Peringatan Domain Blog Tamat Tempoh

Minggu lepas terima email notis peringatan nama domain blog bakal tamat tempoh pada hari Selasa, 13 Mei 2025. Sejak awal dan sehingga kini aku masih lagi setia menggunakan khidmat dari hosting provider, NetKL Network.

Sepanjang tempoh melanggan, tiada masalah yang timbul jadi tempoh setahun tu berlalu begitu saja. Setakat ni puas hati dengan performance customer service NetKL Network, memang laju.

Aku dah jadi pelanggan mereka sejak tahun 2018, bila difikirkan ini tahun ke Tujuh aku bersama NetKL. Aku siap kongsi cara beli domain. 

Soalan yang sama berlegar dalam otak aku setiap kali dapat notis peringatan adalah nak perbaharui domain atau biar je expired. Buat masa sekarang, aku memang dah kurang buat job review.

Atas sebab komitmen yang ada sekarang aku tak boleh nak ambil job review dan menulis di blog. Nak menulis tentang life sendiri pon tercari-cari waktu yang sesuai. Sedih rasa. Keras betul hidup ni. 

 

Notis Peringatan Domain Blog Bakal Tamat

Tapi bila datang perasaan negatif tu mula la hati ni bandingkan diri dengan kawan blogger lain. Orang lain elok je menulis, ada je masa nak update blog. Mula lah salahkan diri sebab tidak berdisiplin.

Ya memang tak boleh nak bandingkan hidup orang dengan hidup kita. Memang sangat-sangat berbeza. Jiran aku tak lalui apa aku lalui. Tak adil la nak judge diri sendiri macam tu. Maaf jiran aku ambil kau sebagai contoh.

Ada masa lebih kurang tiga minggu lagi aku boleh fikir. Nak perbaharui atau nak lepaskan je. Sayangnya nak lepaskan nama https://www.rodiahamir.com/ Teringat masa awal-awal dulu, banyak perkara aku kena hadam sebelum ambil keputusan nak tukar domain. 

Nak pejam mata bayar RM60 tu macam terasa sangat beban dia. Harga domain pula setiap tahun asyik naik je. Lagi sakit hati. Setakat ni harga masih lagi sama macam tahun lepas. 


Domain-Blog-Tamat-tempoh


 

Kesan Kalau tak perbaharui Domain Blog

NetKL Network awal lagi dah beri peringatan. Nak elak gangguan perkhidmatan kena perbaharui lebih awal. Lagi teruk, risiko paling tinggi adalah aku akan kehilangan domain selama-lamanya. Ugut eh? Tak baik tau.

Mereka juga ingatkan kalau aku hanya biarkan tak buat apa-apa sehingga tamat tempoh, domain akan digantung dan mana-mana tapak web atau perkhidmatan e-mel yang dikaitkan dengannya, akan berhenti berfungsi.

Pendek kata dah tak jumpa la blog aku bila korang search dekat internet. Untuk tunjukkan mereka baik hati, NetKL Network bagi tempoh 29 hari untuk memperbaharui domain ini pada harga pembaharuan biasa. 

Apabila domain anda tamat tempoh lebih daripada 29 hari, ia akan memasuki fasa Redemption Period (fasa penebusan tempoh).

 

reminder-Domain-Blog-Tamat-tempoh

Amaran & Peluang Terakhir – Redemption Period

Selepas 29 hari berakhir, bermulalah pula redemption period. Tempoh penebusan biasanya 40 hingga 45 hari iaitu dari hari ke-30 hingga hari ke-70 atau ke-74, selepas tarikh luput. Ini peluang terakhir untuk pengguna memperbaharui domain.

NetKL juga ingatkan kalau perbaharui sewaktu fasa penebusan tempoh / redemption period, pengguna akan menanggung kos yang tinggi iaitu yuran RM750 dan kertas kerja (mengambil masa 3-4 hari untuk disiapkan).

Nilai RM750 tu memang ikut polisi yang telah ditetapkan dan yuran tu bukan dibayar kepada NetKL tapi kepada “Registry”.

 

Pendek kata, nak selamat dan kalau masih sayangkan nama domain elok lah perbaharui dalam jangka masa yang diberikan. Mana tahu rancangan masa depan kan? Ada rezeki kita melalui blog.

 

Persiapan Kejohanan Merentas Desa

Ya Allah penat betul badan sekarang sebab sekarang tengah terlibat dengan persiapan Kejohanan Merentas Desa sekolah anak-anak.

Kaki sakit terutama di bahagian betis. Nak minta anak-anak urut pun tak sampai hati sebab mesti mereka pun penat juga. Tarikh kejohanan bakal berlangsung adalah pada hari Jumaat ni. Itupun selepas berlaku pertukaran tarikh di saat akhir.

Memang kelam kabut masing-masing dan ada juga ibu bapa yang sedih sebab tak dapat turun padang beri sokongan memandangkan kejohanan dibuat pada waktu bekerja.

Tahun lepas memang meriah dan lokasi sekolah buat dalam taman tapi tahun ni tukar berlari di kawasan perumahan pula. 

Cerita tahun lepas baca dekat sini, kejap je setahun Merentas Desa 


Kejohanan-Merentas-Desa


Persiapan Kejohanan Merentas Desa

Kalau ikut perancangan selain bantu sekolah carikan sukarelawan, aku dan beberapa orang ibu bapa lain bantu latihan panaskan badan rumah sukan - Kuning.

Oleh sebab tak mahu otot anak-anak terkejut, sengaja kami pilih hari Rabu untuk bertemu muka dengan anak-anak. Masing-masing teruja nak tunjuk belang. Semoga masing-masing dapat sumbang pingat dan sumbang mata untuk rumah sukan ya.

Selepas ini dijangka aku akan sibuk dengan hari sukan pula. 

latihan-Persiapan-Kejohanan-Merentas-Desa


Latihan Panaskan Badan – Rumah Sukan Kuning

Jadi untuk latihan panaskan badan, kami cuma buat aktiviti ringan dan kongsi beberapa tips yang anak-anak mampu buat.

Risau kalau heavy training kang muscle terus tak boleh perform. Kalau ikutkan aku bukan lah atlet waktu sekolah dulu. Aku cuma suka aktiviti-aktiviti luar macam ni. Alang-alang nak buat latihan tu, sempat selit pesanan untuk anak-anak.

Bagi aku ini jelah peluang untuk aku dekat dengan anak-anak. Waktu bermain lah waktu paling sesuai nak faham dan tegur mana yang tak betul.

Aku faham je kalau ada suara sumbang yang kata kami ni emak-emak yang over. Bagi aku simple je, selagi tak kacau kain orang maksudnya kena jalan terus saja.


latihan-Kejohanan-Merentas-Desa

Persiapan-Kejohanan-Merentas-Desa


Latihan pun kami buat sejam 15 minit saja. Mula on time dan habis pon on time. Waktu salam nak balik tu masing-masing masih belum puas berlatih. Cukup lah itu jadi tanda aras yang latihan sesingkat itu mampu menaikkan semangat anak-anak. Ada masa boleh repeat lagi program macam ni dengan anak-anak lain pula.

 

Menu Berbuka - Resepi Ayam Kukus Sambal Embe

Kepada Khairul Aming (KA), terima kasih kongsi resepi ayam kukus ni. Saya dah buat dan memang jadi. Sedap dia ya ampun. Nikmat mana lagi aku nak dustakan.

Macam biasa setiap kali jumpa bulan Ramadan, KA mesti akan kongsi resepi viral berbuka puasa. Selaku chef dekat rumah sendiri harus ya tengok video dia untuk ambil inspirasi.

Kadang-kadang banyak je simpan video dari cuba buat. Biasalah kan, nak masak perlukan kerajinan. Lagipun aku target nak cuba menu berbuka yang ringkas tapi sedap je.

KA ni terkenal dengan sambal yang dia jual tu - aku pernah review Sambal Nyet  korang nak cuba boleh beli dekat sini


Resepi-Ayam-Kukus-Sambal-Embe


Menu Berbuka Khairul Aming - Resepi Ayam Kukus Sambal Embe

Hari tu KA kongsi resepi Ayam Kukus Sambal Embe. Katanya resepi dari negara jiran. Memandangkan kita serantau, yakin sangat akan kena dengan tekak. Selera tak lari jauh la maknanya.

Ikut carian di internet, sambal Embe berasal dari Bali dan unik kerana menggunakan bawang merah goreng sebagai bahan utama.

Digabungkan dengan cili pedas, serai, dan daun limau purut, ia memberikan rasa segar, pedas, dan sedikit rangup.

Berbeza dengan resepi yang KA kongsi ni ada bahan lain juga digunakan. Tak kisahlah yang pasti sedap rasa dia.

Ikut resepi KA, ayam tu dia carik-carik isi dia kemudian gaul dengan sambal tu. Lagi power. Tapi dekat rumah ada budak kecil tak tahan pedas, maka kita buat asing-asing. 


Ayam-Kukus-Sambal-Embe


Bahan-Bahan Resepi Sambal Embe Yang Mudah

Cara nak masak Sambal Embe ni mudah je. Bahan-bahan pun kebanyakkan ada di dapur. Untuk yang dah habis idea nak masak apa untuk berbuka boleh cuba.

Ayam Kukus

          2 ketul ayam bahagian peha

          1 sudu sos tiram

          ½  sudu besar minyak bijan

          ½  sudu tepung ubi kayu

          White paper

          Garam

          Daun bawang


Sambal-Embe


Sambal Embe

          5 biji bawang merah (hiris nipis)

          5 biji bawang putih (hiris nipis)

          8 biji cili merah/cili padi (hiris)

          Belacan bakar

          Minyak untuk menggoreng

 

Resepi-Ayam-Kukus


Cara Kukus Ayam Supaya Kekal Juicy & Sedap

1.         Gaulkan ayam dengan garam, sos tiram, minyak bijan, white paper dan tepung ubi.

2.         Garam letak secukupnya. Letak dalam bekas dan masukkan daun bawang.

3.         Kukus ayam selama 25-30 minit sehingga masak sepenuhnya. Guna bekas Stainless steel serbaguna ni best korang. Aku memang buat stok dekat rumah. Boleh guna untuk kukus, sebagai bekas simpan lauk dan sayur juga. 

4.         Setelah masak, rehatkan ayam seketika sebelum dicarik isinya.

 

Cara Buat Sambal Embe yang Padu

1.         Panaskan minyak dan goreng bawang merah dan bawang putih sehingga keemasan.

2.         Masukkan cili merah dan belacan. Kacau sebati.

3.         Tumis seketika. Dah siap. Tuang sambal ke atas isi ayam yang dicarik tadi. Gaul sebati.

 

Tips Masak Ayam Kukus Sambal Embe Confirm Jadi

  • Air lebihan kukusan ayam jangan di buang, campurkan sekali bersama isi ayam dan sambal.
  • Kalau ada resdung tak digalakkan mencuba resepi ini tapi kalau teringin sangat boleh kurangkan kauntiti belacan dan lebihkan bawang merah.
  • Untuk naikkan rasa sambal tu, perahkan 2 biji limau kasturi waktu nak makan.
  • Aku masukkan mushroom seasoning waktu nak perap ayam tu. Sejak guna mushroom seasoning aku dah tak guna serbuk perasa lain. 

 

mushroom-seasoning-love-earth

Sedap dimakan bersama nasi putih panas. Waktu menulis ni pun aku masih terliur membayangkan kesedapan ayam tu. Dekat rumah tiada ayam bahagian peha jadi aku gunakan bahagian kepak. Selamat mencuba korang.  

 

Ramadan & Sahur Pertama Di Kampung

Selamat Menyambut Ramadan. Alhamdulillah masih diizinkan Tuhan dapat berpuasa bersama keluarga. Masih lagi berkesempatan balik kampung jumpa emak.  

Nikmat mana lagi aku nak dustakan ye tak? Seperti tahun sudah selagi ada kesempatan mesti akan cuba balik kampung.

Gerun bila kenangkan yang kita semua ni semakin hari semakin bertambah usia. Semakin suntuk masa Allah beri dekat dunia ni.

Syukur emak baik-baik sahaja. Masih mampu berjalan, bangun sahur dan paling penting masih aktif buat kerja harian.

Bila imbas kembali, balik kampung dan berbuka puasa dengan emak dah jadi tradisi ramadan yang aku terapkan dari dulu lagi. 

 

balik-kampung-ramadan

Sambut Ramadan & Sahur Pertama Di Kampung

Tahun ini, kami sambut Ramadan dan sahur pertama di kampung. Walaupun tak dapat berbuka puasa dengan emak tapi tetaplah bersyukur sebab dapat buat banyak perkara.

Tolong emak kemas rumah, makan makanan air tangan emak, sahur di kampung, ziarah kubur abah dan lepaskan rindu setelah lama tak balik.  

persiapan-Ramadan-Di-Kampung


Lauk sahur emak masak rendang ayam pencen, gulai asam rong ayam dan nugget untuk anak-anak.  

Tahun ni persiapan Ramadan lebih kepada anak-anak. Masing-masing baru nak cuba puasa penuh. Si kakak paling teruja nak puasa sebulan.

Sebagai emak of cos aku gembira sebab tak perlu explain panjang kenapa kena puasa. Dari dulu lagi aku tak tekankan wajib puasa memandangkan faktor usia.

Rasanya anak Perempuan memang cepat matang dari usia ya. Semalam agak padat jadual kami. Tapi Raudah tetap bertenaga puasa.

Bayangkan pukul 11 pagi bertolak dari kampung, singgah ke beberapa mall nak cari baju Melayu Ikhwan. Kemudian terus hantar ke asrama.

Cuaca panas memang menduga. Sebab tu juga si adik kecundang semalam. Pukul 2.00 petang mata dah berair. Minta belas Ehsan nak buka puasa.

Ramadan-Sahur-Pertama-Di-Kampung


 

Berbuka Di Rumah Sendiri – Menu Berbuka

Semalam selesai beli lauk dan barang basah terus balik rumah. Kami decide nak berbuka di rumah dan masa menu berbuka ala kadar saja.

Menakutkan bila tengok jalan raya yang begitu sesak terutama di kawasan bazar ramadan. Memang jadi tumpuan bazar ramadan kali ini.

Badan letih jadi nafsu nak meredah lautan manusia di bazar tu senipis kulit bawang. Dari aku mengamuk dan beli makanan yang tah apa-apa elok masak nasi dekat rumah je.

Lauk berbuka pun simple je jadi tiada gambar. Goreng telur mata dengan bawang dan ikan bilis. Masak juga sayur sawi tumis dengan udang kecil. Udang kertas kot nama dia.

Bancuh Teh gula panas untuk berbuka. Niat tahun ni nak sederhana semua perkara. Moga makbul la hendaknya. Nak ulang kembali semangat masak untuk berbuka puasa tahun 2020.

 

Ramadan Dulu dan Ramadan Sekarang

Tetaplah terasa perbezaan waktu nak sambut ramadan dulu dan sekarang. Dulu fikirkan diri sendiri je tapi sekarang anak-anak lah yang jadi keutamaan.

Baik dari segi persiapan, menu dan rutin puasa. Kalau dulu teruja nak berbuka dengan air manis. Kali ni Alhamdulillah selera dekat air manis dah berkurang.

Ramadan-Pertama-Di-Kampung


Tapi masih terlalu awal ni. Harap bertahan lah hendaknya berbuka dengan menu yang tidak keterlaluan.

Aku harap ramadan kali ni aku dapat fokus tingkatkan ibadah dan solat di awal waktu. Aku doakan apa jua azam puasa korang juga termakbul ya.

Jangan lupa banyakkan doa yang tidak ditolak sepanjang ramadan ni.  

kenangan-Ramadan-Sahur-Pertama-Di-Kampung


Akhir kata, moga Ramadan kali ini membawa keberkatan dan membuka pintu-pintu Rahmat buat kita semua. Semoga kita dapat merasai malam Lailatul Qadr. Selamat berpuasa semua. Jaga diri.