dibenarkan dengan bilangan kehadiran minimum yang ditetapkan di dalam SOP.

#7 Lima sektor yang dibenarkan beroperasi dan dikategorikan sebagai sektor ekonomi perlu (Essential economic sector) iaitu pengilangan dan pembuatan, pembinaan, perkhidmatan, perdagangan dan pengedaran, serta perladangan dan komoditi.

#8 Hanya 30 peratus pekerja dalam kumpulan pengurusan yang dibenarkan berada di pejabat manakala bagi pekerja di dalam kumpulan sokongan, jumlah pekerja yang diperlukan pada satu-satu masa akan ditentukan oleh majikan masing-masing.

#9 Nak keluar beriadah tiada masalah tetapi dibenarkan meninggalkan rumah untuk beriadah dengan anggota isi rumah sahaja tak lebih daripada 2 orang dan kena pastikan jarak 2 meter setiap masa. Untuk berbasikal pula hanya seorang sahaja dibenarkan. Berkumpulan adalah dilarang sama sekali.


Denda RM1,000 Jika Tidak Pakai Mask

Mulai 1 Ogos 2020, Peraturan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) bakal dikuatkuasakan di Malaysia. Pemakaian pelitup muka yang betul ketika berada di dalam pengangkutan awam dan di tempat awam yang sesak adalah diwajibkan.

Sesiapa yang gagal untuk mematuhi arahan boleh dihukum denda tidak melebihi RM1,000 (AS$234) atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama oleh mahkamah. Mereka yang didapati melakukan kesalahan berulang berdepan hukuman lebih berat.

Sudah banyak kes mereka yang cuai disaman seribu ringgit sebab ingkar arahan tak pakai mask, ada juga kenalan aku yang disaman sebab tak scan aplikasi My Sejahtera. Jadi jangan la ambil mudah semua perkara di atas.

Pesanan akhir, sila pakai pelitup muka dengan betul, jaga penjarakan fizikal dan kerap gunakan hand sanitizer. Sekiranya tidak ada keperluan segera atau mendesak, tidak perlulah keluar rumah. Kita jaga diri sendiri lah sekarang ni.