Semak Arah Kiblat di Rumah dengan Pakar Falak

Alhamdulillah, baru-baru ni kami berkesempatan mendapatkan khidmat semakan arah kiblat di rumah dengan pakar falak.

Tujuan utama tak lain tak bukan, nak semak dan buat pengesahan arah kiblat menggunakan peralatan pengukuran profesional oleh pakar yang bertauliah.

Walaupun dah tahu arah kiblat yang ada sekarang, rasa lebih puas hati apabila dapat buat pengesahan melalui pengukuran sebenar. Rupanya, selepas sesi pengukuran dijalankan, ada sedikit perbezaan pada sudut arah kiblat sedia ada.

Rasa seronok tu susah nak diungkapkan. Bersyukur kami dapat juga buat semakan arah kiblat di rumah sendiri. Dah lama pasang niat, tapi asyik bertangguh. Akhirnya terlaksana juga.

semak-arah-kiblat-di-rumah-dengan-pakar


Urusan Temujanji Sangat Mudah

Kisahnya, aku terjumpa contact Petugas Arah Kiblat Rumah (kiblatbypakar) di aplikasi Threads. Terus tempah slot temujanji. Urusan pun mudah sangat.

petugas-arah-kiblat-kl


Encik petugas DM aku dan beliau terangkan proses. Lepas sesi pertanyaan, terus book tarikh. Malas nak pening kepala. Beliau sibuk dengan tempahan pada hujung minggu.

tempah-semak-arah-kiblat-di-rumah-dengan-pakar


Proses Semakan Arah Kiblat di Rumah

Pada hari kejadian, petugas mulakan proses semakan dan pengukuran. Ada beberapa cara nak ukur arah kiblat yang tepat.

Antaranya guna teodolit, guna Kompas, kaedah lintasan matahari searah kiblat, kaedah pedoman suria dan kedudukan matahari dan kaedah buruj Bintang.

Setiap cara pula terpakai kepada kedudukan dan kesesuai rumah juga. Untuk rumah aku yang berada di awangan, petugas guna kompas dan teodolit.

semak-arah-kiblat-di-rumah


Bila saksikan sendiri proses tu memang rasa teruja. Baru kami tahu yang arah kiblat yang selama ini kami gunakan sebenarnya mempunyai sedikit perbezaan sudut daripada hasil pengukuran pakar.

Walaupun tak banyak beza, bila dah panggil yang pakar ukur rasa lebih yakin dengan arah kiblat yang telah disemak dan disahkan.

Highly recommended untuk korang juga supaya semak arah kiblat dengan pakar falak.

Kenapa Perlu Buat Semakan Arah Kiblat?

Mungkin ada yang tertanya-tanya, kalau dah tahu arah kiblat, kenapa perlu semak lagi? Berdasarkan pengalaman aku sendiri, susah nak dapatkan arah kedudukan yang tepat jika kita bergantung pada aplikasi dalam telefon.

Petugas tu kata terutama kalau rumah yang ada wi-fi pasti akan terganggu. Sebab itulah aku amat mencadangkan korang untuk buat semakan arah kiblat di rumah dengan pakar.

Dapatkan khidmat pakar falak yang bertauliah dan menggunakan peralatan pengukuran profesional.

Caj Bayaran Perkhidmatan

Untuk caj bayaran ialah RM70 untuk 2 tempat tandaan. Antara tempat yang selalu pelanggan letak, 1 tempat tandaan di ruang tamu dan 1 lagi tandaan di bilik tidur utama.

Untuk tandaan yang ketiga dan seterusnya ada tambahan caj RM10 setiap satu.

semak-arah-kiblat


Petugas akan bantu lekatkan sticker kiblat pada syiling dengan syarat dekat rumah ada tangga. Kalau tak, stiker akan dilekatkan di lantai. Untuk Selangor dan kawasan Lembah Kelang tidak dikenakan caj pengangkutan.

 

Alhamdulillah, selesai juga perkara yang dah lama ada dalam wishlist. Rasa lebih tenang dan puas hati apabila arah kiblat di rumah sendiri sudah melalui proses pengukuran dan pengesahan oleh pakar falak.

Untuk korang yang berhajat jangan tangguh lama-lama. Semoga perkongsian pengalaman ini bermanfaat untuk sesiapa yang sedang mencari maklumat tentang semakan arah kiblat dan khidmat pakar falak.

 

Kereta Kami Kena Langgar

Masih segar dalam ingatan kami kejadian accident hari Jumaat tu. Dalam perjalanan hantar Airis pergi KAFA, sekitar pukul 2 petang. Ada kereta buat u-turn dan langgar kereta kami. Sepatutnya dia berhenti sebab kami berada di jalan utama. Tapi dia dengan berani tekan minyak dan merempuh kereta kami.

Akibatnya, bahagian pintu pemandu kereta kami kena sondol dan kemek. Pintu tak boleh dibuka, tapi kereta masih boleh bergerak.

bahagian_depan_Kereta_Kami_Kena_Langgar

bahagian_belakang_Kereta_Kami_Kena_Langgar


Urusan Selepas Kemalangan

Pengalaman yang menakutkan bila bunyi geseran dan hentaman tu masih terngiang-ngiang. Syukur alhamdulillah, kami tak mengalami sebarang kecederaan. Waktu tu terasa nak pecah dada.

Kurang seronok bila pemandu wanita yang melanggar tu cuba berdalih dan seakan-akan nak lari daripada tanggungjawab. Aku hampir mengamuk disebabkan sikap pemandu yang cuai.

Waktu ni aku dah mula tinggikan sedikit suara, tegas. 

kejadian_kena_langgar

Ditambah pula dengan towing yang datang memberi bantuan, tapi lebih kepada menekan kami supaya mengambil perkhidmatan mereka.

Ini pula kereta dia yang melanggar kami. Bumper depan sajalah yang tercabut dan lampu pecah. 

kena_langgar


Selesai Di Balai Polis

Alhamdulillah selepas berbincang dan masing-masing bertenang, kami putuskan untuk selesaikan perkara ni di balai polis. Kami tak gunakan khidmat towing dan terus rujuk syarikat insurans masing-masing.

Proses jadi mudah dan selesai dalam masa tiga jam dari waktu accident. Rezeki kami sekeluarga, urusan dipermudahkan. Salah satu sebabnya, kedua-dua pihak membuat laporan polis pada waktu yang sama.

Biasanya, proses soal siasat dengan Investigation Officer (IO) yang memakan masa agak lama. Lega sangat bila kemalangan yang berlaku bukan kes rumit. Jadi, mudah untuk menentukan siapa yang bersalah.

report_polis_Kereta_Kami_Kena_Langgar


Awalnya, kami sesat mencari balai polis yang betul. Fun fact, kereta kami dilanggar di kawasan Ampang Jaya walaupun alamat rumah kami di Kuala Lumpur.

Rupa-rupanya, sempadan kecil di kawasan tu menentukan balai polis mana yang perlu kami rujuk. Kalau di sebelah kanan, kena rujuk kawasan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Kami pula kemalangan di bahagian kiri.

Kami akhirnya pergi ke IPD Ampang Jaya, bahagian siasatan dan penguatkuasaan trafik. Kalau guna Waze, pilih alamat Pandan Indah. Sebelum tu, kami tersesat sampai ke balai polis yang menguruskan kes jenayah pula. Ahaks.

Alhamdulillah, anggota polis yang bantu kami sangat-sangat membantu dan memudahkan urusan. 

kawasan_Kereta_Kami_Kena_Langgar

Selesai urusan di balai polis, kami terus hantar kereta ke bengkel. Isi borang yang diperlukan dan pihak bengkel beri kami kereta pinjaman untuk digunakan sementara kereta kami siap dibaiki.

Waktu kecemasan macam tu, memang susah nak fikir dengan tenang. Sebab tu pentingnya orang sekeliling dan support system yang boleh membantu ketika kita berada dalam keadaan terdesak.

Mujur ada kawan yang datang menghulurkan bantuan dan sokongan emosi. Kami minta dia uruskan Airis untuk ke KAFA. Kalau ikutkan, lebih baik Airis tak perlu pergi KAFA hari tu sehinggalah semua urusan kami selesai. Tapi entahlah apa yang kami fikir masa tu.

Bersyukur dapat kembali ke rumah tepat-tepat pada waktu Airis pulang dari KAFA. Lepas empat hari di bengkel, kereta kami siap dibaiki.

 

Makan Ikan Patin Di Restoran Jaman Thori Terapong

Masa balik kampung hari tu, kami singgah makan ikan patin di restoran Jaman Thori Terapong, Kuala Triang. Nama je orang Pahang, tapi ini kali pertama aku menjejakkan kaki ke sini. Ahaks.

Ambil kesempatan jalan-jalan cari makan kebetulan ada hal dekat luar. Kalau balik kampung memang banyak masa habis dengan emak di rumah je.

Jaman_Thori_Terapong


Anak-anak yang kecil tak ikut sibuk main dengan sepupu-sepupu. Ikhwan je aku bawa. Pergi sekali bersama adik dan isteri dia.

Ikan_Patin_Di_Restoran_Jaman_Thori_Terapong


Makan Sambil Menikmati Pemandangan Sungai Pahang

Kami sampai ketika matahari hampir terbenam. Cuaca pula hujan rintik-rintik, memang teruja nampak sungai depan mata.

Pemandangan restoran terapung di atas Sungai Pahang memang memukau. Dapat tengok sungai yang luas, terasa kecil betul sebagai manusia. Hebat kuasa Allah.

Restoran_Jaman_Thori_Terapong


Sambil jalan atas titi masuk ke dalam restoran, nampak anak-anak kecil mandi sungai dekat tepi-tepi ditemani emak ayah. Seronok betul gaya masing-masing.

mandi_sungai_pahang


Ikan Patin Masak Tempoyak

Waktu makan tu takdelah rasa restoran tu bergoyang yang teruk, walaupun air sungai tu mengalir agak deras. Angin pun boleh tahan bertiup agak kuat.

sungai_pahang


Beza kalau kita naik cruise yang bergerak tu. Tak pening kepala. Pengalaman baru untuk Ikhwan terutamanya.

Restoran_Jaman_Thori_Terapong_kuala_triang

Makan_Ikan_Patin_Di_Restoran_Jaman_Thori_Terapong


Tujuan utama adik aku teringin nak makan Pais Tempoyak Ikan Patin, malangnya menu Pais tiada yang saiz set individu. Jadi makan set Ikan Patin Tempoyak.

Makan_Ikan_Patin

harga_Ikan_Patin_Di_Restoran_Jaman_Thori_Terapong


Dari segi layanan, semuanya okay. Makanan pun sedap. Bukan sekadar ala kadar. Korang yang suka enjoy pengalaman unik sambil makan boleh cuba. Kalau ada rezeki dan peluang lagi, bolehlah singgah ke sini pada masa akan datang. Datang ramai-ramai baru seronok.

sungai_pahang_temerloh

Apa yang aku kongsikan ni berdasarkan pengalaman kami sendiri. Pengalaman orang lain mungkin berbeza ya.


Pengalaman Menjadi Batch Pertama Matriks Pembelajaran

Alhamdulillah tamat sudah episod penuh debaran Matriks Pembelajaran Tahun 4 (MPT4) untuk calon berusia 40-an di rumah ni. Ahaks. Calon sebenar yang berusia 10 tahun pual kelihatan lebih santai menghadapi ujian sebenar.  

Memandangkan ini kali pertama MPT4 dijalankan, memang agak berdebar bila bayangkan anak sendiri menjadi calon batch pertama yang kena hadap. Perasaan tu bercampur baur. Kami mak ayah pun kena tempiasnya.

Selesai sudah Matriks Pembelajaran Tahun Empat

Doa sudah, usaha pun sudah jadi kita tawakal dengan apa saja keputusan yang anak dapat nanti. Mujurlah hanya empat subjek saja yang terlibat (Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains).

Itupun aku sebagai calon 40-an dah separuh nyawa menghadap karenah anak. Bersyukur anak faham dan patuh saja arahan cikgu dan mak ayah. Jadi proses belajar tu jadi lebih tenang.

Ada kejutan untuk kertas Bahasa Inggeris, format bahagian 6 berubah dari format yang dimaklumkan sebelum ni.

Kena buat penulisan perenggan berpandu menggunakan grafik / gambar tapi yang keluar hanyalah penerangan teks.

Anak-anak kena fahami teks dan tulis berdasarkan situasi. Bila anak-anak balik bercerita mama mampu mendengar saja. Nak marah pun tiada guna. Ahaks.

Batch_Pertama_Matriks_Pembelajaran


Debaran Kali Pertama Calon Peperiksaan

Anak-anak baru terasa debaran peperiksaan hanya pada hari Khamis, minggu sebelum MPT4 bila cikgu susun kedudukan meja dan kerusi untuk peperiksaan dalam kelas.

Lagi nampak serius kena jawab peperiksaan sebab slip peperiksaan ditampal di meja. Terpampang nama masing-masing.

Buat pertama kali anak-anak merasai suasana medan peperiksaan yang lebih formal. Ada ketua guru pengawas dari sekolah lain yang memantau, dibantu guru pengawas peperiksaan dari sekolah sendiri.

Macam peperiksaan besar yang lain, ada peraturan tertentu yang perlu dipatuhi, termasuk berkaitan waktu untuk ke tandas. 30 minit pertama dan 30 minit di akhir peperiksaan anak-anak tidak dibenarkan ke tandas.

Daripada cerita anak-anak, memang ada murid yang berdepan situasi kurang selesa ketika peperiksaan berlangsung. 

pengalaman_pertama_Matriks_Pembelajaran


Persediaan Sebelum MPT4

Imbas kembali persediaan menghadapi MPT4, memang nampak kesungguhan guru subjek terutama subjek Bahasa Melayu dan Matematik untuk bantu anak boleh jawab soalan.

Latihan demi latihan diberikan demi memastikan anak-anak membiasakan diri bila menjawab soalan matriks sebenar.

Untuk kami, mak ayah generasi millennial ni memang tak senang duduk. Aplikasi thread menjadi salah satu sumber rujukan dan juga tempat meluahkan kegusaran.

Ada juga yang kongsi contoh soalan berdasarkan format yang pernah dikongsikan Lembaga Peperiksaan sebelum ni. Alhamdulillah, sedikit sebanyak membantu.

Salah satu perkara yang aku tak menyesal buat ialah membeli nota subjek Sains dan Matematik. Ringkasan nota AI yang padat dan nampak kemas disusun dalam satu muka surat.

Raudah suka dan lebih mudah faham bila baca nota tu. Penting untuk cari cara yang sesuai untuk bantu waktu ulangkaji.

Apa pun bersyukur dan berbangga dengan komitmen anak tunjukkan. Banyak kali aku ulang dengan anak-anak. Syarat aku mudah je, keputusan peperiksaan kalau tak dapat A tiada masalah cuma doa dan usaha tu kena A.  

Aku nak tengok usaha, aku fokus proses yang mereka lalui bukan hasil semata-mata. Kalau dapat keputusan cemerlang tu kita anggap jelah sebagai bonus.

Semoga segala usaha yang dicurahkan oleh anak-anak dan guru-guru mendapat hasil yang baik. Apa pun keputusannya nanti, semoga pengalaman ini menjadi salah satu langkah untuk anak-anak terus belajar, memperbaiki diri dan lebih bersedia menghadapi cabaran akan datang.

Mouse Goojodoq Perlahan? Ini Cara Tukar Kelajuan

Semalam masa buat kerja menggunakan laptop, aku perasan kursor tetikus (mouse) Goojodoq aku perlahan, tak lancar. Dia jadi sangkut-sangkut, memang lag nak buat kerja. Sangat menyampah ya keadaan tu.

Lagi bertambah baran sebab aku baru je beli tetikus ni. Tak kanlah dah rosak? Sedapkan hati, kena caj agaknya. Lepas beberapa jam caj pun prestasi kursor tu sama je. Lembap.

Mouse_Goojodoq_lag_slow


Aku Ingat Mouse Goojodoq Dah Rosak

Banyak benda aku cuba. Tukar mousepad sebab risau permukaan dia kacau sensitiviti mouse tu. Dah tukar tapi tak menyelesaikan masalah.

Cabut pasang dongle USB dan cuba beberapa port USB dekat laptop. Masih tak berjaya. Sehinggalah aku buat carian di Google.

Banyak cadangan diberikan antaranya tukar kelajuan kursor (DPI). Ilmu baru untuk aku yang baru tahu kewujudan butang DPI.

Zaman aku dulu selalu set kelajuan kursor di bahagian setting Windows je. Berubahnya teknologi sekarang dah boleh adjust dekat kursor je. Terasa hidup di zaman Dinosour.

Cara_Tukar_Kelajuan_Kursor_(DPI)_Mouse_Goojodoq


Cara Tukar Kelajuan Kursor (DPI) Mouse Goojodoq

Tetikus Goojodoq yang aku beli ni, butang DPI berada di bahagian atas, di bawah roda yang skrol tu. Butang petak segi empat kecil.

Kena tekan butang DPI satu demi satu kali untuk menukar sensitiviti sensor. Ada 4 tahap kelajuan (sensitiviti) yang berbeza.

DPI ni secara mudahnya menentukan tahap sensitiviti dan kelajuan pergerakan kursor apabila kita gerakkan mouse.

Kursor_(DPI)_Mouse_Goojodoq


Kenapa ada kelajuan berbeza? Biasanya tahap yang "slow" atau perlahan itu digunakan untuk kerja-kerja yang memerlukan ketepatan tinggi, seperti menyunting gambar (editing) atau melukis.

Semestinya aku jenis nak laju je. Kelajuan yang paling lancar dan selesa untuk pergerakan tangan aku ialah tahap 3.

Maka dengan sepantas kilat, masalah kursor tetikus Goojodoq yang perlahan tu dapat diselesaikan. Alhamdulillah.

Rupanya bukan mouse rosak atau perlu tukar bateri, cuma aku sendiri tak tahu tetapan DPI tu boleh mempengaruhi pergerakan kursor.

Moral of the story, betapa banyak ilmu yang masih belum kita pelajari. Maka belajarlah. 

Bingkai Foto Kenangan Terindah JPN

Alhamdulillah, bingkai foto kenangan terindah dari Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) selamat sampai ke tangan aku. Cukup gambar kami sekeluarga, 12 orang dalam satu frame. Gambar waktu kami kanak-kanak. 

Masa unboxing parcel tu memang berdebar lain macam. Sayu pun ada. Punya lama aku tunggu, lagi seminggu nak cukup setahun baru bingkai foto ni sampai.

Ramai yang tanya aku macam mana nak buat Foto Kenangan Terindah dari JPN ni. Jadi aku cerita dekat blog jelah. Senang nanti semua boleh baca dan kalau ada yang tengah berkira-kira nak buat, boleh tahu serba sedikit pengalaman aku.

Apa itu Foto Kenangan Terindah JPN?

Seperti yang dimaklumkan dalam website;

“Foto Kenangan Terindah JPN ialah inisiatif khas oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang membolehkan rakyat Malaysia mendapatkan koleksi bingkai gambar eksklusif mengandungi gambar MyKad pada pelbagai peringkat usia.”

Sebenarnya aku memang teruja nak buat sebab aku tak pernah tengok gambar emak dan arwah abah masa zaman kanak-kanak.

apa_itu_Bingkai_Foto_Kenangan_Terindah_JPN


Tempahan Setahun Sekali

Penting korang kena tahu, tempahan Foto Kenangan Terindah ni dibuka setahun sekali sahaja. Setiap tahun, tempahan akan dibuka sempena Hari Pendaftaran Negara melalui portal rasmi Jabatan Pendaftaran Negara.

Maksudnya kalau terlepas tahun ni, korang kena tunggu tahun depan pula. Tahun 2025, tempahan dibuka pada bulan Oktober.

Jadi kalau korang memang teringin nak buat, kena rajin-rajin tengok laman web JPN atau cari je “Foto Kenangan Terindah”. Bila tempahan dibuka, bolehlah terus buat.

Bingkai_Foto_Kenangan_Terindah_JPN


Siri Pilihan Foto Kenangan Terindah

Ada dua siri foto pilihan disediakan.

Siri Individu (RM75) – memaparkan 3 gambar MyKad pemilik pada usia 12 tahun, 18 tahun dan foto terkini.

Siri Keluarga (RM150) – paparan gambar ahli keluarga berumur 12 tahun ke atas yang sudah memiliki MyKad.

Untuk penghantaran secara pos, kena tambah RM10. Percuma kalau korang sanggup pick up sendiri. Aku pilih Siri Keluarga sebab memang dari awal niat nak kumpulkan gambar kami sekeluarga dalam satu frame.

Bila fikir balik, 12 orang dalam satu bingkai. Memang satu kenangan yang akan aku ingat sampai bila-bila. 

Foto_Kenangan_Terindah_JPN


Kandungan Foto Siri Keluarga

Masa buat tempahan foto siri keluarga, aku niat nak surprisekan emak dan adik beradik lain. Lama betul aku simpan rahsia. Saja nak tengok reaksi masing-masing. 

Lepas buka parcel terus buat video call adik beradik tunjuk muka masing-masing zaman kanak-kanak. Ikutkan gambar pertama berdaftar dengan JPN. Gambar waktu umur 12 tahun. 

Memang pecah gelak juga tengok gambar lama. Paling bermakna bila dapat tengok gambar emak dan arwah abah masa zaman kanak-kanak. Sebab selama ni memang aku tak pernah tengok.

Terima Selepas Hampir Setahun

Aku buat tempahan melalui laman web pada 6 Oktober 2025. Selamat terima pada 23 September 2026. Antara maklumat penting yang diperlukan ialah nama penuh dan nombor kad pengenalan ahli keluarga.

Lepas tu kena sabar menunggu. Walaupun lama tapi amatlah berbaloi. Sedikit sebanyak terubat rasa rindu pada arwah abah.

Masa tengok gambar tu juga aku baru sedar yang muka anak sulong aku ada iras muka arwah abah. Tahun 2010 arwah abah meninggal. Tahun 2011 aku melahirkan Ikhwan. Betul-betul dia jadi penguat semangat aku.

Hadiah bernilai yang Allah bagi untuk aku. 

Bingkai_Foto_Kenangan_Terindah



Pengalaman Pertama Raudah Dalam Silat Olahraga

Assalamualaikum. Alhamdulillah, segala puji bagi Allah yang mengurniakan rezeki dan pengalaman yang baik buat kami sekeluarga. Masing-masing dalam proses recovery sebab baru lepas sertai pertandingan silat.

Rasa macam lama sangat tak menulis dekat sini. Tengah susun atur semula supaya kehidupan on track macam biasa.

Pada 11 hingga 14 September yang lepas, Raudah menyertai Kejohanan Silat Olahraga Pendekar Kalimah 2.0. Ini merupakan pengalaman pertama Raudah masuk pertandingan silat olahraga.

Pengalaman_Pertama_Raudah_Silat_Olahraga


Pertandingan Pertama Raudah

Sejujurnya, keputusan nak izinkan Raudah bertanding bukanlah perkara kecil. Banyak benda kami kena ambil kira termasuk Matriks Pembelajaran Tahun 4 yang bakal dia duduki tak lama lagi.

Sudah dipesan awal-awal yang masuk tak semestinya wajib menang. Kalau rezeki Allah bagi Alhamdulillah. Lebih kepada nak bagi dia rasa sendiri suasana pertandingan, belajar kawal perasaan dan berani melangkah masuk ke gelanggang.

Alhamdulillah, dengan izin Allah, Raudah berjaya membawa pulang pingat emas bagi kategori yang disertainya. Dia bertanding dalam kategori Puteri Kelas B Pra Dini bagi berat 25 hingga 27 kilogram.

Pengalaman_Pertama_Raudah


Sebagai emak yang ikut tengok proses dia dari latihan, persediaan sebelum pertandingan sehinggalah masuk gelanggang, memang aku bangga dengan usaha yang dia tunjukkan.

Teringat masa awal-awal dia masuk silat dulu. Jauh la beza. 

Masalah Berat Badan Tak Cukup

Bukan pingat emas tu jadi ukuran tapi apa yang paling penting ialah banyak yang dia belajar dari pengalaman ni. Cabaran juga untuk aku nak kawal emosi. Lagi drama suami tak turut serta kali ni sebab dia terlibat dengan team building syarikat. 

Masalah Raudah ialah berat badan dia tak cukup 500gram. Nampak kecil kan? Tapi dia sejenis susah nak naik berat. Memang sehari sebelum tarikh timbang berat aku bagi makan semua yang dia nak. Aku tak bagi dia training takut turun lebih banyak.

Jadi kelebihan dekat pihak lawan bila berat dia atas pagar. Bayangkan kena tendang dengan peserta yang lebih berat daripada dia.

Masa post mortem dengan coach, antara perkara yang ditegur ialah dia mudah sangat mengalirkan air mata. Waktu latihan sparring pun dia pernah melalak sebab banyak kali kena front kick.

Tapi masa dalam gelanggang, lain pula jadinya. Dia tak menangis. Dia cuba melawan dan buat apa yang dia belajar semasa latihan.

Boleh angkat kaki nak tendang. Bila lawan buat tangkapan dan nak buat jatuhan, tak menjadi. Pendek kata tak jadi punching bag. Ohoi risaunya mama waktu tu. Risau dia putus asa dan tak melawan.

pertandingan_silat_olahraga_pendekar_kalimah


Tiga Hari Berkampung Di Stadium Titiwangsa

Sepanjang tiga hari berkampung di Stadium Titiwangsa, banyak perkara yang dia belajar. Aku sengaja tanya apa perasaan dia, kata dia “kakak teruja nak berlawan”.

Salah satu impian Raudah sebelum ini adalah nak kibarkan bendera kelab di gelanggang pertandingan. Adik dia buat waktu menang di Pavillion dulu dan dia teringin nak merasa juga.

pertandingan_silat_pendekar_kalimah


Alhamdulillah, Allah izinkan dia merasai pengalaman itu pada kejohanan kali ini. Dengan bangganya dia ulang bercerita dan tengok rakaman video dia banyak kali.

Paling penting, dia pulang tanpa sebarang kecederaan dan dapat menamatkan pertandingan dalam keadaan sihat. Itu dah cukup melegakan hati.

Semoga apa yang Raudah pelajari sepanjang kejohanan ini menjadi bekalan yang baik untuk dirinya pada masa akan datang.

Apa pun pencapaian yang diperoleh, semoga Allah sentiasa memelihara anak-anak kami, menjauhkan mereka daripada perkara yang tidak baik dan mengurniakan kesihatan serta akhlak yang baik.

Apa yang baik datang daripada Allah, dan segala kekurangan adalah daripada kelemahan kami sendiri.

 

Pengalaman_Raudah_Silat_Olahraga

Cabut Gigi Geraham Di Klinik Kesihatan

Assalamualaikum. Cuti sekolah lepas aku ke klinik kesihatan di kampung untuk cabut gigi geraham. Alhamdulillah, dengan izin Allah urusan dipermudahkan walaupun aku datang sebagai pesakit walk-in.

Setahu aku, kebiasaannya rawatan pergigian tertentu perlu melalui temujanji terlebih dahulu. Kena check MySejahtera.

Aku nekad nak cabut gigi sebab gigi geraham bahagian bawah ni pernah sakit teruk dulu. Siapa pernah mengalami sakit gigi mesti faham macam mana seksanya bila sakit tu datang menyerang.

Sebelum ni aku dah mendapatkan rawatan di Klinik Pergigian UKM dan nama aku juga telah dimasukkan dalam senarai menunggu. Tapi, senarai pesakit panjang sangat. Nurse dah cakap paling cepat nak dapatkan rawatan ialah tiga bulan.

Maka kalau korang duduk di kawasan luar bandar dan kurang sibuk maka hargailah peluang yang korang dapat tu ya. Dah la murah tak perlu berebut pula. Nikmat mana lagi yang kau dustakan.

Cabut_Gigi_Geraham_Di_Klinik_Kesihatan


Nekad Walk-In Cabut Gigi

Aku pilih hari Jumaat, di penghujung cuti sekolah untuk buat cabutan gigi. Sengaja tunggu sampai hujung cuti sekolah kerana tak mahu rasa sakit terseksa mengganggu masa bersama keluarga di kampung.

Proses pendaftaran sangat mudah. Aku daftar di kaunter dan dikenakan bayaran RM1 sahaja untuk yuran pendaftaran.

Yang paling seronok, boleh kira dengan jari jumlah pesakit jadi urusan berjalan lancar dan tempoh menunggu pun tidak lama.

Ikutkan ini kali kedua aku ke klinik pergigian bila balik kampung. 

walk_in_Cabut_Gigi_Geraham_Di_Klinik_Kesihatan


Pilihan Antara Rawatan Akar Atau Cabut Gigi

Sebelum buat keputusan, aku pernah berbincang dengan doktor di Kilinik Pergigian UKM mengenai pilihan rawatan yang ada. Keadaan gigi aku, tampalan bocor dan 50-50 untuk diselamatkan.  

Hasil x-ray, doktor simpulkan, aku diberikan dua pilihan sama ada meneruskan rawatan akar atau cabut gigi. Oleh sebab tempoh rawatan  akar yang agak panjang dan keadaan gigi ketika itu, aku pilih untuk cabut je gigi ni.

Bukan keputusan yang mudah sebenarnya, tetapi aku rasa itu pilihan yang paling sesuai untuk situasi aku ketika itu.

Proses Cabutan Gigi Geraham

Sebelum rawatan bermula, doktor terangkan tentang proses cabutan. Oleh sebab gigi geraham jadi doktor pesan awal-awal kalau terasa sakit yang tak boleh ditahan semasa doktor cabut boleh tambah bius.

Aku ambil dos tambahan untuk bius sebab takut sakit. Bila fikir semula rasa ngilu pula. Juga rasa menyesal sebab beri kesan kepada proses penyembuhan.

Alhamdulillah, dengan izin Allah proses cabutan berjalan dengan baik. Secara keseluruhan, dalam sejam je semua siap.


Masih Dalam Proses Penyembuhan

Hari ini dah masuk hari keenam proses penyembuhan. Alhamdulillah tak susah, tak juga mudah. Paling terasa, bila tak dapat makan macam biasa dan ubat tahan sakit jadi best friend aku.

Kena banyak sabar. Apa pun, aku bersyukur kerana semuanya dipermudahkan dan semoga kesihatan yang baik ini berterusan dengan izin Allah.

Insya-Allah dalam entri seterusnya aku kongsikan pula pantang larang serta perkara yang aku buat selepas cabut gigi geraham. Mudah-mudahan ada manfaat untuk sesiapa yang tengah tunggu hari untuk cabut gigi.

Happy Birthday Anak Mama, Ikhwan Hafeez

Alhamdulillah, dapat juga meraikan hari lahir Abang Ikhwan bersama Wan dan sepupu-sepupu di kampung. Rezeki untuk mama, abah dan keluarga kecil kita masih dilanjutkan pinjaman hidup di dunia yang sementara ini.

Sambutannya sederhana sahaja, tetapi cukup lah buat abang gembira. Potong kek di kampung dan kemudian makan-makan bersama abah selepas balik ke rumah. Waktu entri ni di publish, abang sudah pun selamat kembali meneruskan kehidupan di asrama.

Tiada apa yang lebih mama dan abah harapkan selain melihat abang membesar dalam rahmat dan penjagaan Allah. Segala yang baik itu datang daripada-Nya dan segala kekurangan adalah kelemahan kami sebagai manusia.

Happy-birthday-Ikhwan-hafeez


Doa mama untuk Ikhwan, anak pertama penghuni rahim mama. Doa mama dan abah sentiasa mengiringi Ikhwan Hafeez. Semoga Allah sentiasa memimpin langkahmu, menjaga imanmu, melapangkan urusanmu dan membentukmu menjadi anak yang soleh serta memberi manfaat kepada orang di sekelilingmu.

Semoga setiap pengalaman yang dilalui menjadi asbab untuk abang menjadi insan yang lebih matang, lebih berakhlak dan lebih dekat dengan Allah. Mama dan abah mungkin tidak sentiasa berada di sisi, tetapi doa kami sentiasa bersama walau di mana abang berada.

Happy-birthday-Ikhwan


Ya Allah, kurniakanlah ketenangan dalam hati kami terhadap perjalanan hidup anak sulung kami. Lapangkanlah dada kami untuk sentiasa membimbing, memaafkan dan meredhai dirinya. Kurniakanlah juga kepadanya hati yang lembut menerima nasihat, akhlak yang baik serta perlindungan-Mu dalam setiap langkah kehidupannya.

Selamat ulang tahun kelahiran, Abang Ikhwan. Semoga usia yang bertambah membawa lebih banyak keberkatan, kebaikan dan kasih sayang daripada Allah SWT. Mama dan abah sentiasa mendoakan yang terbaik buatmu.

 

Pengalaman Rumah Diserang Anai-Anai

Tak pernah aku sangka yang rumah kami akan diserang anai-anai. Iya itu yang berlaku pada tahun lepas, 2025. Waktu aku menulis ni, masih terbayang perasaan tak seronok tu bila tahu anai-anai bermaharajalela dalam rumah sendiri.

Macam trauma pun ya juga, aku kalau boleh memang tak mahu nak ingat semula apa yang jadi. Tapi sangat penting untuk aku tulis dalam blog ni supaya aku boleh rujuk kembali di masa akan datang.

Tak Sangka Rumah Diserang Anai-Anai

Ikutkan rumah sekarang, kami tinggal di tingkat tujuh. Tingkat paling atas dan kalau fikir logik akal, amat jarang berlaku rumah yang kawasan tinggi diserang anai-anai.

Setelah berbincang dengan pihak JMB (Joint Management Body), kata sepakat berjaya dicapai dan JMB bantu kami selesaikan masalah anai-anai.

Aku tak tahu dari mana anai-anai ni datang tapi sebab rumah kami ni dah berusia puluhan tahun jadi masalah anai-anai adalah perkara biasa. Ada pelbagai kemungkinan dan sebab tu juga agaknya JMB nak bantu.

Dari Mana Datangnya Anai-Anai Dalam Rumah?

Lepas apa yang jadi, hikmah dia aku tahu banyak juga ilmu baru. Kalau tempat tu ada semut buat sarang, maksudnya anai-anai tiada. Kiranya satu binatang satu masa. Itu staff pest control tu yang beritahu.

Aku kongsi ni jangan terima bulat-bulat, minta buat research tambahan. Aku kongsi apa yang aku terima dan rasa pada waktu kejadian. Anai-anai ni berasal dari kelkatu.

Dia datang ke rumah, tanggalkan sayap dan buat sarang dekat lubang-lubang dalam kayu. Macam rumah aku lah, kalau musim kelkatu tu memang meriah masing-masing serang lampu dekat balkoni.

pengalaman-rumah-diserang-anai-anai


Mula Perasan Pintu Bilik Dimakan Anai-Anai

Bermula dari awal tahun aku perasan pintu bilik tengah dimakan anai-anai. Perlahan-lahan mereput dan hancur. Memang setiap kali dia makan akan ada habuk kayu bersepah atas lantai.

Waktu awal-awal dulu aku sembur racun serangga. Anai-anai tu berhenti sekejap je tapi lepas tu dia datang semula.

Oleh sebab racun serangga tak berkesan, aku beli racun anai-anai dalam bentuk cecair. Aku beli dekat kedai jual barang hardware. Punya la busuk racun tu, tapi demi nak hapuskan anai-anai aku spray lah juga.

Ha yang ni memang anai-anai mati dan hilang tapi rupanya dia bukan mati tapi dia lari serang pintu bilik utama dan pintu tandas. Dia bijak bertukar Lokasi.

Sesungguhnya waktu pintu-pintu ni dah nazak baru aku perasan anai-anai tu punya kerja.

Report JMB Masalah Anai-Anai

Oleh sebab tak tahan dan pintu pun memang jahanam kami hubungi JMB. Niat di hati nak dapatkan contact untuk pest control. Malas nak contact pest control lain risau kena scam. Alhamdulillah bila buat report, JMB hantar kakitangan untuk tengok keadaan rumah.

Lepas tengok semua, JMB setuju nak bantu. Rezeki kami memandangkan anai-anai ni bukan berpunca dari rumah kami dan mereka syak berpunca dari anai-anai buat sarang di bahagian atap jadi JMB tanggung kos membasmi anai-anai tu.

Cara Pest Control Hapuskan Anai-Anai Di Rumah Kami

Bermula lah episod menghapuskan anai-anai. Ini apa yang berlaku kepada kami dan mungkin lain bentuk muka bumi lain cara rawatan dia.

Antara cara hapuskan sarang anai-anai yang aku tahu ialah tanam ubat dalam tanah bawah rumah. Cara ni sesuai kalau rumah atas tanah. Sebab aku ni rumah tinggi maka kami tak sesuai.

Orang pest control cadangkan untuk pasang umpan dalam rumah. Sebelum ni aku pernah survey di Shopee tentang umpan ni. Ikutkan agak leceh dan sebab tu aku elak nak buat sendiri.

pest-control-hapus-anai-anai


Proses Membasmi Anai-Anai Ambil Masa Berbulan

Dari awal lagi pest control dah ingatkan yang nak hapuskan anai-anai akan ambil masa tiga ke empat bulan bergantung kepada berapa banyak anai-anai yang masih hidup. Paling cepat pun tiga bulan boleh selesai.

Memang dah tiada pilihan kami redha jelah. Sehari selepas buat report, keesokan harinya orang pest control tengok keadaan rumah. 16 Jun 2025 mereka pasang dua bekas umpan di dua tempat berbeza.

Satu bekas umpan di pasang di atas bahagian pintu dekat belakang dekat dengan mesin basuh. Lagi satu dalam bilik utama betul-betul tepi almari. Penting untuk tentukan tempat nak pasang bekas umpan sebab tujuan utama nak suruh anai-anai yang masih hidup ni makan umpan.

Anai-anai tu dah buat jalan nak serang almari baju. Sedih tak payah cakap lah. Umpan tu warna putih dan dibancuh dengan air. Selagi tak habis anai-anai selagi itulah umpan akan di isi. Ada gap setiap kali nak isi umpan.

Sepanjang proses menghapuskan anai-anai staff pest control larang untuk tidak usik dan tidak spray dengan racun anai-anai. Kalau tidak dia akan lari dan kena pasang lebih banyak bekas umpan.

umpan-anai-anai


Catatan Perkembangan Umpan Anai-Anai

16 Jun 2025 – Kali pertama isi umpan untuk dua-dua bekas

25 Jun 2025 – Kali kedua isi umpan untuk dua-dua bekas

9 Julai 2025 – Bekas umpan dalam bilik utama masih ada menunjukkan anai-anai berkurangan tapi bekas umpan dekat pintu mesin basuh masih perlu di isi. Umpan habis dimakan.

10 Julai 2025 – Anai-anai mengamuk.

17 Julai 2025 – Umpan tinggal suku dalam bekas dekat pintu mesin basuh dan umpan tak bergerak untuk bilik utama.

27 Ogos 2025 – Pest control datang untuk buat final check dan cabut bekas umpan.

10 Julai 2025 – Hari Anai-Anai Mengamuk

anai-anai-serang-rumah


Pada 10 Julai, kejadian mengerikan berlaku yang memang rasanya aku akan ingat sampai bila-bila. Waktu aku tengah vacuum rumah, masa tu dah nak masuk Asar aku perasan muncul banyak gila kelkatu terbang dalam rumah landing dekat sliding door.

Pelik sangat sebab dia tiba-tiba muncul. Sebab tak sedap hati aku text suami update. Masa tu masih belum panik sebab aku tak jumpa punca.

Rupa-rupanya kelaktu keluar dari dalam kayu pintu (pintu pertama yang anai-anai tu serang). Ya ampun bukan setakat kelkatu, tapi anai-anai pon berebut menunjukkan diri. Terbang nak selamatkan diri mencari cahaya, tu sebab dia penuh melekat dekat sliding door.

Memang tak mampu nak buat apa-apa. Aku hanya mampu sapu kelkatu keluar dengan penyapu je. Kemuncak dia waktu malam sekitar pukul 9 malam macam tu.

Suami dan anak-anak tengah tengok televisyen, aku pula tengah cuci pinggan di dapur. Kawanan kelkatu keluar dari pintu.

Banyak gila terbang berlegar. Bayangkan kami memang panik. Aku cepat-cepat tutup lampu ruang tamu dan suruh suami buka sliding door.

Sekelip mata kawanan kelkatu tu terbang keluar. Dah reda baru berani buka lampu. Terbayang cerita dalam movie, orang mati diserang kawanan nyamuk. Sebijik itu la situasi kami hadap. Jadi sesak tak boleh bernafas.

Selepas Anai-Anai Hilang Dari Rumah

Lepas kejadian tu, anai-anai dah tak muncul dalam rumah. Pest control nasihatkan untuk ambil langkah pencegahan selamat untuk spray racun secara berkala lepas ni. Lambat laun anai-anai akan muncul lagi. Memang itu lah lumrah dia.

Kami juga decide untuk gantikan pintu-pintu yang terkesan dengan anai-anai dan buang perabot yang terlibat. Sedih memang sedih tapi itulah rezeki.

Bersyukur juga penderitaan kami tamat di situ dan harap sangat semua tu tak berulang dah. Serik.

 

Dialog Kemenjadian Murid - Raudah & Airis

Assalamualaikum. Cerita minggu lepas, kami ke sekolah anak-anak, hadir untuk program Dialog Kemenjadian Kualiti Murid (DKKM). Ibu bapa di jemput ke sekolah dan fokus perbincangan bersama guru kelas berkaitan prestasi akademik murid dan juga sahsiah murid.

Untuk bagi adil dan tersusun, angka giliran diberikan semasa waktu pagi di kaunter pendaftaran. Siapa awal datang, cepat la habis urusan.

Aku datang awal untuk dua orang anak dan KAFA Airis pon buat pada hari yang sama. Senang sekali jalan je. Sekitar pukul 11 pagi dah selesai.

dialog_kemenjadian_murid


Borak Sesi Akademik Sahsiah Anak-Anak

Kalau zaman aku sekolah dulu, tak wujud lagi sesi macam ni. Paling tidak cikgu bagi report card kena bawa balik, mak abah kena tandatangan.

Sesi jumpa mak ayah ni biasa berlaku hujung tahun je. Berbeza zaman berbeza la cara kan? Sebelum berjumpa guru kelas, sekolah buat ceramah keibubapaan. Lebih kurang sejam setengah, kemudian lepas tu terus ke kelas anak.

Parenting Tips - Sharing Dari Penceramah

Banyak anak-anak bermasalah sekarang berpunca dari masalah mental anak.

Punca utama ialah telefon. Anak consume terlalu banyak bahan, perkara salah mengakibatkan anak matang sebelum waktu.

Umur 5 hingga 15tahun adalah waktu perlukan perhatian ibu ayah (waktu kritikal anak bergelut dengan emosi).

Anak-anak bermula dengan Imiginasi kemudian Fantasi dan mula lah Eksperimen.

Pastikan anak cukup rehat dan cukup makan. Tidur awal dan bangun awal.

Breakfast penting jadikan amalan, makan ikut waktu ditetapkan.

Kena tegas tapi penyayang dengan anak.

Jenayah salah laku pelajar: Buli, vape (meow-meow, mushroom now piu-piu), Cinta, Vandalisme, Bodyshaming, Ponteng sekolah.

Strategi mendisiplinkan anak:

  • Tetapkan peraturan jelas
  • Konsisten setiap hari
  • Hukuman dan ganjaran seimbang
  • Komunikasi terbuka 

Amalan harian berkesan:

  • Bangun awal bersama
  • Semak kerja sekolah
  • Luang masa bersama

Kasih ibu itu lembut, bimbingan ayah itu tegas. Kedua-duanya perlu bersatu padu membentuk generasi hebat.

ceramah_ibu_bapa_kemenjadian_murid


Ambil Result Ujian Pertengahan Sesi Akademik (UPSA)

Agak berdebar nak ambil keputusan UPSA Raudah sebab ini kali pertama dia menduduki ujian bertulis. Maklumlah baru masuk darjah empat (Tahap dua).

Sekolah anak-anak dah tetapkan yang pelaksanaan ujian hanyalah untuk murid Tahap Dua iaitu Tahun 4, Tahun 5, dan Tahun 6 sahaja.

Airis masih boleh relaks di darjah 2. Murid Tahap Satu (Tahun 1, 2, dan 3) hanya ada pentaksiran PBD (Pentaksiran Bilik Darjah) secara berterusan.

Keputusan UPSA Raudah Sakinah

Alhamdulillah keputusan akademik Raudah dan Airis masih on track. Masih mengikut apa yang kami target. Tapi ada juga subjek yang kami kena duduk berbincang.

Setakat ini tiada feedback seram dari cikgu. Sempat juga tanya tentang matriks tahun 4. Jawapan yang aku dah jangka, cikgu pesan jangan risau. Lol.

Tanya juga tentang sahsiah anak-anak, kot terlibat masalah disiplin. Kami bagi green light untuk cikgu didik anak-anak selagi tidak memudaratkan sampai patah riuk cukuplah.

Sempat selit bab perasaan cintan cintun. Ohoi seram bayangkan, murid sekarang cepat betul matang sebelum usia. Perasaan suka / crush semua tu bagi aku normal tapi kena kawal dan disiplin.

Hari-hari pesan dekat anak-anak semua tu. Mana betul mana yang salah. Mana boleh mana yang tidak. Kena fokus apa yang penting di usia sekarang.

Keputusan KAFA Airis Safiya

Walaupun dah masuk darjah dua, ini merupakan tahun pertama Airis belajar di KAFA. Kami bersyukur sangat dengan keputusan yang dia dapat.

Dalam banyak-banyak subjek, nak kena bantu dia dalam subjek Akidah dan juga hafazan Al Quran. Rezeki dia dan kawan-kawan jadi batch pertama KAFA di sekolah sekarang.

Ini semua hasil usaha bersama rakan-rakan PIBG yang lepas, kami berjaya tubuhkan KAFA di sekolah sekarang. Guru besar pun sangat-sangat membantu.

Disebabkan kewujudan Kelas KAFA, ramai ibu bapa yang pilih nak sekolahkan anak mereka dekat sini sebba mudah. Dari pagi sampai petang di tempat yang sama.


Bagi aku, waktu program ini lah aku dapat kenal lebih rapat dengan cikgu yang mendidik dan perangai sebenar anak-anak dekat sekolah. Maklumlah anak-anak ni ada sisi perangai yang berbeza bila berada di rumah dan di sekolah.

Jadi memang wajar lah program ni diteruskan. Lagi seronok kalau masa ceramah tu ada sesi soal jawab dengan ibu bapa.

Penambahan kalau nak dibuat, laporan sesi perbincangan tersimpan dalam portal untuk ibu ayah rujuk untuk tindakan seterusnya. Digitalize kan. Wah cita-cita aku kan? Ahaks. 

Alhamdulillah, selesai satu lagi fasa untuk tahun ini. Semoga Raudah dan Airis terus belajar bersungguh-sungguh, menjaga akhlak, dan membesar menjadi anak-anak yang membanggakan bukan hanya dengan keputusan peperiksaan, tetapi juga dengan adab dan peribadi yang baik. Itu yang paling kami harapkan.

 

Airis Menang Kejohanan Silat, Tunas Terbaik Putri

Alhamdulillah, dengan izin Allah, selesai sudah penyertaan Airis di Kejohanan Silat Terbuka Wilayah Persekutuan bulan Mei yang sudah. Mewakili kelab Nadi bawah kategori Tunas, Putri.

Pengalaman yang amat manis dan lebih bermakna, Airis berjaya menjadi Juara dalam kategori Tunas Putri serta dinobatkan sebagai Tunas Terbaik Putri. MasyaAllah Tabarakallah.

Sebagai ibu bapa, ini adalah satu kenangan yang sangat berharga. Bukan kemenangan sahaja yang kami target tapi tentang perjalanan, proses, dan cabaran yang Airis lalui di usia sekarang.

Kejohanan_Silat_Terbuka_wilayah


Persediaan Sebelum Kejohanan Silat

Sebelum kejohanan, kami dah hadap pelbagai cabaran dari awal. Paling menekan semestinya menjaga berat badan. Dengan kami sekali terpalit kena kawal selera makan. 

Airis kena jaga berat badan supaya kekal dalam kategori yang ditetapkan. Berat maksima untuk kelas dia ialah 17kilogram. Tak boleh kurang tak boleh lebih.

Kejohanan_Silat_Tunas_Terbaik_Putri


Coach dah plan sebaik mungkin kerana kalau berat terlebih, kemungkinan tinggi dia akan berlawan dengan rakan sepasukan. Rugi la dekat situ. sekali gus mengurangkan peluang untuk membawa pulang pingat.

Dalam masa yang sama, jadual perlawanan diumumkan pihak penganjur supaya kelab dapat rancang perjalanan lebih awal. Masa itulah tekanan bertambah 100%. Debaran kian terasa kerana kami dapat gambaran awal siapa lawan yang bakal dihadapi.

Masa inilah perang mental bermula sebab emak-emak ni rajin siasat akaun tiktok kelab silat lain. Ada baik buruk dia. Oh aku ada kongsi dalam entri berdebar pertama kali hantar anak bertanding silat. 


Cabaran Semasa Kejohanan Silat: Tiga Hari Berkampung

Kejohanan ini berlangsung selama tiga hari dan kami berkampung dari pagi sampai malam di lokasi pertandingan iaitu di Pavilion Bukit Jalil. Penganjur buat di bahagian luar kawasan terbuka.

Cuaca panas terik, tiada angin bertiup hanya mengharapkan kipas besar di bahagian atas sahaja. Bayangkan juga suasana bising, padat dengan manusia sebab kami berkongsi tempat dengan program Hari Belia.

Hari ketiga dan terakhir tu aku baru perasan keadaan tu trigger eczema Airis. Mula dengan bitnik-bintik gatal di muka lepas tu merebak di seluruh badan sampai ke kaki. Nak kata ruam pon iya juga.

Bersyukur sangat Airis masih semangat nak habiskan perlawanan. Memang aku paksa dia minum air masak setiap masa. Kami bawa Airis ke klinik beberapa hari selepas tu dan dia dapat antibiotik.

Airis_Menang_Kejohanan_Silat_Tunas_Terbaik_Putri


Cabaran Emosi - Takut Sebelum Perlawanan Akhir

Pertama kali aku tengok Airis takut tak tentu arah. Rupanya dalam diam dia rasa pressure perlawanan akhir. Personally, itu merupakan detik paling mencabar sebab aku kena redakan pressure dia.

Airis tiba-tiba menangis, takut untuk masuk ke gelanggang. Aku dah cuak takut dia minta tarik diri je. Faham sangat sebab dia baru 8 tahun. Tak boleh nak salahkan dia. pengalaman pertama dia pula tu.

Cepat-cepat aku bawa dia jauh dari crowd, picit tangan kaki. Bagi minum air dan bagi dia main game dekat handphone. Nak cuba alih perhatian dia. Sambil baca apa yang patut, aku suruh dia duduk di riba Ikhwan.

Airis_Menang_Kejohanan_silat


Dia memang manja dengan abang dia dan memang menjadi. Airis jadi lebih relaks dan kurang tertekan. Alhamdulillah syukur, Airis berjaya mengawal emosi. Usaha dan keberanian dia membuahkan hasil.

Airis berjaya dinobatkan sebagai Juara Tunas Putri Kelas A dan Tunas Terbaik Putri. Pencapaian membanggakan bagi pengalaman pertama dia dalam kejohanan silat.


Pengajaran & Pengalaman Dari Sudut Pandang Emak

Banyak perkara kami belajar kali ini. Disiplin itu perkara paling utama. Bila dah tetapkan target, kena ada disiplin yang tinggi untuk capai impian. Tak mudah tapi tak mustahil.

Selalu aku ingatkan anak-anak, masa dalam gelanggang tiada siapa boleh bantu kecuali Tuhan dan diri sendiri. Belajar kawal rasa takut dan emosi. Minta banyak-banyak pada Dia.

Untuk aku sendiri sebagai emak, aku belajar beri sokong tanpa tekanan berlebihan. Siapa je tak mahu anak berjaya bawa balik pingat emas. Tapi apa pun alasan, anak mesti jadi keutamaan.

 

Airis_Menang_Silat_Tunas_Terbaik_Putri

Alhamdulillah, pengalaman pertama Airis dalam kejohanan silat ini akan menjadi kenangan yang tidak akan dilupakan.

Semoga Allah memelihara Airis daripada segala keburukan dan menjadikan pengalaman ini asbab dia menjadi anak yang lebih berani dan berakhlak baik.