10 TOp Post 2020 Blog rodiahamir.com

Tahun 2020 sudah pun berada di penghujungnya. Banyak perkara yang berlaku sepanjang tahun 2020. Siapa sangka, impian melihat kereta terbang pada tahun 2020 masih belum tercapai. 

Tahun yang paling sekejap sangat rasanya berlalu. Aku senaraikan top 10 blog post untuk BLOG RODIAHAMIR.COM berdasarkan rujukan dan statistik dari Google Analytics.  

Tahun paling banyak masa dihabiskan duduk di rumah disebabkan pandemik yang menyerang satu dunia. Alhamdulillah walaupun sukar tapi kita sama-sama harungi saat getir. 

Macam pesanan KKM, kita masih belum menang.  


10 TOp Post 2020 Blog rodiahamir.com


Hal Baju Gambar Anjing Dan Hukumnya

Entri paling top sepanjang 2020 ialah entri mengenai panduan hukum memakai baju gambar anjing. Aku tulis entri ni pada April 2016 dan masih lagi dicari oleh pengguna Internet. 

Aku rujuk pandangan dari Ustaz Azhar Idrus. Hukum bukan sekadar pakai baju tetapi melibatkan peniaga yang menjual pakaian yang ada gambar arak, iklan arak, gambar salib, baju-baju persatuan gereja dan seangkatan dengannya.

Hukum Pakai Baju Gambar Anjing


SAFI Hydra Glow Untuk Masalah Kulit Kering

Entri berkaitan produk kecantikan iaitu SAFI Hydra Glow untuk merawat masalah kulit kering. Entri ni baru sahaja aku tulis iaitu pada bulan November yang lepas. 

Jarang aku tulis entri berkaitan produk kecantikkan dalam blog sebab aku kurang berminat tapi mana tahu tahun 2021 aku berubah minat pula.

Rawat masalah kulit kering


Pengalaman Baby Prolonged Jaundice

Antara entri yang aku tulis berdasarkan pengalaman aku sebagai seorang ibu. Sekadar berkongsi pengalaman bila anak ketiga aku doktor sahkan mengalami Prolonged Jaundice. 

Entri ni aku tulis pada bulan Februari tahun 2018. Pengalaman ambil darah dan juga air kencing anak memang sangat mencabar.

Bayi Prolonged Jaundice



Review Makan-Makan Di Menate Setapak

Aku memang suka makan jadi mana-mana tempat makan yang sedap pasti aku akan kongsi di dalam blog. Makan di Menate sebab rindu nak makan daging. 

Aku pergi makan waktu awal tahun 2020 sebelum kita semua dikurung awal Mac yang lepas.

Makan Di Menate


Mudahnya Masak Guna Pressure Cooker Giselle

Entri berkaitan gajet dapur yang memang popular sejak setahun dua ini iaitu Pressure Cooker. Aku antara mereka yang terpengaruh nak menyediakan makanan sihat, cepat dan sedap untuk keluarga. Memang berguna sangat Pressure Cooker. Berbaloi untuk beli. 

Pressure Cooker


Pantai Bagan Lalang Destinasi Pilihan Perkelahan Keluarga

Aku perasan entri percutian mendapat sambutan sejurus rakyat Malaysia dibenarkan untuk rentas negeri. Orang ramai masih takut nak bercuti jauh-jauh jadi ramai pilih destinasi percutian yang dekat dan selamat. 

Bagan Lalang jadi destinasi pilihan untuk perkelahan keluarga terutama mereka yang tinggal berdekatan seperti Kuala Lumpur dan Selangor.

Berkelah di Pantai Bagan Lalang


Elianto Moisturising Gel & Face Mist

Entri kecantikan kedua yang menjadi rujukan pencarian di Internet ialah tentang review aku menggunakan Elianto Moisturising Gel & Face Mist. 

Aku tulis entri ni pada tahun 2017. Waktu tu ada jualan murah di cawangan Elianto Wangsamaju. Aku suka dan puas hati pakai.

Elianto


Berkelah di Pantai Remis Jeram Selangor

Entri terkait dengan entri bercuti di Bagan Lalang. Entri ini ditulis pada Januari 2020. Awal tahun masih lagi dalam mood bercuti sambil tenangkan fikiran. 

Tujuan utama aku datang ke Pantai Remis adalah nak ke Tapak Penjaja untuk beli kerang. Selain itu ada banyak lagi pilihan makanan laut yang dijual.

Makan seafood di Pantai Remis


Cara Susun Instagram Feed Supaya Cantik Dan Kemas

Entri Cara Susun Instagram Feed Supaya Cantik Dan Kemas terhasil berdasarkan pengalaman sendiri yang bosan dan mencari idea nak cantikkan Instagram. 

Instagram merupakan platform kedua aku mencari rezeki. Dekat sana aku paling aktif buat review.

Cara susun feed Instagram


Cara Tutup Akaun Astro Hanya Dengan Panggilan Telefon

Ramai yang ambil keputusan untuk tutup akaun Astro disebabkan tak mampu teruskan bayaran bulanan. Ramai terjejas pendapatan disebabkan Covid ni. Aku pun tak terkecuali, ambil keputusan tutup Astro dan langgan Unifi.

Tutup akaun Astro


Bersyukur dan seronok dapat berkongsi dengan orang ramai, rasa berbaloi memerah idea nak menulis dekat blog. 

Semoga perkongsian 10 top post 2020 blog RODIAHAMIR.COM memberi inspirasi dan kepada sesiapa yang membaca. Bukan nak tunjuk bagus ya, jauh sekali nak riak. Nauzubillah.


Genap 10 Tahun Abah Menghadap Ilahi

Hari ini genap 1 dekad (10 Tahun) arwah abah menghadap Ilahi. 1 dekad yang rasanya begitu sekejap berlalu. Rasa macam baru malam tadi terima panggilan telefon dari kakak, abah sesak nafas dan tiba-tiba rebah.

Masa abah hembuskan nafas terakhir, emak, adik dan kakak ada teman abah. Ingatkan abah supaya mengucap. Mudah sungguh urusan abah pergi. 


Genap 10 Tahun Abah Menghadap Ilahi

Mak kata malam tu abah berkelakuan macam biasa. Selera makan yang baik, berborak macam biasa dan seperti hari kebiasaan abah akan semput bila musim hujan.


29 Disember 2010

Jam baru melepasi angka 12. Arwah abah mundar mandir dan keluar duduk di beranda rumah. Selalu arwah akan berjalan ambil angin ke luar rumah bila terasa dada sempit nak bernafas. 

Dah lega baru masuk semula. Malam tu, kakak cerita abah semput seperti biasa. Kami tak sangka, itu malam terakhir kami ada abah.

Sampai hari ini aku masih rasa terkilan aku tak dapat bercakap buat kali terakhir dengan abah. Aku tak sempat minta maaf. Aku rasa berdosa. 

Tapi, siapa aku nak lawan takdir Allah. perancangan Allah itu yang terbaik.


Hati Aku Pecah

Waktu aku terima panggilan kedua dari kakak, kami dalam kereta nak balik kampung. Betul-betul depan simpang menuju Tol Gombak. 

Adik dan kakak yang bawa abah ke klinik. Bawa untuk sahkan tiada lagi nadi untuk dikesan. Berat hati nak terima. Meraung aku dalam kereta.

Aku cakap dekat suami. Aku dah tiada abah. 

Kisah adik abah yang bongsu meninggal sehari sebelum anak dia bernikah. 



Emak Rindukan Abah

Paling terkesan semestinya mak. Dua tahun emak ambil masa pulihkan hati. Sepanjang dua tahun mak tak duduk di kampung sendirian. Berpindah randah tinggal dengan anak. 

Nak teman mak dikampung masing-masing ada komitmen kerja. Tapi memang kerap balik kampung sebab rindu. Emak nampak kuat dan tabah secara luaran tapi setiap kali bercerita tentang arwah mak pasti menangis. 

Perkahwinan mak dengan abah adalah perkahwinan yang dirancang oleh Wan dan Aki. Bahagia Alhamdulillah. Aturan dan juga pilihan orang tua. Bercinta selepas kahwin. 10 orang hasil dia. Jenuh nak besarkan.

Arwah abah memang terkenal dengan sikap yang garang. Tegas. Romantik? Memang tidak lah. Tak reti agaknya sebab didikan keluarga berdarah pendekar.  

Cara abah tunjukkan kasih sayang kepada anak-anak adalah dengan beli makanan kesukaan, beli barang-barang keperluan dan abah suka tunjuk skill memasak. Kelakar bila ingat. Abah suka masak makanan barat.



Makanan kegemaran abah ialah burger. Ingat lagi setiap kali ke Pasar Malam bila tanya nak belikan abah apa, mesti minta burger. Tanpa jemu. Lepas tu suka minum Teh Tarik manis. 

Perkara lain abah suka buat ialah telefon anak-anak untuk maklumankan berita di kampung. Pernah kami adik beradik dapat panggilan dari arwah. Kucing peliharaan kami mati, sakit tua rasanya. 

Abah pesan jangan menangis sebab nak sampaikan berita sedih. Setiap kali terima panggilan dari arwah mesti berdebar. Risau apa-apa jadi dekat abah.  


Doa Untuk Abah

“Ya Allah kau tempatkanlah ayah ku di dalam golongan orang beriman. Ya Allah haramkan lah api neraka ke atas jasad kami, jasab ibu bapa kami, keluarga kami & orang-orang yang beriman.”

 

رَبَّنَا اغْفِرْ لِي وَلِوَالِدَيَّ وَلِلْمُؤْمِنِينَ يَوْمَ يَقُومُ الْحِسَابُ

Ibrahim:41

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Berilah ampun bagiku dan bagi kedua ibu bapaku serta bagi orang-orang yang beriman ketika berlakunya penghitungan amal serta pembalasan.”


Semoga nanti kita satu keluarga dapat berkumpul di sana negeri yang kekal abadi ye abah. Rindu yang teramat rindu dan tak terluah dengan hanya kata-kata.

Resepi Paling Popular Dan Dicari Sepanjang Tahun 2020

Sumber dari Google mendedahkan resepi merupakan kata carian paling popular di Malaysia sepanjang tahun 2020. 

Malaysia memang terkenal dengan kepelbagaian makanan dan budaya serta rakyatnya yang cintakan makanan.

Sepanjang tempoh PKP dari awal tahun lagi banyak sungguh resepi yang trending dan viral di media sosial. Untuk menyesuaikan diri dengan norma baru, dan adanya sekatan pergerakkan jadi rakyat Malaysia mengambil peluang mencuba hobi baru iaitu memasak.


Resepi Paling Popular Dan Dicari Sepanjang Tahun 2020

Di awal tempoh PKP, banyak syarikat mengambil keputusan membenarkan pekerja untuk bekerja dari rumah untuk mengelak risiko dijangkiti penyakit. Masa terluang dirumah digunakan sebaik mungkin dan kejayaan mencuba resepi bertukar menjadi punca pendapatan bagi sesetengah golongan.




10 Resepi Paling Banyak Dicari Di Malaysia

#1 Dalgona Coffee

Dalgona Coffee muncul di tangga teratas carian tertinggi dan sempat menjadi fenomena di media sosial. 

Peminat kopi berlumba-lumba untuk cuba dan tak ketinggalan yang tak minum kopi pun teruja untuk buat. Tak terkecuali, aku pun join the vibe tapi sekali je sebab aku kurang rajin nak buat.  



#2 Dalgona Milo

Selepas Dalgona Coffee jadi sebutan, muncul lah pula Dalgona Milo, resepi kedua paling popular menurut carian di Google. 

Resepi lebih kurang je cuma gantikan serbuk Milo bagi memenuhi mereka yang tak minum kopi.


#3 Biscoff Cheesecake

Biscoff Cheesecake ni diberi jolokan ‘Kek Kayangan’ kerana bahan-bahannya yang agak mahal membuatkan orang teragak-agak nak beli. 

Kek ini tak perlu dikukus mahupun dibakar dan cukup hanya disejukkan di dalam peti ais.




#4 Kek Tornado

Tak pastilah sebab apa kek ni dipanggil Kek Tornado. Kalau ikut bentuk dia tak lari jauh dari cheese cake yang biasa orang buat tu.



#5 Kek Marble Jelita

Penggemar kek Marble ni sukakan rasa kek ni kerana tekstur dia yang gebu dan juga kurang manis. Aku memang tak pernah bosan kalau makan kek Marble Gebu Resepi Azlina Ina

Beza kek Marble Jelita dengan kek Marble biasa adalah corak (quilt) yang dilukis di atas kek Marble Jelita yang menambahkan seri kek marble.


#6 Youtiao

Youtiao merupakan makanan diperbuat daripada doh lonjong panjang yang digoreng sehingga perang keemasan apabila siap dimasak. 

Ia merupakan salah satu masakan masyarakat China dan turut popular di beberapa negara di Asia Timur dan Asia Tenggara. Kebiasaannya, ia dimakan ketika sarapan bersama bubur nasi, kanji atau air kacang soya.


#7 CekMek Molek

Kuih tradisional CekMek Molek ni memang resepi yang sentiasa dicari setiap tahun. Aku pernah kongsikan tips bagaimana nak dapatkan kuih CekMek Molek yang lembut. 

Itu pun sebab aku selalu uli dan doh menjadi keras. Lepas aku guna resepi CekMek Molek ni memang elok je kejadian kuih aku.


#8 Apam Balik

Aku antara orang Malaysia yang buat carian tentang cara nak buat apam balik yang sedap. Oleh sebab teringin sangat nak makan jadi kena la belajar buat sendiri. 

Kalau sebelum ni beli dekat Pasar Malam je. Berjaya buat waktu bulan Ramadan lepas untuk berbuka. Senang je rupanya, boleh tengok resepi Apam Balik Senang Nak Buat


#9 Taufufa

Ramai terjebak mencuba resepi Taufufa sebab sangat mudah cara nak membuatnya. Hanya perlukan tiga bahan sahaja dah boleh makan Taufufa buatan sendiri.


#10 Burnt Cheesecake

Kek ini adalah antara kek yang dijual pada harga yang agak mahal disebabkan bahan-bahan yang digunakan. 

Selain menggunakan oven, Burnt Cheesecake boleh dimasak menggunakan Air Fryer. Jadi masing-masing nak tunjuk bakat dan pastikan Air Fryer berguna. 


Credit: Google

Cara Mudah Mohon I-SINAR RM10,000 KWSP

Ada lagi yang belum mohon i-Sinar? Kalau belum boleh rujuk cara mudah untuk mohon tapi kena baca sehingga habis. Pencarum KWSP Kategori 1 akhirnya boleh memohon i-Sinar secara dalam talian mulai 21 Disember 2020.

Seperti sedia maklum, i-Sinar merupakan kemudahan untuk Ahli KWSP yang terjejas dalam tempoh krisis COVID-19 bagi membantu mereka meneruskan kelangsungan hidup.

Jika anda tergolongan dalam Kategori 1 dan memerlukan duit untuk demi kelansungan hidup, inilah masanya untuk mengeluarkan simpanan KWSP. Permohonan hanya secara online dan sangat lah mudah.


Cara Mudah Mohon I-SINAR RM10,000 



PERKARA PENTING PERLU BUAT SEBELUM MOHON I-SINAR

Sebelum membuat permohonan, anda digalakkkan untuk mendaftar nombor telefon bimbit anda di cawangan atau kios KWSP. 

Wajib mengemas kini maklumat melalui aplikasi atau portal i-Akaun bagi melancarkan urusan permohonan. Pastikan juga akaun bank masih aktif, milik anda dan Bukan Akaun Bersama (Joint Account).

KRITERIA PEMOHON KATEGORI 1 I-SINAR

  • Ahli yang belum mencapai umur 55 tahun, dan:
  • Anda sudah lama tidak mencarum
  • Anda seorang suri rumah
  • Anda bekerja sendiri dan bekerja di sektor ekonomi gig
  • Anda hilang pekerjaan
  • Anda diberi cuti tanpa gaji
  • Anda hilang sumber pendapatan
  • Tiada dokumen perlu disertakan bersama permohonan. Kelulusan secara automatik berdasarkan data dalaman KWSP:
  • Tiada caruman dengan KWSP sekurang-kurangnya dua (2) bulan berturut-turut semasa permohonan; ATAU
  • Mengalami pengurangan gaji pokok sebanyak 30% dan ke atas sejak 1 Mac 2020.


CARA MUDAH MOHON I-SINAR RM10,000

  1. Layari laman web https://isinar.kwsp.gov.my/ 
  2. Isikan nombor MyKad / MyPR dan nombor telefon bimbit
  3. Tekan TERUSKAN
  4. Isikan nombor One Time Password (OTP) yang diterima melalui SMS dan tekan SAHKAN OTP /  Atau Jawab Soalan Keselamatan untuk Pengesahan.
  5. Tetapkan AMAUN pilihan.
  6. Tetapkan Bayaran BULAN PERTAMA dan tekan TERUSKAN.
  7. Lengkapkan maklumat pemohon yang wajib diisi.
  8. Lengkapkan maklumat pembayaran dan tekan TERUSKAN.
  9. Semak maklumat pemohon dan maklumat pembayaran sebelum tekan HANTAR.
  10. Permohonan anda diterima dan akan di proses.

* Ramai yang suarakan tidak menerima OTP tetapi berjaya menghantar permohonan. Jangan risau kerana, mereka yang tidak menerima OTP dikehendaki Jawab Soalan Keselamatan untuk Pengesahan.

Permohonan jadi lebih mudah jika sebelum ini anda pernah memohon i-Lestari.



Setelah membuat pilihan jumlah pengeluaran, penasihat online KWSP bernama Elya akan beri nasihat & peringatan mengenai jumlah simpanan yang akan anda dapat sekiranya tidak membuat pengeluaran. 

Terpulang kepada individu untuk terima nasihat dan kurangkan jumlah pengeluaran atau sebaliknya. Semak balik tujuan utama kenapa kita mahu keluarkan simpanan KWSP. 



TARIKH PEMBAYARAN I-SINAR KWSP

Bagi kategori 1, pembayaran pertama i-Sinar akan dibuat bermula pertengahan Januari 2021.

Bagi kategori 2, status permohonan akan dimaklumkan kepada ahli dalam masa dua hingga tiga minggu selepas permohonan dibuat. Pembayaran akan dilaksanakan sebelum akhir bulan berikutnya, selepas kelulusan diberi.

Pembayaran selebihnya akan dibuat secara bulanan mengikut jumlah dan tempoh permohonan anda. Pembayaran akan dilakukan melalui kaedah pengkreditan terus (direct credit) ke dalam akaun bank milik anda.


KRITERIA PEMOHON KATEGORI 2 I-SINAR

Bagi permohonan Kategori 2 pula, permohonan akan dibuka pada tahun hadapan iaitu pada 11 Januari 2021.

  • Ahli yang belum mencapai umur 55 tahun, yang mengalami pengurangan pendapatan keseluruhan sebanyak 30% dan ke atas (jumlah gaji, elaun dan elaun kerja lebih masa) sejak 1 Mac 2020.
  • Jangan lupa untuk sediakan dokumen yang perlu disertakan seperti:
  • Slip gaji sebelum dan selepas pengurangan pendapatan; DAN
  • Notis pemberhentian atau pemotongan elaun dan/atau tuntutan kerja lebih masa; DAN/ATAU
  • Jika dokumen di atas tidak boleh dikemukakan, sebarang dokumen sokongan lain seperti penyata bank atau surat pengesahan majikan akan diberi pertimbangan.
Apa jua pilihan anda, pastikan anda merancang kewangan dengan bijak dan tidak menjadi mangsa scammer. Keadaan ekonomi dan situasi Pandemik ni berubah-ubah setiap masa, jadi elok berjaga-jaga.